I'M NOT A MONSTER - PROLOG & BAB 1


PROLOG
PEMANDANGAN malam Kota Macau yang berkerlipan dengan lampu-lampu neon pelbagai warna diperhati lama. Kosong! Pandangan matanya kosong sekali, seperti kosongnya hati dalam tubuh. Itu pun kalau dia masih boleh digelar sebagai manusia yang punya seketul hati dan perasaan.
Dari Taipa Bridge, tempatnya berdiri, dia dapat membayangkan beribu-ribu manusia lain sedang enak menghabiskan wang dan kekayaan yang tidak seberapa di tempat-tempat gah seperti Grand Lisboa, The Wynn, City of Dreams, The Venetian atau pun mungkin The Globe. Dia juga seakan-akan dapat melihat manusia-manusia seperti Zachary Ho yang ketawa jelik kala melihat kejatuhan manusia lain.
Perlahan dia menghela nafas. Berat menyinggah telinga. Matanya kemudian dikerling kepada jari-jemari. Masih basah. Masih merah. Masih hanyir. Masih berdarah.
Ya, darah mangsanya yang pertama. Darah yang telah melerai dirinya daripada perikemanusiaan. Darah yang telah menukarnya kepada...
Raksasa. A monster.
Setapak demi setapak, dia mengangkat langkah. Mendekati tebing jambatan. Angin ngilu musim sejuk dibiarkan sahaja, walhal dadanya terasa pedih. Bunyi hon yang bertalu-talu bagaikan memberi amaran. Namun tidak juga diendah. Bahkan, dia memanjat bahagian bawah pagar jambatan. Ketinggian pagar yang jadi penghalang itu, berubah jadi setakat paras pahanya sahaja. Sekali ditolak angin, dia pasti akan terbang menjunam ke bawah. Seperti burung. Bebas menebarkan sayap.
Dia mengangkat kedua-dua belah tangan. Didepa luas, umpama burung dengan sayapnya. Matanya sedikit-sedikit dikatup. Bibir bergerak membentuk senyuman. Plastik. Kosong. Tidak datang dari hati.
“Selamat datang, Ryu. Selamat datang ke dunia kegelapan. Sekarang, kau benar-benar dah tak boleh berpatah balik.”
“Erghh...erghhh....”
Seruan pelik menggamit perhatian. Lantas, dia berpaling ke belakang. Pandangan mata jatuh ke bawah, melekat pada seorang gadis yang elok memegang hujung jaketnya. Kepala gadis tergeleng-geleng. Mata bundarnya bertakung dengan tangisan yang bila-bila masa akan tumpah. Ryu tidak buta untuk melihat kesedihan dan kekesalan di situ.
Lama mereka bersabung mata.
“Macam mana kau boleh ada di sini, Maya?” Akhirnya, Ryu memecah keheningan. Seperti biasa, tutur katanya dingin sekali.
Si gadis hanya membungkam.
“Kau lepaskan jaket aku.” Ryu berkata lagi. Masih mendatar.
Kepala Maya bergerak ke kiri kanan. Berulang kali. Tangannya juga semakin kuat mencengkam hujung jaket.
Ryu merengus kuat. Sudahlah sekarang dia tiada mood, muncul pula perempuan ini menambah kekusutan!
“Kau tahu, kan? Aku tak suka perempuan degil,” desisnya seraya merentap jaket. Ternyata, rentapannya terlebih kuat. Maya terjelepuk jatuh ke tepi jalan dan…
Ponnnn…..
Bunyi hon panjang bergema. Lampu kereta berkelip tinggi. Mata Ryu membuntang luas. Tidak menunggu sesaat, dia melompat turun dan menyambar tubuh Maya. Sekelip mata sahaja, mereka sudah pun tersadai di pagar jambatan. Sama-sama berdakapan.
Ryu menolak Maya daripada rangkulan.
“Kau dah gila?! Nak mati?!”
Hanya sepasang mata yang terkulat-kulat menjadi jawapan kepada tengkingan Ryu. Kemudian tanpa kata, Maya menggerakkan kedua-dua belah tangannya. Ryu melarikan anak mata, tidak mahu melihat semua itu. Namun, lengannya ditarik. Ryu buat tidak peduli. Ditarik lagi. Ryu tetap tidak berpaling. Lengannya sekali lagi ditarik. Lebih kuat. Ryu mendengus dan berpaling.
“Apa?” Dia mengherdik lantang.
Maya menyambung gerak laku. Dalam rasa tidak mahu pedulinya, Ryu menatap tanpa kata.
Tolong jangan mati.
Kening Ryu terangkat sebelah.
“Apa maksud kau?”
Maya membawa jari telunjuk ke arah tebing jambatan.
“Kau ingat aku nak bunuh diri?” sela Ryu tanpa nada. Bibirnya terherot sinis. Ah, membunuh diri apanya kalau tugasnya sendiri ialah merampas nyawa manusia lain?
Soalan Ryu dibalas dengan anggukan kepala.
“Maya...Maya, aku ni...” Ryu menghampiri Maya dan mengangkat tangan, mahu mengusap kepala gadis tersebut. Namun gerak tangannya terkaku di sekerat jalan. Jari-jemari yang masih bersisa darah mematikan hasrat. Cepat-cepat, dia menyorok tangan ke belakang.
“Orang yang takkan bunuh diri. Aku tak layak pun untuk bunuh diri.”
Huh! Untuk manusia jelik sepertinya, kematian adalah sesuatu yang terlalu mudah. Hukuman yang terlalu ringan.
Bagaikan dapat menangkap tindakan Ryu tadi, Maya menarik tangan Ryu dari belakang.
“Eh, apa kau....”
