[Mininovel Limited Edition] Dendam Bersulam Cinta - Bab 2


BAB 2

“SELAMAT pengantin baru, Ana!”
            Kopi yang sedang diteguk diletakkan kembali ke atas meja. Kepalaku dilangut melihat Nadiya yang sedang melangkah ala-ala catwalknya. Bekerja sebagai model membuatkan dia biasa berjalan serupa itu.
            “So, how’s everything, babe? Mesti tengah happy sekarang ni, kan? Yalah, uolls kan perfect couple gitu.” Tidak henti-henti mulut Nadiya membebel. Beg tangan Michael Korsnya diletakkan di sisi sebelum melabuhkan punggung ke kerusi.
            Perfect couple? Aku menarik senyum kelat. Ya, aku dan Amsyar pernah menjadi pasangan sempurna, pasangan bahagia yang tiada cacat celanya. Jannah dan Amsyar. Cinta yang bersemi dalam hati yang tulus. Tetapi rupa-rupanya, hanya Jannah yang mencintai setulusnya, sedangkan Amsyar mempermainkan cinta. Amsyar, lelaki kejam yang mempergunakan hati dan perasaan orang lain dalam mendapatkan keinginannya.
            “Kenapa senyap je ni? Letih layan hubby, ya?” usik Nadiya dengan kening yang dijongket-jongket.
            Letih? Ya, memang aku letih. Sangat-sangat letih dengan seorang lelaki yang bernama Amsyar. Aku letih melayan rasa bencinya, rasa dendamnya. Aku letih menghadapi pandangan matanya yang penuh rasa jelik, kata-katanya yang membunuh jiwa dan perlakuannya yang cukup kasar.
            “Ana, hei…what’s wrong?”
Suara Nadiya mula berbias rasa bimbang. Cepat-cepat aku mengulum senyum yang dibuat perhiasan bibir semata-mata. Plastik. Palsu daripada rasa hati yang sebenar.
“Nothing. I’m still tired kut. Ala, kan ada banyak hal yang kena settle untuk majlis hari tu,” dalihku, masih dengan senyum yang dibuat-buat.
“Oh, patutlah. I ingatkan…”
“Apa? You ingatkan apa?”
“Well…” Nadiya mengangkat bahu dan mengubah muka nakalnya tadi kepada serius. “Amsyar tak layan you dengan elok. You know what I mean, kan? And definitely I takkan boleh tahan kalau itu yang betul-betul jadi.”
Terasa riak wajahku berubah. Cepat-cepat aku mengangkat cawan dan meneguk kopi, sekadar mahu melindungi muka. Sungguh aku tidak mahu Nadiya perasan akan sebarang perubahan mukaku.
            “You adalah kawan baik I, Ana. My very best friend. I takkan boleh berdiam diri kalau anything happen to you.” Lagi Nadiya bertutur serius.
            Aku tersenyum halus. Sedikit rasa terharu menjengah masuk. Walaupun Amsyar sudah hilang daripadaku, sekurang-kurangnya aku masih punya Nadiya. Seorang sahabat yang aku tahu takkan membiarkan aku terkapai-kapai, terkontang-kanting sendiri.
            “Diya, apa you merepek ni? I’m okay. You sendiri cakap tadi, kan? Amsyar and I are like perfect couple. Takkanlah dia nak buat benda yang bukan-bukan pada I.”
            “Lelaki, Ana. They’re unpredictable. Satu saat dia orang mencintai sampai ke bulan. Sesaat kemudian, dia orang buat kita macam sampah.” Keras sekali bicara Nadiya. Pandangan matanya jauh ke hadapan, bagaikan berada dalam dunia sendiri.
            Aku mendiam sejenak. Kata-kata Nadiya membawa aku kepada Amsyar. Ya, lelaki itu sudah pun membuat aku umpama sampah. Tiada nilai, tiada harga langsung. Yang ada cuma sekujur tubuh untuk disakiti.
            “You janganlah bimbang. I’m really okay. We’re okay. Macamlah you tak kenal Amsyar. He loves me so much, kan?” tegasku dengan pembohongan. Ah, apa lagi pilihan yang aku ada? Mahu berterus-terang? Mahu menelanjangkan isu rumah tanggaku kepada orang luar? Tidak! Aku tidak boleh berbuat begitu.
