SALJU KYOTO - BAB 16


BAB 16

AKU DIAM. Dia juga diam. Kami sama-sama terpacak di antara lima kujur tubuh yang sedang merenung tepat. Seorang di hadapan, dua orang di kiri kanan. Suasana sunyi sepi. Tiada walau satu bunyi pun. Ketegangan membuak-buak di setiap genap ruang tamu.
            “Jadi…” Lelaki tua yang bersila di hadapan kami mula bersuara. Spontan, aku menelan air liur. Jantung berdegup kuat. Walaupun rupanya kelihatan seperti orang tua biasa, boleh aku katakan comel dengan ketinggian yang tidak seberapa, tetapi aura yang meluap-luap dari tubuh itu bukan calang-calang. Hanya melalui mata, dia boleh membuat manusia lain menggeletar kepala lutut.
            “Inilah perempuan itu?”
            Nafasku tiba-tiba tersekat. Dia memaksudkan aku. Ya, aku.
            “Ojii-sama…”
            Mataku terpejam sesaat. Benar telahanku. Lelaki tua ini merupakan Nakajima Hiroshi, datuk kepada Arjuna. Atau dalam erti kata lain, oyabun bagi Aizukotetsu-kai, yakuza paling berkuasa di Kyoto dengan tujuh ribu orang pengikut.
            “Cepat sungguh datuk datang. Baru semalam saya jumpa orang-orang datuk. Macam mana keadaan mereka? Kalau datuk mahu hantar orang, apa kata hantar orang yang lebih setanding dengan saya?”
            Lain yang ditanya, lain yang Arjuna jawab. Apa yang dia tuturkan benar-benar mengejutkan aku. Jadi, manusia yang menyerang kami semalam adalah konco-konco kepada datuk Arjuna sendiri?
            Nakajima Hiroshi meledakkan tawa kuat. Sangat jengkel kedengaran di telinga. Lewat ekor mata, aku melirik ke sebelah. Muka Arjuna jelas tegangnya. Rahang lelaki itu terkacip-kacip. Sepasang matanya memanah garang.
            Kebencian.
            Itu yang aku nampak di segenap wajah Arjuna.
            “Kalau aku hantar orang yang lebih setanding, kau dah lama mati,” sela Nakajima Hiroshi setelah tawanya reda.
            “Betulkah? Atau pun orang-orang datuk semuanya lembik?”
            “Kau!” Sekonyong-konyong, salah seorang lelaki di sebelah kanan kami menjerkah. Serentak itu, dia bangun. Sebelah tangan memegang pedang yang tersisip di sebelah kiri.
            “Masao.”
            Suara pendek Nakajima Hiroshi mematikan terus gerak lakunya. Dia merengus sebelum kembali duduk.
            Arjuna menayang muka tidak berperasaan. Dia tetap tegak memandang ke hadapan. Tidak berkelip. Tidak terkesan langsung dengan reaksi lelaki separuh umur yang bernama Masao itu.
            “Kau memang tak berubah, kan?”
            “Datuk juga tak berubah.”
            Hujung bibir Nakajima Hiroshi menyenget sinis.
            “Pandai kau kecohkan keadaan.”
            “Saya anggap itu sebagai satu pujian. Terima kasih.”
            “Kau bencikan darah dalam badan kau, tapi kau tetap gunakannya, kan?”
            “Alang-alang darah tu dah mengalir dalam badan saya, apa kata saya gunakan saja.”
            Sekali lagi, Nakajima Hiroshi mengulum senyum. Dia tampak terhibur dengan jawapan yang baru dipantulkan oleh Arjuna. Aku pula tidak henti-henti memerhati segala interaksi antara Arjuna dan datuknya. Jelas sekali hubungan mereka yang tidak elok. Bercakap lembut, tetapi jelas menyindir satu sama lain.
            “Sekarang baru kau sedar? Kau memang tak boleh lari daripada siapa kau sebenarnya.”
            “Itu datuk silap. Siapa saya yang sebenarnya, saya yang tentukan sendiri.”
