Pembuka Hati (Jodoh itu Milik Kita 2) - Bab 16 & 17

BAB 16

“ASSALAMUALAIKUM…”
      Penuh hati-hati Syafiq menolak daun pintu. Ruang tamu yang sudah pun gelap menyambut kepulangannya. Sekilas dia mengerling pada jam dinding yang menginjak ke angka 3.15 pagi.
      Terlepas keluhan dari mulut Syafiq seraya menjatuhkan tubuh ke atas sofa. Terasa sangat letih dan mengantuk. Belakangnya disandarkan ke sofa. Perlahan-lahan matanya dikatup. Namun sekonyong-konyong wajah Adra menerpa. Automatik Syafiq membuka matanya kembali.
      “Astaghfirullahalazim…” Mukanya diraup sekali. “Kenapa pula aku boleh nampak muka dia ni?”
      Ingatan Syafiq kembali berlegar pada kejadian tadi. Jika difikirkan kembali, memang tindakannya berada di luar jangkaan akal fikiran. Menghantar Adra ke hospital itu suatu hal, tetapi menanti hingga ke saat gadis itu selesai menerima IV drip dan sedar dari lenanya? Dan kemudian beiya-iya mahu menghantarnya pulang pula? Sanggup mengekori teksi sehingga ke hadapan rumahnya? Sungguh, apa yang dah merasuk kau ni, Syafiq?!
      “Fiq…”
      Terangkat bahu Syafiq. Terkejut dengan teguran yang tidak disangka-sangka. Mukanya terkalih ke sebelah kanan, pada susuk tubuh tinggi yang semakin menghampiri dalam gelap.
      “Abang! Terkejut Fiq.”
      Aariz tergelak kecil. Adik yang tersadai letih di atas sofa dirapati sebelum dia juga mengambil tindakan yang sama.
      “Abang belum tidur?” tanya Syafiq sambil mengengsot sikit ke kiri bagi memberi ruang pada Aariz yang kini tersandar di sisinya.
      “Dah sebenarnya. Tersedar sebab dahaga. Itu yang ke dapur.” Aariz menjeling pada jam dinding. “Lambat Fiq balik?”
      “Oh, Fiq ke hospital.”
      Serta-merta Aariz teringat akan perbualannya dengan umi dan abah sewaktu terserempak dengan mereka saat keluar menjenguk anak kembarnya tadi. Tanpa sedar, dia menepuk dahi. “Yalah, tadi umi ada inform abang.”
      “Umi tunggu Fiq ke tadi?” Mendengar nama umi yang disebut, Syafiq pantas menyoal.
      “Hmm, tunggulah juga. Tapi lepas tu, abah suruh masuk dalam. Tidur.”
      Tercalit sedikit rasa bersalah dalam hati Syafiq kerana membuatkan ibunya menanti kepulangannya.
      “So, macam mana dengan kawan Fiq tu? Dah okey?”
      Sesaat wajah Adra menjengah memori Syafiq. “Alhamdulillah. Dah…kut.”
      Aariz mengerutkan dahi dan mengerling ke sebelah. Lain macam sahaja jawapan Syafiq. Tetapi untuk dia bertanya lebih-lebih, rasanya tidak patut. Biarlah. Jika Syafiq mahu berkongsi cerita dengannya, dia sedia mendengar. Namun kalau Syafiq mahu berahsia, siapalah dia untuk mendesak-desak? Lagipun, dia tidak mahu merosakkan hubungan mereka yang baru sahaja mahu baik dengan sikap terburu-buru.
      Seketika suasana jadi canggung. Syafiq membungkam, tidak tahu apa yang patut dibualkan. Otaknya ligat berfikir apa-apa yang boleh dijadikan topik perbualan. Nampaknya inilah natijah kepada hubungan buruk mereka dahulu. Bila tiba saat mahu berbaik, jadi janggal pula.
      “Ermm, abang stay sini sampai bila?” soal Syafiq akhirnya.
      Berkerut dahi Aariz mendengarkan soalan adiknya. “Kenapa?”
