I'M NOT A MONSTER - BAB 14


WANITA yang berdiri tegak dalam cermin itu, Maya tenung lama. Tubuh tinggi lampainya tersarung dengan persalinan dres dari kain chiffon, warna pic lembut, sampai ke takat bawah lutut. Rambut pendeknya, dirapikan kemas. Wajah berhias dengan sentuhan mekap. Wanita yang selalunya ringkas dengan t-shirt dan seluar lusuh, rambut pendek serabai dan wajah pucat tanpa mekap, entah hilang ke mana. Yang tertinggal cuma, wanita dengan dres cantik.
Semakin Maya tatap wanita itu, semakin bergenang kolam matanya. Dia jadi teringat kepada dirinya yang dahulu. Sebelum dia terperangkap dalam dunia bawah tanah yang berselirat ini.
Sebelum dia jadi Maya.
Jari telunjuk dibawa ke bawah mata, menahan titik-titik jernih yang mahu gugur. Nafas digali dalam-dalam. Sesudah itu, Maya pusing badan. Meninggalkan cermin yang memapar wanita tadi. Langkah diayun tertib hingga melepasi daun pintu, masuk ke ruang tamu dan akhirnya berhenti di tengah-tengah. Tidak jauh daripada susuk tubuh yang sedang duduk menanti di sofa.
Maya tiba-tiba rasa tidak pasti. Setahun tidak berpakaian seperti ini, rasa yakinnya sudah terlempar masuk gaung. Dia gigit bawah bibir. Jari-jemari dikepal kemas. Kaki pula dikuis-kuis atas lantai. Kepalanya langsung tidak diangkat. Dadanya berdebar kuat, menunggu apa-apa yang mungkin terpancul keluar dari mulut lelaki yang tidak jauh daripadanya itu.
“Kau nampak...cantik.”
Hujung telinganya mendengar pujian yang tercetus. Senyuman kecil dan-dan tersimpul di birai bibir. Namun Maya tetap berpura-pura tidak mendengar. Kepalanya setia menekur. Seketika kemudian, bunyi derap tapak kaki mula berkumandang. Sedikit-sedikit hingga akhirnya dia dapat melihat sepasang kasut hitam yang muncul dari bawah pandangan mata. Betul-betul berdiri di hadapan plumshoes yang tersarung di kakinya sendiri. Air liurnya ditelan sekali, sebelum Maya akhirnya memanggung muka. Terserlah di hadapannya wajah macho dan maskulin Ryu yang seperti selalu, serius tanpa senyum. Elok menyarung kemeja putih yang diselit celah pinggang. Jeans biru menyerlahkan kaki panjang. Lengan baju pula dilipat hingga siku, menampakkan urat jantan yang kekar. Ada beberapa parut di situ.
“Jom.”
Ryu melontar sepatah kata. Tubuh dipusing membelakangi. Maya angkat kaki dan membuntuti. Hanya untuk berhenti betul-betul depan pintu yang sudah terbuka. Telapak tangannya tiba-tiba rasa berpeluh. Tubuh bergetar tanpa dapat dihalang. Pelbagai memori berderu-deru masuk dalam otak. Jantungnya mula sesak. Nafas terasa sangat sukar untuk ditarik dan dihembus. Perlahan-lahan, tubuh Maya melurut ke bawah, mencangkung atas lantai. Tangan mencengkam dada. Kuat bersama nafas yang cuba ditarik masuk.
Kau dah kenapa, Maya? Hari tu elok saja kau keluar. Maya soal diri sendiri. Tiada jawapan, kecuali bunyi derap kaki yang muncul semula. Lambat-lambat, Maya dongak kepala. Berbalam-balam matanya melihat susuk tubuh tinggi itu. Sedang elok menghulur tangan kepadanya.
Maya tidak terus menyambut. Dia sekadar melihat. Ryu setia menanti. Tidak mengata apa-apa. Hanya diam dengan tangan yang masih kaku di udara.
Sedikit-sedikit, Maya angkat tangan. Baru sahaja jari-jemarinya ingin menyentuh jari-jemari Ryu, lelaki itu lebih dahulu menangkap tangannya dan menarik Maya ke atas. Sekelip mata sahaja, Maya sudah pun tersadai dalam rangkulan Ryu. Sebelah lagi tangan lelaki itu elok melekap di belakang pinggang Maya. Renungan tajam penuh tersirat.
