Chan Rak Ter...Aku Cinta Kamu [Bab 5 & 6]


BAB 5

“KLAHARN.”
            “Apa yang Klaharn?” Tanpa memandang lelaki di sisinya, Dian menyoal. Kini mereka dalam perjalanan ke Kimyong Market. Syarat lelaki tersebut atas ‘tanggungjawab’ yang perlu dia lunaskan adalah menemaninya sewaktu mereka sama-sama di Hat Yai. Dan demi tidak memanjangkan cerita, Dian mengikut sahaja. Malaslah dia mahu terus-terusan membangkang. Entah apa pula yang bakal dilakukan lelaki aneh ini nanti.
            “My name. Klaharn Thanasukolwit.”
            “Kenapalah nama Thai ni buat lidah orang berbelit-belit? Tak ada nama lain yang lebih pendek ke?” Walau sebal hatinya, rajin pula Dian melayan lelaki ini. Entahlah, naik pelik pula dia dengan diri sendiri. Mungkin kerana lelaki ini tidaklah terlampau teruk, dan tidak juga seperti orang jahat. Kalau tidak, masakan dia dihantar pulang dengan selamat ke The Weenee semalam.
            “Then, awak boleh panggil saya Karn. That’s my nickname. A shorter version of Klaharn.”
            “Okey…Karn.” Masih lagi dengan lagak tidak terlalu peduli akan lelaki yang digelar Karn ini, Dian memanjangkan langkah ke arah deretan kedai yang bakal menyambut kedatangannya.
            “Awak pula?” soal Karn menyaingi langkah Dian yang semakin laju.
            “Apa?”
            “Nama.”
“Dian. Dian Damia. Awak boleh panggil saya…Dian. Simple and precise.”
Karn tergelak kecil. Ayat terakhir Dian seakan-akan sengaja ditujukan untuk menyindirnya.
            “So, Dian…apa sebenarnya awak buat kat sini, seorang-seorang?”
            “Apa pula seorangnya? Awak tak nampak ke? Awak tengah menempel dengan saya sekarang ni?” ucap Dian, kedengaran agak kasar. Akan tetapi dia hanyalah bergurau dan dia yakin Karn sedar akan hakikat itu.
            “Isy, main-main pula. Maksud saya, seorang kat Thailand ni. Awak ni…memang backpacker ke? Selalu buat solo travel?” balas Karn. Langsung tidak terasa dengan nada suara Dian tadi yang sedikit keras.
            “I write.”
            Karn mengerutkan dahi. Mukanya dikalih sedikit pada wajah selamba Dian. “Maksud awak?”
            “Macam awak dengar, I write.”
      “So…” Karn memikirkan sesuatu. “You’re a writer? Kiranya awak datang sini untuk buat research, dapatkan maklumat, or perhaps dapatkan idea?”
            Dian menganggukkan kepala.
“Eh, yang awak macam excited sangat ni, kenapa?”
            “Well…lagilah kita boleh sama-sama explore tempat ni. Saya temankan awak, dan awak temankan saya.”
            “Huh?”
            “Deal, right?”
            Belum pun sempat Dian menjawab, lengannya terlebih dahulu disambar. Lidahnya jadi kelu sendiri.
*****
“AWAK ni sebenarnya pernah datang sini ke tak?”
            Karn menyengih dan menggaru kepala yang tidak gatal.
Dian mengecilkan mata. “Tak pernah, kan?”
“Mana ada! Pernah…”
“Tapi?” sambung Dian.
“Tiap kali saya datang ke sini, saya tak pernah ke pasar ni.”
Terlepas nafas panjang dari mulut Dian. Padanlah lelaki yang seorang ini nampak sangat jakunnya. Sudah mengalahkan dia yang datang jauh beribu-ribu batu. Tadi, berkali-kali juga mereka sesat di dalam Kimyong Market yang tidak ubah seperti kawasan dalam pagar sesat. Baru kini mereka berjaya keluar ke jalan utama.
