Pembuka Hati (Jodoh itu Milik Kita 2) - Bab 7 & 8


BAB 7

“FIQ tengok apa tu?”
      Terkujat Syafiq di tempat duduknya. Suara halus Dahlia yang menyapa lembut bagaikan racun yang membuatkan segala urat sendinya lumpuh sendiri. Melalui ekor mata, dia memerhati Dahlia yang sudah pun menjatuhkan duduk di kerusi yang terletak elok di sebelah kirinya. Kakak iparnya kelihatan tenang dan bersahaja sekali, bukan sepertinya yang bagaikan menyimpan gunung debaran di dalam jiwa. Bakal meletus bila-bila masa sahaja lagi.
Kemudian dia meliarkan pula bebola mata pada sekeliling, mahu mencari kelibat Aariz. Mustahil Dahlia menegurnya tanpa Aariz di sisi, lebih-lebih lagi malam-malam begini. Benar tekaannya kerana tidak jauh dari tempat mereka berada, Aariz kelihatan sedang elok berdiri sendiri. Entahlah apa yang dibuatnya. Mengira bintang di langit, mungkin.
      “Kolam ikan ni abah bina dua tahun lepas. Saja, untuk dibuat tempat dia melepak dengan umi lepas dah pencen.” Lagi suara tenang Dahlia berkumandang.
      Syafiq mengalihkan pandang pada kolam yang mengandungi beberapa ekor ikan koi di dalamnya. Elok sahaja berenang-renang tanpa perlu memikirkan apa-apa. Ah, kalau ada pun, mungkin cuma berkenaan makanan. Dan itu pun, tidak perlu dirisaukan langsung kerana ada sahaja manusia yang akan rajin memberi makan. Kalaulah dia bisa menjadi seperti mereka.
      “Awak…”
      Agak tersentak Syafiq mendengarkan panggilan Dahlia yang bukan lagi ‘Fiq’. Panggilan ‘awak’ itu bagaikan menarik-narik kembali Syafiq menjadi bekas tunang kepada Dahlia, pesalah kepada Dahlia Darius.
      “Apa khabar?” Pandangan mata Dahlia kini tepat padanya.
      “Ba…baik.” Tergugup-gagap Syafiq menjawab. Anak matanya dilarikan, tidak mampu bertentang mata dengan gadis yang seperti sedang membacanya.
      Dahlia tersenyum kelat. Bohong. Segalanya bohong belaka. Pada siapa Syafiq mahu berbohong? Pada siapa Syafiq mahu menyembunyikan rasa janggalnya? Pada dia? Pada Dahlia Darius yang sudah melepaskan segala-galanya pergi?
      “Syafiq, you’re not okay. Definitely not.”
      Syafiq mendengus. Hatinya mula dihentak rasa geram. Tadi Aariz, dan kini Dahlia pula mahu menghakimi sama ada dia okey atau pun tidak. Apa mereka fikir dia tidak boleh mengerti perasaan sendiri? Rasa hati sendiri? Keadaan sendiri?
      “Siapa awak untuk cakap sama ada saya okey atau pun tidak? Siapa awak untuk judge saya macam tu?” Tanpa dapat ditahan-tahan, Syafiq mula membentak. Seketika kemudian, dia cepat-cepat mengetap bibir. Ya Tuhan! Di hadapan Dahlia, dia senang sekali membiarkan emosi bertaburan keluar. Seperti dahulu. Seperti waktu Dahlia menjatuhkan hukuman itu padanya.
      “Saya kenal awak. Awak tidak akan ada di sini kalau awak tidak rasa bersalah.”
      Itulah bait bicara Dahlia suatu ketika dahulu yang menunjukkan betapa gadis itu memahami dan seakan-akan punya kuasa untuk membaca segala gerak lakunya. Dan kini, selepas empat tahun…Dahlia masih tetap sama. Masih tetap mampu menebak perilakunya.
      Senyuman kelat di bibir Dahlia kekal terpamer, seakan-akan tidak terkesan langsung dengan bentakan Syafiq tadi.
      “Sekarang, saya mahu bercakap sebagai Dahlia. Just Dahlia, perempuan yang pernah jadi tunang awak, perempuan yang dah jatuhkan hukuman tu pada awak. Bukan sebagai Kak Lia, kakak ipar awak.”
      “Apa awak nak cakap?”
      “Awak silap soalan. Bukan apa yang saya nak cakap. Tapi apa yang saya nak dengar.”
