SALJU KYOTO - BAB 7


BAB 7

PANTULAN di cermin kupandang sambil menyangkut kot ke tubuh. Perlahan, aku melepaskan keluhan. Sungguh aku tidak sangka bahawa aku sudah benar-benar bermalam di sini. Di sebuah rumah lelaki yang langsung aku tidak kenal. Gila. Aku betul-betul gila!
            Tanpa semena-mena, ingatan terhadap Badri datang menerjah. Dia yang mengamuk dan menggerunkan. Cepat-cepat, aku memejamkan mata, berharap agar tindakan itu dapat melenyapkan ingatan tersebut. Nafas ditarik sedalam-dalamnya. Sebelah telapak tangan pula aku letak ke atas dada. Tenanglah hati, tenanglah jiwa.
            Beberapa minit berkeadaan begitu, aku kembali membuka mata. Kemudian, aku memusing badan dan melangkah ke arah pintu gelangsar shoji yang memisahkan aku dari dunia luar. Dengan sekali tarik, pintu tersebut terbuka luas. Sekelip mata, angin sejuk luar menderu masuk. Lambat-lambat, aku menapak keluar hingga akhirnya tegak berdiri di laluan koridor. 
            Saat itu, aku dapat merasakan segenap tubuh yang mula mengeras. Anak mata terbeliak. Mulut ternganga. Menakjubkan. Sangat-sangat menakjubkan!
            Taman yang aku lihat semalam sudah berubah rupa. Jambatan kecil, batu-batuan yang tersusun elok di dalam kolam, pepohon renek dan tinggi…semuanya sudah diselaputi warna putih. Hanya air kolam yang tidak beku dan masih mengalir perlahan. Di hadapanku kini adalah satu dunia magikal yang penuh dengan sucinya putih.
            ‘SubhanAllah.’ Dalam hati, berkali-kali aku memanjatkan rasa takjub buat Yang Maha Kuasa.
            “Kau dah bangun?”
            Aku tersentak. Langsung, aku menoleh pada tuan empunya suara. Arjuna sedang mendekat dalam satu persalinan kimono berwarna biru gelap. Rambut lurusnya dibiarkan lepas menutupi dahi, tidak lagi dengan stail pomade. Melihat dia begitu, dalam rumah tradisional begini, membuatkan dia kelihatan seperti satu watak yang keluar dari drama lama Jepun.
            “Kenapa terpacak kat luar? It’s cold here,” tanya Arjuna lagi, seusai menghadapku.
            Perlahan-lahan, aku mengulum senyum kecil. Perhatian kembali ditebarkan ke dunia putih yang terhampar indah.
            “It’s a magical world. Cantik, kan?”
            Arjuna diam tidak mengatakan apa-apa, lalu aku melirikkan mata ke sebelah. Dia masih tegak di sisi. Serius dan sepi. Tetapi, ada yang berlainan dalam pandangan matanya. Seperti semalam, ada sesuatu yang sukar untuk aku teka.
             “Kau betul-betul fikir macam tu?” Suara garau Arjuna sipi-sipi menyentuh peluput telinga. Perlahan dan bergetar.
            “Apa?”
            “That snow is beautiful?”
            “Yes, it’s cold and yet beautiful. Dalam dinginnya salji, kecantikannya buat hati saya tenang. And you know, Arjuna…”
            Dia mengangkat sebelah anak kening, memberi reaksi saat aku memanggil namanya.
            “Lepas apa yang jadi semalam, ketenangan adalah apa yang saya sangat perlukan sekarang. So that, saya boleh berfikir. Apa yang patut saya buat, apa rancangan saya lepas ni…everything.”
            “Kalau kau perlukan apa-apa, bagitahu aku.”
            “Kenapa awak…”
            “Berhenti cakap aku baik.”
