Encik Sayang dan Miss Sweetheart - Bab 5


BAB 5

DI SEBALIK tingkap besar yang terpasang di kondominiumnya, pemandangan malam Kuala Lumpur yang diterangi lampu-lampu neon pelbagai warna dipandang tanpa perasaan. Gelas yang tergenggam elok di tangan diangkat mendekati bibir. Lalu lambat-lambat dia meneguk jus epal. Tangan kanannya itu kemudian dijatuhkan kembali. Tetapi tangan kirinya mula bergerak sendiri, menyeluk saku seluar. Sebuah dompet dikeluarkan dan dibuka. Pandangan matanya tertancap pada sekeping gambar yang semakin lusuh.
            “Tak sangka, kan? On the very first day abang balik sini, orang pertama yang abang jumpa adalah...Orked.”
            Masih tergambar lagi kejadian di hadapan Starbucks siang tadi. Dia yang sedang berjalan ke arah pintu masuk jadi terpaku sendiri kala matanya melekat pada sesusuk tubuh yang melangkah keluar. Tubuh milik seorang gadis yang amat dikenalinya, yang amat dirinduinya, yang sering kali menjadi peneman dalam mimpinya sejak bertahun-tahun lamanya. Ya, dia tidak salah melihat. Gadis yang sedang menunduk dan menyelongkar beg sambil berjalan itu adalah gadis yang sama. Gadis yang bernama Orked Imani.
            Saat tubuhnya dilanggar, saat Orked dekat benar dengannya, ingin sekali dia meraih gadis tersebut ke dalam rangkulan. Dia mahu Orked mengerti akan kerinduannya. Dia mahu menebarkan segala rahsia hatinya di hadapan gadis itu. Dia mahu melepaskan segala-galanya yang selama ini menghimpit jiwa. Namun dia sedar, gadis seperti Orked bukanlah seperti perempuan-perempuan yang selama ini mengelilinginya. Orked tidak boleh disentuh sesuka hati.
            Lalu, yang termampu dia lakukan tika Orked mendongak padanya dan membuntangkan mata adalah menghadiahkan senyuman yang dirasakan paling indah dan paling ikhlas. Lidahnya pula menyeru nama itu dengan selembut mungkin...
            “Orked, it’s you, right? Orked Imani....”
            Mengingati pertemuan tersebut membuatkan hatinya terasa hangat sekali. Terasa tenang. Jantungnya bergema dengan rasa tidak sabar untuk pertemuan kedua. Ya, mereka telah berjanji untuk berjumpa setelah tidak dapat berlama-lamaan tadi. Kata Orked, dia perlu kembali ke butik milik ibunya.
“Nampaknya takdir memang mahu menemukan kita kembali. Dan kali ini, abang janji takkan lepaskan Orked lagi. Abang janji...”
*****
USAI melangkah keluar dari bilik air, Orked menjatuhkan duduk di hadapan cermin solek. Rambutnya dikirai dengan jari jemari. Dibiarkan sahaja tanpa dilap dengan rapi. Biar kering sendiri. Konon mahu menjaga kecantikan rambut. Segala kejadian yang berlaku hari ini mula bermain-main dalam akal fikiran. Sungguh hari ini merupakan hari yang penuh dengan pelbagai kejutan. Dilanggar mamat paling sengal dan juga...pertemuan yang tidak diduga.
Ya, pertemuan di petang hari tadi benar-benar membuatkan dia bagaikan terbang ke suatu masa dahulu, di mana hanya ada dia dan lelaki tersebut. Masih terngiang-ngiang lagi suara garau itu yang menyeru namanya. Penuh kelembutan walau disalut rasa terkejut. Seperti dirinya, mungkin sahaja lelaki itu turut berasa terperanjat dengan pertemuan yang tidak disengajakan. Pertemuan kembali selepas dua belas tahun lamanya.
Orked menopang dagu. Wajahnya yang terpacul di cermin ditatap.
“Orked Imani...” panggilnya pada pantulan sendiri. “He’s back. He’s really back!”
Buat kesekian kalinya, terbayang-bayang wajah itu di hadapan mata. Kelihatan matang, tidak lagi seperti dahulu. Kalau dahulu, rambutnya dibiarkan jatuh menutupi dahi. Kini terpacak elok. Kalau dahulu, pipinya lebih berisi. Kini tulang pipinya yang tinggi kelihatan lebih menyerlah, lalu membuatkan dia tampak macho sekali. Kalau dahulu, mata hazel itu selalu dilindungi oleh kaca mata. Kini dibiarkan menusuk ke dalam mata siapa-siapa yang berani merenungnya.
“Abang dah berubah, kan? Abang nampak lain sangat...” Perlahan Orked menyambung kata. Renungannya masih tetap pada pantulan diri sendiri. Namun kali ini, sepasang matanya terselit rasa sedih dan keliru.
Tut...tut...
Sedang Orked beremosi sendiri, suatu mesej Whatsapp yang masuk menangkap perhatian. Cepat-cepat dia menggelengkan kepala, cuba menghalau emosi yang bercelaru. Dah, jangan diingat lagi perkara yang dah lepas!
Telefon bimbit diambil. Pesanan Whatsapp dibaca.

