SALJU KYOTO - BAB 9


BAB 9

LANGKAHNYA dekat dan semakin mendekat, hingga akhirnya betul-betul menghadapku. Dengan lagak bersahaja, dia memusing kerusi yang diduduki oleh Goro sebentar tadi agar tidak terbalik. Kemudian dia menjatuhkan duduk di hadapanku, menyilang kaki dan bersandar tenang. Dua susuk tubuh lain elok berdiri dekat, di sebelah kiri dan kanannya. Dalam keadaan tersendeng-sendeng dan berlumuran darah, Goro datang menghampiri, namun tidak diendahkan. Melalui ekor mata, lelaki di hadapanku memberi isyarat kepada pembantunya agar ikatanku dilepaskan.
“Kau...” Suara Goro yang berdesis menyapa hujung telinga. Tetapi suara itu mati saat lelaki di hadapanku menjeling tajam. Sudahnya, Goro menekur diam.
Ikatan di mulut dan tubuhku terlerai jua akhirnya. Tetapi, aku tidak terus bangun. Renungan tajam jejaka yang menghadapku ini membuatkan aku merasakan bahawa lebih baik aku menunggu. Sementelah, suasana tegang sekarang seperti menanti saat sahaja untuk meletup. Semestinya, aku tidak ingin menjadi punca letupan itu.
“Apa yang sedang kau buat, Ishida Goro?” Dia bertanya dengan suara sedingin salju.
“Apa pula yang Nakajima Kaede buat di sini?”
Aku tersentak mendengarkan soalan Goro. Nakajima Kaede? Bukankah dia...Arjuna?
“Aku tanya soalan, bukan untuk dapatkan soalan sebagai jawapannya.” Pedas sindiran Arjuna.
Riak muka Goro berubah.
“Jadi, biar aku tanya kau sekali lagi. Apa yang kau sedang buat?” Nada suara Arjuna bertambah keras, seperti memberi amaran bahawa dia inginkan sebuah jawapan.
“Aku...aku...” Goro tergagap-gagap mahu menjawab.
“Kau tahu kan, yang kau tak boleh sentuh orang luar. Walau apa-apa pun yang jadi, kau tak boleh tarik perhatian antarabangsa.”
Tanpa semena-mena Goro menghambur tawa mengejek.
“Eh, aku dah tak peduli pasal itu semua. Aku dah dibuang kumpulan. Dan dah tak boleh masuk ke mana-mana kumpulan lain. Semuanya sebab jantan tak guna tu!”
“Jadi, itu urusan antara kau dan dia. Kenapa perlu libatkan perempuan ni?”
“Sebab perempuan ni...”
“Milik Badri?” sampuk Arjuna. Seketika kemudian, dia menggelengkan kepala. “Tsk...tsk...tsk...sebelum kau buat apa-apa, kau patut siasat dulu. Jangan main hentam saja.”
Dahi Goro bertaut rapat. “Apa maksud kau?”
“She’s my woman. You touch her and you die.” Selamba sekali jawapan Arjuna.
Aku tercengang. Spontan aku menoleh kepada Badri. Dia sedang berdiri sambil ditampung oleh salah seorang konconya. Dari sebalik muka berdarahnya, dia juga tampak terkejut.
“Kalau kau nak cepat mampus, cubalah apa-apakan dia,” ugut Arjuna sekali lagi.
“Tak...tak mungkin. Aku nampak dengan mata kepalaku sendiri, perempuan ni dengan Badri,” sangkal Goro, tidak percaya.
“Kalau perempuan ni tak ada kena-mengena dengan aku, kau fikir aku akan muncul di sini? Kau ingat aku akan masuk campur, sedangkan selama ni aku tak pernah peduli pasal kamu semua?” Bertalu-talu Arjuna membidas.
