Pembuka Hati (Jodoh itu Milik Kita 2) - Bab 2 & Bab 3


BAB 2

KLIK!
      Butang playback ditekan sekali sebelum matanya dipusatkan pada skrin. Dahinya berkerunyut diselangi bibir yang meletuskan keluhan tidak puas hati. Foto yang terpampang di situ benar-benar tidak mampu menyerlahkan apa yang ingin dia paparkan. Syafiq kembali menebarkan pandangpada keadaan sekeliling. Kesibukan manusia-manusia yang bersimpang siur di kiri kanannya diabaikan sahaja. Malah langsung tidak diambil peduli.
Tidak jauh dari tempatnya berdiri, suatu pemandangan mula menangkap perhatiannya. Tanpa menunggu lama, dia terus sahaja memanahkan muncung kamera. Lensa zoom diputar beberapa kali, mencari optical zoom yang boleh memberikan hasil yang paling sempurna. Kemudian jari telunjuknya menekan butang pengatup.
      Seperti tadi, dia kembali melihat hasil kerjanya. Kali ini bibir separuh tipisnya tergaris dengan senyuman kecil. Gembira dan berpuas hati. Wajah anak kecil bermata bundar yang sedang menghulurkan sekeping not dolar Hong Kong kepada seorang nenek tua di jalanan yang sibuk telah pun dia interpretasikan melalui lensa kameranya.
      Kenaifan. Ketulusan. Itulah yang dia nampak. Di kalangan manusia yang membanjiri kawasan yang digelar Central Hong Kong ini, di mana masing-masing hanya peduli akan diri sendiri tanpa mengendahkan kemaslahatan seorang nenek tua yang sedang menagih simpati demi sesuap nasi, muncul tangan kecil yang menghulur tanpa meminta balasan. Malahan matanya bersinar penuh harapan dan kebaikan. Nampaknya di bumi Hong Kong ini, masih tersisa hati-hati mulia.
      Dua minggu lepas, sewaktu pertama kali menapak di sini, Syafiq akui agak terkejut dengan sikap sombong yang ditunjukkan oleh penduduk-peduduk di sini. Langsung tidak terpalit secebis senyuman di wajah mereka. Masing-masing hanya menjeling tajam padanya atau berpura-pura tidak melihatnya.
      Namun, untuk dia menyalahkan mereka seratus peratus adalah tidak adil. Syafiq tahu dan sedar kenapa mereka berperangai sedemikian. Lihat saja pada kemodenan yang ada. Pada bangunan-bangunan pencakar langit yang sangat rapat antara satu sama lain. Pada kesibukan hidup yang sangat pantas dan seperti tidak berpenghujung. Ya, inilah harga yang harus dibayar untuk semua itu. Kalau setiap hari hidup ini hanya berkisar kerja dan kerja demi kelangsungan hidup, tidak mustahil bukan untuk mereka kedekut dengan senyuman? Untuk mereka merasakan bahawa memaniskan muka itu hanyalah suatu pembaziran masa? Apatah lagi, Hong Kong memang terkenal sebagai salah sebuah negara yang sangat pesat membangun.
      Pernah juga dia dengar bahawa orang-orang Hong Kong bertindak begitu kerana mereka tidak reti akan bagaimana mahu berinteraksi dengan orang-orang yang tidak kelihatan seperti mereka. Pendek kata, orang yang bukan bangsa mereka! Mungkin mereka tidak berniat apa-apa yang menjengkelkan, tetapi kerana mereka adalah dari komoditi mono-society menjadikan mereka sedikit alah dengan orang luar.
Saat-saat beginilah yang membuatkan Syafiq terasa sangat bertuah dilahirkan di Malaysia, di sebuah negara yang berbilang bangsa, warna kulit dan kepercayaan. Celik-celik mata sahaja, rakyat Malaysia terus sahaja didedahkan dengan orang-orang yang pelbagai. Maka mereka tidak punya masalah untuk menerima seseorang yang kelihatan berlainan daripada mereka. Tidak ada istilah pelik dengan mata yang sepet, kulit yang sedikit gelap atau kepala yang bertudung.
