Jodoh itu Milik Kita - Bab 21


BAB 21

“BERANI Fiq balik sini lagi???” Bergegar rumah Tuan Haikal pada petang yang hening itu dengan suara lantang pemiliknya.
Puan Marina tersentak.
Aariz hanya tenang di sisi ibunya.
Syafiq yang sedang tercegat berdiri di hadapan pintu rumah pula mempamerkan wajah tanpa reaksi. Kosong! Namun matanya sempat menjeling ke arah abangnya, Aariz Danial yang sedang memeluk lengan umi. Serta-merta perasaan jelak dan sebal singgah di hatinya. Ah, Aariz memang tidak habis-habis dengan sikap suka mengambil hati dia itu!
“Siapa benarkan Fiq jejakkan kaki kat rumah ni, hah?” tempelak Tuan Haikal lagi. Keras dan tegas.
‘Abah tanyalah anak kesayangan abah tu. Suruh dia jawab! Dia yang beriya-iya sangat suruh Fiq balik!’
Walaupun hati Syafiq ingin benar membentak begitu, namun ditahan-tahan rasa itu agar keadaan tegang itu tidak lagi makin teruk jadinya. Dia tidak mahu kepulangannya ke rumah itu berakhir dengan dia dihalau keluar pula. Jika diikutkan hati, dia memang tidak mahu pulang, tetapi apabila diingatkan kembali perbuatan Aariz yang tidak henti-henti memaksanya pulang, terpaksalah dia menebalkan muka untuk kembali.
Sungguh! Dia benar-benar rimas dengan tindakan Aariz. Lelaki itu memang tidak habis-habis mahu menyusahkan hidup dia.
“Fiq, cukuplah sekali Fiq hancurkan hati umi, hati abah. Fiq sanggup ke nak biarkan umi terkilan lagi sebab Fiq tak nak balik rumah?”
“Umi tu sakit, Fiq! Kalau ada apa-apa jadi pada umi, Fiq mesti akan menyesal nanti.…”
Itulah kata-kata Aariz yang ditujukan khas buat Syafiq tatkala abangnya itu tiba-tiba sahaja muncul di hadapan pejabatnya petang semalam. Kata-kata itu lembut dan bersahaja tetapi mempunyai maksud yang sangat dalam. Syafiq sedar Aariz sengaja menyuntik rasa bersalah dalam hatinya agar dia tunduk pada permintaan lelaki itu untuk pulang ke rumah, ke pangkuan umi dan keluarga itu.
Namun apabila Syafiq tetap berdegil tidak mahu pulang, lain pula pendekatan yang diambil oleh abangnya itu. Suatu pendekatan yang langsung tidak pernah diduga oleh akal fikiran Syafiq. Pendekatan yang lebih keras dan tiada kompromi.
“Kalau Fiq tetap berdegil, abang akan buat sampai Fiq setuju. You do know who I am and what I’m capable of doing, kan?”
Ucapan yang berbaur ugutan itu benar-benar membuatkan Syafiq tersentak. Ya, dia tahu siapa abangnya itu. Aariz Danial bukanlah seorang lelaki yang calang-calang orangnya. Seorang jurutera muda yang membina kejayaan dalam usia yang masih boleh dikira sebagai mentah, juga mempunyai pengaruh bukan sahaja dalam dunia kejuruteraan bahkan dalam dunia korporat kerana kemampuannya untuk menghasilkan pilot plant yang kompleks bagi syarikat-syarikat besar.
Ah, bos mana yang tidak suka apabila mereka boleh menjimatkan kos sehingga jutaan ringgit kerana rekaan abangnya itu!
Jadi boleh dikatakan lelaki yang bernama Aariz Danial itu mampu menjatuhkan dia dalam sekelip mata. Tetapi Syafiq juga tahu siapa abangnya di sebalik gahnya kejayaan lelaki itu. Siapa Aariz Danial yang sebenarnya, bayang-bayang yang berdiri di sebalik nama itu… dia tahu semuanya!
            Atau… mungkin juga bukan semua, tetapi Syafiq yakin sekurang-kurangnya dia tahu lima puluh peratus daripada rahsia hitam Aariz Danial. Rahsia yang disimpan oleh keluarga Tuan Haikal sejak munculnya Aariz dalam kehidupan mereka. Rahsia yang tidak boleh disebut langsung!
