AKU LELAKIMU - BAB 15


BAB 15
“TIA!!!”
Kaki Alex yang sedang laju bergerak, dan-dan terhenti. Matanya tepat kepada Tihani yang duduk atas kerusi di bilik mesyuarat. Ada beberapa orang di sekelilingnya. Mungkin rakan sekerja yang sibuk memujuk. Tetapi Alex tidak ambil pusing tentang mereka. Yang ada di matanya sekarang cuma Tihani Rose. Gadis itu sedang elok menunduk kepala dengan kedua-dua belah tangan yang digenggam kuat. Belakang badannya kelihatan agak menggeletar.
Perlahan-lahan, Alex menapak.
“Tia…” panggilnya sangat lembut.
Sedikit demi sedikit, Tihani mendongak.
Zup!
Hati Alex seperti tertusuk sembilu. Wajah Tihani pucat sekali. Tubir mata tampak bertakung, menanti saat untuk menumpahkan isi. Bibir pula terketar-ketar.
Tanpa berlengah, Alex bergegas kepadanya. Lutut dijatuhkan betul-betul di hadapan Tihani.
“Are you okay?”
Soalan Alex tidak berbalas. Tihani bangkit lambat-lambat. Belum sepenuhnya berdiri, tubuhnya hampir-hampir terjelepuk semula. Alex pantas menangkap bahu. Namun, ditolak oleh Tihani.
“Apa you buat kat sini?”
Sangat mendatar suaranya.
“I…”
Bicara Alex terhenti sendiri. Tihani tampak tidak berminat untuk mendengar. Sebaliknya, gadis itu menetapkan pandangan kepada ASP Edric yang sedari tadi berdiri di muka pintu.
“Budak-budak tu…” Tihani mengetap bibir. Imej objek berbentuk silinder yang dilihatnya tadi, cuba dihambat jauh-jauh.
Gagal, segagal-gagalnya!
Bukan setakat silinder itu yang menujah otak. Isinya turut sama menjelma. Dua biji bebola mata. Siap dengan secebis optic nerve yang masih melekat di belakang. Bulat dan terbeliak, seakan-akan mahu menikam jiwa mana-mana manusia yang melihatnya.
Huh! Tidak pernah dalam seumur hidupnya, dia terfikir akan menerima hadiah yang ‘istimewa’ sebegitu sekali.
“Mata mereka kena korek, kan?” sambung Tihani selepas menelan ludah. Sangat kelat.
ASP Edric kekal dengan muka tidak beriak. Dia memberi isyarat kepada anak buahnya untuk bergerak ke meja kerja Tihani. Hanya dalam masa beberapa saat, mereka sudah hilang dari pandangan mata. Kemudian, dia berjalan melepasi Alex. Lelaki itu beralih ke tepi, memberi ruang untuk dia membuat kerja.
“Kenapa kau tak beritahu aku?” Soalan Tihani berbunyi lagi.
“Pihak polis tak boleh lepaskan maklumat ini.” ASP Edric menjawab jujur.
Tihani senyum sinis.
“Yeah, right. Semuanya perlu dirahsiakan.”
“Kau sendiri tahu kenapa kami buat macam tu, kan?” Tegas ASP Edric membidas.
Tihani diam. Ya, dia tahu. Sangat-sangat tahu! Tetapi sekarang apa yang tengah berlaku? Dia sudah jadi seorang wartawan yang bukan sahaja menerima panggilan daripada sang pembunuh, bahkan dia menerima ‘hadiah’ daripada pembunuh itu.
Serius! Apa yang jantan keparat itu mahu daripada dia?
“Sekarang, boleh beritahu aku apa yang berlaku?” Melihat reaksi Tihani yang cuma menyengap, ASP Edric memulakan sesi soal siasat. Langsung tidak mempedulikan Alex yang sedari tadi berdiri di tepi.
Tihani melirik sekilas kepada jejaka tersebut. Emosi kosong. Sama kosong dengan otaknya yang hingga kini, masih tidak mampu untuk menerima pengakuan jujur seorang Alexander Aryan.
“Twelve years ago, I was there, Tia. I was with you.”
