I'M NOT A MONSTER - BAB 13


BAB 13
PEJAM CELIK, pejam celik Ryu menatap pemandangan depan mata. Dari dahi licinnya, mata terkatupnya, hidung separa mancungnya dan akhirnya pada bibir separa terbuka. Desah nafasnya keluar lembut dari situ, dan menampar-nampar muka Ryu.
Maya di hadapannya, sedang tunduk tersengguk-sengguk. Dan dia atas ribaan Maya. Elok melabuh kepala. Entah bagaimana dia boleh ada di situ, Ryu tidak tahu. Tetapi satu yang dia tahu saat ini.
Pemandangan depan matanya sekarang…indah sekali
Sedikit-sedikit, Ryu angkat tangan. Jari telunjuknya sampai ke kening Maya. Disentuh lembut. Kemudian, jatuh ke mata yang masih tutup itu. Dibawa pula ke hidungnya yang kembang kempis melepas nafas. Ryu senyum secalit. Jarinya digerak lagi dan akhirnya melekat di bibir merah itu. Ryu usap lembut. Senyuman yang masih tersisa di bibir, berubah jadi kelat.
Bibir ini…bibir ini sangat indah. Sayangnya, tidak bisa melontar suara. Jantung Ryu tiba-tiba rasa berat. Bagai dipam-pam dengan seribu satu perasaan yang dia sendiri tidak tahu perasaan apa. Dia katup mata sejenak. Nafas dihela dalam-dalam. Mata dibuka semula.
Terus terpaku pada sepasang mata lain.
Sesaat…
Dua saat…
Tiga saat…
Mereka masih terpasung pada satu sama lain. Saling merenung. Saling menatap. Dalam dunia yang hanya ada mereka berdua. Ditemani sinaran mentari pagi yang mula menyelinap melalui jendela. Ruang ini jadi bercahaya.
Bebola mata Maya tiba-tiba bergerak. Perasan ke mana hala tujunya, Ryu cepat-cepat mengalih jari dari bibir Maya. Timbul rasa ingin mengetuk kepala sendiri. Macam mana dia boleh terlupa?
Tangan Maya yang tadi berada atas dada Ryu, diangkat hampir mengenai muka dan digerak-gerak. Ryu baca bahasa itu.
Tak nak bangun lagi ke? Kepala kau berat.
Mata Ryu membuntang sesaat, sebelum dia cepat-cepat bangun. Mungkin terlalu kelam-kabut, kerana dia tiba-tiba rasa berpusing dan…
Bum!
Jatuh dari sofa. Tersembam atas lantai.
“Aduh…” Ryu bangkit separuh dan menggosok belakang kepala yang terasa pedih. Berpinar matanya sekejap. Satu bunyi halus menampar telinga. Dia dongak kepala.
Maya menekup mulut. Pipi naik ke atas. Mata hampir terkatup, menampakkan garis sahaja. Bahu pula sedikit terhinjut-hinjut.
Maya sedang ketawa. Pemandangan yang jarang sekali dia lihat. Dan fikirnya, takkan pernah dilihat lagi. Tidak selepas apa yang dia buat. Selepas bertukar jadi raksasa, dan Maya jadi saksinya.
Secalit rasa pedih mengetuk jiwa yang fikirnya sudah mati. Ryu telan rasa itu bulat-bulat dan menampar lembut lutut Maya. Mata sengaja dijegil luas-luas.
“Seronok gelakkan aku?” Dia menyoal dengan gaya sebal.
Tawa Maya mati terus. Dia mengalih jari-jemari dari mulut. Tetapi Ryu boleh nampak bibir itu yang sipi-sipi menyenget. Masih gelakkan dia!
Sesudah itu, Maya bangkit. Terduduk semula. Mukanya berkerut dengan tangan mengetuk-ngetuk paha.
“Kebas?” Laju Ryu bertanya.
Kerlingan tajam Maya jadi jawapan. Ryu tayang muka selamba.
“Siapa suruh biarkan aku tidur atas paha kau? Kenapa tak suruh aku masuk dalam saja?”