      “Tak adalah. Sebab macam tak puas main-main dengan anak saudara kesayangan Fiq tu.” Meletus tawa di hujung bicara Syafiq.
      Aariz turut tersenyum. Bayangan comel anak-anaknya menyinggah di hadapan mata. “Esok petang abang balik rumah. Lusa kan dah kerja. Ala, kalau Fiq nak jumpa dia orang, datang aje. Rumah abang tu sentiasa terbuka untuk Fiq.”
      “Malam-malam buta pun terbuka jugak?” gurau Syafiq.
      Bulat mata Aariz. “Isy, itu tak boleh. Kacau daun aje nanti. Interframe abang dengan kak Lia kamu tu.”
      Syafiq ketawa besar. Geli hati dengan komen selamba abangnya. Ini kalau didengar dek Dahlia, mahunya Aariz kena marah.
      “Okeylah, Fiq pergilah tidur. Dah pukul berapa ni,” ucap Aariz di sebalik senyum lebar. Punggungnya turut diangkat, mahu kembali ke bilik.
      “Hmm, kejap lagi Fiq naik. Good night, abang.”
      “Nightlah sangat. Dah pagi dah pun,” gumam Aariz.
      Syafiq menyengih seraya menghantar pemergian abangnya melalui pandangan mata hingga lelaki itu akhirnya hilang di sebalik kegelapan malam. Nafas panjang dihela sebelum Syafiq turut bangkit. Rasa mengantuk yang bermukim dalam diri semakin menjadi-jadi.
      ‘Hmm, ada juga manusia yang tak boleh bangun pagi esok ni.’
*****
“UNCLE!!!”
      Buk! Terasa tubuhnya dihempap sesuatu langsung matanya terbuka luas. Pejam celik, pejam celik Syafiq cuba meletakkan fokus pada dua wajah yang sedang elok menindih tubuhnya. Sedikit demi sedikit bibirnya melebar dengan senyuman.
      “Rindu uncle, ya? Pagi-pagi lagi dah kacau uncle,” getus Syafiq.
      Azfar mencebik.“Uncleperasan!”
      “Nenek panggil uncle makanlah,” sampuk Adam pula.
      “Ini macam mana uncle nak bangun kalau Adam dengan Azfar buat uncle jadi macam motor?” Seronok sungguh Syafiq melayan anak-anak saudaranya.
      Bulat mata si kembar, sebelum serentak mereka menjerit. “Vroom….vroom….”
      Syafiq tertawa besar sebelum bertindak mengangkat mereka daripada perutnya. Sekelipan dia menggeletek anak saudaranya. Bising bilik Syafiq dengan hamburan tawa galak.
      “Ya Allah! Dia duk bergomol kat sini rupanya?” Suara Puan Marina muncul dari sebalik muka pintu. “Nenek suruh panggil uncle turun, bukan main-main kat sinilah, sayang.”
      Pantas Syafiq menghentikan sesi geletek-menggeleteknya. “Umi…”
      “Hmm, Fiq ni melayan sangat budak-budak nakal ni,” komen Puan Marina seraya melangkah masuk. Sempat dia menyakat cucu sendiri di akhir kata.
      “Mana ada nakal…” Hampir serentak Adam dan Azfar membangkang. Mulut masing-masing sudah pun memuncung, menunjukkan riak tidak puas hati.
      Puan Marina tergelak. “Yalah, yalah. Cucu kesayangan nenek ni tak nakal. Cucu nenek ni…baik sangat-sangat, mendengar kata. Jadi, cucu nenek ni akan turun bawah sekarang. Pergi makan dengan papa dan mama.”
      “Uncle?” tanya Azfar.
      “Kejap lagi uncle turun,” sampuk Syafiq sambil mengangkat kedua-dua anak saudaranya dari katil. “Adam dan Azfar tunggu kat bawah.”
      “Yes, sir!” Serentak Adam dan Azfar membuat gaya tabik askar sebelum mencicit keluar.
      Syafiq tergelak kecil sebelum mengalihkan pandang pada ibunya yang turut tersenyum lebar.
      “Semalam…” Suara Puan Marina terhenti separuh jalan.