            “Bukan itu yang aku nampak sekarang. Hakikatnya, kau tetap gunakan nama kau untuk selamatkan perempuan ini. Kau tetap Nakajima dan sekarang, kau dah masuk campur ke dalam dunia aku.”
            Kali ini, Arjuna membungkam. Tetapi hujung telingaku dapat mendengar dia merengus.
            “Selamat datang, cucu kesayangan aku. Dah lama aku tunggu kau,” sambung Nakajima Hiroshi dengan muka puas hati.
            “Langkah mayat saya dulu, sebelum datuk heret saya masuk ke dunia itu.”
            “Mayat kau atau…” Nakajima Hiroshi memandangku atas bawah. “Mayat perempuan ini?”
            Arjuna tangkas membawa tubuhnya sedikit ke hadapanku, lalu membuatkan aku separuh terlindung.
            “Jangan berani sentuh dia.” Keras sekali suara Arjuna menjatuhkan amaran.
            Nakajima Hiroshi mengangkat sebelah kening.
            “Huh, betul cakap orang-orang aku. Kau memang betul-betul nakkan dia.”
            Arjuna diam, seolah-olah mengiya dalam senyap.
           “Kau patut cari perempuan yang lebih baik daripada ini. Muka tak cantik. Badan tak menarik.”
            Mataku membulat. Eh, orang tua ni. Sempat pula mengutuk aku.
            “Dia sudah cukup sempurna untuk saya,” bidas Arjuna. Aku tergamam sebentar. Kepalaku hampir-hampir terangkat kepadanya, namun cepat-cepat aku menahan diri. Jangan tunjuk muka terkejut, Nailah. Jangan! Arjuna tidak memaksudkan apa-apa. Dia cuma tengah berbalah dengan datuk dia.
            “Baiklah, kalau kau cakap macam tu. Aku harap apa yang kau rasa sempurna itu, akan kekal sempurna.”
            Dan-dan, suasana jadi hening. Ketegangan yang sudah sedia ada tiba-tiba sahaja mencanak naik. Perlahan-lahan aku menengadah kepada Arjuna yang masih separuh berdiri di hadapan. Dari sebelah sisi, aku dapat melihat rahangnya bergerak-gerak. Arjuna sedang mengetap geraham. Bukan itu sahaja, dia juga menggenggam kuat jari-jemari yang tampak bergetar.
            “Itu…datuk tak perlu risau. Kalau saya perlu mati sekalipun, saya akan tetap pastikan dia kekal sempurna.” Keras sekali setiap butir bicara Arjuna. Suaranya tertahan-tahan oleh desakan amarah. Tidak! Bukan setakat amarah, tetapi juga kebencian yang tiada tara.
            Hatiku mula diburu bimbang. Jelas ada sesuatu yang tersirat di sebalik isi pertuturan mereka berdua.
            “Aku akan tunggu dan lihat. Tapi, kau tahu mana mahu cari aku, kan?” Nakajima Hiroshi bersuara dengan muka tenang.
            “Takkan ada keperluan untuk saya cari datuk,” balas Arjuna. Tutur katanya berbaur angkuh.
            Nakajima Hiroshi menarik senyum sinis sebelum bangkit dari duduk. Serentak itu, keempat-empat pembantunya juga mengangkat punggung. Tekaku, mereka merupakan empat orang teratas dalam Aizukotetsu-kai.
            “Itu sahaja pertemuan antara kita malam ini. Dapat juga aku tengok perempuan yang sudah pegang cucu aku.” Dia mengerling ke arahku di hujung bicara. Aku menayang muka tenang. Walhal, ada rasa gentar yang mengusup masuk.
            “Terima kasih atas kesudian untuk datang ke sini,” ujar Arjuna dengan suara tidak ikhlas langsung. Dia kemudiannya membuka laluan kepada Nakajima Hiroshi dan empat orang lelaki di belakangnya. Aku mengambil tindakan yang sama.
            “Kau tak perlu hantar aku keluar. Inoue-san boleh buat itu untuk aku.”
            Inoue-san yang sudah pun berdiri di hadapan muka pintu menganggukkan kepala. Arjuna tidak memberikan apa-apa reaksi dan membiarkan sahaja tetamu-tetamu tidak diundangnya berlalu pergi.
