I'M NOT A MONSTER - BAB 3


BAB 3

JEDA.
Ryu di hadapan cermin. Gadis di belakangnya. Saling bertentang mata melalui pantulan. Tiada suara. Tiada kata. Tetapi Ryu dapat merasai ketegangan yang memenuhi segenap bilik. Sangat tegang hinggakan bulu tengkuknya seakan-akan menegak. Kerana apa, Ryu tidak tahu. Namun itulah yang sedang berlaku.
Dia yang tidak reti takut, boleh meremang bulu roma hanya kerana mata seorang perempuan.
Tidak mahu terus-terus terpasung dalam mata itu, Ryu mengangkat punggung dan memusing badan. Tercegat berdiri menghadap gadis atas katilnya. Masih mencerlung tanpa suara.
Setapak demi setapak dia berjalan ke hadapan. Semakin dia mendekat, semakin terdongak kepala gadis. Semakin juga dia dapat melihat ke dalam mata itu. Ada mutiara jernih yang bertakung. Menanti saat untuk tumpah. Bukan setakat itu. Bibir gadis juga terketar-ketar. Sebelah tangan mencengkam cadar. Kuat hinggakan Ryu dapat melihat urat darah yang timbul di tangan putihnya.
Gadis sedang menahan perasaan!
“Kau…” Suara Ryu terhenti di sekerat jalan. Kali ini, ditenggelamkan oleh setitik air mata yang menitis di pipi gadis. Secepat itu juga, gadis menyekanya. Mata masih merenung. Seakan-akan mahu mengatakan sesuatu, tetapi sesuatu itu tersekat di celah kerongkong.
Yang pasti, sesuatu itu bukanlah sesuatu yang menyenangkan. Kalau tidak, masakan renungannya sebegitu rupa?
Penuh kebencian.
Hati Ryu tiba-tiba terasa panas. Tidak gemar sungguh dia dengan pandangan itu. Seolah-olah dia ialah manusia paling jahat yang sudah menghancurkan seluruh kehidupan gadis.
Ya, dia akui. Dia memang manusia jahat. Tetapi dia tidak pernah mengapa-apakan perempuan ini.  Dia tidak kenal pun siapa perempuan ini!
Tengkuk Ryu terasa semakin terik. Jantung semakin dipam-pam amarah. Lalu, dia menapak lebih dekat dan menundukkan muka. Perlahan-lahan. Gadis sedikit pun tidak beralih. Seperti sengaja menanti. Akhirnya mereka selamat setentang.
Mata bertemu mata. Hidung hampir menyentuh. Desah nafas bagaikan bersatu dalam hembusan yang sama.
“Kalau kau fikir aku dah apa-apakan kau, kau boleh buang fikiran tu jauh-jauh. Aku tak ada keinginan untuk perempuan yang tidak sedarkan diri.” Ryu menggumam keras. Hanya itu yang terfikir dalam mindanya sekarang.
Dia lelaki. Tanpa baju. Gadis atas katilnya. Bukankah itu perkara normal yang mungkin terlintas dalam fikiran seorang perempuan?
Mungkin tidak perempuan ini. Kerana gadis kekal dengan muka tanpa riak. Masih bersabung mata dengannya. Masih tidak tergugat.
Dan-dan, Ryu rasa tercabar. Dia yang selama ini digeruni, kini dipandang sebelah mata oleh seorang perempuan?
Ini tidak boleh jadi!
Terus, Ryu menarik leher gadis. Desah nafasnya terhembus kuat. Mata bulat memandang bibir Ryu yang cuma tinggal beberapa inci jauh daripada bibirnya.
Ryu menyengetkan mulut. Mata sengaja dilirik kepada gadis.
“Mungkin memang itu yang patut aku buat,” bisiknya senada. Wajah didekatkan lagi…dan lagi…dan lagi…dan…
Terhenti. Saat dua bibir hampir menyentuh.
Ryu mengangkat pandangan. Dari bibir gadis ke matanya. Mata yang kini terkatup. Mata yang kini menitiskan tangisan. Bukan setitik dua. Bahkan, bercucuran lebat. Sangat lebat!
