I'M NOT A MONSTER - BAB 4


BAB 4

CHO KUN.
Pengerusi bagi keseluruhan kumpulan. Mengepalai jaringan kongsi gelap Soaring Dragon. Bermakna, ketua kepada semua geng. Ketua Red Dragon, ketua Golden Dragon, ketua Black Dragon, dan juga ketua kepada Blue Dragon.
Ketua kepada segala ketua.
Dan sekarang, ketua ini sedang berada depannya. Berada di meja bulat yang sama dengan Luo Ming. Sedang menghirup teh yang sama. Tidak bercakap apa-apa. Tidak bersuara apa-apa. Tetapi, sudah cukup untuk membuat bulu tengkuk Ryu sedikit tegak. Kalau dahulu, Ryu fikir Uncle Foong sebagai cho kun yang sangat berwibawa, dengan wajah dan suara tenangnya. Namun kali ini, bukan itu yang dia rasa daripada cho kun yang baru dilantik ini. Bukan kewibawaan. Bukan juga ketenangan. Sebaliknya, bahaya.
Ya, cho kun yang ini memberikan rasa bahaya. Seolah-olah dia ialah lelaki yang tidak boleh disentuh. Tidak patut dijadikan musuh. Dan dia ialah tidak lain dan tidak bukan…
Zachary Ho.
Cho kun yang tidak pernah Ryu temui sejak lelaki itu menaiki hierarki, setahun yang lalu. Cho kun yang terkenal dengan kekejamannya. Bahkan dengan kekejaman itu, dia memenangi pilihan raya untuk melantik pengerusi baru. Daripada cerita yang didengar, Zachary Ho membunuh seorang lagi calon yang dikatakan bakal menang. Tetapi bukan itu sahaja yang menarik tentang Zachary Ho. Lelaki itu juga terkenal dengan kebijaksanaannya. Dia mampu mengepalai Soaring Dragon dalam rahsia.
Berdiri di sebalik perniagaan junket terbesar di Macau. Semestinya mengikut undang-undang, kerana undang-undang baru yang ketat membuatkan kasino tidak boleh ada kaitan dengan kongsi gelap. Huh, undang-undang konon! Padahal setiap kasino di bumi Macau ini bergantung kepada syarikat junket untuk membawa masuk pelanggan VIP. Itu kan sumber keuntungan mereka? Mahu harapkan orang-orang dari Tanah Besar China itu? Tidak mungkin! Mereka sekadar ikan bilis yang tidak memberi impak. Jerung kaya yang jadi dambaan mana-mana kasino di sini.
Setiap syarikat junket pula ada kaitan dengan kongsi gelap. Atau lebih menarik, dimiliki oleh kumpulan kongsi gelap sendiri. Contoh terbaik, Zachary Ho. Ketua teragung bagi Soaring Dragon.
“Jadi…”
Suara Zachary Ho bergema di celah-celah keheningan. Cawan teh diletak atas meja.
“Aku dah dengar apa yang jadi semalam.”
Luo Ming kekal dengan muka tenang. Tetapi Ryu boleh nampak halkumnya yang bergerak. Menelan liur.
“Aku minta maaf. Aku sepatutnya boleh uruskan…”
“Bukan salah kau,” cantas Zachary Ho. Tutur katanya lembut sekali. Namun ada yang aneh dalam kelembutan itu. Ryu dapat merasainya.
“Hah?” Luo Ming menyoal pendek. Berwajah curiga.
“Shao-pai. Bawa dia balik ke sini.”
Suasana kembali senyap. Lewat ekor mata, Ryu mengerling kepada ketuanya. Masih tenang tidak tergugat. Sukar untuk dibaca apa yang bermain di fikiran.
Seketika berlalu…
“Tidak.” Luo Ming bersuara tegas.
Zachary Ho diam tidak mengata apa-apa. Dia kembali mengambil cawan teh dan meneguknya. Usai melarikan bibir dari cawan, dia membuka mulut semula.
“Kau berani lawan cakap aku?” Sangat mendatar suaranya.