      “Huh?”
      “Fiq balik pukul berapa?” tanya Puan Marina dengan rasa ambil berat. Melihat keadaan anaknya yang nampak keletihan, dia jadi gusar.
      “Dalam…” Syafiq menguap sesaat. “Pukul tiga rasanya.”
      Terjojol mata Puan Marina. “Lambatnya!”
      “Oh, Fiq tunggu kawan Fiq dapatkan treatment lepas tu hantar dia balik,” jelas Syafiq seraya bangun dari katil dan menuju ke ampaian. Tuala berwarna biru ditarik keluar dan dililit ke bahu. Sejuk pula penghawa dingin dalam biliknya. Seketika kemudian Syafiq membuntangkan mata. Mula teringat akan sesuatu. Pantas dia kembali menghadap ibunya. “Abang cakap umi tunggu Fiq semalam. Sorry, ya umi.”
      Puan Marina tersenyum dalam hati. Terharu rasanya bila Syafiq bertutur begitu. Jikalau dahulu, jangan haraplah Syafiq akan memohon maaf begitu kerana menyebabkan dia ternanti-nanti.
      “Tak apa. Umi bukan tunggu lama pun. So, kawan Fiq tu…yang Fiq jumpa semalam, ya? Zakri? Dia kenapa? Apa sakitnya?” Puan Marina bertanya dengan pelbagai soalan.
      Tergeleng-geleng kepala Syafiq.
“Taklah umi. Bukan Zakri. Ini orang lain.”
      Sekelipan hati Puan Marina ditujah rasa aneh. Siapakah kawan yang dimaksudkan jika bukan Zakri? Sementelah, dia tidak pernah mendengar apa-apa pasal kawan Syafiq melainkan Zakri, sahabat yang katanya dikenali sewaktu Syafiq ke Tuscany. Dan kini muncul pula seorang ‘kawan’ lain, yang membuatkan Syafiq sanggup menunggunya menerima rawatan dan menghantarnya pulang. Siapakah itu yang mampu menyebabkan Syafiq bertindak sedemikian?
      “Okeylah, umi. Fiq nak pergi mandi dulu, ya. Kejap lagi Fiq turun.” Tanpa menyedari reaksi lain macam ibunya, Syafiq bersuara.
      “Err, okey. Tapi…”
      Syafiq menoleh kembali dengan pandangan mata menyoal. “Apa dia, umi?”
      “Siapa sebenarnya kawan Fiq tu?”
      Serta-merta Syafiq tergamam. Wajah Adra kembali menjengah ke dalam kotak memori dan bagaikan menari-nari di hadapan matanya.
*****
“KAU dah okey ke?”
      Adra menaikkan anak mata pada Nuha yang duduk berhadapan dengannya di meja makan. Inilah dia teman serumahnya. Jika diikutkan hatinya, memang dia tidak mahu serumah dengan sesiapa pun. Tetapi atas dasar paksaan Daiyan yang tidak mahu dia tinggal sendirian, terpaksa juga dia serumah dengan Nuha dan Soraya. Dan sedar tak sedar, sudah hampir tiga tahun mereka bersama di dalam rumah teres setingkat ini.
      “Kenapa kau tanya?”
      “Yalah, semalam kau kan sakit.”
      Masih terbayang-bayang lagi dalam ingatan Nuha akan Adra yang pulang selewat 2.45 pagi. Naik risau dia dibuatnya. Kemudian muncul pula seorang lelaki yang menegurnya semalam, tika dia membukakan pintu pagar buat Adra.
      “Tolong tengokkan kawan awak tu, ya. Dia baru pulang dari hospital. Dan ini nombor telefon saya. Kalau ada apa-apa jadi, call saya.”
      Itulah pesanan yang diterima daripada lelaki asing itu, dengan wajah yang kebimbangan. Pelik! Setahunya Adra tidak punya teman lelaki atau sahabat lelaki. Jadi, siapa pula lelaki yang menemaninya pulang?