      Berkerunyut tebal dahi Syafiq. Tidak mengerti akan Dahlia yang seolah-olah mahu bermain kata.
      “Empat tahun, Syafiq. Empat tahun awak berkelana merata-rata dunia, sehingga akhirnya awak kembali ke sini. Mesti sebab awak dah cukup bersedia untuk berhadapan semua orang, kan? Mesti awak ada sesuatu untuk diucapkan pada semua orang, kan?” jelas Dahlia lagi, cukup matang dan tenang. Suaranya lembut dan beralun.
      Syafiq terbungkam sejenak. Benarlah, Dahlia benar-benar tidak berubah. Tetap mampu membacanya. Kemudian dia bangun dan menapak menghampiri kolam ikan di hadapannya, membelakangi kakak ipar yang dia tahu masih setia memandangnya. Syafiq menghela nafas sedalam mungkin, cuba mencari kekuatan untuk akhirnya menitipkan apa yang menjadi azamnya sebelum kembali. Ya, nampaknya sudah tiba masanya untuk dia mengucapkannya.
      “Saya…minta maaf.” Selesai mengungkapkan kata-kata keramat itu, bahu Syafiq terasa ringan sekali. Beban yang selama ini menghempap jiwanya bagaikan diangkat pergi oleh suatu kuasa yang gagah. “Saya benar-benar minta maaf atas semua yang pernah saya lakukan pada awak, pada keluarga awak.”
      Dahlia mendiamkan diri dan membiarkan sahaja Syafiq bertutur. Dia yakin pasti ada banyak sekali perkara yang ingin diperkatakan oleh lelaki itu.
      “Lambat, kan?” Syafiq tersenyum sinis, mengejek diri sendiri. “Lambat betul untuk saya memohon maaf atas kejahatan saya. I guess, saya ni memang jenis manusia yang tak reti untuk mengakui dosa sendiri.”
      “Better late than never.” Tenang Dahlia menjawab. “Lagipun, kalau awak tak minta maaf pun, semua orang memang dah maafkan awak, kan? Semuanya dah berlalu, Syafiq. Tak ada gunanya diingat-ingat lagi.”
      ‘Itulah yang buat saya tambah rasa yang saya ni terlampau jahat, Dahlia. Terlalu jahat sehinggakan orang lain perlu maafkan saya, tanpa saya sendiri yang meminta maaf. Manusia jenis apa saya ni?’ jeda Syafiq dalam hati. Rasa bersalah yang sememangnya bermukim dalam hati jadi makin melimpah-ruah.
      “Rasa bersalah.”
      Syafiq tersentap kuat. Bait bicara Dahlia bagaikan mengerti apa yang bermain dalam benaknya tadi.
      “Ya, saya akui. Kemaafan saya juga beserta dengan…” Dahlia menghentikan kata buat sejenak dan membiarkan memorinya berlegar pada peristiwa empat tahun lalu. “Keinginan saya untuk buat awak rasa bersalah. Ya, saya nak awak rasa bersalah, tercengkam sehingga awak takkan mampu untuk buat jahat lagi. Tapi, Syafiq…”
      Perlahan-lahan Syafiq memusing tubuh dan melekatkan pandang pada Dahlia yang tenang melihatnya.
      “Saya juga nak awak ‘hidup’ kembali. Jadi seorang Syafiq yang tak terbelenggu oleh Aariz Danial. Jadi seorang lelaki yang bukan hidup di sebalik bayang-bayang lelaki lain.”
      Peluang kedua. Suara Aariz berdengung di suatu sudut gegendang telinga Syafiq. Mungkin inilah maksudnya.
      “Saya tak bodoh, Syafiq. Untuk memahami apa yang berlaku antara awak, Aariz dan keluarga ni. Both awak dan Aariz adalah mangsa keadaan. Kau orang berdua dah banyak menderita. Jadi tak salah, kan? Kalau saya lepaskan awak,so that awak juga boleh cari kebahagiaan awak sendiri.”
      Syafiq diam tidak berkutik. Kesungguhan Dahlia sedikit sebanyak menyentuh hatinya. Tidak hairanlah Aariz boleh jatuh cinta pada gadis ini walhal pernikahan mereka bukan atas dasar cinta. Ya, hati suami mana yang tidak tergugat kalau punya isteri setulus Dahlia Darius?
