AKU LELAKIMU - BAB 2


BAB 2


Kuala Lumpur, Oktober 2016
"KES apa tadi kau cakap?" Dengan telefon meja yang ditekap di telinga kiri, Tihani menyoal. Matanya masih tepat menengok skrin komputer. Kedua-dua belah tangan sibuk menaip laporan.
"Kes Ahmad."
Serta-merta, gerak tangan Tihani terhenti. Wajah comel Ahmad Taufik terbayang-bayang di hadapan mata. Sayangnya, wajah comel itu cuma akan kekal dalam gambar pada usia tiga tahun. Kecomelan dan seluruh kehidupannya sudah pun direnggut oleh tangan zalim.
Bapa sendiri.
Masih Tihani ingat rupa Ahmad Taufik waktu pertama kali dia dan Vanessa tiba di tempat kejadian. Seluruh tubuh dipenuhi lebam, berpuluh-puluh kesan cucuhan rokok dan juga kesan seterika sebesar tapak tangan. Wajahnya separuh hancur dibelasah oleh bapa sendiri yang bertuhankan syabu.
Kasihan sekali anak yang tidak berdosa itu!
Lebih menyedihkan, kes serupa itu semakin hari semakin banyak. Sehingga Mac 2016, sebanyak seribu lima ratus tiga puluh satu kes penderaan kanak-kanak telah dilaporkan di seluruh negara dengan empat puluh enam kematian.
Angka tersebut pula hanya mewakili kes yang dilaporkan ke Jabatan Kebajikan Sosial, polis atau hospital/klinik apabila kanak-kanak dirawat. Kanak-kanak muda, contohnya, kurang berupaya melaporkan penderaan fizikal atau seksual. Kanak-kanak yang lebih tua juga sering takut akan ugutan pendera atau campur tangan pihak berkuasa, di mana kedua-duanya boleh mengeruhkan lagi situasi keseluruhan.
Lalu, apa yang tertinggal buat kanak-kanak ini? Tiada apa-apa. Hatta, nyawa.
"Tia...Tia...helo!!!"
"Hmmm, aku dengar," sela Tihani. Wajah comel Ahmad Taufik dibiarkan terbang pergi. Perhatian kembali kepada Zahin.
"Kenapa dengan kes Ahmad? Kau dapat apa-apa info?"
"Aku dapat berita daripada orang aku. Bapak dia yang dajal tu, ada orang nampak di Ulu Selangor."
"Confirm tak berita ni?"
"Ha'ah. Aku dah call Tuan Iskandar."
Kepala Tihani sedikit terangguk, berpuas hati dengan jawapan yang diberi oleh Zahin. Sebagai wartawan jenayah, mereka wajib mengesahkan segala informasi yang diperoleh dengan Ketua Polis Daerah (OCPD), atau Ketua Siasatan Jenayah Negeri (OCCI), atau Ketua Polis Negeri (CPO) terlebih dahulu. Sebarang maklumat yang tidak mendapat pengesahan, tidak boleh sama sekali dilepaskan kepada orang ramai.
"So kau nak aku tulis, atau kau yang nak tulis?"
Satu lagi perjanjian tidak bertulis antara seorang wartawan dan wartawan lain dari syarikat yang sama ialah perkongsian maklumat. Adalah mustahil bagi seorang wartawan untuk bekerja sendiri dan mengutip maklumat sendiri. Mereka perlu bergantung kepada rakan sekerja yang lain. Tetapi, itu tidak bermakna rakan sekerja boleh sesuka hati menulis berita yang dari awal lagi dilaporkan oleh orang lain. Mereka perlu memberitahu maklumat kepada pelapor asal, dan kemudian berbincang mengenai siapa yang mahu menulisnya. Ada unsur-unsur menghormati satu sama lain di situ.
"Kaulah. Aku tengah siapkan report pasal Tiffany Lau." Tihani akhirnya memutuskan.
"Alright, then," ucap Zahin sebelum mematikan panggilan.
Tihani meletakkan gagang telefon. Perhatian kembali ditala kepada laporan yang terpampang pada skrin.
Tiffany Lau.
Remaja berketurunan Tonghua. Berusia tujuh belas tahun. Dibunuh dua minggu lalu. Cara pembunuhannya pula sama dengan kes empat minggu yang sudah. Pelbagai spekulasi berlegar mengenai kes tersebut, menjadikannya antara kes yang menarik perhatian orang ramai. Wartawan dari semua syarikat akhbar berusaha untuk memperoleh berita. Tihani sendiri terpaksa berkampung di hadapan bilik mayat Hospital Kuala Lumpur. Sayangnya, pihak polis mengambil pendekatan 'tutup mulut'. Tidak banyak informasi yang dia peroleh. Lalu, apa yang boleh dia buat cuma memekakkan telinga mendengar segala jenis semburan dari mulut lancang editor, Encik Razin.
