SALJU KYOTO - BAB 14


BAB 14

"STAY HERE. Jangan bergerak selagi aku tak suruh," arah Arjuna dengan belakang tubuh yang mendepaniku. Kami sekarang sama-sama terperangkap di suatu sudut bangunan, dikelilingi lima orang lelaki bermuka bengis. Di sebalik persalinan hitam mereka, jelas tatu yang terukir hingga ke leher.
Rengusan kasar Arjuna menjamah telingaku. Kemudian dia bergerak satu tapak ke hadapan. Aku ditinggalkan bersandar sendiri.
"Berani kau cari pasal dengan aku?" bentak Arjuna. Keras dan dingin.
Salah seorang lelaki bertatu tidak semena-mena, meledakkan tawa. Tekaku, dia merupakan ketua kepada kumpulan penyerang ini.
"Aku cari pasal dengan kau sebab kau adalah kau."
Arjuna gelak sinis. Dari belakang, aku nampak dia mengepal-ngepalkan jari, seolah-seolah sedang memanaskan badan. Langkahnya pula semakin menjauh dan kini berada di tengah-tengah antara lima lawan. Mereka semua mengelilinginya. Tangan masing-masing menggenggam batang besbal, kayu dan pisau.
"Kau tahu tak?" soal Arjuna tiba-tiba. Nada suaranya tetap seperti tadi. Mendatar tidak berperasaan, seolah-olah apa yang sedang berlaku ini tidak memberi apa-apa kesan. Tiada gundah. Tiada gentar.
"Apa?" Lelaki bertatu yang sama bertanya kembali.
"Kau memang bodoh. Tak reti cari lawan."
Usai menyinis, Arjuna terus menyerbu ke hadapan. Tumbukan kuat dilepaskan ke muka lelaki di hadapannya. Serentak itu, empat lelaki lain membuka langkah. Namun, Arjuna lebih pantas bergerak. Lawan di belakangnya ditendang hingga melayang. Kemudian, dia mencengkam leher lelaki yang ditumbuk tadi, memusing badan dan menghadap lawan-lawannya. Lelaki dalam cengkaman digunakan sebagai penghadang badan. Semerta, konco-konco yang lain menghentikan tindakan. Mereka saling berpandangan, tidak pasti sama ada mahu menyerang atau berundur.
"Kau tunggu apa lagi?! Serang dia!!!" Lelaki yang dijadikan 'tebusan' menengking kuat. Secepat kilat, orang suruhannya menerpa ke hadapan.
Sepantas itu juga, Arjuna menghentak tahanannya dan melemparnya ke tepi. Tersembam lelaki tersebut ke jalan. Sesudah itu, Arjuna memulakan serangan. Tanpa sebarang senjata, dia bergantung sepenuhnya kepada tubuh badan sendiri. Tumbukan demi tumbukan, tendangan demi tendangan dilontarkan buat lawan-lawannya.
Sesekali Arjuna menggunakan lengannya sebagai perisai kepada kayu yang hampir mengenai kepala. Batang besbal dan pisau yang datang melibas juga dielak berkali-kali. Setiap serangan berjaya ditepis. Gerakannya tangkas, deras dan tepat. Bahkan, mukanya tetap tenang bersahaja. Sekejap-sekejap, dia menendang dan menumbuk, kemudian melompat tinggi dan menghentak. Kalau tangan kanannya terperangkap, dia menggunakan tangan kiri. Kalau kedua-duanya dipegang, kakinya menjadi senjata. Cekap sekali menyerang dan mengelak. Lawan-lawannya berkali-kali tersungkur dan bangkit kembali. Tiada tanda-tanda mahu mengalah.
Aku melihat semuanya dengan mata yang terbelalak luas. Walaupun Arjuna jelas tidak bermasalah dalam berlawan, namun rasa takut dan bimbang tetap membuak-buak dalam diri. Tolong...tolonglah jangan ada apa-apa jadi kepada dia!
"Arghh!!"
Bahuku terangkat. Jeritan Arjuna menyentak kuat. Dia sudah pun terbang ditendang, terhentak ke dinding dan kemudian jatuh tergolek.
"Arjuna!" Aku menjerit.
"Jangan datang!" tegahnya lantang tanpa menoleh kepadaku. Terhuyung-hayang dia mengangkat tubuh dan kembali menghadap lawan-lawannya. Mereka juga tampak tercungap-cungap. Muka masing-masing lencun dengan darah.
"Nampaknya kau memang sayangkan dia."
