AKU LELAKIMU - PROLOG & BAB 1



PROLOG
MATI.
Hanya itu perkataan yang membelenggu fikirannya sekarang. Segenap tubuh menggeletar. Peluh menitis-nitis membasahi dahi. Air mata bercucuran turun. Mulut ditekup kuat-kuat, tidak mahu walau bunyi nafas menarik perhatian. Jantung pula berkocak ganas, seolah-olah menanti masa untuk terpelanting keluar.
Tolong...sesiapa...tolong aku!
Hati si gadis meraung kuat. Tetapi dia tahu, semuanya sia-sia sahaja. Siapa yang akan muncul di hutan ini? Pada waktu malam begini? Kecuali....
Pap...
Matanya terbeliak. Badan ditolak lebih ke belakang. Cuba berselindung di sebalik batang pokok yang besar, tinggi, hitam dan menakutkan.
Pap...
Bunyi tapak kaki yang memijak daun-daunan kedengaran lagi. Lebih kuat. Lebih dekat. Berselit dengan bunyi siulan yang membuatkan segenap hutan ini jadi lebih menyeramkan.
Dia menekup mulut lebih ketat. Nafas semakin pendek dengan tindakan sendiri. Tetapi dia sudah tidak peduli. Biar dia sesak sekarang, daripada mati terus kemudian.
Pap...
Oh, Tuhan! Jangan...jangan....
"Boo!"
Mukanya terdongak ke atas. Kepala laju tergeleng-geleng. Wajah itu memandang kosong. Bibir menyengih, seakan-akan baru menemui barang mainan kesayangan.
"What are you doing there?"
Dia membatu keras. Langsung tidak mampu bergerak, mahu pun bersuara. Sungguh! Tubuh dan lidahnya sudah terpasung.
"You know what?"
Lelaki itu datang lebih rapat dan mencangkung di hadapan.
"When I ask a question, I expect an answer," sambungnya. Masih dengan senyuman lebar. Tetapi si gadis dapat melihat dengan jelas, betapa sinisnya senyuman itu. Betapa jahatnya senyuman itu. Bulu romanya yang sedia tegak, jadi semakin meremang. Air liur tertelan sendiri.
"Do you hear me?"
Kali ini, lelaki tersebut mula mengusap-ngusap pipi gadis. Setiap inci badannya mengeras. Mata terpejam menerima sentuhan yang tidak direlakan. Kemudian perlahan-lahan, dia mengalihkan jari-jemari daripada mulut.
"Please...please...I...I'm so sorry."
"Sorry for what?"
Sebelah tangan jantan bergerak ke belakang leher dan menarik kuat. Semerta, muka gadis terdorong ke hadapan. Betul-betul bertentangan lelaki berwajah kacak, bermata kosong, dengan senyuman manis.
"For...for..."
"For leaving me?"
Cengkaman di leher terasa semakin kuat. Gadis cepat-cepat mengangguk.
"Yes...yes...for leaving you."
"For not listening to me."
"Yes, for...for not listening to you," ulang gadis, di celah-celah air mata yang semakin laju merembes. Secepat itu juga, air matanya dikesat oleh sang lelaki.
"Why are you crying? I'm not doing anything, right?"
Si gadis membisu. Air mata yang tidak henti-henti turun, cuba dikekang. Takut kalau-kalau tangisannya menyebabkan lelaki itu berang.
"I'm..."
Jari-jemari yang tadi di pipi turun ke leher, bergabung dengan sebelah lagi tangan.
"Not..."
Mata gadis buntang. Dapat meneka ke mana arah tuju tindakan lelaki ini.
"Doing..."
Terkapai-kapai tangan gadis cuba menolak jari-jemari jantan daripada lehernya. Mulut dibuka cuba menjerit, tetapi tiada apa yang keluar melainkan desah nafas yang semakin tersekat.
"Anything..."
Dengan kata-kata itu, sang lelaki mencekik leher di tangannya. Mata gadis terbelalak luas.
"Erkkk..."
Bunyi nafasnya semakin putus.
"Erkkk..."
Dia meronta-ronta. Tidak cukup menolak cengkaman, dia menampar-namparnya pula. Tetapi semuanya tidak menjadi. Gagal, segagal-gagalnya!
Tenaganya mula kehabisan. Rontaan semakin lemah. Kedua-dua belah tangan longlai ke sisi. Di sebalik pandangan terakhirnya, dia melihat wajah yang masih menayang senyum.
Tenang. Puas. Gembira.
********
BAB 1
New York, Ogos 2012