      “Jadi, hentikanlah rasa bersalah awak tu. Saya tak nak awak terpenjara lagi. Empat tahun rasanya dah cukup, Fiq. Jadi get up and find your own happiness. Umi dan abah tu dah tak sabar nak dapat menantu baru, tau. Kalau siap dengan pakej cucu baru, lagi bagus.”
      Terlepas gelak kecil dari mulut Syafiq. Sempat pula Dahlia mengusik di hujung bicara. Tanpa Syafiq sedari, ketenangan mula bertandang di hatinya. Ketenangan yang jarang-jarang sekali singgah dalam hidupnya.
      Dahlia tersenyum lebar. Wajah Syafiq yang tidak lagi tegang dan keruh menggembirakan dia. Nampaknya, sedikit sebanyak bait bicaranya berjaya menusuk masuk ke dalam jiwa lelaki ini. Tadi  risau juga dia kalau-kalau Syafiq tetap degil dengan rasa bersalahnya, dan terus-terusan mahu membiarkan diri sendiri terhukum begitu.
      “Dahlia…” Lembut dan hati-hati Syafiq memanggil kakak iparnya.
      “Hmm…”
      “Terima kasih.”
      Ikhlas sekali ucapan itu kedengaran di peluput telinga Dahlia. Lagi dia melebarkan senyum. “Sama-sama.”
      “Jadi sekarang…”
      “Apa?” soal Dahlia kala melihat Syafiq yang tiba-tiba mematikan kata.
      “Awak dah jadi kakak ipar saya balik ke ni? Atau…saya boleh terus panggil nama aje?” Pertanyaan Syafiq berbaur usikan.
      Dahlia melopongkan mulut.
“Amboi, nak lebih-lebih pula? Panggil saya Kak Lia, okey?”
      Syafiq tertawa besar. Ketawa gembira yang meletus buat pertama kalinya setelah bertahun-tahun dia hidup di sebalik bayang-bayang abangnya sendiri, di bawah cengkaman penjara kemaafan kakak iparnya dan juga di sebalik rasa bersalah pada ibu bapanya.
*****
DARI KEJAUHAN, Aariz memasang senyum. Dia dapat menangkap ekor mata Dahlia yang mengerling padanya. ‘Berjaya!’ Dia tahu itulah yang dimaksudkan oleh isterinya.
      ‘Lia, Lia…awak ni memang superwoman, kan? My superwoman. Apalah yang awak tak mampu lakukan? Hinggakan hati keras Syafiq pun awak boleh cairkan….’ cetus suara hati Aariz, diselubungi rasa bangga terhadap isteri sendiri.
      Dan kini, apa yang tinggal adalah....mendoakan agar suatu hari nanti Syafiq juga akan menjadi seperti dirinya. Menikmati hidup ini dengan penuh kebahagiaan kerana sesungguhnya lelaki itu sudah terlalu lama menderita.
      ‘Ya Allah, Ya Tuhanku…Engkau telah hadiahkan aku dengan kebahagiaan. Dan sekarang aku memohon pada-Mu, bawalah kebahagian seumpama ini kepada adikku pula.’
*******

BAB 8

“SO, apa plan Fiq sekarang?”
      Syafiq yang baru sahaja selesai meneguk teh meletakkan kembali cawan ke atas piring. Wajah ayahnya yang baru sahaja menyoal dipandang tepat.
      “Fiq ingat nak settle down kat sini. Well, masih lagi jadi freelance photoghrapher. Tapi, at least dah duduk kat rumah. Tak adalah tinggal merata-rata lagi.”
      Ya, sebelum meninggalkan Malaysia, dia telah pun melepaskan kerjayanya sebagai arkitek dan mengambil keputusan untuk menjadi seorang jurugambar. Sejujurnya kerjaya arkitek itu sendiri tidak ubah seperti satu lagi medium untuk dia berlawan dengan abangnya. Jika Aariz Danial terkenal sebagai jurutera kimia yang gah, Syafiq pula merupakan arkitek yang hebat, yang mampu menghasilkan rekaan cantik dengan sentuhanjari jemarinya. Jadi untuk dia membebaskan diri daripada Aariz, dia juga perlu membebaskan sebuah kerjaya yang hanya mengikat dirinya sebagai pesaing abangnya, dan membuat apa yang dia sendiri minati. Menangkap gambar.
      Sementelah pula, dia mahu merakamkan saat-saat indah, sedih, kecewa atau apa-apa pun emosi yang dikaitkan dengan manusia ke dalam sekeping foto, menterjemahkannya kepada orang lain dan yang paling penting pada dirinya sendiri. Entahlah, mungkin itu caranya untuk Syafiq mengingatkan dirinya tentang kemanusiaan, untuk membuatkan dia lebih bersyukur dengan apa yang dimiliki dan mungkin juga untuk dia mengekspresi siapa itu Tuan Syafiq Tuan Haikal.
      “Jadi Fiq memang akan tinggal kat sini? Kat rumah ni?” Suara Puan Marina pula yang menyambung soal.
            “Eh, umi…cara umi tanya ni macam tak nak aje Fiq duduk kat sini?” Sengaja Syafiq mengusik ibunya.
      Tercengang sejenak Puan Marina. Tidak tahu reaksi bagaimana yang harus diberikan. Namun usai melihat wajah menyengih Syafiq, sedarlah dia bahawa anaknya itu sedang bergurau. Ah, pelik sekali bila Syafiq bercanda begini. Tetapi, dalam hati Puan Marina tetap gembira. Syafiq benar-benar bukan Syafiq yang dahulu, yang tidak pernah bergurau senda dengannya. Segala-galanya yang keluar dari mulut hanya ungkapan pemusnah jiwa.
      Perlahan-lahan Puan Marina mengulum senyum. “Tak adalah. Kalau Fiq tinggal kat sini sampai bila-bila, lagi umi suka. Boleh temankan umi kat rumah ni. Tak payah langsung buat apa-apa.”
      “Tak payah buat apa-apa? Amboi, umi! Itu dah melampau namanya. Takkanlah Fiq nak tanam anggur aje kut?” Lagi Syafiq menyakat.
      Tuan Haikal, Aariz serta Dahlia yang sedang menonton tergelak. Hati masing-masing berbunga dengan rasa lega dan gembira, terutama sekali Tuan Haikal. Kini, barulah terasa rumah ini lengkap, tiada lagi lompong yang menandakan ketidaksempurnaan keluarga mereka. Dalam hati, dia tidak putus-putus mengucap syukur.
      ‘Ya Allah, aku berterima kasih dan bersyukur pada-Mu kerana Engkau telah mengembalikan anakku kepada kami sekeluarga.’
      “Ala, bukan selalu anak umi ni tanam anggur, kan? Sekali-sekala apa salahnya? Fiq tanam, umi harvest. Lepas tu kita makan sama-sama.” Selamba Puan Marina membalas.
      Terhambur tawa besar Syafiq. Sepasang matanya lembut menatap wajah manis Puan Marina. Melihat ibunya yang semakin sihat membuatkan dia berasa sangat bersyukur. Sepuluh tahun lamanya! Sepuluh tahun umi melawan kanser perut, tidak pernah kenal erti putus asa, tidak pernah juga berhenti berdoa pada Dia yang maha Kuasa, pemegang setiap nyawa di muka bumi. Dan kini setelah sepuluh tahun itu, umi disahkan bebas daripada tumor yang selama ini mengancam nyawanya. Benarlah! Manusia tidak akan meninggal dunia selagi belum tiba ajalnya. Walaupun bertahun-tahun sakit, jika Allah menitipkan bahawa ajal mereka belum sampai, tiada apa yang mampu memisahkan nyawa daripada sekujur tubuh.
      “Hari ni Fiq ada apa-apa plan ke?” Tuan Haikal menyoal setelah tawa mereka surut.
      “Petang nanti Fiq nak jumpa kawan. Kenapa, bah?” tanya Syafiq kembali dengan dahi yang berkerut. Ekor matanya menjeling pada Aariz dan Dahlia yang turut menetapkan pandang pada bapa mereka.
      “Tak adalah. Abah nak minta tolong sikit.”
      “Apa dia, bah?”
      “Basuh kereta kat luar tu.”
            Syafiq tergelak halus. “Isy, abah ni. Ingatkan apa tadi. Cara tanya tu, serius benar.”
            Lalu sekali lagi, ruang makan rumah milik Tuan Haikal bergema dengan gelak tawa yang membahagiakan.
*****
DARI atas beranda, Dahlia memandang anak-anaknya yang sedang menjerit diusik Syafiq. Bibirnya lebar dengan senyuman. Seronok benar nampaknya Adam dan Azfar bermain-main dengan bapa saudara yang pertama kali ditemui itu. Aduh, katanya mahu menolong Uncle Fiq membasuh kereta, tetapi yang kini terpampang di hadapan mata adalah Syafiq yang lencun dibasuh mereka.
