[Mininovel Limited Edition] Dendam Bersulam Cinta - Bab 3


BAB 3

“SEPERTI yang semua sudah lihat dan tahu, Megah Panji sekarang sudah memiliki saham terbesar Ariada Corporation. So basically, we own this company.”
            Keras segala urat sendiku. Setiap patah kata, perdebatan, bidasan atau apa-apa sahaja yang terpancul keluar dari mulut ahli jawatankuasa lain dalam mesyuarat lembaga pengarah langsung tidak aku ambil peduli. Yang aku tahu cuma satu. Dia. Dia yang bernama suami. Dia yang bernama Amsyar. Wajah selambanya aku tenung bagaikan mahu membahamnya hidup-hidup.
            “Dan sekarang saya akan bertindak sebagai proxy kepada Tan Sri Abdullah, CEO Megah Panji. Apa-apa pun keputusan atau tindakan yang mahu diambil oleh Ariada Corporation, perlu melalui saya terlebih dahulu.”
            Tidak sekali pun Amsyar melarikan anak mata daripada terus-terusan memandang aku. Daripada lagaknya, aku tahu dia mahu mencabar. Dia mahu mengatakan bahawa dia sekarang sudah berjaya merampas Ariada daripada papa. Dia sudah pun merampas syarikat kesayangan papa di hadapan mata aku sendiri. Amsyar tidak perlu bersusah payah masuk ke dalam syarikat dan membunuh dari dalam. Sebaliknya dia bekerjasama dengan Megah Panji, sekutu perniagaan papa sejak berzaman lama. Aku tahu, keupayaan Amsyar dalam menganalisa ekonomi dan kewangan yang membolehkan Tan Sri Abdullah menyusup masuk.
            Arghh!! Semua ini salah aku. Aku sebagai pengarah pengurusan dan wakil papa sewaktu ketiadaan papa sepatutnya lebih berhati-hati. Langsung aku tidak dapat meneka apa-apa kala syer syarikat dijual-beli. Fikirku, itu cuma transaksi biasa. Rupa-rupanya, itu semua adalah kerja bawah tanah Megah Panji yang membentuk syarikat atas angin untuk mendapatkan saham syarikat.
            Aku juga terlalu memikirkan soal rumah tanggan hingga mengabaikan urusan syarikat. Apa yang ada dalam akal fikiranku cuma Amsyar, Amsyar dan Amsyar. Sekarang apa sudah jadi? Amsyar yang sama ini sudah pun mendapat apa yang dia mahu!
            “Sekian, terima kasih.”
            Seusai mengucapkan terima kasih, Amsyar bangkit dari duduknya. Aku membuat perkara yang sama. Beberapa orang ahli lembaga pengarah yang cuba menahan dan memohon penjelasan daripadaku, tidak langsung aku pedulikan. Semuanya ditolak ke tepi sahaja, sebaliknya kakiku laju membuntuti setiap derap langkah Amsyar.
            “Amsyar!”
            Dia mematikan langkah ke lantai. Aku berlari-lari anak dan menarik bahunya agar menghadap. Kepalaku dipanggung tinggi. Terasa berapi anak mataku saat ini. Dadaku berombak laju menampung desah nafas yang laju.
            “Ini ke yang kau maksudkan?”
            Amsyar menjongket bahu. Wajah sinisnya terpampang di segenap muka.
“Apa?”
            “Ayah kesayangan kau akan mula faham maksud kehilangan.” Aku mengulangi kata-kata Amsyar beberapa malam yang lepas.
            Tangan kanan Amsyar naik dan mengusap kepalaku. Mukanya ditunduk sedikit agar elok-elok berada di sebelah pipi.
            “Pandai pun isteri aku yang seorang ni.”
            Berdesing telingaku. Dengan cukup kasar aku menepis tangannya.
            “Kau fikir aku akan biarkan saja? Kau fikir aku takkan buat apa-apa untuk dapatkan balik hak kami?”