Bicara Ryu terhenti sendiri. Tenggelam dalam sepasang mata Maya yang jelas suram. Jeda sesaat, sebelum Maya menundukkan pandangan. Sedikit-sedikit, gadis itu mengusap tangan Ryu. Darah yang membasahi dilap dengan telapak tangannya sendiri. Lembut dan perlahan, kemudian semakin kuat dan kuat. Habis jari-jemarinya sendiri jadi merah, tetapi Maya jelas tidak peduli. Malahan, perbuatannya jadi semakin ligat. Telapak tangan tidak sudah-sudah digesel kepada tangan berdarah Ryu.
Penuh rasa terdesak.
Ryu pandang dalam sepi. Mata tajamnya langsung tidak dikalih. Maya betul-betul mahu mencuci dirinya daripada cecair merah, pekat lagi hanyir itu.
Ah, Maya memang bodoh! Dia sudah memalitkan tubuh dengan darah manusia. Tidak mungkin dia jadi bersih semula.
“Maya...”
Tegurannya tidak diambil peduli. Maya semakin bersungguh cuba membersih.
“Sudah, Maya!” Ryu menangkap pergelangan tangan Maya. Sepantas itu juga, Maya merentap tangannya kembali.
“Erghh!!Erghh!!!”
Terpaku Ryu kepada Maya yang menjerit-jerit dalam bahasanya. Tangan kiri dan kanan tergawang-gawang ke udara. Sepasang mata yang berkaca-kaca tadi, sudah selamat menumpahkan isi. Pipi mulus Maya dinodai air mata. Dadanya turun naik dengan laju. Bergilir antara menarik nafas dan melayan ledakan emosi.
Ryu sedar Maya sedang marahkannya. Itulah yang sering dilakukan oleh gadis itu setiap kali dia pulang ke rumah dalam keadaan berlumuran darah, dengan bermacam-macam kecederaan di tubuh. Itulah norma kehidupannya sebagai salah seorang 49 chai dalam Red Dragon. Tetapi kali ini, darah yang terpalit pada tubuhnya bukanlah sebarang darah. Bukan setakat darahnya yang bercampur dengan darah lawan-lawannya.
Darah ini ialah darah yang menentukan bahawa dia tidak lagi mampu jadi anjing semata-semata. Dia bukan lagi bayang-bayang yang berdiri di belakang Luo Ming. Dia bakal jadi hung kwan dengan puluhan orang bawahan.
Ya, Ryu tahu. Itulah ganjaran yang bakal dia peroleh atas apa yang sudah dia buat. Namun persoalannya sekarang, adakah itu benar-benar ‘ganjaran’ atau sekadar hukuman yang bakal memenjaranya lebih lama?
Ah, dia sudah tidak tahu apa yang patut difikirkan!
Perlahan, Ryu memejam mata. Nafas ditarik dalam-dalam. Bunyi bising Maya dibiarkan pergi umpama angin malam yang menumpung lalu di sebelah telinga. Beberapa ketika berlalu, dia membuka matanya semula.
Lebih tajam. Lebih dingin. Kemudian, dengan suara yang terlebih mendatar, dia menjatuhkan arahan.
“Sudah, Maya. Jom balik rumah.”
Seperti selalunya dia tidak mengendahkan kemarahan gadis itu, seperti itulah juga dia melakukannya malam ini.
**************************************
BAB 1
Cotai, Macau, 2010
PINTU berwarna emas itu ditolak luas, sebelum dia memberi laluan kepada orang di belakang. Tanpa sebarang kata, orang itu berjalan masuk dan melepasinya. Ryu pantas membuntuti. Bunyi bingit dengan segala macam jeritan, menujah masuk ke telinga. Pada masa yang sama, hidungnya ditusuk bau kuat rokok bercampur bir, serta bau tubuh manusia yang lama tidak mandi. Sungguh, dia bencikan bau ini. Tetapi bau yang sama ini juga sudah terlalu sebati dengannya. Pemandangan yang sudah sebati juga, bertebaran depan mata.
Satu bahagian tersusun dengan beratus-ratus mesin slot. Skrinnya menyala dengan pelbagai imej terang, bagaikan memanggil-manggil orang mendekat. Ternyata, itulah yang berlaku. Hampir kesemuanya diduduki orang. Kebanyakan mereka sudah agak berumur. Dengan rupa yang boleh tahan serabai. Sekilas tengok, Ryu tahu mereka datang dari Tanah Besar China.
Bibir Ryu menyenget sedikit. Bau tidak mandi ini, pastinya datang daripada mereka. Sudah jadi kebiasaan bagi orang-orang dari sana untuk ‘berkampung’ di kasino dari mula sampai hingga pulang. Mereka ini datangnya dari kelas pertengahan, dan tidak akan membazirkan wang untuk menyewa hotel. Tujuan mereka ke Macau adalah untuk mendapatkan wang. Jadi, untuk apa membuang wang demi tempat tinggal?
Di satu sudut lain pula, kelihatan meja-meja Blackjack yang teratur tidak jauh antara satu sama lain. Seperti mesin slot tadi, hampir semua dikelilingi orang. Dealer sibuk menyusun dan membahagi kad. Sesekali bunyi jeritan bergema. Dari sang pemain, juga para penonton. Mungkin teruja, atau mungkin juga kegeraman. Yang pasti, carutan yang timbul di celah-celah jeritan, bukan tanda kegembiraan.
Kaki Ryu diayun lebih ke hadapan. Mengikut setiap satu langkah Luo Ming, ketua yang sudah dia ikut sejak enam tahun lalu. Dia benar-benar umpama orang bawahan yang sangat setia. Atau lebih tepat lagi, seperti anjing yang mengikut tuannya. Huh, dia tidak peduli. Dia lebih rela jadi begini. Hanya anjing bawahan. Hanya bayang-bayang yang tidak disedari orang.
Mereka kini masuk ke bahagian Roullete. Meja-meja memanjang warna hijau, dengan roda bulat di hujung, mengelilingi kiri dan kanan. Bunyi bola berpusing atas roda, bercampur-baur dengan pekikan dan tepukan tangan pemainnya.
