I'M NOT A MONSTER - BAB 9


BAB 9
“BAWA mana dia nak pergi. Ini tambangnya.”
Maya memandang Kosuke dari tempat duduk penumpang. Sedang menjatuhkan arahan buat si pemandu.
“Ada orang buat hal kat kelab. Aku kena pergi,” terangnya setelah memusing pandang kepada Maya. Ada riak risau dalam matanya.
Maya mengulum senyum. Palsu tetapi rasanya cukup untuk menegaskan bahawa dia takkan apa-apa. Dia cuma seorang perempuan yang tidak pernah keluar rumah selama setahun. Bukan apa-apa pun.
Bohong!
Dia baru sahaja membohongi diri sendiri. Segenap tubuh bawah jaket tebalnya menggeletar. Bibir terasa sangat kering. Jantung jangan cakaplah. Hampir terpelanting keluar.
Tetapi untuk dia berpatah balik dan menyembunyi diri dalam bilik kecil…tidak! Dia tidak akan buat itu. Tidak termasuk dalam pilihan yang ada sekarang. Otak dan hatinya bersatu dengan satu keputusan.
Dia perlu pergi kepada Ryu. Tidak. Bukan perlu. Tetapi, wajib. Dia wajib pergi kepada Ryu. Dia wajib cari Ryu. Dia wajib dapatkan Ryu. Dan kalau perlu, dia wajib selamatkan Ryu!
Dia sudah tidak peduli tentang kemungkinan yang kononnya takkan diterima sampai mati. Yang dia tahu saat ini cuma satu. Dia takkan kehilangan sesiapa lagi. Hatta, seorang lelaki yang sekadar warden dalam penjara hidupnya.
“Jaga dia elok-elok. Kalau apa-apa jadi pada dia, tahulah aku cari kau sampai dapat dan kerjakan kau.”
Senget bibir Maya dengan amaran yang diberi Kosuke kepada sang pemandu teksi. Walau tanpa melihat wajahnya, Maya dapat membayangkan rupa lelaki separa umur itu yang pucat lesi. Mendapat amaran daripada ahli kongsi gelap, siapa yang tidak ketakutan?
“Sekarang pergi.” Sebaik memperoleh arahan, pemandu teksi menekan minyak. Membawa Maya di tempat duduk belakang. Maya memusing kepala melihat Kosuke yang masih berdiri tepi jalan. Sedang menghantar pemergiannya melalui pandangan mata. Lelaki itu tiba-tiba mendapat panggilan telefon. Laju dia berlari ke tempat yang perlu dituju.
Maya tertinggal sendiri. Dalam teksi orang asing. Keluar ke dunia yang sudah setahun ditinggalkan.
Perlahan-lahan, Maya menoleh semula ke hadapan. Belakang tubuh disandar ke tempat duduk. Liur kelat ditelan berkali-kali. Jari-jemari ditaut kuat. Nafas dilepas dan ditelan. Cuba menyedut semangat dari angin dua pagi Macau. Hati pula…
‘Apa pun jadi, walau di mana pun kau berada, tolong tunggu aku, Ryu. Tolong jangan buat benda gila. Tolong….’
*****
GILA.
Itulah perkataan pertama yang terlintas dalam otak Maya saat melihat kelibat Ryu mendekati tebing Taipa Bridge.
Dua kali gila bila Ryu mula memanjat bahagian bawah pagar jambatan. Langsung tidak mempedulikan hon yang panjang ditekan oleh encik pemandu teksi. Maya menepuk-nepuk bahunya dan memberi isyarat agar dia berhenti tepi jalan. Belum pun cukup pegun, Maya membuka pintu kereta. Sekelip mata sahaja dia sudah bolos ke luar. Berdiri tepi jalan cuba melintas. Baru dia ingin melangkah, datang kereta. Kaki terundur ke belakang. Dua saat kemudian, dia ke hadapan semula. Datang lori pula. Jantung semakin berkecamuk. Dia berselang-seli memerhati Ryu dan kenderaan yang tidak putus-putus.
Sekarang pukul dua pagi, mana datang semua kereta ini?! Maya menempik kuat-kuat dalam hati. Dia melihat kepada jalan sekali lagi, dan kemudian berpaling kepada Ryu. Saat itu, jantung Maya dipanah halilintar. Mata terbeliak luas.
Ryu…Ryu sedang berdiri di tebing jambatan. Mendepa kedua-dua belah tangan.