Sekonyong-konyong, muncul satu suara di peluput telingaku. Dekat! Mukaku terpusing ke sebelah kiri. Saat itu juga, mataku membuntang. Betul-betul di hadapanku adalah muka lelaki bertatu yang bercakap tadi. Bibirnya yang berdarah senget menyinis. Pandangan mata jelas jahatnya.
Sedikit-sedikit, aku mengundurkan badan ke belakang. Mahu menjauh. Namun dia terlebih dahulu merengkuh dan mencengkam bahuku. Aku menyeringai kesakitan.
"Jangan kau berani sentuh dia!!!"
Serentak dengan jeritan itu, tubuhku tiba-tiba rasa tertolak ke tepi. Aku terkejut memerhatikan lelaki di sisiku yang sudah pun terlentang di atas jalan. Arjuna berdiri tidak jauh daripadanya. Sebelah tangan mengacu sebatang kayu berhujung tajam ke leher lelaki tersebut. Darah menitis sedikit demi sedikit.
Aku tergamam. Ekor mata kemudian dilirik kepada lelaki-lelaki yang sebelum ini mengelilingi Arjuna. Semuanya sudah bertaburan dikerjakan dan kini mengerekot sakit.
"Cakap pada ketua kau, apa yang dia dengar itu betul. Jadi jangan cuba untuk uji apa-apa. Jangan cuba untuk sentuh perempuan ni. Kalau berani, tahulah akibatnya." Dingin sekali suara Arjuna yang berdesis. Aura membunuhnya meluap-luap keluar.
Lawan yang jatuh itu tersenget-senget mengangkat tubuh. Separuh mukanya bengkak dan berdarah. Dengan lagak bersahaja, dia meludah ke jalan. Tertempel air liur bercampur darah.
"Kau fikir kau boleh lari daripada takdir kau...Nakajima-sama?" tanyanya dengan panggilan Nakajima yang sengaja ditekankan. Ada maksud yang tersirat. Aku pasti. Kalau tidak, takkanlah dia menuturkan perkataan '-sama' yang digunakan untuk menghormati orang yang lebih berkuasa.
"Takdir aku...aku yang tentukan. Jadi kau tak perlu bersusah-payah fikir."
"Kau yakin? Huh, kita tengoklah nanti," bidasnya dengan mulut sinis. Selepas itu, dia menghantar isyarat kepada konco-konconya untuk bergerak.
Aku terkulat-kulat memerhatikan mereka berlalu pergi. Seperti tiba-tibanya mereka muncul, seperti itulah juga mereka lenyap. Seketika kemudian, Arjuna memusing badan ke arahku. Bawah mata dan sebelah pipi bengkak. Bibir pecah. Ada darah yang terpalit.
"Kau tak apa-apa?" Dia menyoal.
"Kenapa tanya saya? Awak tu. You're bleeding!" balasku. Nada suara sudah terlebih satu oktaf.
Arjuna tayang muka kosong. Dengan menggunakan belakang telapak tangan, dia mengelap darah di bibir.
"Apa yang kau melebih-lebih? Ini benda kecil. Benda yang aku dah biasa."
Bicara selamba itu membuatkan aku terkesima. Hati tiba-tiba dipagut pilu. Aku sedar, inilah kehidupan Arjuna selama ini. Dikelilingi musuh yang bila-bila masa boleh datang menyerang. Nyawa sentiasa berada di hujung tanduk.
Dengan hati yang bergolak, aku terus-terusan merenung jejaka di hadapan mata. Dia membalas dengan riak muka yang biasa aku tengok.
Muka tenang tanpa emosi.
*****
"ARJUNA-SAMA!"
Dua mulut serentak memanggil Arjuna seusai kami melangkah masuk ke dalam rumah. Muka masing-masing menunjuk bimbang.
"Kami minta maaf, Tuan. Sebab tak ada waktu..."
"Kau ingat aku siapa? Ini Arjuna Kaede. Tiada siapa boleh sentuh aku," cantas Arjuna dengan muka sinis.
"Tapi..." Mulut Ryohei terkatup saat Arjuna menepuk bahunya.
"Aku tak apa-apa. Jangan bimbang. Lagipun, aku yang tak mahu kau ikut tadi." Arjuna menegaskan. Sesudah itu, dia merapati Sato. "Tak payah tunjuk muka sedih macam tu. Tak sesuai untuk kau."
"Saya bukan sedih. Saya cuma..." Sato meraup wajah kusutnya. "Kami tak patut tinggalkan tuan seorang. Selama ni mana pernah..."
"Sebelum ini, mana ada Nailah Farafisha," sampuk Ryohei.
Aku tersentak saat namaku disebut. Mata terkebil-kebil memandang dua lelaki yang kini tajam merenung. Tiba-tiba sahaja, aku berasa sangat kerdil di hadapan mereka. Walhal, sebelum ini hubungan antara kami baik-baik sahaja.
Perlahan-lahan, Arjuna memusing tubuh menghadap Ryohei. Riak mukanya keras.