      Sekonyong-konyong Syafiq tersenyum sinis. Dia? Tuan Syafiq Tuan Haikal punya tahap kefahaman yang begitu? Dia yang selama ini tidak pernah mencuba, malahan tidak pernah mahu memahami situasi atau sebab musabab bagi keadaan orang lain kini berfikir begitu? Positif begitu? Patriotik begitu? Woah, itu sangat menarik!
*****
Pada masa yang sama…

PETUNJUK ARAH yang berbentuk poster dengan pelbagai arah EXIT itu dikerling lewat ekor mata sebelum derap kakinya dilajukan. Tidak sabar rasanya mahu meloloskan diri dari laluan bawah tanah ini. Sesak sungguh dia berada di celah-celah mereka yang menghimpit dan berjalan pantas di kiri kanannya. Serius! Mana datangnya mereka semua ini? Rasanya Hong Kong bukanlah besar mana pun!
      Seusai memacakkan diri di Exit E Stesen MTR Central, Adra menggali nafas dalam-dalam. Kemudian dia memusingkan tubuh ke sebelah kanan, mengikut langkah mereka yang juga keluar sepertinya. Matanya tertala pada beberapa orang wanita separuh umur yang sedang menggilap kasut pelanggan di ruang kosong yang memisahkan antara dua bangunan. Di penjuru kiri, terdapat sebuah eskelator yang mungkin dikhaskan untuk pekerja mana-mana syarikat konglomerat berdekatan. Tidak jauh dari situ pula, kelihatan seorang anak muda sedang mengedarkan risalah pada orang yang lalu-lalang. Bersungguh-sungguh dia cuba mendapatkan perhatian orang ramai yang menonong tanpa menoleh sekali pun.
Inilah pemandangan biasa di waktu pagi di kota metropolitan Hong Kong, saat orang ramai mahu ke pejabat. Hanya ada satu sahaja perkataan untuk menggambarkan semua itu. Hectic! Kalau Kuala Lumpur sudah dikatakan sibuk, fikir banyak kali. Kuala Lumpur tidak setanding langsung dengan tahap kesibukan ini!
      Adra menarik baju sejuknya lebih rapat ke dada. Walaupun musim sejuk di Hong Kong tidaklah sampai menurunkan salji, tetapi kesejukannya tetap terasa. Lebih-lebih lagi saat angin menderu-deru. Mencucuk tulang! Kakinya diangkat. Sesekali dia memposisikan bahu ke kiri dan ke kanan bagi mengelak daripada terlanggar mana-mana manusia di sekelilingnya. Saat mendekati sebuah kedai pengantin, bebola matanya tidak semena-mena tertancap pada seorang lelaki yang sedang menangkap gambar. Walaupun separuh mukanya dilindungi oleh DSLR, tetapi kulit yang sawo matang itu membuatkan dia tampak terserlah di sebalik kulit-kulit yang putih melepak.
Malas untuk terus mengambil peduli, Adra berjalan melepasi lelaki itu dan melintas jalan. Pada masa yang sama, lelaki tersebut menegakkan tubuh dan memandang skrin kamera di tangan. Entah kenapa, Adra menoleh ke belakang.
Mungkin perasan diri sedang diperhatikan, leleki itu memusing kepala dan melihat tepat padanya. Adra tersentak lalu dia jadi kaku sendiri. Namun dia diselamatkan oleh sebuah tram yang melintas, menghalang pandangan mata lalu memisahkan mereka berdua.
*****
‘PEREMPUAN tu tengok aku ke tadi?’ Berkerut tebal dahi Syafiq memikirkan gadis yang dilihatnya tadi. Kepalanya ditoleh ke kiri dan ke kanan, mahu memastikan mungkin ada mana-mana lelaki kacak yang berdiri di sebelahnya.
