Encik Sayang dan Miss Sweetheart - Bab 17 & 18


BAB 17

‘OKEY, tarik nafas. Hembus, tarik lagi sekali, hembus. Bertenang, cuba bertenang. Ini tidak betul. Ini cuma mimpi. Mimpi yang sangat tak best. Nightmare. So Cik Orked Imani, sila bangun dari mimpi yang tak best ini. Yes, cepat bangun!’ Orked membuka mata perlahan-lahan. ‘Aku. Tak. Mimpi.’
           
‘Selamat bertunang!’
            ‘Macam mana awak tahu saya akan bertunang hari ni?’
            ‘Mestilah saya tahu.’
            ‘Apa maksud awak?’
            ‘Takkanlah saya tak tahu majlis pertunangan SAYA sendiri?’
            ‘Hah?!!!’
            ‘Kan saya dah cakap, awak akan sentiasa jadi Miss Sweetheart saya. Dan awak takkan boleh lari daripada saya.’

            Kejap Orked melekapkan pandangan pada SMS yang tertera di telefon bimbitnya. Setiap satu baris dibaca berulang kali. Dan setiap kali itu jugalah, dia merasakan bebola matanya membesar dan membesar, sama seperti jantungnya yang bila-bila masa lagi akan meletup, kemudian bertukar menjadi kepingan-kepingan kecil. Kepingan-kepingan itu juga akan meletup kerana tidak dapat menampung impak kuat yang baru sahaja diterima. Maka kesan letupan itu menghasilkan zarah di mana sejarah bakal melihatnya sebagai mangsa kejutan yang terlampau mengejutkan. A total shock! Kasihan manusia yang bernama Orked Imani itu. Sekian. Tamat.
            “Kakak ni, asyik cakap macam tu. Positiflah sikit. Betul-betul dapat husband tak matured, perangai macam budak-budak, baru tahu!”
            Sekonyong-konyong bicara Melati beberapa hari lepas pula datang menyergah. Sekelip mata Orked melepaskan keluhan maha berat. Oh, Tuhan! Ini bukan lagi kes tak matang atau perangai macam budak-budak. Ini kes kesengalan tahap kronik yang tidak mampu dirawat.
            Nama pesakit: Syamil Imran
            Kod pesakit: Encik Sayang
            Penyakit: Sengal, perasan, bangang!
            Dan dia, Orked Imani bakal menghadap encik pesakit itu selama-lamanya? Sebagai suami isteri? Sebagai bapa kepada bakal anak-anaknya?
             Ini. Memang. Nightmare.
*****
“KAKAK,  kenapa muka macam orang mati laki aje? Senyumlah sikit. Kan nak bertunang ni.”
            Orked menoleh ke sebelah dan mencerlung tajam. “Cuba adik ada di tempat kakak, agak-agak adik boleh senyum tak?”
            “Hmmm, boleh kut. Sebab dapat husband comel.”
            Sekejapan mata Orked membuntang. Comel? Encik Sayang sengal tu dikatakan comel? Eh, dunia ni dah nak kiamat ke apa?           
            Dengan lembut Orked meletakkan telapak tangan ke atas dahi Melati. “Adik demam, ek? Itu yang mata tiba-tiba jadi kelam, kan? Boleh pula cakap mamat tu comel.”
            Melati menepis tangan kakaknya. “Eleh, kakak. Mulut mengata, tapi hati suka, kan? Dah tak sabar nak kahwin, kan?”
Terlopong mulut Orked. Okey, dia mengaku. Dulu mungkin dia sendiri menganggap Syamil sebagai kacak dan comel. Ingat tak adegan hati bakal meletupnya? Tapi selepas mengenali perangai peliknya, kekacakan dan kecomelan itu langsung hilang lenyap ditelan zaman. Pendek kata, tak kisahlah rupa tu macam mana, tapi kalau dah perangai entah apa-apa, apa gunanya?
            “Amboi, amboi budak ni….mulut tak ada insurans langsung, kan?” Orked mengetuk kepala adiknya.
            “Kakak!!!”
            “Apa kakak-kakak? Lain kali mulut tu jangan main lepas sangat.”
            “Huh!” Melati merengus kegeraman. Kakak yang elok dan cantik dalam persalinan baju kurung moden berwarna merah jambu lembut, dipadankan pula dengan selendang dari rona yang sama dijeling tajam.
‘Cepat-cepatlah abang ipar aku tu bawa kakak keluar dari rumah, aman sikit aku nanti.’ Sempat Melati berdoa.
“Kakak dah ready ke?” Sekonyong-konyong wajah Puan Jasmin tersembul di muka pintu. “Pihak lelaki dah nak sampai.”
Orked menayangkan senyum paling palsu. Ready? Kakak tak mungkin ready untuk bertunang dengan dia, mak!
“Bila settle urusan kat luar sana, adik bawa kakak ke luar, ya. Untuk sarung cincin,” arah Puan Jasmin buat anak keduanya.
“Okey, mak. Don’t worry. Dengan pantasnya adik akan bawa kakak keluar,” jawab Melati seraya mengerling pada Orked. Sengaja mahu mengenakan kakaknya yang seorang itu.
Orked pula hanya mampu membalas dengan jelingan maut. Dalam hati dia berdoa agar ada keajaiban dunia kelapan yang berupa keluarga Syamil berubah fikiran dan tak jadi meneruskan semua kerja gila ini.
*****
BERUBAH FIKIRAN? Tak jadi? Huh, berangan saja dia! Orang di luar sana tu seronok dan bersemangat waja sungguh berbalas pantun. Daripada tadi, tak habis-habis. Ini mesti kerja emak. Kalau benda-benda klasik dan tradisional, memang menjadi kegemaran Puan Jasmin.