            Baru sahaja aku ingin sekali lagi menyoal kenapa dia baik denganku, Arjuna terlebih dahulu memintas. Bahkan, dia menyambung lagi, “Aku cuma mahu bayar balik atas budi kau. I’ve told you, right? Aku tak suka berhutang.”
            Aku gelak sinis. “Awak tak rasa ke awak dah bayar balik hutang awak? Dengan bunganya sekali. Semalam…”
            “Apa yang aku buat tanpa kau minta, tak dikira sebagai bayar hutang,” cantas Arjuna dengan suara mendatar yang tegas.
            “Maksud awak?” Aku menyoal dengan dahi bertaut.
            “Aku selamatkan kau atas pilihan aku sendiri. Setakat ni, kau belum minta apa-apa daripada aku.”
            “Jadi saya perlu minta sesuatu daripada awak, barulah awak akan rasa dah bayar budi saya. Macam tu?” tanyaku, memohon kepastian.
            Arjuna menganggukkan kepala. “Ya.”
            Aku mengerutkan lagi dahi yang sedia berkerunyut. Pelik sungguh lelaki ini. Sifir apa yang dia guna? Bukankah aku yang sepatutnya rasa sangat-sangat terhutang budi kepadanya? Bukankah aku yang perlu beriya-iya membalas budi tersebut? Ini terbalik pula jadinya. Aku cuma menjerit ‘watch out’ tempoh hari. Bukan apa-apa yang hebat pun. Tetapi melihatkan gayanya, berhutang mungkin adalah satu pantang besar buat Arjuna Kaede.
            “Arjuna-sama.”
            Satu suara yang menegur membuatkan aku dan Arjuna sama-sama menoleh. Inoue-san sedang tercegat tidak jauh daripada kedudukan kami.
            “Sarapan sudah sedia.” Inoue-san bertutur dalam Bahasa Jepun.
            “Okey.” Pendek jawapan Arjuna sebelum kembali memandangku. “Aku ada hal penting pagi ni. Tak boleh hantar kau pulang. Tapi aku dah cakap dengan Ryohei. He’ll drive you to…kau masih tinggal di Hitsuji-an?”
            Aku mengangguk.
            “Great. Kau ikut Inoue-san ke ruang makan. Take breakfast. And then, Ryohei akan hantar kau balik.” Panjang lebar Arjuna memberikan arahan. Sesudah itu, dia terus berjalan meninggalkan aku. Seperti tiba-tibanya dia muncul sebentar tadi, tiba-tiba juga dia menghilang. Lalu, aku terpacak canggung di hadapan Inoue-san yang memaparkan muka tenang tidak beremosi.
*****
SUASANA janggal mengerumuni isi kereta. Sesekali aku mengerling ke hadapan, ke arah Ryohei yang senyap memandu. Keluhan berat dilepaskan. Sungguh aku rasa tidak selesa berada dalam keadaan begini. Di dalam kereta semewah Audi S5, duduk di kerusi belakang dengan seorang pemandu di hadapan. Sudah serupa puan besar. Semua ini membuatkan aku gentar. Membuatkan aku sangsi akan siapa sebenarnya Arjuna Kaede.
            “Ryohei…”
            “Hait.”
            “Apa yang Arjuna buat sebenarnya? Apa kerja dia?” Aku menyoal dengan Bahasa Jepunku yang pelat. 
            Dari pantulan cermin kereta, riak muka Ryohei jelas berubah. Namun dia cepat-cepat menayang muka bersahaja.
            “Saya minta maaf, Cik Nailah. Tapi itu bukan untuk saya jawab.”
            Aku mengerutkan dahi. Bukan untuk dia jawab? Bukankah itu soalan yang sangat senang? Apa kerja awak? Saya bekerja sebagai guru. Begitu sahaja, kan?
            “Kalau bukan awak, siapa?”
            “Arjuna-sama.”
            Arjuna? Huh, aku tidak fikir dia akan menjawab soalanku. Lelaki tersebut terlalu misteri. Nanti tidak pasal-pasal pula aku yang dimarahi.
            “Tapi…” Ryohei menyambung tiba-tiba.
            “Apa dia?”
            “Apa-apa pun yang Cik Nailah fikir tentang dia, semuanya salah.”
