SALJU KYOTO - BAB 5


BAB 5

“KENAPA tak boleh? Awak sendiri cakap tadi, kan? Saya boleh minta apa sahaja yang saya nak. Jadi, saya nak minta awak tolong cari Badri,” tebakku sambil cuba menandingi setiap derap kakinya yang laju.
            Tidak semena-mena, dia mematikan langkah dan menoleh padaku.
            “Tidak termasuk Badri.”
            “Apa sahaja…maksudnya, apa sahaja, kan? Anything!” bangkangku.
            Arjuna merengus kuat. Nampak sangat dia sedang kegeraman dengan tingkahku. Sedetik, aku ditusuk rasa seriau.
            “Bukan cara aku tarik balik kata-kata sendiri. Tetapi aku tak ada pilihan lain. Jadi, biar aku rephrase lagi sekali.” Arjuna mendekatkan muka geramnya sebelum menyambung kata dengan nada yang sengaja ditekankan. “Kau boleh minta apa sahaja kecuali Badri.”
            “Kenapa? Apa masalah awak dengan dia?”
            “Masalah? Aku tak ada masalah dengan dia.”
            “Habis tu?”
            “Kau…” Arjuna menuding jari telunjuk ke mukaku. “Yang akan bermasalah kalau kau cari dia.”
            “Kenapa pula?” tanyaku laju. Semakin hilang sabar dengan tingkah Arjuna yang suka bercakap secara tersirat.
            “Dia…” Bicara Arjuna mati di sekerat jalan, seolah-olah tidak jadi mengatakan apa yang difikirkan. Matanya tidak lepas daripada menatapku. Renungannya sukar untuk aku tafsirkan. Lunak? Kasihan? Serba-salah? Aku tidak tahu.
            “Dia apa?” soalku, sedikit mendesak.
            “Dia bukan lagi Badri yang kau kenal,” jawab Arjuna bersama nada suara senada yang kedengaran bergetar.
            Aku tercengang. “Apa maksud awak?”
            “Aku yakin, Badri yang kau kenal sepuluh tahun itu, bukan lagi Badri yang sama.”
            Terlepas dengusan dari mulutku. Semakin berlapik jawapan yang terpancul dari mulut Arjuna, semakin aku geram. Aku jadi tidak ketahuan!
            “Boleh tak awak jangan bagi jawapan yang bukan macam jawapan? Terus-terang sajalah.”
            “Hati kau cukup kuat ke untuk tahu jawapan sebenar?” bidas Arjuna dengan lagak bersahaja. Kemudian dia melihatku atas bawah. “Daripada apa yang aku lihat, jawapannya tidak.”
            Telingaku berdesing. Muka merah padam menahan marah. Kata-katanya jelas memandang rendah kepadaku.
            “Awak nak cakap yang saya ni perempuan lembik. Macam tu?”
            “Aku tak pernah anggap kau sebagai perempuan lembik. Perempuan lembik takkan mampu datang beribu batu jauhnya ke negara orang dan cuba untuk cari orang yang dia peduli,” nafi Arjuna penuh ketegasan.
            “Then, why?”
            “Mungkin rasa terlampau peduli kau tu yang jadi kelemahan kau. It’s going to drag you down, young lady.”
            “Nailah. Nailah Farafisha,” sampukku.
            “Huh?”
            “Dah-dahlah tu panggil saya young lady. Macamlah saya tak ada nama.”
            Arjuna senyum tiba-tiba.
            “Nailah Farafisha. Cantik nama tu. Nama isteri kepada Khalifah Uthman al-Affan.”
            Aku mengelip-ngelipkan mata. Seperti tadi, aku agak terkejut. Nampak gayanya, lelaki ini tahu segala-serbi tentang sejarah Islam. Mungkinkah dia beragama Islam? Apatah lagi, namanya Arjuna. Nama yang sangat klasik Melayu. Ah, apa yang aku merepek ni? Ini bukan masanya untuk berkenalan atau memikirkan soal nama.
            “By the way, nama aku…”
            “Arjuna Kaede. Saya tahu.” Aku memintas selamba.
            Dia mengerutkan dahi. “Mana kau tahu?”
            “Rasanya satu Kyoto tahu nama awak. Tapi itu bukan isunya sekarang. Kita sedang bercakap pasal Badri, remember?”
            “I’m done talking about him.”
            “I’m not!”
            Sebelah kening Arjuna terjongket. “Should I care?”