Maya telan liur.
“Kau lambat.”
Ryu bertutur senada. Tubuh Maya ditolak dari pelukan dan digerak menghadap pintu. Ryu memposisi badan di sebelah. Sesaat kemudian, jari-jemari Maya bertaut dengan jari-jemari kasar Ryu. Saling bersilang. Kemas.
Maya menoleh kepadanya, memohon perngertian. Namun Ryu hanya memandang tegak ke hadapan, dan menariknya pergi.
Petang itu…selepas satu tahun, Maya keluar buat kali kedua. Juga kerana seorang lelaki bernama Ryu.
*****
DARI kejauhan, gadis yang sedang mengambil potongan makanan jalanan untuk dicuba diperhati tanpa kelip. Keterujaan jelas kelihatan di segenap wajah. Sekejap-kejap gadis itu tersenyum, sekejap-kejap tergelak dan kemudian terangguk-angguk. Namun tidak sekalipun, dia bertutur. Sekejapan, muncul rasa tidak enak di dada Ryu. Maya, gadis yang cukup manis. Tetapi sayang, tidak boleh bercakap dan mendengar. Jelas Maya, dia pekak dan bisu sejak dari kecil.
Mungkin keadaan itu yang membuatkan Ryu tidak pernah berkasar dengan Maya. Walhal jika diikutkan hakikat sebenar, wanita itu boleh dikira sebagai orang tahanannya. Dan yang lebih pelik, Ryu sanggup belajar bahasa isyarat demi memudahkan komunikasi mereka.
“Aku tak cukup penyabar, untuk tunggu kau tulis nota tiap kali nak bercakap.”
Itu katanya bila Maya menyoal. Entahlah, dia juga tidak mengerti akan dirinya sendiri. Kenapa dia sanggup bersusah-payah demi Maya? Kenapa dia selalu mahu menggembirakan gadis yang tidak diketahui asal-usulnya itu? Kenapa dia terkesan benar dengan reaksi Maya atas apa yang berlaku?
Dia sepatutnya tidak peduli. Dia sepatutnya persetankan sahaja apa pun yang orang fikir tentang dia. Tetapi tidak! Bukan itu yang berlaku sekarang. Bukan dengan Maya. Kalau tidak, kenapa dia beriya benar mahu Maya keluar dengannya? Kenapa dia mahu Maya gembira untuknya?
Gembira.
Hujung bibir Ryu herot sebelah. Perkataan yang disebut-sebut Luo Ming dan jadi bahan pertuturan antara dia dan Maya. Perkataan yang sudah lama nyah dari seluruh kehidupannya, dan kini dipaksa ke atas Maya. Padahal, dia tahu. Maya takkan pernah gembira atas apa yang sudah dia buat. Maya belum cukup mati jiwanya, untuk berasa gembira atas kematian orang lain. Lebih-lebih lagi, bila orang itu direnggut nyawanya tanpa rela.
Maya bukan seperti Ryu.
Buat kesekian kali sejak kebelakangan ini, jiwa mati Ryu rasa pedih. Dia kembali tala pandangan ke depan. Terus, terbeliak. Jantung terhentak kuat. Kaki terangkat ke depan. Kepala berlingas ke kiri kanan, mencari Maya yang sudah tidak ada di tempat tadi. Baru beberapa tapak berjalan, langkahnya terpasung semula. Kepala tertoleh ke sebelah. Pada lengannya yang dicengkam dari belakang. Maya senyum depan mata. Terkelip-kelip dengan wajah tidak bersalah.
Ryu hembus nafas kuat-kuat, dan terus merengkuh gadis itu ke dalam pelukan. Wajahnya disembam ke leher Maya. Mata terkatup melepas kelegaan.
Maya ada di sini. Masih ada dengan dia. Masih ada...
Tangan Ryu menarik Maya lebih rapat. Menerima tamparan di belakang badan. Berkali-kali. Telinganya juga mendengar bunyi desah nafas Maya yang kuat. Seperti sedang kesesakan.
Mata Ryu terbuka semula. Sedar apa yang sedang dia buat. Cepat-cepat, dia melepaskan Maya. Gadis itu undur diri ke belakang, bersama muka merah padam. Sebelah tangan menggosok lengan.
