Pembuka Hati (Jodoh itu Milik Kita 2) - Bab 18


BAB 18

KAWAN Fiq tu perempuan? Teman wanita Fiq ke? Bila nak bawa jumpa umi?”
      Terngiang-ngiang suara umi di peluput telinga. Perlahan-lahan Syafiq meraup wajah dan menyandarkan tubuh ke kerusi yang memang tersedia buat pengunjung Setia City Mall. Tiga hari telah pun berlalu semenjak perbualannya dengan umi, namun kata-kata tersebut bagaikan digam kemas ke dalam akal fikirannya. Setiap kali dia sendirian, pasti sekali ianya datang menjenguk, beserta dengan jawapan yang telah membuatkan wajah umi berubah sama sekali.
      “Taklah. Dia bukan teman wanita Fiq. She’s just someone that I know. Tak rapat mana pun.”
      Itulah dia balasan yang dia kira telah melumatkan hati umi. Entahlah, pasti sekali umi teringin untuk dia punya teman wanita dan akhirnya berkahwin. Walaupun umi tidak pernah menunjukkan secara terang-terangan, namun reaksi teruja itu sudah cukup untuk menggambarkan segala-galanya. Kadang-kala Syafiq merasakan bahawa umi seperti mengekang diri sendiri, seperti terlalu berjaga-jaga dalam bertutur dengannya. Mungkin umi berbuat demikian kerana mahu menjaga hatinya, takut kalau-kalau Tuan Syafiq Tuan Haikal terluka lagi. Tetapi sungguh, itu membuatkan Syafiq lebih berasa bersalah. Anak jenis apa dia ini sehingga ibu sendiri terpaksa berjaga-jaga dengan dirinya?
      Kerana itulah dia telah membuat keputusan untuk melepaskan tawaran kerja daripada Jason Kwon tadi. Melempar peluang untuk bersama dengan National Geographic begitu sahaja? Mungkin dia adalah satu-satunya jurugambar yang bertindak demikian. Gila? Ya, mungkin juga dia sudah gila. Tetapi dia yakin inilah keputusan yang paling tepat. Empat tahun sudah pun dia habiskan dengan berjauhan daripada umi dan keluarganya. Jadi tidak mungkin untuk dia bertindak yang sama. Lagipun, dia mahu menggunakan waktu yang tersisa dalam hidupnya untuk bersama dengan mereka yang dia sayangi, terutama sekali ibu yang telah banyak dia lukai.
      “Saya cakap saya tak nak!”
      Sedang Syafiq bermonolog dan berfikir sendiri, satu suara yang amat dikenali sekonyong-konyong menampar gegendang telinga. Dia tersentak. Tubuh yang sedari tadi tersandar automatik terangkat sendiri. Kepalanya ditoleh ke kiri kanan dengan dahi yang berkerut tebal.
“Apa yang Datuk tak faham sangat ni?!”
Suara itu bergema lagi.
*****
“ARA akan tetap balik dan Ara akan tetap dengar cakap.”
      “Siapa Datuk untuk tentukan semua itu, hah?”
      “Aku ni…”
      “Aku?” pintas Adra. Suara kasarnya tadi mengendur dan digantikan pula dengan bibit-bibit luluh. Setelah berbelas tahun tidak ketemu dan tidak dipedulikan, lelaki ini sekarang sudah pandai membahasakan dirinya ‘Aku’? Bagus! Bagus sangat! Adra mengejek cukup sinis, namun hatinya terasa ditusuk sembilu. Pedih.
      “Ara, kenapa ni?”
      Kala mendengarkan suara tersebut, Adra melepaskan rengusan. Apalah nasibnya seringkali bertemu dengan mamat yang seorang ini? Apakah dunia ini sudah menyempit? Atau sudah tidak ada manusia laindi atas muka bumi ini?
      “Kamu ini siapa?” Soalan tadi dibalas oleh Datuk Adnan. Keras bunyinya. Sepasang mata menyinar garang dengan syak wasangka.
      “Ara…”
Adra melirik pada Syafiq yang dan-dan sahaja tercegat di sisinya. Lelaki itu tidak langsung membalas pertanyaan Datuk Adnan, sebaliknya Syafiq baru sahaja berbisik di telinganya. Bagaikan menyoal lagi.
      “Kau tak payah masuk campur,” bentak Adra dengan suara yang tertahan-tahan, juga separuh berbisik.
      Syafiq mendengus kecil. Kalau boleh, memang dia tidak mahu masuk campur. Namun seperti sebelum-sebelum ini, kakinya laju sahaja ditarik-tarik sehingga dia akhirnya terpacak di situ. Entahlah, Adra seolah-olah punya magnet yang mampu mengheretnya ke situ sini tanpa dia sendiri sedari.
      “Saya tanya, kamu ini siapa?”
Belum sempat Syafiq membalas kata-kata Adra, telinganya ditujah pertanyaan yang sama. Suatu soalan yang dilontarkan oleh lelaki separuh umur yang kini sedang menjegil tajam padanya. Syafiq menelan air liur.