Sangat. Meriah.
The Globe selalu seperti ini. Meriah dengan manusia yang suka memperjudikan wang dan kehidupan.
“Ming Ko! (Abang Ming!)”
Kepala Ryu terngadah, memandang sang ketua yang kini bercakap dengan beberapa orang lelaki. Dia kenal salah seorang daripada mereka. Ah Lei, hung kwan bagi Golden Dragon, satu lagi geng di bawah jaringan kumpulan kongsi gelap Soaring Dragon. Orang yang bertanggungjawab ‘menjaga’ kasino ini.
Langsung, Ryu bergerak ke hadapan.
“Lei Ko (Abang Lei).” Dia menegur.
Orang yang ditegur pantas berpaling, dan menayang senyum. Gigi arnabnya terserlah. Mata sepetnya membentuk separa bulatan. Sekali tengok, sesiapa pun tidak akan menduga bahawa dia ialah seorang ahli kongsi gelap. Apatah lagi, hung kwan yang kerjanya mengetuai 49 chai.
Kalau 49 chai dikira sebagai askar dalam organisasi kongsi gelap, hung kwan ialah sang komander. Menjadi ketua dalam melaksanakan segala kerja kotor mereka. Mengugut, menyerang, membelasah dan tidak lupa….
Membunuh.
Jadi, lelaki berwajah keanak-anakan seperti Ah Lei membunuh orang? Pasti sukar untuk dibayangkan. Tetapi hakikatnya, syaitan selalu bersembunyi di sebalik wajah paling manis.
“Ryu, lama tak nampak.” Lelaki berwajah comel itu, membalas teguran. Siap dengan satu tepukan kasar atas bahu Ryu.
Bibir Ryu bergerak sendiri. Tersenyum menghadap reaksi terlebih mesra itu.
“Rasanya abang yang selalu hilang. Aku ada saja kat sini. Mana lagi aku nak pergi?”
“Kau boleh pergi mana-mana pun kalau kau nak,” jawab Ah Lei. Agak tersirat.
Sekali lagi, Ryu senyum. Tenang sahaja. Namun dalam hati, dia mahu gelakkan diri kuat-kuat.
Dia sekadar anjing bawahan yang tidak menarik perhatian? Huh, dia tarik balik kata-kata itu!
“Aku cuma nak ada di sisi dai lo,” tekan Ryu setelah beberapa ketika. Mata tidak berkelip. Tepat dipanah ke muka Ah Lei.
Jawapan itu menerima tawa Luo Ming sebagai balasan. Mungkin terhibur. Mungkin juga berpuas hati. Ah Lei turut sama ketawa. Namun, Ryu dapat menangkap kerlingannya yang lain macam.
Lelaki itu benar-benar mahukan dia.
Ryu buat-buat tidak mengerti. Bukan dia tidak biasa dengan pandangan seperti itu. Tetapi, dia bukanlah serupa ahli Red Dragon lain yang tidak sabar untuk ‘naik ke atas’. Reputasi yang dia bina di kalangan ahli kongsi gelap Macau tidak perlu dijadikan tiket untuk dia menaiki hierarki. Biarlah dia di sini. Sekadar anjing bawahan. Sekadar bayang-bayang.
Dia lebih tenang begini, tanpa perlu peduli tentang anak buah atau politik kotor dalam kumpulan.
“Okeylah, dia dah sampai?” Luo Ming mengubah topik perbualan. Wajahnya sudah bertukar serius. Tawa dan senyum yang tadi menghiasi, hilang entah ke mana.
Ah Lei turut mengubah riak muka. Juga serius.
“Dah. Ada di tempat biasa.”
Luo Ming mengangguk kecil sebelum memusing badan ke arah tempat yang mahu dituju.
“Ryu.”
Hanya sepatah kata. Hanya itu yang diperlukan untuk Ryu terus berdiri dekat dengan ketuanya. Ah Lei dan tiga orang bawahan langsung membuka laluan.
Tanpa menunggu lagi, Ryu dan Luo Ming mengangkat kaki. Berjalan melepasi mereka dan menuju ke arah pintu lif berwarna emas yang terletak di satu penjuru. Satu hala. Sebelah-menyebelah.
Seperti tuan dengan anjingnya. Seperti manusia dengan bayang-bayangnya.
*****
TEGANG.
Hanya itu perkataan yang layak digunakan untuk menggambarkan suasana di bilik VIP ini. Segala kemeriahan yang berlangsung sebelumnya, mati terus. Tiada rengekan manja wanita penghibur. Tiada jeritan teruja penjudi-penjudi di kiri dan kanan. Tiada suara-suara yang berbual rancak.
Semuanya lenyap. Semuanya seakan terhenti. Kecuali seorang lelaki di hujung sana. Selamba bersandar di sofa. Selamba meneguk wain.
Ryu dan Luo Ming melangkah setapak demi setapak. Memijak permaidani tebal warna coklat dengan corak-corak abstrak. Melepasi dua buah meja Roullete di kiri dan kanan. Melalui bawah lampu chandelier yang menerangi dengan cahaya mewah. Dan akhirnya, mereka berhenti betul-betul di hadapan sebuah meja kopi kaca. Bertentangan dengan mereka ialah lelaki tadi. Masih bersandar di sofa kulitnya. Masih ralit memutar gelas wain.
Ada dua orang lelaki berdiri di kiri kanan sofa. Tatu yang menjalar di lengan menandakan kumpulan mereka. Berwajah serius dengan mata dalam keadaan bersiap sedia. Hanya dengan sepatah kata, dua orang lelaki ini akan bertindak.
Di atas sofa yang sama, kelihatan dua orang wanita seksi. Masing-masing pegun di tempat duduk. Hujung mata saling menjeling. Wajah pucat gementar.
