AKU LELAKIMU - BAB 6


BAB 6


BERITA yang terpampang di iPad dibaca berkali-kali. Tiga pembunuhan dalam masa enam minggu. Semua mayat ditemui dalam keadaan leher patah. Pihak polis tidak mengesahkan bahawa ini ialah pembunuhan bersiri. Namun, sesiapa sahaja boleh meneka.

"It's a bloody serial murder," getus bibir Alex.

Penemuan Nadia Zulkifli sebagai mangsa ketiga mengesahkannya. Ya, mengikut sifir yang selalu digunakan oleh pakar jenayah dan FBI, minimum tiga orang mangsa diperlukan untuk menilai seseorang sebagai pembunuh bersiri. Mangsa-mangsa pula dibunuh dalam kejadian yang berasingan, di mana ada 'cooling-off period' antara setiap satu pembunuhan. Dalam kes ini, 'cooling-off period' tersebut adalah dua minggu.

"Huh, tiga orang konon." Alex mencemik. Memang dari dahulu lagi, dia tidak bersetuju dengan kiraan itu. Bagi Alex, lebih dari satu pembunuhan sudah cukup untuk menyabitkan seseorang sebagai pembunuh bersiri. Lebih-lebih lagi, bila pembunuh itu siap ada 'cooling-off period.' Manusia jenis apa yang membunuh orang lain, berehat sekejap dan kemudian membunuh lagi? Apa dia ingat ini macam iklan Kit-kat?

"Tak habis lagi?"

Alex melirik ke sebelah. Benjamin baru menyoal tanpa memandangnya. Lelaki itu masih asyik membelek-belek majalah penerbangan.

"Tak cukup kau hampir mati sebab masuk campur malam itu, sekarang kau nak ambil tahu pasal semuanya pula?"

Butir bicara Benjamin semakin lama kedengaran semakin keras. Ada rasa tidak puas hati yang terselit. Alex menarik nafas agar bertenang, walhal dia dapat merasai betapa wajahnya berderau dengan setiap patah kata yang didengari.

"You do know that your empathy..."

"Can kill me," sambung Alex. Tenang tanpa perasaan.

Benjamin berpaling laju kepadanya.

"Habis tu, kenapa?"

Lambat-lambat, Alex menoleh ke sebelah.

"Are we still having this conversation? Tak cukup kau membebel di hospital, kau nak sambung di sini pula?" perli Alex. Fikiran melayang kepada segala jenis bebelan Benjamin yang terpaksa dia hadap selepas apa yang berlaku.

"Kau tahu, kan? Tanggungjawab aku untuk pastikan kau selamat. Your mother..."

"Dia akan faham."

"Is she? Anak dia hampir mati sekali lagi, dan dia akan faham? Itu maksud kau?" bentak Benjamin, dengan perkataan 'sekali lagi' yang ditekankan.

"Dia akan faham yang aku selamatkan seseorang. Bukan sekadar hampir mati," bidas Alex, bersama renungan mata yang tajam menikam wajah Benjamin. Sengaja mahu menunjuk betapa dia tidak gemar dengan perilaku sepupunya sekarang.

Nafas berat dihembus Benjamin. Wajah juga diraup sekali.

"Fine. Now, what? Apa kau nak buat?"

Benjamin akhirnya mengalah. Dia tahu tidak kira apa-apa pun yang berlaku, segala bebelannya tidak akan berkesan, sepertimana segala peristiwa menakutkan tidak akan pernah memberi kesan kepada Alexander Aryan.

Perhatian Alex kembali dialihkan kepada iPad di tangan.

"It's a serial murder."

"Obviously. Jumlah mangsa dah tiga orang, kan?" jawab Benjamin, turut melirikkan mata kepada berita yang terpampang pada iPad.

"Yeah. But I'm talking about the fourth victim."

Dahi Benjamin segera bertaut.

"Don't tell me, kau tahu siapa mangsa keempat dia?"

Alex tidak segera menjawab. Mukanya serius mengingati perbualan antara dia dan Talha Amzar sebelum masuk menjenguk Tihani.

"Talha beritahu aku..." Alex bertutur semula. Perlahan, antara dengar tak dengar.

"Talha?"

"Adik Tihani."

