Chan Rak Ter...Aku Cinta Kamu [Bab 8]



BAB 8

TIDAK!
            Bukan wang yang dia idamkan. Ah, pembetulan! Bukan sekadar wang yang dia mahu daripada lelaki itu. Dia mahukan lebih daripada itu. Dia mahukan nyawa. Ya, nyawa Karn Klaharn Thanasukolwit yang bernilai lebih berbilion Baht.
            Andai nyawa itu berada dalam genggaman tangannya, pasti dia akan berasa puas. Kepuasan itulah yang dia mahu, yang dia idamkan lebih daripada segala-galanya dalam dunia ini. Jika Karn Klaharn tidak ada, dialah yang akan menjadi manusia paling kaya di kawasan Pak Chong.
Bukan setakat Siripon Resorts yang akan menjadi miliknya, malah ladang ternakan lembu yang berekar-ekar luasnya itu pasti akan diperolehnya. Dan itu belum lagi termasuk dengan ladang anggur Le Grand yang menjadi pengeluar utama wain bermutu tinggi dari Asia Tenggara. Hanya dengan lenyapnya lelaki itu dari muka bumi ini, segala-galanya akan dia miliki! Dia puas, benar-benar puas!
Kring…kring!!!
Bunyi telefon bimbit segera mematikan lamunan dan angan-angannya. Terlepas keluhan dari bibirnya. Ah, siapa yang berani mengganggunya malam-malam begini!
“Helo…” Dengan lagak sedikit tidak berpuas hati, dia menjawab.
“Tuan Sakda…”
Membulat kedua-dua mata Sakda. Berani lelaki itu menelefonnya? Sudah dia arahkan bahawa jangan sesekali menelefonnya. Takkanlah arahan ringkas begitu pun susah untuk difahami? Kenapa bodoh sangat??
“Kenapa kau telefon? Kan aku dah pesan…”
“Kita ada masalah, bos.”
Berdesing telinga Sakda mendengarkan kata-kata Manop, orang suruhannya. Wajahnya mula berkerut.
“Apa kau cakap ni?” soal Sakda, penuh kedinginan.
“Ada…ada…”
“Ada apa???” tengking Sakda. Hatinya pula membara dengan api kemarahan. Takkan arahan senang begitu pun susah untuk dilaksanakan?
“Ada perempuan….” balas Manop di hujung talian. Nada suaranya takut-takut.
Sakda mengerutkan dahi.
“Apa maksud kau…ada perempuan?”
Jelas di telinga Sakda bunyi keluhan Manop sebelum lelaki itu akhirnya memulakan cerita. Menurut Manop, sewaktu mereka menyerang hendap van yang disewa Karn Klaharn, terdapat seorang wanita bersamanya.
Bertambah kerutan di dahi Sakda. Wanita? Siapa wanita itu? Setahunya Karn Klaharn tidak mempunyai teman wanita, jauh sekali seorang isteri!
“Jadi, apa kau buat dengan perempuan tu?” tanya Sakda setelah Manop mengakhiri ceritanya.
“Aku…aku…kita orang…”
“Kita orang apa???” desak Sakda. Nada suaranya tinggi dan membentak.
“Kita orang bawa dia balik.”
Tersirap darah panas ke wajah Sakda. Kemarahan dalam dirinya makin menggelegak.
“Kau orang ni kan, kenapa bodoh sangat? Kenapa suka buat apa yang aku tak suruh, hah?”
“Err…habis tu, habis tu…kita orang nak buat apa dengan dia?”
Sakda mendengus kasar.
“Hapuskan dia. Seperti mana kau orang hapuskan driver tu. Itu pun aku nak kena ajar ke, hah??”
“Tapi, Tuan Sakda…”
Sakda menggenggam tangan kirinya. Hatinya benar-benar panas. Orang suruhannya ini, sudahlah tolol…masih lagi ada hati mahu mempertikaikan arahannya?
“Apa kau cuba buat ni, Manop? Kau jangan cuba nak lawan cakap aku.” Penuh kedinginan Sakda memberikan amaran.
“Bu..bukan macam tu, Tuan Sakda. Kita orang cuma…cuma rasa kita…kita boleh gunakan perempuan tu.”
Sakda terdiam sejenak sebelum bertanya. “Gunakan dia?”
