Chan Rak Ter...Aku Cinta Kamu [Bab 26 dan 27]



BAB 26

SEMINGGU sudah berlalu sejak peristiwa Dian mengamuk. Karn perasan dalam seminggu itu Dian sudah lebih tenang. Walaupun wajah gadis itu masih lagi sepi daripada senyuman, riaknya tidak lagi kusut dan keruh. Pandangan matanya juga sudah mula redup, tidak lagi kosong tanpa secalit pun perasaan.
            Dalam hati, Karn benar-benar lega. Nampaknya Dian semakin sembuh. Dan dia yakin sudah tidak lama lagi sebelum Dian Damia akan kembali menjadi Dian Damia. Tidak sabar rasanya untuk dia menyambut kemunculan Dian yang asal, Dian yang licik, yang terlalu berterus-terang, yang aktif dan yang manis.
            Namun…adakah itu juga bermakna Dian tidak akan lagi tinggal di rumahnya? Ah, memikirkan kemungkinan yang satu itu, hati Karn jadi tidak sanggup. Ya, dia seakan tidak rela dalam melepaskan gadis itu pergi. Dia sudah terlalu biasa dengan kewujudan Dian bersamanya. Sudah menjadi tabiatnya, mengetuk pintu bilik Dian setiap hari dan mengucapkan selamat pagi sebelum ke pejabat. Begitu juga waktu kepulangannya dari Siripon. Setiap kali pulang, Karn pasti akan meluangkan masa bersama Dian, bercerita padanya atau sekadar berbual-bual kosong.
            Jika Dian tidak ada, bagaimana mungkin dia berbuat demikian lagi? Jika Dian tiada, pasti dia akan pulang pada kekosongan. Rumah yang kosong dan hidup yang kosong. Kehidupannya akan kembali seperti dahulu. Hanya bekerja, bekerja dan bekerja demi memastikan kekayaan keluarga Thanasukolwit tetap terjaga serta dilipat gandakan. Dan yang paling penting, Karn Klaharn Thanasukolwit harus kembali dalam perjuangannya untuk mempertahankan kuasanya dalam Siripon. Kuasa yang Karn rasakan tidak lebih daripada pembunuh senyap. Ya, membunuh kehidupannya dari dalam.
            “Tuan, saya dah cakap dengan ketua bahagian promosi. Pakej yang mereka cadangkan akan dikuatkuasakan bermula bulan depan.”
Uncle Sukrit yang tiba-tiba muncul dari sebalik pintu dikerling sekilas sebelum Karn membetulkan duduknya.
“Make sure everything dah ready sebelum launching. Saya tak mahu ada masalah nanti, especially with the safety of our customers. All those ATV mesti dipastikan selamat.” Karn menjawab tegas. “Saya tak mahu apa yang berlaku sebelum ini berulang lagi.”
Sukrit mengangguk kecil. Dia faham maksud Tuan Klaharn yang berbicara tentang kes keracunan makanan yang menggemparkan Siripon baru-baru ini. 
“Nama baik Siripon dah pun tercalar sedikit, so by hook or by crook…kita kena pulihkan balik nama tu.”
“Baiklah. Tuan jangan bimbang. Semua bahagian akan lebih berjaga-jaga.”
“But still, do take extra precautions. Kita tak tahu apa Sakda akan buat lepas ni.” Tiba-tiba muncul nama itu dari mulut Karn. Baginya, selagi manusia keparat itu tidak ditangkap polis, selagi itulah Siripon dalam bahaya. Yakin benar hatinya bahawa peristiwa keracunan sebelum ini ada kaitan dengan lelaki itu. Kalau menculiknya pun lelaki itu berani, masakan mungkin Sakda tidak sanggup meracuni orang lain semata-mata demi manjatuhkan kredibilitinya.
“Oh, speaking of Sakda, polis tak ada apa-apa klu ke?” tanya Karn tiba-tiba. Wajah Uncle Sukrit yang berkerut ditenung dalam-dalam.
Sukrit menggelengkan kepala. “No clue at all, Tuan. Dia macam tak wujud.”
Karn merengus.
“Oh, great. Just great! Lagi few weeks perbicaraan akan mula, tapi the big mastermind is still on the loose. Bagus sangat. Entah-entah manusia keparat tu tengah ketawa mengejek kita.” Dengan suara yang bergetar penuh kemarahan, Karn menyambung kata.