‘Kau dah telefon dia tak?” - Elina
‘Dia siapa?’ - Orked
‘Mamat yang panggil kau Miss Sweetheart tu.’ - Elina
‘Alamak! Belum lagi.’ - Orked
‘Then tunggu apa lagi?’ - Elina
‘Yalah, yalah. Aku call jap lagi.’ - Orked
‘Jangan lupa update aku nanti. Nak tahu apa jadi.’ - Elina
‘Busybody! Minah kepoh!’ - Orked
‘Haruslah! Ciao!’ - Elina
‘Ciao!’ - Orked

            Selesai menyudahkan sesi Whatsapp bersama Elina, Orked bangkit dan menuju ke arah katil. Tanpa membuang masa, dia menekan-nekan skrin telefon, mendail nombor yang tertera. Hujung bibirnya digigit tanda gementar. Kalaulah lelaki itu tidak dapat dihubungi, habislah dia! Atau lebih tepat lagi, habislah duit dia! Tak pasal-pasal terbang melayang.
“Helo.”
Bulat anak mata Orked dengan rasa teruja. Okey, itu suara dia. Sah!
“Helo.” Sepatah balasan Orked.
Kemudian senyap. Diam.
Orked mula kebingungan. Aku nak cakap apa pula ni? ‘Saya call sebab nak pastikan awak takkan tipu saya.’ Eh, takkanlah nak cakap straight forward macam tu kut?
“Okey, orang di sana. Awak call untuk cakap helo saja ke? Siapa…”
“It’s me.” Orked memintas tanpa sedar.
“Oh, it’s me. Sorrylah, wak. Saya tak kenal orang yang namanya it’s me. Azmi saya kenallah. Dia tu kawan sekolah lama dulu. Tapi kita orang dah lama tak jumpa. Yalah, sekolah lama, kan? Zaman muda-muda dulu…”
Ya Allah! Lelaki ni memang tak habis-habis dengan perangai mengjengkelkan dia. Dalam telefon pun pelik!
“Saya…orang yang awak langgar tadi.” Dengan hati yang diulit rasa menyampah, Orked menjawab.
“Oh, Miss Sweetheart!”
Terbangun terus Orked daripada duduk. Alergik okey, dengan panggilan Miss Sweetheart tu!
“Kenapa awak call? Awak rindukan Encik Sayang awak, ya?”
Orked mencebik. Gatal anak tekaknya mendengarkan soalan lelaki di sebelah sana.
“Do you…miss me, my sweetheart?”
Semerta bulu roma Orked pula yang mendadak naik, meremang semacam. Woah, woah…makin melampau nampak? Dia ni mesti ahli tetap dalam persatuan lelaki hidung belang, buaya tembaga tak sedar diri, kasanova celup. Seriously! Tak cukup lagi ke Cik Gincu Merah tu? Nak tambah spare part pula? Huh, jangan beranganlah boleh buat macam tu pada aku!
“Encik, saya tak tahu apa yang dah jadi pada kepala otak encik masa kemalangan tadi. Tapi, seingat sayalah kan…saya ni bukan sweetheart encik.” Kali ini, Orked berencik-encik pula dengan Syamil Imran di sebelah sana, sekadar untuk menyindir. Huh, kalau ikutkan hati, tak ada maknanya nak berencik bagai ni!
“Correction. It’s Encik Sayang. Not just Encik.”
Lagi bibir Orked terherot-herot meluat. Tahap kegelian dengan sikap gatal menggeletis lelaki di hujung talian semakin membuak-buak jadinya.
“Dan lagi satu, saya rasa soalan tu saya yang patut tujukan pada awak. Apa yang dah jadi pada kepala otak awak masa accident tadi? Takkanlah awak dah amnesia kut?”
Orked mengelip-ngelipkan mata cuba mencerna setiap patah perkataan yang didengari. Apa maksudnya? Takkanlah lelaki ini memang kekasih dia dan dia menghidap amnesia di mana dia lupa akan kekasih hatinya yang satu itu. Kemudian mereka terpisah dan kini bertemu kembali. Sang lelaki pun memulakan misi untuk mengembalikan semula ingatannya. Setelah menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan, mereka akhirnya dapat bersama kembali. And they lived happily ever after…
