SARA AISHA
  • HOME
  • CERPEN
  • TEMPAHAN NOVEL
  • REVIEW NOVEL
  • CERITERA CRAFT
  • LAKORNS (OLD)
  • REVIEW LAKORN
  • BORAK2 LAKORN
Home Archive for November 2015

TEASER 3


Dalam kedingingan malam, aku melalui koridor hingga akhirnya terpacak di hadapan bilik kerja Arjuna. Pintunya ditarik ke tepi secara perlahan-lahan. Dari celah-celah pintu, kelibat Arjuna terpampang depan mata. Dengan kepala tunduk dan jari jemari yang sedang membelek-belek dokumen. Dia tampak khusyuk. Bawah bibir kugigit sejenak, berkira-kira mahu masuk atau pun tidak.
“Kenapa tercegat di situ?” Sekonyong-konyong Arjuna menegur. Masih dengan muka yang menekur pada dokumen di atas meja.
Aku menarik gebar lebih rapat ke dada dan melangkah masuk. “Awak busy ke?”
“Kenapa?” soal Arjuna. Sebelah tangan memegang pen, sedang mencatat sesuatu.
“Hmm, awak memang nampak busy,” putusku sendiri.
Arjuna mengangkat kepala dan menatapku. Seketika kemudian, dia bangkit menghampiriku.
“Tak boleh tidur?”.
Lambat-lambat, aku mengangguk.
“Isy, dah jadi manja. Aku tak ada. Terus tak boleh tidur, kan?”
Aku membulatkan anak mata. “Mana ada!”
Arjuna senyum kecil. Bahuku dipeluk seraya membawaku ke arah sofa yang terletak di tengah-tengah bilik.
“Come, duduk sini. Dekat dengan heater.”
Usai mendudukkan aku, Arjuna menyambung, “Aku masih ada kerja. Tak boleh masuk tidur lagi. Since kau tak boleh tidur kat bilik, kau tunggu aku sini kejap, boleh?”
“Okey,” jawabku pendek. Terselit rasa kecewa di ulu hati.
Arjuna berlalu pergi. Ingin sekali aku memanggilnya, tetapi tidak mahulah menjadi isteri yang mengada-ngada sangat. Suami sedang kesibukan, mahu ditemani pula!
Langsung, aku menyandarkan tubuh ke sofa. Mata dikatup. Namun telingaku tiba-tiba menangkap bunyi derap kaki. Mata dibuka kembali. Kepalaku terngadah pada Arjuna yang sedang berdiri dekat.
“Kenapa?” soalku hairan.
“Aku rasa...biar aku temankan kau sekejap.” Arjuna menjawab tenang. Punggungnya sudah selamat dilabuhkan di sebelah.
Aku melirik kepada meja kerjanya. “Kerja awak?”
“Boleh sambung lepas ni.”
“Tapi...”
“Tak ada tapi-tapi. Come here,” pintas Arjuna sambil menarikku rapat kepadanya. Gebar yang membalutiku dibuka sebelum dia turut sama masuk ke bawah gebar tebal tersebut. Usai memeluk tubuhku, dia mengemaskan gebar yang menyelimuti kami.
Aku senyum halus. Aku senang begini. Berkongsi selimut dan berkongsi kehangatan tubuh masing-masing. Ruang sofa yang sempit pula membuatkan suasana tambah intim. Lalu, aku merangkul pinggangnya dan menyandarkan kepala ke dada bidang suamiku. Dia mengucup ubun-ubunku lembut.
“Tidurlah. Aku temankan kau.”
Lambat-lambat, aku memejamkan mata. “Arjuna...”
“Hmm...”
“Awak rasa kita patut bagitahu Badri pasal mak dia? Yang kita dah berterus-terang kepada Mak Cik Kasmah?”
“Jawapan tu ada di tangan kau.”
Mataku dibuka kembali. Kepala sedikit terlangut ke muka Arjuna. “Maksud awak?”
“Kau lebih kenal Badri daripada aku kenal dia. Kau tentu boleh agak apa reaksi dia, kalau dia tahu yang mak dia tahu pasal dia. Is he going to get angry? Mengamuk tak tentu pasal? Atau mungkin kecewa?”
Aku mengerdip-ngerdipkan mata sambil berfikir. Kalau diikutkan perangai Badri, pertama sekali dia akan mengamuk. Kemudian, dia akan kesedihan.
