Chan Rak Ter...Aku Cinta Kamu [Bab 24]


BAB 24

“GERAMNYA AKU!”
          Seakan bergegar kediaman Krissada dengan jeritan pemiliknya. Geram sungguh hati Krissada dengan sepupunya, dengan segala tuduhan yang dilemparkan padanya. Ya, memang salahnya kerana tidak mendengar kata. Tetapi adakah itu bermakna Karn punya hak untuk melampiaskan pelbagai tuduhan yang tidak berasas padanya?
           Dia cuba mengapa-apakan Dian? Dian jadi begitu kerana dia telah membuat sesuatu padanya? Tidak logik. Langsung tidak logik!
            Dia tidak punya niat untuk berbuat apa-apa pada gadis itu. Walau sebesar zarah pun tidak ada! Dia cuma ingin menghulurkan salam perkenalan. Sejak dia melihat Dian Damia, hatinya jadi aneh sekali, seakan tidak tenang selagi tidak dapat mengenali gadis itu. Jadi kerana itulah Krissada cuba mendekati dan cuba berkawan dengannya. Namun ternyata perkiraannya salah. Sebaik sahaja dia muncul di hadapan gadis itu bersama sejambak bunga mawar kuning, Dian tiba-tiba sahaja bertindak menjauhkan diri dan menjerit-jerit. Makin didekati, makin mengamuk pula jadinya.
            Krissada masih ingat lagi betapa terkejutnya dia dengan reaksi gadis itu. Yang termampu dia buat kala itu hanyalah terkaku tanpa kata, sebelum tubuhnya ditarik keluar oleh Mak Teh. Sempat matanya menyapa pandangan Mak Teh yang seperti memarahinya sebelum wanita itu bergegas menelefon Karn. Ya, dia ke bilik Dian tanpa memaklumkan Mak Teh terlebih dahulu. Ah, itulah kebiasaannya. Keluar masuk rumah agam itu sesuka hati kerana dia adalah sepupu Karn. Malah Karn sendiri tidak pernah kisah akan perbuatan itu.
            Perlahan Krissada meraup wajah. Hatinya kusut sekali. Wajah Dian, wajah Karn bersilih ganti menerpa dalam fikirannya.
            “Siapa dia pada kau sebenarnya, Karn?”
            Soalan yang diutarakan buat Karn singgah di telinganya. Entahlah dia sendiri tidak mengerti kenapa soalan sebegitu yang terpacul buat sepupunya. Mungkin kerana sikap keras Karn siang tadi. Sikap itu tidak pernah dipamerkan oleh Karn Klaharn, lebih-lebih lagi gara-gara seorang wanita.
Namun bila mengingati perangai dan perasaannya kini, Krissada jadi bingung sendiri. Kenapa dia beria-ia benar mahu mendekati gadis itu? Jadi persoalannya sekarang…
Siapa pula Dian Damia buat Krissada?
*****
DIAN memandang kosong ke hadapan. Segala kejadian semalam bermain-main dalam ingatannya. Dia yang tiba-tiba mengamuk, dia yang menangis, dia yang mencederakan dirinya sendiri. Dia yang bukan…Dian Damia.
          Sungguh! Dian merasakan dia semakin jauh daripada dirinya yang sebenar. Setiap hari dia hidup bertemankan rasa takut, keliru dan terdesak yang sentiasa menghimpit jiwanya. Malamnya pula dicemari dengan igauan tentang segala peristiwa hitam itu, tentang Manop dan yang paling menakutkan…tentang saat-saat kematian lelaki itu.
           Letih! Dia sudah benar-benar letih dengan semua ini. Sampai bila lagi segala ingatan tentang peristiwa hitam itu harus menghantui dirinya? Penculikan itu cuma berlaku selama lapan belas jam, tetapi lapan belas jam itu sudah pun menjadi bayang-bayang hitamnya selama lebih enam minggu lamanya, selama empat puluh dua hari, selama seribu lapan jam!
            Tuk! Tuk! Tuk!
           Segera Dian menjeling sekilas pada pintu. Dia kenal bunyi ketukan yang kedengaran sedikit sayup itu. Bunyi ketukan Karn. Ya, ketukan pada pintu utama di luar ruang rehat biliknya. Perlahan Dian mengangkat lutut dan menekup kedua-dua belah telinganya. Dia tidak bersedia untuk bertentang mata dengan Karn, untuk menghadap lelaki itu setelah Karn melihat sisinya yang paling gelap semalam. Sisinya yang bertemankan darah dan pekikan yang tidak ubah seperti diserang histeria.