“Ya, Tuan. Tadi…memang..memang kita orang nak hapuskan dia. Tapi lepas tengok reaksi Karn Klaharn lepas aku acukan pistol pada perempuan tu, kita orang rasa…kita orang rasa perempuan tu penting bagi Karn Klaharn. Sebab tu…sebab tu kita orang bawa dia masuk van juga…dan bawa dia balik. Hidup-hidup…”
Sakda mendengar dengan teliti. Penjelasan Manop dirasakan agak boleh diguna pakai. Ah, boleh berfikir juga orang suruhannya ini!
“Mungkin…kita boleh minta duit lebih…” Lagi penjelasan Manop hinggap di telinga Sakda.
Perlahan Sakda menguntum senyuman sinis. “Bukan setakat duit lebih yang kita boleh minta, Manop.”
“Maksud Tuan Sakda?”
Lagi lebar senyuman sinis Sakda. Tersirat dengan agenda yang mungkin dirasakan jelik oleh orang lain, tetapi penuh kepuasan buat dirinya.
“Apa kata kau ajak Karn Klaharan main satu permainan?”
“Permainan, Tuan?”
“Yup, permainan…permainan yang cukup menarik,” jawab Sakda sinis dan dingin. “Kau dengar arahan aku ni baik-baik.”
Setelah mematerikan arahannya ke dalam kepala otak Manop dan mengarahkan lelaki itu agar tidak menelefonnya lagi, Sakda akhirnya mematikan telefon bimbit. SIM card kecil ditarik keluar dan dipatahkan sebelum dimasukkan ke dalam tong sampah. Segala bukti tentang penglibatannya harus dihapuskan.
“Karn Klaharn…terimalah hadiah daripada aku.”
Bersama senyuman sinisnya, kedua-dua mata Sakda mencerlung ke hadapan dengan sinaran penuh kejahatan.
*****
DIAN mengerling sekilas pada Karn yang bersandar kira-kira satu meter jauh daripadanya. Segala penjelasan lelaki itu tadi terngiang-ngiang di telinganya. Jadi, Karn adalah seorang lelaki kaya yang diculik demi wang tebusan? Dan dia pula adalah manusia paling tidak bernasib baik kerana turut terlibat sama dalam kes penculikan ini? Hanya kerana dia bersama lelaki itu?
            Jadi, sekarang apa yang akan berlaku padanya? Dia bukannya ada keluarga kaya-raya yang akan sanggup menyerahkan berjuta-juta Ringgit…atau Baht demi menyelamatkannya. Dia cuma orang biasa yang selama ini hidup dengan bekerja keras, bersengkang mata demi sesuap nasi. Dan dia juga….cuma anak yatim piatu, hidup sebatang kara tanpa kasih seorang bapa atau sayang seorang ibu, yang dia ada cuma seorang kakak angkat sebagai tempat teduhan kasih.
            Perlahan-lahan perasaan takut dan gentar kembali menyusup masuk ke dalam tubuh Dian. Sungguh! Dia benar-benar seriau. Apa akan jadi padanya nanti? Adakah dia akan dibunuh begitu sahaja? Ya, dia sedar ajal maut di tangan Allah dan dia patut berserah pada-Nya. Tetapi…tetapi takkanlah begini caranya dia mengakhiri riwayatnya di muka bumi ini?
            “Ya Allah, selamatkanlah aku. Aku merayu pada-Mu,” doa Dian perlahan. Bibirnya diketap kuat-kuat dalam usahanya untuk menenangkan dirinya.
            Segala perilaku Dian diperhatikan oleh Karn. Sakit dan luluh hatinya melihat wajah dan reaksi Dian yang jelas ketakutan. Rasa bersalah yang dibendungnya sejak melihat Dian di dalam bilik itu tadi semakin menebal. Ya, kerana dia…Dian turut menjadi mangsa. Kalaulah…kalaulah dia tidak mengajak Dian keluar dengannya, pasti gadis itu selamat-selamat sahaja di bilik hotel. Sedang menyiapkan manuskrip novelnya, mungkin.
            Dalam-dalam Karn menarik nafas sebelum memanggil Dian dengan perlahan. “Dian….”
            Dian hanya memandang kosong ke hadapan. Tiada reaksi.
            “Dian!” seru Karn lagi, sedikit kuat.