“Pergi.” Lelaki dengan wain merah menjatuhkan arahan. Secepat kilat, wanita-wanita tersebut berdesup keluar. Bukan setakat itu, dealer yang sedari tadi berdiri di meja Roullete juga pantas meloloskan diri di sebalik pintu.
Lalu, tertinggallah lelaki-lelaki dengan urusan lelaki.
“Kau memang berani.” Lelaki dengan wain merah memulakan bicara. Gelas di tangan, diletak atas meja. Dengan gaya yang jelas sengaja diperlahankan.
Telinga Ryu menangkap bunyi dengusan Luo Ming. Berbaur ejekan. Ketuanya selamba mengambil tempat di sofa sebelah kanan. Satu gelas kosong yang ada di situ, ditarik lebih dekat. Tangan kanannya bergerak ke arah botol wain yang tersedia. Namun, Ryu lebih cepat bertindak. Dia mengambil dan menuangnya ke dalam gelas. Luo Ming sekadar membiarkan dan meneguk cecair merah itu. Kedua-dua matanya separa terpejam menikmati.
Ryu kembali berdiri. Kepala dan belakang tegak. Masih berwajah tanpa riak. Mata tepat memerhati pemandangan di hadapan. Telinga tajam berjaga-jaga.
“Aku yang berani atau kau yang penakut?”
Sebaik melepas soalan itu, lelaki bertatu di sebelah kanan sofa bergerak ke arah Luo Ming. Ryu lebih pantas memintas. Tangan lelaki itu yang hampir mengenai muka Luo Ming, ditepis kuat. Tangan Ryu pula yang hinggap tepat ke pipinya. Tersembam dia atas lantai. Serentak dengan itu, berpuluh-puluh lelaki dalam bilik bangun berdiri. Masing-masing memekik tidak puas hati. Ada juga yang maju ke hadapan.
“Cukup!”
Langkah mereka serta-merta mati. Ditahan sang ketua.
“Rex…Rex…Rex…” Suara Luo Ming bergema dalam ketegangan. Dia meletak gelas dan menyandarkan badan ke sofa. Sinis memandang muka lelaki yang jauh lebih muda daripadanya.
Rex Chao.
Salah seorang hung kwan dalam kumpulan The Claws. Mengetuai geng Bloody Tiger. Manusia yang tidak habis-habis fikir bahawa dia boleh melawannya.
“Kau memang tak pernah berubah, kan? Hanya untuk selesaikan hal peribadi, kau bawa berpuluh-puluh orang? ”
Bibir Luo Ming menyenget sekejap.
“Huh, dasar penakut.”
Riak muka Rex jelas berderau. Rahangnya terketap-ketap. Namun, tidak pula dia menyerbu atau menengking. Sebaliknya dia menarik nafas dan menggerakkan bibir. Juga senyum mengejek.
“Kau patut cakap itu pada anak buah kesayangan kau ni.”
Ryu kelip mata sekali. Masih berwajah kosong.
“Mana ada kongsi gelap yang tak bunuh orang.”
Sinis sekali kenyataan yang menyentuh telinga Ryu. Disambut oleh bunyi ketawa semua konco Bloody Tiger. Sesetengah mereka melempar jeritan dan mengejeknya pengecut.
“Ryu.”
Sebaik mendengar namanya disebut, Ryu meluru kepada salah seorang konco Bloody Tiger yang terdekat. Yang paling kuat mentertawakannya. Belum sempat lelaki itu berbuat apa-apa, dia sudah pun meraung kesakitan. Tangan kanan memegang tangan kirinya. Kelihatan tulang yang tersembul keluar dari soket. Konco-konco Bloody Tiger yang lain mula bergerak. Tangan masing-masing tangkas mencapai senjata yang disembunyi bawah meja.
Ryu mengangkat anak mata. Semerta, gerak kaki mereka jadi perlahan. Masing-masing mula menayang riak tidak pasti. Sedikit-sedikit, Ryu mengherotkan mulut. Mata berdesis sinis. Kemudian…
“Arghhh!!!”
Raungan lelaki dalam genggamannya berbunyi lagi. Menerima cengkaman Ryu bawah rahang, sebelum mukanya dihempap atas roda Roullete. Bebola matanya buntang memandang besi turret yang terpacak hanya beberapa inci jauh dari mata. Desah nafasnya berbunyi kuat sebelum terhenti sejenak, dan bersambung kembali.
Serupa orang yang baru memperoleh nyawa semula.
Ryu tunduk mendekatkan bibir ke telinga lelaki itu. Tetapi tidak sekali pun, Ryu melarikan anak mata daripada memerhati konco-konco Bloody Tiger lain. Yang masih tercegat macam manikin. Yang masih tidak pasti, apakah patut mereka menyerang dan menyelamatkan rakan sekumpulan? Atau mungkin mengundur diri?
“Kalau aku mahu bunuh orang, aku takkan bunuh dia dengan cara mudah. Jadi kau patut bersyukur yang aku tak cuba bunuh kau,” tutur Ryu separa berbisik. Dengan setiap patah kata itu, raut muka konco Bloody Tiger tampak berderau. Halkum bergerak. Menelan liur.
Ryu senyum dalam hati. Puas.
“Ryu.”
Pantas Ryu melepaskan orang dalam genggaman. Dia kembali berdiri di sebelah Luo Ming. Bermuka selamba bagaikan tiada adegan dia mematahkan tangan orang dan hampir membutakan matanya.
“Banyak lagi benda kau perlu belajar, Rex. Salah satunya…”
Luo Ming mendekatkan muka kepada Rex. Kening separuh dijongket.
“Lebih berhati-hati dengan apa yang kau cakap. Dalam dunia kita, salah cakap, nahas akibatnya.” Lembut Luo Ming berkata. Siap dengan nasihat di hujung bicara. Namun, dia tahu Rex bukan bodoh untuk mengerti apa yang dia cuba sampaikan.