Sedikit demi sedikit, Ryu menjauhkan kepala. Tatapan mata tidak dilarikan. Tangan di leher gadis juga tidak dijatuhkan ke bawah. Sebaliknya, tangan itu mula bergerak. Dari leher gadis, naik ke pipinya.
Dalam diam, Ryu mengelus pipi itu. Menyeka air mata yang tidak henti-henti merembes. Mungkin gadis tidak sedar apa yang sedang dia buat, kerana gadis membiarkan sahaja. Malahan, gadis lebih galak melepas tangis. Teresak-esak dengan bahu yang terenjut-enjut.
Hati kontang Ryu tiba-tiba rasa lain macam. Seperti sedang disiram air.
Beberapa ketika berkeadaan begitu, gadis membuka mata. Terbeliak sesaat, sebelum menepis tangan Ryu dengan kuat. Riak muka kembali keras. Mata lencunnya memanah garang.
Bibir Ryu bergerak sinis. Sudah tidak terkejut dengan perilaku itu. Dia menegakkan tubuh dan membawa diri ke almari. Pintu gelangsarnya ditolak ke kanan. 
“Macam yang aku cakap tadi, aku tak berminat dengan kau. Jadi…” Ryu menoleh kepada gadis. Masih menatapnya curiga.
“Buang fikiran kotor kau tu jauh-jauh.” Ryu menyudah kata dengan menarik keluar sehelai t-shirt. Disarung kepada tubuh. Namun, ekor matanya sempat menangkap renungan gadis kepada kepala naga atas dada kirinya. Ryu biarkan sahaja. Dia yakin gadis tidak bodoh untuk tahu siapa dia.
Kalau sudah bertemu dalam keadaan seperti tadi, takkanlah gadis bengap benar untuk mengerti segala-galanya?
Bukan seperti dia yang masih bengap untuk mengerti siapa gadis dan apa yang sudah berlaku kepadanya.
Pelbagai persoalan yang berlegar dalam fikiran sebelum ini, kembali melintas. Namun cepat-cepat dihambat pergi.
Dia…Ishikawa Ryu. Dia tidak peduli tentang orang lain. Dia tidak mahu ambil tahu!
Lantas, Ryu memusing badan dan menapak ke muka pintu. Sampai di situ, dia sekali lagi membuka mulut.
“Aku bawa kau ke sini, cuma sebab aku tak nak kau mati kesejukan. Kalau kau nak pergi, dipersilakan. Aku tak tahan kau di sini. Aku tak kurung kau di sini.”
Seketika, Ryu berhenti. Apa yang ingin diluah tiba-tiba terasa sukar untuk dilontar keluar. Tetapi, dia tahan-tahan rasa itu. Kepala ditegakkan angkuh. Mata merenung ke depan. Tajam lagi kosong.
“Aku lebih suka kalau kau berambus dari mata aku.”
Entah kenapa, tutur kata itu terasa pedih mencalar jiwa sendiri.
*****
BUNYI yang berdering itu sayup-sayup kedengaran di telinga. Sekejap kuat. Sekejap bersahut-sahutan. Sekejap berhenti. Kemudian berbunyi semula. Ryu menarik bantal dari bawah kepala dan menekup muka. Berharap agar bunyi itu pergi jauh.
Semestinya, tidak.
Hendak tak hendak, Ryu mengalih bantal dari muka dan membawa tangan ke meja. Menggagau-gagau mencari punca bunyi. Jumpa! Tanpa membuka mata, dia meletaknya ke telinga.
“Abang!”
Spontan, Ryu menjauhkan telefon dari telinga. Hampir pekak mendengar jeritan itu.
“Kau ni kenapa? Melalak macam orang gila. Aku tengah tidur, tahu tak?” sembur Ryu sebaik mendekatkan semula telefon bimbitnya.
“Dai lo…”
Dan-dan, mata Ryu terbeliak. Tubuh terbangun terus daripada pembaringan.
“Kenapa dengan dai lo?” soalnya agak kuat. Bermacam-macam kemungkinan menyelinap masuk.
Semuanya buruk.
Tawa halus Kosuke berbunyi di hujung talian. Ryu mengerutkan dahi.