*****
SUASANA kecoh setiap genap. Juruteknik forensik sibuk mengambil gambar dan memeriksa sekeliling. Rakan-rakan sekerja Tihani Rose tampak lebih berminat dengan apa yang berlaku, berbanding tugasan sendiri. Polis beruniform sibuk mengawal keadaan.
Namun, semua itu tidak diendah. Dia cuma tegap terpacak di hadapan meja kerja Tihani. Dua bebola mata yang elok terapung dalam botol selinder berisi cecair itu, dipandang tanpa perasaan. Bulat terbeliak dengan urat merah yang jelas kelihatan. Optic nerve masih elok melekat. Dahi Alex berkerut selapis. Satu persoalan mula bermain-bermain di benak.
Bagi pembunuh bersiri, apa yang diambil daripada mangsanya boleh dikira sebagai trofi atau cenderamata. Tanda kemenangan atau kepuasan atas perilaku sadis mereka. Trofi tersebut selalunya disimpan elok-elok, atau dijadikan bahan tontonan, serupa kes Ted Bundy yang menyimpan empat kepala mangsanya di apartmen sebagai peneman diri. Jadi persoalannya sekarang, kenapa White Killer menghantar ‘trofi’ yang dia kutip kepada Tihani Rose?
Alex mengerutkan lagi dahi. Memikirkan segala kemungkinan. Ingatan juga sengaja dibawa kepada kejadian malam itu. Masih dia ingat bau darah yang membuak-buak keluar dari lawannya. Mungkin bukan secara harfiah, tetapi itulah aura yang dia dapat rasai.
Sesungguhnya, manusia jahanam itu dahagakan darah. Dan dia tidak akan berhenti hingga dapat mencapai apa yang dia mahu.
His ultimate fantasy.
Alex tersentak. Kepala automatik berpusing kepada bilik mesyuarat yang terletak tidak jauh dari kedudukannya berdiri. Dari sebalik kaca bilik tersebut, dia dapat melihat Tihani yang masih memberi kenyataan. Gadis itu nampak tenang. Atau lebih tepat lagi, cuba untuk kelihatan tenang. Mata Alex tidak buta. Dia dapat memerhati dengan jelas, jari-jemari Tihani yang dikepal kuat. Bibir yang sedang berbicara itu, juga tampak bergetar. Agak pucat. Sepasang matanya pula, tiada seri. Tidak seindah selalu.
Ketakutan.
Itu yang Alex nampak sekarang. Wanita bernama Tihani Rose itu sedang ketakutan, dan sedang cuba menyembunyikan ketakutannya. Ah, Tihani Rose! Kenapa mahu menyembunyikan anugerah Tuhan? Tidakkah dia tahu, betapa bertuahnya dia kerana memiliki rasa takut?
Namun…
Melihat Tihani seperti itu, Alex tiba-tiba berasa alangkah baiknya jika Tihani Rose tidak mampu merasai ketakutan. Biar Tihani tidak menggeletar. Biar Tihani tidak terkesan. Biar Tihani tidak trauma.
Sama seperti dia.
Sedikit-sedikit, Alex menarik jari-jemari ke dalam kepalan. Digenggam kuat-kuat, seolah-olah dengan cara itu, dia mampu mengawal emosi yang semakin menyesakkan. Sungguh, dia benci dirinya yang ini! Diri yang tidak habis-habis mampu merasai kesakitan orang lain. Kerana saat ini, dia dapat menembusi jiwa Tihani Rose dan mampu merasai betapa sakitnya gadis ini sekarang. Dan dia…tidak mampu berbuat apa-apa. Itu yang paling dia benci!
Mata Alex dipejam kemas. Nafas dihela dan dihembus. Berkali-kali. Selesai menenangkan diri, dia membuka mata semula. Tepat menghadap muka ASP Edric. Renungan mata lelaki itu keras serupa tadi. Tetapi bibirnya…
“Go to her. She needs someone.”
Mengarahkan apa yang tidak terduga oleh Alex. Tadi bukan main sensitif saat nama Tihani Rose disebut, sekarang mahu dia pergi kepadanya pula?
“Aku masih tak percayakan kau. Tapi kalau dengan adanya kau, dia boleh jadi lebih elok, then fine. Go to her.”
Bagaikan mengerti apa yang bermain dalam fikiran Alex, ASP Edric menyambung. Tegas bunyinya.
Alex tidak menjawab, sebaliknya dia kembali menoleh ke arah bilik mesyuarat. Kelihatan Tihani sedang duduk di kerusi. Kepala dikapit dengan kedua-dua belah tangan. Muka tunduk. Bahu jatuh tanpa semangat. Sangat berbeza dengan rupa tenang dan kuat yang selalu dipapar, hatta selepas peristiwa hampir dibunuh malam itu.
Benteng kekuatan Tihani semakin rapuh. Tetapi kali ini, Alex akan memastikan dirinya berada di sisi Tihani saat itu berlaku.
Itu sumpahnya!
“Kalau kau tak suruh pun, itu yang akan aku buat.” Tanpa memandang ASP Edric, dia menitip kata.
Langsung, Alex mengayun kaki, masuk semula ke bilik mesyuarat dan berdiri di hadapan gadis itu. Tihani memanggung muka kepadanya.
Dingin.
Alex buat-buat tidak mengerti riak muka itu.
“Jom.” Lembut dia mengajak.
Mata Tihani terkelip. Kosong kebingungan.
“I hantar you balik. Rehat kat rumah.”
Tihani bangkit dari kerusi dan berdiri tegak.
“I kena kerja,” jawabnya senada.
“Are you nuts?” Intonasi suara Alex bertukar keras. Renungan memanah tajam.
You baru saja dapat mata manusia, dan you nak buat kerja?”
“Kalau I nak buat kerja atau tidak, tak ada kaitan dengan you, kan?” bidas Tihani semula. Seperti Alex, matanya juga mencerun.
Alex mengeluh.
“Ini pasal semalam, kan?” tebaknya. Tepat mengenai sasaran. Wajah Tihani yang berubah sebagai pengesahan.
“I tak nak cakap pasal tu.” Tihani membalas seraya menggerak badan untuk pergi.
“Tia…” Baru setapak melangkah, lengannya dipegang. Sepantas itu juga, Tihani merentap tangannya, memusing badan, merengkuh lengan Alex dan menolak lelaki itu ke dinding. Muka Alex tertempel di situ, dengan badan membelakangi Tihani. Kemudian, dia merapatkan mulut betul-betul ke tepi telinga Alex.
“Don’t. You. Ever. Touch. Me,” gertaknya sepatah-sepatah.
Alex mengerling ke belakang. Bibir senyum sinis. Dan kemudian…
“Arghhh!!!”
Jeritan Tihani terlontar keluar. Badan terasa berpusing. Sedar-sedar sahaja, dia sudah pun tersandar di dinding. Kedua-dua belah tangan terangkat kiri dan kanan, elok berada dalam cengkaman Alex. Mereka saling bersabung renung. Tihani dapat merasai desah nafas Alex yang menampar muka. Bau maskulinnya juga meresapi hidung.
“Bila you ambil tindakan macam tu, pastikan lawan you takkan dapat peluang untuk tukar situasi jadi macam sekarang,” ucapnya mendatar. Kedua-dua pergelangan tangan Tihani dilepaskan. Tubuh juga diundur menjauhi.
Tihani membetulkan tegak berdiri. Pergelangan tangan diusap-usap. Mata menjeling tajam.
“Sakit?” Perlahan pertanyaan Alex. Ada biasan rasa bersalah dalam matanya.
“I’m sorry. I tak bermaksud untuk berkasar dengan you tadi. Tapi seriously, I tak boleh biarkan you pergi. You tak boleh kerja dalam keadaan macam ni.”
Bibir Tihani menyenget sebelah. Menyampah dengan tutur kata Alex. Lelaki ini ingat dia siapa? Hanya sebab dia mengetahui dan melihat segala-galanya yang berlaku dua belas tahun lepas, jadi dia fikir dia berhak untuk menentukan apa yang boleh dan tidak boleh Tihani buat?
Huh, jangan harap!
Tihani bergerak ke hadapan, lebih menghadap Alex. Kepala didongak tinggi, membalas pandangan mata lelaki itu.
“Listen here, Mr. Alexander Aryan.” Dia memula bicara. Bernada tegas.
“Dah berminggu-minggu kes White Killer. Pihak polis langsung tak buka mulut. Tapi hari ni, Tuan Iskandar akan buat PC. I tak boleh terlepas. So by hook or by crook, I have to go.” Panjang lebar Tihani menjelaskan. Masih berpura-pura tenang, walhal Allah sahaja yang tahu betapa berkecamuk jiwanya saat ini. Bebola mata yang dilihat tadi, tidak habis-habis berlegar dalam kotak memori.
Ya Allah! Itu lebih menakutkan daripada segala jenis mayat yang pernah dia lihat sebelum ini.
Alex diam menatap. Sepatah kata tidak keluar. Namun, diamnya seorang Alexander Aryan membuatkan Tihani Rose tiba-tiba jadi gementar. Sepasang mata hitam penuh misteri itu kelihatan seolah-olah sedang menyelusuri masuk ke jiwanya yang paling dalam. Lalu, membaca segala apa yang tersembunyi di situ.
Tihani telan air liur. Cuba mengawal seriau.
“I tak tahu apa you fikir sekarang. Tapi kalau you rasa I tak boleh hadap semua ini, then you’re wrong. I am okay, and I can get through this. Bukannya I tak biasa dengan benda-benda macam ni. Mayat pun I dah selalu tengok.”
“You pernah dapat mata dalam kotak?” cantas Alex.
Muka Tihani tersirap. Lidah terkelu.
“You pernah kena serang sebelum ini? You pernah jadi sasaran pembunuh bersiri sebelum ini?”
Bertalu-talu Alex menyembur. Dengan setiap satu persoalan, nada suaranya semakin tegas. Tihani mengetap bibir kuat-kuat. Ketenangan yang cuba dia papar tadi, sedikit demi sedikit bolos daripada genggaman. Lalu, digantikan oleh emosi berat yang semakin lama semakin mencengkam.
“Tidak, kan? So please, jangan degil.”
Tihani masih membisu. Jiwa semakin sesak.
“And one more thing, you’re not okay, Tihani Rose. You’re definitely not okay.”
Telinga Tihani berdesing. Jiwa sesaknya mula jadi panas. Geram dengan tingkah Alexander Aryan yang sesuka hati menentukan apa yang dia rasa, dan apa yang dia tidak rasa. Lelaki ini ingat dia itu siapa?! Tuhan yang boleh baca jiwa manusia?
Pandangan mata Tihani ditajamkan, tepat melawan renungan keras Alexander Aryan. Dengan suara yang agak tertahan-tahan, dia kemudiannya membalas.
“You tengah bercakap pasal diri I. Believe me, I lebih tahu apa yang I rasa.”
“No, you are not.”
Tihani merengus kuat.
“Can you stop it, Alexander Aryan? I cakap I okey, I okeylah!” Lantang dia menempelak.
“For God’s sake, look at you, Tihani Rose! Muka you pucat. Bibir you terketar-ketar. You are on the verge of crying. Ini yang you cakap, you okey?!” Lantang juga Alex melawan. Kedua-dua biji mata memerah garang. Nafas berdengus-dengus dari hidung.
Tihani terdiam. Ingin membalas semula, tetapi tiada apa yang mampu dia luah. Sudahnya, suasana antara mereka jadi hening. Alex dan Tihani saling bertatapan. Dada masing-masing termengah dihambat emosi.
Seketika berlalu, Alex menghela nafas. Muka diraup sekali. Renungan tajamnya, sedikit-sedikit bertukar lembut. Lunak dia menatap muka keruh Tihani Rose. Mata hazel itu, masih berkaca-kaca. Sangat menyakitkan hati seorang Alexander Aryan.
Dia melangkah setapak ke hadapan. Jarak antara mereka jadi lebih rapat. Kepalanya ditunduk, betul-betul menghadap muka Tihani yang sedang elok mendongak. Mata bertemu mata. Jantung berkocak hebat.
“Please, Tia.” Suaranya mengendur. Sangat lembut menyentuh peluput telinga Tihani.
“I tahu you masih tak boleh terima apa yang I beritahu semalam. Tapi sekarang bukan masanya untuk kita bergaduh. Itu boleh tunggu kemudian. Right now, you are in shock…”
“Then I need to work.” Tihani menyambung.
“Tia…”
“I lagi tak boleh tahan kalau I balik rumah, duduk seorang-seorang. I akan terbayang-bayang dua biji mata tu. I akan ternampak-nampak mayat Nadia Zulkifli yang I jumpa. I akan…” Sejenak, Tihani berhenti. Mata dikerdip-kerdip beberapa kali, ingin menghalang tangisan yang bak kata Alexander Aryan, menanti saat untuk gugur. Nafas juga dihela dan dihembus, mahu mengait kembali ketenangan yang hampir-hampir meninggalkan dia.
Alex benar.
Dia tidak okey, sebentar tadi. Dia tidak okey, sekarang. Tetapi dia tidak mahu ikutkan perasaan tidak okey itu. Kerana sesungguhnya, itu akan membuatkan dia jadi lebih menyedihkan.
Pathetic!
“I akan teringat balik pasal dia. Pasal White Killer. I akan mula bayangkan macam-macam. Macam mana kalau you tak muncul malam tu? Macam mana kalau dia betul-betul berjaya bunuh I? Macam mana kalau apa-apa jadi pada you?”
Soalan terakhir Tihani menyentak Alex. Kehangatan segera menerpa jiwa. Tihani…walau dalam keadaan marah sekali pun, masih sempat memikirkan dia.
“Macam mana kalau dia bunuh orang lagi, dan kemudian hantar mata pada I? Ya, I tahu. Walau apa pun sebabnya, I masih lagi sasaran dia. Then, come and try to kill me! Macam mangsa-mangsa dia yang lain. Kenapa susahkan diri buat macam tu?” Bersungguh-sungguh, Tihani melontar kemungkinan. Langsung dia tidak perasan akan bicaranya sebentar tadi, atau pun perubahan di muka Alex.
“I tak boleh halang diri I daripada fikir macam-macam, Alex. So yeah, I need to work. I need to be busy.” Tihani menyudahkan kata, disusuli desah nafas berat.
Alex senyap meniliti wajah Tihani. Mendengar patah-patah kata akhir gadis itu, satu lagi imej Tihani melayang masuk ke dalam fikiran.
Tihani yang memaksa diri untuk sibuk, hanya kerana mahu mengatup segala kedukaan dan kepahitan dalam hidup.
“Macam ini ke you hidup selama ni, Tia?” Tanpa sedar, dia menyoal. Perlahan. Lirih.
Kening Tihani bertaut.
“Setiap kali ada sesuatu berlaku pada you, setiap kali ada masalah, you akan sibukkan diri? Langsung tak pedulikan diri sendiri?”
Riak muka Tihani berubah. Segala kehidupannya tiba-tiba tergambar di hadapan mata. Dia yang belajar tanpa mengira waktu, ketika di universiti. Dia yang bekerja tanpa henti, setiap kali mendapat tugasan. Dia yang selalu menggantikan rakan setugas yang tiba-tiba punya kecemasan. Dia yang perlu dipaksa oleh Talha atau mummy, untuk bercuti. Tidak kira untuk pulang ke Pulang Pinang, atau pun ke USA untuk melawat daddy.
Dalam mengingati semua itu, Tihani melepaskan gelak. Sinis bercampur kelat.
“So I guess lepas you dah reveal siapa you semalam, you jadi berani untuk terang-terangan tanya apa yang berlaku pada I selama ni?”
“Sebab itu yang menghantui diri I sejak dua belas tahun yang lepas, Tihani Rose.”
Tihani tersentak. Jawapan Alex bukanlah jawapan yang disangka-sangka.
Melihat Tihani yang jelas terpana, Alex tarik senyum tawar. Dia tahu Tihani sekadar menyindir sebentar tadi. Tetapi alang-alang dia sudah jadi manusia paling jujur yang membuka cerita lama, biar dia terus memegang watak itu.
“Apa khabar Tihani Rose? Baikkah dia? Gembirakah dia? Bahagiakah dia? Sedihkah dia? Kalau sedih, ada tak sesiapa dengan dia? Ada tak orang yang jaga dia?”
Senyuman Alex semakin lebar. Juga, semakin tawar. Pandangan jauh ke hadapan, melewati masa-masa lalu yang penuh rasa ingin tahu.
“Itu yang I selalu tertanya-tanya.”
Tihani kekal pegun. Jadi Alex bukan setakat memerhatikan dia dari jauh selama enam bulan, malah lelaki itu tidak pernah berhenti memikirkan dia selama dua belas tahun? Di kala dia selalu merasakan diri keseorangan, sebenarnya ada manusia lain di satu penjuru dunia yang lain, tidak henti-henti memikirkan sama ada dia baik? Gembira? Bahagia? Atau sedih?
Ya Tuhan! Kejutan apa lagi yang Engkau hadiahkan kepadaku ini?
“Tihani.”
Tidak semena-mena, muncul satu suara. Hampir serentak, Alex dan Tihani menoleh ke pintu. Memori lama yang menjengah otak masing-masing, automatik lenyap. Lalu, yang mendapat perhatian mereka cuma sekujur tubuh yang sedang elok melangkah masuk ke dalam bilik mesyuarat.
Tanpa salam.
“Aku dengar apa yang berlaku. Itu yang aku cepat-cepat balik ke sini.” Encik Razin menjelaskan tanpa dipinta. Entah dari mana datangnya dia, Tihani tidak pasti. Mungkin ada mesyuarat di mana-mana, atau pertemuan dengan siapa-siapa.
“Kau okey?” Lelaki itu menyoal usai berdiri di hadapan Tihani. Kepala terkalih separuh kepada Alex.
“Siapa dia ni?”
Belum sempat Tihani menjawab pertanyaan tadi, dia ditujah pula dengan soalan lain.
“Err…”
“Never mind. Polis dah ambil kenyataan kau?” Sekali lagi, kata-kata Tihani dicantas.
“Dah.” Pendek Tihani menjawab.
“Dia orang dah interview kau?”
Spontan Tihani mengerling ke luar bilik. Dari sebalik kaca jendela, dia dapat melihat segala kekecohan yang masih berlaku. ‘Dia orang’ yang dimaksudkan juga sedang kelam-kabut. Tihani faham. Sudahlah mereka cukup berserabut dengan bermacam-mcam tugasan dan dateline, tup…tup! Terpaksa pula menghadap pasukan forensik dan polis yang memenuhi ruang.
“Belum.”
“Apa yang dia orang lembab sangat? This is exclusive!” Intonasi suara Encik Razin ternaik.
“Bukan selalu wartawan jenayah dapat call daripada pembunuh, lepas tu dapat pula mata mangsa yang dia bunuh.”
“Tak pernah,” sampuk Tihani. Agak sebal dengan tingkah Encik Razin yang tidak sensitif langsung. Anak buah tengah terkejut dan ketakutan, tetapi dia lebih mementingkan berita.
“Ya, kau betul. Tak pernah. Sebab tu aku tak tahu apa yang patut aku buat sekarang. The best scoop ever ada depan mata, tapi tak boleh release sebab polis nak melindungi kau. And at the same time, aku tak fikir aku boleh lepaskan kau untuk buat tugasan dalam keadaan macam ni.”
Bicara Encik Razin menyentak kuat.
“Apa maksud encik?”
“Untuk kes White Killer, aku dah tugaskan Latiff untuk ganti kau di sidang akhbarTuan Iskandar,” terang Encik Razin. Sangat tenang. Tihani yang mendengar rasa menyirap.
“Zahin akan jumpa dia kat sana nanti.”
“Tapi encik, this is my story. Saya yang kena…”
“Tidak, emosi kau tak cukup stabil,” pintas Encik Razin tanpa sempat Tihani menyudah protes.
Hujung bibir Tihani menyenget sinis. Sejak bila pula kestabilan emosi jadi faktor penting dalam dia membuat kerja? Encik Zahin sudah lupa gamaknya. Menjadi wartawan jenayah memang satu kerjaya yang melempar mereka ke dalam macam-macam keadaan yang menggoyah emosi. Tetapi ada mereka tergugat? Tidak ada, bukan? Yang penting, tugasan disiapkan. Berita disampaikan.
“Saya okey, encik,” tekan Tihani sesudah melayan monolog. Muka tenang dengan pandangan mata teguh, cupa dipapar. Sengaja mahu menunjuk betapa dia tidak terkesan dengan apa yang baru berlaku. Alex pasti sedang mentertawakan tindakan ini, tetapi dia tidak peduli. Yang dia tahu cuma satu.
Ini tugasan milik Tihani Rose. Dia yang sudah bersusah payah selama berminggu-minggu demi kes ini, jadi dia tidak akan membiarkan Encik Razin merampasnya sesenang itu. Tidak akan!
“Kalau macam tu, aku yang tak okey,” balas Encik Razin. Masih tenang.
Tihani mengerunyutkan dahi. Tidak mengerti.
“Kau fikir dunia kewartawanan ni dunia apa? Maklumat bergerak dengan sangat pantas. Tunggu masa saja untuk syarikat lain tahu pasal kau. Masa tu, both you dan Berita Semasa akan diserbu. Macam mana kau nak buat kerja? Macam mana kami nak buat kerja?”
Muka Tihani berderau. Itu sesuatu yang dia tidak terfikir.
“Itu…itu belum jadi, kan?” Tersekat-sekat pertanyaan yang dilontar. Semangat untuk melawan tadi sudah hilang entah ke mana.
“Akan jadi.” Tegas Encik Razin membetulkan.
Tihani menyengap. Dia teringin untuk terus-terusan membentak. Tetapi dia sedar, apa yang dikatakan oleh ketuanya itu benar belaka. Pihak polis, mahupun Berita Semasa takkan mampu berlama-lamaan menyembunyikan hakikat penglibatannya dalam kes White Killer.
Wartawan jenayah menerima panggilan dan mata mangsa daripada pembunuh bersiri.
Itu berita yang mana-mana syarikat akhbar akan kejar. Apatah lagi, Malaysia bukan selalu digemparkan dengan kes seumpama ini.
“Buat masa sekarang, kau dah jadi sumber maklumat kami. Bukan wartawan yang boleh aku hantar ke lapangan. Jadi aku nak kau cuti buat sementara waktu. Tenangkan diri. Rehat betul-betul. Protect yourself.”
Bundar mata Tihani saat mendengar kata-kata terakhir Encik Razin. Agak tergamam dengan pesanan itu.
“For whatever reason, this guy is targeting you. Aku tak nak apa-apa jadi kepada orang bawahan aku, so please do me a favor. Jaga diri elok-elok. Aku tak nak nama kau terpampang atas front page sebagai mangsa.”
Tihani senyum. Pelik rasanya bila Encik Razin yang dikenali sebagai ‘singa’ tiba-tiba menunjuk rasa ambil berat.
“Apa? Kau ingat aku ni hati batu sangat?” Bagaikan memahami reaksi itu, Encik Razin menempelak.
Tihani tertawa kecil. Ekor mata sempat menangkap bibir Alex yang turut mengulum senyum.
*******
NOTA CIK SA:
Oppps, terbuat adegan kabe-don lagi. I guess Cik SA dan kabe-don berpisah tiada. Sejak zaman JIMK lagi dah ada. Hahahaha!
Btw, Alex yang marah-marah sebab risaukan Tia is sooooo hot! Pardon me, tapi Cik SA nak angaukan hero sendiri kejap. Haha!
Pre-order untuk AL masih dibuka. Boleh emel Cik SA atau lagi senang whatsapp salah satu dari nombor ini. Mereka ialah team buku Cik SA.
Nurul - 017 912 8055
Aish - 017 471 8028
Bella - 013 7861619
Setiap order, boleh dapat tandatangan Cik SA. =)
Do like and comment. TQ!
Love,
SA

Share this:

ABOUT THE AUTHOR

Hello We are OddThemes, Our name came from the fact that we are UNIQUE. We specialize in designing premium looking fully customizable highly responsive blogger templates. We at OddThemes do carry a philosophy that: Nothing Is Impossible

2 comments:

  1. Alex x citer lagi apa yg jadi 12 tahun lepas?...jdnye..mcm..ternanti2 ni..dan ofkos...alex caringggg kot...

    ReplyDelete