“Entah-entah ini sebabnya awak beriya-iya sangat nak saya temankan awak. Kononnya nak saya bertanggungjawab bagai. Tapi sebenarnya….” Dian menghentikan suara dan mengangkat kening. “Awak takut, kan?”
Tersentak Karn.
“Eh, apa pula? Awak ingat saya ni penakut ke apa?” Cepat-cepat Karn membangkang. Dikatakan penakut, terguris ego lelakinya.
Terburai tawa Dian. Seronoknya dia kerana dapat mengenakan lelaki yang selalu sahaja menyakatnya.
            “Oh, sengaja sakat saya, ya? Ini yang nak kena ni!” ucap Karn kegeraman. Buah berangan di tangan diangkat tinggi, kononnya mahu dibaling pada Dian.
            Lagi Dian ketawa dan mengundurkan diri ke belakang. Nyaris-nyaris sahaja dia melanggar orang lain yang menyusuri jalan yang sama.
            Karn pantas mendapatkan Dian dan sama-sama menyambung langkah. Namun sekonyong-konyong hatinya ditebak rasa tidak senang. Dia seakan-akan dapat merasakan bahawa ada mata yang sedang memerhatikan mereka saat ini. Tanpa dapat ditahan-tahan, ingatan tentang Sakda mula menerjah masuk ke dalam diri.
            ‘Ah, tak mungkin!’ Dan secepat itu juga dia menghambatnya pergi.
            “Kenapa, Karn?” tanya Dian. Dia perasan akan perubahan wajah sahabat tidak rasminya ini. Tadi elok-elok sahaja bergurau senda, boleh pula tiba-tiba menyengap tanpa kata. Lengkap pula dengan wajah berkerut seribu.
            “Err, tak…tak ada apa-apa.”
            “Betul ni?” gesa Dian di luar kesedaran.
            Karn tersengih dan mendekatkan kepala ke sisi muka Dian. “Saya tak sangka pula awak betul-betul ambil berat tentang saya.”
            Terkujat Dian mendengarkan bait bicara bersahaja Karn. Pantas dia menjarakkan kepala. “Tolong jangan perasan, boleh tak?”
            Karn tertawa kuat. Namun, sekali lagi perasaan yang sama mencucuk suatu sudut hatinya. Sungguh! Apa yang membuatkan dia tidak sedap hati?
*****
DIAN merebahkan diri ke belakang. Tubuhnya yang sebelum ini lenguh-lenguh mula terasa lega. Semua ini gara-gara lelaki itu. Karn Klaharn!
            Jika tidak kerana Karn memaksanya untuk menjelajah Bandar Hat Yai, menyusuri kawasan walking street yang sesak dan terlampau ramai orang, pasti dia tidak akan berasa letih begitu. Rancangan awal mereka hanyalah menjelajah Kimyong Market, tetapi alih-alih dia diheret pula menaiki kereta kabel dan mengunjungi Ice Dome. Seronok itu memanglah seronok, tetapi natijahnya sekarang kedua-dua belah kakinya mula kebas, seluruh badan lenguh-lenguh. Dia pun satu, sejak bila pula lembik sebegini rupa?
Perlahan Dian menyentuh perutnya yang masih senak, kesan kerakusannya menjamah berbagai jenis makanan yang singgah di mata. Bilang sahaja makanan yang boleh didapati di Hat Yai, semuanya disumbat ke dalam mulut. Nasi Beriyani Thai, Hat Yai Chicken, Patai, Som-tam, Khanom dan bermacam-macam lagi. Mujur sekali makanan halal memang senang untuk diperoleh. Dan kerana itulah dia bagaikan menjadi pengacara Jalan-jalan Cari Makan. Makan, makan dan makan.
            Karn pula, seronok benar menyakatnya.