Apa tidaknya, lelaki muda di Hong Kong ini tidak kurang menariknya. Sudah hampir menyamai rupa artis Korea yang kini menjadi kegilaan ramai. Kebanyakan daripada mereka punya kulit putih melepak, halus mulus, mata sepet tetapi tidak sesepet orang Cina dari Tanah Besar China, ketinggian yang boleh mencapai ketinggian seorang model, rambut hitam berkilat yang terpacak-pacak dan dipadankan pula dengan fesyen yang kemas dan macho. Kekacakan dan ketampanan itu memang tidak boleh dinafikan.
      ‘Gila kau, Syafiq! Puji lebih-lebih tu apasal? Dah macam gay pulak!’ marah Syafiq pada diri sendiri. Tersedar diri sudah menyimpang jauh. Isy, elok-elok saja berfikir tentang gadis tadi, boleh pulamelalut hingga ke lelaki-lelaki Hong Kong. Memalukan saja!
      Ingatan Syafiq kemudian kembali pada gadis tadi. Rupanya yang bertudung di kalangan semua wanita lain membuatkan Syafiq laju sahaja memusatkan pandang padanya. Dia jadi tertarik. Dan yang lebih menarik perhatiannya adalah intuisinya. Ya, dia perasan dan berasa agak yakin bahawa gadis itu sedang memerhatikannya. Tapi, kenapa pula? Adakah terdapat sesuatu yang tidak kena padanya? Atau…mungkin mereka kenal antara satu sama lain?
      ‘Ah, mengarut saja kau, Syafiq! Siapa yang kenal kau di Hong Kong ini, melainkan si Zakri?’ Cepat-cepat Syafiq menghambat kemungkinan yang satu itu. Ya, inilah kali pertama dia menjejakkan kaki di sini, jadi masakan pula ada mana-mana manusia yang mengenalinya.
*****
“OH, GREAT! Mana pula Octopus Card aku?” Kelam kabut Adra cuba mencari Octopus Card miliknya di celah-celah beg sandang. Rasanya tadi sewaktu turun di Stesen Central, telah pun dia letak dan zip di poket kedua.
‘Isy, time macam nilah dia nak buat hal!’ gerutu Adra dalam hati sambil mendekati mesin tiket. Ah, malas sungguh dia menggunakan mesin ini. Kalau sudah punya kemudahan Octopus Card yang boleh dia gunakan sepanjang berada di Hong Kong, kenapa mahu menyusahkan diri beratur, menekan-nekan mesin dan menanti tiket itu keluar?
“Kalau betul-betul hilang, melayang pula duit deposit aku. Ingat 50 dolar tu murah ke?” Adra mula membebel kuat. Langsung tidak mengendahkan orang di sekeliling yang tidak faham akan bahasa Malaysia.
Fikirannya berlegar pada Octopus Card yang masih punya baki HK$100. Cukup untuk membawa dia ke merata-rata tempat selama seminggu di sini. Kalaulah kad tersebut betul-betul hilang, terpaksalah dia mengubah kembali segala perancangannya supaya bersesuaian dengan belanjawan yang telah dia tetapkan. Malas dia mahu meminta-minta wang daripada Daiyan. Lagipun sudah terlalu banyak dia terhutang budi pada lelaki itu.
Selesai menekan-nekan butang mesin, Adra membuka dompet. Matanya buntang seketika. Eh, tak ada duit kecil pula. Haish! Apa yang aku malang sangat ni?
Teraba-raba Adra cuba mengorek-ngorek dompet kecilnya. Manalah tahu ada syiling yang terlekat di celah mana-mana. Sedang Adra terkapai-kapai begitu, ekor matanya menangkap kelibat seseorang di sisi. Kemudian muncul sebelah tangan kekar yang memasukkan beberapa keping syiling ke dalam slot sebelum menekan butang ‘finish’. Sekeping tiket meluncur keluar.