Panjat- panjat si pohon ara,
Nampak cantik di tepi laman.
Besarnya hajat tidak terkira,
Hendak memetik bunga di taman.

‘Bunga di taman? Huh, bunga ni tak sanggup dipetik buaya, tahu tak?’ Ingin sekali Orked menjawab begitu.

Senyum menguntum memakai kebaya,
Gadis sunti menjual kalungan.
Bunga nan sekuntum belum berpunya,
Menjadi penyeri di taman larangan.

            ‘Patutnya aku tipu yang aku ni dah ada pakwe masa emak cakap macam-macam hari tu. Bukannya buat kerja gila suruh carikan calon.’

Dari sumbu terbit apinya,
Menjadi asap dan juga jelaga.
Jika begitu akan adanya,
Izinkan kita memetik menjaga.
           
‘Jangan, ayah!! Jangan izinkan!! Kakak tak rela!!!’

Baik-baik kalau berhuma,
Jangan sampai lalang sepekan,
Hajat yang baik kami terima,
Dalam adat kami serahkan.

            ‘Huwaaa!!! Tidak!!! Jangan serahkan kakak pada mamat tu, emak ayah. Kakak tak nak!!!’
            Ya Tuhan, alangkah indahnya kalau dia mempunyai tahap keyakinan diri terlebih tinggi atau muka terlebih tebal untuk melalak begitu dan menunjukkan protes tentang betapa dia tidak ingin menjadi tunang kepada Syamil Imran. Tetapi, Orked sedar, buat masa ini tiada ada apa-apa yang boleh dia lakukan.
            ‘Tak apa…tak apa. Kita tengok nanti, berapa lama pertunangan ni boleh kekal. Jangan panggil aku Orked Imani kalau aku tak boleh buat semua ni putus!’ Terherot-terherot mulut Orked meniup keazaman ke dalam hati dan jiwa raganya.
            “Kakak…”
            ‘Aku takkan kahwin dengan dia. Takkan!’
            “Kakak!!!”
            “Apocot!” Terkejut Orked kala disergah begitu. “Adik, tak boleh panggil elok sikit ke? Nak menjerit aje kerjanya.”
            “Dah kakak tu tak dengar. Duk fikir apa entah sampai mulut pun terherot-herot.” Pedas jawapan Melati buat si kakak.
             Orked mencebik kecil. Melati memang tak habis-habis mahu menyindir hari ini. Geramnya!
            “Okeylah, kakak. Jom keluar. Bakal mak mertua dah tak sabar nak sarung cincin.”
            Mendengar perkataan ‘mak mertua’ membuatkan Orked kembali kecut perut. Okey, sempat tak kalau aku nak buat adegan protes dan meroyan sekarang ni? Iya, sebelum ayah mula berpantun sekali lagi….