Huh, makin naik tekanan darahnya!
Seusai menyudahkan apa yang patut pada laporannya, Tihani menekan butang 'send'. Sekarang laporan tersebut sudah jatuh ke tangan Encik Razin. Moga-moga lelaki itu tidak mengamuk lagi. Sempat Tihani berdoa dalam hati.
Sesudah itu, Tihani mengemas mejanya. Tetapi belum pun sempat dia menyusun kertas yang berterabur, telefon di Meja Jenayah berdering lagi. Pantas Tihani menyambut.
"Helo, Berita Semasa."
"Tihani Rose."
Zup!
Jantung Tihani dihentak sesuatu. Bukan kerana suara ini milik orang yang tidak dikenali, tetapi kerana intonasinya yang sangat mendatar. Tiada emosi. Tiada perasaan. Tiada apa-apa.
"Ya, saya. Siapa ni?" tegur Tihani selepas menelan air liur. Kelat tiba-tiba.
"Suara kau memang manis."
Berderau muka Tihani. Dadanya mula berdebar. Ada yang tidak kena dengan pemanggil ini. Dia pasti.
"Siapa...siapa kau? Apa...apa kau nak?" Walaupun Tihani cuba untuk bertenang, suara yang keluar dari mulut tetap bergetar dan tersekat-sekat.
"Janganlah takut. Aku takkan apa-apakan kau." Pemanggil di sebelah sana berhenti sekejap, sebelum menyambung perlahan.
"Atau lebih tepat, aku cuba untuk tak apa-apakan kau."
Tihani tersentak kuat.
"Apa kau nak?! Siapa kau sebenarnya?!" Terus dia mengherdik.
"Shhhhh..."
Selamba sekali balasan yang Tihani terima.
"Aku tak suka perempuan yang melalak-lalak. Aku rasa macam..." Dia gelak tiba-tiba. "You know, nak bisukan suara dia."
Bulu tengkuk Tihani serta-merta meremang. Dia menggali nafas dalam-dalam, dan menyoal dengan suara yang lebih mengendur dan tenang.
"Ini kerja kau, kan?"
"Apa?"
"Tiffany Lau."
Sejenak, keadaan senyap. Si pemanggil seolah-olah sengaja mendiam. Tihani menanti dengan debaran dan peluh yang menitis di dahi. Walhal, pejabatnya berhawa dingin.
"Dan Nadia Zulkifli."
Tihani mengerutkan dahi. Seingatnya, nama gadis yang dibunuh empat minggu lepas ialah Dyana Akir.
"Itu bukan..."
Dan-dan, mata Tihani buntang. Sebelah tangan terangkat menekup mulut.
"Bingo."
Suara dingin itu berbunyi lagi. Disusuli dengan tawa halus.
"Pergi ke Brickfields. Kau akan jumpa dia."
Treet...
Panggilan dimatikan. Tihani Rose pegun sendiri, bersama kemungkinan bahawa dia bakal melihat satu lagi mayat.
*****
BRICKFIELDS.
Kawasan yang dikenali sebagai Little India, Kuala Lumpur. Asalnya cuma kawasan penempatan rumah, kini membangun menjadi salah satu pusat komersial terbesar di Malaysia. Brickfields selalu meriah dengan warna-warna terang dan menggembirakan. Lagu-lagu Bollywood yang dipasang oleh kedai-kedai meriuhkan lagi suasana. Di sini, kesibukan, kegembiraan dan kemeriahan bergabung jadi satu. Setiap hari umpama hari keraian.
Namun...
Malam ini, semua itu seolah-olah lenyap. Tihani terpaku berdiri di antara lorong-lorong gelap. Tiada cahaya, tiada kemeriahan. Yang ada cuma kegelapan yang tampak lebih hitam daripada malam-malam sebelum ini.
Entahlah, mungkin kerana dia sendiri tidak pernah muncul di Brickfields pada pukul 1.45 pagi, tetapi saat ini Brickfields yang dikenalinya sudah lenyap. Yang ada cuma lorong-lorong gelap yang kelihatan seperti menanti saat untuk menghamburkan roh-roh jahat.
"Tia..."
"Hmmm..." Endah tak endah, Tihani membalas. Matanya masih melilau kepada lorong. Mencari apa-apa yang mencurigakan. Orang itu mengatakan bahawa ada Nadia Zulkifli ada di sini. Dia perlu mencarinya.