Keheningan dalam rumah, dan-dan bertukar jadi ketegangan. Ryu perasan orang-orang di sekeliling Zachary Ho, mula menegakkan diri. Seperti bersedia untuk menerima arahan. Atau mungkin juga, menjatuhkan hukuman buat Luo Ming, lelaki yang berani-berani sahaja melawan cho kun.
Luo Ming menghela nafas dan memandang tepat ke muka Zachary Ho.
“Dia anak buah aku. Tanggungjawab aku untuk melindungi dia.”
“Dan tanggungjawab kau untuk dengar cakap aku.”
“Ya, aku tahu. Tapi kalau kita ikut cakap Bloody Tiger dan serahkan Shao pai, apa pula kumpulan lain akan fikir pasal Red Dragon? Pasal Soaring Dragon? Kumpulan yang senang dipijak-pijak? Mesti dai lo tak mahu itu jadi, kan?” Panjang lebar pula, Luo Ming berbicara kali ini.
Zachary Ho senyum. Entah senyuman mengejek atau puas hati, Ryu tidak mampu menebak.
“Kau memang pandai menjawab, Luo Ming.” Dia memberi rumusan pendek.
“Dai lo kenal aku.” Luo Ming membalas yakin.
Senyuman di bibir Zachary yang masih tersisa, jadi semakin lebar. Matanya juga bersinar.
Puas hati.
Itu yang Ryu nampak dalam sinaran itu.
‘Dia mahu menguji.’ Ryu membuat kesimpulan sendiri.
“Aku dah cakap dengan Wong Liu. Liu ko akan uruskan Rex. Buat masa sekarang, dia serahkan dua kawasan dia untuk kau. Sebagai tanda maaf atas apa yang sudah dibuat anak buah dia.”
Agak terpanar Ryu mendengarkan bait bicara itu. Bloody Tiger sanggup menyerah kawasan? Itu memang di luar jangkaan!
“Rex….dia…” Ternyata Luo Ming juga sepertinya. Jelas tidak percaya dengan apa yang didengar.
Perlahan-lahan, Zachary Ho menyandar belakang ke kerusi. Kepala dipanggung tegak.
“Ini Zachary Ho. Aku sentiasa dapat apa yang aku nak.”
Dia menghenti kata di sekerat jalan. Renungan dipanah lebih tajam, dan lebih jauh ke hadapan. Bagaikan membawa diri ke suatu tempat lain.
“Tak ada siapa boleh lepas.”
Yang pasti, tempat itu bukan menyenangkan. Kerana hidungnya berdengus-dengus. Rahang terketap-ketap. Suara terlebih dingin.
Di luar sedar, liur Ryu tertelan sendiri. Kelat.
*****
BELAKANG tegap itu dipandang tanpa kelip. Semakin lama semakin kecil. Namun Ryu, Luo Ming dan beberapa ahli Red Dragon tetap tegak berdiri memberi hormat. Ditunggu hingga kelibat itu hilang dari sebalik muka pintu.
“Dai lo!”
Seruan Kosuke menyentak Ryu. Pantas dia mengalih perhatian ke kiri. Kepala Luo Ming menunduk ke bawah. Bahunya longlai, dipegang kemas oleh Kosuke. Kedua-dua belah tangan menggenggam birai meja. Jelas urat hijau yang timbul. Desah nafas berbunyi berat.
Tidak menunggu lagi, Ryu mendapatkan ketuanya. Kosuke pantas memberi laluan dan bertukar tangan. Bahu Luo Ming kini dalam pegangan Ryu.
Luo Ming menengadah sedikit.
“Kau memang tak boleh biarkan aku sendiri.” Dia mengulang ayat semalam.
Ryu senyum kecil dan mendudukkan ketuanya atas kerusi. Ruang kosong di sebelah, langsung diisi.
“Aku gembira kau tak apa-apa. Aku takkan boleh maafkan diri kalau ada seorang lagi adik mati kerana aku.”
“Dai lo.”
Hanya itu yang mampu terucap dari bibir Ryu.
“Tak perlu terharu sangat. Aku cuma cakap benda betul.”
Ryu tergelak halus. Dalam keadaan seperti ini pun, Luo Ming sempat bercanda.