DERETAN bangunan pencakar langit, dipandang dari jauh. Mentari yang semakin naik memberikan cahaya jingga yang kelihatan bersinar-sinar. Pepohon hijau di Central Park menambahkan warna-warna semulajadi. Semuanya dia teliti satu persatu. Inilah pemandangan yang setiap pagi menyapa pandangan matanya.
Triinggg!
Bunyi cerek menggamit perhatian. Tubuhnya dipaling dari arah jendela. Langkah dibawa mendekati cerek. Air panas dituang ke dalam mug yang sudah tersedia di tepi. Automatik, aroma kopi menusuk ke dalam hidung. Hujung bibirnya senget sedikit. Gembira dengan bau yang dirasa paling menyenangkan di dunia. Bau yang menandakan harinya kini benar-benar bermula.
Kopi yang sudah tersedia, dikacau perlahan. Cawannya dibawa ke mulut. Air kopi itu dihirup lambat-lambat. Mata dipejam. Sengaja mahu menikmati. Namun sepantas itu juga, perbualan minggu lepas menerobos ingatan.
"You ever tried to carry a body?"
"No. I don't have any experience carrying dead bodies."
"Well, it's a lot of work. I was exhausted and I had to dig a big hole. You know how hard it is to dig a hole big enough to bury a body?"
"No. I don't have any experience digging holes to bury dead bodies."
Dia membuka semula matanya. Nafas ditarik dalam-dalam, cuba melempar segala perbualan itu jauh-jauh. Lebih-lebih lagi, sebelum ingatannya meleret kepada apa yang lelaki tersebut buat terhadap mayat wanita-wanita yang dibunuhnya.
Sesuatu yang sangat tidak berperikemanusiaan! Dan dia...Alexander Aryan ialah manusia yang bergelumang dalam dunia tidak berperikemanusiaan itu.
"Are you out of mind?!"
Dada Alex terhentak. Mujur cawan di tangan tidak terlepas. Nafas dilepas sekali, sebelum dia berpaling. Sesusuk tubuh tinggi elok terpacak di tengah ruang tamu. Masuk rumah orang, tak bagi salam langsung!
Setapak demi setapak dia melangkah dan menjatuhkan duduk di atas sofa. Dengan lagak yang sangat bersahaja, dia sekali lagi meneguk kopi di tangan. Dibiarkan sahaja lelaki yang baru muncul sebentar tadi.
Lelaki yang kini menjegil mata kepadanya.
"What?" soalnya. Bahu diangkat sekali.
"Don't what-what on me!"
"Oh please, Ben. You are overreacting."
"Of course I am! Kau pergi sana tak beritahu aku pun."
Alex senyum halus. Wajah merah padam sepupu, merangkap pembantu peribadinya dipandang tanpa rasa bersalah. Dia sudah lali dengan sikap terlampau peduli Benjamin. Kadangkala, dia berasa rimas. Namun, dia sedar satu perkara. Hakikatnya, Benjamin hanya melindungi dia.
Tidak!
Bukan dia seorang. Tetapi semua orang di sekeliling Alexander Aryan.
"I've told you, right? Aku kena buat research. And in case kau dah lupa, kau sendiri yang tolong aku untuk dapatkan approval."
Benjamin melepaskan nafas dan turut mengambil tempat di sofa.
"Itu aku tahu. Tapi tarikhnya..."
"Mereka tukar sebab ada tahanan yang perlu dipindahkan ke tempat lain pada hari itu. So, no visitor is allowed," terang Alex sebelum sempat Benjamin menghabiskan soalan.
"Kenapa tak inform aku? I can do something. Maybe hantar orang gantikan aku."
"Untuk apa?"
Mata Benjamin membuntang lagi.
"Untuk apa, kau tanya? Untuk temankan kaulah! Kau tengoklah itu tempat apa. RHC is a maximum-security facility for sex offenders and violent offenders. Penuh dengan high profile criminals. The most dangerous ones! Kalau ada apa-apa jadi..."