Goro bungkam. Muka serba-salahnya sekejap ditala kepadaku dan sekejap kepada Arjuna. Di mataku, lelaki ini tampak kegerunan. Lenyap sudah rupa menakutkan tadi, bahkan dia tidak ubah seperti anak kecil yang takut dihukum.
“Jadi, rasanya aku boleh tuntut balik hak aku, kan? Kau takkan cuba halang, kan?”
Soalan Arjuna dibiar sepi. Lalu, dia menarik senyum sinis.
“Hmmm, diam. Jadi, aku anggap kau dah setuju,” sambung Arjuna sambil bangun dari kerusi. “Tapi sebelum itu...”
Buk!
Mulutku terlongo. Arjuna baru sahaja melepaskan penumbuk ke muka Goro. Kuat sekali, hinggakan Goro tersembam ke lantai. Lelaki itu kelihatan tergamam. Dengan lagak bersahaja, Arjuna kemudiannya mengeluarkan sapu tangan dan mengelap tangannya yang terpalit dengan darah di muka Goro.
“Itu hadiah untuk kau sebab berani pukul dia.”
Usai menyudahkan kata, Arjuna datang mendekati. Dia menjatuhkan pandangan tepat ke mukaku. Lalu, aku terkebil-kebil membalas renungannya sambil cuba membaca riak wajah tidak berperasaan itu. Seketika kemudian, dia menunduk dan mengutip sesuatu dari atas lantai.
Selendang ungu milikku!
Dalam keadaan kecoh dan menakutkan tadi, langsung aku terlupa tentang selendang yang sudah terlucut saat Goro mencabut penutup mata dan mengasari aku. Arjuna mengibas-ngibas selendang di tangan bagi menghilangkan segala kekotoran. Tanpa sepatah kata, dia melilitkannya di kepalaku. Aku masih seperti tadi. Terpegun dan terkulat-kulat.
Sesudah itu, Arjuna menjeling ke arah Ryohei dan Sato yang sedari tadi setia di sisi.
“Tunggu apa lagi? Bawa dia balik.”
            Serentak dengan arahan itu, Ryohei dan Sato merapatiku.
“Cik Nailah...” Pendek seruan Ryohei, tetapi aku mengerti maksudnya. Lalu, perlahan-lahan aku mengangkat punggung. Masih dalam keadaan terkejut. Masih bingung.
Setelah memastikan aku berdiri di sebelahnya, Arjuna memulakan langkah. Teragak-agak, aku mengikut. Keadaan masih lagi senyap tanpa bunyi. Bahkan, tiada sesiapa pun yang menghalang laluan kami. Semua orang yang sibuk berlawan sesama sendiri sebentar tadi hanya diam memandang. Anak mataku meliar ke sekeliling, hingga akhirnya terpaku kepada Badri.
Automatik, aku berhenti. Pandanganku tepat kepada dia yang berlumuran darah, dengan sepasang mata sedih dan bibir yang terketar-ketar.
‘Nailah...’
Bibir itu bergerak-gerak sedikit. Aku tahu Badri sedang menyeru namaku.
Tanpa sedar, sebelah kakiku terangkat mahu mendapatkan lelaki tersebut. Tetapi, saat itu juga, lenganku dicengkam.
“Kalau kau nak dia dan kau sama-sama selamat, ikut aku keluar. Sekarang.” Bisikan keras Arjuna melekat di hujung telinga.
Aku pegun sebentar. Ekor mata dikerling kepada Badri. Bawah bibir diketap kuat. Buat kesekian kali, air mataku bergenang menandakan hati yang sedang pedih. Dalam-dalam, aku menggali nafas sebelum akhirnya aku bersuara...
“Jom pergi.”