            Tersentak Dian mendengarkan namanya dipanggil. Serta-merta dia memalingkan muka. Wajah Karn segera menyapa pandangan matanya sebelum dia akhirnya kembali memandang ke hadapan. Entahlah, dia seperti tidak ada hati untuk melihat wajah lelaki itu walhal dia sedar apa yang berlaku kini bukanlah kemahuan Karn.
            Tetapi….kalau bukan kerana Karn, pasti perkara sebegini tidak akan berlaku padanya! Mustahil!
          Karn mengeluh. Hatinya sedikit tersinggung dengan tingkah Dian. Ya, dia sedar semuanya kerana dia. Tetapi dia tidak pernah menginginkan semua ini terjadi!
      Perlahan-lahan Karn menarik nafas dan menghembusnya, cuba menyabarkan hatinya. Dia sedar sekarang bukanlah masanya untuk dia dan Dian berbalah atau melancarkan perang dingin. Mereka harus sama-sama berganding bahu, bergantung pada satu sama lain untuk menghadapi semuanya.
            “Dian…” panggil Karn lagi.
Dian tetap membatu. Kaku. Keras.
“Dian…”
“Apa??” Akhirnya meletus juga balasan dari mulut Dian.  Keras sekali! Wajahnya tetap tegak ke hadapan, langsung tidak berpaling ke arah Karn.
Karn menggigit bibir sedikit sebelum akhirnya bersuara. “Awak…awak okey ke?”
Automatik terlepas dengusan dari mulut Dian. Matanya dijeling tajam ke arah Karn sebelum dia kemudiannya menoleh, merenung tepat lelaki itu yang sedari tadi memandangnya.
“Apa yang okeynya dengan keadaan macam ni? Apa yang okeynya diculik sedangkan saya tiada langsung kena mengena dengan semua ni…dengan awak?” Dingin jawapan yang dihadiahkan Dian buat Karn.
Tergamam Karn mendengarkan setiap patah kata yang terbit dari bibir mungil Dian.
“Saya cuma bersama orang yang salah, di tempat yang salah dan pada masa yang salah. Tapi, apa harga yang harus saya bayar? Stuck in this place without knowing sama ada esok saya masih hidup atau pun tidak!” Tanpa mempedulikan riak wajah Karn yang jelas terkilan, Dian menyambung kata.
Di suatu sudut hati dan pemikirannya yang rasional, Dian sedar dia tidak harus terus-terusan melampiaskan perasaannya pada lelaki itu tetapi…entahlah, dia seperti sudah tidak mampu untuk berfikir elok-elok. Apa yang dia tahu, semua ini tidak sepatutnya berlaku padanya. Semua ini juga takkan terjadi kalau tidak kerana Karn Klaharn!
Karn diam tidak berkutik. Jari jemarinya dikepal satu persatu. Sungguh! Hatinya benar-benar tersinggung, panas dan geram dengan tingkah Dian yang tidak habis-habis mahu menyalahkannya. Tidak sedarkah Dian bahawa dia tidak pernah mengharapkan semua ini berlaku? Jika dia yang menjadi mastermind di sebalik penculikan ini, memang wajiblah untuk dia dipersalahkan, tetapi dia juga mangsa!
Dan kalaulah dia punya kuasa untuk membaca apa yang akan berlaku, sudah pasti dia akan cuba menghalangnya, walau apa pun yang terjadi!
“Berapa lama lagi awak nak bersikap macam ni?” Karn akhirnya membuka mulut. Nada suaranya dingin dan mendatar.
Wajah Karn yang jelas tegang dipandang sekilas oleh Dian. Tanpa secalit pun perasaan. Dia sudah tidak mahu peduli sama ada Karn tersinggung, terkilan atau terasa hati dengan sikapnya.
“Saya tahu, Dian…kalau bukan kerana saya, awak takkan ada kat sini…”
“Tahu tak apa!”
“Tapi awak ingat saya nak sangat ke semua ni jadi? In case awak dah lupa, saya pun mangsa kat sini!”
Sedikit terkinjat Dian mendengarkan nada suara Karn yang tiba-tiba meninggi dan lantang. Hampir gugur rasanya hati dia saat tengkingan lelaki itu menampar telinga. Hilang sudah sikap tenang dan kelakar yang selalu Karn pamerkan.