"Are you sure? Betul ke ada mayat kat sini?" Suara di sebelah berbunyi lagi. Inilah Vanessa, jurufoto yang selalu dipasangkan dengannya. Tadi sebelum keluar, Tihani mendapatkan gadis itu untuk ke tempat kejadian. Jika mereka ditakdirkan menemui sesuatu, Vanessa perlu ada untuk mematerinya dalam foto.
"Dah setengah jam kita jalan kat sini, tak ada apa-apa pun. Entah-entah, itu laporan palsu. Kau pun satu, gopoh sangat untuk datang ke sini."
Terherot-herot bibir Vanessa saat membebel. Tihani membiarkan sahaja. Mereka memang sering mendapat laporan palsu, tetapi kali ini tidak. Dia yakin benar bahawa pemanggil itu tidak berbohong. Iya, siapa yang gila untuk berbohong bahawa dia telah membunuh orang? Tiga orang pula tu!
"Tia, itu..."
Vanessa tiba-tiba menunjuk tangan ke arah satu lorong kecil. Dari bawah samar-samar lampu jalan, Tihani dapat melihat sepasang kaki melunjur keluar. Mereka berpandangan sesama sendiri.
"Call polis," arah Tihani sebelum mengangkat langkah. Perlahan-lahan dan berjaga-jaga. Sebaik sahaja tiba di hadapan lorong, dia berbisik perlahan.
"Nadia Zulkifli."
Cantik dalam persalinan serba putih. Terbaring umpama sedang enak dilamun mimpi. Namun hakikatnya, gadis cantik ini sudah pun mati direnggut nyawa.
Sedikit demi sedikit, dada Tihani diserang debaran. Tubuhnya mulai bergetar. Jadi benar firasatnya, lelaki itu tidak berbohong. Dia, Tihani Rose benar-benar telah menerima panggilan daripada sang pembunuh!
Tidak semena-mena, ekor mata Tihani menangkap satu pergerakan. Automatik kepalanya terkalih. Kaki bergerak sendiri.
"Tia..."
Lengan Tihani dipegang oleh Vanessa.
"Aku dah call polis. Kejap lagi mereka sampai."
"Great..." Pendek balasan Tihani. Matanya masih tepat kepada lorong kecil yang dilihat tadi.
"Kau nak pergi mana?" Menyedari tindakannya, Vanessa menyoal.
Tihani mengerling sekilas kepada jurufoto itu.
"Ambil gambar elok-elok. Aku ke sana kejap."
"Tapi..."
Belum sempat Vanessa menghalang, Tihani sudah pun berlari pergi.
*****
GELAP GELITA. SUNYI SEPI.
Tihani menelan air liur berkali-kali. Aneh sekali perasaannya sekarang. Biasanya setakat lorong gelap begini, dia tidak akan terkesan. Bukan dia tidak biasa menjejak kaki ke kawasan-kawasan yang sepatutnya menakutkan bagi seorang wanita sepertinya. Tetapi, tuntutan kerja membuatkan dia lali.
Ternyata, dia belum lali sepenuhnya!
Lorong kecil ini memberi rasa yang lain macam. Bulu roma Tihani meremang tegak. Jantungnya berdebar kuat. Di matanya sekarang, lorong ini kelihatan panjang tanpa penghujung. Penuh dengan kegelapan dan kejahatan. Lorong ini seperti menyimpan sesuatu yang bila-bila masa akan melompat keluar dan menyerangnya.
Dia pun satu! Kenapa tidak periksa telefon bimbit? Kalau telefonnya masih punya bateri, sekurang-kurangnya dia boleh bergantung pada lampu suluh. Ini tidak! Harapannya cuma pada cahaya bulan. Itu pun samar-samar sahaja.
Ah, apa gunanya bulan mengambang kalau asyik terlindung di sebalik awan?
Sesudah melepaskan keluhan, Tihani melangkah setapak demi setapak, dalam keadaan berjaga-jaga. Matanya berlingas sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Hati pula tidak habis-habis mengalun pelbagai doa, bercampur dengan kutukan buat diri sendiri.
Apa yang sedang dia buat sekarang? Kenapa cari masalah? Kenapa dia tidak tunggu sahaja bersama Vanessa? Kenapa dia cuba kejar kelibat yang dia lihat tadi? Macam mana kalau kelibat tersebut ialah lelaki yang menelefonnya?
Kaki Tihani pegun sendiri. Matanya terbeliak. Semakin dia menyedari kemungkinan itu, semakin dia tergamam.
Tidak! Tidak mungkin!
Pap...
Satu bunyi tapak kaki tiba-tiba berbunyi dari arah belakang. Tihani kejur setiap inci tubuh. Perlahan-lahan, dia melirikkan anak mata ke belakang.
"Ahhh!!!"