Eh, sekejap. Kau ingat kau ni Nangfah dalam Game Rai Game Rak ke, Cik Orked Imani oi?
“Macam nilah, disebabkan saya ni memang baik hati dan ingin membantu awak dalam menghilangkan amnesia awak, maka saya…”
Orked mula membuat muka. Tidak ada hati mahu mendengar bebelan lelaki ini yang semakin pelik dan menyimpang jauh daripada sebuah realiti.
“Akan ingatkan awak yang awak ni…” Suaranya termati buat seketika sebelum menyambung lagi dengan nada yang cukup lembut dan gemersik. “My Miss Sweetheart…”
Tersekat air liur di celah kerongkong Orked. Oh, tidak! Suara dia. Habislah, jantung dah berdansa tarian zapin gamaknya. Cepat-cepat Orked mengetuk dada. Jangan mengada-ngada nak doki…doki (berdegup) bagai!
“Dan saya ni Encik Sayang awak. Saya ulang, ya. Encik. Sayang.”
Dua patah perkataan terakhir itu tiba-tiba berdengung semacam di telinga Orked. Sekejap celik, sekejap pejam matanya cuba menduga. Di mana pernah kudengar gelaran ini, ya?
“Macam nilah, Encik…Encik Sayang. Sebelum I naik hantu kat sini…”
Mata berubah jadi mata ikan buntal.
“Cepatlah, Encik Sayang! You tak faham ke apa I cakap?”
Mulut jatuh. Tunggu lalat masuk saja. Oh. My. God. Dia yang terlebih dahulu memanggil lelaki sengal ini ‘Encik Sayang’? Tidak! Ini tidak mungkin berlaku! Aku tak boleh terima!!!
Segenap tubuh Orked jadi lembik tiba-tiba. Mukanya membahang dengan rasa segan yang setinggi Gunung Everest. Pipinya kepanasan bagaikan dibakar api larva Gunung Merapi.
“Miss Sweetheart…Miss Sweetheart….” Suara Syamil Imran disusuli dengan tawa halus. Lembut sahaja menjamah hujung telinga Orked. Tetapi dia sedar kelembutan itu sebenarnya mempunyai agenda yang tersirat, iaitu mentertawakannya!
Ah, lantak dialah! Sebab isunya sekarang…Ya Allah! Mana aku nak letak muka ni?
“Miss…”
Klik! Spontan Orked menekan butang merah. Terputus terus suara seksi dan gemersik di sebelah sana. Itu sahajalah reaksi yang paling praktikal untuk dia sekarang. Takkanlah dia mahu terus mendengar suara lelaki itu yang pastinya akan menyindir dengan bahagianya, seoalah-olah kebahagiannya terletak dalam melihat Orked Imani menyumbat muka ke dalam periuk kerana terlalu malu. Haish!
Telefon bimbit dalam genggaman ditenung seolah-olah lelaki yang digelar Encik Sayang itu akan melompat keluar dari skrin, menerkamnya dan masih memanggilnya…Miss Sweetheart.
You’re going crazy….
You drive me crazy…
Apocot! Terlompat Orked mendengarkan lagu Going Crazy versi Bahasa Inggeris yang berkumandang dari telefon bimbitnya. Isy, ringtone ni pun satu! Sehati sejiwa pula dengan si pemilik yang dah jadi gila kerana lelaki tersebut.
You know I’m in love with you…
I know you’re in love with me too…
Don’t run away…
Lagi ringtone itu berbunyi. Mata Orked membundar buat seketika. Muncul bayangan Encik Sayang yang sedang menitipkan bicara sedemikian rupa padanya. Okey, itu sangat menyeramkan!