      “Datuk tak perlu tahu siapa dia. Dia tak ada kena mengena dengan urusan kita.” Laju dan tegas Adra menyampuk. Tubuhnya digerakkan ke hadapan Syafiq, berada di tengah-tengah antara lelaki itu dan Datuk Adnan. Bukan niatnya untuk melindungi Syafiq atau pun yang seumpama dengannya. Dia cuma mahu menghambat Syafiq keluar daripada perdebatannya dengan Datuk Adnan. Iya, Syafiq itu sekadar kaki penyibuk! Tidak perlu ada di sini.
      Namun lain pula interpretasi Datuk Adnan. Darahnya menyirap naik dengan gerak laku Adra. Oh, patutlah cadangan mereka ditolak mentah-mentah. Sudah ada lelaki lain rupanya.
      “Ya ke tak ada kena-mengena? Atau dia yang sebenarnya buat Ara tolak rancangan ni? Hah?”
      Terkujat Adra mendengarkan patah-patah kata Datuk Adnan. Gila! Konklusi apa yang lelaki ini baru sahaja rumuskan? Syafiq yang membuatkan dia menolak rancangan sewel mereka? Tidak! Dia tidak memerlukan lelaki lain untuk memutuskan begitu, kerana apa yang mereka rancangkan sudah cukup gila! Terlampau gila! Malah cukup kejam!
Dan juga…sangat memeritkan hati dan jiwanya. Ya, sanggup Datuk Adnan memaksanya menerima Nizam setelah apa yang telah berlaku? Setelah hidupnya dihancur lumatkan oleh lelaki jahanam itu?
Terkulat-kulat Syafiq memerhatikan segala adegan di hadapannya. Dia bingung untuk bertindak apa. Buntu sekali. Aduh, dia pun satu. Kenapalah mahu sangat mengambil tahu akan perihal Adra? Kenapa tidak dibiarkan sahaja? Maka tidak perlulah dia menjadi orang bodoh di sini.
Lagi satu…apa masalah perempuan ini dengan lelaki-lelaki yang ada? Tempoh hari, lelaki lain. Hari ini, lelaki lain pula. Sungguh, apa yang sudah dibuat oleh Adra? Siapa dia yang sebenarnya?
“Kenapa tak jawab? Sebab memang betul, kan?” herdik Datuk Adnan lagi. Wajahnya menyinga cukup bengis. Tubuhnya dibawa lebih mendekati Adra.
Melihatkan tindakan itu, spontan sahaja Syafiq melelar pergelangan tangan Adra dan menarik gadis tersebut ke belakangnya. Terlepas jeritan kecil dari mulut Adra. Mungkin tidak menduga akan diperlakukan begitu.
      “Tuan…”
      “Datuk.” Keras Datuk Adnan membetulkan.
      Syafiq mencemik dalam hati. “Ya, Datuk. Rasanya cukuplah di sini urusan Datuk dengan Ara.”
      “Eh, siapa kau…”
      “Ramai orang tengah tengok kita. Rasanya Datuk tentu tak nak malu di sini, kan?” sampuk Syafiq dengan cukup tenang. Suaranya mendatar tanpa rasa. Anak matanya pula tajam memanah.
      Datuk Adnan meliarkan pandangan ke kiri kanan. Benarlah, ada beberapa orang yang tercegat di sekeliling mereka sambil berbisik-bisik. Ah, bagaimana dia boleh tidak perasan? Menjatuhkan air muka sahaja!
      “Okay, fine.Semua ini takkan berakhir di sini, Ara.” Sempat Datuk Adnan memberi amaran buat Adra sebelum berlalu pergi.
      Adra hanya membungkam dan memaparkan wajah plastik. Tidak sekalipun dia menunjukkan kegentaran dan kekecewaan yang sedari tadi bertamu di tangkai hati. Dia tidak mahu Datuk Adnan perasan. Dia tidak rela!
      Setelah memastikan Datuk Adnan menjauh, Syafiq melepaskan genggaman tangannya, memusing tubuh dan kemudian menyilangkan tangan ke dada. Tepat dan padu dia merenung Adra, bersama wajah yang cukup serius. “Okay, tell me. What happened?”
      “Kau tak perlu ambil tahu dan kau tak perlu masuk campur.” Endah tak endah, Adra menjawab.
      “Ya, memang! Memang saya tak perlu ambil tahu dan tak perlu masuk campur. Tapi kalau dah awak asyik muncul depan saya dan saya asyik tiba-tiba terlibat dalam hal awak, rasanya saya berhak untuk tahu apa yang dah jadi.”
      “Eh, ada siapa-siapa suruh kau terlibat dalam hal aku? Ada aku suruh? Tak ada, kan?”
      “Memang tak ada! Tapi…” Lidah Syafiq terkelu sendiri. Otaknya jadi bengap buat seketika. Kosong sekosong-kosongnya. Ya, alasan apa yang patut diberikan sekarang? Takkanlah mahu dibilang bahawa kakinya yang mengheret dia ke situ? Tanpa langsung dia sedar pula tu. Ah, gila!
      “Tapi apa, hah?” desak Adra.
      “Tapi…saya tak perlu bagitahu awak kenapa. Suka hati sayalah nak buat apa pun.” Akhirnya Syafiq berjaya juga menyuarakan alasan, walaupun dia sedar bahawa jawapan itu sangatlah bodoh.