            Amsyar menghambur tawa sinis. “Hak? Jangan senang-senang menyebut tentang hak, kalau kau tak tahu apa itu hak.”
            Aku mengetap bibir dan merenungnya tajam. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja aku memekik-mekik memarahi lelaki ini. Tetapi aku masih punya air muka yang harus dijaga. Aku tidak akan sewenang-wenangnya membiarkan orang lain melihat aku hilang kawalan. Lebih-lebih lagi di hadapan Amsyar.
            “Jannah…Jannah, apa kata kau diam saja? Dan terima apa yang berlaku. Semua orang kat sini tahu yang aku ni…” Amsyar mendabik dada dengan gaya angkuh. “Adalah suami kau. Dia orang akan anggap yang kau memang dah berpakat dengan aku. So anggap saja ini adalah joint venture antara Ariada dan Megah Panji. It’s a win-win situation.”
            “Win-win situation kepala otak kau! Tan Sri Abdullah tu, dari dulu lagi mahukan Ariada. Dia nak monopoli dunia hartanah Malaysia.” Kasar sekali aku membentak. Hilang sudah kelembutan yang selama ini menjadi imejku.
            Lagi Amsyar ketawa besar, seolah-olah baru sahaja mendengar lawak yang paling kelakar.
            “Alahai, isteriku sayang. Kenapalah kasar sangat bercakap ni?” Tangan kanan Amsyar melekat di pinggang.
            “Lepaslah!” marahku di sebalik gigi yang terkacip-kacip. Ekor mataku melihat-lihat orang-orang sekeliling yang mula memandang.
            “Mana boleh aku lepaskan? Aku nak tengok muka marah kau dengan lebih dekat.”
            Kepalaku terlangut terus ke mukanya. Renunganku tajam berdesis.
            “Great! Inilah muka yang aku nak tengok. Baru puas hati aku,” tutur Amsyar dengan muka yang cukup jelik.
            Nafasku berdengus kuat. Berang! Manusia yang seorang ini memang…memang…arghh!!!
Aku akhirnya hanya mampu menjerit dalam hati.
            “Amsyar!!!”
            Terlepas dengusan kecil dari mulut Amsyar. Pelukannya dilepaskan. Perhatiannya pula terkalih pada sang pemilik suara. Aku turut mengambil tindakan yang serupa. Pandangan mata terpaku pada seorang gadis yang meliuk-lentuk berjalan ke arah kami.
            Khayla. Itulah namanya. Teman sekerja Amsyar. Sejak dari awal lagi, aku sangat tidak berkenan dengan perempuan ini. Apa tidaknya, sewaktu aku dan Amsyar bercinta dahulu, dia selalu sahaja menyibuk sama. Kata Amsyar, Khayla tidak punya apa-apa niat. Tetapi aku seorang wanita. Mata dan firasat wanitaku tidak berbohong kalau aku merasakan bahawa Khyala mengharapkan sesuatu yang lebih daripada Amsyar.
            Dan kini wanita gedik ini sedang elok memegang lengan suamiku.
            “Apa you buat kat sini?” tanya Amsyar. Hujung matanya terkerling-kerling padaku. Sebelah tangan cuba menepis tangan Khayla.
            Sebu. Sebal. Hampir muntah aku melihat segala adegan di hadapan mata. Huh, tak perlulah kau berlakon, Amsyar. Tak perlu mencuba untuk menolak-nolak tangan itu.
            “I just want to congratulate you. You kan dah one step closer to your agenda.” Dengan lagak manja, Khayla menjawab. Matanya tidak lepas daripada memandangku. Nampak sangat mahu memprovokasi. Atau lebih tepat lagi, Khayla tahu tentang rahsia di sebalik perkahwinan kami!
            Aku mengalih mata ke muka Amsyar.
            “She knows everything, right?” Bergetar suaraku saat menyoal.