“Dai lo tak apa-apa. Dia cuma nak jumpa abang.”
Nafas lega terlepas keluar.
“Kau ni kan…”
“Apa? Aku belum sempat cakap apa-apa. Abang yang fikir bukan-bukan,” bidas Kosuke. Jelas tahu apa yang ingin dia ucap.
Ryu menyandar belakang ke sofa. Muka diraup sekali. Leher yang masih lenguh digerak kiri dan kanan. Tubuh masih terasa sakit, tetapi dia abaikan.
Bukan dia tidak biasa dengan pagi penuh kesakitan.
“Dia kat mana sekarang?”
“Dah balik rumah.”
“Setengah jam lagi aku sampai,” putus Ryu seraya bangkit dari sofa. Belum sempat Kosuke mengata apa-apa lagi, dia mematikan panggilan. Kaki diayun ke bilik tidur dan…
Berhenti depan muka pintu. Liur ditelan sedikit-sedikit. Jari-jemari dibuka tutup, dibuka tutup. Kurang kepastian.
Aneh sekali pagi ini.
Dia yang selama ini tidak pernah berdebar, boleh pula termangu-mangu depan bilik sendiri. Entah apa yang dia harapkan di sebalik pintu ini, dia juga tidak pasti. Gadis sudah berambus pergi. Atau masih tinggal dengan renungan penuh kebencian?
Ah, kedua-duanya bukan pilihan enak!
Nafas ditarik dan ditelan, beberapa kali. Tangan menggenggam tombol pintu. Lambat-lambat, Ryu memusingnya.
Klik!
Serentak itu, bibir Ryu mengherot sinis. Tidak berkunci. Ini cuma ada satu makna. Gadis tidak dikenali sudah pergi. Dia yakin. Terus, dia membuka pintu lebih luas dan meloloskan diri ke dalam. Hanya untuk berhenti sesaat kemudian.
Dia.
Si gadis.
Masih ada atas katilnya.
Kali ini, bukan berbaring. Tetapi duduk di birai katil dengan muka menghadap tingkap. Membiarkan cahaya pagi menjamah wajah. Di mata Ryu sekarang, gadis kelihatan bersinar. Seakan-akan ada cahaya yang keluar dari diri.
Sayangnya, bukan itu yang sebenarnya sedang berlaku. Ada titik-titik jernih yang mengalir di birai mata gadis. Perlahan-lahan menuruni pipi, hingga menitis di dagu. Sangat senyap.
Hanya ada kesuraman yang keluar dari diri gadis. Tidak cahaya. Tidak juga sinaran.
Gadis seperti tidak sedar akan kehadirannya. Tetap pegun melayan perasaan. Itu pun kalau masih ada perasaan yang bersisa dalam jiwa. Kerana Ryu dapat melihat betapa matinya mata yang sedang melihat ke luar jendela itu.
Apa yang sudah berlaku kepada kau? Persoalan sama berlegar buat kesekian kalinya.
Hening.
Bilik yang dipanah cahaya pagi mentari itu, terasa sangat hening. Ryu tegak memerhati gadis. Gadis tegak memandang ke luar. Seketika berlalu, gadis menggerakkan kepala. Sedikit-sedikit hingga akhirnya berhenti. Tepat menatap Ryu.
Mata bersabung mata. Ryu dengan mata tajamnya. Gadis dengan mata pilunya.
Satu detik…
Dua detik…
Tiga detik…
Mereka kekal bertatapan. Tidak seorang pun mengalihkan renungan. Terpaku dalam mata masing-masing, berada dalam dunia masing-masing, bersama rahsia masing-masing.
“Abang!” Satu suara tiba-tiba muncul. Ryu tersentak. Kepala laju berpusing ke arah pemilik suara.
“Sia…pa…”
Kosuke sedang terpacak depan pintu bilik. Muka serba salah. Mulut tergagap-gagap cuba melontar kata.
Tanpa berlengah, Ryu menghampiri dan menolaknya keluar bilik. Berdentum bunyi daun pintu yang dia katup dari belakang. Kemudian, dia menyilang tangan ke dada. Tegak menghadang pintu. Wajah keras. Mata mengecil tajam.