            Seketika berlalu…
            Aku dan Arjuna masih tercegat di tempat yang sama. Apa yang berlaku sebentar tadi, aku rasakan umpama mimpi. Atau mungkin juga angin yang menumpang lalu. Semuanya berlaku dengan pantas. Aku tidak tahu reaksi apa yang patut aku beri sekarang. Patutkah aku menyoal Arjuna bermacam-macam? Patutkah aku zip mulut dan menanti sahaja dia menjelaskan semuanya?
            “Nailah…” Suara senada Arjuna sipi-sipi menujah telinga.
            “Hmm…”
            “Dah lewat malam. Kau masuklah rehat,” tuturnya tanpa sekalipun menoleh kepadaku. Muka kerasnya tetap terpampang. Jari-jemari kekal bergetar. Dia…masih menahan marah.
            “Awak?”
            Dengan gerak perlahan, Arjuna memaling muka dan menghadapku. Sepasang matanya kosong, sekosong-kosongnya.
            “Kenapa dengan aku? Kau nak aku ikut masuk ke bilik?”
            Anak mataku membuntang.
            “Bukan itu maksud saya!” Intonasi suara ternaik sedikit.
            Tidak semena-mena, hujung bibir Arjuna mengulum senyum. Namun, jelas sekali canggungnya. Plastik. Ketat.
            “I’m okay, if that’s what you want to know.”
            Aku memandang tepat ke mukanya. Awak berbohong, Arjuna. Awak sangat-sangat berbohong.
            Nafas berat, aku tarik dan hembus dalam diam. Kemudian, aku membalas senyumannya. Juga canggung. Juga plastik. Juga ketat.
            “Selamat malam, Arjuna Kaede.”
            Arjuna tidak terus membalas. Sebaliknya, dia merenungku lama. Entah apa yang bermain-main dalam fikirannya, aku tidak mampu menebak. Seketika kemudian, dia akhirnya mengeluarkan suara garaunya.
            “Selamat malam, Nailah Farafisha.”
*****
DUA HARI.
            Dua hari sudah berlalu sejak malam itu. Dalam dua hari ini, aku langsung tidak menemui Arjuna. Waktu aku keluar di pagi hari, dia sudah pun ke pejabat. Pulangnya pula lewat sekali, saat aku sudah diulit lena yang tidak enak. Kata Inoue-san, lelaki itu sibuk dengan kerjanya. Ada majlis pelancaran galeri baru yang perlu diuruskan. Kata Inoue-san juga, soal keselamatan tidak perlu dirisaukan. Arjuna sudah mengambil pendekatan yang sepatutnya. Apa yang sudah dia buat, aku juga tidak pasti.
            Akan tetapi, saat mengingati dia yang sebelum ini bertegas benar agar aku mengikutnya ke syarikat, kononnya demi keselamatan aku, membuatkan aku yakin satu perkara. Hakikatnya, dalam dua hari ini, lelaki itu cuba mengelak daripada aku. Huh, pelik sekali rasanya bila Arjuna Kaede yang selama ini gah, boleh tiba-tiba jadi pengecut. Ya, dia pengecut kerana tidak berani berhadapan denganku.
            ‘Mungkin dia ada sebab sendiri.’
            Kadang-kala, timbul juga suara hati yang cuba memberikan alasan bagi tindakan Arjuna. Suara hati yang sama itu juga cuba menyakinkan aku untuk memberi masa buat Arjuna. Nailah Farafisha tidak boleh menilai dan menghukum sebelum tahu apa-apa dan sebelum mendengar cerita yang keluar dari mulut Arjuna sendiri. Itu kata hatiku.
            Ah, letih mahu menjadi seorang manusia yang rasional.
            Treet…treet…
            Telefon bimbitku yang berada dalam mod senyap bergetar. Aku melirik kepada nama yang tertera di atas skrin.
            Yumiko.
            Gadis yang aku temui di hospital dan sudah bertukar-tukar nombor telefon dengannya. Lekas, aku membuka mesej yang diterima.