"Jangan panggil nama dia macam tu saja. Dia tetamu aku. Kau patut hormatkan dia."
"Tapi sebab dia, tuan langgar pantang larang sendiri. Tuan masuk dalam dunia yang selama ni tuan mahu elak." Ryohei membidas. Rahangnya terketap-ketap. Jelas menahan emosi.
"Berjaya tak?" soal Arjuna dingin.
"Huh?"
"Aku tanya, selama ni berjaya tak aku elakkan diri daripada dunia tu?"
Ryohei membisu.
"Nakajima-sama, Nakajima-sama, Nakajima-sama!" Tanpa semena-mena, Arjuna menaikkan nada suara. "Ke mana pun aku pergi, itu yang orang panggil. So tell me, pantang larang yang selama ini aku pegang, boleh dipanggil pantang larang ke?"
"Sekurang-kurangnya, itu yang tuan percaya."
"Jadi kau fikir, kerana perempuan ni..." Jari telunjuk Arjuna dituding kepadaku. "Aku langgar kepercayaan aku sendiri? Macam tu?"
"Bukan itu yang Ryohei maksudkan, tuan." Sato masuk campur.
Arjuna tarik senyum sinis. "Huh, ya ke? Sebab daripada apa yang aku dengar, memang itu maksudnya."
Raut muka Ryohei bertukar keruh. Dia cuba berlagak tenang, tetapi aku perasan matanya yang jelas kecewa.
Serta-merta, jantungku dihentak rasa bersalah. Aku tidak pasti apa yang mereka cakapkan. Pantang larang apa? Kepercayaan apa? Tetapi ada satu perkara yang aku pasti benar.
Akulah penyebabnya. Aku menjadi sebab mereka bertekak.
"Tuan, saya dah sediakan air mandian untuk tuan bersihkan badan. Ubat ada dalam bilik. Makanan pun sudah sedia." Dalam suasana tegang, suara Inoue-san tiba-tiba mencelah.
Hampir serentak, Arjuna, Ryohei dan Sato menoleh kepada si pemilik suara tadi. Di mataku, ketiga-tiganya tampak serba salah. Seolah-olah tidak tahu bagaimana mahu berhadapan Inoue-san.
"Kalau Puan Besar lihat keadaan kamu bertiga sekarang, dia pasti kecewa." Inoue-san menyambung kata. Cukup tenang, tetapi jelas ada suatu maksud tersirat dalam bait-bait bicaranya.
Arjuna melepaskan nafas berat. Ryohei menekur ke bawah. Sato menggigit bawah bibir.
"Apa yang jadi hari ni, tak sepatutnya buat kamu bergaduh. Lagipun, saya yakin Cik Nailah sendiri tak mahu semua ni terjadi. Dia juga mangsa. Dia tak tahu apa-apa pun."
Di luar sedar, aku mengangguk kecil, menyetujui kata-kata Inoue-san. Ya, aku tak tahu apa-apa. Tiada siapa jelaskan apa-apa. Aku cuma perempuan yang tiba-tiba terlempar dalam kekusutan ini.
Jeda.
Arjuna pandang Ryohei. Ryohei pandang Arjuna. Sato pandang aku. Aku pandang dia. Kenapa aku juga terlibat dalam sesi pandang-memandang ini, aku juga tidak mengerti. Tetapi, itulah yang terjadi saat ini.
"Saya masuk bersihkan badan dulu. Inoue-san tolong layan Cik Nailah. Dia belum makan sejak tengah hari." Arjuna akhirnya memecahkan kesunyian.
"Tak...tak apa. Saya boleh tunggu awak. Kita makan..."
"Tak perlu."
'Sama-sama', sambungku dalam hati.
"Lebih baik kau makan dulu. Aku lambat lagi siap."
Aku diam mendengar butir bicara Arjuna yang lebih kepada sebuah arahan. Lelaki itu kemudiannya mengangkat langkah keluar dari ruang tamu. Lalu, aku sendirian terpacak menghadap Ryohei dan Sato yang memandang serius. Suasana canggung terasa hingga ke tulang hitam.
"Cik Nailah, sini. Makan dulu."
Namun, aku diselamatkan oleh Inoue-san. Cepat-cepat, aku mengalih perhatian kepada wanita separuh umur.
"Ya, ya. Saya datang," ucapku laju.
Dia senyum lembut. "Cik Nailah tak apa-apa?"
"Tak...saya okey je."
"Baguslah macam tu."
Saat aku dan Inoue-san bersoal jawab, kaki masing-masing mula menapak meninggalkan dua jejaka di belakang. Aku mengerling sedikit ke arah mereka. Muka masing-masing jelas keruh.
Ryohei dan Sato.
Dua orang lelaki yang aku tahu sangat peduli kepada majikan mereka. Sangat menyayangi Arjuna. Sangat setia. Malahan, aku yakin mereka sanggup menggadaikan nyawa demi lelaki yang bernama Arjuna Kaede itu.