Gagah hulubalang memegang panji
Dayang menari bertingkah irama
Adat bertunang meterai janji
Menanti hari disanding bersama

******

BAB 18

THE END? Pengakhiran kepada kisah kami? Takkan berjumpa lagi? Haha! Orked tergelak dalam hati. Gelak tidak ikhlas langsung. Gelak yang ditujukan khas untuk menyindir diri sendiri. Sungguh dia yakin bahawa mereka tidak akan bertemu lagi, tidak perlu bertentang mata hatta sekali pun. Tetapi ternyata apa yang tertulis dalam takdirnya bukanlah seperti itu. Malah, sangat berada di luar jangkaan, kerana kini mereka…mereka…
            Argh!! Tidak sanggup untuk dia menyebut perkataan itu. Perkataan yang mungkin akan membawa kepada suatu perkataan lain yang lebih menyeramkan dan akan menghantuinya sehingga akhir hayat.
            “Hai, tunang! Hai, bakal isteri!”
            Orked berpaling dan menjegil mata pada lelaki yang tiba-tiba muncul dari belakang. Selamba sungguh dia menitipkan dua patah perkataan itu. Tunang dan isteri. Tunang, perkataan yang akan membawa kepada perkataan keramat lain, iaitu isteri. Okey, ulang lagi sekali. Isteri, okey! Isteri kepada manusia paling sengal yang pernah dia jumpa dalam seumur hidup dia ini. Aduh, siapa-siapa…tolong sambut dia. Rasa nak pengsan dah ni.
            “Haish, jegil-jegil mata tu, kenapa? Janganlah buat macam tu. Nanti jadi pontianak.”
            “Kalau saya ni pontianak, dah lama saya hisap darah awak,” desis Orked di sebalik bibir yang terketap-ketap menahan rasa menyampah.
            “Okey, boleh juga tu. Nah. Saya rela jadi mangsa awak.” Selamba lelaki itu menyelak sedikit kolar bajunya, lantas menampakkan sebahagian leher putihnya.
            Ya Allah! Bagilah aku kekuatan untuk melayan kesengalan manusia yang seorang ini. Tidak putus-putus Orked berdoa. Nafasnya ditarik dalam-dalam, cuba mencari ketenangan yang semakin melarikan diri daripadanya. Ketenangan, please…jangan pergi tinggalkan daku!
“Okey, saya tak nak bazirkan masa saya layan perangai tak semenggah awak ni. So, let me go straight to the point. Jom putuskan pertunangan ni. End of story.” Selamba sahaja Orked memberikan cadangan. Itu cadangan yang paling bernas sekarang ni, kan? Iya, takkanlah mereka mahu meneruskan pertunangan dan perkahwinan yang jelas lagi bersuluh bukan keinginan mereka.
Syamil langsung tidak memaparkan apa-apa reaksi. Sebaliknya dia berjalan mengelilingi Orked dengan sesekali menganggukkan kepala dan akhirnya betul-betul mendepani gadis itu. Wajahnya diturunkan sedikit agar sama aras dengan Orked.
“Nope.” Hanya sepatah kata itu yang keluar dari mulut Syamil. Kemudian dia mengambil tempat duduk di meja yang terletak berdekatan dengan kedudukan mereka berdiri.
“Huh? Apa maksud awak?” Terkebil-kebil Orked menyoal kembali, juga mengambil tempat duduk di hadapan Syamil. Nope tu maksudnya dia tak nak putuskan pertunangan ke?
“Kenapa pula saya nak putuskan pertunangan? Bukannya senang dapat tunang comel macam awak ni, Miss Sweetheart.”
Sah. Dia memang tak nak putuskan pertunangan. Semerta Orked menarik muka masam. Geram betul dengan mamat yang seorang ini! Dari saat majlis pertunangan mereka beberapa hari lepas, tahap kegeraman Orked pada lelaki tersebut sangatlah tinggi.