Bebelan Benjamin sudah tidak didengari. Ingatan Alex menerawang kepada pemergian dia ke Abbotsford, minggu lepas sewaktu Benjamin bercuti ke Alaska. Abbortsford merupakan sebuah kawasan yang menempatkan beberapa penjara keselamatan tinggi di bahagian tanah besar British Columbia, Kanada. Kompleks Mitsui terletak beberapa minit dari lebuhraya, dan dikelilingi oleh stesen minyak dan kedai makan. Jelas menandakan bahawa ini keperluan paling penting buat mereka yang selalu berulang-alik ke kompleks tersebut. Jalan masuk ke kawasan itu ditandai dengan satu papan kenyataan yang memaparkan bahawa setiap kenderaan dan pelawat adalah tertakluk kepada pemeriksaan oleh pihak berkuasa.
Keseluruhan kompleks saujana mata memandang. Struktur bangunan yang kelihatan seperti istana lama Inggeris berdiri tegak di atas padang yang menghijau. Tetapi sayang, ini bukanlah istana gah seperti kisah-kisah dongeng yang selalu berakhir dengan 'Happily ever after'. Ini ialah istana yang dikelilingi pagar setinggi lima puluh lima kaki, siap dilengkapi dengan jaringan wayar berduri. Dalam kawasan 'istana' ini, terletaknya Regional Health Center (RHC). Namanya berbunyi biasa tetapi hakikatnya, RHC menempatkan kira-kira dua ratus lima puluh orang penjenayah, di mana beberapa orang daripadanya ialah penjenayah paling kejam di seluruh Kanada.
"Hei, kau dengar tak ni?"
Suara Benjamin sayup-sayup menyentuh hujung telinga Alex. Dia membiarkan lamunan terhenti dan mengalih pandang.
"Aku dengar."
"Habis tu?"
"Kau ingat aku lembik, tak boleh lawan kalau apa-apa jadi? Lagi satu, kalau kau ikut pun tak ada gunanya. Kau bukannya boleh masuk. Yang dapat kebenaran, cuma aku seorang. Tak termasuk kau."
Benjamin menyengih dan menggaru belakang leher.
"Ya tak ya juga. So macam mana?" Benjamin menyoal dengan muka yang tiba-tiba tampak teruja.
Sebelah kening Alex terangkat. "Macam mana apa?"
"RHC."
Seketika, Alex mendiam. Ingatannya kembali berlegar kepada kawasan yang dikelilingi pagar setinggi lima puluh lima kaki itu. Menarik, seperti dalam filem Hollywood. Tetapi, yang lebih menarik sudah pasti penghuni-penghuninya.
"I met them." Antara dengar tak dengar, Alex akhirnya menjawab.
"Who?"
Alex tidak terus membalas. Sebaliknya, dia mengambil semula cawan yang terletak di atas meja. Kopi yang tersadai tadi kembali diteguk. Segenap muka bersahaja. Pandangan jauh ke hadapan, seakan-akan menyimpan suatu rahsia. Kemudian, dia menyambung dengan suara yang sangat tenang.
"Psychopaths."
*****
Lapangan Terbang Kuala Lumpur, Ogos 2016
MATANYA melilau melihat sekeliling. Di sebelah kanannya, kelihatan tiga orang anak gadis terkinja-kinja serupa orang tidak pernah ke luar negara. Di sebelah kiri pula, kelihatan satu pasangan pertengahan umur sedang ketawa. Si lelaki jelas mengusik. Si perempuan tersipu-sipu manja. Hujung bibirnya senget sebelah. Mungkin ini yang dikatakan kemanisan dalam perhubungan. Huh, manusia memang tolol! Bertunjangkan sangat emosi dan perasaan, padahal manusia cuma seketul daging yang mampu bergerak, berbicara dan mungkin berfikir. Itu pun kalau punya otak yang bijak. Kalau tidak, apa bezanya manusia dan binatang? Tiada apa-apa.
Hanya. Daging.
"Excuse me."
Sebelah telinganya tiba-tiba disapa teguran. Hujung bibir menyenget lagi. Namun tidak langsung disedari oleh sang penegur. Bahkan, lelaki yang baru menegur itu terkelip-kelip memandang dengan muka naif.
Manusia tolol.
Otaknya berulang-kali berfikir begitu. Tetapi mukanya tidak mempamer apa yang difikirkan. Dia memaniskan muka. Senyuman dikulum lebar-lebar. Mata menatap dengan penuh rasa ambil berat.
"Yes, may I help you?"
Anak muda di sebelah senyum canggung. Bibirnya teragak-agak menyoal, "Do you know where to get the ERL?
Dia menghala tangan ke hadapan.
"Go straight, and then take a lift down to Level 1."
"Great. Thank you."
Kepalanya terangguk sedikit. Masih dengan senyuman yang tidak pernah sampai ke mata, apatah lagi ke hati.