Sukrit membatu. Wajah tegang Karn dipandang tanpa kata.
“Uncle tahu tak? Selagi Sakda tak kena tangkap, selagi tulah saya takkan tenang. Saya takkan biarkan dia macam tu aje, lepas apa yang dia dah buat. Berani dia culik Klaharn Thanasukolwit! Berani dia arahkan Manop buat macam-macam pada Dian!”
Terbit dengusan kecil dari mulut Sukrit. Lagi nama Dian Damia dipantulkan oleh Tuan Klaharn. Sampai bila gadis itu harus terus-terusan mengambil tempat dalam kehidupan Klaharn Thansukolwit?
Tepat sepasang mata Karn menikam wajah Uncle Sukrit. Bukan dia tidak dengar bunyi dengusan tadi. Nampak sangat lelaki itu tidak berpuas hati dengannya. Perlahan Karn menyilangkan tangan dan menyoal dengan cukup tegas.
“Okey, tell me uncle. Apa yang uncle tak puas hati sangat dengan Dian?”
Tersentak Sukrit dengan soalan majikannya yang sangat terang-terangan.
“Jangan cakap tak ada apalah, uncle. Dari awal lagi, uncle tak suka dia, kan?” sambung Karn lagi.
“Uncle bukan tak suka dia. Cuma…dia buat Tuan bukan lagi Tuan,” jawab Sukrit akhirnya. Tenang sekali.
Berkerut dahi Karn. “Apa uncle cakap ni?”
“Tuan tak nampak ke apa yang dia buat pada Tuan? Tuan bukan lagi macam dulu. Kalau dulu Tuan letakkan Siripon nombor satu dalam kehidupan Tuan, tapi sekarang? Dah jatuh ke nombor berapa entah.”
Tersirap darah panas ke muka Karn.
“Tuan jangan lupa. Tuan adalah satu-satunya pewaris keluarga Thanasukolwit. Pemegang kegemilangan nama keluarga ni. Juga, pemilik Siripon dan apa-apa pun yang jadi, Siripon harus jadi nombor satu. Bukan sahaja di kawasan Pak Chong ni tapi dalam kehidupan Tuan!”
Mencerlung tajam sepasang mata Karn pada Uncle Sukrit. Panas sungguh hatinya dengan kenyataan berani yang diutarakan lelaki itu.
“Jadi, uncle nak cakap yang saya dah abaikan Siripon. Macam tu?” Dengan bibir yang diketap, Karn menyoal.
Sukrit terdiam. Dia sedar lelaki di hadapannya kini sudah mula marah. Namun dia tidak peduli lagi. Sudah menjadi tanggungjawabnya mengembalikan Tuan Klaharn pada jalan yang sepatutnya kala lelaki itu tergelincir. Itu adalah amanat daripada Tuan Besar, bapa kandung Tuan Klaharn sebelum majikannya itu menghembuskan nafas terakhir puluhan tahun yang lepas.
“Huh, saya betul-betul tak sangka uncle sanggup fikir macam tu. Siripon tu adalah segala-galanya bagi saya.”
“Betul ke? Uncle tak nampak yang Siripon adalah segala-galanya bagi Tuan lepas perempuan tu muncul. Tuan sentiasa lebihkan Cik Dian dalam segala hal,” cantas Sukrit dengan berani.
“And what’s wrong with that?!” Tanpa sedar Karn menempelak. “Uncle dah lupa ke apa yang jadi pada dia? She was hurt. And it was all because of me! Jadi apa pun yang terjadi, saya akan tetap jaga dia.”  
“Sampai bila, Tuan? Ini dah lebih sebulan. Takkanlah Tuan nak jaga dia selama-lamanya?!”
Karn terkedu. Selama-lamanya? Mahukah dia menjaga dan melindungi Dian untuk selama-lamanya? Dan entah kenapa, Karn merasakan suatu sudut hatinya mengiyakan dan dengan yakin menjawab ‘ya’.
Dalam Sukrit merenung wajah majikannya yang tiba-tiba kelu tanpa kata. “Tuan…takkanlah?”
*****
DIAN menarik nafas dalam-dalam, menghembusnya perlahan dan kemudian menyentuh tombol pintu. Bibirnya diketap kuat. Peluh yang mula membasahi dahinya dibiarkan sahaja.
            “You can do this, Dian.”
            Sedikit demi sedikit Dian menolak muka pintu. Langkah kakinya dipanjangkan sehingga tubuhnya separuh ke luar. Sepasang matanya diliarkan ke sekeliling sambil cuba menetapkan fokus pada persekitaran yang asing. Namun, dapat Dian rasakan jantungnya yang berkocak kencang. Tubuhnya terasa menggigil bersama peluh yang semakin menjadi-jadi. Tanpa menunggu lama, Dian kembali berundur ke belakang dan cepat-cepat menutup pintu.
