AKU LELAKIMU - BAB 8


BAB 8

“ORANG famous kita dah sampai!”
“Eh, kau okey tak, Tia?”
“Gilalah kau. Berlawan dengan pembunuh tu.”
“Kejap…kejap…” Tihani cuba menghentikan semburan bertubi-tubi yang datang daripada rakan sekerja.
“Bukan berlawan. Tapi, hampir kena bunuh.”
“Kau ingat apa-apa?”
“Kau tahu tak siapa dia?”
Ternyata, segala percubaan Tihani terbang umpama angin menumpang lalu. Langsung, dia menarik nafas dan…
“Stop!!!”
Suasana serta-merta senyap. Semua mata bulat memandang Tihani yang baru sahaja menjerit.
“Aku tahulah kau orang semua wartawan, nak serbu aku, nak tanya macam-macam. Tapi boleh tak jangan kerumun aku macam ni? Elok-elok aku dah baik, mahunya kena masuk hospital balik,” bebel Tihani sambil memberi isyarat agar rakan-rakannya membuka laluan. Tidak ubah seperti lautan yang terbelah saat Nabi Musa melaluinya, rakan-rakan Tihani beralih arah.
Senyuman terkulum di bibir.
“Thank you.”
“Eh, boleh lagi kau senyum-senyum, kan? Kalau akulah…”
Tihani melirik kepada Zahin yang muncul di sebelah. Beg sandang diletak, sebelum dia menyangkut punggung di birai meja.
“Kalau kau apa? Takut sampai tak boleh buat apa-apa? Anak jantan macam mana kau ni?”
Mata Zahin membuntang besar.
“Eh, jangan pandang orang sebelah mata. Ini anak jantan sado, okey!” Kedua-dua belah tangannya diangkat ke atas, ala-ala adegan ahli bina badan. Terserlah lengan besar di sebalik kemeja yang dipakai.
“Lagipun, dah berapa kali aku tolong polis dalam operasi.”
“Macamlah kau seorang yang buat macam tu,” ejek Tihani.
Zahin tergelak.
“So kau memang dah okeylah ni?”
“Aku nampak macam tak okey ke?”
“Cuma okey sikit daripada rupa kau masa kat hospital. Kalau yang itu, kau nampak macam isteri yang kena belasah.”
Tersenyum Tihani mendengar jawapan Zahin. Bunyinya kedengaran umpama gurauan, tetapi Tihani tahu gurauan seperti itu hanya untuk mengatup kesedihan. Ya, sebagai wartawan jenayah, mereka terlampau banyak dihidangkan dengan kes kejam dan menyayat hati, hinggakan kadangkala mereka terpaksa bergurau untuk menyembunyikan perasaan sebenar. Atau dalam bahasa Inggerisnya, black humor. Namun, itu tidak bermakna mereka tidak peduli. Setiap satu kes yang dilaporkan pasti meninggalkan kesan dalam jiwa. Tidak kira sama ada kes itu ialah kes jenayah, kemalangan atau bencana alam.
“Oh, speaking of hospital, semua info yang aku bagi masa kau interview aku tu, embargo ke?” tanya Tihani selepas beberapa saat.
Serta-merta, Zahin melepaskan keluhan. Riak geram terpampang di segenap muka.
“Bukan pasal kau sahaja, Tia. Itu aku faham, sebab pihak polis nak melindungi identiti kau. Tapi hakikat yang semua itu ialah pembunuhan bersiri, pun mereka nak rahsiakan. Tuan Iskandar tak nak bagi pengesahan. Padahal, obvious kut. Dia nak tunggu apa lagi?”
Tergawang-gawang tangan Zahin saat meluah perasaan. Tihani pandang dalam diam.
“Kau tahu apa kawan kau, si Edric tu cakap?”
“Apa dia?”
Kau tak boleh keluarkan laporan mengatakan bahawa semua kes ini ialah pembunuhan bersiri. Tunggu pihak polis bagi kenyataan dulu. Kami tak mahu masyarakat terkejut, dan ada kekecohan berlaku,” jawab Zahin. Siap dengan gaya mengajuk cara ASP Edric bercakap.
Hati Tihani tercuit sedikit. Tetapi tidak pula dia melepas tawa. Sekarang bukan masanya, bahkan dia berkongsi sentimen yang sama dengan Zahin.
Itulah juga yang dia kurang gemar. Kerjaya sebagai wartawan terkekang dengan macam-macam. Tidak cukup dengan pelbagai jenis akta yang menyekat kebebasan seorang wartawan untuk menulis berita, ada pula sekatan yang dipanggil ‘Embargo’. Inilah istilah yang digunakan bila satu-satu informasi yang diperoleh, tidak boleh dilepaskan kepada orang awam. Ya, dia tahu. Ada sebabnya kepada semua itu. Contohnya seperti yang dimaklumkan oleh ASP Edric. Untuk mengelakkan kekecohan. Tetapi, apa yang tinggal untuk dijadikan laporan kalau semuanya tidak boleh?