“Ya, saya tahu, Dian. Dia orang sebenarnya cuma nakkan saya. Macam yang awak cakap tadi…sebab awak ada dengan saya, awak pun jadi mangsa. Tapi…saya tak pernah sangka, saya tak pernah harapkan semua ni jadi pada awak, orang yang saya dah anggap seperti kawan saya sendiri.” Karn menyambung lagi. Kali ini intonasi suaranya sudah mengendur.
Dian termangu tanpa kata. Nada suara Karn yang luluh dan bersalutkan rasa bersalah sedikit sebanyak menyentuh hati wanitanya. Ah, kenapalah dia terlalu beremosi? Kenapa dia harus meletakkan kesalahan itu ke atas bahu Karn sedangkan sudah terang lagi bersuluh bahawa orang yang bersalah adalah lelaki-lelaki bertopeng di luar sana?
“Saya…saya…” Tersekat-sekat suara Dian cuba membalas. Lidahnya jadi kelu tiba-tiba, seperti sudah tidak tahu bagaimana untuk menuturkan kata.
Tepat Karn memandang keadaan Dian yang jelas serba-salah. Dia dapat merasakan bahawa gadis itu sudah semakin sejuk, tidak lagi meyimpan perasaan membara dalam hati buat dirinya. Dan sungguh dia lega dengan keadaan itu. Dia tidak mahu mereka terus-terusan begitu, bertikam lidah sesama sendiri.
“Saya minta maaf sebab awak terpaksa menanggung semua ni. Saya boleh nampak ketakutan awak, kekeliruan awak. Tapi, kalau awak terus-terusan macam ni, lagi susah jadinya nanti. Kita kena bersama, Dian…menghadapi semua ni,” pujuk Karn penuh ketenangan.
Dian terdiam seketika sebelum akhirnya bersuara perlahan. “Awak dengan saya lain, Karn. Awak ada wang, keluarga awak mesti akan bayar berapa sahaja yang dia orang minta. Tapi, saya…saya cuma orang biasa. Saya tak ada duit…”
“Itu saya akan uruskan!”
Tertoleh kepala Dian saat kata-kata Karn singgah di telinganya. Dahinya berkerut tanda tidak mengerti.
“Percayalah, saya akan buat sesuatu agar dia orang lepaskan awak. Saya janji, Dian…saya akan pastikan awak selamat.”
Spontan Dian tersenyum sinis. Apa yang Karn mengarut ini? Bagaimana lelaki itu mahu menyelamatkannya, mahu melindunginya sedangkan dia sendiri turut terpenjara di dalam bilik ini?
Melihat Dian yang jelas tidak percayakannya, perlahan-lahan Karn mengengsot menghampiri gadis itu sehingga akhirnya duduk bersebelahan. Sama-sama bersandar di dinding.
“Saya tahu awak tak percaya, Dian. Tapi saya akan cuba sedaya-upaya saya untuk…”
“Sudahlah, Karn. Jangan berjanji apa-apa pada saya. Kalau dah takdir nyawa saya berakhir di tangan dia orang semua, saya dah tak boleh buat apa-apa, kan?” Perlahan Dian menyampuk. Hatinya tiba-tiba sahaja terasa sebu. Setitis air mata menitik di pipi. “Cuma…saya terkilan sebab kalau macam ni caranya saya ‘pergi’…entah akan ada kubur untuk saya atau pun tak…”
Terpejam mata Karn mendengarkan luahan hati Dian. Ah, semua ini gara-gara dia!
Dian mengerling sekilas ke arah Karn. Pandangan matanya tertancap pada kesan lebam di mata dan bawah bibir lelaki itu. “Awak…”
“Hmmm…” Masih lagi dengan mata yang tertutup, Karn menjawab.
“Awak tak apa-apa ke?”
Spontan Karn membuka matanya kembali dan menoleh ke sebelah. Kemudian dia menggigit bibirnya seraya menggelengkan kepala.
“I’m fine.”
Dian kembali memandang ke hadapan. Pandangannya kosong. “Dia orang bawa awak ke mana tadi?”
Karn mengeluh sebelum menjawab perlahan. “Buat surat minta wang tebusan. Or to be more precise…buat video.”