            Kepala Nadiya terangguk-angguk.
            “Ha’ah. Betul, kan? Dia memang sayangkan you sangat-sangat. Macam-macam dia sanggup buat demi you.”
            Pembetulan, Nadiya. Amsyar bukannya sanggup buat macam-macam demi aku. Tetapi demi melunaskan dendam dan kebenciannya. Demi memusnahkan aku.
            “I fikir banyak sangat, kan?” Isy!” Nadiya mengetuk kepala sendiri sambil menyengih lebar. “Jangan fikir bukan-bukan lagi.”
            Aku tergelak kecil. Sekurang-kurangnya lagak Nadiya mampu membuatkan hatiku sedikit terubat.
            “You ni dari tadi asyik cakap aje. Order something.”
            “Your treat?” tanya Nadiya, masih dengan sengih di bibir.
            Terlepas keluhan daripada mulutku. Kepalaku tergeleng sekali. “Yes, my treat. Biar pengantin baru ni yang belanja.”
            “Yay! Thank you, darling!”
            Aku memandang Nadiya dengan rasa hati yang berat. Separuh hatiku meraung-raung mohon aku mengatakan sesuatu, tetapi separuh lagi menegah kuat. Lalu, dalam hati, aku jadi tertanya-tanya.
            ‘Diya, help me. Tell me. Apa I patut buat sekarang? Amsyar dah tak sayang I lagi. He hates me, Diya. He hates me so much…’
*****
“KAU pergi mana?”
            Tubuhku terkaku membelakangi lontaran suara yang baru sahaja bergema.
            “Kenapa balik lambat?”
            Mulutku langsung tidak dibuka. Sebaliknya aku menekan punat di tombol dan memusing tubuh menghadap dia. Wajah tanpa perasaan aku tayangkan kepada Amsyar.
            “Kau pekak ke? Aku tanya, kenapa balik lambat?!” Nyaring sekali suara dia. Tinggi menengking, berbeza sekali dengan suara lembutnya yang selalu aku dengari dulu. Suara yang aku rindui.
            “Kerja.” Sepatah aku menjawab.
            Amsyar senyum menyenget. “Kau memang tak ada alasan lain mahu bagi, kan? Aku tahu kau habis kerja pukul berapa. Dan sekarang dah pukul berapa?”
            Aku mengerling pada jari telunjuknya yang ditalakan pada jam dinding. Jarum jam sudah menunjukkan pukul sembilan malam.
            “Suka hati kaulah nak percaya atau pun tidak.” Selamba sekali balasan yang aku berikan. Malas mahu melayan perangai cengeng dia yang entah apa-apa. Kakiku sebelah diangkat mahu menaiki tangga.
            “Eh, kau jangan melampau!”
            Dia terlebih dahulu menarik lengan kanannya, lalu memaksa aku menghentikan langkah.
            “Kau fikir aku bagi kau bekerja, jadi kau boleh buat sesuka hati kau?”
            Aku merengus dalam diam dan menoleh ke muka Amsyar.
            “Bila masanya aku buat sesuka hati? Aku cuma pergi kerja, balik kerja. Itu pun salah ke?!”
            Cengkaman Amsyar semakin terasa kuatnya. Sepasang matanya semakin tajam menikam. Bibirnya kemudian berdesis keras. “Berani kau menjawab, kan?”
            “Dah kau tanya, takkanlah aku nak membatu macam tunggul pula?” bidasku keras.
            “Well, maybe lebih baik kau jadi tunggul. Tak adalah menyakitkan hati aku.”
            Spontan aku menghambur tawa mengejek dan menepis tangannya. Kepalaku dipanggung tinggi, mahu melihat tepat ke muka seriusnya.
“Sakit hati? Siapa yang sakitkan hati siapa sekarang ni? Siapa yang beriya-iya sangat nak hancurkan aku? Siapa?!” Tanpa henti aku menyoal. Semakin lama semakin beremosi.