            “Apa yang saya fikir tentang dia?” ulangku kembali.
            “Mungkin Cik Nailah fikir benda buruk pasal Tuan Arjuna.”
            Aku terbungkam. Bagaimana Ryohei tahu bahawa aku punya syak wasangka terhadap Arjuna?
            “Sudah terlalu ramai orang berfikir begitu tentang Tuan Arjuna. Jadi, saya harap Cik Nailah takkan jadi salah seorang daripada mereka.” Tutur kata Ryohei kedengaran tegas, tetapi sangat berkias.
            “Kalau tak nak saya fikir macam-macam tentang dia, jadi berterus-terang sajalah kepada saya.”
            “Sesetengah perkara patut didiamkan. Kalau tak, teruk jadinya nanti.”
            Aku menjuih mulut. Ryohei dan Arjuna sama sahaja perangainya. Suka sangat cakap macam tak bercakap, bagi jawapan yang bukan macam jawapan, semuanya ada maksud tersirat. Apa mereka fikir aku tidak ada kerja lain selain cuba mencari jawapannya?
            ‘Isy, sudahlah tu, Nailah. Kenapa pula kau nak cari jawapan? Ignorance is the best policy, remember?’ tempelak hati kecilku.
            “Cik Nailah…”
            “Hmm, apa dia?” balasku acuh tak acuh.
            “Kita dah sampai. Tapi lebih baik Cik Nailah jangan keluar dulu.”
            “Kenapa?” tanyaku seraya terus memandang ke luar tingkap. Semerta, riak muka berderau. Tidak jauh dari pintu masuk Hitsuji-an, kelihatan Badri sedang berdiri tegak di situ.
            “Nak saya cakap dengan dia ke?”
            “Cakap apa?” Aku bermain soalan.
            “Err, mungkin Cik Nailah tak nak jumpa dia.”
            Aku diam sebentar. Memikirkan sama ada aku patut bersembunyi di dalam kereta atau pun keluar berhadapan dengan sahabat yang sudah tidak seperti sahabatku. Beberapa saat berlalu, aku menggali nafas dalam-dalam dan menghembusnya.
            “Tolong bagitahu Arjuna, saya cakap terima kasih sebab tumpangkan saya semalam. Dan terima kasih juga untuk awak, sebab hantarkan saya balik.”
            “Cik Nailah pasti?” tanya Ryohei. Dia mengerti bahawa aku sudah membuat keputusan.
            “Awak jangan bimbang, Ryohei. Tahulah saya uruskan hal saya.”
            Usai bersuara, aku membuka pintu kereta dan mengangkat kaki keluar. Sepantas itu juga, Badri menengadah kepadaku.
            “Kenapa kau keluar dari kereta tu? Kenapa kau ada dengan dia?” Terus dia menyoal sambil laju merapatiku.
            Automatik, aku menghentikan langkah dan berundur satu tapak ke belakang. Riak muka Badri jelas berubah. Dia turut mematikan derap kaki. Lalu, aku dan dia berdiri jauh menghadap satu sama lain.
            “Kau…takutkan aku?” Ada nada sendu dalam bicara itu.
            Aku memejamkan mata sesaat. Hati jelas terkesan dengan pertanyaan tersebut. Kedua-dua belah tangan dikepal, mengharapkan agar aku cukup kuat dan tenang.
            “Apa yang kau dah buat, Badri?” Lain yang dia tanya, lain yang aku jawab.
            Badri mengetap bawah bibir. Aku yakin dia mengerti apa maksudku. Kemudian, dia menjawab, “Aku cuma mahu hidup.”
            “Dengan membunuh orang lain?”
            “Dia tak mati,” balas Badri menujukan jawapan buat lelaki di stesyen subway tempoh hari.
            “Itu dia. Tapi aku tak rasa dia satu-satunya orang yang kau buat macam tu, kan?”