*****
"CIK NAILAH janganlah bimbang dengan apa yang berlaku tadi."
Aku memanggung muka ke arah Inoue-san yang sedang menuang teh ke dalam cawan.
"Mereka takkan lama bertekak. Daripada dulu lagi macam tu."
"Dulu? Jadi mereka dah lama kenal?"
Penuh hati-hati, Inoue-san meletakkan teko ke atas meja dan kemudian menatapku.
"Ryohei dan Sato itu anak angkat Puan Besar. Jadi mereka bertiga dah macam adik-beradik."
"Oh, saya ingat..."
"Dua orang tu pekerja Tuan Arjuna?"
Aku mengangguk tanda mengiya.
"Sebenarnya Tuan Arjuna mahu Ryohei dan Sato buat apa sahaja yang mereka mahu. Kejar impian sendiri. Tak semestinya bekerja dengan dia. Tapi, mereka takkan pernah tinggalkan Tuan Arjuna. Jadi sehingga sekarang, mereka berdua bersama Tuan Arjuna dan tinggal di rumah sebelah."
Betul firasat aku. Kesetian mereka buat Arjuna tidak berbelah bahagi.
"Tujuh tahun," Inoue-san bersuara lagi.
"Huh?" tanyaku memohon penjelasan.
"Puan Besar ambil Ryohei dan Sato jadi anak angkat waktu berumur tujuh tahun. Budak-budak jalanan yang terbiar, tak ada orang peduli. Hampir mati dikerjakan oleh geng-geng jalanan."
Aku mendengar dalam senyap. Muka serius Ryohei dan muka ceria Sato bersilih ganti dalam kotak memori.
"Bagi orang seperti saya dan Sato, Tuan Arjuna dan Puan Besar adalah segala-galanya."
Sekonyong-konyong, suara Ryohei terngiang di celah telinga. Patutlah! Patutlah begitu sekali tanggapan Ryohei terhadap ibu Arjuna. Mereka diselamatkan oleh wanita itu. Sesaat, aku senyum kelat. Lebih kepada menyinis diri sendiri. Aku juga diselamatkan oleh Badri dan Mak Cik Kasmah. Tetapi, adakah aku sebegitu setia kepada mereka?
Itu...aku sangsi.
Kalau tidak, masakan aku di sini? Cuba untuk menyelamatkan diri sendiri. Cuba untuk pulang ke Malaysia, padahal Badri...aku tinggalkan bergelumang dalam dunia gelap. Aku tidak tarik dia keluar.
"Masa tu, Tuan Arjuna berusia dua belas tahun. Sejak itu, dia jadi seperti abang kepada mereka berdua. Jadi, Cik Nailah janganlah bimbang. Hubungan mereka bertiga takkan goyang hanya kerana bergaduh sedikit." Suara Inoue-san sayup-sayup kedengaran. Perhatianku kembali terkalih kepadanya.
"Saya tahu. Tapi yang jadi isu sekarang, saya yang jadi sebabnya."
"Apa yang Ryohei cakapkan tadi, abaikan saja. Dia cuma marah. Dia tak bermaksud apa-apa."
"Pantang larang apa yang mereka cakapkan tadi?" Walaupun Inoue-san cuba memujuk, aku tetap menyoal. Biar aku tahu sesuatu. Biar aku faham sesuatu. Itu yang aku nak.
"Cik Nailah betul-betul mahu tahu?"
"Kenapa? Saya tak boleh tahu?" Aku dan Inoue-san bermain soalan.
"Mungkin apa yang Cik Nailah tahu akan buat Cik Nailah terus terperangkap di sini," jawab Inoue-san dengan muka setenang air di tasik.
Dahiku berkerunyut.
"Saya tak faham."
"Kalau Cik Nailah tahu apa yang Tuan Arjuna dah buat dan dah korbankan demi Cik Nailah, mampukah Cik Nailah pergi dari sini?"
Riak mukaku berderau. Jantung tiba-tiba berdebar kencang.
"Itu yang saya maksudkan," sambung Inoue-san, menghentikan perbualan. Dia berlalu pergi. Aku ingin menghalang tetapi lidahku kelu.
Aku...takut.
Ya, aku takut untuk mendengar jawapannya. Apa yang Arjuna sudah buat untuk aku? Apa yang sudah dia korbankan?
Persoalan tersebut tinggal sebagai persoalan.
*****
AIR KOLAM yang mengalir lesu kupandang sepi. Angin sejuk yang membuai membuatkan aku memeluk tubuh. Pandangan pula jauh ke hadapan, memikirkan semua perkara yang berlaku sejak aku ke sini. Dua minggu. Hanya dua minggu yang diperlukan untuk mengubah hidup aku jadi tunggang langgang.
"Cik Nailah."