            “Tak sangka badan kurus macam ni, tapi makan banyak!”
            “Apa awak peduli?!”
            Mengingati lelaki yang seorang ini, hati Dian rasa tercuit. Entahlah, baru sahaja dua hari mereka mengenali satu sama lain, tetapi rapatnya seperti sudah bertahun lamanya menyulam persahabatan. Ya, hatinya tidak dapat menafikan perasaan seronok dan teruja yang melekat dalam dirinya saat dia dan Karn menghabiskan masa bersama-sama tadi. Terasa dirinya tidak lagi asing di bumi yang sepatutnya cukup asing buat dirinya.
*****
KARN mengerling ke sebelah beranda yang gelap. Entah apa yang dibuat oleh Dian. Sudah tidurkah? Ah, pasti Dian keletihan dengan segala agenda mereka hari ini.
            Lambat-lambat Karn menghela nafas panjang. Rasa lelah yang selalu bemukim dalam hatinya cuba dihambat pergi. Dia mahu terus menikmati ketenangan yang dirasainya kini. Dia ingin selalu menjadi seperti tadi. Saat dia dan Dian menyusuri kawasan Kimyong Market yang hingar-bingar dan meriah. Saat mereka sama-sama kegerunan di dalam kereta kabel atau saat mereka sama-sama kesejukan di dalam Ice Dome. Saat dia boleh menjadi gila-gila dan bercakap apa sahaja yang ada dalam fikirannya. Saat dia boleh mengusik dan menyakat semahunya. Saat dia tidak perlu memikirkan soal masalah yang baru sahaja menimpa Siripon.
            “Dian…Dian Damia.” Tanpa sedar meletus nama itu dari mulut Karn. Seakan-akan dapat melihat wajah manis Dian, bibir nipis Karn mula membentuk senyuman. Dia akui, dia senang sekali bersama dengan gadis yang baru dikenalinya itu.
Dian baginya, seorang gadis yang tidak pandai berpura-pura. Apa sahaja yang terlepas keluar dari mulut gadis itu benar-benar datang dari fikiran dan hatinya. Ya, Dian seorang yang terlalu berterus-terang dan selamba. Jika tidak, masakan berani sahaja gadis tesebut berkata sedemikian padanya.
            “Awak tahu tak, nama awak ni mengingatkan saya pada apa?”
            “Apa?”
            “Mumia kat Mesir. Yalah….Klaharn, macam sesuai je jadi nama mumia.”
            Itulah kali pertamanya seseorang mengatakan demikian padanya. Dan ternyata kata-kata Dian benar-benar mengusik hatinya, membuatkannya tertawa. Dian pula langsung tidak mempedulikan tawanya, sebaliknya gadis itu terus-terusan menyoal.
            “Tapi, nama Klaharn ni cantik juga. Apa maksudnya?”
            “Keberanian.”
            Jawapannya segera menghadirkan riak nakal pada wajah Dian yang kemudiannya mengusik dengan kening terangkat. “So, awak ni beranilah orangnya?”
            Sungguh! Dian Damia benar-benar seorang yang menarik. Tatkala dia bersama dengan gadis itu, Karn seakan-akan dapat menjadi dirinya yang sebenar. Dia tidak perlu menayangkan wajah serius yang selalu sahaja dipamerkan buat pekerja bawahannya, sedangkan dia bukan begitu orangnya.
            Telefon bimbit di tangannya ditalakan ke muka. Jari jemarinya mula menekan-nekan punat yang berbentuk huruf A,B, C sebelum punat ‘send’ akhirnya turut ditekan.
Beberapa minit kemudian, telefon itu bergema. Segera Karn membuka ikon berbentuk sampul surat. Pandangan matanya melekat pada skrin telefon bimbit.