“Kau memang tak reti ketuk pintu, kan?” Suara berdesis dingin.
“Aku memang ada kunci. Jadi…”
“Jadi kau fikir, tak perlu ketuk dulu? Boleh muncul sesuka hati kau. Macam tu?” Keras Ryu mengherdik. Kecil besar, kecil besar sahaja Kosuke di matanya sekarang.
Mulut Kosuke separa melopong. Kening hampir bertaut.
“Abang kenapa? Bukan tak biasa. Aku memang selalu keluar masuk rumah ni macam tu aje!”
Muka Ryu berderau. Mula tersedar dengan perilaku sendiri. Rambut diraup disusuli keluhan.
Pandangan mata Kosuke sedikit-sedikit bertukar. Jadi lain macam.
“Kau kenapa?” Ryu menyoal dengan kerutan.
Kosuke menyeringai nakal.
“Patutlah.”
“Patut apa?”
“Semalam tak nak aku tengokkan abang. Rupa-rupanya…” Suara Kosuke meleret di hujung kata. Sengih juga semakin lebar.
Terus, Ryu mengetuk kepalanya. Kuat!
“Apa?” bentak Kosuke. Sebelah tangan menggosok kepala. Muka berkerut-kerut tidak puas hati.
Ryu tayang muka kosong dan berjalan melepasinya.
“Otak tu jangan fikir bukan-bukan.”
“Dah ada perempuan dalam tu. Nak fikir apa lagi?”
“Dia bukan perempuan macam tu,” tegas Ryu. Kedengaran terlebih yakin di telinga.
“Habis tu, dia perempuan macam mana?”
Soalan Kosuke dibiarkan bebas tanpa balasan. Dia tidak punya jawapannya. Ryu melangkah ke ruang depan. Masih dituruti Kosuke yang setia jadi anak ayam.
“Kau kenapa datang sini? Aku dah cakap akan sampai sana setengah jam lagi,” soal Ryu seraya melabuhkan punggung di sofa tempatnya tidur sebentar tadi. Suara berbaur jengkel.
“Abang yang letak telefon dulu. Tak sempat aku nak bagitahu yang aku dah ada depan bangunan.”
Jawapan Kosuke mengundang kerutan. Ryu menengadah kepada Kosuke yang masih berdiri. Sesuatu yang tidak selalu dibuat oleh lelaki itu. Biasanya tanpa dipelawa, Kosuke akan mendudukkan diri sendiri di sofa sebelah.
“Kenapa pula kau nak datang sini?” Ryu mula menyoal siasat.
“Jemput abang.”
Lagi dahi Ryu berlapis. Hati semakin dirundung rasa tidak enak. Sejak bila pula dia perlu dijemput ke sana-sini?
“Ini arahan dai lo.”
Penjelasan pendek Kosuke agak menyentak. Rasa tidak enak dalam hati, jadi semakin bertambah. Sementelah, riak muka Kosuke sekali lagi berubah. Tiada kenakalan atau sengih lebar. Yang tertinggal cuma rupa serius.
Kosuke yang serius bukan tanda elok.
“Dai lo nak aku datang sendiri ambil abang sebab nak abang sampai lebih cepat. Sebelum dia sampai.”
“Dia?” Suara Ryu kedengaran lebih bergetar.
Kosuke mengangguk pendek. Anak mata dipanah lebih serius ke muka Ryu.
“Cho kun.”

******** BERSAMBUNG ********
Ryu is SEXY!!! He's tough, dangerous and sexy. That scene yang Ryu tarik leher Maya, dan acah-acah nak kiss Maya screams SEXINESS! Haha, sorry. Cik SA nak fangirling dia kejap. Tapi serius, kalau AK ialah cold and beautiful, Ryu ialah sexy and dangerous. At least, for me. Haha!
Do like and comment. Thank you! =)

Share this:

ABOUT THE AUTHOR

Hello We are OddThemes, Our name came from the fact that we are UNIQUE. We specialize in designing premium looking fully customizable highly responsive blogger templates. We at OddThemes do carry a philosophy that: Nothing Is Impossible

0 comments:

Post a Comment