"Oh, yang kita jumpa kat hospital hari tu. Apa dia cakap?"

"Dia cakap Tihani sampai ke tempat tu, sebab dia dapat call daripada pembunuhnya."

Mulut Benjamin melopong.

"Kau biar betul?"

Sekilas, Alex menjeling pada lengannya yang sudah dicengkam Benjamin. Hujung bibir senget sedikit. Tadi bukan main tidak puas hati, sekarang dia pula yang lebih teruja.

"Ya."

"Jadi, kau fikir..." Suara Benjamin terhenti sekerat jalan. Dia merenung muka Alex tepat-tepat, dengan satu maksud.

Alex mengangguk kecil.

"He's going to kill her."

Jantung Benjamin dan-dan diserang debar. Wajah Tihani Rose menerpa ingatan.

"Aku tak tahu sebab sebenar dia call Tihani. Sekadar satu permainan, atau betul-betul mahu bunuh dia? Dan yang paling penting, did I ruin his plan? Aku tak tahu semua itu. Tapi satu yang aku pasti..."

Alex diam sesaat dan menyambung dengan emosi yang tiba-tiba terasa berat.

"Dia akan tamatkan apa yang sudah dia mulakan. Tihani Rose belum benar-benar selamat."

"But a serial killer doesn't go around killing one specific person," balas Benjamin. Setahunya, pembunuhan bersiri ialah sejenis pembunuhan rawak. Pelakunya membunuh hanya kerana mengikut perasaan, atau lebih tepat mengikut kegilaannya. Mangsa ialah orang asing yang dibunuh, hanya kerana ada manusia gila yang mahu membunuh!

"Unless..."

Renungan mata Alex bertukar serius.

"That person has been targeted."

Muka Benjamin berderau.

"Targeted stranger," bisiknya, sipi-sipi menyentuh telinga sendiri. Itulah istilah yang digunakan oleh FBI kepada situasi di mana sang pembunuh mengenali mangsanya. Tetapi, si mangsa tidak tahu apa-apa, bahkan mungkin tidak tahu akan kewujudannya. Itulah juga situasi yang lebih menggerunkan. Kerana sekali menjadi sasaran kepada seorang pembunuh bersiri, orang itu tidak akan mudah bolos.

Dan sesungguhnya, Tihani Rose sudah menjadi sasarannya. Ya, gadis manis bermata hazel itu, sudah jadi sasaran kepada malaikat maut dalam rupa seorang manusia jahanam.

*****

MUKA SURAT pertama dengan tajuk "Misteri Pembunuh Bersiri di Kuala Lumpur", dibaca ayat demi ayat.



KUALA LUMPUR: Seorang lagi remaja berusia tujuh belas tahun ditemui mati dipercayai akibat dicekik, berhampiran Jalan Tun Sambanthan, di sini, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Batrisyah Othman, berkata mayat ditemui dalam keadaan lehernya patah. Beliau juga mengesahkan bahawa keadaan mayat itu, serupa dengan dua kes sebelum ini.

Penemuan tersebut memberi spekulasi bahawa ketiga-tiga mangsa dibunuh oleh pembunuh bersiri. Namun, beliau enggan mengulas mengenai hal itu.



Bait-bait tulisan yang tertera di situ, dibaca hingga akhir. Tiada langsung nama Tihani Rose yang terselit. Tidak disebut tentang saksi yang mungkin boleh memberi maklumat kepada kes pembunuhan tersebut. Huh, nampaknya pihak polis mahu menyembunyikan hal itu. Mungkin mereka mahu melindungi Tihani Rose, atau mungkin juga ingin mengelakkan kekecohan. Sama seperti tindakan polis menyembunyikan satu lagi fakta tentang pembunuhan yang dia lakukan. Tidak mengapa, mereka boleh buat apa sahaja yang mereka mahu. Dan dia....

Akan buat apa sahaja yang dia mahu.

"Sayang..."

Hujung bibirnya senget saat mendengar seruan yang berbunyi dari arah pintu rumah. Akhbar di tangan, dilipat elok-elok dan diletak atas meja kopi. Perasan bahawa kedudukannya tidak serupa dengan sebelum ini, dia menggerakkannya sedikit.