Amsyar terpacak kaku. Tiada walau sedikit pun reaksi. Apa yang dia buat cuma meratahku dengan renungan kosong. Beberapa ketika berlalu, suasana mula terasa hening. Fikirku, dia tidak akan sesekali menjawab soalan yang sudah punya jawapan terang itu. Namun dia akhirnya membuka mulut…
            “Hancurkan kau? Kau belum tengok apa-apa lagi, Jannah. Aku belum lagi mula.”
            Berdengung perkataan ‘belum mula’ di segenap telinga dan mindaku. Jantungnya terhentak keras. Setelah apa yang dia buat, setelah dia dapatkan haknya dengan cara yang kejam begitu, setelah dia jahanamkan tubuhku, berani dia mengatakan bahawa dia belum mula lagi? Sungguh, apa lagi yang dia mahu? Apa lagi?!!
            “Apa…apa yang kau nak buat?” Tersekat-sekat suaraku menahan emosi yang membuak-buak.
            Amsyar memusing tubuh dan berjalan ke tengan rumah. Tangannya didepa ke atas.
            “Untuk apa aku bagitahu kau awal-awal? Mana seronok. Kau kenalah tunggu dulu, sayang…”
            Arghh, benci sungguh aku mendengar dia menyebut ‘sayang’. Terlalu terserlah sinisnya. Sekadar mainan bibir untuk menyakitkan hatiku.
            “Tapi yang pasti…” Amsyar mengeraskan riak muka. “Ayah kesayangan kau akan mula faham maksud kehilangan.”
            “Jangan sentuh papa!” Laju aku memberi amaran.
            “Kalau tak sentuh dia, kau nak aku sentuh kau? Kecil tapak tangan, nyiru aku tadahkan.” Bibir Amsyar menyenget lagi. Anak matanya tajam melekat padaku. Cepat-cepat aku mengundur ke belakang.
            “Kau jangan cuba…”
            “Kau jangan bimbang. Aku tak ada mood malam ni.” Amsyar mencantas selamba. Tubuhnya sudah pun dilabuhkan ke atas sofa. Sebelah tangan mengambil alat kawalan jauh. Televisyen yang sebelum ini mati mula menayangkan siaran.
            Perasaan cuak yang tadi menyerbu mulai lenyap. Bukan kerana aku mempercayai lelaki itu, tetapi aku tahu Amsyar bukanlah jenis lelaki yang memungkiri apa yang dituturkan. Iya, sepertimana dia katakan akan memusnahkan aku, seperti itulah yang sedang dia lakukan.
*****
TERPISAT-PISAT aku membuka mata dan melihat ke dalam samar-samar cahaya malam. Terasa seperti ada sesuatu yang merayap di pinggang. Menyedari apa yang berlaku, aku cepat-cepat memusing badan ke belakang. Namun…
            “Shhh…jangan gerak.”
            Aku dihalang daripada bergerak. Tubuhku ditarik lebih rapat. Belakangku kini elok melekat pada dadanya yang bidang. Desah nafasnya menampar-nampar leher.
            “Kau cakap kau takkan…”
            “Maybe aku dah ubah fikiran.”
            Aku tersentak kuat. Tubuh yang terperangkap dalam rangkulannya cuba dilepaskan. Apa yang aku fikir tadi? Amsyar takkan memungkiri apa yang dia ucapkan? Huh, aku silap. Aku benar-benar silap!
            “Kenapa kau beriya-iya meronta ni? Bukannya aku…” Bibir Amsyar menyentuh cuping telinga. “Tak pernah rasa kau.”
            Darah panas terasa menyirap ke muka. Bibirku diketap kuat-kuat menahan rasa meluat dan benci yang meluap-luap. Terasa maruah dan harga diriku benar-benar diperlekehkan dan dipijak-pijak.
            “Jadi tak payahlah kau bersusah-payah berlakon naïf sangat,” sambung Asmyar lagi. Kepalanya kembali dijauhkan dari mukaku dan kini mendarat di bahu. Tangannya kemas memeluk pinggang dan tidak pula merayap lebih-lebih. Daripada gayanya, Amsyar seperti tidak berniat apa-apa malam ini.