“Lagipun, kan saya dah cakap pada ayah awak lepas majlis tunang kita hari tu. Awak masih ingat, kan?”
Orked mendengus sambil mengingati segala macam butir bicara Syamil tempoh hari.
“Saya akan jaga dan lindungi Orked dengan sebaik mungkin. Dan saya akan jadi suami yang terbaik untuk dia. InsyaAllah.”
‘Huh! Hanya ada satu perkataan untuk Syamil. Gila.Tak pun…sewel. Serius! Apa lelaki ini ingat aku ni bodoh untuk percaya semua itu? Eh, tolonglah…aku bukannya budak sekolah bawah umur yang boleh diperkotak-katikkan. Dia ingat dia boleh teruskan pertunangan ni sampailah aku dan dia berkahwin, dan pada yang sama dia masih ada hubungan dengan girlfriend Nang’rai a.ka. Cik Gincu Merah dia tu?’ Bertubi-tubi Orked membebel dalam hati.
“Jadi, alkisahnya…takkanlah saya nak putuskan pertunangan macam tu aje. Itu namanya saya memungkiri janji dengan ayah awak. Saya ni…” Syamil meletakkan tangan ke dada dan menayang muka tersangat suci. “Untuk pengetahuan awak, orang yang sangat menepati janji.”
Orked mempamer muka selamba. Setiap patah kata Syamil dibiarkan masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Kemudian, dia menarik nafas panjang. Dengan manusia seperti ini, rasanya dia perlu menggunakan cara berhemah. Cara-cara kasarnya hanya akan membuatkan otak Syamil tambah bengap.
Sedikit demi sedikit Orked mengulum senyum palsu. “Kalau macam tu, saya rasa awak patut tunaikan janji awak pada girlfriend awak. Awak masih ingat pada dia, kan? So,apa kata awak bagitahu parents awak yang kita setuju untuk putuskan pertungan ni. Lepas tu suruh dia orang masuk meminang perempuan tu.”
“Lepas tu kahwin dengan dia. Macam tu?” Syamil memotong bicara Orked.
Lagi Orked melebarkan senyum tak ikhlasnya. Kepalanya diangguk-anggukkan.  Ya, itulah perancangannya. Tolonglah, Encik Sayang…tolonglah setuju.
“Still nope.”
Oh, masih tidak setuju. Orked merengus keras.
“Awak ni kan! Kenapa awak nak sangat teruskan pertunagan ni? Motif?! Awak tak cukup kenal saya, dan saya pun tak cukup kenal awak. In case awak dah lupa, kita tak ada langsung perasaan suka antara satu sama lain. Awak dah ada girlfriend yang asyik panggil awak ‘sayang’ tu dan buat saya rasa geli sangat.
Dan walaupun saya tak ada boyfriend, saya tak kisah sebab saya nak jadi single buat masa ni. Single, okay? Which means no boyfriend, no fiancée and definitely no husband. Lagi satu, awak lagi muda daripada saya. Saya tak nak budak-budak jadi husband saya. Faham? Mengerti?” Orked bersuara tanpa henti. Sedikit meninggikan suara. Fuhh, laju betul dia bercakap. Lelaki di hadapannya kelihatan terkulat-kulat sahaja. Terkejut gamaknya.
Syamil memandang Orked. Orked memandang kembali. Dan tiba-tiba…meledak tawa besar dari mulut Syamil.
“Awak rasa geli bila dia panggil saya ‘sayang’ sebab awak jealous, kan? Dan awak beiya-iya bagitahu saya yang awak ni single, sebab awak memang nak bagitahu status awak pada saya. Ala, Miss Sweetheart…awak tak perlu bimbang, saya memang tahu awak single. Tapi sekarang awak dah tak single lagi, tau. Sebab awak kan dah jadi tunang saya. Miss Sweetheart adalah tunang kepada Encik Sayang.