            “Ana, aku…”
            Pantas aku mengangkat telapak tangan. Tidak mahu mendengar. Tubuhku dipusing mahu meninggalkan dua orang malaun yang seronok mempermain dan mentertawakan aku. Namun pergelangan tanganku terlebih dahulu ditaut. Aku menoleh separuh. Amsyar sedang cuba berkata-kata. Lengannya tidak lagi berada dalam genggaman Khayla. Wanita itu kelihatan merungut-rungut sendiri.
            “Apa kau nak?”
            “Bukan…bukan semua yang dia tahu.”
            Terbentang senyum herot di bibirku. Meluat sungguh melihat Amsyar cuba menjelaskan apa yang sudah terang lagi bersuluh.
            “Bukan semua? Habis tu, apa yang dia tak tahu? Bahagian kau paksa aku? Bahagian kau ragut harga diri aku sesuka hati kau? Bahagian tu?” Aku menembak Amsyar dengan persoalan demi persoalan. Suaraku tertahan-tahan, antara mahu meledakkan semuanya kuat-kuat dan menyembunyikan rahsia rumah tangga.
            Pantas Amsyar menarik tubuhku lebih rapat. Aku tersembam dekat dengannya. Urat tegang dapat kulihat dengan jelas di muka lelaki itu. Menyinga!
            “Kalau kau bangga sangat dengan apa yang dah jadi sekali pun, tak perlulah kau hebohkan pada semua.”
            “Kenapa? Kau tak nak orang tengok kau sebagai perogol? Macam tu?” bidasku berani. Ah, saat ini aku sudah tidak mampu berfikir apa-apa lagi. Yang aku tahu cuma betapa bencinya aku pada Amsyar dan Khayla.
            “In case kau dah lupa, aku suami kau.”
            Aku tersenyum sinis.
“Yeah, right. Suami dayus yang cuma dapatkan isteri dengan cara paksa.”
            “Kau…”
Cengkaman Amsyar semakin mencucuk-cucuk bahu. Aku menyeringai dalam diam. Renungan matanya yang tajam dibalas tanpa rasa gentar. Kau tersilap langkah, Amsyar, kalau kau fikir begitu mudah untuk memijak-mijak aku!
“Amsyar, sudahlah tu. Orang dah tengok. Jom pergi. Jangan pedulikan orang gila ni.”
Suara nyaring Khayla memecah ketegangan. Sedar-sedar sahaja dia sudah pun terpacak di sisi Amsyar. Masih dengan lagak angkuh yang sama. 
Amsyar merengus kuat. Separuh kasar dia melepaskan tangan dan menolak aku sedikit ke belakang.
“Jom pergi, Khayla.”
Lalu dengan bicara pendek itu, dia menapak pergi. Tanganku terkepal kuat dalam usaha menayangkan muka bersahaja. Tidak sekali pun aku membiarkan bahu yang tegak jatuh ke bawah. Walaupun pada hakikatnya aku lemah, tetapi aku tetap mahu berlakon kuat. Nurul Jannah Dato’ Johari adalah orang yang kuat. Dan dia akan kekal begitu.
*****
“APA SEMUA NI?!”
            “Papa, Ana…”
            “Papa biarkan Ana uruskan Ariada bukan untuk jatuh ke tangan orang lain. Lebih-lebih lagi Tan Sri Abdullah!” Kuat sekali suara papa menengking di hujung talian. Dahi dan telapak tanganku terasa berpeluh.
            “Ya, papa. Ana…Ana tahu. Ana akan…”
            “Akan apa? Apa lagi yang Ana mampu buat? Cuba dapatkan saham-saham lain? For God’s sake, Nurul Jannah. Dia dah jadi pemegang saham terbesar! Kita bukan lagi pemilik Ariada. Huh, you’re such a disappointment.”
            Berkaca-kaca mataku mendengarkan kata-kata terakhir papa. Hatiku terasa pilu. Tetapi untuk aku menidakkan semuanya, aku tidak mampu. Bagaimana mungkin aku berbuat demikian sedangkan hakikatnya, aku memang sudah pun mengecewakan papa.