Tihani menjerit, tetapi secepat itu juga, mulutnya ditekup. Pada masa yang sama, tubuhnya ditarik ke celah lorong. Tihani langsung meronta. Habis segala kaki tangan digerak atas bawah, kiri kanan. Kuat sekali rontaannya. Namun...
"Shhhh..."
Rontaan Tihani automatik terhenti. Setiap pergerakan mati. Bulu roma tegak berdiri. Jantung umpama berhenti berdegup. Suara yang berbunyi betul-betul di cuping telinganya itu seakan-akan menyusup masuk ke setiap pembuluh darah, lantas membuatkan tubuhnya keras.
Sama!
Suara yang baru didengari sama dengan suara dalam telefon.
Lewat ekor mata, Tihani melihat satu wajah muncul sedikit demi sedikit ke sisi mukanya. Samar-samar dan tidak jelas. Tihani memejam mata rapat-rapat. Cuba bertahan di sebalik rasa gentar yang semakin menguasai diri.
"Aku dah agak."
Desah nafas lelaki di belakangnya, berbunyi semakin dekat dan mula menampar pipi. Tihani memejam lagi mata yang sudah terpejam.
"Kau mesti akan datang."
Dan-dan, mata Tihani terbuka. Bicara itu menyentak kuat. Jadi, lelaki ini memang tunggu kedatangan dia? Tidak! Dia tidak mahu menjadi mangsa. Tidak sama sekali!!!
Masih dengan mulut yang ditekup dan nafas yang semakin sesak, Tihani menajamkan pandangan ke hadapan. Semangat yang entah dari mana, menyelinap masuk. Kemudian dengan sekuat tenaga, dia menyiku perut lelaki di belakangnya. Mungkin tidak menduga akan tindakan itu, pegangannya terlepas. Secepat kilat, Tihani memusing badan dan menendang lelaki itu.
Melihat penyerangnya yang sedikit tersorong, Tihani terus membuka langkah. Namun, baru dua tapak bergerak, lehernya tersekat. Tudung yang melilit kepala direntap kuat. Tihani kembali terdampar dekat dengan penyerangnya. Sesaat, dia terpana. Tetapi cepat-cepat, dia menyedarkan diri dan memusing badan. Lincah dan tangkas. Sekali lagi, pegangan lelaki itu terlepas. Tihani mengambil kesempatan dan menumbuknya.
Tidak. Kena.
Tumbukan Tihani tepat mendarat atas telapak tangan lelaki itu. Ditahan dengan cukup pantas.
"Kau fikir aku mahu bunuh kau?"
Mungkin Tihani sudah jadi tidak betul, tetapi kali ini suara itu kedengaran tersinggung.
Tidak! Itu cuma bayangannya sahaja. Lelaki ini mahu buat sesuatu kepadanya. Lelaki ini mahu membunuhnya. Sama macam Nadia Zulkifli.
Tihani menempelak diri sendiri dan menyepak kaki penyerangnya. Genggaman tangan lelaki itu bolos. Tumbukan Tihani naik lagi. Berkali-kali, tetapi semuanya tidak mengenai sasaran. Lawannya mengelak kiri dan kanan, dengan sangat bersahaja.
Satu saat, dia menangkap kedua-dua belah pergelangan tangan Tihani dan merengkuhnya kuat. Tihani terdorong ke hadapan. Wajah bertemu wajah. Nafas berdesah ganas. Mata di sebalik topengnya, bersabung dengan mata bundar Tihani. Samar-samar dalam gelap, tetapi Tihani seperti dapat melihat rasa terhibur dalam mata itu.
Jantan ini gembira dengan apa yang sedang berlaku!
"Kalau itu yang kau nak..."
Di tengah-tengah kata, lelaki tersebut menumbuk perut Tihani hingga tertolak ke belakang. Perutnya terasa hampir pecah. Sakitnya naik hingga ke kepala. Dalam keadaan terhuyung-hayang, Tihani melihat lelaki itu menyerbu lagi. Tubuhnya diangkat dan dibanting ke lantai. Tihani tergolek-golek dan terhentak pada tong sampah yang terletak berdekatan.
"Urghhh..." Dia menyeringai. Sakit!
Tetapi dia cuba bertahan. Sebelum sempat lelaki itu mendekati, Tihani mengangkat tubuh. Kali ini, dia pula yang menyerbu. Dengan tenaga yang masih tersisa, dia menyepak dada sang penyerang. Kemudian, dia melompat dan menghentak lehernya. Mereka kembali berlawan. Masing-masing menyerang dan menangkis.
Namun...