Share this:

ABOUT THE AUTHOR

Hello We are OddThemes, Our name came from the fact that we are UNIQUE. We specialize in designing premium looking fully customizable highly responsive blogger templates. We at OddThemes do carry a philosophy that: Nothing Is Impossible

18 comments:

  1. haippp, apa ni dian.... ksian karn

    ReplyDelete
  2. salam..
    ishh, kerek plak dian nie..

    ReplyDelete
    Replies
    1. salam, dear...
      haha, kerek? dia tgh terkejut tu...=)

      Delete
    2. salam..
      hehehe tue la.. dian terkejut smpai terkerek plak..

      Delete
  3. rs cam tengah menonton lakorn..pelakon nye yaya & nadech..hehehe...

    ReplyDelete
    Replies
    1. ok, nak imagine yaya and nadesch as dian and Karn...haha!!!

      Delete
    2. nadech sesuai la as Karn..tp yaya can't be Dian..kana cari muka malay gak..hehehe..tp seyes bila baca CRT ACK n feel dia sama cam tgk lakorn..ni semua sara punya psl..dh jadi lakorn maniac dah ain ni..hahha

      Delete
    3. kak sara plak yg kena ek? tp...haruslah kak sara kongsi kegilaan kak sara pasal lakorn ni. sbb...lakorn sangat best!!! haha...
      CRT..ACK mmg bg kak sara sikit feel lakorn jugak. tp itulah...Yaya xleh jd Dian...hehe...

      p/s: pssst...pssst..kak sara now ni tgh download Game Rai Game Ruk, nk tgk berulang kali punye psl. hr tu tgk kt You Tube je, so xbest sgt utk diulang-ulang klu tenet cm siput...haha...

      Delete
    4. mmg sara penyebab ain jadi lakorn manic..hahaha...penyakit berjangkit..

      Game Rai Game Ruk ain dh abes download..Wanida,Roy Mai,Kaew Tah Pee & Thara Himalaya sume dh abes download..skrg download Duang Jai Akkanee..

      p/s:sara umur brapa ek?ain dh 26 tahun ni..rs cam ain lg tua dari sara je..hehhee..ke slh judge umur sara ek?hehehe

      Delete
    5. penyakit berjangkit yang best x pe. kak sara sudi jadi virusnya..haha...

      silalah tengok Duangjai Akkanee. best ok?? haha...jgn lupa tgk Pathapee Leh Rak gak, tau. kak sara suka Mark yng comel itu..=)

      err, pasni tak mau bahasakan diri kak sara lah. sebab saya lagi muda rupanya. muda setahun. now ni 25 tahun...=)

      Delete
    6. tu la psl..mujur gak berjangkit..hehehe

      mmg nak tgk semua tu..blog sara mmg jd rujukan..hehehe..mark mmg comel..muka baik je kan..sara..dia yg hero dlm mv noona tu ek?ke ain slh org..huhuhu

      yes..btol gak teka yg sara lg muda dari ain..hehehe..tp sbb ain umur tua stahun dari sara nk kena bahasakan kak ain ke??hehehe

      Delete
    7. betul!!! hero mv noona tu. oh, dia sangat comel!! nadech tu macho, tp mark comel...haha...

      xyahlah, ain. jom kita bahasakan diri..awak dan saya aje. awak..awak, saya panggil awak..awak,ya? haha!! =)

      Delete
    8. yes betol..mula2 tgk tak cam lg..tp lama2 br perasan yg dia hero comel dlm mv Noona..sgt2 comel..

      okey sara..kita bahasakan awak saya ek..comel je rasa bl pgl awak saya n(^__^)

      Delete
  4. kesian karn bila dian buat mcm tuh...
    tapi xleh salahkan dian..
    dia pun terkejut kot...
    aisehhh... x percaya bila kak sara tulis cite mcm nih..haha
    good job kak.. =)

    ReplyDelete
    Replies
    1. itulah, dia tgh terkejut beruk tu. beruk pn x terkejut cm dia kut...haha, buat lawak bodo plak kak sara ni...
      err, saja nk tr tulis cerita cm ni plak. nk lari skit dr yg biasa buat, sweet2 and jiwang2 tu...hehe

      Delete
  5. eh3, karn da jdi gabungan Din Fai and Lom pulak..hihihi..mai davika jd dian xleh ke?? hahha

    ReplyDelete
    Replies
    1. haha!! mai davika? i like her!! cantik!

      Delete