            “Ana…Ana minta maaf, papa. I’m so sorry.” Akhirnya sekadar itu sahaja yang termampu aku titipkan. Maaf yang tiada penghujung.
            “Huh, maaf tak ada gunanya. Apa yang papa nak sekarang, Ana kena cuba pulihkan keadaan. Tak kira apa yang Ana cuba buat, papa mahu semuanya selesai. Faham?”
            Aku mengangguk-anggukkan kepala. “Faham, pa.”
            Klik!
            Aku menjauhkan telefon bimbit dari telinga. Seakan-akan terbayang wajah marah dan kecewa papa. Pasti papa berasa sangat sedih atas apa yang sudah berlaku. Bertahun-tahun lamanya papa membina empayar Ariada, tetapi hanya dalam sesaat sahaja aku memusnahkan segala-galanya. Iya, saat aku jatuh cinta kepada Amsyar dan menjerumuskan diri ke dalam sebuah permainan dendam yang menyebalkan.
            “Ayah kau?”
            Mataku dikedip sekali, menghalang mutiara jernih yang menanti saat untuk gugur. Kemudian lewat ekor mata, aku melirik ke arah tubuh tegap Amsyar yang tercegat di hadapan pintu bilik bacaan.
            “Apa dia cakap?”
            Aku berpaling, menyilang tangan ke dada dan menyandarkan tubuh ke meja kerja.
“Soalan jenis apa yang kau tanya ni? Kau fikir papa akan cakap congrats pada aku? Selepas aku jahanamkan perniagaan yang dia bina selama ni?”
“Correction. Itu bukan pernigaan yang dia bina.”
            “Habis tu, siapa? Toyol?”
            Amsyar senyum herot. Setapak demi setapak dia merapati dan akhirnya terpacak betul-betul di hadapanku. Kedua-dua belah tangannya dilekapkan ke sebelah kiri dan kananku, lalu memerangkap aku dengan tubuhnya.
            “Kau memang kasihan, kan? Tak tahu apa-apa.” Antara dengar tak dengar, Amsyar berbisik. Seperti biasa, nada suaranya mendatar tanpa emosi.
“Then, tell me. Bagitahu aku! Aku rasa aku ada hak untuk tahu sebab musabab kepada semua ini. Kenapa kau buat aku macam ni? Kenapa kau berdendam sangat pada papa?!”
“Kenapa pula aku yang kena bagitahu? Kenapa kau tak tanya pada ayah kesayangan kau tu?”
“Aku…” Suaraku tenggalam sendiri. Lidahku tiba-tiba kelu.
“Sebab kau tak sanggup dengar jawapannya? Sebab kau takut kalau kau tahu hal sebenar, kau akan sedar yang aku tak salah? Yang aku berhak untuk buat apa yang aku dah buat ke atas kau? Yang kau memang patut balas balik atas apa yang sudah berlaku? Macam tu?!”
Aku membungkam terus. Bait bicara itu, aku akui dalam diam. Ah, Amsyar…sejak dari dulu lagi, lelaki ini mampu membaca setiap gerak geriku. Apa yang aku fikirkan dan apa yang aku rasakan. Di hadapan dia, aku tidak ubah seperti sebuah buku yang terbuka luas.
“Jadi sebab itu, kau akan hadapi semua ini tanpa tahu apa-apa. Biar kau balas semuanya dalam buta.”
“Sampai bila?” Ada rasa luluh yang terselit dalam nada suaraku.
“Sampai aku puas hati.”
“Bila pula masanya kau akan puas hati?”
“Aku…” Amsyar menghentikan kata di sekerat jalan. Di mataku saat ini, dia tampak bingung sendiri.
“Kau tak ada jawapan, kan? Sebab hati kau dah terlalu biasa dengan kebencian, dah terlalu selesa dengan dendam,” putusku sendiri. Dadanya kutolak ke belakang agar memberi ruang untuk aku bebas bergerak. Tidak tegar berlama-lamaan menghadap muka suami yang mahu berperang ini.