Oh, apa tadi? Awak tak suka saya sebab saya lagi muda daripada awak? Ala, kenapa awak nak rasa inferior sangat ni? Don’t worry, awak tetap nampak awet muda. Orang tengok mesti ingat kita sama umur. Dan saya janji saya takkan buat awak rasa tua,” Syamil menjawab dalam sisa-sisa tawanya.
Pejam celik, pejam celik Orked menatap Syamil yang masih tergelak-gelak umpama langsuir. Jealous? Dia cakap aku jealous? Aku rasa inferior? Apa kes?!
“Eh, awak jangan perasan boleh tak? Saya jealous? Saya rasa inferior? Lawak, lawak!!” bentak Orked sambil ketawa pura-pura. Namun tanpa semena-mena…
“Sayang!!! Sayang buat apa kat sini?”
Ketawa Orked mati. Matanya membundar. Syamil terpinga-pinga. Sepasang mata Orked melekat pada perempuan gedik yang pernah dia temui waktu kemalangan dulu. Perempuan yang masih memakai mekap tebal yang buruk di matanya. Okey, Cik Gincu Merah dah sampai.
Perempuan itu menjeling Orked dengan cukup tajam dan mengambil tempat duduk di sebelah Syamil. Tangannya memeluk lengan lelaki tersebut. Diusap-usap lengan tegap itu dengan manja.
Tekak loya. Perut senak. Rasa nak terkeluar segala isi perut menyaksikan segala adegan depan matanya. Dah mula dah, ulat bulu dah mula menggatal. Lalu entah kenapa Orked menjeling tajam ke arah Syamil. Perasaan geram menjengah masuk ke dalam hati saat melihat lelaki tersebut yang selamba sahaja membiarkan Cik Gincu Merah menyentuhnya begitu. Ya Allah, geramnya aku!!!
“Sayang, you buat apa dengan perempuan ni? Bukan ke dia ni orang yang langgar kereta you dulu??”
Terlopong mulut Orked. Aku yang langgar dia??
“Hey, excuse me!!  I rasa you ni dah hilang ingatan kut. Sayang you ni yang langgar I, bukan I langgar dia,” herdik Orked, membetulkan kenyataan yang baru sahaja keluar dari mulut yang dilapisi lipstik merah membara itu. Sengaja dia menekankan perkataan ‘sayang’ sambil matanya dijeling pada Syamil yang hanya membalas jelingannya dengan tersengih busuk. Dan…membalas pegangan tangan perempuan tu?
Orked sedar bahawa Syamil memang sengaja mahu membuatnya geram. Dan mungkin juga…cemburu? Oh, tidak! Tidak!! Dia tak cemburu. Ulang sekali lagi, dia tidak mungkin cemburu. Tapi dia memang geram tengok kelakuan mereka itu.
Sila ambil perhatian: Cemburu dan geram punya definisi yang berbeza.
“Ala, kereta you tu Viva buruk je kut. Kalau kena langgar pun, bukannya apa-apa pun,” sindir Cik Gincu Merah dengan mencebik muka.
Berderau darah panas ke wajah Orked. Perasaan geram dalam hati berubah menjadi berang. Suka hati dia aje hina Viva kesayangan aku! Menghina Vivaku sama dengan menghinaku!!
“Kereta I memang Viva buruk je. Tapi you jangan bimbang, lepas ni I akan selalu naik BMW. Well, kalau daddy bagilah. Tak gitu, Encik Sayang?” Sengaja Orked menjawab begitu sambil tersenyum manis pada Syamil. Dengan suara yang lembut dan manja pula tu. Perempuan gedik itu melopong. Syamil terkebil-kebil. Hah, rasakan! Nak kenakan aku konon!!
“Apa maksud you, hah??” Perempuan itu menengking sambil bangun secara mendadak.
Orked tidak menjawab, hanya menjongket bahu dan mengangkat kening. Okey, saat ini mukanya tersangatlah kerek!
“Sayang, apa maksud dia? Sayang!! I tanya you ni!! Sayang!!!”
Orked memandang tanpa emosi. Dalam beg tangan ada kapas tak? Boleh juga disumbat dalam telinga. Ala, tak adalah pula. Terpaksalah dia dengar jeritan minah tak betul ni.