“Here.” Tiket tersebut dihulurkan padanya.
Adra menatap tiket di hadapan mata tanpa reaksi. Wajahnya serius tanpa seraut kemanisan. Matanya garang berprasangka.
Tercetus keluhan dari bibir lelaki asing di hadapannya sebelum dia kemudiannya menarik pergelangan tangan Adra dan meletakkan tiket tersebut ke atas telapak tangan. Adra memanggung kepala kepada manusia yang sesuka hati sahaja menyentuhnya. Sesaat dia terkedu. Lelaki tadi!
Seperti dirinya, lelaki tersebut turut memaparkan wajah serius lagi bersahaja. Pandangan matanya tajam seakan-akan punya kuasa untuk membaca isi hati orang lain. Tanpa seurat bicara, lelaki itu kemudiannya memusing tubuh dan berlalu pergi, meninggalkan Adra bagaikan manikin di situ.
“Hei!”
Laungan Adra berkumandang, lantas mematikan langkah sang jejaka. Tanpa menunggu lama, Adra mendekat dan terus sahaja menujah dada lelaki tersebut. Dengan raut muka yang jelas tergamam, lelaki itu memegang sekeping not wang yang melekat pada dada bidangnya. Dahinya pula terbentang dengan kerutan yang nyata bukan sedikit.
“Tiket.” Pendek kata-kata Adra. Cukup mendatar.
“No…”
“Nothing is free in this world.” Belum pun sempat lelaki tersebut mengatakan apa-apa, Adra terlebih dahulu memintas. Kemudian dia berpaling pergi.
“Hei!”
Kali ini dia pula yang diseru. Adra memakukan kaki ke lantai. Dari hujung mata, dia dapat melihat gerak langkah lelaki itu yang semakin merapati, sehinggalah tubuhnya diposisikan betul-betul di hadapan muka Adra. Wajah maskulinnya ditundukkan sedikit agar sama aras. Hidung hampir bertemu hidung. Mata bersabung mata.
“How about…a thank you? A simple terima kasih.” Kala meledakkan bicara, not wang diletakkan kembali ke dalam tangan Adra yang dibaluti sarung tangan.
Adra menarik senyum sinis. Thank you? Terima kasih? Huh, apakah ucapan itu mampu untuk melenyapkan budi yang mungkin akan diungkit-ungkit kembali? Tidak mungkin!
 “Terima kasih tak ada gunanya dalam dunia ni. Apa yang kau bagi, aku akan balas. So, kosong…kosong.” Adra membalas dalam bahasa ibunda, sedar lelaki di hadapannya adalah orang Malaysia.
Not bertukar tangan sekali lagi. Kali ini Adra menapak pergi tanpa sekali pun menoleh lagi. Langsung dia tidak mengendahkan lelaki yang termangu dan memandangnya jauh dengan seribu satu persoalan.
*****
“SO, dapat shot best-best tak hari ni?”
      Pertanyaan Zakri, sahabat yang dikenali waktu dia di Tuscany dahulu dibiarkan berlalu bersama angin malam. Benak fikiran Syafiq masih lagi berlegar pada gadis yang ditemui siang tadi. Entahlah, dia juga kurang mengerti. Mengapa seolah-olah sukar untuk dia menepis bayangan itu pergi? Kenapa suara itu tetap terngiang-ngiang di celah telinga? Dan yang paling penting, kenapa perempuan itu seperti mengingatkan dia akan dirinya sendiri?
      Ya, kasarnya dia, sinisnya dia, kerasnya dia…bukankah itu semua karakter Tuan Syafiq Tuan Haikal?
      “Hoi! Aku tanya ni. Bukannya nak tengok kau mengelamun macam orang mati bini!”
      Terhentak Syafiq mendengarkan sergahan Zakri yang nyaring. Dia merengus sedikit dan mencerlung.