            “Aku tak pernah bunuh sesiapa pun,” nafi Badri penuh ketegasan.
            “Tapi kau belasah orang sampai hampir mati, kan?”
            Lelaki di hadapanku menyengap.
            Aku menarik senyum paling kelat. Hatiku sangat kecewa.
            “Bila kau dah mula buat macam tu, tinggal sikit saja masa untuk kau betul-betul cabut nyawa orang.”
            “Kau tak percayakan aku?”
            “Bukan aku tak percayakan kau, tapi aku tak percayakan kerja kau. You’re a yakuza, right?”
            Sekali lagi, Badri mendiam. Dia mengiya dalam kebisuannya.
            “Kau tahu tak apa perasaan aku bila nampak kau semalam? Kau bukan lagi Badri yang aku kenal. Kau dah berubah. Kau dah bertukar. It’s like you’ve became a monster!”
            Muka Badri berderau. Nafasnya mula berdengus-dengus. Dia marah.
            “A monster? Huh, mungkin kau betul. Aku dah jadi monster yang cuma tahu belasah orang sampai mati. Aku suka bergelumang dengan darah. Aku puas bila orang merayu-rayu di kaki aku. Aku rasa hebat! Aku rasa berkuasa!”
            Aku tercengang. Mata sudah pun bergenang.
            “Kau tahu tak, Nailah? Inilah kali pertamanya aku rasa yang aku ni berguna. Aku jadi orang kepercayaan ketua aku. Hanya dalam masa dua tahun, dia dah serahkan dua kawasan untuk aku jaga. Aku ada berpuluh-puluh orang bawahan. Aku ada kuasa. Aku ada duit.”
            “Dan duit tu kau hantar kepada emak kau? Duit haram tu?!” tempelakku, semakin kalah dengan emosi yang membuak-buak.
            “Kau jangan cuba menghina aku, Nailah.”
            “Aku bukan menghina. Aku cuma cakap benda betul. Sanggup kau, kan? Sanggup kau bagi emak kau makan duit haram.”
            “Kau!!!” Badri tiba-tiba menyerbu ke arahku. Namun satu tubuh lain terlebih dahulu muncul di antara kami berdua. Aku tergamam. Mataku tepat tertala kepada belakang tegap seorang lelaki. Ryohei! Fikirku, dia sudah berlalu pergi sebentar tadi. Rupa-rupanya aku silap.
            “Ini antara aku dan dia. Kau jangan masuk campur.” Badri berdesis keras.
            “Cik Nailah adalah tetamu kepada majikan aku. Jadi, tanggungjawab aku untuk pastikan dia selamat.” Tenang dan bersahaja Ryohei menjawab.
            “Majikan kau? Arjuna Kaede?”
            Aku agak tersentak. Badri kenal Ryohei? Dia tahu bahawa lelaki itu bekerja dengan Arjuna? Sekelipan, amaran Badri sebelum ini menerjah kotak memori.
            Stay away from Arjuna Kaede.
            Huh, kalau sudah mengenali Arjuna, pasti Badri mengenali Ryohei dan Sato. Mereka bertiga itu sudah umpama belangkas, tidak boleh berpisah.
            “Ya, Arjuna Kaede. Kau tentunya tak mahu buat hal dengan dia, kan?” Ryohei bertutur lagi.
            Tanpa semena-mena, Badri menghambur tawa. Mengejek dan sinikal. Ryohei tetap tegak dengan muka tenang tidak berperasaan.
            “Eh, kau dengar sini. Orang lain mungkin takutkan dia. Tapi tidak aku!”
            “Jadi, kau ada masalah besar sekarang,” sinis Ryohei.
            “Tak guna!!!”
            Penumbuk Badri tiba-tiba melayang ke muka Ryohei. Mataku terbuntang. Cepat-cepat aku bergerak, mahu ke hadapan. Tetapi sepantas itu juga, Ryohei mendepa sebelah tangan, menghadang pergerakanku.
            “Jangan gerak. Cik Nailah berdiri belakang saya. Biar saya uruskan dia.”