Hidung Rex berdengus. Dia mengetap bibir sebelum mengulum senyuman. Sangat olok-olok.
“Terima kasih atas nasihat tu. Jadi sekarang, boleh kita teruskan dengan tujuan asal kita?”
Luo Ming menjauhkan semula kepala. Kembali bersandar.
“Ingatkan kau tak nak tanya.”
“Apa kau nak buat dengan Shao-pai?” Tanpa mempedulikan sindiran Luo Ming, Rex terus menerjah.
“Nak buat apa? Siapa yang mulakan dulu?” Soalan juga yang Luo Ming lontarkan kepadanya.
“Anak buah kau dah cederakan adik aku,” balas Rex dengan mulut yang terketap-ketap. Urat darah mulai timbul di tengkuknya yang terik.
Ryu semakin meninggikan rasa berjaga-jaga. Segenap perhatian diberi kepada kedua-dua hung kwan. Sesekali, ekor matanya melirik kepada sekeliling. Kalau-kalau ada konco Bloody Tiger yang menyerang hendap.
“Siapa suruh adik kau ganggu teman wanita dia?”
“Mana dia tahu…”
“Tak reti periksa dulu?”
“Kalau macam tu, baik kau suruh dia periksa sama ada semua perempuan di Macau ni, milik orang.”
“Mungkin memang itu yang patut dia buat.”
Suasana tiba-tiba hening. Sesi membidas kata antara Luo Ming dan Rex berakhir dengan Rex yang mendiam. Namun, matanya semakin lama kelihatan semakin keras.
“Jadi, kau memang tak nak serahkan dia kepada aku?” Suara Rex berbunyi akhirnya. Senada tanpa perasaan.
Luo Ming tidak segera menjawab. Matanya tenang membaca lelaki di hadapan. Apa yang berlaku sejak seminggu lalu, melintas dalam ingatan. Shao-pai, salah seorang anak buahnya telah membelasah seorang lelaki di Rose Club gara-gara mencabuli teman wanitanya. Siapa duga, lelaki yang dibelasah hingga masuk hospital itu, ialah adik kepada Rex Chao. Lelaki yang sudah lama jadi seteru mereka.
Sudahnya, Rex menghantar konco-konconya untuk menyerang geng Red Dragon. Demi satu tujuan. Mencari dan menghukum Shao-pai. Dia, sebagai hung kwan tidak boleh berpeluk tubuh. Namun mengenali perangai baran Rex, Luo Ming sedar bahawa bukan mudah untuk menyelesaikan hal sekarang.
Tidak, tanpa menumpahkan darah.
“Kalau aku jumpa dia, aku mungkin boleh serahkan dia kepada kau.”
Rex melepas tawa. Kepala tergeleng-geleng. Jelas mempersenda jawapan yang baru didengar.
“Kau jangan ingat aku tak tahu. Kau dah sembunyikan dia, kan?”
Luo Ming tidak mengiya, mahu pun menidak. Tidak perlu kerana dia yakin Rex tahu jawapan sebenar. Hakikatnya, dia sudah pun menyeludup Shao-pai keluar ke Guangzhou. Menanti lebih lama hanya akan mengeruhkan keadaan.
“Ini hal budak-budak. Kenapa kita perlu masuk campur? Biar mereka selesaikan sendiri.” Luo Ming masih cuba berkompromi. Sebolehnya, dia tidak mahu jalan berdarah.
“Dia sentuh adik aku.”
Telinga Luo Ming rasa kegelian. Bicara yang diulang berkali-kali itu, benar-benar mencuit hati. Rex ingat dia tolol gamaknya. Perihal si adik bukanlah hal yang ingin sangat diperjuangkan oleh Rex. Lelaki itu sengaja jadikannya sebagai alasan untuk mereka bertarung. Mahu melepas dendam kesumat tiga tahun lepas.
“Kenapa? Kau takut?”
Hujung bibir Luo Ming sipi-sipi membentuk senyum. Benar telahannya tadi. Soalan Rex sebagai pengesahan.
“Kau jangan ingat ini macam dulu. Kali ini…”
Rex membawa muka ke hadapan. Setentang dengan Luo Ming. Sepasang matanya bersinar dengan cabaran.
“Bukan aku seorang yang akan rugi.”
Apa yang pernah dia sendiri ucap dahulu, dan-dan terngiang di telinga Luo Ming.
“Kalau kita berlawan, kau yang akan rugi. Bloody Tiger dah cukup gah dengan perniagaan kau orang. Kalau kau tutup untuk satu hari, cuba fikir berapa banyak kerugian kau. Bukan macam aku yang tak ada apa-apa. Kalau aku lawan berhari-hari pun, tak ada apa yang rugi.”
Ya, benar. Red Dragon bukan macam tiga tahun lepas. Dulu, mereka tiada apa-apa. Sekarang, mereka punya perniagaan besar. Tutup satu hari, berpuluh ribu dolar kerugian yang perlu ditanggung. Tetapi masalahnya sekarang, ada manusia tolol yang lebih pentingkan ego daripada perniagaan.
Dalam-dalam, Luo Ming menghela nafas. Mata dikelip sekali, sebelum dia membuka semula mulut.
“Jadi bila? Kat mana?”
*****
“SEDIAKAN budak-budak kita.”
“Kat mana? Bila? Berapa ramai nak?”
Suara yang menyambut kedengaran terlebih kuat. Ryu dapat membayangkan muka si penutur saat bercakap. Anak mata membesar, muka merah teruja. Seolah-olah apa yang bakal mereka buat ialah satu permainan yang menghiburkan.
Ah, pada siapa dia mahu menyinis? Bukankah itu hakikatnya? Mereka dan nyawa yang dipertaruhkan, umpama kanak-kanak dengan permainan guli.