Aku menoleh ke sebelah. Ryohei sedang memandang dengan tangan terhulur kepadaku. Ada sesuatu dalam genggaman.
"Untuk Cik Nailah."
Teragak-agak aku mengambil bungkusan tersebut. Serta-merta, kehangatan menjalar masuk, menembusi kulit dan memanaskan telapak tangan.
"Sweet potato. Saya harap Cik Nailah suka."
Ubi keledek yang masih berasap itu, aku pandang lama. Mungkin ini satu kebetulan. Tapi, macam mana Ryohei tahu aku sukakan ubi keledek panas? Lebih-lebih lagi, yang sudah dikaramel seperti yang aku peroleh di Nishiki Market.
"Saya minta maaf."
Aku kembali berpaling kepada Ryohei. "Untuk apa?"
"Tadi. Saya tak bermaksud untuk salahkan Cik Nailah. Saya terlalu mengikut perasaan," terang Ryohei.
Nafas berat aku lepaskan. Tanpa membalas apa-apa, aku membuka bungkusan ubi keledek di tangan, mengopek kulitnya dan memasukkannya ke dalam tekak. Sedap!
"Awak nak?" pelawaku setelah beberapa ketika berlalu.
Ryohei menggelengkan kepala. Aku mengangguk, tanda mengerti. Muka dipaling semula ke hadapan. Memandang kosong ke arah taman di rumah Arjuna yang luas ini.
"Saya fikir kehadiran Arjuna dalam hidup saya dah buat hidup saya jadi kucar-kacir. Macam-macam yang saya kena hadap. Tapi saya lupa, kan?"
"Apa dia?"
"Saya juga dah buat hidup dia jadi kucar-kacir."
"Cik Nailah, kalau ini pasal..."
"Tak, ini tak ada kena-mengena dengan apa yang awak cakapkan tadi. Saya faham. Awak cuma bimbangkan dia."
Ryohei diam di sebelah. Pasti dia menyetujui kata-kataku. Hujung bibirku menyenget kelat.
"Mesti hidup dia tenang sebelum kemunculan saya, kan?"
"Ya, kalau ketenangan yang Cik Nailah maksudkan berupa menghadap bermacam-macam jenis manusia yang cuba hapuskan dia dan juga cuba ubah dia jadi seseorang yang bukan dia," sinis Ryohei.
"Sekurang-kurangnya, dia tak perlu peningkan kepala memikirkan saya."
"Kalau Cik Nailah anggap diri sebagai beban untuk Tuan Arjuna, Cik Nailah silap besar. Tuan Arjuna takkan pernah fikir Cik Nailah macam tu. Dia selamatkan Cik Nailah atas keputusan dia sendiri, bukan kerana terpaksa."
Sekali lagi, aku tarik senyum pahit. Kalau secara normal, mendengar bait bicara sedemikian pasti menyenangkan hati. Tetapi saat ini, hati aku cuma rasa pedih.
"Tapi apa yang jadi galang-gantinya?"
"Huh?"
"Apa yang dia dah buat untuk saya, Ryohei? Apa yang dah dia korbankan?"
Aku meluahkan persoalan tadi. Jawapan yang terbiar di hadapan Inoue-san, kini aku tagih daripada Ryohei.
Lelaki di sebelahku langsung tidak bersuara. Lalu, aku memusing badan dan berdiri menghadapnya. Muka kupanggung, agar pandangan mataku setentang dengan mata sepet milik Ryohei.
"Pantang larang...kepercayaan apa yang sudah dia langgar demi saya, Ryohei?"
"Hati Cik Nailah betul-betul kuatkah untuk tahu jawapannya?"
Aku bungkam sejenak. Soalan Ryohei berbunyi lain, tetapi maksudnya serupa dengan apa yang dilontarkan oleh mulut Inoue-san. Tangan yang masih memegang ubi keledek hangat dikemaskan. Aku seolah-olah mengharapkan kehangatan itu membawa bersama ketenangan ke dalam hati. Ya, ketenangan yang sangat aku perlukan sekarang demi mendengar jawapan yang sudah beberapa kali aku pohon.
"Jangan pandang saya sebagai perempuan yang terlalu lemah, Ryohei. Bila saya tanya soalan, saya inginkan jawapannya." Setelah beberapa saat, aku akhirnya menjawab. Setiap patah kata tersulam ketegasan.
Ryohei senyum kecil. Kerana apa, aku tidak pasti. Mungkin mengejek atau mungkin juga berpuas hati dengan jawapanku.
"Saya tak pernah anggap Cik Nailah macam tu. Perempuan lemah takkan masih tercegat di sini...di sisi Tuan Arjuna selepas apa yang sudah berlaku."
"Jadi, bagitahu saya," tekanku sekali lagi.
Riak muka Ryohei kembali serius.
"Tuan Arjuna...dia..."
~Bersambung...~