      Bait bicara Nuha membuatkan ingatan Adra meliar ke arah kejadian semalam. Nizam yang tiba-tiba muncul dan Syafiq yang menjadi penyelamat. Huh? Penyelamat? Tidak! Lelaki itu cuma penyibuk! Tanpa sedar Adra mendengus kuat.
      “Kau ni kenapa?” Lagi Adra ditebak dengan soalan.
      “Kenapa apa?” Adra bermain soalan. Agak kasar. Rimas disoal berkali-kali oleh Nuha.
      “Aku nak tahu kau okey ke tak, bukannya nak dengar kau mendengus…mengeluh macam ni. Lepas tu tanya aku balik bila aku tanya kau.” Nuha turut sekali membentak. Ya, selalu juga dia kegeraman dengan sikap acuh tak acuh Adra saat orang lain mengambil berat tentangnya. Kadang-kala mahu sahaja dia tidak peduli akan Adra, namun Adra adalah teman serumahnya merangkap sahabatnya, walaupun dia sendiri tertanya-tanya sama ada Adra pernah menganggapnya sahabat. Sesungguhnya Adra, gadis yang terlalu dingin.
      Adra memandang wajah merah padam Nuha. Dia sedar Nuha mula marah padanya. Ingin sekali dia menempelak kembali, namun ditahan-tahan rasa itu. Buat apa dipanjangkan isu okey, tak okey ini?
      “Aku okeylah. Letih sikit aje. Maybe sebab busy sangat dengan pameran tu,” jawab Adra sekadar berbasi-basi. Roti bakar yang sudah disapu Nutella disuap ke dalam mulut.
      “Hmm, itulah kau. Bila dah bekerja, bukannya nak ingat dunia. Kadang-kadang aku tengok makan pun kau skip, kan?”
      “Yalah, Cik Siti Nur Nuha. Lepas ni, aku tak buat macam tu lagi, okey?” tegas Adra, sekadar mahu Nuha menghentikan perbuatannya yang tidak habis-habis membebel. Sudah mengalahkan mak nenek!
      Nuha mengangguk kecil tanda berpuas hati. Kemudian dia meneguk Nescafe. Sedikit terpejam matanya menikmati rasa Nescafe kegemarannya.
      Suasana hening buat seketika. Masing-masing menikmati sarapan tanpa suara. Kemudian…
      “Siapa lelaki tu?” Suara Nuha tiba-tiba memecahkan kesepian pagi.
      Dua kening Adra hampir bertaut, menampakkan kerutan yang jelas di dahi. “Siapa?”
      Nuha mengeluh. Apa sudah jadi dengan perempuan yang seorang ini? Dari tadi asyik sahaja membalas soalan dengan soalan juga.
      “Yang hantar kau semalam.”
      Wajah Syafiq menyerbu depan mata Adra, namun cepat-cepat dihalau pergi. Dengan air muka tidak beremosi, dia menjawab. “Aku balik dengan teksilah semalam.”
      “Okey, biar aku betulkan kenyataan aku tadi. Lelaki yang ikut teksi yang kau naik semalam. Lelaki yang tegur aku.”
      Adra tersentak.
“Dia tegur kau?” Laju sahaja bibir Adra menyoal.
      “Yup. Kau tak perasan kut. Sebab kau menonong aje masuk dalam rumah, tinggalkan dia terkulat-kulat depan pintu pagar.”
      “Siapa suruh dia ikut aku keluar jugak?” sinis Adra perlahan. Bibirnya mencemik.
      “Hah? Apa kau cakap?” tanya Nuha. Adra seperti bercakap sesuatu tadi, namun tidak jelas di telinganya.
      Cepat-cepat Adra menggelengkan kepala. “Nothing. Tak ada apa-apa. So, apa dia cakap?”
      “Dia minta aku tengokkan kau. Nampak macam risaukan kau aje.”
      Sekali lagi Adra terkedu. Lelaki bermulut celupar itu risaukan dia? Huh, jauh panggang dari api! Pasti sekali Syafiq cuma mahu berlagak baik, tunjuk hero konon..
      “Siap bagi aku nombor telefon dia. Katanya kalau apa-apa jadi pada kau, terus call dia.”