“Bawa seramai mungkin.” Ryu menjawab. Mata serius memandang Luo Ming yang berdiri tidak jauh daripadanya. Sedang sibuk dengan urusan sendiri. Atau lebih tepat lagi, dengan urusan anak buah yang perlu diselesaikan.
“Dai lo tengah cakap dengan Lei ko. Kita juga akan bawa Golden Dragon.”
Desah nafas orang di sebelah sana, berbunyi dekat di telinga.
“Kali ini agak besar.” Dia membuat rumusan. Perlahan, seakan-akan berbisik dengan diri sendiri. Namun, telinga tajam Ryu lebih pantas menangkap.
“Kenapa? Kau takut?” Terus, Ryu menebak.
Bunyi ketawa bergema di hujung talian.
“Takut? Abang tengah cakap pasal siapa? Ini Kosuke lah. Mana aku reti takut.”
Ryu senyum halus. Kosuke selalu seperti itu. Bukan reti takut. Tahu menerjah sahaja. Patutlah acap kali terlibat dalam masalah. Yang jadi tukang penyelesai tidak lain dan tidak bukan, Ryu. Walaupun mereka sama-sama 49 chai, Ryu tahu Kosuke selalu menganggapnya seperti ketua. Bahkan, seperti abang. Kerana mereka ialah saudara. Kerana dia sudah minum darah Kosuke, sepertimana Kosuke sudah minum darahnya.
“Kalau tak takut, sediakan budak-budak kita esok. Lapan malam. Rua de Evora.” Ryu menjatuhkan amaran.
“Baik.” Pendek balasan Kosuke, sebelum mematikan panggilan. Tetapi, Ryu sempat menangkap getaran yang lain macam dalam suaranya. Kedengaran lebih serius. Lebih berat. Ternyata, Kosuke juga menyedari bahawa bumi Macau sekali lagi akan menyaksikan pertempuran antara dua buah kumpulan kongsi gelap.
Tanah ini sekali lagi, akan bermandikan darah.
“Ryu.”
Kepala Ryu terpanggung kepada Luo Ming. Belakang badan automatik jadi tegak. Menanti sebarang arahan yang bakal diterima.
“Ah Lei akan hantar lima belas orang dia. Tanda kita ialah reben merah.”
Ryu angguk mengerti. Kaki menyaingi langkah sang ketua yang diayun menuju pintu keluar kasino. Fikiran pula membayangkan berpuluh-puluh lelaki yang bakal muncul malam esok.
Bersama reben merah yang dililit di lengan.
Tanda yang mereka sering guna untuk membezakan diri daripada pihak lawan. Red Dragon, mahu pun Golden Dragon punya pengikut yang ramai. Mustahil untuk mereka kenal dan ingat wajah semua orang. Jadi bila satu-satu pertempuran bakal berlangsung, mereka perlu mengenakan tanda pengenalan bagi mengelakkan diri daripada menyerang konco sendiri.
Teka Ryu, malam esok Bloody Tiger akan mengenakan topi hitam.
“Kau boleh balik dulu.” Suara Luo Ming bergema sebaik sahaja mereka bolos ke luar pintu. Ryu menoleh kepada lelaki di sebelah.
“Aku takkan apa-apa.” Jelas mengerti apa yang bermain dalam fikiran Ryu, Luo Ming menegaskan.
“Kita tak boleh percayakan Rex. Kita tak tahu apa yang dia rancang malam ini,” balas Ryu. Berbaur tegas, padahal dia sedar apa-apa pun yang keluar dari mulutnya takkan mampu untuk mengubah pendirian Luo Ming.
Bukan dia tidak kenal lelaki itu, dan tabiatnya yang satu itu.
“Kau fikir dia akan serang hendap aku?”
“Ya.”
“Pelik kalau dia tak buat macam tu.” Sangat selamba balasan yang dipantulkan Luo Ming. Dahi Ryu berkerut.
Sang ketua senyum kecil.
“Berapa kali aku perlu bagitahu kau? Dalam dunia kita, tak elok ada tabiat. Boleh jadi kelemahan dan boleh dipergunakan oleh orang lain.”
Kerutan Ryu semakin menebal.
“Habis tu, kenapa…”
Senyuman Luo Ming bertukar kelat. Mata memandang jauh ke hadapan. Kaki diangkat semula. Anak buah setia pantas mengikut.
“Itu satu-satunya cara untuk aku mengingati dia. Cara untuk aku balas apa yang sudah aku buat. Lagipun…”
Suara garaunya jadi lebih serak.
“Dia mati kerana aku.”
*****
“DIA mati kerana aku.”
Itulah yang membuat Ryu berhenti dan membiarkan sahaja ketuanya berjalan pergi, beberapa ketika lepas. Dia sekadar pegun memandang belakang tegap itu hingga hilang daripada pandangan mata. Ryu sedar, tidak ada gunanya dia cuba menghalang Luo Ming. Siapa dia untuk menegah lelaki itu daripada ‘menemui’ adiknya sendiri?
Adik yang terkorban di celah-celah jalanan Macau, lapan tahun yang sudah.
Itulah tabiat Luo Ming. Setiap kali kumpulan mereka bakal bertarung dengan kumpulan lain, Luo Ming akan pergi ke tempat di mana adiknya dibunuh dan membakar colok di situ. Logik Luo Ming, dia mahu menenangkan roh adiknya yang mungkin marah kerana dia masih seperti dahulu.
Seorang ahli kongsi gelap. Berlawan sesama sendiri. Tidak menghargai nyawa manusia.
Namun Ryu tahu, Luo Ming bukan seperti itu. Dalam hati lelaki tersebut, ada segumpal rasa bersalah yang meracunnya dari dalam. Kalau tidak, kenapa dia rela melepaskan segala-galanya dahulu dan sekadar jadi kongsi gelap kampung di Tai O Village?