Tidak memikir lagi, Maya terus maju ke hadapan. Tidak dia pedulikan beberapa buah kereta yang berhenti secara mengejut. Tidak juga dia pedulikan kepala-kepala pemandunya yang keluar dari celah tingkap dan pasti-pasti mencarut padanya. Hanya satu yang dia peduli.
Ryu.
Kaki Maya semakin lama semakin laju. Seperti tidak memijak tanah. Dia lompat melepasi penghadang di tengah-tengah, dan berlari lagi ke hadapan. Ada kereta atau pun tidak di jalan, dia tidak tahu. Semuanya samar-samar sahaja kelihatan di birai mata. Dunia sekeliling seperti berhenti berfungsi. Pegun semata-mata. Hanya dia yang bergerak. Mendekati Ryu. Dekat dan semakin dekat dan akhirnya…
Tangan Maya ternaik sendiri. Terus mencengkam hujung jaket Ryu. Kemas. Sangat kemas.
Sedikit-sedikit, Ryu memusing kepala. Maya menanti dengan mata yang mula bertakung. Nafas tercungap-cungap. Dada pedih dihempap angin malam. Pandangan mereka akhirnya bertaut. Lama.
“Macam mana kau boleh ada di sini, Maya?” Bibir Ryu bergerak melontar pertanyaan.
Maya tidak memberi reaksi. Cuma kaku melekapkan mata kepada lelaki berwajah dingin. Samar-samar kelihatan, di sebalik mata yang semakin berbalam.
“Kau lepaskan jaket aku.”
Maya menggeleng. Sekali. Dua kali. Berkali-kali. Cengkaman di jaket Ryu juga diketatkan lagi. Tidak mahu sesekali terlepas. Tidak mahu Ryu terbang ke bawah. Tidak mahu Ryu meninggalkan dia.
Seperti orang itu.
Hidung Ryu kembang kempis. Maya tahu lelaki itu marahkan dia. Tetapi tetap juga dia dengan cengkamannya.
Ryu merengus.
“Kau tahu, kan? Aku tak suka perempuan degil.”
Dengan kata-kata itu, dia merentap jaketnya. Sangat kuat hinggakan Maya hilang keseimbangan dan terjelepuk ke jalan. Ekor mata sempat menangkap lampu kereta yang berkelip tinggi sebelum tubuhnya tiba-tiba rasa ditarik, berpusing dan akhirnya terhentak ke pagar jambatan. Sedar-sedar sahaja, dia sudah pun berada dalam dakapan Ryu. Baru sahaja dia ingin menengadah, Ryu lebih dahulu menolak bahunya.
“Kau dah gila?! Nak mati?!” Dia menengking dengan mata dijegil luas. Maya bahkan dapat melihat urat darah dalam bebola mata itu.
Nak mati.
Kenyataan itu kembali mengingatkan Maya kepada kejadian tadi. Dia mengangkat tangan dan mula membuat isyarat. Pantas sahaja dielak oleh Ryu. Lelaki itu langsung tidak mahu memandang. Dia rapat setapak dan menarik lengan Ryu. Tidak dipeduli. Maya menarik lagi. Juga tidak dipeduli. Tidak mahu berputus asa, dia menarik sekali lagi. Lebih kuat. Cukup untuk membuatkan Ryu melepas dengusan dan berpaling semula kepadanya.
“Apa?” Ryu mengherdik dengan rahang terketap-ketap. Jelas berangnya. Tidak memberi kesan kepada Maya. Dia sekadar mengulang isyarat tadi.
Tolong jangan mati.
Sebelah kening Ryu terjongket. Muka marah bertukar bingung.
“Apa maksud kau?”
Maya menghala jari telunjuk ke tebing jambatan. Ryu menggerak bebola mata ke arah serupa. Sesaat kemudian, dia kembali menatap Maya.
“Kau ingat aku nak bunuh diri?” Dia senyum usai melontar pertanyaan. Sangat sinis pada pandangan mata Maya. Seakan-akan sedang menyindir diri sendiri.
Maya mengangguk kecil.
“Maya...Maya, aku ni...” Ryu mendekat setapak ke hadapan. Tangannya diangkat hampir menyentuh kepala Maya. Terhenti sekerat jalan, dan lekas disembunyi ke belakang badan. Tidak sepantas mata Maya yang lebih laju menangkap tindakan itu.
“Orang yang takkan bunuh diri. Aku tak layak pun untuk bunuh diri.”