      “Dia bagi nombor phone pada kau?” ulang Adra, bagaikan bermain soalan.
      Dengan lagak bersahaja dan tidak mengesyaki apa-apa, Nuha mengangguk kecil. “Yup. Isy, cara kau tanya ni…macamlah kau tak ada nombor dia.”
      Adra tidak menjawab. Huh, motif sangat aku nak ada nombor dia? Dia tu bukan siapa-siapa pun!
      “Dia tu siapa sebenarnya?” Lagi Nuha bertanya. Wajah penuh ingin tahu dipaparkan.
      “Nobody.” Adra membalas dingin.
      “Ya ke nobody?” Sepasang mata Nuha mula mencerlung penuh curiga. Terselit juga riak ingin mengusik temannya. “Kalau nobody, takkanlah dia risaukan kau macam tu sekali.”
      Adra merengus kuat dan meletakkan roti di tangan ke atas pinggan dengan cukup kasar. “Kau dengar sini, ya. Kalau aku cakap dia tu nobody, maknanya nobodylah. Berapa kali aku nak kena ulang? Dan lagi satu, dia tu…untuk pengetahuan kau, tak mungkin risaukan aku.”
      “Kenapa pula tak mungkin?” Tanpa mempedulikan reaksi marah-marah Adra, Nuha menyoal kembali. Dia sudah terlalu biasa dengan sikap perengus Adra sehinggakan dia sudah lut untuk berhadapan dengan kemarahan Adra.
      “Sebab dia tu manusia yang cuma pandai sakitkan hati aku!” Agak tinggi nada suara Adra. Kala bercakap mengenai Syafiq, dia jadi beremosi sendiri. Hatinya kegeraman. Jantungnya jadi sesak. Otaknya sebu dengan wajah lelaki itu yang sekejap-sekejap menjengah. Macam dah tak ada orang lain dalam dunia ni!
      “Sakitkan hati kau? Then...” Nuha tersenyum kecil. “Baguslah.”
      Berkerunyut dahi Adra. “Apa maksud kau?”
      “Selama ni, aku tak pernah tengok kau bagi reaksi macam ni. Kau selalunya emotionless, tak pernah langsung tunjuk perasaan. Apa pun yang orang lain buat, kau memang tak ambil peduli. Even kalau orang mengata kau sekali pun, kau cuma pekakkan telinga sambil tunjuk poker face kau tu. Tapi sekarang…” Sengaja Nuha menghentikan suara dan menjongket kening. “Dia berjaya buat kau rasa sakit hati. So secara rasminya kau dah jadi macam seorang manusia normal yang react terhadap orang lain. Welcome back to humanity.”
      Terkesima Adra mendengarkan penjelasan Nuha yang panjang lebar. Setiap patah kata itu menusuk masuk ke dalam hatinya. Dia sudah mula memberikan reaksi terhadap orang lain? Dan orang itu adalah tidak lain dan tidak bukan…Syafiq?

*****
BAB 17

“DAH SAMPAI!!!”
            “Ya Allah, budak bertuah ni. Dia lompat atas sofa pula dah,” bebel Dahlia saat melihat Adam dan Azfar yang mula melompat-lompat di atas sofa. “Cepat turun, sayang. Tak elok buat macam tu.”
            “Adam, Azfar…mama cakap apa tu? Tak dengar ke?” Aariz pula menyampuk dari belakang Dahlia, muncul dari sebalik pintu rumah yang sudah tertutup.
            Usai mendengar suara bapa mereka, Adam dan Azfar pantas turun dari sofa.
            “Hmm, itulah yang papa nak. Mendengar kata,” puji Aariz seraya tersenyum lebar.
            Serentak Adam dan Azfar menyeringai, menampakkan gigi yang agak rongak.
            “Abang, jom main ni.” Azfar kemudian mengajak abangnya bermain sambil mengunjukkan satu permainan yang dihadiahkan oleh uncle Syafiq.