"Hmm, perfect," getusnya dengan senyuman lebar.

"Sayang!!!"

"I'm here." Dia menjawab tenang. Tubuh diangkat dari duduk dan dipusing ke belakang. Terpampang muka gadis cantik dengan mata terbeliak.

"Oh my God, Rafael! What happened?" jeritnya kuat. Sekelip mata sahaja, tubuh langsing si gadis terpacak depan mata.

"Siapa buat you macam ni? Siapa pukul you? Dah report polis?" Bertalu-talu Rafael menerima soalan. Habis pipi dan mukanya dibelek-belek.

"Amber..."

"You nampak teruk. Siapa sanggup buat you macam ni?" Suara Amber bergetar kuat. Wajahnya keruh menahan tangisan yang bertakung.

Cepat-cepat, Rafael mengapit pipi tunangnya.

"Hei, jangan overreact macam ni."

Mata Amber membuntang lagi.

"Overreact? Tunang I kena belasah macam ni, dan you cakap I overreact? Look at you..."

Jari Amber menyentuh wajah Rafael yang bengkak.

"Bengkak sana, lebam sini."

Menitis setitik air mata Amber. Secepat itu juga, Rafael menariknya dalam rangkulan. Rambut separa bahu tunangnya diusap lembut.

"Please don't cry. You tahu I tak suka tengok you menangis, kan?"

"I lagi tak suka tengok you luka macam ni," balas Amber di celah-celah bunyi esakan yang semakin kuat.

"I'm okay, sayang. Sikit aje ni." Rafael mula memujuk.

"Tak sikit pada pandangan mata I."

"Seriously, I'm okay."

"Betul?"

"Pernah tak I tipu you?"

"Tak pernah. Tapi..." Amber meleraikan pelukan. Pandangan penuh cinta dan kerisauan terpancar jelas di mata.

"Apa yang dah jadi?"

Automatik, ingatan Rafael menerawang kepada peristiwa malam itu.

"Domestic violence," bohongnya selamba.

Dahi Amber berkerunyut.

"Maksud you?"

"I terserempak dengan satu pasangan suami isteri tengah bergaduh. Makin lama makin teruk, sampaikan husband tu pukul wife dia."

"So you cuba tolong, dan ended up kena belasah dengan husband tu?" sambung Amber, cuba meneka ke mana arah tuju penjelasan Rafael. Anggukan kepala lelaki itu mengesahkan tekaannya.

Keluhan kecil segera dilepaskan. Pergelangan tangan Rafael ditarik hingga ke sofa. Kemudian dia menolak bahu tunangnya agar duduk di situ. Punggungnya dilabuhkan di sebelah. Sekali lagi, dia membelek wajah lelaki tercinta yang sudah tidak sekacak selalu.

"You ni, kenapa baik sangat? Kadang-kadang, fikirlah pasal diri sendiri. Jangan hanya tahu tolong orang."

Rafael melunakkan pandangan mata. Kemudian, dia menaut jari-jemari Amber ke dalam genggaman.

"I tahu you risaukan I. But I'm okay, and I think I did the right thing. You sendiri pun tak suka kalau I biarkan lelaki tu terus belasah isteri dia, kan?"

Bibir Amber terjuih, namun dia tetap mengangguk kepala.

"You did the right thing, and I'm proud of you."

Muka Rafael dimaniskan lagi. Senyum dilebarkan. Sekali lagi, dia meraih tunangnya ke dalam pelukan. Amber membalas erat.

Proud of you.

Kata-kata itu terngiang-ngiang di gegendang telinga. Sedikit demi sedikit, renungan matanya berubah rentak. Lebih sinis. Lebih jahat.

Rafael Lee akan terus membuat perkara yang membanggakan.

*****

"ANYTHING for me?"

Dr. Laili melirik sekilas kepada jejaka yang tiba-tiba muncul di sebelah. Masih dengan perhatian kepada sekujur tubuh di atas meja, dia kemudiannya menjawab.

"The cause of death is cerebral hypoxia secondary to compression. Hence, an occlusion of the vessels supplying blood to the brain."

"Bahasa manusia, please."

Hujung bibir Dr. Laili membentuk senyum.

"Punca kematian ialah dicekik."