         Karn yang berada di luar bilik mula tidak senang duduk. Makin bertalu-talu dia mengetuk bilik sahabatnya.
            “Dian, awak okey tak? Buka pintu ni!”
            Dian makin mengemaskan tangan di telinga. Tubuhnya mula menggeletar bersama mata yang dipejam rapat-rapat. Dia tidak mahu…dia tidak mahu Karn melihatnya.
‘Tolong, Karn…tolong jangan ketuk pintu lagi. Saya tak nak awak tengok saya macam ni. Saya tak nak!!!’
          Dada Karn mula berdegup kencang. Pelbagai kemungkinan buruk mula menerpa ke dalam fikirannya. Keadaan Dian yang berlumuran darah semalam juga mula menyesakkan ingatannya.
‘Jangan! Janganlah ada apa-apa berlaku padanya lagi. Aku takkan biarkan!’
            “Dian! Buka pintu ni!!!” Lagi Karn meneriak. Tangannya masih setia mengetuk pintu dengan kuat.
            “Tuan…”
            Tanpa memalingkan muka, Karn menjerit. “Ambil kunci pendua, Sri! Cepat!!!”
            Sedikit terangkat bahu Sri mendengarkan arahan majikannya yang meninggi. Bergegas dia berlari ke arah tempat gantung kunci yang terletak tidak jauh dari kedudukan mereka. Kemudian dia berlari ke arah Tuan Klaharn bersama segugus kunci.
            Dengan rakus Karn menyambar kunci daripada tangan Sri. Kelam-kabut dia memilih kunci dan menyumbat kunci yang dicarinya ke dalam tombol pintu.
            “Dian!” seru Karn setelah selamat masuk. Matanya meliar mencari kelibat gadis itu. Tidak ada! Pantas Karn menerpa ke arah pintu luncur yang memisahkan dia dan ruang tidur Dian.
            “Dian!!! Awak…” Terkatup sendiri mulut Karn saat bebola matanya jatuh pada Dian yang sedang menekup telinga di penjuru bilik. Kedua-dua mata gadis itu tertutup rapat bersama deraian air mata yang menodai pipi mulusnya. Tubuh Dian kelihatan menggeletar.
            Perlahan-lahan Karn mendekati Dian sebelum melutut di hadapan gadis itu. Tanpa mengeluarkan sepatah kata, dia merenung segenap wajah Dian. Seakan dapat dia rasakan betapa sakitnya, betapa takutnya, betapa bingungnya dan betapa menderitanya Dian saat ini. Buat kesekian kalinya, hati lelaki Karn turut meneriak hiba. Alangkah baiknya kalau kesakitan Dian itu bisa dipindahkan ke bahunya. Biarlah dia yang menanggung segalanya. Biarlah dia yang menangis penuh derita. Biarlah dia yang terus-terusan terseksa. Bukan Dian Damia!
            Dian dapat merasakan desah nafas Karn yang menyapa wajahnya. Malah, bau maskulin lelaki itu turut menyelinap masuk ke dalam seluruh rongga hidungnya. Cuma suara lelaki itu sahaja yang tidak didengarinya. Ah, bagaimana mahu mendengar kalau dia yang menutup telinganya?
Lambat-lambat Dian menjatuhkan tangannya, menarik nafas dan membuka mata. Tepat dia menatap wajah Karn yang sedari tadi hanya merenungnya tanpa kata. Mereka bertatapan buat seketika sebelum Karn akhirnya bersuara perlahan.
“You’re in so much pain, and yet…I can’t do anything for you.”
Menitis setitik air mata Dian.
“Semuanya salah saya. Kalaulah…kalaulah awak tak kenal saya, semua ni takkan jadi pada awak.”
Dian membatu. Matanya tidak lepas daripada Karn yang sedang meraup wajah berkali-kali. Riak wajah lelaki itu tegang sekali, seakan menyimpan rasa yang sangat berat. Sedikit demi sedikit timbul rasa bersalah dalam sudut hati Dian. Ah, Karn jadi begitu kerana dirinya. Dia yang membebankan Karn Klaharn.
“I’m sorry, Dian…I’m so sorry….” sambung Karn lagi dengan lemah. Kini dia sudah pun tertunduk di hadapan Dian dengan lagak penuh kekesalan.
Dian mengetap bibir yang terketar-ketar. Pandangannya tepat pada Karn yang menunduk. Kedua-dua belah tangan lelaki itu digenggam erat. Barulah Dian perasan tangan kiri Karn sudah tidak beranduh, sebaliknya dibaluti oleh kain putih. Kemudian Dian mengangkat kembali matanya pada Karn. Entah kenapa, timbul rasa mahu mengusap rambut lelaki itu, memujuknya dan mengatakan segala-galanya okey. Ah, terbalik pula keadaan sekarang!