“Ryu.”
“Hmmm…”
“Dah enam tahun.”
Muka Ryu berubah. Jadi keras. Sudah acap kali Luo Ming mengatakan ini, dan sudah acap kali juga dia memberi jawapan. Apa yang susah sangat mahu faham?
“Pergi selagi boleh, Ryu. Makin lama kau ada di sini, makin sukar untuk kau pergi nanti.”
Ryu merenung Luo Ming sedalam mungkin. Pada wajahnya yang bengkak sana-sini, pada matanya yang sebelah hampir terkatup, pada hidungnya yang patah.
Pada dia yang hampir mati semalam.
Kalau Ryu tidak muncul, rasanya pagi ini Red Dragon sedang menghadap majlis pengebumian ketua mereka.
“Kenapa?” Antara dengar tak dengar, Ryu menyoal. Agak tertahan-tahan. Dapat dia rasai emosi yang mula memberat dalam jiwa. Sungguh, berapa kali lagi Luo Ming harus menghalau dia? Dan berapa kali lagi dia harus berdegil?
Tidak nampakkah lelaki itu betapa Ishikawa Ryu akan terus jadi orang kanannya? Akan terus melindunginya?
“Kau dah jumpa cho kun tadi, kan? Dia berbeza daripada Uncle Foong.”
“Habis tu?”
“Zachary Ho akan bina kasino dia sendiri, tidak lama lagi. Mungkin dalam setahun dua lagi. Dia tengah cari orang-orang yang boleh bantu dia untuk merealisasikan impian dia.”
Ryu diam mendengar. Itulah juga yang dia dengar sejak kebelakangan ini. Sememangnya, dia tidak terkejut. Syarikat junket memiliki jaringan hubungan yang sangat luas untuk mendapatkan pelanggan VIP. Jadi untuk apa menyerahkan pelanggan-pelanggan ini kepada kasino lain, kalau boleh bawa mereka masuk untuk kasino sendiri? Bukankah itu jauh lebih menguntungkan?
Mereliasasikan impian dia.
Ayat di hujung bicara Luo Ming terngiang pula di telinga. Lembut ayat yang diguna ketuanya itu. Tetapi, Ryu tidak bodoh untuk memahami erti sebenarnya. Zachary Ho mahukan orang untuk membuat kerja-kerja kotornya.
Mengugut orang. Mengancam orang. Memukul orang. Dan mungkin juga, membunuh orang.
Semua itu penting bagi memastikan tidak ada apa-apa pun yang boleh menghalang impian terindah dia.
“Apa kaitannya dengan aku?”
Terlepas gelak halus dari bibir Luo Ming. Seakan-akan baru mendengar lawak paling lucu. Ryu mengerunyutkan dahi.
“Kau tak nampak macam mana caranya dia pandang kau tadi?”
Sekilas, wajah Zachary Ho melintas dalam fikiran Ryu, beserta renungan matanya. Bukan Ryu tidak perasan lelaki itu yang sesekali mengerling kepadanya saat berbicara dengan Luo Ming. Fikir Ryu, itu sekadar pandangan seorang cho kun untuk orang suruhan. Tidak lebih dan tidak kurang. Lagipun, apa yang ada pada dirinya hingga membuatkan seorang cho kun berminat dengan seorang 49 chai sepertinya?
Tidak ada.
Dia cuma orang kanan Luo Ming. Anjing setianya. Bayang-bayang yang mengikut. Dia bukan siapa-siapa.
“Kau mungkin fikir kau bukan siapa-siapa,” tutur Luo Ming lagi. Bagaikan mengerti apa yang bermain dalam fikiran Ryu.
“Tapi hakikatnya, bukan itu yang orang pandang pada Ishikawa Ryu. Kongsi gelap jenis apa yang tidak pernah bunuh orang, tetapi cukup untuk buat orang takutkan dia? Kongsi gelap jenis apa yang boleh dapat apa sahaja yang dia nak, tanpa perlu cabut nyawa orang?”
Sejenak, Luo Ming menghenti kata dan menarik nafas. Dahi agak berkerut, jelas menahan kesakitan.