“Yes, I do know. I know you very well….”
Jawapan sinis itu yang dihadiahkan buat Aariz membayangkan betapa Syafiq tidak gentar pada ugutan abangnya itu. Tetapi bukanlah keinginan Syafiq untuk terus-terusan melawan Aariz di hadapan pejabatnya. Dia bukan bodoh untuk menjatuhkan reputasinya sendiri.
Syafiq sedar tidak kira betapa degilnya dia, Aariz tidak akan sesekali berputus asa untuk memaksanya pulang ke rumah. Bukan Syafiq tidak tahu sikap abangnya itu yang sanggup berbuat apa sahaja demi umi dan abah. Sejak dahulu lagi, Aariz Danial terlalu menyanjungi ibu bapanya.
“Abang nak sangat Fiq balik, kan? Okay, fine!”
Dan kini tercegat dia menadah telinga mendengar segala kemarahan abah. Geramnya hati Syafiq saat itu hanya Allah yang tahu!
“Abah tanya ni! Siapa yang benarkan Fiq balik sini?” Lagi sekali bergema suara Tuan Haikal.
Puan Marina mendekati suaminya dan memeluk lengan lelaki itu.
“Abang… Ina yang nak sangat jumpa Syafiq. Abang… abang dah lupa ke?” Lambat-lambat suara Puan Marina keluar daripada kerongkong, bersama nada ragu-ragu.
Spontan Tuan Haikal menoleh ke arah isterinya. Ditenungnya sepasang mata milik Puan Marina yang sudah pun berkaca-kaca. Perlahan dia mendengus kegeraman.  Memang dia terlalu lemah dengan air mata itu.
“Masuk sebelum abah ubah fikiran!” tegas Tuan Haikal sebelum dia berpaling dan menapak masuk ke dalam rumah.
Puan Marina tersenyum dan segera merapati Syafiq. Sesaat kemudian, dia menarik anaknya itu ke dalam pelukannya.
“Umi rindukan Fiq… rindu sangat-sangat!! Kenapa… kenapa Fiq sanggup buat umi macam tu?” rintih Puan Marina tanpa henti. Air matanya sudah pun meleleh di pipi.
Syafiq diam tidak berkutik, hanya tangannya yang bergerak membalas rangkulan ibunya. Walau sekeras mana pun hatinya, tetap juga dia tersentuh dengan tangisan umi.
“Jom masuk, sayang.…”
Puan Marina menarik tangan Syafiq dengan girang. Anaknya itu hanya mengikut tanpa kata. Namun tatkala Syafiq tiba di hadapan Aariz, sempat juga dia berbisik.
“Puas hati abang sekarang?”
Aariz tenang sahaja mendengar sindiran keras yang singgah di gegendang telinganya. Bagi Aariz, biarlah apa pun yang dirasakan oleh Syafiq terhadap dirinya, kerana ternyata itu semua tidak penting. Yang lebih dia fikirkan sekarang adalah kepulangan Syafiq ke rumah demi menunaikan janjinya kepada umi. Ya, janjinya untuk mencari Syafiq. Janji yang telah pun dia lunaskan, janji yang mungkin harus dia bayar dengan rasa terluka Dahlia!
Teringat Aariz pada Dahlia yang akan pulang dari Tawau malam nanti. Dia masih lagi belum membuka mulut tentang kemunculan semula Syafiq. Entahlah, mulutnya seakan-akan susah benar untuk menyebut nama Syafiq di hadapan isterinya. Seolah-olah nama itu adalah pantang baginya. Jadi bagaimana harus dia mengkhabarkan berita keramat itu kepada Dahlia?
Setelah menemui Syafiq semalam, Aariz bertindak memindahkan segala barang-barangnya dan juga barang Dahlia ke rumahnya di Subang Avenue. Penat juga dia menjelaskan pada umi dan abah bahawa dia terpaksa pindah keluar sebelum kepulangan Dahlia kerana tidak mahu Dahlia terserempak dengan Syafiq. Sungguh! Dia tidak mahu Dahlia melihat kelibat Syafiq sekembalinya dari Tawau nanti.
Mujur juga umi begitu memahami. Abah pula langsung tidak ambil peduli kerana hatinya masih belum berpuas hati dengan tindakan Aariz dan umi yang beriya-iya mahu membawa Syafiq pulang.