A beach? Mestilah nak pergi.See you!

                                        _____________________________

BAB 6

“MINTA akauntan kita kira berapa pampasan yang perlu diberi pada semua mangsa,” bisik Karn pada Daeng, peguam keluarganya yang sedari tadi berada di sisinya sewaktu dia berbincang dengan ahli lembaga pengarah dan juga beberapa orang wakil pelanggan mereka.
            “Kenapa Tuan tak biarkan saja saya bercakap tadi? Kita tak perlu bertanggungjawab atas apa yang terjadi. Semuanya bukan salah kita,” balas Daeng dengan riak tidak berpuas hati.
            Karn memalingkan muka ke arah Daeng dan merenung peguamnya dengan tajam sekali.
            “Selagi ada nyawa yang terancam atas tanah kita, di Siripon…selagi itulah tanggungjawab itu jatuh ke atas bahu kita.” Tegas sekali butir-butir bicara Karn, seakan-akan tiada langsung keraguan.
            “Tapi, Tuan…”
            “Daeng, peristiwa keracunan makanan ini terjadi pada pelanggan kita, pelanggan Siripon. Walaupun siasatan dah pun mengesahkan bahawa puncanya bukan datang daripada Siripon, tapi kita tetap perlu bertanggungjawab sebab mereka jatuh sakit waktu di bawah pengawasan kita.” Lagi jawapan Karn berbaur ketegasan yang melangit. Wajahnya tetap seperti tadi, tegak dan serius.
            Dalam diam, Karn akui mungkin ada sedikit perasaan ralat dalam hatinya kerana Siripon terpaksa bertanggungjawab atas kejadian yang sebenarnya bukan kerana kepincangan mereka, tetapi kerana ada anasir luar yang cuba menjatuhkan Siripon. Ya, pihak berkuasa telah memaklumkan padanya bahawa terdapat bukti kukuh yang menunjukkan kesan pencerobohan ke dalam dapur café Siripon. Penceroboh berkenaan dipercayai telah memasukkan sesuatu ke dalam bahan mentah yang akan digunakan dalam masakan.
            Namun Karn juga sedar, walau apa pun sebab musabab kepada peristiwa itu, dia sebagai ketua keluarga Thanasukolwit dan pemilik Siripon, perlu bertanggungjawab. Tidak boleh ada kompromi dalam hakikat itu.
            “Lagipun mereka sudah pun bersetuju untuk tidak dedahkan peristiwa ini pada pihak media. Kalau tidak, nama baik Siripon pasti akan tercalar. It’s a win-win situation for us, Daeng.” Karn menyambung lagi, menjelaskan segala tindakan dan keputusannya.
            Daeng bungkam buat seketika sebelum akhirnya menganggukkan kepala. Terbit sedikit rasa menyesal kerana mempertikaikan keputusan Karn Klaharn, bosnya yang memang tersohor sebagai seorang yang bijak dalam mengatur urusan perniagaannya. Ah, bosnya berketurunan Thanasukolwit, sudah pasti dia seorang yang bijak dan sempurna!
            “Okay then, saya serahkan urusan selepas ni pada kamu, Daeng. Saya pergi dulu.”
            Daeng mengerutkan dahi. “Tuan mahu ke mana?”
            Terbentuk senyuman nipis di bibir Karn. Baru sahaja dia mahu membuka mulut untuk menjawab, telinganya tiba-tiba sahaja menangkap suara yang dikenalinya. 
“Karn!! Hei, Karn!!”
Karn dan Daeng sama-sama berpaling. Pandangan mata mereka melekat pada seorang gadis yang sedang melambai-lambai tangan.
“Tuan…” ucap Daeng, perlahan. Hatinya mula berasa cuak dengan kemunculan gadis yang tidak dikenali itu.
“She’s my friend,” bisik Karn seraya mengangkat tangan, membalas lambaian Dian. “Now you can go.”