            “Sorry, Ryohei. Tapi saya bukan jenis perempuan yang cuma tahu berdiri belakang lelaki,” bantahku tegas. Tangannya ditolak ke tepi, lalu aku membawa diri menghadap Badri. Kepalaku tegak. Mataku mencerlung tajam.
            “Kau…memang betul-betul dah jadi lain, kan?”
            Rahang Badri terketap-ketap. Aku tahu dia sedang kegeraman. Tetapi peduli apa aku? Yang aku tahu sekarang, dia benar-benar melampau. Cuma tahu guna kekerasan sahaja.
            “Amirul Badri bin Amran, kau benar-benar dah kecewakan aku.”
            Berubah raut muka Badri. Wajah kegeraman dengan mata merahnya bertukar rentak. Ada biasan sedih di situ. Malahan, matanya tampak berkaca-kaca.
            “Nailah…”
            Pantas, aku memaling muka ke sebelah. Tanpa memandangnya, aku menyambung lagi. “Tolong pergi, Badri. Sebelum aku dah tak mampu bertenang, dan naik gila di sini.”
            Seketika suasana hening. Lewat ekor mata, aku sedar Badri masih ralit menatapku. Entah apa yang dia fikirkan, aku tidak tahu.
            “Aku ingatkan kau kawan aku. Sekurang-kurangnya, kau patut cuba untuk tanya aku, kenapa aku jadi macam ni.”
            Lirih dan pilu suara Badri menujah anak telinga. Aku tersentap. Hati rasa ditusuk sembilu. Spontan, aku mengangkat muka dan memerhati dia yang sudah membawa langkah pergi. Belakang Badri tampak longlai.
            Sedikit demi sedikit, bibirku terketar-ketar. Jantung rasa sesak hinggakan nafas bagai tersekat di tengah jalan. Air mata yang cuma bergenang tadi, menitis setitik di pipi. Namun, cepat-cepat aku menyeka. Nafas ditarik dalam-dalam. Kemudian, aku berpaling kepada Ryohei.
            “Awak okey ke?” tanyaku sambil meniliti mukanya. Ada darah yang terpalit bawah bibir. Tanpa menunggu lagi, aku membuka beg silang.
            “Saya rasa Cik Nailah yang tak okey.”
            Tangan yang baru menyeluk tisu terkaku. Bibir diketap kuat. Tanpa mendongak kepadanya, aku membalas. “Taklah. Awak silap. Saya okey.”
            “Tak. Cik Nailah tak…”
            “Saya cakap saya okey, saya okeylah! Apa yang awak tak faham sangat?!” Di luar sedar, aku menempik kuat. Kepala sudah pun dipanggung terus kepada Ryohei. Dia terkulat-kulat memandangku.
            Sesaat, dua saat berlalu. Kami saling berpandangan hingga aku akhirnya tersedar akan tindakanku sebentar tadi.
            “Saya…saya minta maaf. Saya tak patut…”
            Belum sempat aku menyudahkan kata, Ryohei tanpa semena-mena berjalan ke arah kereta dan membuka pintu belakang.
            “Masuk.”
            “Huh?”
            “Masuk, Cik Nailah.”
        Teragak-agak aku menghampiri kereta dan menjatuhkan punggung di tempat duduk penumpang. Mataku masih terkebil-kebil tidak mengerti dengan perlakuan Ryohei.
            Dengan muka seriusnya, Ryohei bergerak sedikit untuk menutup pintu. Tetapi sebelum itu, dia bersuara...
           “Dalam ni, Cik Nailah boleh menangis sepuas-puasnya. Tiada siapa pun nampak. Saya tunggu di luar.”
            Aku terpana dan diam sahaja saat pintu kereta dikatup dari luar. Air mata yang rupa-rupanya masih bertamu di tubir, perlahan-lahan mengalir. Bibir yang bergetar diketap kuat. Lalu, di sebalik hitamnya cermin kereta, aku mula menangis. Sedikit demi sedikit hingga aku akhirnya teresak-esak laju. 