            Kepalanya disandarkan pada muka pintu sebelum lambat-lambat Dian jatuh terduduk di atas permaidani indah yang melapisi lantai. Dadanya dicengkam kuat bersama air mata yang sudah pun bertakung di tubir, hanya menanti saat untuk dirembeskan.
            ‘Ya Allah, tolong aku! Sakitnya!!!’
            Sambil memejam mata, Dian cuba menarik nafas sedalam mungkin. Dia harus melakukan ini. Dia harus keluar daripada biliknya kalau dia mahu melawan ketakutan dalam dirinya. Ya, dia tidak boleh terus-terusan membiarkan dirinya tenggelam dalam kegelapan yang semakin hari semakin membinasakannya.
            “Tolonglah jadi kuat, Dian Damia. You really…really have to do this.”
            Dian menarik nafas sekali lagi, bangun dan bingkas membuka pintu yang selama ini terkatup dan memisahkan dia daripada dunia luar. Tubuhnya yang menggeletar tidak dipedulikan, sebaliknya Dian terus sahaja menapak dan menapak sehingga akhirnya berdiri kira-kira seratus meter daripada pintu bilik. Kedua-dua belah tangannya digenggam kuat.         
               “Aku…aku dah kat luar. Aku kat luar…” desis Dian perlahan sambil cuba menenangkan hatinya.
      Sedikit demi sedikit Dian memanjangkan langkah. Sepasang matanya tidak lepas daripada memerhatikan segenap ceruk rumah agam milik Karn ini. Daripada tempatnya berdiri, dia dapat melihat lampu chandelier yang tergantung gagah di atas siling. Kemudian Dian menjatuhkan pandangan pada ruang tamu utama yang terbentang luas di tengah-tengah rumah. Set sofa dengan ciri-ciri tradisional Thailand, meja kopi yang anggun, piano hitam yang sofiskated jelas membayangkan citarasa tinggi pemiliknya.
            Dian menelan air liurnya. Sungguh dia tidak menduga rumah Karn adalah segah dan semewah ini. Dengan kekayaan begini, tidak hairanlah ada pihak yang cuba menculik lelaki itu, dan dia pula yang tidak pasal-pasal terlibat sama.
            Kakinya diheret lagi. Namun Dian tidak pula menuruni tangga, sebaliknya dia mula menolak pintu bilik satu per satu. Terdapat enam buah bilik di tingkat atas, termasuk biliknya. Setelah habis ceruk tingkat atas diterokainya, Dian berkira-kira mahu turun ke tingkat bawah. Namun hujung matanya tiba-tiba menangkap satu ruang kecil yang elok terletak di sebelah bilik bacaan. Dengan penuh minat, Dian merapati dan menolak pintu. Jelas di matanya anak tangga yang tersusun elok, menuju ke tingkat atas.
            “Eh, rumah ni tiga tingkat ke?” Sambil tertanya sendiri, Dian menaiki anak tangga sehingga akhirnya dia tercegat di tengah-tengah satu ruang yang luas. Saat itu juga Dian dapat merasakan mulutnya yang membentuk huruf ‘O’. Terlopong luas!
            “Dahsyatnya!”
          Terbentang di hadapan mata Dian pemandangan yang amat mengagumkan. Di sekelilingnya tersergam rak kayu yang berukir indah dan penuh dengan buku-buku hingga menyentuh siling. Bau buku yang menusuk masuk ke dalam rongga hidungnya sangat mengujakan. Perlahan Dian mengatur langkah.
            “Business...finance…autobiography…” desis Dian sambil tangannya menyentuh buku-buku di rak. “Eh, A Doctor in the House pun ada?”
            Tangan Dian pantas sahaja mengeluarkan memoir Tun Dr Mahathir Mohamad, perdana menteri Malaysia yang keempat. Dibelek-belek buku itu dengan penuh minat sebelum Dian akhirnya melabuhkan punggung di atas lantai. Belakangnya disandarkan dengan lagak penuh selesa.
__________________________
BAB 27