“Itu kau, Ryu. Cuba bayangkan kalau suatu hari nanti, kau mula…”
“Itu takkan terjadi.”
“Itu kata kau!” Suara Luo Ming naik satu oktaf.
“Mereka semua tunggu kau hilang kawalan. Masa tu, kau akan jadi pemusnah. Mereka akan gunakan kau untuk bunuh sesiapa saja yang ganggu mereka. Dan kau takkan boleh menolak.”
Ryu mendiam. Ingin membangkang, tetapi tiada apa yang keluar. Di suatu sudut hatinya, dia tahu segala apa yang dikatakan oleh Luo Ming adalah benar belaka.
Dia ialah anjing yang tidak boleh melawan tuan.
“Dah enam tahun, Ryu.” Suara Luo Ming kembali mengendur.  
“Takkan kau tak faham lagi macam mana dunia kita? Selama ini, kau berada bawah aku. Kita cuma geng kampung yang tak perlu buat apa-apa yang besar. Kita cuma jaga diri kita dan kawasan kita. Itu saja. Tapi sekarang…”
“Semuanya dah berubah. Sejak tiga tahun lalu,” sambung Ryu.
Ingatan menerawang pada saat-saat mereka berada di Tai O Village. Sekadar kumpulan yang melindungi perkampungan nelayan itu. Apa yang mereka buat cuma mengutip wang perlindungan, menyediakan tempat untuk menyimpan stok senjata yang masuk dari Tanah Besar China dan kadangkala menerima bekalan dadah sebelum diserah kepada kumpulan lain dan diedarkan di seluruh Hong Kong. Reputasi yang sudah dibina oleh Luo Ming sebelum ini pula membuatkan geng lain tidak berani menyentuh mereka. Jadi tidak perlu ada pertempuran dengan kumpulan lain. Tidak perlu ada pertumpahan darah. Tidak perlu untuk dia membunuh.
Tetapi segala-galanya berubah sejak mereka dipanggil ke sini. Masih Ryu ingat pertama kali dia dihantar untuk membunuh seorang ahli perniagaan yang memberi maklumat kepada pihak polis. Dia tidak pernah mengenal erti takut hinggalah ke hari itu.
Segenap tubuhnya menggeletar. Jari-jemarinya seakan kaku tidak boleh bergerak. Tidak mampu menekan picu. Tidak mampu menarik nyawa orang.
Sudahnya, dia sekadar menggunakan Bak Mei untuk membelasah lelaki itu dan mencacatkannya. Ya, kali terakhir dia dengar tentangnya…
Lelaki itu jadi cacat untuk seumur hidup!
Dan dia membina reputasi sebagai Ryu, pengamal Bak Mei yang boleh mematahkan tulang lawan dengan hanya satu pergerakan. Bukankah memang itu yang dikenali pada Bak Mei? Seni mempertahankan diri yang dicipta untuk memusnah.
Kerana itulah juga, tiada siapa berani menyentuhnya. Walhal mengikut logik kongsi gelap, dia sepatutnya sudah lama mati kerana tidak mampu melaksanakan tugas. Atau mungkin juga, Luo Ming yang bertindak melindunginya selama ini.
“Aku tahu siapa kau, Ryu.” Suara garau ketuanya kembali menggamit perhatian. Segala memori lama serta-merta lenyap.
“Dan macam mana kau sebenarnya. Sebab itulah bila aku perlukan orang untuk hapuskan sesiapa, aku tak hantar kau. Tapi aku tak boleh melindungi kau untuk selama-lamanya. Kalau Zachary Ho jatuhkan arahan untuk kau, aku tak boleh halang. Kau kena buat apa yang dia nak kau buat. Jadi sebab itulah…”
Luo Ming mengambil tangan Ryu ke dalam genggaman. Anak buah yang sudah dianggap umpama adik itu, dipandang tepat-tepat.
“Sebelum itu berlaku, aku nak kau pergi.”
“Sekali jadi ahli kongsi gelap, selama-lamanya jadi ahli kongsi gelap. Sekali jadi Dragon, selama-lamanya jadi Dragon. Hanya darah yang boleh keluarkan kita. Hanya bila nyawa melayang.”