Hampir melongo mulut Maya mendengar soalan bersahaja itu. Amboi, amboi! Mahu salahkan dia pula. Ryu dah hilang ingatan agaknya. Tidak ingat betapa dia merengek-rengek macam budak kecil usai tersedar dari lena pendek, semalam. Berulang kali Maya cuba membawanya masuk ke bilik, tetapi degil benar untuk bergerak. Tetap mahu berada di sofa, siap menarik-narik tangan Maya. Sudahnya, Maya terduduk kembali. Ryu pantas sahaja melabuhkan kepala atas pahanya. Tidak cukup dengan itu, Ryu memeluk pinggangnya dan menyembamkan muka ke perutnya.
Masih Maya ingat betapa tergamamnya dia dengan tindakan itu. Dia jadi tidak mampu bergerak. Kejung terus macam manikin. Dan entah sejak bila dia tertidur dalam posisi begitu, dia juga tidak pasti. Sedar-sedar sahaja sudah menghadap muka Ryu dan jari telunjuknya yang menyentuh bibir.
Jantung berdebar tiba-tiba. Pipi mula kepanasan.
“Kejap…kejap…”
Ryu mendekatkan badan. Masih dalam keadaan separa terbaring atas lantai. Sikunya diletak atas birai sofa, menupang dagu.
“Kenapa pipi merah ni? Kau tengah fikir apa?”
Bibir Ryu menyengih. Mata mengecil nakal.
“Apa yang kita dah buat semalam?”
Maya melopong mulut sejenak, menjuih kemudiannya dan…
“Aduh!”
Menonyoh muka Ryu kuat-kuat. Terdorong kepala lelaki itu ke belakang. Sebelah tangan menggosok dahi yang baru jadi mangsa. Muka jelas cemberut. Siap dengan mata yang dijeling-jeling kepada Maya, dan mulut yang memuncung macam itik.
Kalau tidak kerana Maya kenal perangai Ryu yang sebenar, pasti dia akan fikir bahawa lelaki ini sangat comel. Jadi, sah! Ryu masih kemabukan. Kalau tidak, mustahil Ryu akan bercakap banyak, sekejap-sekejap menyengih dan kemudian mengusiknya macam-macam. Ini bukan Ryu yang dia kenal.
Maya bangkit dari sofa. Anak mata menunduk kepada Ryu yang mendongak kepadanya. Masih terkebil-kebil lagak lelaki comel.
“Kau masih mabuk. Pergi bersihkan diri. Aku sediakan sarapan.”
Usai bertutur, Maya memaling tubuh dan berjalan pergi. Ditinggalkan sahaja Ryu yang hanya pegun memandang belakangnya. Dengan satu pandangan yang menyimpan seribu satu rahsia.
*****
KEPALA yang berdenyut, dipicit-picit. Mata dipejam rapat. Sesekali, dia melepas angin ikut mulut. Perut terasa senak.
Tuk…tuk…
Ryu buka mata. Terpampang jari telunjuk Maya. Mengetuk-ngetuk meja.
“Apa?” soalnya endah tak endah.
Tuk…tuk…
Maya mengetuk lagi.
“Apa?” ulangnya, agak membentak. Kali ini, Ryu angkat pandangan. Tepat melihat ke muka Maya.
Gadis itu mula membuat isyarat.
“Kau okey tak?”
“Hmm…” Pendek jawapan Ryu. Masih dengan lagak acuh tak acuh.
Maya menyambung isyarat.
“Itulah, siapa suruh minum banyak sangat semalam. Kata bencikan pemabuk…”
Muka Ryu berderau. Perkataan ‘pemabuk’ dirasa umpama api yang menyelinap ke hati dan membakar hati itu.
“Tapi masih juga…”
Terus, Ryu menangkap pergelangan tangan Maya. Segala isyarat termati sendiri. Bulat mata Maya. Berkerut dahinya menerima cengkaman di luar jangkaan.
“Dah?” Ryu berdesis dingin.