“Perlu ke kau ungkit-ungkit pasal mati bini bagai? Mulut cabul sungguh…” gumam Syafiq sambil meletakkan beg kameranya ke atas meja di suatu sudut hotel. Yessinn Hotel yang terletak di Fortress Hill ini memang sempit dan kecil. Tetapi itulah standard hotel di Hong Kong. Kecil dan mahal. Bilik kecil yang elok-elok memuatkan dua orang penginap bersaiz sederhana boleh memakan harga sehingga RM300 semalaman.
Di sini, dia dan Zakri berjaya mendapatkan harga RM180. Boleh dikira murah berbanding hotel-hotel lain. Mungkin kerana kedudukan Yessinn Hotel yang agak jauh dari Central atau Mongkook yang biasanya menjadi tempat tumpuan para pelancong.
“Tak adalah. Dah aku tengok kau ni semacam aje…” ucap Zakri seraya menyedut mi segera yang siap dimasak. Berselera sungguh dia menikmati setiap helai mi yang menyusup masuk ke celah-celah kerongkongnya.
“Tak ada apa-apalah.” Syafiq membalas sambil menyelak keluar baju T-shirt yang menyaluti tubuh. Rimas setelah seharian di luar. “Aku cuma berfikir saja tadi.”
“Pasal apa?”
Syafiq mengerling sekilas pada Zakri yang menyoal bersama celah-celah mulut yang penuh dengan mi segera. Buruk sungguh perangai!
“Adalah.” Malas Syafiq untuk memberitahu apa-apa. Tambahan pula, dia bukanlah jenis manusia yang suka berkongsi rasa dengan orang lain. Biarlah pertemuan tadi dirahsiakan sahaja. Lagipun, mungkin pertemuan itu bakal menjadi yang pertama dan terakhir. Ya, kemungkinan untuk mereka bertentang empat mata sekali lagi di kalangan ramai-ramai manusia di bumi Hong Kong ini adalah amat tipis.
           ‘Dahlah tu, Syafiq! Kau tak payah fikir pasal dia lagi. Tak mungkin kau akan jumpa dia lagi. Mustahil!’


*******


BAB 3

MUSTAHIL? Nampaknya tiada apa yang mustahil dalam dunia ini. Tika Allah menitipkan kun faya kun, maka jadilah sesuatu itu mengikut aturan-Nya.
Dua tahun! Dua tahun lalu mereka bertemu dan kini setelah dua tahun itu, sekali lagi dia bersabung mata dengan gadis ini. Gadis yang rupa-rupanya tidak pernah mampu dihambat bayangannya. Sungguh, dia tidak pernah menjangkakan bahawa di suatu sudut kotak memorinya, setiap inci muka gadis ini masih lagi terlekat kemas. Fikirnya, wajah ini sudah pun dilenyapkan sama sekali. Namun ternyata dia silap. Sebaik sahaja mereka bertentang muka, automatik sahaja pertemuan yang cuma seketika itu menjelma kembali ke dalam akal fikiran. Aneh! Cukup aneh.
“It’s you? Apa yang kau merepek ni? Aku tak kenal kaulah!”
Jerkahan yang menghentak gegendang telinga pantas membentuk senyuman tawar di hujung bibir Syafiq. Haruslah dia tidak dikenali. Hanya dengan pertemuan sebegitu, mustahil gadis ini masih mengingatinya.
“Saya…”
“Hei, kau dengar sini. Aku tak ada masa untuk layan orang gila macam kau. Dahlah kerana kau, jantan keparat tu lepas!”
Tersentap kuat Syafiq mendengarkan tengkingan gadis di hadapannya. Berderau air mukanya. Terasa sungguh tercabar. Ditambah pula dengan beberapa pasang mata yang mula memandang dan berbisik sesama sendiri. Ah, ego lelakinya bagai dipijak-pijak.
“Awak dengar dulu, boleh tak?” Syafiq cuba berkompromi sedaya mungkin, walau hatinya semakin menggelegak dengan larva kemarahan.