“MACAM MANA dia hari ni, Mak Teh?” soal Karn seraya melonggarkan tali lehernya. Riak keletihan jelas tergambar pada wajahnya.
            “Macam tulah, Tuan. Tapi nampaknya Cik Dian lebih tenang dan tak lagi muram aje,” jawab Mak Teh. Tangannya menghulurkan segelas air sejuk pada Tuan Klaharn yang segera menyambarnya.
            Rakus Karn meneguk air dan menyerahkan kembali gelas itu pada pembantunya. “Saya naik atas tengok dia.”
            Mak Teh mengangguk dan menghantar pemergian majikannya melalui hujung mata. Kasihan dia melihat lelaki itu. Dalam keadaan penat sebegitu, masih lagi perlu menengok-nengok Cik Dian. Dalam hati Mak Teh mula tertanya-tanya sendiri, Tuan Klaharn selalu sahaja menjaga dan melindungi orang lain, jadi bila agaknya akan muncul seseorang untuk menjaganya pula? Seorang bidadari yang akan menjaga lelaki itu setulusnya dan menghadiahkan kebahagian buat Klaharn Thanasukolwit.
*****
“DIAN, saya ni. Buka pintu.” Dengan suara serak yang jelas kelelahan, Karn memanggil Dian.
            Hanya kesepian yang menyambut panggilannya. Hati Karn mula dibuai perasaan tidak enak. “Takkanlah….”
            Tanpa banyak berfikir, Karn membuka tombol pintu. Tidak berkunci!
            “Dian, saya buka pintu ni…” gesa Karn lagi seraya menarik pintu luncur di ruang tidur Dian. Bulat mata Karn melihat sekeliling yang kosong. Kemudian dia bergegas ke bilik air dan bilik pakaian. Juga kosong!
            “Mak Teh!!!” pekik Karn dengan kuat. Sekeping hatinya mula berkocak hebat. Kebimbangan dan kerisauan melimpah ruah dalam dirinya.
            “Ya, Tuan.” Terkocoh-kocoh Mak Teh menjawab panggilan majikannya.
            Karn menoleh dan mencerlung tajam. “Mana Dian?”
            “Huh? Cik Dian…bukan ke dia ada dalam bilik?” balas Mak Teh kembali dengan riak bingung. Matanya diliarkan ke sekeliling bilik.
            “Kalau ada, takkanlah saya tanya?” sinis Karn dengan wajah yang mula tegang. Jelas urat-urat wajah yang timbul.
            Mak Teh menelan air liur yang terasa amat kelat. Tuan Klaharn yang jelas sedang marah mula membuatkan dia rasa tidak sedap hati. Aduh, apa sudah jadi ni? Mana pula Cik Dian pergi?
            “Mak Teh, saya suruh Mak Teh jaga dia baik-baik. Tapi, apa yang Mak Teh buat?! Macam mana dia boleh hilang, hah?!” Tanpa sedar, Karn mula menempelak dengan kasar.
            “Mak Teh…Mak Teh…”
            “Cari dia. Sekarang juga!!!” cantas Karn dengan lantang sebelum bergegas keluar dari bilik. “Sri, Pat, Singh!!!”
            “Ya, Tuan!” Hampir serentak pembantu Karn yang lain menjawab. Masing-masing memandang tuan mereka yang kini berdiri tegak di atas tangga.
            “Sri, Pat…cari Cik Dian di kawasan rumah. Kamu, Singh…inform Uncle Sukrit. Minta pekerja Siripon cari Cik Dian di resort dan ladang. Now! Move!!!” arah Karn dengan tegas. Dadanya turun naik dengan rasa cemas. Janganlah ada apa-apa terjadi pada Dian. Janganlah!
*****
“KARN!”