************
TEASER BAB 15
"Hari ni saya tak nak ikut awak ke tempat kerja awak."
Riak muka Arjuna berubah.
"Tidak." Pendek dan keras balasan Arjuna.
"Awak mana boleh paksa saya," bangkangku.
"Well, I'm doing it."
Aku merengus geram. Nafas ditarik dalam-dalam, cuba menenangkan hati yang panas. Berhadapan dengan kerasnya Arjuna, memerlukan aku mengambil pendekatan lebih lembut.
"Awak dengar sini, Arjuna. Pertama, saya bosan macam nak mati..."
"Jangan sebut pasal mati."
"Okay, fine. Pertama, saya bosan sangat-sangat di pejabat awak tu. Kedua, saya rasa lebih baik saya tinggal di rumah. Awak boleh buat kerja awak, dan tak perlu fikirkan saya. Ketiga, saya tak fikir ada orang berani serang saya di rumah awak. Itu memang cari pasal namanya, kan?"
Sepanjang aku bercakap, Arjuna memerhati tanpa berkelip. Sebaik sahaja aku menyudahkan kata, dia terus sahaja membuka mulut.
"Kau dengar sini baik-baik."
Aku menengadah muka dan mendengar teliti.
"Pertama, aku lebih tenang kalau kau ada depan mata aku. Kedua, aku lebih tenang kalau kau ada depan mata aku. Ketiga, aku lebih tenang kalau kau ada depan mata aku," ulang Arjuna beberapa kali. Dan dengan setiap kali itu, nada suaranya semakin tegas.
************
NOTA CIK SA:
Okey, tak ada nota panjang kali ni. Dah ngantuk sebenarnya. Esok pagi ada flight. Tapi nak juga cakap...AK memang cool dan macho. Haha!
Jom komen, jom share kehebatan AK. TQ and see you this Thursday! =)