Bagi Aariz, dia mahu menceritakan segalanya kepada Dahlia terlebih dahulu agar isterinya itu akan lebih bertenang dan bersedia. Dia tidak rela Dahlia dikejutkan dengan kemunculan Syafiq yang tiba-tiba tanpa sebarang persedian emosi. Aariz juga memohon agar umi dan abah merahsiakan tentang perkahwinannya dengan Dahlia daripada pengetahuan Syafiq sehingga saat mereka bertiga bertemu mata dan berbincang sebaik-baiknya.
Itulah rancangan yang diatur oleh Aariz. Rancangan yang nampak sempurna dalam menghadapi masalah yang menghimpit dia, Dahlia dan juga Syafiq. Dalam hati, Aariz berharap semuanya akan berjalan seperti yang dirancangnya itu. Dan perkara pertama yang harus dilaksanakan demi rancangan itu adalah berterus-terang dengan Dahlia mengenai kepulangan Syafiq.
Aariz melepaskan keluhan berat seraya melihat jam di pergelangan tangannya. Lagi empat jam Dahlia akan tiba. Lagi empat jam jugalah dia harus berhadapan dengan Dahlia dan mengkhabarkan berita yang mungkin akan melukakan sekeping hati milik isterinya itu.
‘Ya Allah, aku memohon pada-Mu… berikanlah kekuatan buat Dahlia, isteriku.…’
*****
 DAHLIA mengerling beberapa kali ke arah Aariz di sebelahnya yang sedari tadi mendiamkan diri tanpa sepatah kata. Perlahan dia dicengkam rasa tidak sedap hati. Sikap Aariz yang jelas berlainan daripada biasa benar-benar merunsingkannya. Sejak ketibaannya dari Tawau tadi, suaminya itu senyap sahaja. Tidak banyak berbicara, tidak banyak tersenyum dan hanya mempamerkan wajah dengan seribu kerutan di dahi.
Terngiang-ngiang di hujung telinga Dahlia suara Aariz yang bernada sendu dan gelak ketawa yang dibuat-buat sewaktu dia menelefon lelaki itu dari Tawau. Ya, sejak dari hari itu, Aariz telah menampakkan sikap yang luar biasa anehnya.
“Awak nak cakap apa-apa ke, Lia?” Tiba-tiba Aariz bersuara tanpa berpaling ke arah Dahlia. Wajahnya tetap dihalakan ke hadapan, menghadap lebuhraya. Serius.
Dahlia tersentak lantas cepat-cepat menggeleng. Dia sebenarnya ingin menyoal Aariz tentang perubahan sikap itu tetapi dia sendiri tidak tahu apa yang patut disoalnya.
“Awak okey, ke?”
Jika itu yang ditanya, rasanya sudah acap kali dia menyoal. Dan setiap kali itu jugalah, jawapan yang sama akan dihadiahkan oleh Aariz.
“Saya okey. Everything is fine.”
Ya, jawapan itulah!
Aariz menjeling ke sebelah. Matanya tertancap pada reaksi Dahlia yang sedang bermain-main dengan jari-jemarinya. Automatik terbit senyuman di bibirnya.
“Betul tak nak cakap apa-apa?”
Dahlia menggeleng lagi.
“Betul ni?” Lagi Aariz menyoal.
“Kenapa? Awak nak saya cakap apa-apa ke?” soal Dahlia kembali seakan-akan bermain tarik tali dengan suaminya.
Aariz tergelak kecil.
“Awak ada something nak cakap, tapi tak tahu nak cakap apa, kan?” teka Aariz.
Dahlia mengerutkan dahi. Macam manalah suaminya yang seorang ini tahu?
“Ala, Lia… saya dah faham sangat tabiat awak tu. Tu, tengok! Jari tu tak boleh duduk diam langsung…,” ujar Aariz lagi seolah-olah dapat membaca persoalan yang bermain di fikiran Dahlia. Sesaat kemudian, tangan kirinya mula mencapai tangan Dahlia.
Dan sepantas kilat juga Dahlia menampar tangan itu.