            Karn yang sedang berbicara dengan pekerja ladang mengerling sekilas sebelum menjawab dengan cukup dingin.“Apa kau nak?”
Krissada menggigit bibir dan menggaru belakang leher. Jelas sepupunya masih marah padanya.
“Aku…aku dengar apa yang dah jadi.”
“So?” pintas Karn, masih lagi dengan riak dingin. Ah, malas dia mahu berbasi-basi dengan sepupunya pada saat otak dan fikirannya dibelenggu dengan kehilangan Dian.
            “Aku…aku cuma nak tolong kau cari dia.”
            Karn merengus kasar. “Kau nak cari dia? Tak payahlah. Aku takut macam-macam lagi yang jadi kalau dia nampak kau.”
            Tersirap darah panas ke muka Krissada.
            “What’re you trying to say, Karn Klaharn?” Dengan bibir yang diketap, Krissada menyoal.
            Terbit senyuman sinis di bibir Karn. “Selama ni benda macam ni tak pernah jadi. Tapi last week, bila kau muncul depan dia…Dian jadi lain. Dia cederakan diri sendiri, and now dia hilang!”
            “So, kau nak cakap semuanya sebab aku? Salah aku? Macam tu???” bentak Krissada dengan kuat. Sungguh dia tidak menduga begitu sekali tafsiran Karn tentang apa yang telah terjadi.
            Karn tidak menjawab. Hanya sepasang matanya yang membalas renungan Krissada yang tajam dengan api kemarahan. Mereka bersabung mata buat seketika sebelum Krissada tiba-tiba bersuara. “Kau tahu tak…kau dah lain sekarang ni? Kau bukan lagi macam Karn yang dulu.”
            Tersentak Karn mendengar komen dingin sepupunya. Segera kata-kata Uncle Sukrit pagi tadi menjengah ingatannya. Sama! Komen mereka sama! Dia tidak lagi seperti Karn Klaharn yang dahulu.           
“Selama ni kita tak pernah bergaduh, tapi sekarang…kita macam tak boleh langsung bertemu muka. Apa yang kau fikir, semuanya pasal Dian…Dian…dan Dian.”
“So kau nak cakap aku terlalu lebihkan Dian?” balas Karn kasar. “Kalau iya pun, apa kena-mengenanya dengan kau?”
            “Mestilah ada kena-mengena sebab aku…” Lidah Krissada terkelu sendiri. Hampir-hampir sahaja dia mengatakan suka pada Dian. Erk, adakah dia baru sahaja nyaris terlepas cakap? Dan…adakah dia betul-betul sudah jatuh cinta pada Dian Damia, gadis yang langsung tidak dikenali?
            “Sebab kau apa, Kris?” gesa Karn dengan rasa curiga.
            Krissada menelan air liur sebelum membalas dengan jawapan yang terselit dengan pembohongan. Ya, pembohongan untuk melindungi perasaan sebenarnya buat Dian.
“Sebab aku ni sepupu kau, Karn. Kenapa hubungan kita harus jadi macam ni? Kalau iya pun aku bersalah last week, takkanlah kau nak terus-terusan hukum aku?”
Terdiam Karn mendengar jawapan Krissada yang bernada lirih. Betul kata sepupunya itu. Kenapa dia terlampau dihambat emosi, sehingga mengeruhkan hubungan rapat mereka? Sudahlah Krissada adalah satu-satunya ahli keluarganya, yang sentiasa bersamanya…berganding bahu dalam menjaga Siripon.
Karn meraup wajah dan mengeluh. “Aku…aku minta maaf. Seriously, aku sendiri tak tahu apa kena dengan aku ni.”
Krissada tersenyum dan menepuk bahu sepupunya. “Aku rasa aku tahu.”
Terangkat kening Karn.