            Dalam diam, aku menarik nafas lega. Tubuhku dibiarkan kejung dalam rangkulannya. Sungguh aku tidak berani melawan lebih-lebih. Elok-elok sahaja dia tidak mahu mengapa-apakan aku, tidak pasal-pasal pula lain jadinya.
            “Amsyar…”
            “Hmmm…”
Suaranya kedengaran mengantuk sekali. Aku tersenyum tawar. Kalaulah perkahwinan kami ini adalah sebuah perkahwinan normal yang dihiasi cinta, pasti sekali aku akan mengatakan bahawa suara itu seksi sekali. Membuai-buai perasaan. Namun sayang, hakikatnya aku dan dia bukan seperti itu. Bukan pasangan bahagia yang memadu kasih.
“Dalam dua tahun itu, memang…memang…” Hatiku mula bergetar kuat. Mataku berkaca-kaca. Segala memori indah selama dua tahun kami bercinta berlegar-legar di hadapan mata.
“Tak.” Tegas suara Amsyar.
Mataku terpejam sekali. Pedih.
“Kalau kau nak tahu sama ada aku ada perasaan pada kau dalam dua tahun tu, jawapannya tak.”
Kali ini aku tersenyum kelat. Mengejek diri sendiri yang masih menyimpan harap pada lelaki di belakangku ini. Soalan apa yang kau tanya, Jannah? Kau memang bodoh!
“Berapa kali aku nak kena cakap? Nak kena ulang baru kau nak faham? Tujuan aku kahwin dengan kau adalah untuk hancurkan kau dan ayah kau.” Intonasi Amsyar semakin lama kedengaran semakin keras. Bergema dengan kebencian dan dendam yang bukan sedikit.
“Jadi kau gembira?” soalku lagi. Entah kenapa, saat ini berani pula aku menyoal bermacam-macam. Mungkin kerana aku sedang membelakanginya dan aku tidak perlu menghadap muka sinisnya yang selalu sahaja menyakitkan hati.
“Apa maksud kau?”
“Kau gembira ke dengan apa yang berlaku sekarang? Kau betul-betul gembira sebab dapat sakitkan aku?”
Amsyar tidak segera menjawab. Hanya keheningan dan kedinginan menyelabungi kami berdua. Sesekali aku bagaikan dapat mendengar rengusan nafasnya yang tidak selesa.
“Kenapa? Are you hurt? Are you in pain?” Soalan juga yang akhirnya dia balas.
Aku membatu. Tidak mahu terang-terangan mengaku kerana bagiku, itu umpama mengaku kalah, sedangkan aku sudah berkali-kali menyimpan azam untuk tidak menampakkan kelemahan.
“Kau senyap. Jadi betullah kau sakit. Selama ni bukan main lagi kau tunjuk muka selamba, jadi aku ingatkan kau tak rasa apa-apa.”
‘Bagaimana mungkin saya tak rasa apa-apa, Amsyar? Awak lelaki pertama yang saya cintai, awak lelaki pertama yang ajar saya tentang cinta. Tapi awak juga lelaki pertama yang ajar saya tentang betapa kejamnya awak dan betapa kejamnya sebuah cinta,’ detik hatiku hiba. Mutiara jernih sudah pun selama mengalir di hujung mata.
“Baguslah kau rasa sakit. Memang pun itu tujuan aku. Dan aku…” Amsyar memeluk pinggangku lebih rapat dan meletakkan bibir ke telinga. Suara kerasnya kemudian berbisik sedingin salju. “Akan pastikan kau benar-benar sakit, benar-benar terluka hingga kau bencikan kehidupan kau sendiri. Hingga kau fikir kematian itu lebih baik untuk kau.”
Setiap patah kata itu aku dengar teliti. Dengan hati yang hancur lebur, perlahan-lahan aku mengatup mata. Tidurlah, Jannah…tidurlah. Kau perlu kuat untuk menghadapi kebencian suami kau sendiri.

~Bersambung...~

Share this:

ABOUT THE AUTHOR

Hello We are OddThemes, Our name came from the fact that we are UNIQUE. We specialize in designing premium looking fully customizable highly responsive blogger templates. We at OddThemes do carry a philosophy that: Nothing Is Impossible

0 comments:

Post a Comment