            “Jom!” Mencicit mereka berlari ke suatu arah. Aariz dan Dahlia berpandangan sendiri. Tahu sangat perangai pasangan kembar itu yang pasti-pasti sahaja ke bilik mereka, mahu bermain dengan permainan baru mereka.
            “Aktif sungguh budak berdua tu. Lia pula yang letih menengoknya,” gumam Dahlia sambil menggelengkan kepala. Namun bibirnya lebar dengan senyuman.
            Aariz tidak segera menjawab, sebaliknya dia mengambil tempat duduk di sebelah isterinya. Darina di dalam dukungan diletakkan ke bawah dengan berhati-hati. Perlahan dan comel si kecil itu memulakan langkah kecilnya.
            “Ma…ma…”
            “Sini, sayang…sini…haa, sampai pun!!” Dahlia menghulurkan tangan sebelum akhirnya mengangkat Darina tinggi-tinggi. Kemudian dia menghadiahkan beberapa kucupan ke atas hidung comel anaknya itu. Mengekek Darina ketawa.
            Meleret senyuman Aariz menyaksikan pemandangan di hadapan mata. Hangat sungguh hatinya menikmati apa yang terbentang itu. Dahlia dan Darina, dua orang perempuan kesayangannya. Perempuan yang akan sentiasa bertakhta di dalam relung jiwa raganya.
            “Oh, nak jalan, ya?” Soalan Dahlia menyapa peluput telinga Aariz. Dipandang isteri yang kembali meletakkan Darina ke atas permaidani dan membiarkan Darina mengambil langkah. Sedikit terhuyung-hayang anak perempuannya itu mengangkat kaki. Dari raut wajah Dahlia, jelas kerisauan yang terserlah.
            “Biarlah. Dia nak cuba-cuba jalan tu. Biarkan dia explore…” ucap Aariz di sebelah telinga Dahlia. Bahu si isteri dipeluk mesra.
            “Hmm, tak sangka, kan bang? Cepat sungguh masa berlalu. Dah setahun dah Darina…” Beralun suara Dahlia mengimbau kenangan. Terasa seperti baru semalam dia mendapat tahu tentang berita kehamilannya yang kedua setelah Adam dan Azfar berumur dua tahun. Darina, bagi Dahlia hadirnya sangat dinanti-nanti. Anak yang menambahkan lagi kemeriahan rumah mereka, menjadikan rumah tangga mereka semakin bercahaya dan bermakna. Malahan merapatkan lagi hubungan suami isteri mereka.
            “A’ah. Memang cepat. Kadang-kadang abang rasa macam tak cukup aje masa untuk spend dengan anak-anak kita.”
             Dahlia tersenyum kelat.
“Sebab tulah….” Seketika Dahlia menghentikan kata dan menggigit bibir. Akal fikirannya mula menegah agar jangan membuka mulut.
 ‘Jangan, Dahlia. Ini bukan masanya.’
Itulah yang suara hati kecilnya titipkan. Ya, di suatu sudut benaknya, Dahlia yakin bahawa apa yang ingin dia tuturkan bakal membawa kepada ketegangan antaranya dan Aariz. Maka tidak elok untuk mereka berbicara soal itu di hadapan anak-anak. Sungguh, walau apa pun yang terjadi antara mereka suami isteri, anak-anak tidak boleh menjadi mangsanya. Tidak sama sekali!
“Sebab…?” soal Aariz tanpa syak wasangka.
Dahlia mendongakkan muka, menatap wajah suami tercinta. Bibirnya mengulum senyum yang sekadar diada-adakan.
“Sebab tulah…masa yang ada tu, kita kena gunakan sebaiknya dan hargai dengan sebaiknya.”
‘Juga, perlu tambahkan masa yang kurang itu….’ sambung Dahlia dalam hati.
*****
SATU PERSATU pakaiannya dimasukkan ke dalam bagasi. Longlai dan tanpa perasaan. Kalau dahulu dia akan mengemas pakaian dengan perasaan teruja dan bersemangat, tetapi sejak kebelakangan ini, segala-galanya kosong. Dia sudah mati rasa. Apa sahaja yang dibuat bagaikan tidak punya makna, terasa dipaksa-paksa.