Baru sahaja telefonnya mahu berbunyi sekali lagi, Orked terus sahaja mencabut bateri. Boleh trauma dia kalau lelaki ini tidak henti-henti menelefonnya. Kalau orang dah tak angkat tu, tak reti-reti nak faham lagi ke?
Mental note: Tukar ringtone ni nanti!
*****
“HAHAHAHA!!” Terkekek-kekek Syamil meledakkan tawa. Perutnya ditekan-tekan sambil belakangnya dijatuhkan ke atas katil. Ya Allah! Lawaknya! Boleh menang Miss Sweetheart ini kalau masuk Maharaja Lawak.
            Aduh, seronok sungguh kacau Miss Sweetheart. Boleh buat ubat hilang penat lelahnya dengan kerja dan juga dengan perangai si Misha. Ada ke patut boleh lupa yang diri sendiri tu terlebih dahulu panggil kita ‘Encik Sayang’, lepas tu boleh pula marah-marah kita sebab panggil dia ‘Miss Sweetheart’. Kan dah malu sebijik, wahai Miss Sweetheart.
            “Hahahaha!!” Lagi Syamil menghambur tawa. Sungguh, mengingati saat-saat tadi benar-benar menggeletek jiwa raganya.
            “Angah!”
            “Haha...ugh…ugh!!!” Terbelahak Syamil di tengah-tengah tawa. Lehernya dipegang seraya bangkit kembali dari pembaringan. Sepasang matanya menjegil besar.
            “Fiya! Jangan sergah Angah macam tu, boleh tak? Nak Angah mati tercekik kat sini?” Terus sahaja disembur wajah selamba yang sedang terpacak di muka pintu.
            “Eleh, Angah. Tak payah nak over dramatic sangatlah!” tukas Safiya tanpa perasan. Dengan langkah bersahaja dia melangkah masuk ke dalam bilik tidur abangnya.
            “Eh…eh! Buat apa ni?” Syamil mula menayangkan muka cuak.
            “Buat apa? Masuk bilik Angahlah. And then…” Safiya melabuhkan duduk di atas katil. “Duduk atas katil Angah.” Matanya diliarkan ke sekeliling sambil tangannya mencapai sesuatu yang elok terhampar di atas katil.
            “Oh, no…no…no!! Jangan dekat! Tepi-tepi…” ucap Syamil lantas menarik tangan Safiya agar berdiri kembali. Barang kesayangan yang baru sahaja ingin disentuh adiknya segera diambil dan dipeluk.
            Safiya menyebik. Ya Allah! Benda alah itu jugalah yang dia pentingkan? Bukannya nak tanya kemaslahatan diri aku yang baru pulang dari asrama ni?
            “Angah ni kan…”
            “Apa?” tanya Syamil kembali tanpa mempedulikan adiknya. Jari jemarinya membelek-belek barang di tangan.
            “Angah! I’m talking to you!” Kali ini Safiya menjerit.
            “And I’m talking to you.” Syamil membalas, masih dengan tingkah yang sama.
            Safiya mendengus kasar. Haish, geramnya dia dengan manusia yang seorang ini! Orang bersusah payah nak datang bertegur sapa dengan dia, boleh pula dia buat orang macam tunggul kayu? Huh, menyampah!
            “Okay, fine! Tak nak kawan dengan Angah dah!” bentak Safiya seraya memusing tubuh. Baru sahaja setapak dia melangkah, pergelangan tangannya sudah pun ditangkap. Kepalanya ditoleh kembali pada wajah yang indah dengan senyuman.
            “Welcome back, adik Angah.” Gemersik suara Syamil. Tangan adiknya dilepaskan selembut mungkin.
            Usai melihat wajah abang kesayangannya, Safiya melepaskan nafas berat. Susah sungguh untuk berlama-lamaan marah dengan Angah.
            “Yang nakal dan…nampak macam makin chubby.”
            Dan-dan terlurut jatuh rahang Safiya.
            “Seronok sangat ke duduk kat asrama tu? Atau makanan sedap sangat?”
            Ya Allah! Tadi dia ada cakap tak boleh lama-lama marah dengan Angah ke? Tarik balik! Yes, tarik balik semua itu!
            “Angah ni kan…”
            “Makin handsome. Yes, I kow…” sampuk Syamil sambil mengirai rambutnya dengan telapak tangan.
            “Uwek…uwek! Tolonglah jangan buat Fiya rasa tak berbaloi Fiya panjat tangga tadi semata-mata nak jumpa Angah. Menyesal tahap petala ketujuh!” tempelak Safiya dengan muka kemerahan menahan geram. Angah ni pun satu. Tak tahukah bahawa benda paling basic yang seorang lelaki perlu tahu pasal seorang perempuan adalah jangan sentuh pasal…
            Satu, usia. Kedua, berat. Dan anda, Encik Syamil Imran baru sahaja sentuh pasal berat badan Cik Safiya Humaira. Sesungguhnya, anda tidak boleh dimaafkan. Titik. Noktah.
            “Ya ke menyesal?” ejek Syamil dengan kening turun naiknya. Nakal!
            “Angah!” pekik Safiya sambil tangannya mencapai benda kesayangan Syamil yang sudah pun terlepas daripada pegangan lelaki itu.
            Membuntang mata Syamil.
            “Oh, no…no….you’re not gonna do that…”
            Safiya tersenyum lebar.
“Oh, yes. I am…” Tangannya diangkat tinggi, seakan-akan mahu melempar barang.
“No, you’re not…”
“Yes, I am…”
            “Okey...okey, Angah minta maaf. Angah gurau aje.” Kedua-dua belah tangan Syamil tergawang-gawang ke udara, antara menunjukkan aksi menyerah kalah dan aksi ala-ala penjaga gol yang mahu menyelamatkan gawang gol daripada ditembusi pihak lawan.
            “Minta maaf aje tak cukup,” bidas Safiya masih mahu menjual mahal. Dalam hati, Tuhan sahaja yang tahu betapa seronoknya dia dapat mengenakan abangnya. Huh, ingat dia aje yang tahu kenakan aku, aku pun tahulah! Dah nama pun ini adik Syamil Imran, manusia paling hebat dalam mengucar-ngacirkan hidup orang lain dengan perangai tak semenggah dia tu.
            “Angah belanja makan nanti.” Syamil mengaku kalah. Isy, Fiya ni suka sangat blackmail aku dengan cara ni. Manalah dia dapat perangai pelik dia? Nak cakap daripada aku, memang taklah. Aku kan baik orangnya. Huh, ini mesti ikut perangai Along!
            “Kat?” tekan Safiya lagi.
            “Austin Chase. Your favourite place. With your favourite coffee.” Laju Syamil membalas. Bukan dia tidak tahu makanan dan minuman kegemaran adiknya.
            “Yay!!! You’re the best, Angah!” ucap Safiya dengan girang. Benda di tangannya diserahkan kembali pada Syamil yang segera menyambut dan memeluknya.
            Syamil mendengus. ‘The bestlah sangat! Aku dah kena kena ugut, tahu tak?’
            “Isy, suka buat Angah terkejut,” rungut Syamil dengan rasa tidak puas hatinya.
            Lagi Safiya mencebik. Pandangan matanya ditalakan pada barang kesayangan abangnya. “Apalah yang dia ni sayang sangat dengan….patung Iron Man? Macam budak darjah satu.”
            Syamil mengerling sekilas pada adiknya. Kalau nak mengata aku pun, biarlah diri sendiri tu keluar dari bilik aku ni dulu.
            “Angah!”
Sekonyong-konyong bahu Syamil ditepuk kuat. Aduh, apalah nasib dia hari ini? Suka sangat orang tepuk bahu dia tiba-tiba. Tadi Hazri dan sekarang Fiya pula?
            “Apa dia?” soal Syamil, sekadar berbasi-basi.
            “Fiya rasa, dah tiba masanya Angah kahwin.”
            Kahwin? Eh, ini kenapa tidak ada angin tidak ada ribut si Fiya suruh dia kahwin pula?
            “So that lepas ni, Angah dah tak payah peluk patung ni lagi dah. Kasihan sangat eh, Fiya tengok. Orang sebaya Angah ni sepatutnya peluk isteri tercinta, bukannya peluk…err…benda ni.”
            Amboi, amboi…sedap sungguh mulut dia membebel. Nak kena cili ni nampaknya!
            “So, yang tadi tu siapa? Bakal isteri, ya? Siap bersayang bagai? Sambil ketawa riang pula tu. Bahagia sungguh Fiya tengok.”
            Erk! Cili tadi dah tersekat di celah kerongkongnya pula. Soalan cepu emas Safiya yang siap dengan kening ala-ala Ziana Zain itu betul-betul membuatkan Syamil terkejung. Ya Tuhan! Budak Safiya ni pasang telinga tadi! Mammarazi tak bertauliah betul!
*****
“MALUNYA AKU!!!”
            Orked mengambil bantal di sebelahnya, berbaring dan menekup muka. Kedua-dua belah kakinya diangkat tinggi dan digerak-gerakkan, tidak ubah seperti sedang mengayuh basikal dengan penuh bersemangat. Ya Allah! Macam manalah dia boleh panggil mamat pelik tu Encik Sayang? Dia dah gila ke? Atau dah kena pukau? Isy, mentang-mentanglah suara dia macam suara Dome Pakorn.
            Hah, dia tahu kenapa. Ini mesti sebab Cik Gincu Merah yang asyik panggil lelaki itu ‘sayang’. Sikit-sikit sayang. Sikit-sikit sayang. Macam dah tak ada perkataan lain dalam dunia ni. Dan sekarang Orked Imani ini pula yang tak pasal-pasal terpanggil ‘sayang’ juga. Okey, dia ulang lagi sekali. Terpanggil. Sesungguhnya dia bukan sengaja nak letak ‘Sayang’ depan Encik tu. Tak ada niat dan tak hingin pun!
            “Huwaa!! Macam mana aku nak hadap muka mamat sengal tu nanti?”
            Hampir menangis Orked dibuatnya. Separuh jiwanya bagaikan pergi melayang-melayang saat mengingatkan betapa malunya dia tadi. Sudahlah dia beriya-iya sangat marah, tup-tup…dia yang mula dahulu. Tak ke sangat memalukan diri sendiri namanya itu?
            Setelah hampir dua puluh minit berkeluh-kesah memikirkan isu saya-malu-mana-nak-letak-muka, akhirnya Orked menggali nafas dalam-dalam dan menghembusnya. Anda kena kuat, Orked Imani. Kena kuat demi mendapatkan wang ganti rugi itu. Duit, Orked…duit. Anda sayang duit anda, bukan?
            Dengan rasa teragak-agak, Orked mengangkat tubuh daripada pembaringan dan memasukkan kembali bateri ke dalam telefon bimbitnya. Berdebar hatinya menantikan telefonnya benar-benar bersedia untuk digunakan. Berkali-kali nada dering lagu Angsumalin bergema, menandakan mesej masuk. Fuh, nasib baik dia tidak tetapkan nada dering Going Crazy untuk mesejnya. Kalau tidak, pasti-pasti sahaja dia yang jadi gila. Kala nada dering terakhir habis berbunyi, Orked membukanya satu persatu sehinggalah matanya tertancap pada mesej terakhir.
           Ya, Tuhan! Kalaulah dia boleh putar balik masa, takkan dia bertindak bodoh dan membuka kembali telefonnya.