Tihani tersekat di dinding bangunan. Elok dicekik dengan badan separuh terangkat dari tanah. Entah kuasa apa yang penyerangnya ada, lelaki itu mampu mengangkat dia dengan sebelah tangan. Tihani mencengkam tangan itu, cuba menariknya dari leher.
Sia-sia!
Sang penyerang senyum sinis dan bergerak lebih dekat. Dia meletakkan wajah ke tepi muka Tihani. Sayup-sayup, telinga Tihani menangkap suaranya yang dingin tanpa perasaan.
"Itu yang kau akan dapat."
Jari-jemari lelaki itu semakin lama semakin mencengkam. Kerongkong Tihani terasa hampir patah.
"Erkkk..."
Nafas Tihani semakin putus. Matanya berputar-putar, seperti hampir terkeluar dari soket.
Saat itu, satu bayangan mula muncul depan mata. Gadis cantik berpakaian serba putih. Rambutnya panjang mengurai. Senyuman manis terukir indah. Sebelah tangan melambai-lambai, dengan mulut yang separuh terbuka. Seakan-akan sedang memanggil nama Tihani Rose.
Di luar sedar, bibir Tihani mula bergerak. Senyuman kelat, dia kulum. Mutiara jernih mengalir lesu di tubir mata.
"Having fun?"
Tihani tersentak. Bayangan gadis cantik terus lenyap. Telinganya seperti baru mendengar satu suara lain. Perlahan-lahan, Tihani menggerakkan bebola mata ke sebelah. Dalam kegelapan malam, satu bayang-bayang hitam kelihatan terpacak tidak jauh daripada mereka.
"To...tolong..." Dengan suara yang entah keluar entah tidak, dia cuba meminta bantuan. Mata yang hampir terkatup, cuba ditahan-tahan. Dia tidak mahu mati sekarang! Tidak dengan cara ini!!!
Bayang-bayang itu melangkah setapak demi setapak, semakin mendekati mereka.
"You shouldn't go around hitting a woman, you know."
Dalam keadaan tegang begitu, suaranya kedengaran tenang di telinga Tihani. Sangat tenang. Seolah-olah bukan sedang menyaksikan seorang wanita hampir dibunuh. Dia yang hampir dibunuh!
Langkah kaki bayang-bayang itu tiba-tiba jadi semakin laju dan meluru ke hadapan. Dalam sekelip mata, leher Tihani bolos. Penyerangnya terpelanting ke tepi. Tubuh lembik Tihani terjelepuk ke bawah. Serta-merta dia mencengkam dada, cuba menyedut udara yang hampir meninggalkannya sebentar tadi. Nafas turun naik dengan ganas.
"Especially, my number one fan."
Dahi Tihani berkerut. Di sebalik mata yang berbalam-balam dan kepala yang berat, dia cuba meletakkan fokus kepada pemilik bayang-bayang yang semakin merapati. Dengan badan yang separuh ditundukkan, lelaki itu mendekatkan muka. Tihani mendongak lagi. Mereka saling bertatapan.
Pada masa yang sama, awan tiba-tiba bergerak. Lantas, memberi laluan kepada cahaya bulan. Kelihatan sepasang mata hitam memanah selamba, hujung bibir senyum senget. Juga, eye smile yang terbentuk indah.
Sedikit demi sedikit, anak mata Tihani membuntang. Bibirnya terketar-ketar berbisik...
"Alexander Aryan."
Lelaki tersebut melebarkan senyum. Siap dengan kenyitan di birai mata.
"We meet again, Tihani Rose.
******
SEDUTAN BAB 3
"I am obsessed with serial killers."
Dan-dan, nafas Tihani rasa tersekat di celah kerongkong. Setiap inci ruang legar juga terasa hening. Bunyi yang riuh rendah sebelum ini tiba-tiba lenyap begitu sahaja. Suasana terasa tegang.
Sedikit demi sedikit, Alexander Aryan menggerakkan bebola mata. Dari kiri ke kanan, dan kemudian kembali kanan ke kiri. Mata hitamnya seolah-olah sengaja memerhati dan membaca setiap wajah yang hadir. Satu per satu hingga akhirnya terpaku semula ke muka Tihani.
Tubuh Tihani mengeras. Dia tidak pasti kalau orang lain perasan, tetapi lelaki ini...lelaki ini sedang tersenyum! Tidak lebar. Hanya sipi-sipi di hujung bibir, tetapi sudah cukup untuk mencambah perhatian Tihani.
Juga, untuk meremangkan bulu roma!
*****
Happy reading, darlings! Do comment, like and share. Thank you! =)
Love,
Cik SA (IG: ciksara_aisha)