“Dengar apa? Dengar cerita macam mana kau ni pekak sangat masa aku suruh ke tepi tadi? Sampaikan aku tak berjaya kejar dia? Macam tu?!”
Telinga Syafiq berdesing. Tingkah gadis itu semakin menipiskan tahap kesabarannya. Sudahlah dia sendiri bukan baik orangnya, disimbah pula dengan tengkingan begitu. Kalau silap perhitungan, meletup Tuan Syafiq Tuan Haikal yang lama, yang bisa menjadi seorang manusia bertunjangkan kekejaman. Ah, perempuan ini benar-benar tidak kenal siapa aku dan apa yang aku mampu lakukan!
“Oh, sekarang salah saya pula? Awak yang tak tengok dulu mana nak pergi tu tak salah?” Kali ini Syafiq membidas kembali.
“Hei, suka hati akulah nak ke mana pun! Kau tu…” Muka Syafiq dituding dengan jari telunjuk. “Jangan cuba halang jalan.”
Lagi Syafiq tergamam melihatkan sikap kurang ajar gadis ini. Namun untuk sekejap cuma, kerana selepas itu dia senyum sinis. Perempuan ini memang sama. Terlampau sama dengan dua tahun lepas. Kasar. Dingin. Keras.
“Kenapa? Aiport ni bapak awak yang punya?”
Terserlah air muka gadis tersebut yang berubah. Rahangnya terketap-ketap, seakan-akan menahan amarah.
“Kau…jangan melampau.”
Lagi bibir Syafiq tersungging dengan senyuman maha sinis. Sarkastik! Keningnya dijongket sebelah.
“Siapa yang melampau kat sini? Saya atau awak yang terlolong-lolong macam hantu, tengking saya depan semua orang? Hah?” desis Syafiq dengan suara yang sangat mendatar.
Bulat mata gadis di hadapannya. Mungkin rasa terkejut. Mungkin rasa terhina dengan tutur katanya. Tetapi, ada dia kisah? Huh, perempuan serupa ini…kasarnya sudah mengalahkan anak jantan.
“Kau…”
“Awak tak perlu susah-susah sakitkan jiwa awak dengan marah saya. I’m leaving.” Sebelum sempat bicaranya habis, Syafiq terlebih dahulu mencantas lantas mengangkat kembali kakinya. Namun fikirannya tiba-tiba ditujah sesuatu. Automatik dia mematikan langkah dan berpaling semula.
“By the way, nah!” Selamba Syafiq menarik pergelangan tangan kiri gadis itu dan menujah telapak tangannya dengan sekeping not RM20.
“Duit baki. Saya tak nak terhutang pada awak. Kenapa? Sebab…apa yang kau bagi, aku akan balas. So, kosong…kosong.” Kata-kata yang pernah dilemparkan padanya diulang kembali. Kemudian Syafiq memaling tubuh dan berlalu pergi. Riak wajah tanpa emosi terpancar di segenap muka.
Pergi! Ya, dia harus cepat pergi dari sini sebelum dia semakin dicucuk dengan rasa geram dalam jiwa. Sebelum dia kehilangan azamnya untuk menjadi lebih baik tadi. Sebelum dia kembali menjadi Syafiq yang bisa membunuh seseorang dengan kekejaman kata dan perilakunya.
*****
PEDAL minyak Suzuki Swift milik Soraya ditekan kuat-kuat. Sesekali dia menyelit ke kiri dan ke kanan, melintasi kereta-kereta lain yang menyusuri Lebuhraya Elite. Merapati MUFORS Gallery, Adra memperlahankan sedikit kereta. Bukan dia tidak tahu kamera perangkap had laju yang seringkali dipasang di situ. Setelah memastikan jarak selamat, sekali lagi dia memecut laju. Hatinya yang benar-benar membara bergerak seiring dengan jarum di dashboard yang sudah menunjukkan 130km/jam.