Ryu menetapkan renungan lebih dalam ke muka Luo Ming. Lebih keras melawan renungan ketuanya.
“Itu yang abang pernah beritahu dulu, kan?”
“Kecuali kalau kau dibuang oleh ketua kau sendiri.”
Wajah Ryu berderau.
“Dai lo…” Hanya itu yang terluah dari mulut. Perlahan tidak percaya.
Mata Luo Ming berkelip sekali. Pegangan di tangan Ryu, dilepaskan. Kemudian, dia menegakkan kepala. Tinggi dan serius.
“Aku akan maklumkan kepada semua kumpulan…”
“Kenapa abang tak habis-habis mahu aku pergi?” bentak Ryu. Bibir terketar melawan emosi yang mula menyesakkan. Dia bukanlah manusia yang senang beremosi tetapi bila dengan Luo Ming, dia jadi lemah. Dia jadi Ryu yang dahulu. Yang fikirnya sudah dilempar jauh-jauh!
“Tak ada hung kwan yang akan benarkan anak buah dia tinggalkan dia macam tu aje. Tanpa bayar ganti rugi. Tanpa serahkan nyawa. Jadi kenapa?”
Muka Luo Ming kekal tidak tergugat. Langsung tidak terkesan dengan anak buah yang semakin beremosi. Dia sekadar menarik nafas, tanpa sekali pun melarikan pandangan daripada Ryu.
Tenang tidak berperasaan.
“Kau bukan dari dunia ini.” Tegas, dia bersuara.
Terlepas dengusan sinis dari mulut Ryu. Dia tahu maksud yang tersirat dalam tutur kata Luo Ming. Dan sesungguhnya, maksud itu membuatkan darahnya lebih mendidih.
“Habis tu, aku dari dunia apa?” soalnya, sengaja melontar pertanyaan yang dia sudah tahu jawapannnya.
“Apa bezanya dunia aku dan dunia abang?” Lagi dia bertanya.
“Tak kira dunia apa pun, pada akhirnya, manusia tetap menyembah wang dan kekayaan. Bersujud pada kuasa. Jadi…”
Ryu mendekatkan sedikit kepala ke hadapan. Renungan ditala lebih tepat dan lebih tajam. Luo Ming membalas tanpa ragu.
“Abang silap. Dunia aku dan dunia abang sama. Tak ada beza. Jadi aku takkan pergi.”
“Ryu.”
Keras seruan Luo Ming. Ryu kenal nada suara itu. Nada suara yang biasa diguna saat mahu Ryu melakukan sesuatu. Nada suara yang mampu membuatkan Ryu bangun tanpa kata. Namun saat ini dia tidak berkalih. Malahan, bibirnya tetap menitip bicara.
“Aku akan buat apa sahaja yang abang mahu. Abang tahu itu, kan? Tapi untuk tinggalkan abang?”
Ryu menggeleng kepala di tengah kata.
“Tidak.”
Rahang Luo Ming mula terketap-ketap. Hidung berdengus-dengus.
“Ishikawa Ryu, kau…” Suaranya juga tertahan-tahan, tetapi pantas dipintas oleh Ryu.
“Dan abang kena ingat satu perkara. Kalau pun aku keluar dari Red Dragon, tak bermakna aku takkan pergi ke kumpulan lain. Macam yang abang cakap tadi, ramai yang inginkan aku. Masa tu, aku mungkin akan buat apa yang abang tak mahu aku buat.”
Hujung kata seperti menikam jiwa sendiri. Tetapi, Ryu tetap mengeraskan muka. Tanpa menanti balasan daripada sang ketua, dia bangkit dari duduk. Lewat ekor mata, dia mengerling kepada Luo Ming. Ketuanya sedang memejam mata dan menghela nafas dalam-dalam. Ryu tahu, lelaki itu sedang cuba menyabarkan diri.
Ah, Luo Ming memang berhati lembut. Kalau hung kwan lain, apa yang baru dia buat dikira menempah maut.
Jadi, bagaimana mungkin dia meninggalkan hung kwan yang seorang ini? Mana mungkin dia meninggalkan lelaki yang sudah dianggap seperti abang ini?