“Tapi…” Daeng cuba membangkang. Bukan dia tidak mahu mendengar arahan ketuanya, namun dia telah pun dipesan oleh Uncle Sukrit untuk menjaga dan memastikan keselamatan Tuan Klaharn.
“Go, Daeng,” tegas Karn. “Just…leave.”
Terlepas dengusan kecil dari mulut Daeng sebelum dia menganggukkan kepala. Tubuhnya diundurkan ke belakang dan kemudian dia berpaling, meninggalkan Tuan Klaharn. Sempat juga dia mengerling ke arah gadis yang semakin menghampiri bosnya.
*****
“SIAPA TU?”
            Karn menjeling ke arah Daeng yang semakin menjauh sebelum bersuara. “Siapa?”
            “Itu, yang tadi cakap dengan awak,” balas Dian seraya memuncungkan mulut, menunjuk ke arah lelaki yang tadi dilihatnya bersama Karn.
            “Oh, nobody. Just…someone I know.” Sambil menjungkit bahu, Karn menjawab. “So, dah ready?”
            Dian mengecilkan mata dan kemudian mengelilingi Karn sambil memandang lelaki itu dari atas ke bawah.
Karn yang melihat mula keanehan. Dari  hujung mata dia melihat segala perlakuan Dian. “Awak ni kenapa?”
            “Awak nak pergi macam ni, ke?” soal Dian kembali.
            Spontan Karn menunduk, memandang dirinya sendiri dan kemudian….
            “Opps…”
            Terangkat kening Dian sebelum dia akhirnya ketawa kecil.
            “Kalau awak pergi macam ni, rasanya awak yang akan jadi tarikan orang ramai. Yalah, berapa kerat aje orang yang ke pantai dengan berkot bagai,” seloroh Dian dengan nada bersahaja.
            Meletus ketawa Karn. Dengan wajah yang tersengih-sengih, dia memegang belakang leher. “Sorry. Tadi saya ada urusan kerja sikit. That’s why…”
            “Tak apalah. No need to explain. Awak pergi tukar baju, saya tunggu kat lobi.” Dian menyampuk. Rasanya tidak perlu untuk dia memohon penjelasan, sedangkan dia yang sebenarnya tiba lebih awal daripada waktu yang dijanjikan.
            “Okey, Miss Dian…” balas Karn sambil menunduk, membuat gaya seorang bangsawan Inggeris.
            Dian tersenyum. “Dah, pergilah. And….pakai baju yang sesuai, tau. Not another tux.”
Jawapan Dian yang berbaur gurauan segera menghadirkan senyuman manis di bibir Karn.
“Don’t worry. Saya akan pilih baju yang paling sesuai. Or…” Karn menghentikan kata sambil tersenyum. Nakal sekali!
            “Or….” Dian menyoal dengan kening yang terangkat.
“Awak….nak tolong pilihkan?”
            Terlopong mulut Dian dengan usikan penuh berani Karn.
“Karn Klaharn!!!”
            Meletus ketawa galak Karn seraya mengangkat kedua-dua tangan ke atas.
            “Okey, okey! Saya pergi dulu. Tunggu saya, tau!”
*****
“YOU KNOW WHAT?”
“What?” Dian membalas soalan Karn, juga dengan jawapan yang berupa soalan.
Karn mengerling sedikit ke arah Dian yang kelihatan sedikit teruja dengan persekitaran dan pemandangan yang boleh dilihat dari dalam van. Dia perasan akan tingkah gadis itu yang tidak henti-henti meliarkan pandangan mata ke luar, seakan-akan cuba mematerikan segala yang terpamer di ruang matanya ke dalam fikiran. Ah, itu mungkin tabiat dan kebiasaan seorang penulis! Memerhati dengan penuh minat.
“Kat Samila Beach nanti, awak akan tengok something yang agak tak senonoh, tau.”
Tertoleh kepala Dian. “Hah?”
“Ya, betul saya cakap ni. Kalau hati awak suci murni, rasanya kena kuatkan semangat sikit.” Tenang dan serius Karn menuturkan kata.
“Apa yang awak merepek ni?”