            Aku melopongkan mulut. Rasa tidak percaya dengan muka tanpa perasaannya. Rasa geram, sekali lagi membanjiri hati.
            Mungkin menyedari reaksiku, Arjuna kembali menyambung bicara. “Trust me, Nailah. Badri yang sekarang bukan lagi Badri yang kau kenal. Dia dah buat pilihan dia sendiri.”
            “Pilihan?”
            “Ya, pilihan. Pilihan yang tidak semudah itu ditarik balik.”
*****
AKU membawa langkah pulang dengan cukup perlahan. Otakku terasa kosong. Hanya tutur kata Arjuna pagi tadi yang terngiang-ngiang di telinga. Pilihan yang tidak boleh ditarik balik? Apa maksud lelaki itu? Apa yang sudah dibuat oleh Badri?
            Arghhhh! Aku keliru. Aku tidak mahu percaya akan kata-kata Arjuna. Aku tidak ingin rasa curiga terhadap Badri. Tetapi Arjuna sangat yakin dengan bicaranya. Badri pula sangat aneh perilakunya malam itu.
            “Nailah! Hei, Nailah!”
            Kepalaku terpaling kepada tuan empunya suara. Kelihatan Chinta sedang melambai-lambai ke arahku. Surya, setia menemaninya di sebelah. Mereka berdua kini sama-sama menghampiriku.
            “Kamu dari mana?” Terus Chinta menyoal.
            “Just...somewhere,” balasku pendek. Tidak mahu menjelaskan apa-apa lagi.
            “Then, mau ke mana?” sampuk Surya.
            Bahu kuangkat sekali. Aku tidak ada hati mahu ke mana-mana. Apatah lagi, bukan tujuanku melancong ke sini. Aku cuma mahu cari Badri. Lalu bila soal Badri dimatikan begitu sahaja oleh Arjuna, aku sudah tidak tahu mahu berbuat apa. Aku keliru.
            “Kelihatannya kamu enggak happy, ya?”
            “Huh?” Terkebil-kebil mataku pada Chinta yang baru sahaja menebak.
            “Iya, muka kamu enggak ada serinya.” Surya di sebelah pula yang menerangkan.
            Aku mengulum senyum kelat. “Saya enggak apa-apa kok.”
            “Justru, kamu harus mengikut saya sama Surya.”
            Dahiku berkerut, Chinta sudah selamat memeluk lengan kiriku.
            “Ke mana?”
            “Ke palace!” jawab Chinta dengan suara yang agak tinggi penuh teruja.
            “Tapi...”
           Aku ingin menolak, tetapi Chinta sudah pun mengheretku pergi. Mahu bertegas, tidak sanggup pula rasanya kala terpandangkan muka teruja gadis manis dari Jakarta itu. Mahu tidak mahu, aku akhirnya membiarkan sahaja kaki melangkah ke arah palace, atau yang dimaksudkan Chinta sebagai Istana Diraja Kyoto, tempat wajib dilawati kalau ke sini.
            Kebetulan, kami terserempak di hadapan stesen subway Karasuma-Oike. Dari sini kami boleh mengambil subway hingga ke stesen Marutamachi. Tetapi, memandangkan jarak dari Karasuma-Oike tidak terlalu jauh dari Istana Diraja Kyoto, kami mengambil keputusan untuk berjalan kaki sahaja.
         Setelah lebih kurang lima belas minit berjalan, kami akhirnya tiba di hadapan pintu Sakaimachi, salah sebuah pintu bagi taman yang mengelilingi Istana Diraja Kyoto. Chinta dan Surya masing-masing menunjuk muka teruja. Aku yang tidak berasa apa-apa sebelum ini, turut berjangkit.
            “Ayuh masuk!” Hampir serentak kami bersuara. Tawa kami pecah.
          Seusai melangkah masuk, mulut kami ternganga. Luasnya taman ini saujana mata memandang. Itu belum lagi sampai ke kawasan utama di tengah-tengahnya yang menempatkan istana. Pelbagai jenis pokok memenuhi ruang taman. Kebanyakan cuma beranting. Kalau ada pun daun, cuma sedikit. Jika sekarang adalah musim bunga, taman ini akan dihiasai dengan keindahan sakura. Sebelum tiba ke Istana Diraja Kyoto, kami singgah di istana-istana kecil seperti Istana Diraja Sento dan Istana Diraja Omiya terlebih dahulu.
            Sejak tiba di Kyoto, inilah kali pertamanya aku berasa seperti seorang pelancong. Habis segenap ceruk, kami jadikan sebagai lokasi mengambil gambar. Dalam kedinginan musim sejuk, aku dan Surya juga dipaksa oleh Chinta untuk mengambil gambar sambil melompat. Aduh, sabar sahajalah dengan karenahnya.
            Setelah beberapa jam menghabiskan masa di situ, termasuk satu jam mengikuti sesi jelajah di dalam Istana Diraja Kyoto, kami membuat keputusan untuk pulang ke Hitsuji-an. Kali ini kami keluar melalui pintu Imedagawa. Disebabkan pintu ini tidak sedekat pintu Sakaimachi, kami bersetuju untuk menggunakan subway. Setelah beberapa minit berjalan, kami akhirnya tiba di stesen subway Imadegawa. Dari sini, kami perlu turun di stesen Karasuma-oike.
            “Here,” ucap Surya seraya menghulurkan tiket kepadaku dan Chinta. Setelah itu, kami sama-sama berjalan menuju ke arah platform. Sambil menanti kedatangan tren, aku merewangkan pandangan ke arah sekeliling.
        Tidak semena-mena, telingaku menangkap bunyi hingar-bingar dari arah platform bertentangan.  Anak mataku laju tertala ke situ. Kelihatan empat orang lelaki berbadan besar sedang mengelilingi seorang lelaki berjaket hijau. Mereka menempik-nempik dalam bahasa Jepun. Kemudian salah seorang lelaki tersebut menumbuk perut lelaki berjaket hijau. Lelaki tersebut terdorong ke belakang. Tidak cukup dengan itu, dia kemudiannya ditendang di kepala. Memercik darah dari mulutnya.
          Suasana jadi hening. Jika ada jarum yang jatuh saat ini, bunyinya pasti akan kedengaran. Setiap kujur tubuh yang berada di sekeliling hanya diam melihat. Di suatu sudut, kelihatan dua orang gadis sunti berpakaian sekolah sedang berpelukan satu sama lain. Di suatu sudut lain pula, seorang lelaki berkot sedang berpura-pura melihat telefon bimbit. Manusia-manusia lain yang berdekatan turut mengambil tindakan yang sama. Hanya berpura-pura tidak nampak atau sekadar menjeling-jeling. Muka masing-masing menampakkan ketakutan.
           Aku pula? Aku hanya kaku memerhati semuanya. Bersama hati yang dipanah kejutan. Ditusuk sembilu. Terkejut. Pedih. Perit. Semuanya bercampur-baur hinggakan aku berasa seperti berada dalam dunia kosong di mana hanya ada aku dan...dia.
            Ya, dia.
            Dia...yang sedang mencarut-carut dalam Bahasa Jepun, dia...yang sedang menendang perut lelaki berkot hijau, dia...yang sedang memijak kepala lelaki itu, dia...yang sedang membelasah teruk, dia...yang sedang mengamuk umpama pemangsa. Dia...yang bernama Badri.
            “Kau memang nak mati, kan?!!!” tengkingan lantang Badri memecah kesunyian. Lelaki yang sudah longlai di atas lantai, ditendang-tendang. Kuat sekali. Walaupun mustahil, tetapi aku seperti dapat mendengar bunyi keriuk tulang-temulang yang patah. Wajah lelaki tersebut sudah tidak serupa wajah manusia. Mukanya seakan-akan hancur, berlumur dengan darah pekat, hinggakan tidak ternampak di mana matanya, di mana hidungnya.
            Aku sangka Badri akan berhenti di situ. Tetapi telahanku silap sama sekali. Dengan tubuhnya yang sasa itu, Badri mencekak kolar baju mangsanya dan mengangkatnya tinggi, tidak ubah seperti mengangkat sebuah patung lembik yang tidak bernyawa. Kemudian...
            ‘Ya Allah!!!’ Aku menjerit sekuat hati dalam hati. Telapak tanganku ternaik dan menekup mulut. Sepasang mataku berkaca-kaca.
            Badri baru sahaja menghempas muka lelaki di tangannya ke atas lantai. Bersembur darah pekat lagi hitam lalu membasahi lantai. Bukan itu sahaja, darah yang sama terpalit ke muka Badri, di celah-celah matanya yang merah dan nafasnya yang berdengus-dengus. Badri tidak mempedulikan semua itu, sebaliknya dia mencekak dan mengangkat mangsanya lagi sekali. Tubuh longlai lelaki yang entah masih hidup atau tidak itu, terayun kiri kanan, bagaikan menanti saat untuk dihempas lagi.
            Badri menggerakkan tangannya. Tetapi saat dia mahu menjatuhkan mangsanya, dia tiba-tiba mengangkat pandangan matanya ke hadapan. Lalu, tepat tertala ke mukaku. Automatik, bebola matanya terbeliak besar. Lelaki di tangannya terlepas dan terlucut jatuh ke lantai. Badri tampak terkejut. Bibirnya terketar-ketar bagai mahu memanggil namaku.
        Aku masih diam di tempatku berdiri, memandangnya dengan rasa tidak percaya. Badri menggeleng-gelengkan kepala, seperti cuba menjelaskan sesuatu. Tetapi apa lagi yang perlu dijelaskan kalau aku sudah nampak semuanya? Beberapa saat kami berpandangan, hingga akhirnya kelibat Badri hilang di sebalik tren yang tiba-tiba muncul dan memisahkan kami berdua.
            “Nailah...Nailah!”
            “Huh?” Aku tersentak kuat. Wajah Chinta dan Surya yang sedikit pucat menjamah pandangan mata.
            “Are you okay? That was scary,” ujar Chinta.
            “Okey...saya okey,” bohongku.
            “Lu pikir cowok itu masih hidup enggak?” tanya Surya tiba-tiba.
            “Enggak tau sih. Gue enggak mau pikir,” sela Chinta sambil menggeleng-gelengkan kepala. Mukanya masih jelas cuak.
    Perbualan antara Chinta dan Surya kedengaran sayup-sayup sahaja. Otakku, hatiku, jiwaku...semuanya terasa kosong, seolah-olah roh yang selama ini menginap dalam diri sudah pun disedut keluar.
            “Nailah!”
            “Huh?”
            “Kamu enggak mau masuk?” tanya Surya dari dalam perut tren. Entah bila masanya dia dan Chinta menaikinya, aku sendiri tidak pasti.
            Masih dengan lagak keliru, aku berdiri sahaja.
            “Ayuh, Nailah. Udah mau gerak ni.” Chinta mendesak. Bunyi pintu yang sudah mahu dikatup berkumandang kuat.
            Aku mengangkat satu tapak ke hadapan. Namun saat berdiri betul-betul di hadapan pintu, aku mematikan langkah. Mukaku dipanggung ke arah wajah risau Chinta dan Surya.
       “Kamu pergi aja. Saya ada urusan lain,” ucapku dengan suara yang terketar-ketar. Usai menghabis kata, muka pintu tren terkatup rapat. Langsung, membawa kedua-dua temanku pergi jauh.
            Aku tertinggal sendiri. Masih keliru. Masih bingung.
*****
KOSONG. Otakku benar-benar terasa kosong. Segenap tubuhku pula terasa longlai. Lalu, aku hanya mengikut derap kaki yang entah membawaku ke mana. Segala adegan yang kusaksikan sebentar tadi terbayang-bayang di hadapan mata, seperti melihat satu filem yang ditayangkan di pawagam. Dan dengan setiap bayangan itu, jiwaku dicarik keluar.
       “Bad...Badri...” Bibirku menyebut-nyebut nama yang satu itu. Nama sahabat baikku yang kelakar, yang manis, yang baik, yang selalu melindungi, yang baru sahaja....
           Ah, tidak!!! Tidak mungkin itu dia. Badri bukan seperti itu. Dia tidak seganas dan sekejam itu. Lelaki bermata merah berdengus-dengus itu bukan Badri. Bukan Badri!!!
            Berkali-kali aku cuba menafikan. Tetapi berkali-kali juga wajah menakutkan Badri menjelma, lalu memecahkan segala tembok penafian itu. Sudahnya, aku cuma mampu mengikut gerak kaki. Melangkah dan melangkah tanpa arah tuju. Angin sejuk dan salji yang turun sedikit demi sedikit langsung tidak aku pedulikan. Bahkan, segala kedinginan yang sepatutnya mencucuk tubuh tidak langsung aku rasai.
            Setelah beberapa ketika berjalan, rasa lenguh mula aku rasai. Lalu, aku menjatuhkan duduk di hadapan sebuah rumah. Mencangkung sambil memeluk tubuh. Pandangan mataku kosong menghadap pemandangan di hadapan mata. Tubuh-tubuh manusia yang berjalan di sekeliling tidak aku endahkan. Biarlah aku di sini. Biarlah aku sendiri. Namun, tanpa semena-mena...
            “Apa kau buat depan rumah aku?”


~Bersambung...~

**************************
Teaser Bab 6
SETIAP inci tubuh kecilku rasa longlai. Jiwa kosong, sekosong-kosongnya. Air mata yang sedari tadi mengalir sudah pun berhenti, lalu meninggalkan aku teresak-esak sahaja.
"Kau masih menangis?"
Sekonyong-konyong ada suara yang menegur. Aku menoleh pada seorang lelaki yang kini duduk tidak jauh dariku, sama-sama berkongsi bangku yang sama. Dari pengamatanku, dia seusia denganku.
"Ayah kau...mesti ayah yang baik, kan?" soalnya tiba-tiba.
"Kenapa awak tanya macam tu?"
"Ayah aku bukan macam ayah kau. Jadi bagi aku, hari ni adalah hari paling menggembirakan aku."
Kedua-dua mataku membulat.
"Kau gembira ayah kau mati?!" tanyaku, separuh kuat. Lenyap sudah 'awak' yang aku gunakan sebentar tadi. Jiwaku panas. Aku jadi emosional.
**************************
Nota Cik SA:
Okey, itu memang ganas. Sesiapa yang ada perasaan minat kepada Badri sebelum ni, apa pendapat korang? Btw, scene keganasan Badri tu adalah berdasarkan kisah benar yang diceritakan oleh seorang mat salleh masa di Jepun. Scarrrry...
Nasib baik Cik SA tak terlibat dalam hal macam tu masa pergi sana. Cik SA cuma jumpa jejaka-jejaka Jepun yang kacak dan baik dan bagi hot towel untuk dipegang dalam kedinginan musim sejuk. Fuh, melting giler masa tu. Haha!
Oh, Cik SA ada announcement nak buat. Bermula sekarang, Cik SA akan update Salju Kyoto dua kali seminggu, iaitu hari Isnin (konon nak gembirakan korang yang Monday blues) dan hari Khamis, pada pukul 11 pagi. Sila ketuk kepala saya kalau saya tak stick to schedule. Ouch!
Selain itu, saya juga akan letakkan teaser untuk next chapter di akhir chapter. Contohnya, macam kat atas, saya dah letakkan teaser untuk Bab 6. 
Thank you for your support, jom komen, jom follow Cik SA di wattpad dan jom doakan Salju Kyoto dapat disiapkan secepat mungkin. Da-da! =) 

Share this:

ABOUT THE AUTHOR

Hello We are OddThemes, Our name came from the fact that we are UNIQUE. We specialize in designing premium looking fully customizable highly responsive blogger templates. We at OddThemes do carry a philosophy that: Nothing Is Impossible

22 comments:

  1. kalau sy kat tempat nailah pun memang terkejut....rasa2 apa ya perkataan yang keluar dari mulut badri...hmmm....perasaan ingin tahu yang meluap2...kak sara...kikikih...jangan marah ye

    ReplyDelete
    Replies
    1. mau tak terkejut. kawan yg selama ni baik, lemah lembut tetiba jadi mcm makhluk plg ganas dalam dunia ni. huhuhu....

      tak marah pun...hehe

      Delete
  2. loving this! tima kasih cik sara kerna menggembirakan hari2 sy dgn cerita ni. tp hati sy x pernah jadi kepunyaan Badri. it's always A.K for me. muahahaha

    ReplyDelete
    Replies
    1. cewah, menggembirakan hari2 gitu. terharu kejap...hehe. kann? A.K is always for me jugak. =)

      Delete
  3. Akak tetap suka Badri....best....sukaaaa.

    ReplyDelete
  4. Akak tetap suka Badri....best....sukaaaa.

    ReplyDelete
  5. Akak tetap suka Badri....best....sukaaaa.

    ReplyDelete
  6. Tak sabar sgt2 tggu siap penuh =')

    ReplyDelete
    Replies
    1. tak sabar jugak nak siapkan sampai siap penuh...hehe

      Delete
  7. Salam..
    Badri...kenapa dia jadi macam tu???
    Apa yang telah berlaku sepanjang dia belajar disana???
    Siapa A.K??? bergitu pasih berbehasa melayu...
    Tahniah cik sara...best...sangat best...
    xsabar nak tahu kesudahan nya...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam.
      Jeng3...itulah persoalannya. Semua bakal terjawab dalam Salju Kyoto..hehe
      TQ, kak. =)

      Delete
  8. Seronoknya cik sara nak upload 2x seminggu, terubat rasa rindu kat AJ errkkkk, tq cik sara, suka sgt novel ni..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Yup, twice a week. Kalau tak ikut jadual, memang nak kena ketuk secara berjemaah...hahaha!
      Ur wc and tq jugak sbb suka novel ni. =)

      Delete