            ‘Badri keluar hospital hari ini. Kak Nailah mahu jumpa dia?’

            Aku mengetuk kepala. Kawan jenis apa aku ini? Macam mana kau boleh terlupa tentang Badri, Nailah?
            Cepat-cepat aku bangkit dari duduk, melilit selendang di kepala dan mengambil kot labuh yang tersangkut di penjuru bilik. Kot tersebut dikenakan ke tubuh sambil aku melangkah keluar. Inoue-san yang kebetulan berdiri di hujung koridor, berpaling kepadaku.
            “Cik Nailah mahu ke mana?”
            “Hospital. Saya mahu lawat Badri.”
            “Tuan Arjuna tahu?”
            Soalan Inoue-san membutkan aku terdiam. Kalau Arjuna tahu, pasti dia tidak akan membenarkan aku pergi. Kata lelaki itu, jika aku selalu menemui Badri, orang-orang dalam kumpulan yakuza akan mula mengesyaki bahawa Arjuna berbohong tentang hubungan kami. Goro akan cuba mendapatkan aku kembali. Dendam lelaki tersebut kepada Badri tidak boleh dipandang enteng. Dia tidak akan berhenti selagi tidak menjatuhkan Badri.
             “Cik Nailah, saya tanya ni.”
            “Dia tak tahu. Dan dia tak perlu tahu.”
            “Tapi…”
            “Inoue-san, saya betul-betul perlu jumpa dia. Badri kawan baik saya. Kalau saya tak jumpa dia sekarang, mungkin saya tak ada peluang lagi. Sebab dia tak mahu bagitahu kat mana dia tinggal dan dia tak nak balik ke Malaysia.” Laju dan panjang lebar aku menjelaskan. Walau Arjuna tidak membenarkan sekali pun, aku tidak peduli. Dia bukannya suami aku untuk aku ikut segala cakap.
            Inoue-san menghela nafas panjang.
            “Jangan balik lambat sangat. Dan hati-hati.”
            Aku menarik senyum kala mendengar bait bicara Inoue-san. Setelah mengangguk, aku menyambung langkah yang tergendala tadi.
            Mujur sekali rumah Arjuna ini letaknya di Nishijin, tidak jauh dari Hospital Horikawa. Boleh aku berjalan sahaja. Kalau tidak, perlu menaiki subway atau mungkin bertukar-tukar tren. Teksi? Huh, memang tidaklah. Tambangnya mahal.
            Setelah berjalan kira-kira dua puluh minit, aku akhirnya tiba di hospital. Baru sahaja aku mahu melangkah masuk, kelibat Badri terlebih dahulu menjamah pandangan mata. Tercegat di hadapan pintu dengan muka dan tangan yang berbalut. Yumiko di sebelah. Mereka sama-sama memandangku. Badri dengan muka terkejut. Yumiko dengan muka yang menyengih lebar.
            Tanpa menunggu lama, aku menghampiri.
            “Aku pergi beli kopi kejap. Kak Nailah dan Badri cakaplah,” tegur Yumiko.
            “Terima kasih. Kami duduk di taman.” Aku mengucapkan terima kasih. Sebelah tangan kemudiannya ditalakan ke arah bangku yang tersedia di taman hospital. Yumiko menunjuk isyarat okey sebelum menonong pergi.
            “Kau memang tak nak tunggu aku? Sampai hati nak keluar macam tu aje.” Aku mengomen sebaik sahaja aku dan Badri menajatuhkan duduk di bangku.
            “Aku ingat kau…”
            “Masih marahkan kau? Kau fikir aku siapa? Ini Nailah Farafisha. Mana boleh aku lama-lama marahkan Amirul Badri.”
            “Aku tahu. Tapi hal hari tu, bukan hal kecil. Kalau tak kerana aku…”
            “Dah, sudah. Tak payah cakap benda yang dah pun jadi.” Sekali lagi, aku menyampuk cakap. Nada tegas sengaja digunakan.
            Badri senyum kecil. Dia mengerti bahawa aku tidak mahu membesar-besarkan hal itu. Seketika, suasana antara kami hening.
            “Bila kau nak keluar dari rumah tu?” soal Badri tidak semena-mena.
            “Huh?”