"No problem. Welcome to Malaysia."
"Yeah, thanks again!" ucap anak muda itu sebelum berlari ke arah dua orang rakan yang menanti di satu penjuru.
Senyumannya mati. Mata kosong memandang keterujaan mereka. Apa yang seronoknya berkawan begitu? Apa yang hebatnya bersahabat? Hmm, mungkin dia patut tangkap salah seorang daripada mereka, kemudian belah otaknya. Manalah tahu jawapannya ada terselit di situ. Lagipun kata orang, otak menyimpan segala jenis rahsia manusia. Apa yang membuatkan seorang manusia itu ialah seorang manusia, adalah otaknya. Jika ada walau sebesar zarah kelainan dalam otak, justeru manusia itu bukan lagi manusia. Dia sudah jadi raksasa. A monster.
"Try to be normal."
Suara itu tiba-tiba berdengung di celah telinga. Bibirnya semerta menyenget. Normal? Ya, memang senang untuk menjadi normal. Pakai sahaja pakaian yang penuh bergaya, kemaskan wajah, tayang senyuman dan berkelakuan baik. Manusia lain pasti akan jatuh ke dalam genggaman. Kerana apa?
Sebab manusia memang tolol.
"Akak! Kak Tia!!! Here!!!"
Hujung telinganya menangkap satu seruan nama. Lewat ekor mata, dia melihat seorang lelaki sedang melambai-lambai ke arah pintu ketibaan. Dia membuat muka tidak peduli dan membiarkan sahaja. Tetapi hanya untuk sesaat. Kerana selepas itu, nama penuh yang dipanggil lelaki tersebut mengeraskan segala urat sendinya.
"Tihani Rose!"
Matanya bulat memandang seorang gadis yang sedang berjalan keluar. Tubuh tinggi lampainya menapak penuh keyakinan. Bagasi sederhana besar ditarik di belakang. Wajah cantiknya pula tampak manis dengan senyuman lebar.
Tihani Rose.
Nama yang suatu masa dahulu menghantui hidupnya, kini muncul semula.
"Rafael...Rafael!"
Dia tersentak. Perhatian teralih kepada wajah yang dekat di hadapan mata.
"Hey, what's wrong? You nampak macam baru lepas tengok hantu."
Kakinya bergerak merapatkan jarak. Bibir menayang senyuman janggal. Kemudian, dia menarik tubuh gadis ke dalam rangkulan.
"I was too surprised."
Gadis membalas pelukan.
"Why?"
"Seminggu ke US, you nampak lebih cantik."
Tawa halus menyentuh telinga.
"You are such a sweet talker, Rafael."
"Just for my Amber." Dia membalas. Masih dengan bicara manis. Namun, matanya tepat kepada Tihani Rose yang sudah berjalan pergi.
Tajam penuh tersirat.
*****
"SO, how's California?"
"Very busy. Pening kepala akak dengan all those election things," gerutu Tihani sambil membetulkan urat. Berpuluh jam berada dalam penerbangan, hampir kejung segala urat sendi. Kepala juga terasa berat. Rasa mengantuk meluap-luap.
Isy, bertahun ulang-alik antara Amerika Syarikat dan Kuala Lumpur, tetap juga teruk jet lag!
"Macam mana kalau Donald Trump menang?"
Tihani menguap sebelum menjawab, "Then, good luck, USA."
Terhambur tawa dari orang sebelah. Tihani mengerling kepada adik lelaki yang rajin menjemputnya di lapangan terbang.
"So, ayah akak apa khabar?"
Soalan Talha membawa ingatan Tihani kepada ayah kandung yang menetap di sana. Walaupun sudah sepuluh tahun ibu bapanya bercerai, masih terselit sedikit rasa ralat dalam hati.
Bukan!
Dia bukan menyalahkan ibu bapanya atas keputusan yang diambil. Dia faham. Cuma, yang membuat dia terkilan adalah hakikat bahawa penceraian itu bukan kerana luputnya perasaan cinta atau ketiadaan persefahaman. Tetapi kerana kekejaman seorang manusia lain.
Manusia yang sudah menjahanamkan segala-galanya!
Sekarang, mustahil untuk ibu bapanya merujuk semula. Apa tidaknya, masing-masing sudah meneruskan kehidupan sendiri. Mummy dengan suami baru, merangkap ayah kandung Talha Amzar. Daddy juga dengan isteri dan anak yang baru lahir. Tidak sangka, dalam usia dua puluh sembilan tahun, Tihani tiba-tiba mempunyai adik baru.