“Apa? Takkan nak pegang sikit pun tak boleh kut?” Ada nada tidak puas hati pada suara Aariz. Hatinya kegeraman. Bukannya sebelum ini dia tidak pernah memegang tangan isterinya itu. Malah, lebih daripada itu pun sudah dia lakukan.
Dahlia tertawa dengan reaksi suaminya itu. Terlebih sensitif pula!
“Awak tu tengah drive. Sila guna tangan tu untuk pegang stereng, bukan tangan saya,” balas Dahlia, sedikit menyindir.
Aariz mencebik.
“Eleh, kedekut! Dia ingat dia sorang aje ada tangan. Kita pun adalah.…”
Terlopong Dahlia mendengar jawapan selamba Aariz lantas dia ketawa senang.
Aariz yang mendengar tawa isterinya tersenyum kecil. Namun hatinya tetap dihambat rasa gelisah dan kerisauan yang amat dalam. Wajah ceria Dahlia benar-benar membuatkan dia tambah serba salah dan sangat berat hati untuk menyampaikan berita itu.
Perlahan Aariz menarik nafas panjang, mencari kekuatan untuk membuka mulut tentang Syafiq.
“Aariz, ini jalan ke rumah kita, kan? Saya ingat kita akan balik rumah umi.” Sebelum sempat Aariz bersuara, Dahlia terlebih dahulu menyoalnya.
Aariz mengerling sekilas ke arah Dahlia yang sudah pun memandangnya dengan wajah yang penuh kehairanan.
“Haah, kita balik rumah kita,” jawab Aariz.
Berkerut dahi Dahlia, masih mempamerkan wajah penuh anehnya.
“Kenapa?”
Aariz tersenyum tawar. Hatinya berkira-kira mahu menceritakan segalanya. Namun tatkala terlihat wajah tulus Dahlia, hatinya seakan menghalang.
“Adalah. Kat rumah nanti, saya bagitahu awak.” Dengan lemah Aariz akhirnya menjawab.
Dahlia terdiam sejenak. Hatinya tertanya-tanya mungkinkah apa yang akan diberitahu Aariz ada kaitan dengan perubahan sikapnya sejak akhir-akhir ini?
Mulutnya ingin terus-terusan menyoal namun Dahlia menahan diri daripada mendesak suaminya itu. Tambahan pula Aariz sedang memandu. Tidak ingin pula apa-apa terjadi pada mereka kerana sikap terburu-burunya.
“Okay, then.” Lambat-lambat Dahlia menjawab dengan rasa ingin tahu yang membuak-buak dalam diri.
*****
“WAH!!! Rasa macam dah lama sangat saya tak balik rumah ni. Serius, rindunya!!!” jerit Dahlia sebaik sahaja memasuki kondominium milik Aariz yang juga rumah mereka berdua. Tubuhnya dihempaskan ke atas sofa panjang.
“Awak, sofa ni memang best macam ni dari dulu lagi ke? Empuknya!!!”
Aariz tersenyum melihat reaksi isterinya yang tidak ubah seperti anak-anak kecil. Tangannya memegang bagasi milik Dahlia yang agak berat.
‘Isy, apalah yang dia ni bawa? Berat jugak…,’ omel hati Aariz sendiri.
“Saya bawa beg awak ni masuk bilik, ya,” ucap Aariz sambil menapak masuk ke dalam bilik tidur Dahlia. Isterinya itu hanya mengangguk sambil membaringkan tubuh ke atas sofa dan melunjurkan kakinya.
Aariz meletakkan bagasi Dahlia di sebalik pintu sebelum keluar semula ke ruang tamu. Matanya tertancap pada Dahlia yang sudah pun terlena di atas sofa. Masih dengan tudung yang membalut kepala. Wajah penuh keletihan isterinya menghadirkan rasa kasihan dalam hatinya.
Perlahan dia menghampiri Dahlia dan duduk di sisi isterinya itu. Penuh kelembutan Aariz menanggalkan tudung Dahlia sebelum menarik ikatan rambut gadis itu. Dahlia bergerak-gerak sedikit sebelum menyambung tidurnya.
“Awak mesti letih, kan? Terpaksa kerja hari ni walaupun hari ni hari Sabtu, muka pun dah macam terbakar,” ujar Aariz penuh kerisauan sambil tangannya menyentuh wajah Dahlia yang kemerah-merahan.