“Dah membebel tak tentu pasal pagi ni? Sama ada aku nak minum, nak mabuk atau apa-apa pun…”
Nafas Ryu terhembus ke muka Maya. Keras.
“Tak ada kena-mengena dengan kau.”
Maya mendengus dalam diam. Mata tajam. Berani menentang Ryu. Kemudian, dia merentap tangan. Terlepas daripada cengkaman. Dia kembali membuat isyarat bisunya.
“Memang tak ada kena-mengena. Tapi kau dah menyusahkan orang.”
Bibir Ryu menyenget sinis.
“Kasihan Kosuke. Susah payah bawa kau pulang. Dan aku? Kau ingat aku suka bila kau buat perangai macam-macam semalam?”
Ryu baca segala gerak tangan Maya, dan melepaskan keluhan.
“Apa yang aku dah buat semalam?” Dia bertanya dengan nada suara yang mula mengendur.
Sejenak, Maya terkedu. Apa yang patut dia beritahu? Yang Ryu tiba-tiba mencucuk-cucuk mukanya, merengek-rengek, melabuhkan kepala atas bahunya, memeluknya erat, dan berperangai comel?
Gila! Dia tidak akan berterus-terang begitu. Dia tidak akan memberitahu segala keintiman itu.
Entah kenapa, Maya rasa segan untuk menebarkan semua itu depan Ryu.
“Beritahu aku…”
Ryu menajamkan lagi renungan. Tidak berkelip dengan muka serius mahukan jawapan.
“Apa yang aku dah buat?”
Maya telan liur dan melarikan pandangan mata. Sepantas itu juga, dagunya dijongket jari Ryu. Muka terngadah semula.
“Aku tanya ni. Apa yang aku dah buat pada kau?” Ryu mengulang lagi. Kali ini, suara itu kedengaran lembut di peluput telinga Maya. Sudah serupa lagu dodoian yang mengasyikkan.
Ah, dia mula merapu!
Perlahan-lahan, Maya menggeleng kepala. Sebagai tanda ‘tidak ada apa-apa.”
Ryu menyepetkan mata. Berbias tidak percaya. Lalu, Maya menggeleng lagi. Lebih bersungguh.
“Betul?” tekan Ryu.
Maya mengangguk pula. Juga bersungguh. Ryu melepaskan dagu Maya. Belakang kembali disandar ke kerusi meja makan. Sebelah tangan mengambil sudu yang tersadai di situ. Kemudian, dia bersuara lagi.
“Jadi kau suka tak?”
Kening Maya terangkat bingung.
“Dres tu,” jelas Ryu dengan riak muka tidak peduli. Kosong semata-semata.
Maya tergamam sebentar, sebelum mengangkat isyarat tangan.
“Kau ingat?”
Ryu senyum secalit. Sinis.
“Kau fikir aku mabuk sangat sampai tak ingat yang aku ada habiskan duit untuk kau semalam?” jawabnya dengan sindiran.
Bibir Maya terjuih. Tak boleh ke jawab elok sikit? Suka sungguh menyakitkan hati orang! Dia menggerutu dalam diam.
“Aku akan ke syarikat lepas ni. Balik nanti, kita keluar. Kau pakai baju tu,” sambung Ryu, diakhiri arahan.
Dahi Maya semerta berlapis. Keluar? Dia tidak salah mendengar, bukan? Ryu, manusia yang mengharamkan dia jejak kaki ke luar, baru sahaja mengajak dia keluar? Dunia sudah mahu kiamat atau Ryu masih tidak sedar dari mabuk?
Maya tatap Ryu lama-lama. Mahu membaca riak muka lelaki itu. Mungkin sahaja ada gurauan yang terselit, walhal dia tahu Ryu bukanlah spesis manusia suka bercanda. Ternyata, memang itulah hakikatnya. Ryu tetap dengan muka kosong tidak berperasaan. Serius mengunyah sarapan. Sesekali, dia menghirup sup.
Tidak ada langsung biasan gurauan.