"Alhamdulillah, sihat. Tengah happy dapat baby baru," ucap Tihani setelah beberapa ketika mendiam.
"Mesti adik akak comel, kan?"
"Comel macam kakak dia."
"Perasan!" Laju Talha mencebik.
Tihani tertawa. Mata memandang ke hadapan. Lebuh raya yang terbentang luas, kelihatan tidak berpenghujung. Kelopak matanya terkedip-kedip. Rasa mengantuk cuba ditahan-tahan, tetapi sia-sia. Dia akhirnya terlena dibawa mimpi.
Langsung Tihani tidak menduga bahawa seluruh kehidupannya bakal menjadi satu mimpi ngeri.
*******
SEDUTAN BAB 2
"Kau fikir aku mahu bunuh kau?"
Mungkin Tihani sudah jadi tidak betul, tetapi kali ini suara itu kedengaran tersinggung.
Tidak! Itu cuma bayangannya sahaja. Lelaki ini mahu buat sesuatu kepadanya. Lelaki ini mahu membunuhnya. Sama macam Nadia Zulkifli.
Tihani menempelak diri sendiri dan menyepak kaki penyerangnya. Genggaman tangan lelaki itu bolos. Tumbukan Tihani naik lagi. Berkali-kali, tetapi semuanya tidak mengenai sasaran. Lawannya mengelak kiri dan kanan, dengan sangat bersahaja.
Satu saat, dia menangkap kedua-dua belah pergelangan tangan Tihani dan merengkuhnya kuat. Tihani terdorong ke hadapan. Wajah bertemu wajah. Nafas berdesah ganas. Mata di sebalik topengnya, bersabung dengan mata bundar Tihani. Samar-samar dalam gelap, tetapi Tihani seperti dapat melihat rasa terhibur dalam mata itu.
Jantan ini gembira dengan apa yang sedang berlaku!
"Kalau itu yang kau nak..."
Di tengah-tengah kata, lelaki tersebut menumbuk perut Tihani hingga tertolak ke belakang. Perutnya terasa hampir pecah. Sakitnya naik hingga ke kepala. Dalam keadaan terhuyung-hayang, Tihani melihat lelaki itu menyerbu lagi. Tubuhnya diangkat dan dibanting ke lantai. Tihani tergolek-golek dan terhentak pada tong sampah yang terletak berdekatan.
"Urghhh..." Dia menyeringai. Sakit! 
******
Finally!! Dapat jugak Cik SA kongsi AL kat sini. Manuskrip masih dalam pembikinan. Yeah, I know. Lambat macam siput sedut, tapi itulah...Cik SA asyik tak puas hati dan asyik buat rombakan. Huhu
And...it's another 'A' for my hero. Aariz, Amril, Amsyar, Arjuna and now Alex. Isy, suka sungguh dengan 'A'. Haha! 
Oh, one more thing. Macam Salju Kyoto sebelum ini, Cik SA akan update Aku Lelakimu sebanyak dua kali seminggu (Hari Isnin dan Khamis). Hari ni special case sebab sepatutnya upload semalam. Sorry! 
Do like, comment and share.
Dialu-alukan jugak untuk follow Cik SA di IG (ciksara_aisha) sebab kat sana, Cik SA banyak share teaser dan info pasal AL (dan novel Cik SA yang lain). 
Thank you, love you and welcome back, Sara Aisha to wattpad. Hahaha!!!
Love always,
SARA AISHA
(Cik Siung yang selalu jadi chipsmore)



Share this:

ABOUT THE AUTHOR

Hello We are OddThemes, Our name came from the fact that we are UNIQUE. We specialize in designing premium looking fully customizable highly responsive blogger templates. We at OddThemes do carry a philosophy that: Nothing Is Impossible

12 comments:

  1. Yeayyyy tak sabar nak tunggu novel keluar ^^

    ReplyDelete
  2. Intro yg menarik....buat kita tertarik
    - Azzna -

    ReplyDelete
  3. Tak sabarnyee😄😄😄 good luck kak
    Kite doakan akak berjaya... jiayou

    ReplyDelete
  4. Bagus sara..mencuba genre lain pulak ye...nak baca bab 2 pulak...

    -zuraini_latif-

    ReplyDelete
    Replies
    1. tq so much, kak. kali ni genre psycho-thriller pulak. hehe

      Delete
  5. Bagus sara..mencuba genre lain pulak ye...nak baca bab 2 pulak...

    -zuraini_latif-

    ReplyDelete
  6. Berdebar debar nak baca bab yang seterusnya. All the best for your writing!

    ReplyDelete