            “Orang-orang aku cakap, kau tinggal di rumah Arjuna.” Badri menjelaskan. Dingin dan mendatar.
            Aku menelan air liur. Daripada gayanya, aku tahu Badri marah. Tempoh hari, aku langsung tidak mengkhabarkan bahawa aku tinggal bersama Arjuna. Ah, bagaimana mahu memberitahu, kalau suasana mula tegang dan aku tinggalkan dia begitu sahaja?
            “Jadi, bila?” desak Badri lagi. Nada suara semakin keras.
            “Err…sampai keadaan lebih selamat.”
            Sekonyong-konyong, Badri ketawa sinis.
            “Selamat? Huh, dia itu mahu berbohong kepada siapa? Kepada kau, bolehlah!” tempelak Badri selepas mematikan tawa.
            “Apa maksud kau?”
            Badri berpaling sedikit dan betul-betul menghadap mukaku.
            “Kau dengar sini, Nailah. Selagi kau ada dengan dia, kau takkan pernah selamat. Ya, memang ramai yang takutkan dia dan takkan berani sentuh kau. Tapi ramai juga yang akan gunakan kau untuk jatuhkan dia.” Kepala Badri tergeleng di tengah jalan. “Tidak. Bukan setakat dia, tapi Aizukotetsu-kai.”
            “Apa kaitan aku dengan  Aizukotetsu-kai?”
            Badri mendengus kecil.
            “Kau masih tak faham? Tak sedar lagi? Kau…” Jari telunjuk Badri hampir-hampir melekat ke hidungku. “Sekarang ni dikenali sebagai kekasih kepada Arjuna Kaede, cucu tunggal Nakajima Hiroshi. Semua orang tahu kelemahan Nakajima Hiroshi ialah Arjuna Kaede. Tapi untuk sentuh lelaki tu, memang mustahil. Arjuna bukan calang-calang orangnya. Dan dia…untuk pengetahuan kau, tak pernah ada kekasih. Tapi sekarang, dia bukan sahaja mengaku ada kau, tapi sudah masuk campur dalam perbalahan antara aku dan Goro. Dia yang selama ini tak pernah peduli pasal dunia yakuza, dah mula masuk campur.”
            Segala penjelasan Badri yang panjang lebar, aku dengar teliti. Akal fikiran berputar untuk mencerna apa yang baru didengar.
            “You have no idea how much it affected the yakuzas. Macam-macam spekulasi dah muncul.”
            “Spekulasi?”
            “Arjuna akan menyertai Aizukotetsu-kai. So there will be a struggle for power. Selama ni, dah ada cukup banyak pihak dalam Aizukotetsu-kai yang mahukan tempat Nakajima Hiroshi. Kalau Arjuna tiba-tiba muncul, keadaan akan lebih kecoh. Mereka akan cuba kenakan dia.”
            “Melalui aku,” sambungku perlahan. Mula memahami segala-galanya.
            “Ya, melalui kau.”
            Aku keras di tempat dudukku. Sungguh, aku tidak tahu mahu memberi reaksi bagaimana. Otakku kosong. Benar-benar kosong.
            “Nailah…” tegur Badri. Mukanya berbias rasa risau.
            Nafas paling berat aku lepaskan. Senyum kelat aku pamerkan. “I’m okay. I’m just…you know, cuba untuk betul-betul faham semua ni.”
            “Aku minta maaf. Semuanya…”
            “Stop saying it’s your fault. Benda dah jadi. Aku tetap kena hadap.”
            Badri diam. Dia tampak tidak berani untuk mengatakan apa-apa lagi. Aku tahu, perasaan bersalah yang menghantui Badri bukan sedikit. Aku yang selama ini, dia jaga dan lindung, akhirnya terhumban dalam permainan nyawa gara-gara dirinya. Pasti dia berasa sangat teruk.
      “You know what?” Aku cuba memecahkan keheningan dan kejanggalan yang mula menyelubungi kami berdua.
            “Apa dia?”
            “Aku jumpa dia.”
            “Siapa?”
             “Nakajima Hiroshi.”
            Saat itu juga, mata Badri terbalalak. Mulutnya ternganga luas. Seperti yang sudah aku jangka, dia terkejut bukan kepalang.