“Untuk apa?” soal Maya setelah beberapa ketika.
Ryu pandang isyarat tangannya.
“Sambutan.” Senada dia menitip jawapan.
Kening Maya bertaut lagi. Mata terkulat-kulat memohon penjelasan. Ryu biarkan sahaja. Tidak terus menjelaskan. Sebaliknya, dia tenang mengambil cawan dan meneguk teh. Tekak terasa lega. Kepala yang tadi berdenyut sudah semakin elok. Perut juga kenyang terisi.
Seketika kemudian…
“Hung kwan…” Dia memecah keheningan.
“Aku dah naik jadi hung kwan. Ganjaran lepas aku bunuh Hector.”
Tanpa dapat ditahan-tahan, muka Maya rasa tersirap. Dada juga terasa berat. Nafas tersekat tidak boleh keluar. Ganjaran kerana membunuh? Selamba sungguh Ryu menitipkan kata-kata itu. Benarlah! Bagi orang seperti Ryu, nyawa sekadar bahan pertaruhan. Untuk mereka memenangi sesuatu.
Agak-agak, ada sesiapa tak yang dapat ganjaran lepas bunuh…
Maya pejam mata. Mahu mengusir persoalan yang baru ingin menjengah. Dia tidak mahu mengingatinya. Tidak rela membayangkan jawapannya.
Maya buka semula mata. Tepat bersabung dengan mata tajam Ryu.
“Kenapa? Kau tak nak? Dah terlalu jijik dengan aku, sampaikan kau tak sanggup keluar dengan aku?”
Mungkin dia sudah jadi biul, kerana telinga Maya seperti dapat mendengar kesakitan dalam suara garau itu. Segala pengakuan Ryu saat Maya konon-kononnya tidur beberapa hari lepas, juga menerpa dalam kotak memori. Disusuli perlakuan Ryu semalam. Sewaktu dia dengan lirihnya menyoal sama ada Maya masih marahkan dia.
Maya kembali kepada bahasa isyaratnya.
“Kan semalam kau dah raikan…”
“Aku tak peduli pasal orang lain.”
Laju dicantas oleh bentakan Ryu.
“Aku nak kau raikan untuk aku. Gembira untuk aku,” sambung Ryu dengan perkataan ‘kau’ yang ditekankan.
Sedalam mungkin, Maya tenung ke mukanya. Kedua-dua belah mata Ryu jelas memerah. Urat atas dahi timbul. Leher jelas tegang.
Lalu, perlahan-lahan Maya membuat isyarat lagi.
“Macam mana aku nak gembira untuk kau, kalau kau sendiri tak gembira dengan apa yang kau dah buat?”
Ryu tampak terpempan. Anak matanya bergerak tanpa fokus. Maya senyum. Sekadar sipi-sipi menghiasi bibir. Kelat lagi menyakitkan hati. Untuk apa rasa sakit ini, dia juga tidak mengerti. Tetapi ya, hatinya sakit. Sangat.
“Kau…” Suara garau Ryu berbunyi antara dengar tak dengar. Maya tenung tepat ke mukanya. Tidak tergugat menanti sambungan.
“Tak tahu apa-apa pasal aku. Jadi, jangan berani fikir yang kau tahu apa yang aku rasa.”
Usai menutur kata, Ryu bangun dan menolak kerusi ke belakang. Tanpa sekilas pun melihat kepada Maya, dia berlalu pergi.
Maya masih di kerusi. Diam memerhati belakang tegap yang semakin lama semakin mengecil. Suatu sudut hati berdetik…
Kau bukanlah semati yang kau fikir, Ryu.
******** BERSAMBUNG ********
Okey, Ryu bila jadi comel memang sangat comel! =)
Do like and comment. TQ. 


Share this:

ABOUT THE AUTHOR

Hello We are OddThemes, Our name came from the fact that we are UNIQUE. We specialize in designing premium looking fully customizable highly responsive blogger templates. We at OddThemes do carry a philosophy that: Nothing Is Impossible

0 comments:

Post a Comment