Malangnya, seorang ahli kongsi gelap bukan semudah itu untuk mengubah hakikat kehidupan. Tiga tahun lalu yang jadi buktinya. Luo Ming dipanggil oleh bekas Cho Kun yang ketika itu mengetuai Soaring Dragon. Uncle Foong mahu dia menyelesaikan isu Lotus.
Mengingati Lotus, sebuah restoran dua tingkat melintas dalam kotak memori Ryu. Binaan Cina lama dengan dinding warna hitam merah. Sesetengah penjuru cantik berhias ukiran emas. Tanglung merah terbuai-buai di siling. Sangat tradisional. Tetapi…
Lotus bukanlah sesuci namanya.
Di sebalik keindahan dan rupa tradisional restoran itu, tersembunyi rumah pelacuran di tingkat atas. Tetapi, bukan itu masalahnya. Yang jadi isunya ialah Bloody Tiger. Seteru besar Red Dragon yang dengan selambanya masuk ke kawasan Cotai Strip, dan membuka restoran serta rumah pelacuran itu. Padahal semua kumpulan kongsi gelap Macau tahu bahawa Cotai Strip berada bawah genggaman Soaring Dragon.
Pada asalnya, geng Black Dragon yang bertanggugjawab untuk menguruskan hal ini. Itu kawasan mereka. Serangan demi serangan dibuat. Malangnya, Bloody Tiger tetap berdegil. Entah berapa banyak darah sudah tumpah. Entah berapa banyak kerugian yang sudah dialami. Pihak polis juga mula memberi perhatian. Mungkin tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan, Uncle Foong masuk campur dan memanggil Luo Ming.
Natijahnya, Luo Ming bukan setakat jadi musuh kepada Bloody Tiger. Malahan, musuh kepada Hector, hung kwan untuk Black Dragon.
Kehidupan tenang Luo Ming kembali jadi kompleks.
Dan sekarang, dia turut sama berselirat dalam kekusutan itu. Sebagai ahli Red Dragon. Sebagai orang kanan Luo Ming. Sebagai…
Langkah kaki Ryu yang sedang menuju ke rumah, semakin lama jadi semakin perlahan.
Sebagai orang yang tidak sepatutnya meninggalkan Luo Ming. Dia menyambung dalam hati.
Kaki yang perlahan tadi, terus dipusing ke belakang. Ryu mengangkat langkah dan memecut deras. Fikirannya berulang kali bergema dengan kata-kata itu.
Dia tidak sepatutnya membiarkan Luo Ming pergi. Tidak!
******
“KAU!!!”
Setiap inci dinding di celah jalanan itu seakan-akan bergegar. Dihempap lantangnya suara Ryu. Tangan-tangan yang menumbuk dan menyerang, kaku di udara. Kaki-kaki yang menendang, jatuh semula ke tanah. Kepala-kepala manusia berpaling kepadanya.
Dan di celah semua itu, Luo Ming senyum menyenget. Darah menitis-nitis dari kening ke pipi. Mulut pecah menampakkan gigi berdarah. Tubuhnya separa tegak, menahan diri daripada tersungkur ke bawah. Baju putih yang dipakai sudah bertukar merah. Tidak jauh daripadanya, kelihatan bekas colok yang sudah terbalik. Asapnya samar-samar kelihatan.
Melihat semua itu, darah panas menyirap ke kepala Ryu. Lehernya terasa tegang. Mata menjegil bagaikan mahu terpelanting keluar dari soket.
“Berani kau sentuh dai lo aku.” Antara dengar tak dengar, dia berdesis. Kepala digerak kiri dan kanan, membetulkan urat leher. Jari jemari dikepal-kepal. Kaki pula melangkah setapak demi setapak ke hadapan.
“Berani kau ganggu dia jumpa adik dia.”
Konco-konco Bloody Tiger membetulkan gerak tubuh. Tegak mengambil posisi. Tangan lebih ketat menggenggam senjata. Ada parang. Ada pisau. Ada kayu besbol.
Bibir Ryu bergerak herot. Dasar pengecut! Hanya untuk dapatkan seorang lelaki, perlu guna senjata seperti itu sekali.
“Kau lupa. Untuk bunuh Luo Ming, kau kena melepasi aku. Kau kena melepasi Ishikawa Ryu!!!”
Serentak dengan tengkingan itu, Ryu menyerbu ke hadapan. Konco Bloody Tiger mengambil tindakan serupa. Sekelip mata sahaja, Ryu sudah pun berada di tengah-tengah belasan lelaki dengan segala macam senjata. Tetapi tidak sedikit pun dia tergugat. Kaki tangannya laju menahan, menyambut dan menyerang. Satu ketika, Ryu mencengkam halkum sang lawan dan menolaknya hingga ke dinding. Kemudian, dia membawa jari-jemari ke bentuk cakar dan menusuk bawah rusuk lelaki itu. Bebola mata lelaki itu membuntang. Mulutnya terbuka melontarkan jeritan.
Ryu melihat sahaja. Tanpa emosi. Saat yang sama, ekor matanya menangkap pergerakan yang datang dari sebelah kanan. Ryu melepas lawan di tangan, memusing badan dan mengetuk leher sang penyerang. Tidak cukup dengan itu, dia menarik tangan lelaki tersebut dan menghentak sendi lengannya dengan lutut. Berkeriuk bunyi tulang yang patah. Raungan melangsi kuat.
Ahli Bloody Tiger masuk menyerang lagi. Parang dan pisau diangkat tinggi. Ada yang sempat Ryu elak. Ada yang tidak. Sudahnya, lengan dan bahu Ryu berlumuran darah ditetak. Wajahnya juga sudah tidak serupa tadi. Hidung dan mulut bersembur dengan darah. Kepalanya juga menitis-nitis dengan cecair merah.
Namun, Ryu tetap dengan riak muka yang sama. Dingin tidak berperasaan. Langsung tidak terkesan dengan segala darah dan kecederaan. Kekal tangkas, laju dan lincah. Menentang musuh yang cuba mengapa-apakan ketuanya. Sama-sama berlawan.