      “Hello, pretty. Boleh ngorat?
      “Abang!” Terperanjat Dahlia dengan suara yang tiba-tiba menghentak gegendang telinga.
      “Sayang tengok apa?” bisik Aariz. Pinggang isterinya dipeluk dari belakang. Dagunya pula disangkut ke atas bahu kanan Dahlia. Itulah kebiasaannya sejak dahulu lagi, sejak awal perkahwinan mereka. Entahlah kenapa, tetapi dengan berbuat demikian, dia merasakan mereka dekat sekali, bagaikan sehati sejiwa.
      Dahlia membiarkan sahaja. Kenal sangat dengan perangai manja suaminya yang tidak sudah-sudah. Tangan kekar Aariz yang terletak elok di perut dipegang kemas, membalas rangkulan suami sendiri.
      “Abang buat apa kat sini? Bukan ke abang sepatutnya tolong dia orang basuh kereta?” Tanpa menjawab pertanyaan suaminya tadi, Dahlia menyoal kembali.
      “Oh, abang rindukan isteri abang ni.” Sekelipan bahu si isteri dikucup lembut.
      “Abang, Lia tanya betul ni,” gumam Dahlia.
      “Yalah, yalah. Abang saja nak tengok isteri abang ni tengah buat apa kat sini. Sedangkan semua orang kat bawah tu.”
      “Oh, itu…” Dahlia mengunjuk dengan menggunakan bibir.
      Anak mata Aariz mengikut arah cebikan bibir isterinya, dan kemudian melekat pada Darina yang sedang lena tidur di atas katil.
      “Merengek-rengek nak tidur. Letih main dengan abangnya lepas breakfast tadi kut. Abang pun tahu kan, perangai si kembar tu? Selagi adik kesayangan dia orang ni tak tidur, selagi itulah nak main-main, nak kacau.”
      Terangguk sekali kepala Aariz. Mendengar semua itu mengingatkan dia akan kebahagiaannya. Betapa bertuahnya dia dikurniakan sebuah keluarga sempurna yang tidak pernah lekang dek kasih sayang.
      “Sayang…”
      “Hmm…”
      “Sayang belum jawab soalan abang lagi, tau.”
      Dahlia mengerunyutkan dahi. “Soalan apa?”
      “Eh, dia ni! Dah lupa, ya? Abang tanya…sayang tengok apa tu?”
      “Oh...” Termalu sejenak Dahlia. Boleh pula hilang ingatan sekejap.
      “Syafiq ke?” teka Aariz.
      “Ha’ah. Saja tengok dia dengan anak-anak kita tu. Kasihan pula Lia tengok dia, teruk dikerjakan budak dua orang tu.” Bait bicara Dahlia yang lembut disusuli tawa halus. Geli hati juga melihat Syafiq dalam keadaan begitu. Lencun sambil mengejar Adam, manakala Azfar pula galak menyembur air.
      “Biarlah. Dia orang tu saja nak bermanja dengan bapa saudara sendiri. Lagipun….”
      “Lagipun apa?” sambung Dahlia kala bait bicara Aariz termati sendiri.
      “Syafiq tak pernah seseronok itu. Maksud abang, abang tak pernah tengok dia macam tu. Waktu kecil dulu pun, kita orang tak pernah…” Lagi tutur kata Aariz terhanyut di sebalik emosi berat yang tiba-tiba menyelinap masuk ke dalam diri. Ya, mengingatkan zaman kanak-kanak mereka berdua yang terlalu kompleks, jiwa Aariz kembali sebu dengan rasa bersalah dan tidak senang. Dia sebagai abang, tidak pernah langsung bermain-main dengan adiknya itu sedangkan Syafiq selalu ingin bermain dengan abang sendiri.
            Seketika suasana jadi hening. Aariz menyengap bersama memori lamanya. Dahlia pula membiarkan sahaja. Hanya sentuhan tangannya yang semakin hangat mengusap tangan encik suami. Bagaikan menyalurkan ketenangan dalam senyap.
      “Abang…” Setelah beberapa ketika mendiam, Dahlia akhirnya membuka mulut.
      “Hmm…”
“Ada orang yang Lia kenal tu kan…dia beriya-iya sangat nak adik dia lupakan benda yang dah lepas. Tapi dia pula yang asyik ungkit-ungkit. Tak reti langsung nak berhenti.”