"Sama macam dua kes lepas."

"Ya."

"Jadi..."

Memahami bicara yang ingin dipantulkan oleh lelaki itu, Dr. Laili membawa tangan ke muka mayat di hadapan dan menyelak kelopak matanya.

Serta-merta, bunyi nafas berat menyinggah telinga. Lewat ekor mata, dia melihat sang jejaka meraup muka. Penuh kekusutan.

"Ya, mata dia dikorek." Dr. Laili mengesahkan apa yang sudah pun jelas.

ASP Edric mendiam. Pandangannya tepat kepada wajah Nadia Zulkifli yang sudah tidak sempurna. Masih dia ingat betapa terkejutnya dia sewaktu Dr. Laili memaklumkan tentang kehilangan mata Dyana Akir dalam kes pertama. Menurut wanita itu, keratan yang dilakukan oleh pembunuh ini sangat sempurna, hinggakan dia mampu mengeluarkan bebola mata mangsa tanpa merosakkan kelopaknya. Jadi bila kelopak itu terkatup, tiada siapa perasan bahawa matanya sudah lenyap.

Kerana itulah, tiada wartawan yang tahu bahawa mayat yang mereka lihat bukan sekadar mayat yang patah leher. Pihak polis juga bertindak merahsiakan maklumat tersebut kerana tidak mahu kekecohan berlaku. Atau lebih teruk, campur tangan media akan mengganggu penyiasatan.

Namun siapa duga, suspek ini akan menghubungi Tihani Rose, seorang wartawan jenayah? Mengingati gadis itu, ASP Edric berasa sangat bersyukur. Sekurang-kurangnya Tihani selamat. Jika tidak, mungkin sahaja dia sekarang sedang menghadap tubuh kaku Tihani Rose, tanpa mata hazelnya yang cantik.

Sungguh! Manusia jenis apa yang membunuh orang, kemudian mengambil bebola matanya?

"Sama macam kes sebelum ini, pembunuh ini betul-betul tahu mana nak masukkan pisau di sekeliling mata, making sure that the adjoining skin is not injured. And on top of that, he cuts the six major muscles holding each eye in the socket, as well as the rope-tough optic nerve."

Penjelasan Dr. Laili kedengaran tenang benar. Bahkan, ada biasan kekaguman dalam nada suaranya, seolah-olah apa yang dibuat oleh sang pembunuh ialah sesuatu yang sangat menakjubkan. Mujur ASP Edric sudah cukup mengenali Dr. Laili. Kalau tidak, mungkin dia menganggap wanita ini sebagai seorang psikopat sadis yang menggemari benda-benda mengerikan.

"Sesiapa yang buat ini, memang dah banyak kali berlatih."

ASP Edric merenung Dr. Laili yang masih asyik membelek-belek mayat. Ah, padan sungguh gelaran 'Doktor Besi' yang disandangnya. Bagilah mayat dalam keadaan macam mana sekali pun kepada wanita ini, dia tetap boleh menghadapnya dengan selamba. Mayat dengan leher patah dan biji mata dikorek? Itu setakat celah gigi buat seorang Kartika Laili.

"Dan dia menggunakan scalpel."

Komen Dr. Laili menyentak ASP Edric.

"Maksud kau, kemungkinan besar suspek ialah doktor bedah?"

"Dia ada pengetahuan. Dia ada kemahiran. Tapi dia tak semestinya seorang doktor bedah," balas Dr. Laili. Tidak mengiya, mahupun menafi.

"Cuma..."

"Apa dia?" Melihat Dr. Laili yang tiba-tiba menggigit bibir di tengah-tengah kata, ASP Edric pantas menyampuk.

Dr. Laili tidak segera menjawab. Sebaliknya dia mengalihkan perhatian daripada Nadia Zulkifli dan membawa dirinya betul-betul menghadap ASP Edric.

"As a forensic pathologist, I sepatutnya bercakap berdasarkan bukti saintifik atau apa yang I jumpa pada mayat."

"Yeah, so..."

ASP Edric angkat sebelah kening, mahu Dr. Laili menyambung kata.

"I can't help but have this strange feeling that pembunuh ini sebenarnya sedang berlatih."

"Berlatih? Maksud kau?"

"Ya, memang I cakap keratan dalam ketiga-tiga kes ini cukup sempurna. Tapi I dapat rasakan yang setiap kali dia membunuh, dia sebenarnya cuba menyempurnakan lagi perbuatan dia. It's like he's waiting for a perfect target. Or rather, he's waiting for the most perfect cut for the most perfect target."

Dan-dan, kelibat Tihani Rose melintas dalam fikiran ASP Edric. Namun cepat-cepat dia menggelang kepala, cuba menghalau bayangan itu pergi. Perhatian kembali diberi kepada apa yang baru didengari. Sungguh, darahnya terasa menyirap. Sejak dari awal, dia sudah yakin bahawa pembunuh tersebut memang gila. Jadi berita ini, bukanlah berita yang baru kepadanya. Tetapi satu yang dia tidak boleh terima.

Sebab kepada semua pembunuhan ini!

"Kalau betul apa yang kau cakap, maksudnya tidak ada motif atas pembunuhan budak-budak ni, kecuali jadi bahan latihan?" Hampir tersekat air liur ASP Edric saat melontar soalan.

"Itu yang buat pembunuhan ini jadi pembunuhan bersiri, kan? A serial killing is a motiveless killing." Dr. Laili membalas. Masih tenang.

ASP Edric menghela nafas. Otaknya tambah serabut. Tanpa motif, tahap kesukaran pihak polis untuk menangkap pembunuh ini jadi lebih berkali ganda. Kadangkala dia tertanya-tanya, manusia jenis apa yang sedang dia hadapi? Setiap pembunuhannya langsung tidak meninggalkan kesan. Tiada bukti. Tiada cap jari. Tiada DNA. Tiada apa-apa pun.

Fikirnya, pihak polis akan memperoleh sesuatu kali ini. Sementelah, pembunuh itu muncul di hadapan Tihani Rose dan Alexander Aryan. Tetapi seperti biasa, mereka silap. Pasukan forensik tidak menemui apa-apa. Hujan yang turun memburukkan keadaan. Bukti yang mungkin tertinggal di celah-celah kawasan itu, lenyap terus. Kalau ada pun, sudah tercemar.

Huh, mungkin Tuhan juga menyebelahi manusia kejam ini!

"Selain itu, ada apa-apa lagi yang kau boleh beritahu?" soal ASP Edric, kembali kepada perbualan asal.

Dr. Laili mengerling sekilas kepada jenazah Nadia Zulkifli.

"Setakat ini, tidak ada. Tapi kalau I jumpa apa-apa lagi, I akan terus contact you."

ASP Edric mengangguk tanda mengerti.

"Thanks. Aku gerak dulu," ucap ASP Edric seraya mengangkat kaki.

"Ed..."

Baru tiga langkah, panggilan Dr. Laili menghenti kaki. Tubuh dipusing kembali. Menghadap Dr. Laili yang masih berdiri tegak sambil memandangnya. Ada sesuatu dalam pandangan mata wanita besi ini. Ada emosi yang jarang-jarang sekali ASP Edric nampak.

"There is no such thing as perfect murder. Itu yang I percaya. So please..." Bait bicara Dr. Laili mati di sekerat jalan. Air mukanya bertambah keruh.

"Dapatkan keadilan untuk budak-budak ni."

ASP Edric terpempan. Permintaan Dr. Laili kedengaran berharap benar. Itu jugalah harapannya sejak enam minggu yang lalu. Tetapi masalahnya sekarang, mampukah dia menghentikan seorang manusia gila yang sedang menggila?

**********

NOTA CIK SA

'Serial killing is a motiveless killing.' Scary, kan? Tapi I'm telling you this, ke'psycho'an Rafael tu baru sikit, tau. Erk!

Habislah Tia, macam manalah dia nak selamatkan diri? Okey, Alex. Sila balik cepat-cepat dari Manila.

Enjoy, like and do comment!

Love,

SA 

Share this:

ABOUT THE AUTHOR

Hello We are OddThemes, Our name came from the fact that we are UNIQUE. We specialize in designing premium looking fully customizable highly responsive blogger templates. We at OddThemes do carry a philosophy that: Nothing Is Impossible

0 comments:

Post a Comment