“Kau tak nak apa-apa lagi jadi pada Dian, sebab tu kau tak bagi orang lain dekat padanya. Aku tak salahkan kau tapi…”
“Tapi apa?”
Krissada melebarkan senyumannya yang kini bertukar nakal.
“Tapi, kau ni dah macam bapa yang takut ada lelaki kacau anak perempuan dia.”
Mata Karn membulat.
“Kris! Kau ni kan….”
Krissada ketawa besar sebelum bersuara. “Kau jangan terlampau bimbanglah, Kan. Dian takkan apa-apa. Aku tolong kau cari dia, ya. Kat Le Grand.”
Lambat-lambat Karn mengangguk. “Thanks, man.”
“No big deal.”
*****
MUNDAR-MANDIR Karn di tengah-tengah ruang tamu. Dadanya turun naik dengan rasa cemas, bimbang dan marah. Semuanya bercampur baur. Segala berita yang diterima daripada pekerjanya sangat menghampakan! Tidak ada langsung kelibat Dian di resort dan ladang. Tadi Karissada juga telah menelefon dan memaklumkan bahawa Dian tidak ada di Le Grand Vineyard. Ah, ke mana gadis itu menghilang?!
            Pembantu rumah dan beberapa pekerja Siripon yang elok berbaris menunduk ke lantai. Masing-masing sudah kecut perut. Tidak pernah langsung mereka melihat perilaku Tuan Klaharn yang sedemikian rupa. Lelaki itu sudah umpama harimau yang bila-bila masa sahaja lagi akan menerkam dan meratah mereka hidup-hidup.
            “Betul kamu dah cari dia di semua tempat? Di seluruh ceruk Siripon?” tanya Karn tiba-tiba.
            Pekerja Karn saling berpandangan. Tidak tahu siapa yang patut menjawab.
            “Saya tanya ni, takkanlah itu pun tak boleh dijawab?!” tengking Karn. Panas hatinya dengan riak semua pekerjanya.
            “Dah…dah, Tuan. Dah cari. Tapi, tak ada…” Beberapa orang pembantu dan pekerjanya tergopoh-gapah menjawab.
            Tepat Karn merenung pekerjanya seorang demi seorang. Semuanya hanya menekur. Karn tahu mereka semua sedang takut padanya. Dalam-dalam Karn menghela nafas panjang.
            “Okay, fine. Pergi cari dia lagi. Inform cepat-cepat kalau ada apa-apa berita. Now you can go,” tekan Karn dengan nada yang sudah menurun.
            Cepat-cepat pekerja Karn menunduk hormat sebelum bergegas keluar. Tidak betah rasanya terus-terusan berhadapan dengan amarah majikan mereka.
            Karn membiarkan sahaja dan melabuhkan punggung ke atas sofa. Kepalanya dipicit-picit. Runsing betul dia dengan kehilangan Dian. Atau lebih tepat lagi dia sebenarnya takut kalau-kalau ada perkara tidak enak yang terjadi pada Dian. Perkara yang mungkin ada kaitan dengan Sakda. Mungkinkah Dian diculik sekali lagi oleh manusia keparat itu? Ah, mustahil! Dian berada di dalam rumahnya, takkanlah sewenang-wenangnya lelaki itu masuk dan melarikan Dian?
            “Mana awak sekarang, Dian? Kat mana lagi saya boleh cari awak?”
            Habis segenap pelusuk Siripon dijejaki, malah Le Grand Vineyard yang terletak sedikit jauh itu juga diterokai. Rumah, jangan cakaplah! Seluruh ceruk sudah dia pergi.
            “Jadi, kat mana…” Karn tersentak tiba-tiba. Dia teringatkan sesuatu. Oh God! Macam mana dia boleh terlepas pandang?