**************

TEASER BAB 8:


Dadaku semakin sesak. Rasa mual membuak-buak di celah tekak. Hampir muntah membayangkan betapa mereka mereka berbangga dengan apa yang sudah dilakukan. Mereka ini manusia jenis apa? Tidak! Ini bukan manusia namanya. Bahkan, bukan binatang. Ini syaitan. Selaknat-laknat syaitan!
Dan sekarang, aku berada bersama syaitan-syaitan itu.
'Ya, Allah! Tolong aku,' teriakku dalam senyap. Rasa takut semakin ganas mencucuk-cucuk jiwa. Dari sebalik mata yang tertutup, air mataku mengalir laju.
Sebelah pipiku tiba-tiba rasa disentuh dan diusap-usap. Aku meronta dan menggerak-gerakkan kepala. Walau dalam keadaan terpasung begini, aku cuba sedaya-upaya untuk mengelak. Sungguh, aku tidak rela disentuh mana-mana jantan kotor. Tidak rela!
Pang!
Mukaku terteleng ke sebelah. Kepalaku berpinar. Tidak cukup dengan itu, bawah daguku pula yang menjadi mangsa. Direngkuh kasar hinggakan separuh mukaku terangkat. Penutup di mataku kemudian ditarik kasar. Terpisat-pisat aku membuka mata.
Dekat di hadapanku adalah muka seorang lelaki yang tidak pernah ditemui. Ada parut di atas dahi. Sepasang mata sepetnya merah membara. Penuh kebencian, penuh dendam. Serta-merta, aku menelan air liur. Lelaki ini sungguh menakutkan.
Tanpa semena-mena, hujung bibirnya menyenget sinis. Bulu romaku automatik meremang.
"Sakit ke?" Dia tiba-tiba menyoal lembut, siap dengan jari-jemari yang membelai-belai pipi bekas tamparannya tadi.
*****************
NOTA CIK SA:
Honestly, kasihan jugak dekat si Badri ni. Oh, well...sayalah yang create watak dia macam tu...haha!! 
Jom komen. Sesiapa yang ada wattpad tu, sudi-sudilah follow Cik SA, ya. ID: sara_aisha. 
Thanks a lot, and see you next Monday. =)

Share this:

ABOUT THE AUTHOR

Hello We are OddThemes, Our name came from the fact that we are UNIQUE. We specialize in designing premium looking fully customizable highly responsive blogger templates. We at OddThemes do carry a philosophy that: Nothing Is Impossible

19 comments:

  1. best2 membuatkan saya tak sabar nak tahu apa jadi seterusnya.

    ReplyDelete
  2. Kalau saya jadi nailah, dah lama saya balik msia. Tak faham kenapa dia masih disitu selepas apa yang berlaku.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Dia belum sempat balik. Dia kan baru dapat tahu pasal Badri. Hari yg sama (malam tu), dia duk rumah Arjuna. Keesokan harinya, waktu dia balik ke guest house, dia jumpa Badri balik. Macam kat bab atas.

      So time frame lepas dia nampak Badri mengamuk dan dia jumpa balik Badri depan Hitsuji-an cuma satu hari. Tak sempat nak balik lagi.

      Org tak betul je tak nak balik Malaysia lepas apa yg jadi. So, jawapan kenapa Nailah still tak balik2 ada di bab 8. Sabar, ya.

      Delete
  3. sayang cik sara byk2. muah ciked...

    ReplyDelete
  4. Ala...kena tunggu sambungannya hari Isnin ke? Lambatnya....
    Congrats cik sara...macam2 rasa ada bila baca...puas hati sangat...suka sangat2...

    ReplyDelete
  5. Kesian pulak dkat badri...can't wait for ch.8

    ReplyDelete
  6. Sy pun ade rasa kesian kat badri, sure ade benda yg jadi kat dia before ni..

    ReplyDelete
  7. Camne Badri boleh terjebak eh!

    ReplyDelete
    Replies
    1. akan terjawab tidak lama lagi. hehe

      Delete
  8. Siapa Lelaki berparut di atas dahi tu??
    Apa sebenarnya yang terjadi???
    Dimana Badri dan A.K???
    Adakah Lelaki tu ketua Badri...
    Adus....penasaran sungguh...

    ReplyDelete
    Replies
    1. wah, banyak sekali persoalannya...hehe...
      sabar2, kita bg jawapan satu per satu dalam bab akan datang. =)

      Delete