Aariz teringat akan perbualannya dengan Dahlia beberapa hari sebelum isterinya itu bertolak ke Tawau. Menurut Dahlia, setelah dua hari di Tawau, dia akan ke Semporna untuk site visit di beberapa buah pulau di sekitar Semporna. Untuk projek apa, Aariz sendiri kurang pasti. Namun yang pasti, kini wajah Dahlia sudah pun terbakar dek panas mentari, juga kerana angin pantai yang membahang.
“Lia, Lia… awak tak pakai sunblock ke?” bebel Aariz lagi sambil terus membelek wajah isterinya. Dielusnya pipi Dahlia dengan jari-jemarinya sebelum dia mendekatkan mukanya pada wajah Dahlia. Lembut Aariz mengelusnya lagi, seolah-olah dengan perbuatan itu wajah Dahlia akan kembali seperti sebelum ini, putih bersih tanpa kesan terbakar mentari.
Tanpa disangka-sangka, Dahlia tiba-tiba sahaja membuka mata.
Aariz tergamam. Cepat-cepat dia menjauhkan wajah. Pipinya serta-merta terasa panas. Aduh, malunya!
“Saya… saya… tertidur ke?” Dengan terpisat-pisat Dahlia menyoal. Matanya ditenyeh-tenyeh beberapa kali.
“Lia, jangan tenyeh mata macam tu. Tak elok,” marah Aariz sambil menarik tangan Dahlia daripada terus-terusan menenyeh matanya sendiri.
Dahlia tersengih dan dengan lagak yang mamai dia merenung wajah Aariz yang cuma beberapa inci jauh dari wajahnya sendiri. Aariz membalas pandangan itu dengan rasa kehairanan.
            Sesaat kemudian Dahlia mula tersenyum nakal. Keningnya diangkat.
“Aariz, apa awak buat tadi?” Bersahaja soalan Dahlia.
Tersirap darah ke wajah Aariz. Perasaan malu kerana sembunyi-sembunyi menyentuh pipi isterinya tadi segera menerpa ke dalam hati. Namun perasaan itu cuma bertahan selama beberapa saat sahaja sebelum bertukar kepada perasaan nakal. Terbit rasa ingin mengusik isteri yang sudah lima hari tidak disakat.
“Buat apa?” Aariz menyoal kembali dengan senyuman nakal yang terpamer pada wajah.
Dahlia tetap dengan wajah mamainya. Matanya terkebil-kebil manakala mulutnya memuncung.
“Awak… kat sini…,” jawab Dahlia sambil menunjuk pipi kanannya. “Kat sini…” Kali ini jari telunjuknya ditekan pada pipi kirinya pula.
Pantas Aariz memegang kedua tangan Dahlia.
“Apa yang kat sini dan kat sini?” soal Aariz dengan selamba.
Dahlia menjungkitkan bahu.
“Entah. Tapi… tadi rasa macam ada benda melekat kat pipi,” balas Dahlia kembali.
Meletus ketawa Aariz. Isterinya ini tidak habis-habis dengan sikap comelnya.
“Macam ni ke rasanya?” tanya Aariz sebelum dia menarik wajah Dahlia ke wajahnya dan mencium dahi Dahlia beberapa kali.
Terbeliak mata Dahlia. Kali ini dia benar-benar tersedar dari tidur. Hilang segala riak mamainya tadi.
“Aariz!!!” jerit Dahlia sambil menolak tubuh suaminya.
Aariz hanya tertawa riang melihat reaksi isterinya yang sudah malu-malu.
“Itulah, mamai macam tu lagi. Tengok, apa dah jadi?” usik Aariz.
Dahlia menarik muka masam. Geram dengan sikap Aariz yang suka mengambil kesempatan.
“Takkan jadi apa-apa kalau awak yang tak gatal!” balas Dahlia kegeraman.
Lagi kuat Aariz ketawa.
“Aik, kena cop gatal pula?” jawab Aariz kembali dalam sisa ketawanya.
Cepat-cepat Dahlia menganggukkan kepala.
“Dah lama tak jumpa awak, mestilah nak bermanja-manja dengan isteri sendiri. Tak salah, kan?” ujar Aariz bersahaja sambil tersenyum lebar.
“Yalah, tapi….”
“Tapi apa? Tapi kenapa kiss dahi aje? Nak saya kiss….”