“Kau fikir baik-baik, lepas tu kau buatlah keputusan kau.”
“Awak tak boleh tolong decide?” tanyaku tidak bersemangat.
Arjuna tergelak kecil. Kepalaku diketuk dengan menggunakan jari telunjuk.
“It’s something that you have to decide on your own, young lady. He’s your best friend.”
“Tapi saya tak tahu. Saya tak boleh fikir.” Aku merengek. Muka kembali disembunyikan di dada Arjuna.
“Then kau perlu percaya kepada satu perkara.”
“Apa dia?”
“Badri akan faham keputusan kau. Dia akan mengerti kenapa kau terpaksa buka mulut.”
Kepalaku terdongak semula. “Awak yakin?”
“Seratus peratus.” Tenang dan yakin sekali jawapan Arjuna.
“Kenapa?”
“Sepertimana dia penting buat kau, kau juga penting buat dia.”
Komen Arjuna mengelukan lidah. Suamiku benar. Aku dan Badri…persahabatan kami sudah sampai ke tahap sanggup berbuat apa sahaja demi satu lain. Tanpa semena-mena, aku terfikirkan sesuatu.
“Arjuna…”
“Hmm…”
“Awak tak pernah cemburu kepada Badri?”
Dan-dan, suasana hening. Ketegangan menyirap masuk. Arjuna mengeras. Aku mula berkira-kira untuk mencubit mulut sendiri.
“Kenapa? Kau nak ke?” Suara Arjuna memecahkan keheningan. Senada dan dingin. Sangat-sangat dingin.
Aku menelan air liur. “Err…”
“Answer me. Kau nak aku cemburukan hubungan kau dan Badri?” Intonasi Arjuna semakin berbunyi keras.
Cepat-cepat, aku menggeleng. “Tak nak.”
“Great. Sebab kalau aku mula cemburu, kau takkan nampak batang hidung Badri sampai bila-bila.”
“Hah? Mana boleh!”
Arjuna melirikkan mata tajamnya. Serius dan garang.
“Aku percayakan kau. Jadi jangan tanya soalan bodoh tu lagi.”
Aku menggigit bibir dan menikus di hadapan suami yang mula berang. Aduh, mulut aku ni dah kenapa? Gatal mahu tanya macam-macam!
Sekonyong-konyong, Arjuna meraih kepalaku ke dadanya. Aku terkesima. Badan kejur dalam rangkulan gagah suami sendiri.
“Tidurlah. Aku bukan marahkan kau.”
***********
NOTA CIK SA:
Salju Kyoto akan jadi lebih tebal daripada ESMS dan CRT. Tapi, lebih nipis daripada JIMK. 
So, i guess...it's just nice. Cik SA tak reti tulis novel tebal2 sangat. Hihi. Ramai yang tanya sama ada Salju Kyoto akan ada masa Pesta Buku 1 Malaysia, itu saya tak pasti sebenarnya. Sebab rasanya macam tak sempat. Ya, memang dapat slot untuk bulan Disember. So, kalau print bulan dua belas, insyaAllah sempat. TAPI, kalau KS mahu print novel Disember awal utk pesta buku, rasanya Salju Kyoto tak sempat. So yeah, mungkin novel lain jadi novel Disember. 
Alkisahnya, Cik SA terkena writer's block masa dua bab terakhir. Seminggu ambil masa tetap tak puas hati. So, banyak kali taip...padam...taip...padam. Jadi, terlebih dateline. Huhu. Sorry, ya. Tapi, Cik SA memang takkan hantar manuskrip selagi tak puas hati. I want to give the best to my readers. Cewah, macam nak pujuk korang plak.
Apa-apa pun, Cik SA tengah tunggu berita daripada KaryaSeni. Kita tengok sama ada Salju Kyoto sempat untuk print sempena pesta buku, atau kena tunggu bulan depan, atau kena postpone ke slot bulan Januari. Harap2 pembaca semua akan setia menunggu dengan Cik SA. Jangan lupakan AK dan NF, tau...huhu.
Thank you sooooo much, and love u all! =)