      “Arghh!!! Bangsat! Kau memang jantan bangsat, Nizam!!!”
      Suara lantang Adra membelah lebuhraya. Turun naik dadanya bersama dengusan nafas yang berkempul-kempul kasar. Genggaman pada stereng jadi semakin kuat dan mencengkam, sehingga dapat dia rasakan hujung kukunya yang semakin mencucuk-cucuk telapak tangan. Tetapi, dia tidak peduli. Ah, persetankan saja rasa sakit yang secebis ini! Kerana apa yang bersarang dalam hati dan jiwa kontangnya adalah beribu-ribu kali ganda lebih perit.
      “I guess kau dah kembali. Lama kau lari, kan? Huh, kau ingat kau boleh lepas macam tu saja? Aku akan pastikan kau melutut di kaki aku nanti.” Keras suara Adra yang dipanculkan dari sebalik bibir yang terherot dalam senyuman sinisnya.
      Namun pelik! Apa yang tercetus itu langsung tidak selari dengan reaksi tubuhnya yang bergetar kuat. Adra menggigit bibir, menahan diri daripada terus menggeletar. Tidak! Dia tidak takut! Dia tidak mungkin takut pada manusia keparat itu!
      “Ah!! Kau ni kenapa, Ara?!”
      Drastik, Adra membelok ke kiri. Berdecit bunyi tayar kereta di sisinya yang terpaksa membrek secara mengejut. Bunyi hon saling sabung-menyabung, menandakan keadaan di jalanan yang mula kelam-kabut.
      “Hoi!!! Gila ke?!”
      “Nak mati ke?!!”
       Kuat jerkahan daripada beberapa pemandu lain. Namun Adra hanya memekakkan telinga. Langsung tidak ambil peduli akan sumpah seranah yang bertubi-tubi padanya. Malahan, selamba sahaja dia memberhentikan kereta di tepi lebuhraya. Kepalanya dijatuhkan ke atas stereng, masih tetap dengan bibir yang diketap-ketap. Air jernih yang bertakung di tubir mata ditahan-tahan agar tidak merembes keluar.
      “Kau tak boleh jadi takut, Ara. Tak boleh! Dia…dia yang patut menderita, bukannya kau! Dia yang patut jilat balik atas apa yang dia dah buat pada kau. Kau faham tak?!”
*****
“TAK PADAN dengan perempuan. Bawa kereta macam pelesit!”
      Birai mata Syafiq dilirik pada Suzuki Swift yang kini tersadai di tepi lebuhraya. Bebelan pemandu Airport Limosine yang dinaikinya dibiarkan tanpa balasan. Dalam hati, dia beristighfar berkali-kali. Terkejut juga dia dengan tindakan pemandu tadi. Seperti tidak sayangkan nyawa saja. Apa sudah lama hidup di dunia ini? Atau sudah bersedia menghadap hisab Allah?
      Dalam Syafiq bermonolog sendiri, fikirannya kembali berlegar pada pemandu wanita tersebut. Macam pernah dilihat saja? Kasar, ganas dan tidak reti takut. Eh, sekejap! Bukankah itu….
      Pap! Syafiq menepuk dahi. Ah, apalagi yang tak kena dengan dia tu? Dari Hong Kong hinggalah ke Malaysia, mahu tunjukkan perangai ganas? Malahan sekarang dah makin melampau dan mahu tunjuk gangster di jalanan pula? Harap imej sahaja yang bertudung manis, tetapi perangai macam orang gila. Huh, memang dasar perempuan pelik!


~Bersambung...~

Komen sangat2 dihargai. TQ. =)

Share this:

ABOUT THE AUTHOR

Hello We are OddThemes, Our name came from the fact that we are UNIQUE. We specialize in designing premium looking fully customizable highly responsive blogger templates. We at OddThemes do carry a philosophy that: Nothing Is Impossible

2 comments: