AKU LELAKIMU - BAB 5


BAB 5
“APA kau cakap?”
Tihani melepas nafas. Dada terasa sakit, seolah-olah ada sesuatu yang tersekat di situ. Menurut doktor, mujur sekali serangan yang diterima tidak meretakkan tulang rusuk. Jika tidak, semakin lama masa yang diperlukan untuk sembuh.
Kemudian, dia memandang ASP Edric dalam-dalam. Bersama nada suara yang sengaja ditekankan, dia mengulang apa yang dititipkan beberapa saat lepas.
“Aku cakap, aku dapat panggilan daripada dia.”
Riak muka ASP Edric berderau.
“Apa maksud kau?”
“He called me. Pasal Nadia Zulkifli.” Walaupun Tihani cuba kedengaran tenang, suaranya tetap bergetar. Seakan-akan masih terbayang sekujur tubuh yang kaku tidak bernyawa itu.
“He called you?” ASP Edric masih diselubungi rasa tidak percaya. Sepanjang dia menjadi Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, inilah kali pertamanya dia mendengar ada wartawan jenayah menerima panggilan daripada seorang penjenayah.
“Ya. Dia telefon nombor ofis aku. So, mungkin kau boleh ke ofis untuk check, atau detect, atau apa-apa yang kau perlu buat.”
ASP Edric memberi isyarat kepada Sarjan Razlan, orang bawahan yang sedari tadi berdiri di penjuru bilik.
“Bawa budak kita ke pejabat Berita Semasa sekarang. Check panggilan yang mereka terima,” arah ASP Edric kepada Sarjan Razlan. Sekelip mata, pembantu pegawai penyiasat itu menghilang di sebalik pintu.
“Now, tell me.” ASP Edric kembali menghadap Tihani. Tangan dibawa bersilang ke dada.
“Kenapa kau tak beritahu aku dulu sebelum pergi ke sana sendiri?”
“Kau sendiri pernah beritahu aku, kan?”
“Apa dia?”
“Sejak kes pembunuhan Dyana Akir, pihak polis dapat banyak panggilan palsu. Kononnya untuk membantu siasatan, tetapi sebenarnya untuk memperoleh reward yang ditawarkan oleh keluarga mangsa.”
“Jadi sebab itu…”
“Ya, aku kena pergi dulu. Aku kena check betul-betul.”
“Bukan sebab kau nakkan scoop?”
Telinga Tihani berdesing. Dia mendengus sebelum menjawab, “Walaupun aku selalu pentingkan scoop, aku juga lebih sayangkan nyawa aku.”
“Well, who knows? Sebab dah banyak kali kau beritahu aku bahawa tanggungjawab kau untuk sampaikan berita. Untuk beritahu cerita sebenar kepada orang ramai. Dan yang paling penting, untuk bagi…”
“Keluarga mangsa rasa bahawa ada orang yang peduli pasal mangsa. Ada orang yang tidak akan lupa.” Tihani menyambung dengan lagak tenang. Namun, ketenangan itu cuma untuk tatapan mata ASP Edric sahaja. Hakikatnya, ketenangan sudah lama meninggalkan dia.
“Ya, itu maksud aku.”
Mata Tihani terpejam sesaat.
“Ed…”
“Hmm…”
“Kau tahu apa yang dah berlaku pada keluarga aku, kan? So, I’m telling you this. Kalau aku betul-betul yakin yang mangsa ada di situ, pembunuhnya ada di situ, aku takkan pergi. Aku tak gila macam tu!”
Entah kenapa, bicara Tihani terasa seperti dusta. Dia tiba-tiba teringat betapa yakinnya dia bahawa Nadia Zulkifli ada di situ. Walaupun berkali-kali diajak pulang oleh Vanessa, dia tetap berkeras untuk mencari.
Jadi persoalannya sekarang, betulkah dia tidak yakin atau dia sebenarnya sengaja mencari nahas?
Tihani menggeleng sedikit, mahu menghalau kemungkinan itu pergi. Siapa peduli tentang itu sekarang? Yang penting, dia selamat. Alex juga selamat.
“Okay, fine.”
Suara ASP Edric kembali menarik perhatian Tihani.
“Kalau itu yang kau cakap, then fine. Cuma sekarang, aku nak tanya pasal pemanggil tu. Kau kenal dia?”
Tihani diam sejenak. Pandangan ditala jauh ke hadapan, cuba mengingati suara, kata-kata dan susuk tubuh lelaki bertopeng.
“Tak. Aku tak pernah dengar suara dia. Aku tak cam dia,” putus Tihani selepas beberapa ketika.
“Betul ni?”
“Ya, aku pasti. Aku tak kenal dia.” Sekali lagi, Tihani menegaskan.
“Habis tu, kenapa dia call kau?”
“Aku tak tahu. Tapi…”
“Apa?”
Perlahan-lahan, Tihani melangut muka. Pandangan penuh keyakinan dipanahkan tepat ke muka ASP Edric. Tanpa secalit keraguan, dia kemudiannya bersuara.
“Dia kenal aku.”
Suasana hening. Lama ASP Edric merenung Tihani, mencari kepastian di sebalik kata-kata itu. Ternyata, yang ada cuma keyakinan yang jitu. Bahkan, Tihani langsung tidak melarikan anak mata.
“Dia sebut nama aku masa dia call aku. Dia tahu aku akan pergi. Dia tunggu aku datang,” terang Tihani bersama debaran jantung yang semakin berkocak. Suara dingin menyeramkan itu, seolah-olah terngiang dan melekat terus dalam gegendang telinga.
“Aku tak tahu kenapa dia buat macam tu, dan apa yang dia nak daripada aku. Aku tak rasa aku bermusuh dengan sesiapa hinggakan ada orang sengaja perangkap, atau sengaja mahu bunuh aku.” Tihani menyambung sebelum ASP Edric menyuarakan pertanyaan yang selalu disoal oleh pihak polis kepada mangsa.
Soal musuh.
Benar! Selama dia menjadi wartawan jenayah, dia pernah terlibat dalam beberapa operasi polis. Bahkan, dia pernah menyamar sebagai budak sekolah untuk memerangkap jantan pedofilia. Dia juga banyak menulis laporan tentang penjenayah tegar di Malaysia. Tetapi, itu tidak bermakna dia punya musuh. Dia bukan berada di Mexico, di mana hampir setiap hari ada wartawan yang diculik, diseksa dan dibunuh kejam oleh kartel dadah. Ini Malaysia. Penjenayah di sini, tidak sampai ke tahap membunuh wartawan sewenang-wenangnya.
“Kita tak boleh tolak kemungkinan tu lagi. Lepas ni, aku nak kau bagi senarai nama orang yang mungkin bermusuh dengan kau.”
Mulut Tihani melopong.
“Senarai? Kau ingat aku ni siapa, sampaikan ada senarai musuh bagai?”
“Just think! Mungkin ada orang yang tak puas hati dengan kau, mungkin ada penjenayah yang memang dari awal aim kau. Who knows?”
Tihani bungkam. Otak ligat berfikir dan menimbang tara akan kemungkinan itu. Tetapi, intiusinya tetap membangkang. Dia tetap merasakan bahawa apa yang jadi bukan sekadar dendam dan permusuhan. Kalau itu benar, kenapa pembunuh ini harus merenggut nyawa tiga orang anak muda yang lain? Kenapa tidak terus dapatkan dia? Kenapa baru sekarang…
Monolog Tihani terhenti sendiri. Mata membulat, diserbu satu kemungkinan lain.
“Macam mana kalau dia nak aku keluarkan cerita dia?”
Kening ASP Edric bertaut. Ada tanda tanya yang terpalit.
“Apa maksud kau?”
“Cuba kau fikir. Dia bunuh tiga orang. Tapi selama ini, pihak polis tutup mulut. Kami wartawan pun tak boleh lapor apa-apa sangat. Apa yang kami cover dalam dua kes sebelum ini lebih kepada cerita mangsa, bukan pemangsa.”
“So kau nak cakap yang dia aim kau sebab kau ialah wartawan? Dia nak kau tulis cerita dia? Cerita pemangsa. Macam tu?” sampuk ASP Edric dengan perkataan ‘pemangsa’ yang sengaja ditekankan.
Tihani angguk mengiya.
“Ya. Macam Son of Sam atau Jack the Ripper yang dengan bangganya, hantar surat mengejek kepada polis dan akhbar tentang pembunuhan mereka. Disebabkan surat-surat tu, orang ramai sedar pasal kewujudan mereka.”
“Kau fikir orang ramai belum cukup sedar pasal dia? Kau tak tengok apa yang ada kat internet tu? Berapa ramai orang keluarkan cerita, assume macam-macam, mengalahkan polis?”
Ada biasan sebal dalam nada suara ASP Edric. Tihani tahu lelaki itu geram benar dengan netizen dan keyboard warrior yang bukan main mengecam pihak polis semenjak kes ini menggemparkan Malaysia.
“Itu dalam internet, yang tak boleh dikira sangat. Not front page of newspaper, atau headline berita utama.”
ASP Edric gelak tiba-tiba. Agak sinis pada pendengaran telinga Tihani.
“Kau memang pandai menjawab, Tihani. Tapi kau lupa satu perkara.”
“Apa dia?”
“Kalau itu tujuannya, dia takkan cuba untuk bunuh kau.”
Tihani terkedu. Benar apa yang dikatakan oleh ASP Edric. Jika pembunuh itu mahu gunakan dia untuk menyampaikan sesuatu, pasti dia tidak akan diserang sebegitu rupa.
Mana mungkin orang yang sudah mati boleh menulis berita!
“Jadi buat masa sekarang, kita tak boleh buang kemungkinan yang dia memang sasarkan kau. Kerana apa, itu kita kena siasat. Tapi apa-apa pun sebabnya, kejadian malam ini bukan satu kebetulan. Ada sebabnya dia contact kau. Ada sebabnya dia cuba bunuh kau.”
Semakin Tihani mendengar bait bicara ASP Edric, semakin lenyap ketenangan yang cuba diada-adakan. Air liur bertukar jadi sangat kelat. Peluh menitis di dahi, padahal segenap pelusuk bilik diselubungi sejuknya penghawa dingin. Jari-jemari yang disembunyi bawah selimut mula bergetar. Cepat-cepat, Tihani mengepalnya. Nafas dihela dalam-dalam, cuma memanggil semula ketenangan yang mula menjauh.
“It’s funny,” tutur Tihani dengan suara yang entah keluar entah tidak.
“Huh?”
“Selama ini aku tulis pasal orang yang dibunuh, orang yang hampir dibunuh, mangsa dalam macam-macam kes. Tapi sekarang…”
Tihani tarik senyum, lebih kepada menyinis diri sendiri.
“Nama aku yang mungkin bila-bila masa terpampang dalam akhbar.”
“Tia…”
Seruan ASP Edric berbaur serba-salah. Tihani senyum lagi. Kelat.
“I’m okay. Sekurang-kurangnya, aku masih hidup untuk satu hari lagi.”
“Pihak polis akan cuba sedaya-upaya untuk tangkap dia.”
Kenyataan ASP Edric kedengaran bersungguh benar, namun hati Tihani tidak berapa yakin. Sudah enam minggu berlalu sejak pembunuh ini mula menghantui Malaysia, tetapi tiada langsung klu yang diperoleh pihak polis. Bukan dia mahu berasa skeptikal terhadap kemampuan pihak polis, tetapi musuh mereka kali ini bukan calang-calang orangnya!
“Satu lagi aku nak tanya.” ASP Edric kembali kepada sesi soal siasat.
“Apa dia?”
“Pasal Alexander Aryan.”
Wajah kacak jejaka itu spontan menerjah kotak memori Tihani. Apa khabar lelaki itu? Sudahkah dia menerima rawatan?
“Kenapa dengan dia?”
“Berapa lama kau kenal dia? Dan berapa banyak yang kau tahu pasal dia?” Pertanyaan ASP Edric berbunyi serius. Matanya tepat memanah ke muka Tihani.
Dahi Tihani berkerut. Hati diserbu rasa tidak senang.
“Kenapa kau tanya macam tu?” Soalan juga yang Tihani pantulkan.
“Aku jumpa dia untuk ambil kenyataan.”
“So?”
“There’s something off about him.”
Dan-dan, ingatan Tihani menerawang kepada pertemuan pertama antara dia dan Alexander Aryan. Masih terngiang-ngiang lagi pengakuan ‘I am obsessed with serial killers’. Siap dengan wajah dan senyuman bersahaja.
Sekali, Tihani berdehem. Memori yang satu itu, cuba dibuang jauh-jauh. Kemudian, dia kembali ke perbualan asal.
“Maksud kau?”
“He’s too calm.”
“Dia memang jenis macam tu,” balas Tihani. Entah kenapa, dia tiba-tiba mahu mempertahankan Alex. Padahal, dia tidak kenal siapa Alexander Aryan yang sebenarnya.
“Dia jumpa seorang perempuan yang hampir dibunuh, dia tengok mayat, dan dia berdepan dengan suspek. Aku tak fikir itu satu keadaan di mana kita boleh jadi terlampau tenang.”
“He is a true crime writer, with abnormal and criminal psychology background. Dah banyak kali terlibat dengan kes polis. Jadi tak hairan kalau…”
“Kau betul-betul fikir macam tu?”
“Huh?”
“Masa aku sebut ada something off pasal dia, mata kau nampak terkejut. Muka kau berubah. Mengaku saja, Tia. Kau juga rasa apa yang aku rasa, kan?”
Tihani bungkam sejenak. Patutlah Edric menjadi seorang polis. Matanya tajam benar.
“Aku cuma tak sangka yang kau akan mengesyaki dia. Alex juga saksi macam aku. Dia juga mangsa. And in fact, he saved me,” dalih Tihani.
“Aku tahu. Tapi aku tak boleh tolak sebarang kemungkinan.”
“Which is?”
“Kita tak pasti kalau pembunuh ini ada rakan subahat.”
“Mesti kau dah check dia, kan? Dia tak ada pun kat Malaysia masa pembunuhan Dyana Akir dan Tiffany Lau.”
ASP Edric merengus kuat. Itulah yang membuatkan dia tidak boleh berbuat apa-apa terhadap Alexander Aryan. Berdasarkan rekod keluar masuk ke Malaysia, sehingga tujuh hari yang lepas, lelaki tersebut berada di luar negara. Kemasukan ke Malaysia pula, atas sebab siri jelajah buku ke negara Asia Tenggara.
Kemunculan dia di tempat Tihani diserang, juga satu kebetulan. Alexander Aryan dalam perjalanan pulang ke hotel dari restoran mamak berdekatan. Menurut lelaki itu, lama tidak pulang ke Malaysia, dia merindui masakan mamak. Makan nasi kandar pada pukul satu pagi. Itu memang aneh!
Tetapi, kenyataannya disahkan oleh pemilik restoran dan beberapa orang pekerja. Bahkan, kelibat Alexander Aryan terpampang jelas di CCTV restoran. Sedang asyik menikmati makanannya, lima minit sebelum kejadian.
Pendek kata, lelaki itu juga seperti Tihani Rose. Berada di tempat yang salah, pada masa yang salah dan bersama orang yang salah.
“He has perfect alibi,” akui ASP Edric. Tidak ada kerelaan dalam nada suaranya.
“See?”
ASP Edric menyengap. Mungkin ada betulnya kata Tihani. Tetapi dia benar-benar tidak dapat menolak prasangka. Panggillah dia paranoid. Panggillah dia bersangka buruk, tetapi dia ialah seorang pegawai polis. Intuisinya mengatakan bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan lelaki bernama Alexander Aryan itu.
Dia yakin. Dia pasti.
“Fine. For now, let’s stop talking about him,” tutur ASP Edric, sudah malas membincangkan soal lelaki bernama Alexander Aryan itu.
“Ini aku nak bagitahu kau. Mulai hari ini, aku akan letak orang untuk jaga kau.”
Hampir terlurut rahang Tihani saat mendengar bicara tersebut.
“Jaga aku? Maksud kau, kau nak letak polis untuk jadi bodyguard aku?”
“Ya. Dah ada dua orang kat luar bilik. Mereka akan melindungi kau hingga kes ni reda. Kau jangan risau. Tak adalah rapat sangat. Cuma untuk pastikan, mereka ada dekat kau kalau berlaku apa-apa.”
“Aku rasa tak perlu kut untuk kau buat macam tu sekali.” Laju Tihani membantah.
Gila apa? Walaupun sekadar menjaga dari jauh, tetapi macam mana dia mahu buat kerja kalau ada dua orang polis menempel sama? Isy, tidak pernah dibuat orang, wartawan jenayah pergi ke mana-mana dengan pengawal peribadi. Tidak pernah wujud dalam sejarah kewartawanan Malaysia. Kalau diketahui oleh rakan-rakan wartawan di syarikat akhbar lain, mungkin sahaja dia akan ditertawakan.
“Perlu. Kau baru saja terselamat daripada serangan pembunuh. Kau dah jadi saksi. You saw him, Tia.” Nada suara ASP Edric mula bertukar tegas.
“Dia pakai topeng. Aku tak nampak muka dia.”
“Itu bukan soalnya. Yang penting sekarang, kau saksi utama dalam kes ini.”
“Bukan aku seorang,” sindir Tihani dengan nada sebal.
“Kau yang jadi sasaran. Bukan dia.” Pantas ASP Edric membidas.
Tihani merengus dalam diam.
“Look, ASP Edric Chong. Kau sendiri beritahu aku, kan? Yang pihak polis tak cukup orang untuk handle kes ini, sampaikan Bukit Aman terpaksa tarik pegawai dari balai lain. Jadi kenapa nak bazirkan orang demi aku?” Kali ini, Tihani menggunakan pendekatan psikologi. Maklumat yang diperoleh sebelum ini, dijadikan senjata sebagai bahan pujukan.
ASP Edric gigit bawah bibir. Apa yang dikatakan oleh Tihani benar belaka. Pasukannya sudah cukup kelam-kabut kerana kekurangan orang. Macam-macam yang perlu mereka buat. Macam-macam yang mereka perlu hadap. Hilang dua orang lagi, mungkin memberi kesan kepada seluruh penyiasatan.
“Lagi satu, aku ni wartawan. Kau fikir aku boleh buat kerja kalau ada polis ikut aku?” sambung Tihani. Fikirannya menerawang kepada beberapa orang pemberi maklumat yang berupa bekas penjenayah. Mana mungkin mereka membuka mulut kalau ada polis berdekatan? Mustahil!
Beberapa minit mendiam, ASP Edric akhirnya melepaskan nafas.
“Okay, fine. Tapi…” Jari telunjuk ASP Edric ditala hampir menyentuh hidung gadis degil di hadapannya.
“Kau kena lebih berhati-hati. Jangan buat benda melulu.”
Tihani senyum segaris.
“Jangan bimbang. Aku akan lebih berhati-hati, aku takkan buat benda bodoh dan aku akan cepat-cepat call polis kalau ada apa-apa jadi.”
ASP Edric menjeling kepadanya. Bibir terjuih.
“Huh, kau! Kalau berjanji tu, bukan main. Tapi tup…tup, sampai tempat macam-macam.”
Gelak halus terpantul dari mulut Tihani.
“Aku kan wartawan. Mestilah kena sampai ke tempat macam-macam.”
“Pandai menjawab,” cebik ASP Edric seraya bangkit dari kerusi.
Tihani yang masih bersandar di kepala katil, segera memanggung kepala. Mereka kembali bertatapan.
“Aku pergi dulu. Kalau kau ada ingat apa-apa lagi, terus telefon aku.”
Pesanan ASP Edric dibalas dengan anggukan. Namun tidak seperti kata-katanya, ASP Edric tidak pula berlalu pergi. Sebaliknya, dia terus-terusan merenung gadis di hadapannya.
Dahi Tihani mula berkerut.
“Kau kenapa tengok aku macam tu?”
ASP Edric tersentak dan cepat-cepat menarik senyum. Sangat plastik.
“Nothing.” Dia menjawab senada. Kaki dibawa melangkah, tetapi ekor matanya masih melekat pada wajah Tihani Rose. Dahi gadis itu masih berlapis. Mata pula masih terkelip-kelip menghantar pemergiannya.
Ya, mata.
*****
TITIS-TITIS hujan yang melekat di jendela bilik, dipandang lama. Sejak semalam, hujan masih setia mencurah-curah. Mungkin langit juga menangisi nasib gadis-gadis yang sudah menjadi mangsa kepada sebuah kekejaman. Ironinya, dia hampir menjadi salah seorangnya.
Dalam-dalam, Tihani menggali nafas. Jantung yang masih berdebar cuba ditenteramkan. Dia perlu kuat. Dia tidak boleh lemah. Dia harus jadi seperti tadi, sewaktu dia dengan sangat bersahaja menceritakan semuanya kepada ASP Edric, mempertahankan Alexander Aryan dan membangkang tindakan meletak orang untuk melindunginya.
Ya, dia perlu kuat. Seperti selalu.
Krik…
Tihani tersentak. Spontan dia menoleh kepada pintu yang sedang ditolak dari luar. Tersembul wajah jejaka yang sedari tadi menghantui fikiran.
“Oh, sorry tak ketuk dulu. Ingatkan you tengah tidur.”
Teguran Alex tidak berjawab. Tihani cuma diam menatapnya. Mereka berpandangan antara satu sama lain. Masing-masing dengan muka bertampal sana-sini. Lebam dan luka di merata-rata. Sejenak kemudian, mereka sama-sama senyum.
“What a dramatic second meeting.” Alex kembali menyambung kata. Kaki panjang diayun masuk ke bilik Tihani.
“Well, life can be dramatic and funny all in the same day.”
Alex gelak halus, sebelum dia tiba-tiba memegang bawah bibir. Dahi berkerut.
“Are you okay?” Laju Tihani menyoal.
“Orang yang tanya I pula macam mana?” Soalan juga yang diutarakan oleh Alex. Dia sudah selamat menjatuhkan duduk di kerusi sebelah katil. Mata hitamnya dibawa ke segenap muka Tihani. Walaupun Tihani menayang muka selamba, Alex masih mampu melihat kesakitan yang ditahan-tahan. Juga, rasa takut yang terselit di celah-celahnya.
“I’m fine.”
“You don’t look fine to me.”
Okay, let me I rephrase it. I’m alive. Thanks to you.”
Suara Tihani kedengaran bergetar di telinga Alex. Dia jadi semakin yakin. Ketenangan Tihani ialah kepalsuan semata-mata. Tetapi untuk menyoal lebih lanjut, dia tahu dia tidak layak. Lalu, yang dia buat cuma merenung wanita itu dalam-dalam, mengukir senyuman dan bersuara lembut.
“And thanks to you, Tihani Rose…I’m alive.”
Tihani tergamam. Matanya pegun menatap wajah polos Alex. Seperti selalu, wajah itu indah dengan senyuman dan eye smile. Sedikit-sedikit, jantung Tihani dihinggap rasa sesak. Kalau apa-apa berlaku kepada lelaki ini tadi, dia tidak dapat melihat semua itu lagi.
Tiada mata indah. Tiada senyuman ikhlas. Tiada eye smile comel.
Semuanya lenyap. Macam dulu.
“Tia…”
“Huh?”
“You’re crying,” tegur Alex. Sebelah tangan terangkat hampir mengenai pipi Tihani. Namun cepat-cepat, Tihani menjauh muka dan mengelap pipi. Basah! Entah bila dia menangis, dia juga tidak sedar. Senyuman palsu, segera diukir.
“Apa you buat kat sini sebenarnya? You should stay in your room.”
“Room? I tak ada room,” Alex menjawab, sekadar melayan Tihani yang jelas mahu menukar topik.
“Huh?”
Tihani baru perasan bahawa Alex tidak mengenakan pakaian hospital. Lelaki itu segak dalam persalinan kemeja putih dan jeans biru.
“Kecederaan I bukannya teruk. Tak perlu masuk wad.”
“Muka macam ni tak teruk?”
“I am a man, Tihani Rose. Perkara macam ni, benda biasa bagi kami.” Tenang sekali jawapan Alex, tetapi telinga Tihani rasa berdesing.
“Maksudnya, perempuan cuma boleh jadi lemah? Macam tu?”
“Tidak. Tetapi seorang perempuan tidak patut diperlakukan macam ni. A woman should be cherished. Not hurt.”
Tihani gelak sinis. Mata memandang jauh ke hadapan. Ingatan terbang kepada malam yang telah menyaksikan seorang lagi perempuan diperlakukan kejam oleh seorang lelaki. Ingatannya juga melayang kepada bayangan gadis cantik yang tiba-tiba muncul sewaktu dicekik semalam. Gadis yang sangat dia rindui, melebihi segala-galanya!
“Kalau semua lelaki fikir macam you, then dunia ini akan jadi lebih aman. Tapi hakikatnya…”
“Ramai lelaki menjadikan wanita sebagai tempat melepaskan kegilaan.”
“Sebab itulah, perempuan perlu jadi kuat. Tak boleh lemah. Tak boleh takut,” sambung Tihani. Dengan setiap patah kata, dia jadi semakin beremosi. Ketakutan yang dia rasa waktu hampir mati semalam, kembali terbayang-bayang dalam diri.
Huh, dia memang lemah! Memang pengecut!
Suasana hening antara mereka. Alex membisu. Tetapi lewat ekor mata, Tihani tahu lelaki itu ralit merenung.
“Being scared is not a weakness, you know.” Sayup-sayup, suara garaunya berbunyi.
“You’re just a human.”
Tihani diam, sebelum perlahan-lahan menoleh semula kepada Alex. Mereka berbalas renungan, seolah-olah cuba membaca riak wajah masing-masing. Cuba masuk ke dalam jiwa.
“Then, are you not a human?” Dengan suara mendatar, Tihani memecah keheningan.
Wajah tenang di hadapan tiba-tiba berubah rentak. Hati Tihani disuntik rasa tidak enak. Adakah dia baru menyakitkan hati orang? Tetapi dia cuma bercakap yang benar. Sejak pertemuan mereka, Alex tampak terlampau tenang. Ketika tiba-tiba muncul di lorong itu, ketika berlawan, hinggalah ke saat ini, yang ada pada Alexander Aryan cuma ketenangan. Tiada secalit ketakutan atau rasa terkejut dalam dirinya. Bila difikirkan semula, mungkin benar kata ASP Edric. Ketenangan Alex tidak kena pada tempatnya.
“Mungkin you betul. I bukan manusia.”
Muka Tihani tersirap. Matanya melekat pada bibir Alex yang tiba-tiba membentuk senyum. Belakang tengkuknya semerta meremang. Senyuman itu mengingatkan Tihani kepada senyuman serupa yang dia lihat beberapa hari lepas. Senyuman saat Alex dengan tenang berbicara soal psikopat dan pembunuh bersiri. Seolah-olah perihal seorang manusia merenggut nyawa manusia lain dengan sangat kejam, bukanlah perihal yang besar.
“But then, being half a monster and half a man is not that bad.”
Sekali lagi, Tihani terkedu. Half a monster and half a man? Apa maksud lelaki ini?
Tiba-tiba Alex ketawa. Tidak kuat, tetapi cukup untuk menyentak Tihani.
“You tunjuk muka tu lagi.”
“Muka apa?”
“Muka takutkan I.”
Tihani pandang Alex tepat.
“Then, the same goes to you. You juga tunjuk muka itu.”
“Muka apa?”
“Muka tidak peduli.”
Buat kesekian kalinya, Alex senyum. Jari telunjuk diletak tepi kepala.
“Apa yang ada…” Dia menghenti bicara dan berfikir sejenak.
“Or rather apa yang TAK ADA dalam ni, buatkan I tak mungkin peduli kata orang.”
Dahi Tihani berkerut seribu.
“Apa maksud you?”
“Well…” Alex menjongket bahu ke atas, dengan suara yang sengaja dileretkan.
“Kalau I beritahu you, then it won’t be a secret anymore.”
Tihani mendengus tidak puas hati. Mata dijeling tajam.
“Wow!”
“Apa?” bentak Tihani.
“I selalu rasa you cantik. Tak sangka pula you akan jadi lebih cantik, bila you marah.” Tidak semena-mena, Alex memuji. Selamba seolah-olah bicara itu tiada apa-apa.
Mulut Tihani terlongo. Pipi membahang. Tetapi, cepat-cepat dia tunjuk wajah selamba. Mata dikecilkan geram.
“Muka macam ni, you cakap cantik?” perli Tihani sambil menunjuk ke mukanya yang sudah tidak serupa Tihani Rose.
“Beauty is in the eyes of the beholder.” Alex membalas dengan rupa yang tersangatlah selamba.
“Pergi check mata, will you?”
Terhambur tawa besar dari mulut Alex. Tetapi tidak sampai beberapa saat. Selepas itu, dia mengaduh sambil memegang perut.
“Padan muka,” ejek Tihani.
Alex ketawa lagi. Tihani menggaritkan kening. Apa masalah dengan dia ini? Gembira sangat? Dah lupa diri tu hampir mati?
“Okeylah, I have to go. Ada flight petang nanti,” ucap Alex seusai mematikan tawa.
“Flight? You nak pergi mana?”
“Manila.”
Mata Tihani membesar.
“Dalam keadaan macam ni?!” Tidak sempat menahan mulut, dia menyoal.
Alex yang baru separuh mengangkat punggung, terkaku sejenak. Bibirnya bergerak membentuk senyum.
Dahi Tihani bergerak membentuk kerut.
“A…apa? Kenapa you senyum macam tu?”
Sedikit demi sedikit, Alex mendekatkan wajah. Tinggal beberapa inci jarak, dia menghenti tindakan.
“You risaukan I?” bisiknya. Perlahan dan menggoda.
Nafas Tihani rasa tersekat di hujung kerongkong. Kelam-kabut dia menolak muka Alex.
“Jangan langgar personal space I, boleh tak? Kita ni, bukannya kenal rapat.”
“Oh, itu…” Sekali lagi, Alex meleretkan suara. Muka sudah dijauhkan. Badan ditegakkan.
“Itu pun ada kaitan dengan apa yang tak ada dalam ni,” sambungnya sambil menuding ke tepi kepala.
Tihani mencebik. Tidak habis-habis dengan ayat sama!
“Okeylah, I pergi dulu. Take care. Jangan biarkan sesiapa apa-apakan you lagi. Cukuplah apa yang dah jadi selama ini.”
Dahi Tihani berkerunyut.
“Apa you cakap ni?”
Soalan Tihani terbiar sepi. Alex sekadar mengukir senyuman. Renungan matanya kelihatan sangat lunak, seolah-olah mahu menyampaikan sesuatu. Tetapi sayang, ‘sesuatu’ itu, tidak mampu dibaca oleh Tihani.
Seketika berlalu, Alex memaling badan dan berjalan pergi. Melihat belakang tegapnya yang semakin menjauh, hati Tihani tiba-tiba diserang gelisah. Tidak cukup dengan itu, satu bayangan melintas dalam fikiran. Samar-samar, tetapi cukup mengesankan. Lalu di luar sedar, lidah Tihani bertutur sendiri.
“Alex…”
Kaki panjang Alex terpasung semula ke lantai.
“Will I see you again?”
Jeda.
Satu saat. Dua saat. Tiga saat berlalu…
Alex sekadar tegak membelakangi. Tanpa kata. Tanpa respon. Tihani mula rasa ingin menampar mulut sendiri. Sungguh, apa yang sudah berlaku kepadanya tadi? Kenapa soalan itu yang terpantul?
“Do you…”
Sayup-sayup, suara Alex memecah kesepian.
“Want to see me again?”
Tihani terpempan. Mahukah dia menemui Alexander Aryan semula? Mereka bukan siapa-siapa bagi satu sama lain, jadi untuk apa bertemu lagi?
Sedikit demi sedikit, Alex berpaling dan menghadap Tihani. Mereka saling bertatapan. Mungkin Tihani salah melihat. Tetapi saat ini, mata bening Alexander Aryan kelihatan berkaca-kaca.
“Tihani Rose…” Seruan Alex kedengaran tegas. Namun ada getarannya. Jelas menandakan betapa lelaki itu mengharapkan jawapan.
Mata Tihani terpejam sesaat. Nafas ditarik dalam-dalam. Kemudian, dia mengangguk.
“That’s it, then.”
Dengan ucapan ringkas itu, Alex terus melangkah keluar. Tihani terpaku sendiri, tidak mengerti apa maksudnya. 

******************
NOTA CIK SA
Sekarang AA dah jadi kurang menakutkan, kan? I mean, look at him. Dia sweet apa. Haha, motif promote hero sendiri? 
So, do like and comment. Thank you!
Love,
SA

Share this:

ABOUT THE AUTHOR

Hello We are OddThemes, Our name came from the fact that we are UNIQUE. We specialize in designing premium looking fully customizable highly responsive blogger templates. We at OddThemes do carry a philosophy that: Nothing Is Impossible

4 comments:

  1. besttttttt!!!!!! nak nangis bacaaa :'(

    ReplyDelete
  2. Best. Dalam tegas ada sisi takutnya, goodluck dear

    ReplyDelete
  3. AA ni somebody la cik SA...
    Once sy rase mcm dia ni psycho..once sy rase mcm dia ni caring...
    Tazabarr nk tgu next chapter..
    Will Tia meet AA again?..i wonder...hihi
    Good luck cik SA 👍👍👍

    ReplyDelete
  4. “But then, being half a monster and half a man is not that bad.”

    Maybe he carried the MAO-A gene. The gene that makes him half psychopath, yang buatkan dia dapat memahami psychopath dan juga manusia biasa. Contoh macam watak Raymond Langston dalam csi. Tapi dia lebih suka pilih bring the victims to justice.

    ReplyDelete