Untuk memarahi pihak polis juga tidak boleh. Mereka ada alasan tersendiri. Sebarang hebahan maklumat yang tidak terkawal, mungkin boleh menjejaskan siasatan, merosakkan perancangan dan yang paling merisaukan, penjenayah yang dicari mungkin dapat memboloskan diri!
Pernah dia mendengar cerita bahawa beberapa tahun sebelum dia menyertai Berita Semasa, ada seorang wartawan mengingkari arahan pihak polis dalam sebuah kes penculikan dan menyiarkan maklumat yang tidak dibenarkan. Akibatnya, penculik naik marah dan membunuh mangsanya.
“Kita kena faham juga. Bukan selalu Malaysia digemparkan dengan kes pembunuhan macam ni. Edric beritahu aku, sepanjang dia jadi polis, inilah kali pertama dia kena berdepan dengan kes macam ni. Pihak polis pun tengah kecoh.” Tihani bersuara selepas beberapa saat.
“Itu aku tahu. Tapi aku dah tak larat kena sembur dengan Encik Razin. Sepanjang beberapa hari kau tak ada, teruk kita orang kena, tau? Dahlah kat Malaysia ni, bukan itu sahaja kes yang tengah hot. Tak larat aku. Ini pun dah berapa hari tak balik rumah. Orang rumah aku pun dah mula bising.”
Bersungguh-sungguh Zahin membebel. Mulut terherot-herot dengan muka sebal. Tihani memandang sahaja. Tiada apa yang boleh dibantah atau dijadikan bahan pujukan. Kerana hakikatnya, itulah intipati kerjaya mereka. Bila ada kes yang menggemparkan, bersiap-sedialah untuk korbankan masa!
“Aku tengok kau ni beriya-iya tak puas hati. Entah-entah, kau nak letak muka aku depan front page dengan artikel ‘Seorang wartawan jenayah Berita Semasa terselamat dalam serangan pembunuh bersiri’, which of course paper lain tak ada. Macam tu?” balas Tihani separa mengusik. Sekadar mahu mengurangkan ketegangan yang terserlah di muka Zahin.
Temannya menepuk tangan dan membulatkan mata.
“Betul juga tu! Kau boleh pilih gambar mana yang kau nak guna. Gambar kau lepas kena belasah hari tu ada dengan Vanessa, kan?”
Spontan Tihani membaling pen kepada Zahin. Dia menyambut tangkas.
“Kau ni!”
Zahin tergelak. Dia bangkit dari duduk.
“Okeylah, aku tak nak kacau kau dah. Nak pergi pantry kejap. Lepas ni, kena siap-siap untuk meeting.”
Mendengarkan perkataan ‘meeting’, Tihani segera turun dari meja dan menjatuhkan punggung atas kerusi. Zahin dibiarkan pergi. Komputer meja dipasang. Mahu memeriksa e-mel sebelum menghadiri mesyuarat harian mereka pada pukul sepuluh pagi nanti. Mesyuarat tersebut biasanya bertujuan membincangkan ‘post-mortem’ untuk kerja semalam dan juga untuk merancang kerja hari ini. Memandangkan Tihani tidak mempunyai kerja dalam masa beberapa hari ini, dia perlu bersiap-sedia untuk tugasan baru.
*****
“KAU ORANG buat kerja macam mana, hah?!” Kuat sekali jerkahan Encik Razin. Siap dengan membaling beberapa naskah surat khabar ke atas meja. Mata Tihani terpejam sesaat. Seperti yang diberitahu Zahin sebentar tadi, kemarahan Encik Razin menjadi makanan di pagi hari.
Telinga Tihani dibuat-buat pekak. Muka selamba. Semua rakan sekerja membuat tindakan serupa. Sudah lali, kerana memang itulah yang mereka hadap hampir setiap hari. Kalau tidak dapat berita yang sepatutnya, kalau gagal ‘follow up’ untuk tugasan yang diberi, kalau syarikat akhbar lain lebih dahulu mendapatkan sesebuah berita hangat, kalau syarikat pesaing melaporkan lebih banyak maklumat, maka bersiap sedialah untuk hadap segala tengkingan daripada Ketua Editor. Kadang-kadang, mereka sampai terpaksa mendengar segala jenis carutan.
Bunyinya kasar, tetapi itulah realiti dunia kewartawanan dan syarikat akhbar. Bak kata Matthew Arnold pada kurun 1870-an, ‘Journalism is literature in a hurry’. Seorang wartawan cuma ada masa kurang daripada satu hari untuk menyelesaikan segala tugasan. Bila tiba waktu untuk laporan dihantar kepada editor dan dicetak, peluang sudah tertutup. Sebab itulah mereka perlu bertungkus lumus untuk menyiapkan tugasan. Terpaksa mengejar orang, terpaksa menebalkan muka, terpaksa redha dimaki hamun. Tetapi cabaran daripada orang ramai tidak dapat melawan amarah seorang Razin. Itu macam bumi dipanah halilintar.