“Karn…” Lambat-lambat Dian memanggil nama sahabatnya. “Pandang saya.”
Karn mengangkat wajah. Saat itu juga hati Dian bagaikan tersentap. Mata Karn berkaca-kaca.
“I’m sorry, I truly am.”
            Sambil menyeka sisa air mata di pipinya, Dian menggelengkan kepala. “Bukan salah awak.”
         “No! Semuanya memang salah saya! Awak trauma macam ni, awak ketakutan macam ni, awak menangis macam ni dan awak…” Kasar Karn mengambil tangan kanan Dian yang berbalut. “Luka macam ni…semuanya salah saya!”
         Dian terdiam. Terkejut juga dia dengan reaksi penuh emosi Karn. Kini barulah dia sedar, keadaannya sekarang bukan hanya membuatkan dia menderita, malah menyeksa orang di sekelilingnya. Atau lebih tepat lagi…menyeksa Karn Klaharn!
        “Awak tahu, Dian…” Kali ini nada suara Karn mula mengendur. “Bila tengok awak semalam, barulah saya mengerti betapa gagalnya saya dalam menjaga awak. Saya selalu gagal, kan? Saya gagal dalam menghalang dia orang culik awak, saya gagal dalam menghalang dia orang sentuh awak, saya gagal dalam menghalang Manop pukul awak.”
            Spontan Dian menggelengkan kepala.
           “Awak silap. You protected me. Awak biarkan dia orang belasah awak semahunya. Awak bersujud di kaki dia orang. Awak buang jauh-jauh harga diri awak. Awak cabut nyawa orang lain. Dan semuanya demi saya.” Seakan-akan berbisik, Dian menjawab. Jantungnya mula sebu dengan rasa terharu dan tersentuh.
            “Tapi awak tetap menderita.”
           Sekali lagi Dian terkedu. Nampaknya apa yang berlaku padanya semalam benar-benar meninggalkan kesan pada Karn. Perlahan Dian menelan air liur dan menyandarkan tubuh pada dinding. Nafasnya ditarik dalam-dalam, cuba mencari sedikit ketenangan untuk diri walaupun dia tahu ketenangan itu sebenarnya sudah lenyap daripada jiwanya.
            “Mungkin betul cakap awak. I really am in pain. I feel like I’m stuck in my own body. Saya sedar dengan semua benda, dengan apa yang saya buat tapi…saya tak boleh buat apa-apa. Apa yang saya fikir dengan apa yang saya buat…semuanya berbeza. Tak sama langsung.” Dian bersuara lirih.
            Karn diam tidak berkutik. Hanya sepasang telinganya yang setia mendengar. Dia tidak menduga Dian akan meluahkan perasaan yang selama ini memerangkapnya.
“Saya tahu saya tak boleh terus takut, tapi tiap-tiap hari saya diselubungi ketakutan. Saya tahu Manop dah tak ada, tapi tiap-tiap malam saya nampak dia. Saya tahu lelaki yang datang semalam tu bukan orang jahat, tapi bila nampak dia…saya cuma nampak orang jahat yang culik kita dulu. Dan lepas tu…lepas tu…saya mula buat macam-macam,” sambung Dian lagi di sebalik suaranya yang tersekat-sekat dek kerana emosi yang mula menyesakkan jiwa. “Awak tahu tak…kadang-kadang saya rasa macam saya ni dah gila.”
“Dian Damia!” Karn sedikit terjerit. Tidak suka mendengar kata-kata terakhir Dian. Sudah acap kali Dian mengatakan begitu dan sungguh, dia benci bila Dian mengucapkan perkataan ‘gila’.
“Awak dengar sini, Dian. Awak tak gila. Awak bukannya tak betul. Awak cuma…”
“Trauma,” pintas Dian. “You said that just now. Cuma…saya tertanya-tanya, sampai bila? Saya dah tak larat nak hidup macam ni. Saya dah tak sanggup….” Dian mengangkat mata dan merenung Karn. “Seksa hati awak dengan keadaan saya ni.”
Karn tergamam.
“I wish I could be a little bit stronger. Dan takkan bebankan awak…”
“Awak tak bebankan saya. Never!” sampuk Karn penuh ketegasan. Sedikit tersentak Dian dibuatnya. Terus sahaja dia diam seribu bahasa. Tidak berani pula menyambung kata tatkala melihat reaksi serius Karn.