“Awak!!! Jangan nak cakap yang bukan-bukan.” Cepat-cepat Dahlia memarahi Aariz sebelum lelaki itu menyudahkan kata-katanya. Bukan dia tidak tahu apa yang mahu diucapkan suaminya itu.
Aariz tersengih nakal. Hatinya terasa riang.
Dahlia yang memandang tidak jadi marah, sebaliknya perasaan lega menjengah dalam hati. Sikap Aariz yang enak menyakatnya itu seakan-akan mengembalikan suami yang dikenalinya. Suka tersenyum, nakal dan gemar mengusik!
“Ini barulah Aariz yang saya kenal. Nakal!” Tanpa sedar Dahlia menyuarakan rasa hatinya itu.
Serta-merta senyuman Aariz mati.
“Kenapa awak cakap macam tu?”
“Sebab sejak saya pergi Tawau, saya rasa ada something wrong dengan awak. You’re not being you.”
Aariz tergamam. Jawapan Dahlia yang berterus-terang membuatkan lidahnya kelu untuk berkata-kata. Begitu senangkah Dahlia membaca dirinya?
“Apa pun, janganlah suka sangat kacau saya. Tak larat saya nak layan perangai awak tu, tau. Nakalnya, ya ampun!” sambung Dahlia lagi, membebel tanpa henti. Namun bibirnya tetap menguntum senyum, jelas menunjukkan bahawa hanya mulut yang mengatakan tidak suka, tetapi hati berbunga-bunga. Bak kata orang, dalam hati ada taman!
Aariz tetap diam tidak berkutik. Apa sahaja yang diucapkan oleh isterinya itu sudah tidak kedengaran lagi di telinganya.
Dia masih lagi terpana sendiri.
*****
AARIZ memerhati segala gerak-geri Dahlia yang sedang mencedok bihun goreng ke dalam pinggan. Kemudian isterinya itu menuangkan Milo ke dalam cawan. Gadis itu sangat tertib pada pandangan mata Aariz.
“Semalam awak ada nak cakap something kat saya, kan? Pasal kenapa awak bawa saya balik rumah kita terus,” soal Dahlia pada Aariz sambil mengambil tempat duduk di hadadan suaminya.
“Sorrylah, semalam saya mengantuk sangat. Tak ingat langsung pasal tu. Lagipun, awak tu asyik kacau saya aje.” Laju Dahlia menuturkan kata-kata sambil tangannya ligat mencedok bihun ke dalam pinggannya sendiri. Wajah suaminya tidak dipandang langsung.
Aariz tidak menjawab. Telinganya seakan-akan tidak mendengar apa-apa. Hanya matanya yang tetap seperti tadi, merenung isterinya.
Dahlia yang tidak mendapat balasan langsung daripada suaminya mula berasa pelik. Segera dia mendongak.  Matanya terus sahaja bertentang dengan sepasang mata coklat suaminya yang sedang merenungnya. Automatik Dahlia mengerutkan dahi. Ada apa-apa yang tidak kenakah pada wajahnya?
“Aariz! Aariz!!” panggil Dahlia sambil menggerakkan tangannya beberapa kali di hadapan suaminya yang kelihatan mengelamun.
Aariz masih membatu.
“Aariz!!!” Kali ini Dahlia menyergah.
“Ya, Dahlia!!!” Dengan nada terkejut Aariz menjawab.
“Awak kenapa?” Segera Dahlia menyoal.
Serta-merta Aariz menggelengkan kepala.
“Nothing… nothing.”
Dahlia memandang Aariz dengan rasa curiga.
“Betul?”
Aariz tersenyum kelat.
“Betul.”
“Then, makanlah breakfast tu. Dah lama saya tak masak untuk awak. Mesti awak rindukan masakan saya, kan?” gurau Dahlia. Sejak mereka tinggal di rumah umi, Dahlia langsung tidak memasak. Segala urusan masak-memasak diserahkan sahaja pada Mak Jah, pembantu rumah umi.
Aariz tergelak kecil.
“Siapa yang rindukan masakan dia? Perasan!”
Dahlia menarik muka masam. Tidak puas hati dengan jawapan suami sendiri.
“Yalah, yalah. Kita perasan. Siapa yang nak rindukan masakan kita, kan? Dahlah tak hebat masak, pastu ada hati nak orang lain rindukan masakan kita.” Dengan nada merajuk Dahlia menjawab.