p/s: Karn boleh jadi sangat garang...hehe

Share this:

ABOUT THE AUTHOR

Hello We are OddThemes, Our name came from the fact that we are UNIQUE. We specialize in designing premium looking fully customizable highly responsive blogger templates. We at OddThemes do carry a philosophy that: Nothing Is Impossible

18 comments:

  1. kak saraa...alaa suka gantung cam niii..

    ReplyDelete
  2. yeee..kak sara..yee..suka bab 24 nihhh -.-
    tak tdoo lena lagi malam nihhhh..HAHA
    tak suka Karn garang..nak Karn sweet
    yeahhh..Dian dan berani :D

    ReplyDelete
  3. Saya peningla nama watak awak ni sara. Tergeliat lidah nyebutnyaa. Maaf ya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. xpe. sbb nm thai ni mmg ssh nk nyebut.sy pn still terpeliot lidah nk sebut..hehe

      Delete
  4. sara,sara, jauh bebenor ko buat si karn ni cari dian...hehe tapi best, what a maze for karn, akak dah tak dpt nak teka apa yg sterusnya...teruskan,teruskan

    ReplyDelete
    Replies
    1. haha, saje nk siksa hati Karn skit. biar dia tahu betapa pentingnya Dian utk dia...=)

      Delete
  5. punye excited baca tibe tibe tergantung . mmg best lahh . syg kak sara sgt :) haha

    ReplyDelete
  6. sarapan yg tervaik utk kak lia pagi ni bila da n3 dari sara... love u so much sara.... watak garang karn mmg baik... sesuai sgt2.. sbb dlm hati dh mula terdetikkata CINTA cuma x dapat di sedari dan x mampu utk menyatakannya... betulkah begitu...????????? apa pun.. kita tunggu next n3 .. apa jdi bila karn dh jmpa dian kat timbunan buku2 tu semua.... (^_^)

    ReplyDelete
    Replies
    1. yezza!!! Pandai akak...memang dlm hati Karn dh ada cinta, tp itulah...xreti-reti nk perasan. so nah, ambik! Dian hilang (walapun tak pun sbnrnye) dan Kar haruslah cari bagai nak rak..hehe...

      Delete
  7. Thanks Sara for new n3, suka sgt tgk Karn yg amat perihatin terhadap Dian. Sy excited dan x sabar nk tggu n3 baru. Thank you so much dear... :-)

    ReplyDelete
    Replies
    1. akak.... saya da beli novel nie... best sgt2222!!! karn so sweet.. tiap kali baca tiap kali tu gak saya rasa jatuh cinta kat dia... haha... buat semua yg tak beli lagi dinasihatkan beli... tak rugi... best sgt!!!

      Delete
    2. awww!!! thanks sgt2!! khop khun maak na ka...=)

      Delete