Tajam Karn merenung Dian yang terkulat-kulat memandangnya. Gadis itu sedang menggigit bibir dengan lagak serba-salah. Terbit perasaan kasihan dalam dirinya. Sudahlah Dian masih lagi berperang dengan traumanya, dia pula terlebih emosi. Ah, apa sudah jadi padanya?
Perlahan Karn menarik nafas dalam-dalam sebelum menyoal perlahan. “Tangan awak macam mana?”
Dian sedikit tersentak sebelum menjatuhkan pandangan pada telapak tangannya yang berbalut. “Okey.”
“Angkat, saya nak tengok,” arah Karn.
Mendengar suara Karn yang tegas, automatik sahaja Dian mengunjukkan telapak tangannya pada lelaki itu.
Karn membelek tangan Dian tanpa suara. Wajahnya tetap seperti tadi. Serius dan kelat. Namun tetap jua Dian dapat melihat kesedihan dan rasa hiba pada wajah itu. Dan dia tahu segala kesedihan itu berpunca daripada dirinya!
Terpaku bebola mata Dian pada lelaki di hadapannya yang sedang tunduk dan kelihatan leka menilik telapak tangannya. Perasaan terharu menjengah masuk ke dalam hatinya. Ya, tersentuh benar hati wanitanya dengan segala keprihatinan yang ditunjukkan oleh Karn.  Kemudian Dian menjatuhkan pula pandangannya pada tangan kiri Karn.
“Tangan awak pula macam mana?”  Tanpa sedar, Dian menyoal perlahan.
Serta-merta Karn mengangkat pandangan dan saat itu juga matanya tepat menikam sepasang mata Dian yang sedari tadi merenungnya.
Karn menelan air liur yang tiba-tiba sahaja terasa kelat. Dia bagaikan ditarik masuk oleh renungan mata Dian yang lunak dan sedikit kosong. Kala itu barulah dia perasan akan iris mata Dian yang agak berwarna coklat. Selama perkenalannya dengan gadis itu, dia sentiasa merasakan bahawa sepasang mata milik Dian adalah hitam pekat. Namun rupa-rupanya dia silap. Bukan hitam, tetapi coklat!
Terkulat-kulat Dian cuba membalas pandangan mata Karn bersama hatinya yang mula berdetak aneh. Entah kenapa, dia seakan-akan terpaku untuk terus bertentang mata. Tidak mampu langsung untuk mengalihkan pandangan, walau sesaat cuma.
“Dian…”
Suara bisikan Karn segera membuatkan Dian tersedar. Cepat-cepat dia menunduk dan mengetap bibir. Pipinya terasa membahang.
Karn tersenyum kecil. Wajah kemerahan Dian mencuit hatinya. Timbul rasa ingin menyakat wanita di hadapannya, namun ditahan-tahan rasa itu. Dian Damia kini bukan lagi Dian Damia yang boleh menerima gurauan sebegitu. Buat kesekian kalinya Karn mengingatkan dirinya sendiri.
“Janji pada saya…” Tanpa menjawab soalan Dian tadi, Karn tiba-tiba bersuara. Sedikit berbisik.
Dian memandang dengan kerut di dahi.
“Jangan sesekali cakap macam tu lagi. Saya tak nak dengar. Saya tak suka. Tolong jangan anggap diri awak gila dan tolong jangan sesekali rasa awak membebankan saya.”
“Tapi…”
“No but. Saya nak awak tahu, Dian. Awak ada saya. I’m here and will always be here for you. Saya akan tolong awak buang jauh-jauh segala ingatan hitam awak tu. I promise.”
Lama Dian berjeda. Hanya menatap wajah Karn tanpa kata. Jelas di wajah lelaki itu ketulusan dan keikhlasan yang Dian sendiri tidak tahu datang dari mana.
“Dian…” panggil Karn setelah dilihatnya reaksi Dian yang kosong semata-mata.
“Awak baik, Karn. Terlampau baik.”
Spontan Karn menggelengkan kepala. “Tidak, saya tak baik. Saya cuma bertanggungjawab atas apa yang sepatutnya. Kerana saya seorang Thanasukolwit.”
Dian membatu. Sebenarnya dia tidak memahami bait bicara Karn. Apa kaitan antara tanggungjawab dengan keturunan Karn?
“Saya keluar dulu, Dian. But please…don’t do anything macam semalam. It hurts to see you like that.”
Lambat-lambat Dian mengangguk. Matanya menghantar pemergian Karn hingga akhirnya lelaki itu lenyap dari sebalik pintu.
            “And for that, I’m sorry. I’m sorry for hurting you, Karn…” 