“Kau tak layak untuk judge aku.”
Sekonyong-konyong suaranya bergema lagi. Kaki yang baru setapak mengorak langkah kembali pegun. Tubuhku kaku membelakangi dia.
“Walau macam mana sekali pun cara aku hidup, walau apa pun yang ada dalam hati aku, kau adalah manusia yang paling tak layak untuk cakap apa-apa.”
“Dan sememangnya walau apa pun aku cakap, kau takkan dengar dan takkan pernah mahu dengar. Kau dah tulikan telinga dan butakan mata kau.” Pedas sekali jawapan yang aku tuturkan. Aku sedar dia akan marah, tetapi aku sudah tidak peduli lagi. Biarkan sahaja!
Atau…mungkin juga aku patut peduli. Kerana kini aku sedang elok menghadap muka garangnya. Tadi, seperti kilat dia muncul di hadapan dan menghadang muka pintu. Punat tombol ditekan sekali, menandakan betapa aku terperangkap di sini. Bersama sang naga yang menanti saat untuk menghambur amukan.
‘Tolol, kau memang tolol, Jannah! Kenapa mahu simbah minyak pada api?’ Sempat aku mengutuk diri sendiri. Air liur sudah pun aku telan berkali-kali. Seram.
“Kau memang betul. Aku memang tuli. Dan aku memang buta.”
Amsyar mengambil langkah setapak ke hadapan. Setapak juga aku mengundur ke belakang.
“Aku tuli pada jeritan kau. Dan aku buta melihat kesakitan kau.”
Sepasang mata Amsyar memerah garang, bagaikan terasuk oleh satu entiti ghaib. Kali ini, dia kelihatan lebih menakutkan berbanding malam pertama yang jahanam itu. Segenap tubuhku menggeletar kuat. Dadaku berombak laju.
“Kau…kau jangan cuba buat apa-apa…”
Mataku melilau ke kiri kanan, melihat kalau-kalau ada jalan untuk lepas lari. Tetapi apa yang aku nampak cuma rak-rak buku yang meninggi. Tiada walau sedikit pun ruang untuk bebas. Rasa cuak, seriau dan takut yang bercampur-baur semakin menjadi-menjadi. Peluh merenik-renik membasahi dahi, walhal penghawa dingin sudah pun terpasang.
“Mana kau mahu lari, Jannah?”
Aku tidak mempedulikan suara sinis itu, sebaliknya aku terus-terusan mengundur dan mengundur hingga…aku sudah tidak punya tempat untuk berundur. Belakangku selamat tersandar pada sebuah rak buku.
“Kau jangan buat apa-apa, Amsyar. Tolong hormat tempat ni. Ini bilik bacaan.” Dalam gentar, aku cuba berdiplomasi. Aku tahu betapa Amsyar sayangkan bilik bacaannya. Jadi mungkin dia tidak akan berbuat yang bukan-bukan di sini.
“Jadi mungkin aku patut baca setiap inci tubuh kau di sini.”
Air mukaku terasa berubah. Makin tidak berdarah jadinya. Pucat lesi.
“Kau…kau jangan…”
“Jangan apa? Huh?” Bibir Amsyar senyum menyenget. Sebiji butang bajunya sudah pun dibuka. Beberapa langkah lagi, dia akan tiba di hadapanku.
‘Tidak! Aku tidak sanggup! Bukan di sini, bukan di tempat cerah begini,’ tempik suara hatiku kuat-kuat. Terasa betapa murahnya maruah aku kalau diperlakukan begitu di tempat seperti ini, dengan bersaksikan buku-buku yang selama ini menghadiahkan ilmu kepadaku dan Amsyar. Tidak, buku-buku ini terlalu suci untuk dilemparkan dengan penghinaan yang sebegini.