*****
KETEGANGAN yang menyelubunyi kereta terasa hingga ke tulang hitam. Dia di sebelah langsung tidak menitipkan apa-apa kata. Kepalanya tegak memandang ke hadapan. Muka kosong tanpa biasan emosi.
Aku mengepal tangan, berusaha untuk menenangkan tubuh yang rupa-rupanya menggeletar kuat. Segala kejadian tadi terbayang-bayang dalam ingatan, lalu membuatkan hati kecilku berbelah bahagi dengan segala macam perasaan. Ada rasa takut. Ada rasa aneh. Ada rasa pilu. Namun yang pasti, aku tidak akan mungkin dapat melupakan mata sendu milik Badri.
“Dia...dia akan selamat, kan?” luahku antara dengar tak dengar.
Rengusan kasar Arjuna menjamah hujung telinga.
“Itu yang kau lebih pentingkan?”
Aku menengadah kepada Arjuna, tidak mengerti.
“Soal Badri? Badri yang dah buat kau terlibat dalam benda yang tak sepatutnya?”
Lidahku kelu. Ingin membela Badri, tetapi apa yang boleh aku katakan? Setiap patah kata yang terpancul keluar dari mulut Arjuna ada benarnya. Kerana permusuhan antara Badri dan lelaki bernama Goro itu, aku yang jadi mangsa.
“Kau sedar tak? Kau boleh mati!” Nada suara Arjuna naik satu oktaf. Ketenangan yang selama ini menyelaputi raut wajahnya hilang sudah, dan digantikan dengan ketegangan. Bahkan, kedua-dua matanya tampak merah beremosi.
“Ta...tapi, saya tak mati, kan?” Takut-takut, aku menjawab.
“Because I was there! Macam mana kalau aku tak muncul tadi?”
“Then, mungkin dah sampai ajal...”
Tanpa semena-mena, Arjuna merengkuh bahuku dan membawa tubuhku dekat kepadanya. Aku terjerit kecil.
“Jangan sesenang itu bercakap pasal ajal, Nailah Farafisha,” bisiknya keras.
Tepat aku merenung ke dalam muka Arjuna. Kami saling berpandangan, dalam suasana yang tiba-tiba terasa hening. Dalam dunia yang cuma ada aku dan dia.
“Ajal itu...sesuatu yang pasti, Arjuna.” Setelah beberapa ketika mendiam, aku akhirnya bersuara.
“Bukan di tangan manusia macam tu,” bidas Arjuna.
“Bagaimana pun caranya, ajal tetap ajal.”
“Jadi kau nak mati dengan cara diseksa? Dikerat-kerat waktu kau masih hidup? Dibiarkan mati dengan cara paling perlahan dan paling menderita. Macam tu?”
Aku terhenyak. Bibir terkatup terus. Membayangkan apa yang baru didengar, membuatkan bulu romaku meremang tegak. Tidak! Aku tidak rela berhadapan dengan kematian yang sebegitu rupa.
“See, jangan begitu senang bercakap soal ajal. Kau tak tahu apa yang tertinggal lepas sesuatu kematian.” Arjuna bertutur lagi. Keras dan tersirat. Renungannya masih tajam, penuh dengan ledakan emosi.
Emosi yang pertama kali aku lihat sejak perkenalan kami.
“Arjuna-sama...”
Satu teguran menyentak kami. Pantas, Arjuna melepaskan bahuku dan memandang ke luar jendela kereta.
“Kita dah sampai,” ucapnya dengan suara yang kembali mendatar.
Aku mengerutkan dahi dan turut melihat ke luar. Terpampang depan mata, sebuah rumah yang tidak lagi asing.
“Rumah awak?”
Dia menoleh kepadaku. “Bila aku cakap bawa kau balik, kau fikir aku nak bawa kau ke mana?”
“Tapi...”
“Kau dah terlepas flight. Kau dah tinggalkan Hitsuji-an. Ke mana lagi kau boleh pergi?” cantas Arjuna tanpa menunggu aku menyudahkan kata.
“Saya boleh balik ke Hitsuji-an. Tak pun, guest house lain.”
Sekonyong-konyong, Arjuna menarik senyum sinis. “Kau memang betul-betul tak faham apa yang dah berlaku, kan?”
“Apa maksud awak?”
Arjuna tiba-tiba mendekatkan wajah. Aku mengelip-ngelipkan mata sambil menjauhkan kepala. Rasa tidak selesa bergelumang dalam diri. Muka Arjuna akhirnya berhenti betul-betul di sebelah telingaku. Dia kemudiannya berbisik dengan nada yang sangat mendatar.
“You’re my woman. You’re mine. Remember?”
Anak mataku terbeliak. Semerta, pengakuannya di hadapan Goro menerjah kotak memori.
“Itu...awak cakap sebab nak selamatkan saya, kan?” tekaku perlahan. Tetapi, sebahagian hatiku mula diterjah rasa sangsi. Apatah lagi, tingkah laku Arjuna tampak pelik di mataku.
“You...young lady, are such a naive girl.”
Aku menggaritkan kening. Lain macam sekali jawapan yang baru menjadi halwa telinga.
“What is that supposed to mean? Apa awak nak buat kepada saya?” tukasku berulang kali. Rasa sangsi semakin mencanak naik.
Segala soalanku tidak berbalas. Arjuna sekadar menjauhkan muka dengan bibir yang menyenget sinis. Kemudian, dia meloloskan diri dari kereta. Secepat itu juga, aku mengambil tindakan yang sama.
“Arjuna, saya tengah cakap dengan awak. Answer me!” Dari kejauhan, aku menjerit. Namun sia-sia sahaja. Lelaki itu tetap menonong berjalan meninggalkan aku. Tetapi, sebelum dia melangkah masuk ke perkarangan rumah, sempat dia menjatuhkan arahan buat Ryohei dan Sato.
“Halang dia kalau dia cuba larikan diri.”
Mulutku terbuka luas. Halang aku? Maksudnya, Arjuna mahu memerangkap aku di rumahnya ini? Mahu aku jadi tidak ubah seperti banduan dalam penjara?
“Arjuna Kaede, what do you think you’re doing? Awak tak ada hak untuk sekat saya atau paksa saya masuk ke dalam rumah ni.” Tanpa menunggu lama, terus aku menempelak.
Langkah kaki Arjuna termati. Dia kemudiannya memusing badan dan kembali menghadapku. Sepasang matanya mencerlung tajam.
“Pada saat aku terlibat antara kau, Badri dan Goro, aku dah dapat hak tu,” gumam Arjuna dengan suara kerasnya.
“Apa awak merepek ni? Tak ada siapa bagi awak apa-apa hak ke atas saya dan tak ada siapa pun paksa awak terlibat dalam hal tu.”
“Then, don’t make me worry! Don’t come to me looking so lost, so confused that I feel like I have to protect you!”
Aku terkedu. Mataku bulat menatap muka merah Arjuna. Sungguh, bukan jawapan sedemikian yang aku sangka.
“Jadi sekarang, kau tak ada pilihan lain selain masuk ke dalam. Kalau kau berdegil sangat...”
“Apa awak nak buat?” cantasku, sedikit mencabar.
“Aku akan dukung kau masuk.”
“Awak gila?!” Aku membentak kuat.
“Sebab aku tak gilalah, aku tak buat macam tu. Jadi, jangan berdegil dan masuk sebelum aku betul-betul naik gila.”
Aku merengus kuat. Renungan tajam aku talakan ke dalam mata Arjuna. Dia turut mengambil tindakan yang sama. Sudahnya, kami sama-sama bersabung tenung. Tajam dan mencabar. Di mata Arjuna, tiada langsung tanda-tanda mahu mengalah. Bahkan, cuma ada keutuhan yang jitu. Nampak gayanya, dia benar-benar akan mengotakan kata kalau aku terus-terusan berdegil.
“Okay, fine!” Akhirnya, aku bersuara. Fikirku, biarlah aku beralah kali ini daripada diangkat dan didukung sesuka hati oleh lelaki bukan mahram. Lagipun, aku yakin di rumah yang ramai orang ini, Arjuna tidak akan mencuba untuk berbuat apa-apa terhadapku. Kalau dia berani, siaplah dia. Aku akan lawan habis-habisan!
*****
AKU mengetatkan tangan yang sedang elok memeluk lutut. Kepala yang sebelum ini labuh di atas lutut tersebut, diangkat lambat-lambat. Pandangan diliarkan ke sekeliling. Bilik ini masih sama seperti tempoh hari. Tiada apa-apa yang berubah. Dikelilingi pintu fusuma yang cantik dihiasi corak sakura merah jambu. Sebuah meja solek rendah terletak di hujung bilik. Kabinet berketinggian dada di sebelahnya. Kedua-duanya dengan rekaan tradisional Jepun. Di dinding pula, tergantung beberapa buah lukisan dengan corak buluh dan kaligrafi Jepun. Ringkas dan sangat minimalis. Itulah gambaran yang tepat untuk bilik ini.
Aku menghantar pandangan ke tengah-tengah bilik pula. Sekeping futon tebal sudah pun terhampar luas. Terdapat satu persalinan pakaian di atasnya. Di sisinya pula, kelihatan beg silang tempat aku menyimpan passport dan segala dokumen pengenalan diri. Beg tersebut sempat dikutip oleh Sato sewaktu meninggalkan gudang. Namun sayang, beg pakaianku sudah hilang entah ke mana. Mungkin tertinggal di tepi jalan sewaktu aku ditarik masuk ke dalam van. Kata Arjuna, aku tidak perlu risau tentang itu kerana dia sudah pun meminta Inoue-san menyediakan pakaian dan segala keperluan aku yang lain. Malahan, aku boleh meminta apa sahaja.
Mengingati lelaki itu, otak yang sedia bingung bertambah bingungnya. Dia lelaki yang baik atau pun tidak? Kenapa menyelamatkan, tetapi kemudian memaksa? Dan yang lebih penting, kenapa seganas-ganas lelaki seperti Goro boleh menikus di hadapan Arjuna?
“He’s someone that you should never get yourself involved with.”
“Orang lain mungkin takut kepada dia. Tapi tidak aku!”
Sekonyong-konyong, tutur kata Norihito dan Badri sebelum ini berdengung di peluput telinga. Ada maksud yang sangat dalam di sebalik bait bicara itu. Ada amaran yang cuba diberi. Ada sesuatu berat yang tersembunyi. Sedikit demi sedikit aku menelan air liur.
Mungkinkah aku sudah membuka kotak pandora?
Tuk...tuk...tuk...
“Ya Allah!” Aku terkejut. Segera aku menoleh pandang ke arah pintu. “Da-re? (Siapa?)”
“Saya.” Suara Inoue-san kedengaran dari luar, dalam Bahasa Jepun formal.
Aku melepaskan nafas sebelum bersuara. “Masuklah.”
Pintu tarik dibuka dari luar. Inoue-san melangkah masuk dengan penuh tertib.
“Cik Nailah belum tukar pakaian?”
Aku menggeleng lemah. “Kejap lagi.”
“Hmm, okey. Lepas dah sudah, Cik Nailah panggil saya, ya.”
“Kenapa?”
Inoue-san mengunjukkan satu bekas ubat yang terpegang di tangan. “Tuan Arjuna minta saya tengokkan muka Cik Nailah.”
Mendengarkan jawapan Inoue-san, aku spontan sahaja memegang pipi. Barulah aku perasan bahawa pipiku sudah pun membengkak.
“Err, Inoue-san tinggalkan sajalah kotak tu di situ. Lepas ni, saya boleh bubuh sendiri ubatnya.”
“Tak boleh. Tuan Arjuna sudah bagi arahan. Saya sendiri...”
“Inoue-san, tak apa. Saya boleh buat sendiri. Jangan bimbang,” sampukku. Tegas tetapi lembut.
“Tapi...”
Aku mengangkat punggung dan menghampiri Inoue-san. Kotak di tangannya diambil. Bibir pula mengulum senyum.
“Terima kasih. Tapi biar saya buat sendiri,” tekanku.
Inoue-san kelihatan seperti mahu membantah, tetapi dia kemudiannya menganggukkan kepala, tanda mengalah.
“Saya keluar dulu. Selamat malam,” ucapnya mahu mengundur diri. Namun cepat-cepat aku memegang lengannya. Kening Inoue-san ternaik sedikit. Aku menjatuhkan kembali tangan dan mengetap bawah bibir.
“Err...Tuan Arjuna...dia...dia dah tidur?”
Inoue-san mengerling ke arah jam dinding. “Belum. Cik Nailah nak jumpa dia?”
“Saya...”
Bicaraku mati ditelan rasa serba-salah. Kalau pun aku pergi berjumpanya sekarang, adakah dia akan memberi jawapan? Tentang siapa dia dan sama ada aku benar-benar sudah membuka kotak pandora? Bagaimana kalau kami bertekak lagi?
Ah, aku sudah tidak berdaya untuk bergaduh.
“Cik Nailah...”
“Err, tak...tak apalah. Esok saja saya jumpa dia.”
Sekali lagi, Inoue-san mengangguk hormat. Aku menayang senyum halus dan membalas. Mata tidak lepas daripada memandang wanita separuh itu yang akhirnya hilang di sebalik pintu. Perlahan-lahan, aku melepaskan keluhan. 
Masalah apa yang sudah aku cari?



*********
TEASER BAB 10:

Tawa halus Badri meletus dan lembut menyapa hujung telinga. Tawa yang sudah hampir dua tahun tidak kudengar. Tawa yang aku rindu. Tawa yang aku tak tahu sama ada aku akan dengar lagi, atau pun tidak.
Perlahan-lahan, dadaku menyirap dengan emosi.
“How come you ended up like this, Badri?” Lirih aku menyoal. Tawa Badri automatik mati. Dia menatapku dengan pandangan keruh.
“Kenapa kau ambil jalan ni? Tolong bagitahu aku. Biar aku tahu semuanya. So that, aku boleh lebih memahami keputusan kau. So that, aku takkan jadi kawan yang pekakkan telinga dan butakan mata.”
Dalam-dalam, Badri menggali nafas.
“Kau takkan pernah jadi kawan yang macam tu. Kau adalah kawan yang sanggup datang beribu-ribu batu jauhnya untuk aku. Tapi aku...” Badri menghenti kata dan mengetap bawah bibir. “Adalah kawan yang jatuhkan kawan dia ke dalam bahaya.”
Aku diam, tahu bahawa Badri memaksudkan kejadian dua hari lepas.
“Aku minta maaf,” ucap Badri lagi sambil menunduk kepala.
“Benda nak jadi. Semuanya dah lepas, kan?”
Lambat-lambat, Badri memanggung kembali mukanya. “Tak, itu kau silap. Semuanya baru bermula, Nailah.”

**********
NOTA CIK SA:
Insya'Allah, kalau tak ada aral melintang, Salju Kyoto versi cetak akan keluar ke pasaran akhir tahun ni. Marilah kita sama-sama mendoakan manuskrip cepat siap dan semuanya berjalan lancar. Amin...
Enjoy! Jom vote, jom komen, jom share dan jom sebarkan ke'macho'an AK. Eh! Hahaha...

Thank you and see you this Monday. Yeah, I know lambat. Tapi sabar itu separuh daripada iman, kan? Hahahaha! =)

Share this:

ABOUT THE AUTHOR

Hello We are OddThemes, Our name came from the fact that we are UNIQUE. We specialize in designing premium looking fully customizable highly responsive blogger templates. We at OddThemes do carry a philosophy that: Nothing Is Impossible

16 comments:

  1. ohmaiiiiiii . AK ad romantik dalam ganas . ayat dia wt terbuai2 walaupun dalam situasi yang patut yg di angan2 kan . hahaha . can't imagine bila dia jadi romantik sepenuhnya . hahah . tak sabaq nak tunggu isnin . heheh

    ReplyDelete
    Replies
    1. kannnn? dia macam ganas tapi sweet. mcam mana tu? konfius kejap...hahaha!! dia romantik? imagine him as dangerously sexy. ops, terbagi spoiler...haha

      Delete
  2. Saya tak sabar nak baca full episode. Hujung tahun....lambat tu.....

    ReplyDelete
    Replies
    1. itu slot yg dapat. manuskrip pun blm sepenuhnya siap...hehe

      Delete
  3. AKKKKKK!!!xsabar sgt nk tggu siap full

    ReplyDelete
  4. Complicated nih! Mujur ada Arjuna. Idak selamat tinggal dunia ler.

    ReplyDelete
    Replies
    1. tau tak pe! tapi bila tengok channel Crime Investigation kat astro, laaaagi rasa dunia tak selamat. huhu

      Delete
  5. Thanks kak sara...inform cpt2 tau kalau yg cetak dah dipasarkan..nak dapatkan satu,in shaa Allah..semoga selalu sukses :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. ur wc. insyaAllah, kak sara war-warkan kepada semua nanti...hehe

      Delete