“Kenapa paper lain dah boleh tahu identiti mayat yang kena kapak tu, tapi kau orang tak ada? Dah berapa lama kerja di sini, takkanlah masih bodoh?!”
Terasa bergegar dinding bilik mesyuarat. Latiff yang dimarahi, menikus terus. Kasihan pula Tihani melihatnya. Tetapi untuk masuk campur, tidak sama sekali! Dia belum cukup gila untuk menyampuk bila naga tengah mengamuk.
“Aku nak kau follow up dengan keluarga mangsa, jumpa balik orang di rumah mayat. Aku tak kira. Kau kena dapatkan berita,” arah Encik Razin di celah-celah dengusan nafas yang ganas. Latif mengangguk cepat.
Mesyuarat disambung dengan sesi susulan bagi tugasan lain, disambung dengan pembahagian tugas. Akma ditugaskan kepada kes banjir kilat di Damansara, Muhamad kepada kes rogol budak bawah umur, Ah Meng kepada kes seorang remaja bunuh diri, beberapa rakan lain juga mendapat tugas masing-masing.
“Tia, Zahin.”
“Ya, encik.” Hampir serentak Tihani dan Zahin menyahut.
“Kau dah tak apa-apa?” Sempat Encik Razin menyoal khabar.
Tihani tarik senyum janggal.
“Saya dah okey, encik.”
“Betul kau tak nak ambil cuti?”
“Tak nak, encik.”
“Pihak polis tak ada cakap apa-apa?”
“Pasal saya yang tetap nak bekerja?” Soalan juga yang dibalas oleh Tihani.
Kepala Encik Razin terangguk pendek.
“Saya takkan biarkan apa yang dah jadi, mengganggu hidup saya.”
Bibir Encik Razin bergerak sedikit. Senyuman kecil terkulum di wajah serius. Tampak terhibur dengan jawapan yang baru didengar.
“Kalau kau sendiri cakap macam tu, then fine. Aku nak kau dan Zahin terus cover pasal kes White Killer.”
“White Killer?” ulang Tihani.
“Tunggu masa saja untuk pihak polis mengesahkan semua pembunuhan itu sebagai pembunuhan bersiri. Mereka takkan boleh lama mengelak. Orang ramai dah bising. Semua paper dah mula panggil dia sebagai White Killer.”
White Killer.
Gelaran itu terngiang berkali-kali di celah gegendang telinga Tihani. Ingatan menerawang kepada keadaan mayat mangsa-mangsanya. Semua dipakaikan persalinan dres putih.
Jika dia mati malam itu, adakah dia juga akan ditinggal dalam keadaan sedemikian? Baju putih, rambut pendek?
“Lagi satu.”
Suara Encik Razin menggamit semula perhatian Tihani kepada lelaki itu.
“Kalau paper lain dapat berita pasal kau, jangan buka mulut. Isy, kenapalah polis tak bagi kita report, kalau tak…”
Rungutan lelaki itu mati di sekerat jalan. Matanya mengerling kepada Tihani.
“Ya…ya, aku tahu. Demi keselamatan kau.”
Tihani kekal tanpa riak.
“Aku nak kau jumpa keluarga Nadia Zulkifli,” sambung Encik Razin dengan sebuah arahan.
“Keluarga dia langsung tak nak bagi kenyataan.” Sipi-sipi, bisikan Zahin berbunyi di sebelah.
Sekilas, Tihani mengerling kepadanya, sebelum kembali memandang ke hadapan.
“That’s it. Now, move!” Dengan kata-kata itu, mesyuarat bersurai. Sekelip mata, semua wartawan yang tadi duduk, bangkit dan berdesup kepada tugasan masing-masing. Tidak ketinggalan, Tihani Rose.
*****
“APA LAGI yang kamu nak? Mak cik tak nak cakap apa-apa.”
“Saya…”
Bum!
Berdentum daun pintu betul-betul di hadapan muka Tihani. Mujur sahaja tidak menghentak hidung yang memang baru sembuh. Sekelipan, dia melepaskan keluhan. Bagi seorang wartawan di bawah tekanan ‘dateline’, cabaran pertama ialah untuk memujuk mangsa atau keluarga membuka mulut. Tetapi, itu tidak bermakna mereka boleh memaksa. Tidak sama sekali!
Sejujurnya, Tihani memahami perasaan Puan Nazimah. Diserbu oleh manusia asing yang mahu menulis kisah tragis orang tersayang, bukanlah sesuatu yang mudah diterima. Apatah lagi, di Malaysia, negara di mana rata-rata rakyatnya memandang media sebagai kaki penyibuk yang suka mencanang kisah orang. Padahal, mereka cuma mahu merakam sejarah, simpati dan kesedihan untuk dikongsi jutaan rakyat Malaysia di luar sana. Bukankah lebih baik menerima doa daripada berjuta orang, daripada seorang dua?