Share this:

ABOUT THE AUTHOR

Hello We are OddThemes, Our name came from the fact that we are UNIQUE. We specialize in designing premium looking fully customizable highly responsive blogger templates. We at OddThemes do carry a philosophy that: Nothing Is Impossible

29 comments:

  1. Tak boleh ke bagi 3 kali seminggu... terseksa tunggu AK ni... T. T

    ReplyDelete
    Replies
    1. err, alamak. tak boleh. sebab manuskrip pun x byk lagi. huhu. sorry

      Delete
  2. Best betul membaca..lain dari yg lain jalan cetanya..

    ReplyDelete
  3. Best betul membaca..lain dari yg lain jalan cetanya..

    ReplyDelete
  4. Cinta dah berputik ya AK? Tak sabar tunggu apakah pantang larang itu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. rama2 dah berkepak dan terbang...haha

      Delete
  5. Sis, 3 kali smggu please.....trseksa jiwa & raga niiii...:'(

    ReplyDelete
    Replies
    1. err, alamak. tak boleh. sebab manuskrip pun x byk lagi. huhu. sorry.

      sabar2, ya. hehe

      Delete
  6. ya AK memang cool....lebih cool lagi ketika beraksi...apa pantang larang yang AK telah langgar....aaahhhh....SA tersiksanya jiwa dan raga ini menunggu kemunculan bab baru...kikikiki

    ReplyDelete
  7. saya sokong 3x seminggu, hari2 tu tak apa.

    ReplyDelete
    Replies
    1. err, alamak. tak boleh. sebab manuskrip pun x byk lagi. huhu. sorry

      Delete
  8. Replies
    1. err, alamak. tak boleh. sebab manuskrip pun x byk lagi. huhu. sorry

      Delete
  9. Thanks Cik SA..apalah yerk pntang larang AK nih? kne tnggu lgi nmpknye...sngt seksa mnunggu..hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. since Cik SA lambat reply, dah tahu jawapannya, kan? hihi

      Delete
  10. Saya nak minta selang sehari kalau boleh :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. err, alamak. tak boleh. sebab manuskrip pun x byk lagi. huhu. sorry

      Delete
  11. cpt la brsmbung
    hati dah lara ni tgu AK

    ReplyDelete
    Replies
    1. insyaAllah. thanks for ur support. =)

      Delete
  12. Nak lagi dan lagi.. addicted dah ngan jalan cerita ni huhu

    ReplyDelete
  13. I want to start journaling in my bible, but am concerned that the markers will bleed through to the next page.
    บาคาร่า
    จีคลับ
    gclub

    ReplyDelete