            “Bila nak siap mengemas kalau asyik mengeluh aje?” Suara yang menegur membuatkan kepalanya terngadah sendiri. Suami yang tersembul di sebalik muka pintu ditatap sekilas sebelum dia kembali melipat pakaian yang tertinggal.
            “Hei, kenapa ni?” Entah bila munculnya, Aariz kini elok berada di sebelah dan menongkat dagunya dengan lembut.
            “Abang tahu kenapa.” Alang-alang Aariz menyoal, Dahlia membuka mulut. Inilah yang ingin sekali dia bincangkan dengan suaminya. Suatu isu yang sering kali dipandang sebelah mata oleh Aariz. Tidak pun, lelaki itu memang sengaja memekakkan telinga dan membutakan mata. Buat-buat tidak faham!
            Kali ini Aariz pula yang melepaskan nafas. Ingatannya kembali pada malam mereka di rumah umi, saat Dahlia mahu berbincang sesuatu dengannya. Sesuatu yang sudah berpuluh kali dia nyatakan pendiriannya. Sesuatu yang asyik sahaja ditimbulkan oleh isterinya. Isy, kadang-kala sikap degil Dahlia benar-benar menyesakkan jiwanya.
            “Pasal surat perletakan jawatan Lia tu?”
            Lambat-lambat Dahlia menganggukkan kepala. Nada suara suaminya yang tegas sedikit membuatkan dia berasa cuak. Namun dikuatkan juga semangatnya. Ya, walau apa pun yang terjadi, dia akan pastikan Aariz menerima keputusannya. Itulah azamnya.
“Kan abang dah cakap yang abang tak terima, tak izinkan dan abang tak nak dengar lagi pasal ni? Berapa kali abang nak kena cakap, baru Lia akan faham?” Tertahan-tahan suara Aariz agar tidak kedengaran terlalu keras. Kalau boleh, dia tidak mahu meledakkan amarah pada Dahlia, walaupun dia berasa geram dengan kedegilan isterinya itu.
“Lia bukan tak faham, bang. Tapi…”
“Tapi Lia tak nak dengar cakap abang, macam tu?”
Dahlia tersentap. Pertanyaan Aariz yang berbaur tuduhan sedikit menyinggung perasaan.
“Sekarang ni, bukan Lia yang tak nak dengar cakap abang. Tapi abang yang tak nak dengar cakap Lia.”
Suara Dahlia juga semakin tegas menyapa peluput telinga Aariz. Tersirap darah panas ke muka. Egonya sebagai suami terasa tercabar kala si isteri mula mempertikaikan kata-katanya.
“Dan sejak bila pula ada istilah suami yang kena dengar cakap isteri?” Mendatar sekali nada suara Aariz. Sepasang matanya mula mencerun tajam.
“Bila apa yang cuba diberitahu oleh isteri langsung tak nak didengari oleh suami, langsung tak diambil peduli.” Dengan cukup berani dan bersahaja Dahlia menjawab, langsung tidak peduli dengan sang suami yang semakin keras. Ah, Aariz tidak akan sekali-kali memperlakukannya dengan kasar. Itu adalah sesuatu yang sangat dia yakin.
Aariz bangkit dari birai katil dan meraup wajah. Hatinya yang semakin panas cuba ditenangkan. Kemudian dia menunduk pandang pada Dahlia yang sedang memanggung kepala padanya.
“Apa yang abang tak dengar? Apa yang abang tak peduli? Lia tak sedar lagi ke? Sebab abang terlalu ambil peduli pasal Lia, jadi….”
“Jadi abang tak nak bagi apa yang Lia nak?” Dahlia memintas kata-kata suaminya.
“Sebab apa yang Lia nak tu cuma akan buat Lia rasa menyesal!”
“Dan siapa abang untuk cakap Lia akan menyesal atau pun tidak?”
“Abang suami Lia!”
“Lia isteri abang! Isteri yang sanggup buat apa sahaja demi abang, hatta berhenti kerja sekalipun!”
“Dan itu yang abang tak nak Lia buat untuk abang! Abang tak nak!”