~Bersambung...~

Jeng...jeng...jeng...apalah agaknya yang dah dibuat oleh Encik Sayang kita? Aduhai, kesian Miss Sweetheart asyik kena kacau...haha!

Do comment, da-da...=)

Share this:

ABOUT THE AUTHOR

Hello We are OddThemes, Our name came from the fact that we are UNIQUE. We specialize in designing premium looking fully customizable highly responsive blogger templates. We at OddThemes do carry a philosophy that: Nothing Is Impossible

27 comments:

  1. Replies
    1. sabar2...hehe...nnti kak sara up kan..

      Delete
  2. alahai gelak-gelak sorang lak saya memalam baca en3 nie. lawak tol lah syamil n orked nie. btw best lah akak. Nak lagi kak :) hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. kak sara pun gelak2 ms tulis...haha

      Delete
  3. Patung ironman..adoi wat saya gelak guling.guling

    ReplyDelete
  4. jeng jeng.. apakah mesej terakhir tu... ;)

    ReplyDelete
  5. patung tu mmg comel wat??? ala...orked nie mkn brp banyak semut entah...blh plk lupa sweet moment tu...

    ReplyDelete
    Replies
    1. tular psl. byk mkn semut sgt...haha

      Delete
  6. Sayang x sempat baca abis... dah abis waktu lunch..... baru baca separuh... Mesti sambung petang ni...Mmg terbaik... Nang ek & Pra ek suai le ca.....Chop mak...^,^v

    ReplyDelete
    Replies
    1. chop maak, chai mai? hehe...tetibe ckp siam plak...

      Delete
    2. Chai ka Pi Sara.... ^,^v

      Delete
  7. klakar lar saya tengok gelagat si orked cepatlah update bab 6

    ReplyDelete
  8. bila nk sambung ni sara? x sbr akak....

    ReplyDelete
    Replies
    1. huhu...sorry lambat. dh update dh...=)

      Delete
  9. maybe komen ni tak sepatutnya kt sini tp nk post jgk..hehehe..sy dh dptkn novel jodoh itu milik kita..sgt2 best! terbaik la akk!!!

    ReplyDelete
    Replies
    1. haha!! xpe...letak aje kt mana2...

      awww!! thanks so much!!! =)

      Delete
  10. Salam sara,tgh tnggu sambungan seterusnya. Blik2 da chek blog.:-)

    ReplyDelete
  11. Sara,bla nak sambung?stp hari buka blog nak chek ada n3 bru ke tk,tk sbr tnggu.

    ReplyDelete
  12. alaaa......sara x update lg ke citer ni? update la cpt2..pleaaaaseeeee

    ReplyDelete
  13. Adoiii la syamil ni... da besar panjang pon suke peluk patung....
    hahaha...

    ReplyDelete
    Replies
    1. haha! itulah syamil yg pelik...=)

      Delete