~Bersambung...~

**********
TEASER BAB 17:

“Badri.”
            “Apa?”
            “Ada kereta ikut kita.”
            Perbualan mereka menyentakku. Sepantas kilat, aku memusing kepala dan melihat kereta yang sedang mengekori dari belakang. Arjuna!
            “Jahanam,” carut Badri kegeraman. Dia kemudiannya menjerit, “Yang kau bawa lembab sangat, kenapa? Laju lagi!”
            Automatik, Daichi menekan minyak. Kereta yang kami naiki berdesup ke hadapan. Aku terjerit kecil.
            “Laju lagi! Lagi! Kita tak boleh biar dia kejar.” Dalam kekecohan, Badri tidak henti-henti menempik memberi arahan. Suaranya kedengaran terdesak benar.
            Daichi, sebagai anak buah yang sangat taat mengikut cakap. Kereta ini pantas membelah jalan. Suasana lewat malam yang sunyi dari kereta lain menyenangkan lagi perbuatan Daichi. Habis segala lampu isyarat dilanggar. Selekoh tajam dilalui laju. Kadang-kadang, tanpa membrek. Tangannya tangkas memusing-musing stereng.
            Aku di belakang sekejap terlempar ke kiri, sekejap ke kanan. Mulut tidak habis-habis menjerit. Jantung berdegup laju. Hati pula berkali-kali mengucap panjang. Seriau!
            Dalam lajunya Daichi, Arjuna tidak kurangnya. Beberapa kali, keretanya menyaingi. Setiap kali itu, dia menjerit di sebalik cermin kereta yang terbuka.
            “Berhenti! Berhenti, Badri!!!”
            “Ke depan lagi!!!”
            Lain yang dipohon, lain yang Badri buat. Langsung dia tidak mempedulikan permintaan Arjuna. Aku semakin penasaran. Kalau keadaan ini berterusan, kami mungkin akan bertembung antara satu sama lain atau mungkin juga…
            Streeeet…
            Bunyi brek mengejut yang sangat kuat menujah telinga. Mataku terbelalak besar menyaksikan kereta Arjuna berpusing beberapa kali di atas jalan sebelum…
            Bangggg!
            Melanggar pembahagi jalan.

*************
NOTA CIK SA:

Sila bayangkan interaksi antara AK dan datuk dia berlangsung dengan kedua-duanya memakai kimono. Wah! That should be intense. 

Sudi-sudilah komen, ya. TQ soooo much, and see you this Thursday. =)



Share this:

ABOUT THE AUTHOR

Hello We are OddThemes, Our name came from the fact that we are UNIQUE. We specialize in designing premium looking fully customizable highly responsive blogger templates. We at OddThemes do carry a philosophy that: Nothing Is Impossible

21 comments:

  1. Huaaa ! Bestttt , taksabaq nak tunggu bab 17 , AK eksiden ! Sedih

    ReplyDelete
  2. Oh no, ape jadi ngan AK huhuhuhu. Badri ni buat hal ape pulak tu haishhhhh...

    ReplyDelete
  3. Cepatlah dtg hari rabu. Jangan biarkan jantungku berdegup kencang menantikan kisah seterusnya , sebagaimana degupan jantung nailah mau tahu keadaan arjuna

    ReplyDelete
    Replies
    1. wah!!! bestnya ayat. dah boleh jadi novelis ni. hehe

      Delete
  4. kenapa dgn AK????
    plzzz cpt la update..
    xsbar dah ni...

    ReplyDelete
  5. No AK!!! Knapa lah Nailah ni,klau sy nailah, sy stay aje lah dgn AK..

    ReplyDelete
  6. Erm,nailah xnak balik Malaysia ke?

    ReplyDelete
  7. Erm,nailah xnak balik Malaysia ke?

    ReplyDelete
  8. makkkk aiiii.. acane kak sara boleh tulis cerita macam giniii?? seghupa baca komen mangga pulak. hikhik

    ReplyDelete
    Replies
    1. hahaha!!! entahlah macam mana boleh tulis. dapat idea masa gi Jepun kut. sukanya kalau compare dgn manga. sbb kak sara suka baca manga masa muda dulu. ok, skrg pun muda lagi. hahaha

      Delete