Dahlia terbungkam. Wajah merah padam suaminya ditatap bersama dada yang berombak laju. Nafasnya turun naik, berselirat dengan rasa geram, rasa sayang, rasa kasih pada suami sendiri. Semuanya bercampur baur lantas membuatkan dia jadi kusut.
Perlahan, Dahlia bangun dari duduknya dan menghampiri Aariz. Kepalanya didongak, mahu melihat tepat ke wajah suaminya yang sememangnya tinggi lampai.
“Abang tahu tak abang ni pelik? Kalau suami orang lain mesti dah seronok sebab isteri nak berhenti kerja demi rumah tangga…”
“Itu suami orang lain, bukan suami Lia.”
“Yeah, right. Suami Lia pula terlalu baik, terlalu fikirkan Lia…kononnya, sampaikan butakan mata dan pekakkan telinga daripada apa yang Lia nak,” perli Dahlia dengan bibir yang dijuih.
“Sebab dah cukuplah selama ini Lia berkorban demi abang, jadi abang tak nak Lia korbankan apa-apa lagi demi abang.”
“Tapi…”
“Lia terima abang seadanya tanpa peduli siapa abang, dan sekarang Lia nak korbankan kerjaya Lia demi abang? Lia nak abang terus-terusan rasa terhutang pada Lia, ke?”
Terhentak hati Dahlia mendengarkan bicara suaminya. Bukan kerana kekerasan suara itu tetapi kerana intipatinya. Berapa lama lagi Aariz harus bersikap begini? Terlalu memandang tinggi padanya, memandang mulia padanya dan sering kali beranggapan bahawa dia sudah terlalu banyak berkorban untuk lelaki itu, sedangkan Dahlia tidak pernah menganggap itu semua sebagai pengorbanan. Itu semua adalah rasa hatinya. Ya, cintanya buat Aariz Danial.
“Okeylah, Lia faham maksud abang. Lia akan zip mulut Lia ni dan takkan cakap apa-apa lagi,” tutur Dahlia akhirnya. Punggungnya dilabuhkan kembali ke atas katil, manakala tangannya mula melipat pakaian dan dimasukkan ke dalam bagasi. Wajahnya cemberut, menayangkan rasa tidak puas hati buat suami sendiri.
“Lia…”
“Esok abang tak perlu hantar Lia ke airport. Driver pejabat akan datang ambil kat rumah,” sambung Dahlia tanpa memandang wajah Aariz lalu tinggallah lelaki itu terkebil-kebil sendiri.
*****
“JADI uncle dah tahu apa yang uncle perlu buat?”
            “Nizam jangan bimbang, tahulah uncle uruskan Adra. Dia tu pun satu, orang dah nak buat dia jadi isteri, banyak soal pula.”
            “Okay, then. Saya tunggu berita baik daripada uncle.” Tangannya dihulur dan bersambut sebelum dia menjatuhkan kembali salam. Tepat pandangan matanya pada tubuh lelaki separuh umur yang sudah pun membelakangnya dan menapak pergi.
            Sedikit demi sedikit bibirnya membentuk senyum sinis. Hatinya tercuit dengan rasa aneh buat lelaki itu. Kalau orang lain yang menjadi ayah kepada Adra, pasti dia sudah pun dipancung atau dicincang lumat-lumat. Usahkan sekarang, tetapi dua belas tahun yang lalu!
‘Nampaknya duit dan kuasa itu lagi kuat daripada pertalian ayah dan anak. Tapi bagus juga macam ni, tak payahlah aku susah-susah paksa dia. Biarkan saja orang lain yang buat kerja untuk aku. Huh, kau tengoklah, Nur Adra. Berapa lama lagi kau boleh berlagak macam tu dengan aku? Aku akan pastikan kau tersungkur di kaki aku.’

Share this:

ABOUT THE AUTHOR

Hello We are OddThemes, Our name came from the fact that we are UNIQUE. We specialize in designing premium looking fully customizable highly responsive blogger templates. We at OddThemes do carry a philosophy that: Nothing Is Impossible

0 comments:

Post a Comment