“Yalah, patung mermaid tu memang seksi. Half-naked. Bahaya mata-mata yang memandang.”
Tanpa sedar Dian menyiku lengan Karn. “Itu saya tahulah! Dah memang macam tu rupanya sejak dari dulu, nak buat macam mana lagi? Tapi kan…”
“Apa?”
“Tak boleh ke orang yang bina patung tu bagi baju sikit kat dia? Kasihan mermaid tu, mesti malu.”
Meledak tawa Karn. Oh, God! Ada-ada sahaja Dian ni. Boleh pula fikir sampai macam tu sekali?
“Dahlah tu, jangan gelak lagi. Awak ingat saya buat lawak ke?” tempelak Dian walhal bibirnya turut menguntum senyuman lebar. “Oh, saya ada bendalah nak tanya awak!”
Hampir-hampir sahaja Karn tersedak. Sudahlah dia sedang enak ketawa, disergah begitu pula. Terkejut dia dibuatnya.
“Apa?” tanya Karn.
Dian menatap wajah Karn sedalam-dalamnya. Terkulat-kulat Karn membalas pandangan mata Dian.
“Macam mana awak boleh cakap bahasa Melayu?”
Tidak semena-mena terburai lagi ketawa Karn. Dia ingatkan apalah yang ingin disoal gadis di sebelahnya ini, dengan lagak sebegitu serius. Rupa-rupanya soal dia fasih berbahasa Malaysia.
Dian memerhati Karn dengan rasa pelik. Apa pula yang tidak kena dengan lelaki ini? Suka benar ketawa sendiri. Sudah tidak betulkah? Atau…ada mana-mana fius di otak yang sudah terputus?
“La…yang awak gelak-gelak ni kenapa? Tak betul ke soalan saya tadi?” Dian menyoal. Langsung tidak tercuit hatinya dengan gelak tawa sahabat yang baru dikenalinya itu.
“Be..betul, ta..tapi…” Tersekat-sekat suara Karn diselangi tawanya. Tangan kanannya menekan perut, berusaha untuk mengawal tawa yang seakan tidak henti-henti mahu meledak. “Muka…muka awak masa tanya tu serius sangat.”
“Yalah, habis tu nak buat muka macam mana lagi? Muka macam ni?” Dian menupang dagu dengan kedua-dua tangannya dan mengelipkan mata beberapa kali.
Tercengang Karn dengan reaksi bersahaja Dian sebelum dia sekali lagi menghamburkan tawa.
“Dahlah…dahlah…tak nak gelak lagi. Sakit perut saya.” Suara Karn tenggelam timbul dikuasai tawa.
Kata-kata Karn hanya dijawab dengan sengihan Dian. “So, macam mana?”
Karn mengerutkan dahi. “Macam mana apa?”
“Macam mana awak boleh cakap BMlah!”
“Oh, itu! Saya biasa ke Malaysia, ada urusan kat sana,” jelas Karn. Tidak pula diberitahunya tentang kebanyakan pembantu rumah utamanya yang berasal dari Golok, sebuah pekan yang terletak di sempadan Thailand-Kelantan. Ya, kerana merekalah, dia fasih berbahasa Malaysia!
Dian mengangguk-angguk bagaikan buruk belatuk. Agak berpuas hati dengan jawapan lelaki itu. Patutlah Karn begitu fasih bertutur dalam bahasa ibunda Dian, walaupun sedikit pelat.
“Anyway, lambat lagi ke kita nak sampai sana?” Dian bertanya tiba-tiba.
Karn mengerling ke luar tingkap van.
“Rasanya lagi lima belas minit kut. Chai mai, P’? (Betul tak, bang?)” Sempat Karn menyoal pemandu van di hujung katanya. Namun sebelum soalannya berbalas, bunyi lain yang terlebih dahulu menangkap perhatiannya.
Bunyi tembakan!

Share this:

ABOUT THE AUTHOR

Hello We are OddThemes, Our name came from the fact that we are UNIQUE. We specialize in designing premium looking fully customizable highly responsive blogger templates. We at OddThemes do carry a philosophy that: Nothing Is Impossible

2 comments:

  1. Bang!Bang!Hati ku ditembak Karn

    ReplyDelete
  2. huhuu. tak sabar nak peluk novel!

    ReplyDelete