Mereka ingin berkongsi rasa peduli sebelum semuanya lenyap ditelan masa. Kerana sesungguhnya, tiada berita langsung boleh jadi lebih memeritkan. Lebih memedihkan. Tihani tahu perasaan itu. Sangat-sangat tahu!
Buat kesekian kali, Tihani melepas nafas. Tubuh dipusing membelakangi pintu. Mata meliar melihat persekitaran rumah. Pokok bunga kertas tersusun elok di sebelah kanan. Kemas dan cantik menghiasi halaman. Tidak jauh darinya, sebatang pokok mempelam terpacak tegak. Elok-elok di tepi jalan masuk. Ada sebuah pangkin di bawah. Tihani mula membayangkan arwah Nadia Zulkifli duduk di situ. Mungkin berborak-borak dengan kawan tentang SPM yang bakal diduduki atau mungkin juga tentang budak lelaki comel di sekolah.
Jantung Tihani tiba-tiba rasa sesak. Emosi berat menyelinap, sedikit demi sedikit. Dia mengepal tangan kuat-kuat, menahan diri daripada terus terjerumus ke dalam mainan emosi. Dia ialah seorang wartawan jenayah. Dia tidak boleh terlampau terkesan!
“Situlah.”
Kepala Tihani terngadah kepada pemilik suara. Seorang lelaki dalam lingkungan umur enam puluh tahun, muncul dari belakang rumah. Berkopiah. Rambut tepi telinganya, jelas menampakkan uban yang memutih. Matanya lembut, tetapi ada kesedihan yang terpalit. Senyumannya juga tampak kelam.
“Tempat kami anak beranak selalu duduk minum petang,” sambungnya sambil menapak ke arah pangkin yang dilihat tadi. Tihani mengikut dari belakang, dan turut menjatuhkan duduk di situ. Ada kira-kira dua kaki jarak antara mereka berdua.
“Jadi, kamu dari surat khabar mana?” soalnya tanpa sekali pun menoleh kepada Tihani. Mata masih memandang jauh ke hadapan.
“Berita Semasa.”
“Nama kamu?”
“Tihani.”
Sejenak, Encik Zulkifli bungkam. Tihani perasan wajah lelaki itu yang tiba-tiba kelihatan lain.
“Semalam orang lain, kan?” Encik Zulkifli menyambung pertanyaan semula.
“Itu kawan saya, Zahin.”
“Oh ya, Zahin. Pak cik ada jumpa dia.”
“Pak cik dah cakap dengan dia?” soal Tihani, walhal dia tahu jawapannya. Menurut Zahin, dia cuma sempat memberi nama. Itu sahaja. Tidak sempat menanya soalan. Tidak sempat memperoleh jawapan.
“Tak ada apa yang pak cik nak cakap kepada wartawan. Mak cik kamu pun tak mahu.”
“Jadi kenapa…”
“Kamu yang jumpa mayat anak pak cik, kan?”
Belum sempat Tihani menyoal kenapa Encik Zulkifli melayannya, dia yang lebih dahulu ditujah dengan soalan tidak terduga.
“Macam mana…”
“Pak cik terdengar kawan kamu bercakap dengan jurugambar perempuan yang datang dengan dia.”
“Saya…saya…” Suara Tihani terhenti di sekerat jalan. Rasa serba salah membelenggu diri. Dia yang selalunya yakin dalam melontar suara, tiba-tiba menikus. Sungguh! Dia tidak tahu bagaimana mahu berdepan dengan ibu bapa kepada mayat yang dia sendiri temui.
“Macam mana rupa dia masa kamu jumpa dia?”
Pegun. Tihani masih terpana. Soalan Encik Zulkifli yang kedengaran lirih, mengelukan lagi lidah yang sedia kelu.
“Pak cik cuma lihat jenazah selepas dibedah siasat. Tubuh dia sudah pun dikerat-kerat dan dijahit. Jadi pak cik nak tahu, macam mana keadaan anak pak cik waktu arwah ditemui,” jelas Encik Zulkifli. Tidak disebut tentang hakikat yang lebih memeritkan. Soal mata anaknya yang hilang. Pihak polis mengarahkan mereka agar tidak membuka mulut tentang hal tersebut.
Sesudah itu, dia bertindak memaling muka ke sebelah. Jelas di mata Tihani, wajahnya yang mengharapkan sebuah jawapan.
Langsung, Tihani mengucap bismillah dalam hati. Senyuman halus diukir sebelum dia menjawab, “Arwah Nadia nampak macam sedang lena. Wajah dia bersih, tenang sangat.”
Segaris senyuman terbit di bibir Encik Zulkifli.
“Kalau macam tu, pak cik rasa lega. Sekurang-kurangnya, anak pak cik tak nampak terseksa.”
