Review novel Jodoh itu Milik Kita

Assalamualaikum, semua..

Di sini ingin saya kongsikan satu review daripada seorang pembaca JIMK yang diemel kepada saya. Atas permintaannya yang tidak mahu saya letak nama, saya takkan reveal namanya. Saya gelar saja Miss H. 

Terima kasih yang tidak terhingga buat Miss H yang telah menulis review yang panjang lebar begini. Sungguh! Saya sangat menghargainya. Terharu, tau...hehe...

*********

Novel Jodoh itu Milik Kita


Jodoh itu milik kita ialah karya pertama daripada penulis baru yang mula meniti nama di hati pembaca dan peminat novel iaitu Sara Aisha. 

Perjalanan cerita bermula dengan Dahlia yang terpaksa menikahi abang kepada Syafiq, tunangnya yang melarikan diri pada hari pernikahan mereka. Aariz yang terkejut dengan permintaan ibunya terpaksa bersetuju dengan cadangan itu semata-mata untuk menjaga maruah semua pihak. Bermula lah kehidupan dua insan yang tidak pernah menyangka bahawa mereka akan bergelar suami isteri dalam sekelip mata. Mereka cuba menyesuaikan diri dengan kehidupan sebagai suami isteri walaupun janji telah termeterai bahawa mereka hanya bersahabat sahaja. Tanpa disedari akhirnya perasaan dan hati masing-masing telah terbiasa dengan suasana kehidupan mereka. Mereka boleh berbual, bergurau dan melakukan aktiviti seharian bersama-sama.

Sedang elok mereka cuba untuk menerima kehadiran masing-masing, Syafiq kembali untuk menuntut haknya dengan menyatakan Dahlia adalah miliknya yang telah dirampas oleh Aariz. Syafiq yang tidak boleh melihat abangnya bahagia dan sentiasa mencemburui abangnya semenjak dari kecil cuba melakukan pelbagai perkara untuk merampas Dahlia dari abangnya. Rahsia abangnya menjadi pertaruhan untuk abangnya pergi meninggalkan Dahlia. Adakah kekuatan cinta dan kasih sayang antara Dahlia dan Aariz akan mengikat hati mereka untuk selamanya? Atau Aariz lebih rela melepaskan Dahlia pergi demi rahsia yang ingin disembunyikannya? Dan benarkah Syafiq benar-benar mencintai dan menyayangi Dahlia dan meninggalkan hari pernikahan mereka dulu adalah satu kesilapan yang tidak disengajakan? Jodoh Itu Milik Kita akan menjawab semua persoalan ini.

Sedutan kata-kata: 

Aariz- saya sangat sayangkan awak Dahlia tetapi saya takut awak tidak boleh menerima saya seandainya awak mengetahui siapa saya yang sebenarnya. Saya takut awak akan merasa jijik dan akan pergi meninggalkan saya.

Dahlia- saya sudah terbiasa dengan kehadiran awak dalam hidup saya. Saya rindukan semuanya tentang awak. Hati saya berdetak dengan menyebut nama awak.

Syafiq- aku bukanlah jahat tetapi semua orang tidak sukakan aku. Apa kurangnya aku kalau nak dibandingkan dengan Aariz. Hati aku sakit apabila semua orang membenci dan tidak mempedulikan kehadiran aku.

Penulis telah menulis dengan begitu baik sekali. Susunan plot telah dibuat dengan amat teratur. Bermula dengan kejadian di masjid semasa majlis pernikahan sehinggalah kepada bahagian konflik. Bagaimana Aariz sedaya upaya untuk menyembunyikan rahsianya dan bagaimana pula Dahlia cuba memujuk Aariz agar menerima cinta darinya. Ditambah pula dengan Syafiq yang cuba memusnahkan rumah tangga abang dan kakak iparnya semata-mata kerana sebuah dendam. Akhirnya klimaks untuk cerita ini berakhir dengan begitu baik. Tidak terlalu cepat atau meleret. Pengakhiran haruslah bahagia dan gembira. Wajib untuk semua novel.