      “Then, suka hati akulah nak bagitahu kau apa-apa atau pun tidak.” Adra menyindir cukup pedas. Jelingan tajam dilemparkan buat Syafiq sebelum dia memalingkan tubuh, mahu meninggalkan lelaki yang seringkali membuatkan dia menyirap marah. Dengan wajah yang cukup menyampah, dia melangkah pergi. Namun…
      “Awak ni…perempuan jenis apa sebenarnya?”
      Serta-merta kaki Adra terhenti dan terpasung terus ke atas jalan. Tubuhnya kaku sendiri. Entah kenapa, suara sinis tersebut bagaikan menusuk hatinya hingga ke lubuk yang paling dalam. Dan tanpa sedar, birai matanya mula bergenang dengan air jernih.
      “Hari tu, lelaki lain. Hari ni, lelaki lain pula.”
      Terpejam sesaat mata Adra. Jiwanya terasa makin tersiat-siat. Aneh! Aneh sekali reaksinya kali ini walhal kata-kata sebegini sudah biasa dia dengari. Namun, bila ianya diluahkan oleh bibir Syafiq, dia jadi luluh sekali. Sakit. Pedih. Perit. Pilu. Semuanya bersatu dalam merobek sekeping hati milik Adra yang fikirnya sudah lama mati.
      Dalam-dalam Adra menggali nafas dan mengelipkan mata berkali-kali, menghalang air matanya daripada menitik. Kemudian, dengan gerak laku yang cukup perlahan dia memusing kembali tubuh. Bebola matanya dipusatkan tepat pada sepasang mata Syafiq.
      “Kau nak tahu aku ni perempuan jenis apa? Dan siapa kedua-dua lelaki itu? Itu saja, kan?”
      Syafiq terkedu sejenak. Nada suara Adra kedengaran sangat kosong di telinganya. Ya, gadis itu selalu sahaja kosong tanpa emosi, tetapi kali ini kekosongan yang ada terasa lain macam. Bagaikan mati terus.
      “Well, for your information, Tuan Syafiq Tuan Haikal…” Setapak demi setapak, Adra mengambil langkah menghampiri Syafiq.Renungan mata tidak langsung dilarikan. Usai berdiri betul-betul di hadapan lelaki itu,Adra menjongketkan kaki dan mendekatkan muka ke sisi telinga Syafiq. Dengan suara terlampau dingin, dia berbisik...
      “Lelaki hari tu, namanya Nizam. Dia adalah jantan paling keparat dalam dunia ni. Kau nak tahu kenapa? Sebab dia dah rogol aku waktu aku cuma…Hmm, let’s see…yeah, tujuh belas tahun.”
      Berderau darah Syafiq. Matanya terbelahak.
      “Lelaki hari ni pula adalah Datuk Adnan, ayah aku. Yup, ayah kandung aku. Ayah yang sekarang nak aku kahwin dengan perogol aku sendiri.”
      Lagi Syafiq terkejut besar. Benaknya betul-betul terasa sesak. Setiap informasi yang didengari tadi seperti berulang kali masuk dan keluar, sehingga dia sendiri tidak tahu apa yang patut dia fikirkan sekarang. Buntu. Dia benar-benar buntu.
      “Hei! Helo!!”
      Tersentap Syafiq mendengar seruan tersebut. Cepat-cepat dia memandang Adra yang sudah pun mengalihkan muka. Kini Adra elok sahaja berdepan dengannya.
      “Sekarang kau dah tahu aku ni perempuan jenis macam mana. Puas hati kau sekarang? Dah puas, kan? So aku dah boleh pergilah, kan?” sinis Adra lagi sambil berpaling.
      Saat itu juga, tangan Syafiq ternaik sendiri. Sedar-sedar sahaja dia sudah pun menarik lengan Adra sehingga menyebabkan gadis terpusing kembali dan terus sahaja menghadap wajahnya. Dekat.
      Zup! Hati Syafiq terhentak kuat. Hanya pada jarak beberapa inci, dia dapat melihat dengan cukup jelas kolam mata Adra yang bertakung dengan air mata. Buat seketika mereka bertatapan. Dan dalam seketika itu, Syafiq seakan-akan ditarik masuk ke dalam setiap kesedihan, keperitan, kepedihan dan penderitaan Adra yang selama ini mencengkam jiwa wanita itu.
            ‘Can you see me?’
      Buat sekian kalinya, lukisan itu menjelma lagi pada pandangan mata Syafiq. Cuma kali ini, bukan sekadar mata, tetapi bersama wajah. Wajah seorang gadis dengan rasa terluka yang terlampau dalam.

~Bersambung...~

Share this:

ABOUT THE AUTHOR

Hello We are OddThemes, Our name came from the fact that we are UNIQUE. We specialize in designing premium looking fully customizable highly responsive blogger templates. We at OddThemes do carry a philosophy that: Nothing Is Impossible

0 comments:

Post a Comment