Ryu angkat kaki setapak ke hadapan.
“Kuat sangat ke…”
Sampai di sekerat kata, dia menukar isinya.
“Siapa suruh kau hilang? Kan aku dah cakap? Jangan jauh daripada aku!”
Maya mendengus. Masih dengan muka cemberut. Kemudian, gadis itu mengangkat tangan ke depan Ryu. Terpegang di situ, satu keping tart telur yang sememangnya terkenal di Macau.
“Kau…beli ini untuk aku?” teka Ryu. Perlahan tidak lagi mengherdik.
Maya mengangguk.
“Hmm…”
Ryu sambut tart telur tersebut. Tidak pula disumbat ke mulut. Maya kerdip mata depannya. Menanti. Ryu melepas nafas dalam diam, dan memasukkannya ke dalam mulut. Ditelan selepas beberapa kali kunyahan.
“Sedap?” Maya menyoal melalui isyarat.
Ryu mengangguk kecil. Matanya tidak lepas daripada wajah Maya. Bagi seorang yang menderita benar untuk keluar tadi, Maya tampak berseri-seri. Tampak hidup. Bahkan, lengan Ryu ditarik dan dipeluk. Ryu lihat ke lengan itu, kemudian kepada Maya. Gadis itu kelihatan biasa. Seperti tidak sedar dengan tindakan sendiri. Jari telunjuknya terangkat ke hadapan, ke arah jalanan yang penuh dengan orang ramai. Kebanyakannya adalah pelancong asing. Jalan-jalan kecil yang berdekatan dengan Largo de Senado ini memang terkenal. Sepanjang jalan sehingga ke arah Ruins of St. Paul’s, sebelah kiri dan kanannya terdiri daripada kedai-kedai makanan yang menjual tart telur portugis dan bak kut teh. Bangunannya pula cantik dan gah, dengan seni bina sejarah yang terjaga rapi sejak ratusan tahun.
Bagi Ryu, dia mengakui keindahan bagi segala tinggalan lama yang menjadi pujaan pelancong asing ini. Namun dia tetap tidak dapat mengelak diri daripada berasa skeptikal terhadap imej yang terpampang dalam akal fikiran mereka. Benar, Macau memang gah. Tengok sahaja pada Grand Lisboa yang mempunyai kubah emas. Tetapi hakikatnya, penduduk Macau tidak kaya. Mereka tinggal di satu sudut Macau yang agak terpinggir. Kebanyakannya di dalam rumah flat yang sangat sempit. Yang selalu orang lihat di dalam kaca televisyen, cuma kehidupan segelintir manusia seperti Zachary Ho. Mewah, cukup mewah.
Langkah kaki Maya diikut setapak demi setapak. Berjalan Maya, berjalanlah dia. Berhenti Maya, berhentilah dia. Untuk hari ini, segala kemahuan gadis itu dituruti. Dia mahu melihat Maya gembira, dia mahu menatap senyuman manis Maya. Kerana hanya senyuman itu yang mampu menenangkan dirinya. Yang mampu membuatkan dia rasa bahawa dia tidaklah dibenci gadis itu. Dia tidaklah sejelik yang difikirkan. Tidak kisahlah kalau segala kegembiraan yang Maya pampang itu sebenarnya hasil paksaan dia. Fatamorgana semata-mata. Dia tidak peduli. Biarlah dia fikir bahawa Maya benar-benar gembira untuknya!
“Kenapa kau tengok aku macam tu?” Dia melihat Maya menyoal tiba-tiba. Barulah dia tersedar bahawa sedari tadi dia tidak habis-habis merenung gadis itu. Ryu kulum senyum tawar dan menggelengkan kepala.
“Kau okey? Kita boleh balik kalau…”
“Tidak.” Ryu memintas isyarat Maya. Keras tanpa kompromi.
“Aku yang nak bawa kau keluar, dan cuma aku yang boleh tentukan bila kita akan balik.”
Maya mencebik. Siap menjeling tajam kepadanya. Mungkin sebal dengan perangainya. Ryu buat-buat tidak perasan. Dia sekadar melihat isyarat Maya yang seterusnya.