Novel ini berkisar tentang kisah kekeluargaan dimana Aariz seorang anak yang sangat menyayangi keluarganya dan sanggup berbuat apa sahaja. Peranan keluarga yang ditunjukkan oleh penulis menyebabkan masalah itu ada jalan penyelesaian sebenarnya. Hubungan yang rapat antara ibu dan anak, ayah dan menantu menyebabkan mereka sentiasa rapat. Cuma dalam sebuah perhubungan yang mestilah harus ada saling melengkapi. Jangan cuba membuat andaian sendiri tetapi cubalah untuk meluahkan apa yang tersirat di hati. Bukan hanya untuk hubungan suami isteri malah hubungan antara anak dan juga ibu ayah.

Penulis juga telah menyelitkan isu tentang anak angkat dalam novel ini. Isu ini semakin bertambah menarik kerana ia melibatkan negara Filipina. Penulis juga telah melakukan sedikit kajian berkenaan negara tersebut dan juga proses untuk mengambil anak angkat. Sedikit pujian harus diberikan kepada penulis. Ini adalah satu benda baru kepada pembaca dan ia amatlah bagus untuk kami.

Saya sukakan gaya bahasa yang digunakan oleh penulis. Serasa tidak percaya bahawa penulis baru sahaja menulis sebuah novel. Gaya bahasa yang indah dan sweet sahaja bila Dahlia dan Aariz saling meluahkan apa yang dirasa. Terasa maksud sampai walaupun penulis hanya menggunakan monolog (dalam hati) sahaja. Penulis juga menggunakan English sebagai selingan kepada bahasa melayu dan penggunaannya adalah tepat dan tiada kesalahan. Novel ini juga turut menyelitkan bahasa Tagalog kerana watak utama Aariz digambarkan berasal dari negara tersebut. Ia menjadikan sebagai nilai tambah kepada novel ini.

Penulis telah mengolah semua watak dengan baik sekali dalam novel ini. Setiap watak ada kekuatannya walau hanya sekadar tambahan sahaja. Jika ramai yang suka kepada watak aariz, saya pula sebaliknya. Tak tahu kenapa saya suka kepada watak syafiq. Bagi saya syafiq mempunyai semangat yang kuat dan jika dia inginkan sesuatu dia akan cuba untuk mendapatkannya. Cuma dalam novel ini syafiq digambarkan tidak baik dan semua orang membencinya. Semasa saya mula-mula membaca novel ini, saya sangat bencikan syafiq kemudian beransur-ansur perasaan benci itu bertukar kepada suka. Yes, really like syafiq.

Kesimpulannya, saya amat berpuas hati kerana mengeluarkan wang sebanyak RM23 (diskaun beli on9) dan memberikan masa saya selama sebulan untuk menyelesaikan bacaan saya. Tahniah kepada penulis dengan kejayaan novel pertama yang sungguh baik dan bagus ini. Mungkin ada sedikit kekurangan dalam novel ini tetapi percayalah tiada apa yang sempurna dalam hidup ini. JIMK pasti akan menjadi sebutan dan tersemat dalam ingatan pembaca dan peminat novel di Malaysia. Menunggu novel kedua dari Sara Aisha dan berharap ia lebih baik dari JIMK.

Share this:

ABOUT THE AUTHOR

Hello We are OddThemes, Our name came from the fact that we are UNIQUE. We specialize in designing premium looking fully customizable highly responsive blogger templates. We at OddThemes do carry a philosophy that: Nothing Is Impossible

2 comments:

  1. tahniah tuk sara...akak pn dah beli buku ni...mcm2 rasa..sedih terharu..tak rugi beli bleh cri lgi tulisan sara....congrat

    ReplyDelete
  2. @zaharah: terima kasih, kak. Alhamdulillah...saya gembira dengan penerimaan akak pada first baby ni. oh btw, selamat berkenalan kak zaharah! =)

    ReplyDelete