TEASER 2
"Kau memang nak mati!" Penyerang kedua menjerkah. Aku mengundur setapak ke belakang, sambil menanti dia datang menyerang. Namun, satu tendangan lebih dahulu hinggap di dadanya. Serta-merta, lelaki tersebut melayang dan terhumban ke atas tanah.
"Tak ada sesiapa boleh sentuh isteri aku," desis Arjuna dengan mata membunuhnya. Nafas berdengus-dengus kasar. Mukanya basah dengan peluh dan darah yang bercampur. Sesudah itu, dia bergegas menghampiri dan mencapai pergelangan tanganku.
Masih dalam suasana kacau bilau, dia menarikku pergi. Seperti sebelum ini, kami berlari tidak tentu hala. Tempikan demi tempikan daripada konco Ma Zhengwen bergema dari belakang. Tidak cukup dengan itu, berdas-das tembakan berdesing di kiri dan kanan. Namun, tidak satu pun mengenai. Gerak Arjuna yang pantas, seperti memungkinkan kami mengelak. Atau mungkin juga, kami sekadar bernasib baik.
Kami berlari dan berlari dan berlari hingga akhirnya tiba di sebuah jeti. Automatik aku dan Arjuna mematikan langkah. Di hadapan kami kini, terbentang luas Sungai Chao Phraya. Kami berpandangan. Dada masing-masing berombak laju, cuba menyedut udara ke dalam jantung.
"Mana kau mahu lari lagi?" Suara sinis Ma Zhengwen mencelah dari belakang.
Lambat-lambat, kami memusing badan. Pegangan tangan Arjuna semakin ketat dan mencengkam, seolah-olah mengatakan bahawa dia tidak akan pernah melepaskan aku pergi. Dia akan bersamaku hingga ke akhirnya. Kami sama-sama memerhati Ma Zhengwen yang berdiri di samping konco-konconya. Seperti kami berdua, dia juga tercungap-cungap. Mukanya berdarah.
"Kau memang betul-betul menjengkelkan aku." Dia menyinis lagi. Sepucuk pistol yang dipegang oleh anak buahnya, dirembat dan dihala kepada kami. Namun tidak semena-mena, muncul satu susuk tubuh yang melompat tinggi dan menendang pistol tersebut dari tangan Ma Zhengwen. Tubuh itu kemudiannya mendarat di hadapan aku dan Arjuna. Ryohei!
Sekelipan, kami dilindungi oleh tubuh tegap Ryohei dan Sato. Mereka di hadapan, kami di belakang. Pada masa yang sama, telingaku menangkap bunyi deruan sebuah bot laju.
"Arjuna Kaede!"
Automatik, aku dan Arjuna menoleh ke belakang.
"Karn Klaharn," getus bibir Arjuna. Seperti aku, dia juga terkejut dengan kemunculan tiba-tiba lelaki tersebut.
Karn memberi isyarat kepada dua pengawal peribadinya untuk melompat keluar dari bot. Sekelip mata, mereka sudah pun berdiri di sebelah Ryohei dan Sato.
"Cepat!!!" Tempikan Karn bergema lagi. Dia memberi isyarat agar aku dan Arjuna melompat masuk ke dalam bot.
"Pergi, tuan." Arahan Ryohei menujah telinga.
Sesaat, Arjuna kelihatan serba salah. Namun selepas itu, dia memusing badan kepadaku. "Go!"
Aku tidak menunggu lama. Terus sahaja aku melompat ke dalam bot yang dikemudi oleh Karn Klaharn.
"Bangsat! Kau ingat kau boleh lari?!" tengking Ma Zhengwen sambil meluru ke hadapan. Akan tetapi, langkahnya dihalang oleh Sato yang lebih dahulu memintas dan menendangnya ke belakang.
Saat yang sama, Arjuna meloncat masuk ke dalam bot. Karn pantas menekan minyak. Bot yang dinaiki laju membelah Sungai Chao Phraya. Tempikan dan carutan Ma Zhengwen, bergaung menghantar pemergian kami.
Beberapa minit berlalu, aku menarik nafas panjang. Debaran di hati, semakin lama semakin perlahan. Aku melirik kepada Arjuna. Dia memandangku penuh kerisauan.
"Are you okay?" Di sebalik desah nafas yang termengah-mengah, dia menyoal.
"Saya..."
"Tak guna!"
Baru sahaja aku mahu menjawab, suara keras Karn mencantas. Telingaku mendengar bunyi bot dari arah belakang. Aku menoleh. Tidak jauh dari kedudukan kami, kelihatan dua buah bot laju sedang mengejar. Entah dari mana mereka muncul, aku juga tidak pasti. Debaran kembali memuncak!