Sekali lagi Orked melirikkan mata pada Syamil yang hanya membungkam. Selamba sahaja lelaki itu mengangkat kening padanya.
‘Eh, motif angkat-angkat kening? Oh, dia nak cabar aku suruh bagitahu perempuan ni pasal status kami, ya? Hampeh!!’
Okey, okey. Akan dia buktikan bahawa dia bukan macam Nang’ek (heroin) dalam lakorn. Orked Imani sangatlah bukan macam Nang’ek yang lembik dan akan biarkan aje Nang’rai pijak kepala dia.
So, Encik Sayang…saya sahut cabaran awak!!’ Perlahan-lahan Orked bangkit dari duduk, mendekatkan wajah pada Cik Gincu Merah dan mencerun sinis.
“You betul-betul nak tahu kenapa? Sebab...I dengan sayang you ni dah jadi tunang. He’s my fiancée and I’m his fiancée. Ada faham?” Selamba sahaja Orked berkata-kata. Langsung tidak tercalit rasa bersalah bahawa dia mungkin menyakitkan hati manusia sama jantina dengan dirinya.
‘Sorrylah, ya! Saya memang tak suka awak. So, saya tak rasa bersalah.’
Cik Gincu Merah menjegilkan mata kepada Orked. Kemudian dia menoleh ke arah Syamil yang masih lagi membatu, tanpa sebarang perasaan.
“Hoi, perempuan!!! You jangan nak tipulah. You ingat sayang I ni pandang ke perempuan macam you ni? Dahlah pendek, tak cantik pula tu!!” Tiba-tiba Orked diserang.
Sepantas kilat Orked menjauhkan wajahnya yang sedari tadi dekat dengan wajah Cik Gincu Merah dan bergerak ke belakang sedikit. Terkejut juga dia bila tiba-tiba perempuan itu memekik lantang. Mujur sahaja telinganya tidak jadi pekak.
‘Amboi, ikut sedap mulut dia je nak kutuk-kutuk aku. Ini tak boleh jadi ni!!’
“Dia pandang ke tak, I tetap tunang dia. Kita orang dah nak kahwin pun.” Orked membalas selamba sambil memeluk tubuh. Langsung tidak meninggikan suara. Orang bertamadun takkan menjerit-jerit macam tu. Menjatuhkan air muka dan buat sakit tekak sahaja.
Ekor mata Orked dikerling sekilas pada Syamil yang sudah pun tersenyum mendengar jawapannya. Ini lagi seorang manusia yang buat dia marah. Aku dengan girlfriend dia tengah bergaduh, boleh pula dia senyum-senyum sumbing. Dia ni betul ke tidak? Isy, musykil betul aku!
“You jangan nak beranganlah! Dia ni boyfriend I!! Berani you nak rampas dia daripada I?” Cik Gincu Merah kelihatan makin agresif. Matanya merah. Wajahnya tegang. Tangannya pulak dikepal, membentuk penumbuk.
Orked menelan air liur. Alamak, seram pulak aku tengok dia ni. Dia nak tumbuk aku ke apa?
Tiba-tiba Cik Gincu Merah meninggikan tangan. Namun sebelum sempat tangannya singgah ke muka Orked, ada tangan lain yang terlebih dahulu memegang pergelangan tangannya.
Bulat mata Orked. Oh, Encik Sayang dah selamatkan muka dia daripada jadi mangsa minah sewel ni.
‘Go, Encik Sayang!! Awaklah penyelamat saya!!!’
“You jangan berani sentuh tunang I. Jangan sesekali sentuh Miss Sweetheart.” Akhirnya Syamil membuka mulut. Nada suaranya mendatar, serius dan keras. Riak mukanya tegang.
Terjegil mata Cik Gincu Merah. Orked tersenyum dalam hati. Kan sudah dibilang, mereka berdua adalah pasangan tunang. Siapa suruh tak percaya?
“You dah lupa ke, Misha?”
‘Oh, nama Cik Gincu Merah ni Misha, rupanya.’ Sempat Orked menggumam sendiri.