Tidak mungkin. Itu jawapannya.
“Dai lo…” panggil Ryu. Kali ini, lebih mengendur intonasi suaranya.
“Dunia aku yang dulu dah lenyap. Dah lama lenyap.”
Bibir terketar lagi. Ingatan terbang melewati suatu masa dahulu.
“Hanya ini dunia aku sekarang.”
Dengan bait bicara itu, Ryu melangkah ke hadapan. Setapak demi setapak, hingga akhirnya lenyap meninggalkan lelaki yang sudah menariknya kembali pada memori lama.
Memori yang ingin dia kambus hingga ke pelosok bumi yang paling dalam.
*****
KAKINYA sekejap ke kiri, sekejap kanan. Sesekali dia meneguk bir di tangan. Habis airnya meleleh-leleh jatuh ke leher. Sesudah itu, dia mendongak ke langit.
Hitam.
Bibir Ryu menyenget sebelah. Apa yang dia harapkan daripada langit malam Macau? Bintang? Mustahil akan ada bintang di kota perjudian ini. Semuanya sudah ditenggelamkan oleh kasino-kasino gah dan bangunan tinggi. Takkan ada bintang lagi. Takkan ada cahaya. Yang ada cuma kegelapan tanpa penghujung.
Sama seperti kehidupannya. Sama seperti dunianya.
“Hehehehehe…”
Ryu ketawa mengingati apa yang dituturkan oleh Luo Ming pagi tadi. Dunia dia? Dia dikatakan punya dunia lain? Ada dunia lain? Lelaki itu memang buta. Tidak nampakkah dia betapa Ishikawa Ryu cuma ada dunia yang satu ini? Dunia yang sedang menanti dia untuk mencabut nyawa manusia lain. Dunia yang sedang menanti dia untuk jadi seekor raksasa. Dunia berdarah yang tak pernah peduli tentang harga sebuah nyawa.
Ya, ini dunia dia. Hanya ini!
Ting…
Ryu melihat ke bawah, pada hujung kakinya yang melanggar tin kosong. Entah bila dia menjatuhkan tin tersebut, dia juga tidak sedar. Dia senyum sesaat sebelum menendangnya jauh. Berdeting bunyinya jatuh atas jalan dan tergolek-golek hingga ke satu dinding. Ryu mendongak lagi, melihat bangunan yang terpacak tidak jauh daripadanya. Berpuluh-puluh tingkat. Lampu-lampu berkelipan di celah-celah kegelapan malam. Bermacam warna. Ada putih. Ada kuning. Ada biru.
“Bintang…” getus bibirnya di luar sedar. Masih menyengih tanpa arah. Masih berjalan tanpa arah. Terhuyung-hayang menuju bangunan dengan bintang berkelipan.
Ryu berjalan dan berjalan dan berjalan, hingga akhirnya dia sampai ke muka pintu. Sebelah tangan meraba-raba poket seluar. Jumpa! Lantas, dia mengeluarkan gugusan kunci dan memasukkannya ke dalam slot. Pintu terbuka hanya dengan satu tolakan.
Sebaik melangkah masuk, perhatian Ryu serta-merta melekat kepada pintu bilik yang terkatup rapat. Dia memandangnya kosong. Sekadar terkelip-kelip tanpa perasaan. Kakinya mula terangkat sendiri. Setapak-setapak, hingga berhenti betul-betul di hadapan. Pintu tersebut ditatap lagi.
Masih kosong. Masih tanpa perasaan.
Kemudian, dia memusing tombol. Berkeriuk bunyinya menyinggah telinga. Pintu terbuka sedikit demi sedikit. Sedikit demi sedikit juga, Ryu dapat melihat objek di tengah-tengah biliknya.
Sepasang kaki yang tergantung.

******* BERSAMBUNG *******

Share this:

ABOUT THE AUTHOR

Hello We are OddThemes, Our name came from the fact that we are UNIQUE. We specialize in designing premium looking fully customizable highly responsive blogger templates. We at OddThemes do carry a philosophy that: Nothing Is Impossible

0 comments:

Post a Comment