Bicara Encik Zulkifli pantas membawa Tihani ke malam itu. Raut wajah Nadia Zulkifli menjelma sekilas. Benar kata ayahnya. Untuk seorang gadis yang telah menghadapi saat-saat kematian dahsyat, anak muda itu tidak kelihatan terseksa. Mungkin sang pembunuh tidak menyeksanya, atau mungkin juga Allah memelihara saat-saat akhirnya.
Jawapan itu, hanya ada di tangan Yang Maha Kuasa.
“Jadi apa yang kamu mahu tahu?”
Soalan Encik Zulkifli menyentak Tihani. Lamunan tentang anak tunggal lelaki itu menghilang terus. Nafas ditarik, sebelum Tihani memulakan sesi temu bual.
“Boleh pak cik ceritakan sikit pasal arwah?”
Encik Zulkifli kembali memandang jauh. Mata tuanya terkedip perlahan. Masih berbias kesedihan yang Tihani tahu, tidak akan pernah lenyap.
“Apa lagi yang boleh pak cik cakap? Nadia itu sebaik-baik anak. Selalu senyum. Selalu ketawa. Selalu buat pak cik dan mak cik gembira.”
Senyuman terukir saat Encik Zulkifli mula bercerita tentang anaknya. Intonasi suara juga kedengaran lebih ringan. Lebih ceria. Rasa sayang dan bangga terhadap anak itu, jelas terpampang.
Dan-dan, jantung Tihani jadi sebu.  
“Kalau kamu nak tahu, pak cik dan mak cik dapat anak di usia yang lambat. Masa pak cik empat puluh tiga tahun. Mak cik kamu pula empat puluh tahun. Kami tak pernah sangka yang kami akhirnya akan dapat anak. Jadi bila dapat tahu yang mak cik kamu mengandung, kamilah orang yang paling gembira. Tapi rupa-rupanya, Allah pinjamkan dia sekejap sahaja.”
“Pak cik…” tegur Tihani. Rasa kasihan dan pilu membuak-buak. Aneh! Dia jarang seperti ini. Tetapi saat ini, dia sukar mengekang emosi.
“Pak cik tak apa-apa. Mak cik kamu yang masih tak boleh terima. Dia rasa menyesal.”
“Menyesal?” tanya Tihani bersama kerut di dahi.
“Sebab tak bawa Nadia ikut pindah ke sini. Ini asalnya rumah arwah ayah pak cik. Lepas pencen dua tahun lepas, pak cik pindah ke sini, ke Tanjung Karang. Tapi itulah, sayang untuk Nadia tukar sekolah.”
“Sebab dia dah nak SPM.”
“Ya, sebab itulah kami biar dia tinggal dengan keluarga pak cik dia di KL.”
Kepala Tihani terangguk-angguk. Telinga mendengar teliti. Perhatian sepenuhnya kepada Encik Zulkifli.
“Bila kali terakhir pak cik jumpa dia?”
“Kira-kira dua minggu lalu.”
“Tak ada apa-apa yang pelik…”
“Pelik macam orang nak mati, maksud kamu?” cantas Encik Zulkifli, berbaur sindiran.
Lekas-lekas, Tihani menggeleng kepala.
“Eh, tak. Bukan itu maksud saya.”
Encik Zulkifli senyum kecil. Sangat kelat.
“Pak cik tahu maksud kamu. Jawapannya tak ada.”
“Langsung tak ada?”
“Tak ada. Dia memang macam biasa. Tak ada apa-apa yang…” Suara Encik Zulkifli terhenti tiba-tiba. Dahinya berkerut sedikit.
“Kenapa, pak cik?” Menyedari reaksi itu, Tihani pantas menyoal.
“Dia ada sebut benda pelik.” Encik Zulkifli menjawab, antara dengar tak dengar.
“Pelik macam mana?”
“Zaman sekarang, budak-budak letak gambar kat…apa tu orang panggil?”
“Instagram?” teka Tihani.
“Ya, pasal benda tu. Dia ada beritahu pak cik…”
Dada Tihani semakin berdebar. Rasa ingin tahu membuak-buak.
“Ya…”
“Ada seorang lelaki selalu mesej dia di situ.”
Encik Zulkifli meraup wajah dan bangun dari pangkin. Tihani terbangkit sama.
“Ya Allah, macam mana aku boleh terlupa?”
Lidahnya kemudian menjerit lantang.
“Imah!! Imah, telefon polis!”
Tanpa mempedulikan Tihani, Encik Zulkifli berlari ke arah pintu rumah. Wajah Puan Nazimah terpantul di situ. Tampak bingung. Mereka bercakap-cakap sekejap. Kelihatan Puan Nazimah menekup mulut bersama mata basah yang membulat. Seketika kemudian, kedua-duanya menghilang ke dalam rumah. Mungkin mahu menghubungi pihak polis.
Tihani duduk semula di pangkin. Otak ligat memikirkan informasi yang baru diperoleh, dan cuba mengaitkannnya dengan ketiga-tiga pembunuhan.
“Lelaki misteri…mesej…instagram…” ucapnya, sepatah-sepatah. Semua itu cuma membawa kepada satu jawapan.
Stalker.