Entah apa yang dikata lelaki itu, Maya tidak tahu. Dia merapatkan jarak dan menarik tangan Ryu dari belakang. Jantungnya terhentak buat kesekian kali hari itu. Bibir menggeletar melihat jari-jemari Ryu yang berdarah-darah. Ada kesan luka. Tetapi Maya tidak tolol untuk mengerti bahawa darah sebanyak itu bukan datangnya dari luka Ryu.
“Eh, apa kau....”
Maya mengangkat anak mata. Mulut Ryu terkatup terus. Mereka bertatapan beberapa saat, sebelum Maya menundukkan semula pandangan. Tepat melihat darah merah lagi pekat itu. Bibir yang sedia menggeletar, semakin kuat bergetar. Mata yang sedia bertakung, semakin tebal berbalam. Dihambat emosi yang sedari tadi berkeladak dalam dada dan menanti saat untuk terhambur keluar.
Pada masa yang sama, satu imej melintas dalam ingatan. Dia yang berada atas pentas. Menerima tepukan gemuruh. Berpelukan dengan teman-teman. Ketawa gembira bersama orang itu. Makan bersama, tinggal bersama, tidur bersama. Dan tiba-tiba…
Imej tersebut bertukar!
Dia yang dipaksa melarikan diri. Dia yang merayu-rayu minta dilepaskan. Dia yang melutut rela mengikut asalkan nyawa orang itu dilepaskan. Dia yang melihat darah tersembur. Dia yang menyaksikan tubuh itu terkulai tanpa nyawa. Dan dia yang melihat senyuman puas di wajah jahanam itu.
Imej dalam fikiran Maya bertukar sekali lagi. Wajah jahanam tiba-tiba jadi rupa Ryu. Bermata jahat. Mengukir senyum saat merenggut nyawa manusia lain.
Tidak!!! Ryu tidak boleh jadi seperti itu. Tidak!
Maya mula mengelap tangan Ryu guna tangan sendiri. Pergi. Pergi. Semua darah ini perlu pergi daripada Ryu. Dia tak boleh berdarah-darah macam ni. Tak boleh!
Maya mengelap lagi dan lagi. Tetapi darah di tangan Ryu seperti tidak mahu hilang. Tetap juga merah. Tetap juga hanyir. Tetap juga busuk. Maya menguatkan lagi geselan. Semakin ligat. Semakin terdesak.
Kenapa? Kenapa tak boleh hilang? Kenapa?
“Sudah, Maya!” Ryu menangkap pergelangan tangan Maya. Sepantas itu juga, Maya merentap tangannya kembali.
“Kenapa? Kenapa kau berdarah-darah macam ni? Tak cukup kau buat jantung aku macam nak tercabut tadi, kau berdarah macam ni pula? Apa yang kau dah buat, Ryu? Apa yang kau dah buat?!”
Maya menempelak berulang kali, berselang-seli dengan air mata yang bercucuran turun. Sungguh, dia mahu melepaskan semuanya keluar. Dia mahu melaung kuat-kuat. Dia mahu menjerit minta jawapan. Malangnya, apa yang didengar Ryu cuma…
“Erghh!!Erghh!! Erghh!!!!”
Maya dengan bahasa bisunya. Maya dengan bahasa palsunya.
Apa-apa pun bahasa yang diguna, tidak secalit pun memberi kesan kepada lelaki di hadapan. Ryu tetap dengan muka kosong, sekadar memerhati dia yang menempik macam orang gila. Dan akhirnya…
“Sudah, Maya. Jom balik rumah.”
Hanya itu yang dia tuturkan, bersama sepasang mata yang tampak lebih dingin daripada sebelumnya. Malahan lebih dingin daripada segala waktu mereka bersama dalam setahun ini.
Malam ini, Ryu benar-benar jadi lelaki tanpa jiwa.
*****
KEPALA menunduk. Mata dipejam. Bibir diketap. Jari-jemari pula mencengkam birai sinki. Kuat hinggakan dia rasa kukunya bila-bila masa akan patah. Segala kejadian tadi berderu-deru masuk dalam otak, dan menujah ke relung hati yang paling dalam.
Entah! Dia tidak tahu kenapa reaksinya sebegini sekali. Tetapi yang pasti, saat ini, hatinya, jiwanya, raganya, segala-galanya tentang dia hancur sekali. Remuk redam. Tidak ubah seperti malam jahanam itu.
Fikir Maya, setelah malam itu dia takkan rasa seperti ini lagi. Dia sudah mati untuk merasai perasaan begini. Ternyata dia silap. Benar-benar silap! Lihat saja apa yang dia buat di Taipa Bridge. Dia dengan bodohnya meredah segala kereta dan kenderaan. Dia dengan tololnya cuba membersih tangan Ryu daripada segala darah. Dia dengan gilanya menempik macam orang kurang akal.