Berdas-das tembakan mula menghujani. Berbelit-belit tangan Karn memutar stereng, untuk mengelak. Aku menjerit sambil cuba mengimbangkan badan. Silap perkiraan, aku mungkin tecampak keluar dari bot dan terus menjunam ke dalam sungai. Mungkin menyedari keadaanku, Arjuna pantas menarik tubuhku rapat kepadanya.
"Kau tahu guna pistol?!" jeritan Karn bergema di sebalik bunyi tembakan yang tidak henti-henti.
"Tahu!"
Dan-dan, Karn melempar sepucuk pistol kepada Arjuna. Suamiku pantas menyambut. Masih dengan sebelah tangan memeluk bahuku, Arjuna memusing separuh badan dan melepaskan berdas-das tembakan. Aku mencengkam bajunya, tidak mahu terlepas. Telinga berdengung mendengar setiap bunyi tembakan yang dekat benar. Mata pula berlingas memandang kedua-dua bot yang mengejar, serta sungai yang terhampar luas. Di ufuk timur, mentari senja mulai terbenam. Maka, dengan berlatar belakangkan bayang-bayang kuil di persisiran Sungai Chao Phraya, kami saling berkejar-kejaran. Sebelah pihak mahu menyelamatkan nyawa. Sebelah lagi mahu menamatkan nyawa.
"Watch out!"
Serentak dengan jeritan Karn, bot yang kami naiki membelok laju. Aku dan Arjuna terlempar ke kiri. Hampir-hampir tercampak keluar, tetapi kami pantas mengimbangkan badan.
Sesaat kemudian, aku melihat bot pertama yang mengejar kami melencong secara drastik, gara-gara cuba mengelak sebuah bot panjang yang tiba-tiba muncul dari hadapan. Bot tersebut meluncur laju dan...
Bammmm!
Melanggar benteng sungai.
Bot kedua memintas bot pertama dan terus mengejar. Mereka memang tidak reti berputus asa!
Karn menekan minyak dengan kuat. Bot kami berdesup laju, lantas meninggalkan bot yang mengejar jauh ke belakang. Sesudah itu, Karn mengemudi bot keluar dari sungai besar Chao Phraya dan masuk ke bahagian terusan yang jauh lebih kecil. Kami menyelusuri celah-celah rumah penduduk hingga akhirnya tersembunyi di sebalik sebuah rumah. Enjin bot yang berbunyi kuat, dimatikan.
"What are you doing?" Terus Arjuna menyoal.
"Hiding."
Dari tempat persembunyian, aku melihat bot tadi melepasi kami. Lelaki-lelaki di dalamnya sedang menjerit dan mencarut-carut seperti orang gila. Masing-masing menyinga! Aku, Arjuna dan Karn menyengap tanpa bunyi. Segenap tubuh keras di atas bot yang terumbang-ambing di atas air.
Beberapa ketika berlalu, bot tersebut akhirnya bergerak meninggalkan kawasan. Semerta, aku melepaskan nafas yang sedari tadi tersekat di celah kerongkong. Lega!
"Kita masih belum selamat. We need to leave this place," ucap Karn, mematikan keheningan.
"Kau mahu bawa kami ke mana?"
Soalan Arjuna tidak berbalas, sebaliknya Karn menghidupkam enjin dan memandu bot keluar dari tempat persembunyian. Setelah beberapa minit, kami akhirnya tiba di benteng terusan. Kelihatan beberapa anak tangga menuju ke sebuah gazebo yang diperbuat daripada kayu dan buluh. Sangat tradisional.
"Dah sampai," tutur Karn seraya mematikan bot.
Seketika, aku dan Arjuna berpandangan. Masing-masing menunjuk muka serba salah.
"Jangan bimbang. Tempat ni selamat.Ini tempat aku." Suara Karn Klaharn bergema lagi, mahu memberi kepastian kepada kami berdua.
Arjuna melirik kepadaku sekilas, dan melompat ke arah tangga. Sebelah tangannya kemudian dihulur kepadaku, mahu aku mengambil tindakan yang sama. Aku menyambut tangan Arjuna. Usai mendarat ke atas tanah, tapak kakiku tiba-tiba terasa seperti dicucuk-cucuk sembilu. Sakit dan ngilu.
**************
NOTA CIK SA:
Yuhuuuu!!! Karn is back. Kalau dah AK dan NF ke Bangkok, mestilah kena ada jejak kasih dengan Karn Klaharn. Tak gitu? Hehe
Subscribe to: Posts ( Atom )