********

NOTA CIK SA
Ramai pembaca komen cerita AL makin lama makin menyeramkan (in a good way), tapi bab hari ni tak takut, kan? Hehe.
 Untuk hari ini, kita berkenalan lebih dengan kerja Tihani. Cik SA interview seorang crime journalist, tau untuk dapatkan info. Alhamdulillah, beliau sudi jumpa Cik SA dan jawab soalan. =)
Enjoy and do comment. Thank you!
Love,
SA (IG: ciksara_aisha)



Share this:

ABOUT THE AUTHOR

Hello We are OddThemes, Our name came from the fact that we are UNIQUE. We specialize in designing premium looking fully customizable highly responsive blogger templates. We at OddThemes do carry a philosophy that: Nothing Is Impossible

4 comments:

  1. Best!!..x sabar nk tnggu novel ni keluar..good luck akak..

    ReplyDelete
  2. This time x menyeramkan tp..sasapenn

    ReplyDelete
  3. yes,cerita ni mmg seram+ngeri skit nk banding ngan cerita kak sara sblm ni.thriller cm ni baru syok.xde klise cm slalu.hehe.bole jumpa alex plak kot next entry? :D

    ReplyDelete
  4. Makin menyeram ? Tapi bagi saya cerita ni makin menarik.

    ReplyDelete