“Antara you dengan I, dah tak ada apa-apa. Everything is over. I dah cakap hari tu, kan? Hari yang I jumpa you dengan that pak cik tua, ops…Datuk. Seriously, berapa ramai lelaki yang you nak, barulah you akan puas hati?”
Terkulat-kulat Orked memandang Syamil yang sedang menyambung kata dengan cukup macho. Sepasang mata lelaki itu merenung wajah Misha, tidak ubah seperti harimau yang bakal menerkam mangsanya. Telinga Orked pula mendengar dengan penuh minat. Woah, perempuan dengan mekap tebal 10 inci ni ada ramai lelaki? Apa yang lelaki-lelaki tu nampak pada dia?
“Tapi, sayang…I dengan dia dah tak ada apa-apa. Please, jangan tinggalkan I…”
“I dah pun tinggalkan you. So, please…jangan ganggu I dan bakal isteri I lagi.”
Ingin sahaja Orked bersorak dan bertepuk tangan menyaksikan betapa gagah dan dinginnya Syamil berbalas jawab dengan Misha. Wah!! Memang ada gaya hero yang sangat macho.
Sesaat kemudian Syamil menghampiri Orked yang masih terkebil-kebil menyaksikan segala adegan di hadapan mata.
“Let’s go.”
Tergesa-gesa Orked bangun dari duduknya. Sebelum pergi, sempat dia menghadiahkan jelingan maut ke arah Misha. Juga, dengan sengaja dia tersenyum lebar. Haha, seronoknya bila aku menang!
“Tunggulah! Kenapa awak jalan cepat sangat ni?” teriak Orked pada Syamil saat menyedari diri semakin jauh ke belakang, ditinggalkan oleh derap langkah lelaki itu yang laju.
“Awak suka saya, kan?” tebak Syamil tiba-tiba saat Orked elok berjalan seiring dengannya.
Spontan Orked menoleh ke sebelah. Hah? Mana pulak datangnya konklusi pelik dia ni?
“Bila masa pula saya suka awak?”
Syamil menyengih lebar. “Eleh, tak nak mengaku. Tadi awak jealous, kan? Siap bergaduh dengan dia sebab saya pulak tu. Terharu, terharu…”
Orked mencebik muka. Penyakit perasan mamat ni memang sudah tidak dapat diselamatkan lagi.
“Bila masa pula saya bergaduh dengan dia sebab awak? Saya bergaduh dengan dia sebab…” Terkelu seketika lidah Orked. Otaknya ligat memikirkan alasan paling munasabah. Ya, cemburu tidak termasuk langsung dalam sebab musabab Orked Imani bergaduh dengan Misha. Miss Sweetheart versus Cik Gincu Merah.
“Sebab dia hina Viva saya. Yup, sebab dia hina kereta saya!!”
            “Then, saya balik pada dia ajelah.”
Orked terpempan besar. Balik pada perempuan tu?
“Mana boleh!!” Tanpa sedar Orked terjerit.
Lagi Syamil melontarkan tawa jahat. “Ha, tengok!! Awak memang suka saya!!”
“Mana ada!” bangkang Orked cepat-cepat.
“Ada!”
“Mana ada!”
“Ada!”
“Mana ada!”
“Mana ada!!”
“Ada!”
Opps! Orked membuntangkan mata. Mulutnya ditekup. Alamak, aku…aku tercakap ‘ada’.
“Hahaha! Kan saya dah cakap. Tak nak mengaku konon,” perli Syamil sambil mengenyit sebelah mata. Kemudian dia mengangkat langkah ke hadapan, meninggalkan cik tunang tiba-tibanya yang hanya termangu-mangu sendiri. Bibir Syamil menguntum dengan senyuman yang dirasakan seperti tidak pernah selebar itu. Sekeping hatinya pula terasa hangat sekali. Miss Sweetheart…Miss Sweetheart, apalah yang awak dah buat pada saya ni?

~Bersambung...~

Share this:

ABOUT THE AUTHOR

Hello We are OddThemes, Our name came from the fact that we are UNIQUE. We specialize in designing premium looking fully customizable highly responsive blogger templates. We at OddThemes do carry a philosophy that: Nothing Is Impossible

0 comments:

Post a Comment