TENTANG SARA AISHA

Gadis ringkas bergigi taring. Jangan kacau, nanti kena gigit!

Penulis yang suka bereksperimentasi dengan pelbagai genre.

Co-founder Ceritera Craft. Kalau sudi, followlah IG: @ceriteracraft. Thank you!

NOVEL

NOVEL

MINI NOVEL

MINI NOVEL

AMARAN

Semua karya Sara Aisha yang dipaparkan di blog ini adalah hak milik sepenuhnya Sara Aisha dan syarikat penerbitan. Karya-karya ini dilindungi di bawah Akta Hak Cipta Malaysia.

Sara Aisha dan syarikat penerbitan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba plagiat/copy paste/yang seumpama dengannya.

Powered by Blogger.

ARCHIVE

  • ►  2018 (3)
    • ►  April (3)
  • ►  2017 (17)
    • ►  October (1)
    • ►  September (2)
    • ►  August (4)
    • ►  July (3)
    • ►  June (7)
  • ►  2016 (8)
    • ►  June (6)
    • ►  March (1)
    • ►  February (1)
  • ▼  2015 (49)
    • ►  December (2)
    • ▼  November (2)
      • SALJU KYOTO - TEASER 3
      • SALJU KYOTO - TEASER 2
    • ►  October (4)
    • ►  September (8)
    • ►  August (7)
    • ►  June (1)
    • ►  May (15)
    • ►  April (5)
    • ►  March (5)
  • ►  2014 (10)
    • ►  November (7)
    • ►  October (1)
    • ►  May (1)
    • ►  April (1)
  • ►  2013 (38)
    • ►  November (1)
    • ►  August (2)
    • ►  July (4)
    • ►  June (6)
    • ►  May (9)
    • ►  April (4)
    • ►  March (2)
    • ►  February (10)
  • ►  2012 (104)
    • ►  December (2)
    • ►  September (1)
    • ►  August (1)
    • ►  June (5)
    • ►  May (16)
    • ►  April (14)
    • ►  March (35)
    • ►  February (17)
    • ►  January (13)
  • ►  2011 (207)
    • ►  December (28)
    • ►  November (5)
    • ►  October (8)
    • ►  September (22)
    • ►  August (7)
    • ►  July (12)
    • ►  June (23)
    • ►  May (21)
    • ►  April (25)
    • ►  March (22)
    • ►  February (17)
    • ►  January (17)
  • ►  2010 (49)
    • ►  December (2)
    • ►  November (12)
    • ►  October (3)
    • ►  September (5)
    • ►  June (3)
    • ►  March (4)
    • ►  February (20)

POPULAR POSTS

  • [Cerpen] Jodoh Bersulamkan Dendam
  • [Cerpen] Babysitter atau isteri?
  • [Cerpen] Coklat Cinta??
  • [Cerpen] Kisah Aku dan Dia
  • [Cerpen] BFF?? Best friend, ok! Not Boyfriend...

LABELS

cereka cinta ceritera craft Chan Rak Ter Encik Sayang dan Miss Sweetheart Jodoh itu Milik Kita lakorn life novel novelis review novel Salju Kyoto

SAHABAT

Copyright 2014 SARA AISHA.
Designed by OddThemes