      Terlopong mulut Aariz. Spontan dia melepaskan rangkulan, memusing tubuh Dahlia dan kemudiannya mencubit pipi mulus isterinya.
“Sindir abang, ya?”
“Mana ada!” Dahlia memuncungkan bibir dan mengjongket kening. Sengaja menayangkan riak muka nakal kerana mahu menghilangkan emosi berat yang berkeladak dalam hati suaminya.
“Hah, muncung lagi mulut tu. Abang cium karang…”
“Abang!” Dahlia mula menggelabah. Aariz ini pun satu, bukan nak tengok tempat dulu. Asyik mengusik sahaja kerjanya.
      Aariz menghamburkan tawa galak. Puas hati dapat menyakat isteri sendiri. Lebih lima tahun usia perkahwinan mereka, Dahlia tetap seperti dahulu. Comel dan manis. Saban hari rasa cinta buat satu-satunya wanita yang telah membuka hatinya ini bertambah dan bertambah. Malahan, dia tidak pernah berhenti berdoa agar rasa kasih dan cinta itu akan terus memekar indah.
      “Abang, dah-dahlah tu gelak. Tengok!” tegur Dahlia.
      “Apa?” soal Aariz di sebalik sisa tawanya.
      “Orang kat bawah dah tengok kita semacam.”
      Semerta Aariz melarikan pandang ke bawah. Tepat pada Syafiq, abah, Adam dan Azfar yang sedang tersengih-sengih memandang mereka. 
      “Oh, hai semua!!” Dengan lagak selamba Aariz melambai-lambai, lagak Putera William yang sedang melambai pada rakyat jelata dari balkoni Istana Buckingam.
      Dahlia membulatkan mata dan menyiku perut suaminya. “Eh, dia ni main-main pula!”
      Tanpa mempedulikan rasa senak di perut, Aariz menarik bahu Dahlia ke arahnya, memerangkap dalam satu rangkulan kemas.
      Lagi menjojol mata Dahlia. Pipinya kepanasan. Rasa segan dan malu pada mereka yang melihat jadi berlipat ganda.
      “I’m gonna miss you. A lot.” Tidak semena-mana Aariz berbisik lembut. Serius dan penuh emosi.
      Dahlia yang sedang cuba melepaskan diri daripada pelukan suaminya terkaku. Akal fikirannya mula dapat mengerti maksud kata-kata Aariz.
“Sebab tulah Lia…”
“Jom.” Belum sempat Dahlia menyudahkan kata, Aariz terlebih dahulu melepaskan rangkulan dan menarik tangannya. 
Dahlia membiarkan sahaja namun hatinya mengeluh kuat. Aariz selalu begini. Tidak mahu mendengar!
‘Sampai bila harus begini, abang?’ Sedetik suara hati Dahlia menyoal. Namun seperti selalu, dia hanya mampu tertanya-tanya dalam diam.
*****
DARI bawah, Syafiq melihat segala adegan mesra abang dan kakak iparnya dengan rasa ralat dalam jiwa. Entahlah, dia jadi agak cemburu. Tidak! Bukan cemburukan kebahagiaan abangnya, kerana dia sedar Aariz sudah terlalu banyak menderita sebelum memperoleh kebahagiaan itu. Cuma, dia cemburu kerana hatinya juga terdetik untuk merasa kebahagiaan sebegitu.
      Pasti seronok dan senang sekali punya seorang isteri yang sentiasa bersamanya, tidak kira susah senang. Yang selalu menghadiahkan ketenangan di kala hatinya dihambat kerisauan, yang selalu memberikan kekuatan buatnya saat dia hampir tersungkur dengan rasa lemah. Yang mungkin juga mengingatkan dirinya tentang soal agama dan sama-sama mendekatkan diri kepada Allah yang Maha Esa. Iya, seorang isteri.
      Terlepas keluhan dari mulut Syafiq. Kau ingat kau cukup layak ke untuk semua itu, Syafiq? Perempuan mana yang sanggup jadi isteri kau? Yang rela berkongsi hidup dengan manusia seperti kau ini?

~Bersambung...~

Share this:

ABOUT THE AUTHOR

Hello We are OddThemes, Our name came from the fact that we are UNIQUE. We specialize in designing premium looking fully customizable highly responsive blogger templates. We at OddThemes do carry a philosophy that: Nothing Is Impossible

0 comments:

Post a Comment