Share this:

ABOUT THE AUTHOR

Hello We are OddThemes, Our name came from the fact that we are UNIQUE. We specialize in designing premium looking fully customizable highly responsive blogger templates. We at OddThemes do carry a philosophy that: Nothing Is Impossible

10 comments:

  1. wah ! bestnye !
    cpt2 smbung . .
    -fz-

    ReplyDelete
  2. ok..cair dgn karn sudah -.-
    entry lepas nihh kasi dieorg kahwin boleh ? HAHA
    best..sayang akak :)

    ReplyDelete
  3. Touching betullah...
    Harap Karn dapat jaga Dian untuk selamanya...#^_^

    ReplyDelete
  4. waaa, nk menangis pon ader bace cter ni :)
    tapi memang karya kak sara aisha lain dr yg lain, best sangat, cant waitt for the next chapter ^^

    ReplyDelete
  5. kak Sara..sambunglah lagi..hihihi...bleh ain wat marath0n bace... :D

    ReplyDelete
  6. sedih sara! nape dua2 terbeban yg teramat sgt? rasa2 nye tak abis lagi luahan karn+dian. apa maksud dian diakhir n3 ni?.....

    ReplyDelete
  7. hampir nk melting tau kak sara! sis,smbung cepat2... muahs!

    ReplyDelete
  8. best...suke2...cyg cik writer lbih la...:-)

    ReplyDelete