Tanpa berfikir lagi, aku menyerbu ke hadapan. Tubuh kekar Amsyar dirempuh kuat. Mungkin kerana tidak menebak tindakanku, Amsyar hilang imbangan dan sedikit tertolak ke tepi. Pantas aku mengambil peluang dan berlari ke arah pintu. Namun…
“Arghhh!!!” Tubuhku terasa diangkat ke atas bahu dan dibanting. Sekelip mata sahaja, aku sudah pun elok terbaring di atas meja. Barang-barang yang sebelum ini menjadi penghuni meja telah pun berterabur di atas lantai.
“Siang tadi, kau cakap aku ni lelaki dayus. Lepas tu kau cakap aku ni tuli dan buta. Kau memang betul-betul suka mencabar aku, kan?”
Mataku terbeliak besar melihat wajahnya yang semakin mendekat. Cepat-cepat aku mengangkat tangan dan menolak-nolak muka itu.
“No, Amsyar! Jangan!!!” jeritku kuat sambil meronta-ronta. Tangan yang sebelum ini dijadikan pelindung sudah pun selamat berada dalam cengkamannya. Mukanya berkali-kali mendarat ke leher. Dan setiap kali itu jugalah, aku memejam mata penuh rasa hina. Namun tidak sedikit pun aku mengalah dalam melepaskan diri. Raungan demi raungan aku lontarkan. Rontaan demi rontaan aku kerjakan.
“Kau jangan bising, boleh tak?!” Amsyar mengangkat muka dan menjerkah kuat.
Aku terkedu. Pejam celik, pejam celik mataku melihat wajah suami yang dekat benar. Nafasnya berdengus-dengus marah.
“Tolong, Amsyar. Bukan…bukan di sini.” Aku mengambil peluang untuk merayu. Pandangan sayu dan penuh air mata cuba aku talakan padanya, memohon simpati. Manalah tahu mungkin masih ada terselit perasaan dalam hatinya yang kontang itu.
Seketika suasana jadi hening. Amsyar tidak bersuara sepatah pun. Dia hanya merenung dan merenung. Aku juga begitu. Malahan aku langsung tidak bergerak. Sejujurnya, aku takut untuk berbuat apa-apa. Amsyar sudah menghentikan tindakan rakusnya, dan aku mahu ianya kekal begitu. Biar tiada lagi kekerasan seperti tadi. Biar tiada lagi paksaan kejam.
Tidak semena-mena, Amsyar mengusap rambutku. Bukan dengan cara kasar, tetapi dengan suatu kelembutan yang sukar untuk aku tafsirkan. Jari jemarinya kemudian beralih pula ke pipi. Dibelai dengan lagak penuh hati-hati. Bahkan, dia mengesat air mata yang jatuh. Spontan aku mengerunyutkan dahi. Pelik! Apa pula yang dah jadi sekarang?
Bagaikan perasan akan reaksiku, Amsyar mematikan tindakan anehnya itu. Rengusan kuat diluahkan sebelum dia akhirnya melepaskan aku. Tubuhnya diangkat menjauhi, lantas cepat-cepat aku melongsor turun dari meja. Baju yang separuh terdedah ditarik agar kembali menutupi bahu dan dada. Rambut yang kusut masai juga aku kemas-kemaskan. Sesekali aku melirikkan mata ke arah Amsyar yang hanya memerhati. Mahu berjaga-jaga kalau-kalau dia akan menerkam lagi.
            “Go.”
            Berdesup aku lari saat arahan pendek itu menyapa hujung telinga. Biasan sugul yang tiba-tiba terselit di muka Amsyar dibuat-buat tidak nampak. Ah, aku cuma tersilap lihat.

~Bersambung dalam kompilasi mininovel Cereka Cinta...~

Share this:

ABOUT THE AUTHOR

Hello We are OddThemes, Our name came from the fact that we are UNIQUE. We specialize in designing premium looking fully customizable highly responsive blogger templates. We at OddThemes do carry a philosophy that: Nothing Is Impossible

0 comments:

Post a Comment