Share this:

ABOUT THE AUTHOR

Hello We are OddThemes, Our name came from the fact that we are UNIQUE. We specialize in designing premium looking fully customizable highly responsive blogger templates. We at OddThemes do carry a philosophy that: Nothing Is Impossible

30 comments:

  1. how cruel is Alexander Aryan!!!huuwaaa knapa dia jahat sngt??? rasa cam dia cekik aku ja ... :(((((

    ReplyDelete
    Replies
    1. hahaha, silap tu dear. yg tengah cekik Tihani bukan Alex. yg datang selamatkan Tia tu, Alex. si bayang-bayang yg tiba2 muncul tu.

      Delete
  2. Alamak, knp besttttt sgt jln cerita ni!!!Fantastic! Bombastic! Sgt trnnti2 yg strusnya... keep it up Cik SA ♡♡♡.

    ReplyDelete
  3. Best*3...bila ada kat bookstor?heheh x sabar nk beli😭😭

    ReplyDelete
    Replies
    1. erk, soalan cepu mas tu. haha!! insyaAllah, akan cuba siapkan manuskrip ni dan terbitkan dalam tahun ni jugak. amin.

      Delete
  4. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  5. Adrenaline rush u! Baru bab 2... Interesting...i kinda like Alex already! Cant wait for thursday!

    ReplyDelete
    Replies
    1. tq, dear!!! i think you're gonna love him more in upcoming chapters. haha

      Delete
  6. Mesti tia dgn alex dlu penah ade kisah.

    ReplyDelete
    Replies
    1. haha, jawapannya ada dalam next chapter. mcam mana agaknya diorang blh kenal? hehe

      Delete
  7. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  8. OMG! Scary and thrilling 😨
    Berdebar jantung

    ReplyDelete
    Replies
    1. haha, itu tujuannya. nak bagi korang suspen. hehe

      Delete
  9. OMG! Scary and thrilling 😨
    Berdebar jantung

    ReplyDelete
  10. OMG! Scary and thrilling 😨
    Berdebar jantung

    ReplyDelete
  11. cuak namatey..hahaha...

    ReplyDelete
  12. yg nampak Tihani kat airport tu siapa? Pembunuh tu ke Alexander?

    ReplyDelete
  13. Penuh debaran .. tak sabar nak baca bab 3 ..

    ReplyDelete
  14. Wah...jln cerita yang menarikk...x sabar nak tggu bab 3...

    -zuraini_latif-

    ReplyDelete
  15. Best2.x sabar nk tunggu for the next chapter.Love it soo much.

    ReplyDelete
  16. Best2.x sabar nk tunggu for the next chapter.Love it soo much.

    ReplyDelete
  17. Cik sara..saya peminat no1 novel awakk..this story tersangat-sangat lah best..cik sara awak punya pemikiran memang out of the box..suka sangat bagi kejutan kat peminat awak..harap novel ni sebest novel salju koyoto..good luck

    ReplyDelete
    Replies
    1. alhamdulillah. tq soooo much, dear. terharu jap. yup, saya cuba untuk fikir lain dari yang lain, dan bawa kelainan. alhamdulillah, diterima. tq tau! =)

      Delete
  18. tak Sabar nak Beli kalau buku dah ada :D :D

    ReplyDelete