“Kalau macam tu, kita nak pergi mana lagi?”
“Kau tentukan.”
Kali ini, Maya mendengus pula. Ryu tetap dengan muka selamba tak bersalah.
“Aku dah selalu keluar. Kau yang tidak,” jelasnya tanpa dipinta.
Maya kaku. Mungkin berfikir atau mungkin juga menimbang tara lokasi mereka seterusnya. Ryu menanti macam kekasih paling setia.
Seketika berlalu, Maya kembali pada isyarat tangannya.
“Aku…”
Dia berhenti sekejap. Nafas ditarik dalam-salam, sebelum menyambung semula.
“Ada satu tempat nak pergi.”
*****
ANGIN sepoi-sepoi bahasa dibiarkan menampar pipi. Dres yang dipakai turut sama beralun. Maya biarkan sahaja. Dia tetap di tepi jalan, atas Taipa-Coloane Causeway, memandang Kepulauan Coloane dari kejauhan. Terbayang-bayang pasir hitam Pantai Hac Sa dan kesunyian pantai Cheoc Van. Kemudian, pada kawasan berpetak yang dilapisi dengan batu bundar warna hitam putih, dengan susunan beralun inspirasi daripada lautan. Eduardo Marques Square, namanya. Kawasan yang selalu dia lalui, suatu masa dahulu. Beberapa bayangan lain datang melintas. Kuil Cina dengan asap kemenyan, antenna TV yang melekat atas bumbung rumah, cermin feng shui yang digantung atas pintu kayu untuk menghalau roh jahat dan akhir sekali, dermaga sepi yang selalu menerima kunjungan mereka dari Zhuhai.
Rindu.
Dia rindu, dan sungguh! Itu di luar jangkaannya. Dia tidak menduga bahawa dia akan merindui semua itu. Padahal dulu, itulah tempat yang paling ingin dia tinggalkan. Tempat yang kini dia tidak boleh jejak kaki. Tempat yang telah memisahkan dia dengan…
“Ibu…” bisik Maya sangat perlahan.
Segala bayangan tempat itu, sedikit-sedikit bertukar jadi merah. Hilang semuanya, hanya meninggalkan sekujur tubuh dalam kolam darah.
Merah pekat.
Maya kelip mata sekali, membiarkan tangisan yang sedari tadi bertakung, menitis setitik demi setitik.
Hari ini, izinkan dia sekali lagi jadi wanita dengan air mata murah.
Tidak jauh dari situ, Ryu melihat semuanya. Di matanya sekarang, Maya sedang menunjukkan wajah yang itu. Kepala terdongak, bermata pilu dan air mata yang dibiarkan jatuh di tepi mata. Serupa pagi itu, saat pertama kali Maya duduk di birai katilnya, menghadap jendela dengan cahaya mentari. Juga, seperti hari-hari seterusnya. Maya depan jendela. Maya depan beranda. Sentiasa melihat ke luar dengan mata hiba. Seolah-olah sedang menanti sesuatu. Atau mungkin, seseorang.
Apa yang benar-benar sudah berlaku pada kau, Maya?
Soalan yang fikirnya sudah terkubur, kembali menyelinap dalam benak Ryu.
Maya tiba-tiba memusing badan kepadanya. Ryu masih dengan renungan tidak dikalih. Mereka jadi menghadap satu sama lain. Senyap. Hening. Tanpa suara. Tanpa bicara. Hanya mata yang saling memaku.
Seketika berlalu, Maya datang menghampiri. Selangkah demi selangkah. Ryu menanti hingga gadis itu akhirnya setentang dekat.
“Mari pergi.”
Maya dan isyarat bisunya. Ryu baca tanpa kata. Dia menghulurkan topi keledar. Pantas disambut. Seketika kemudian, motosikal hitam Ryu berderu pergi. Bawa bersama Maya, dengan tangan yang memeluk pinggangnya dan kepala yang berlabuh atas belakang.
******** BERSAMBUNG ********
Do like and comment! =)


Share this:

ABOUT THE AUTHOR

Hello We are OddThemes, Our name came from the fact that we are UNIQUE. We specialize in designing premium looking fully customizable highly responsive blogger templates. We at OddThemes do carry a philosophy that: Nothing Is Impossible

0 comments:

Post a Comment