Apa yang dia fikirkan tadi? Dia tidak peduli tentang kemungkinan yang kononnya takkan diterima sampai mati?
Tidak! Dia tidak boleh buat macam tu. Dia tidak boleh menerima kemungkinan itu. Dia tidak boleh terfikir pun!
Tetapi…
Hatinya sakit. Terlampau sakit. Kenapa dia perlu sakit memikirkan Ryu? Kenapa dia perlu rasa begini kecewa dengan apa yang sudah Ryu buat? Apa yang sebenarnya dia harapkan daripada Ryu? Hanya kerana Ryu tidak pernah menyentuhnya, menyediakan bilik untuknya, menyediakan keperluan rumah, dia fikir Ryu berbeza daripada ahli kongsi gelap yang lain?
Dia terlupa. Hakikatnya, Ryu tetap seorang Red Dragon. Mana mungkin seorang Red Dragon tidak bunuh orang. Ryu tetap sama dengan yang lain. Tetap serupa jantan keparat itu.
Tidak!!!
Suatu sudut hati Maya melaung sekuat-kuatnya. Ryu yang dikenali bukan seperti ahli-ahli kongsi gelap yang lain. Dalam kuatnya Ryu, dalam tangkasnya dia berlawan, dalam hebatnya dia menggunakan segala jenis senjata, Ryu bukanlah pembunuh. Tidak pernah sekalipun Ryu membunuh dengan tangannya sendiri. Selalunya Ryu cuma akan membelasah. Tugas membunuh adalah kerja konco-konco yang lain. Tetapi bukan Ryu!
Sekurang-kurangnya itu yang diberitahu oleh Kosuke. Dan Maya percaya. Setahun bersama menjadi bukti. Ryu tidak pernah mengapa-apakan dia. Tidak memukul. Mahu pun menyentuh. Bagi seorang ahli kongsi gelap yang biasa menjual beli tubuh wanita, bukankah itu sesuatu yang besar? Ada perempuan depan mata, tetapi dihormati tidak disentuh sesuka hati. Bukankah itu menunjukkan Ryu sebagai seorang lelaki yang boleh dikira baik?
“Sejahat-jahat aku, aku takkan meniduri perempuan yang tidak rela.”
Itu jawapan yang diberi oleh Ryu saat Maya terang-terangan menyoal tentang itu. Asalnya Maya skeptikal. Tetapi Ryu membuktikan kata-kata itu dengan tidak pernah menyentuh dia dalam setahun ini.
“Kalau aku cabut nyawa orang lain, itu bermakna...aku juga sudah cabut jiwa aku.”
Itu pula balasan yang diterima sewaktu Maya bertanya tentang cerita Kosuke. Untuk seorang lelaki yang pernah mengatakan bahawa dunianya ialah dunia orang yang sudah jual jiwa, Ryu sebenarnya lelaki yang masih punya jiwa. Mungkin tidak banyak, tapi tetap ada.
Justeru, apa yang sudah jadi malam ini? Apa?!!
Semakin Maya memikir, semakin lelah jantungnya. Setiap inci tubuhnya rasa sangat lemah. Seperti sudah disedut roh dan semangat hinggakan tiada apa yang tinggal. Lompong semata-mata.
Perlahan-lahan, tubuh Maya melurut ke bawah. Terjelepuk atas lantai dengan tangan yang masih memegang birai sinki. Dahi berlabuh pada tiangnya.
“Maya…”
Bahunya rasa disentuh dari belakang. Bibir Maya terherot sebelah. Sinis bercampur pahit. Ini satu lagi yang melelahkan dia. Ryu selalu begini. Akan menyapanya dengan sentuhan kerana lelaki tersebut fikir dia tidak boleh mendengar, sepertimana dia tidak boleh bercakap. Dia hanya mampu membaca gerak bibir. Langsung Ryu tidak menduga bahawa selama ini dia...
Hanya berpura-pura. 
********* BERSAMBUNG ********   
Jeng...jeng...jeng...siapa pula Maya? 
Do like and comment! =)


Share this:

ABOUT THE AUTHOR

Hello We are OddThemes, Our name came from the fact that we are UNIQUE. We specialize in designing premium looking fully customizable highly responsive blogger templates. We at OddThemes do carry a philosophy that: Nothing Is Impossible

0 comments:

Post a Comment