“Dai lo,” tegur Ryu saat dia akhirnya sampai kepada Luo Ming. Saling bersandar belakang.
Tawa halus Luo Ming berbunyi di celah nafas yang termengah-mengah.
“Kau memang tak boleh biarkan aku sendiri, kan?”
Ryu turut melepas gelak.
“Nak buat macam mana? Aku ini Ryu. Dan aku ialah orang kanan abang.”
“Kau memang macam-macam,” sindir Luo Ming seraya menumbuk seorang lawan.
Ryu mengerling kepadanya dan melompat tinggi. Tendangannya serentak mengenai dada dua orang konco Bloody Tiger. Kedua-duanya terpelanting atas jalan. Sesudah itu, dia tunduk merembat sebilah parang yang tersadai dekat.
“Arghhh!!!”
Satu jeritan berbunyi dari atas. Secepat kilat, Ryu mengangkat parang dan menghadang bilah yang hampir-hampir membelah otaknya. Dia angkat kepala. Bibir menyeringai. Riak wajah lawannya serta-merta berubah. Mata terkebil-kebil tidak pasti. Tekanan parangnya juga jadi semakin lemah.
Terus, Ryu mengambil kesempatan dan menolak senjatanya. Lelaki itu terdorong ke belakang. Ryu menegakkan tubuh, mengangkat parang di tangan dan melibasnya. Tepat mengenai bahu lelaki itu. Darah terpercik. Ryu tidak peduli. Sebaliknya, dia berlari ke arah Luo Ming yang sedang diserang bertubi-tubi oleh tiga lawan. Parang di tangan sekali lagi memakan mangsa. Habis mengelar dan melibas mana-mana konco Bloody Tiger yang masuk menyerang. Kaki tangan Ryu juga sibuk sendiri. Menumbuk, menghentak, menendang dan menyepak. Beberapa tubuh bergelimpangan atas jalanan. Masing-masing kepenatan dan mengerang.
Namun, ada juga yang tidak reti berputus asa. Setia menyerang dan menyerbu. Ryu dan Luo Ming semakin tercungap-cungap. Peluh dan darah mengotori diri. Lewat ekor mata, Ryu perasan pergerakan ketuanya yang semakin perlahan. Wajahnya juga semakin pucat. Darah yang keluar dari kecederaan semakin membuak-buak. Tanpa berlengah, Ryu menarik pergelangan tangan Luo Ming, menendang lawan yang datang dan mengheret ketuanya pergi. Mereka berlari di celah-celah jalanan. Menyusup di sebalik kegelapan. Dikejar oleh Bloody Tiger yang tidak habis-habis memekik.
Tiba di satu persimpangan, Ryu dan Luo Ming berhenti dan menoleh kepada satu sama lain. Tanpa sepatah kata, mereka mengangguk. Sesaat kemudian, kedua-duanya sudah pun berdesup ke arah jalan bertentangan. Ryu ke kanan. Luo Ming ke kiri.
Di sekerat jalan, Ryu mematikan langkah. Dia berpaling dan memerhati belakang sang ketua yang semakin lama semakin kecil. Ditelan oleh kegelapan malam.
“Hoi, sini!” panggilnya kepada beberapa orang konco Bloody Tiger yang muncul mahu masuk ke jalan yang dilalui Luo Ming. Serta-merta mereka berpatah balik dan meluru kepadanya. Ryu sengih sesaat, sebelum memusing badan dan kembali mengangkat kaki. Dia melalui jalan-jalan kecil yang bersimpar-siur. Tersendeng-sendeng akibat kecederaan yang mula dirasai. Mencucuk segenap tubuh. Namun, tetap juga Ryu berlari. Ahli Bloody Tiger tidak sudah-sudah menempik dan menyuruh dia berhenti.
Gila! Siapa yang mahu berhenti dan menyerah nyawa sendiri?
Sampai di satu lorong, Ryu menyusup masuk. Menonong tanpa hala dan…
Bum!
Melanggar sesuatu. Hampir sahaja Ryu terbalik ke belakang, kalau tidak cepat-cepat mengimbangkan badan. Tangannya ternaik sendiri, mencapai objek yang dilanggar dan menariknya kuat.
Jeda.
Mata Ryu membulat. Tidak berkelip menatap pemandangan depan mata. Di celah-celah kegelapan yang mengelilingi, kelihatan satu wajah. Samar-samar. Sedang mendongak kepadanya. Setentang dekat.
“Sini!”
Ryu tersentak. Tanpa sempat memikirkan apa-apa, dia terus menolak tubuh di hadapannya hingga ke dinding. Tangan pula menekup mulutnya. Tubuh sendiri dibawa rapat, hinggakan tubuh kecil itu tenggelam tidak kelihatan.
Satu saat…
Dua saat…
Tiga saat…
Ryu menanti. Kosong. Tiada tanda-tanda konco Bloody Tiger akan muncul di situ. Lalu perlahan-lahan, Ryu menjarakkan badan. Anak mata digerak kepada muka yang setakat lehernya itu. Masih mendongak kepadanya. Separa terlindung oleh jari-jemari besarnya.
Dunia tiba-tiba terasa hening. Masa umpama berhenti berputar. Yang ada cuma Ryu dan sepasang mata di hadapannya.
Mata yang sudah mati.
********* BERSAMBUNG **********
So, darlings...welcome to the underworld!!! Selamat datang ke dunia Dragon. What say you? Apa pendapat tentang Ryu? Gila hati kering and....he's a badass!!! 
Do like and comment. Thank you! =)

Share this:

ABOUT THE AUTHOR

Hello We are OddThemes, Our name came from the fact that we are UNIQUE. We specialize in designing premium looking fully customizable highly responsive blogger templates. We at OddThemes do carry a philosophy that: Nothing Is Impossible

0 comments:

Post a Comment