Bertambah kuat ketawa Aariz. Geli hatinya dengan perangai Dahlia.
“Isy, jangan merajuk, nanti kena jual,” sakat Aariz.
“Biarlah kalau kena jual pun,” balas Dahlia sambil memasukkan bihun ke dalam mulut. Sengaja dia makan dengan kasar dan sedikit membentak.
 “Okeylah, okeylah. I’m sorry. Saya rindukan masakan awak. Rindu sangat-sangat,” pujuk Aariz, masih lagi dengan senyumannya.
‘Tapi saya lebih rindukan orang yang memasaknya…,’ sambung Aariz lagi dalam hati.
Dahlia memandang Aariz dengan hujung matanya.
“Okey.” Pendek jawapan Dahlia.
“So, apa awak nak cakap semalam?” sambung Dahlia lagi dengan wajah cerianya. Langsung tiada riak merajuk yang dipamerkan tadi.
Aariz tidak terus menjawab, sebaliknya dia memandang Dahlia dengan wajah kehairanan.
 ‘Eh, tadi bukan main lagi buat gaya merajuk? Sekarang dah hilang pula?’ getus hati Aariz.
“Saya tengok semua barang saya yang sepatutnya ada kat rumah umi, ada kat sini. Awak pindahkan semuanya, kan?” soal Dahlia lagi.
Aariz mengangguk kecil. Hatinya mula berdebar-debar. Nampaknya saat untuk dia berterus-terang sudah semakin hampir.
“Kenapa? Awak tak ada pun cakap nak pindah balik rumah kita.”
“Few things happened waktu awak kat Tawau,” jawab Aariz, seakan memberikan petunjuk ke arah apa yang akan diterangkan buat isterinya.
“Such as?” balas Dahlia kembali dengan wajah yang berkerut.
Aariz menarik nafas dalam-dalam sebelum menjawab dengan cukup perlahan.
“Syafiq….”
Dahlia memandang Aariz yang seakan-akan telah menjawab soalannya tadi, namun suara lelaki itu tidak pula hinggap di gegendang telinganya.
“Huh? Kenapa cakap perlahan sangat ni? Saya tak dengarlah.”
Aariz melepaskan keluhan panjang. Wajah tulus Dahlia ditatapnya. Mata Dahlia yang berseri-seri segera menghadirkan rasa serba salah dalam dirinya. Aariz sedar bahawa seri itu pasti akan hilang dengan berita yang bakal disampaikannya. Sungguh, dia tidak sanggup!
“Such aserm… saya ada banyak kerja kat pejabat sekarang ni. Rumah kita kan lagi dekat dengan office, so lebih senanglah.” Tanpa sedar, laju sahaja mulut Aariz berbohong. Sesaat kemudian dia mengetap bibirnya.
‘Apa kamu cakap ni, Aariz Danial? Kenapa susah sangat nak berterus-terang?’ bisik hati Aariz, menempelak dirinya sendiri.
“Oh, tapi tak boleh tunggu sampai saya balik dulu ke? Yalah, tak sempat pun saya nak jumpa umi dengan abah,” jawab Dahlia kembali tanpa syak wasangka.
Aariz mendiamkan diri. Timbul rasa bersalah dalam dirinya kerana berbohong begitu.
“Aariz?” tegur Dahlia pada suaminya yang tidak memberikan reaksi.
“Sorry, tapi terpaksalah… sebab… sebab….”
“Kerja awak tu?” sambung Dahlia pula.
Lambat-lambat Aariz mengangguk.
“Tak apalah kalau macam tu. Saya sebenarnya tak kisah duduk kat mana pun, asalkan kita still boleh pergi melawat umi,” ujar Dahlia lagi seraya meneguk Milo. Perutnya sudah kekenyangan.
Aariz membatu. Hanya mulutnya yang masih mengunyah bihun yang tiba-tiba terasa tawar dan susah untuk ditelan. Dalam hati, Aariz mengutuk diri sendiri yang terlalu sukar untuk bersuara mengenai Syafiq.
‘Sampai bila aku nak sembunyikan kepulangan Syafiq daripada Lia?’

Share this:

ABOUT THE AUTHOR

Hello We are OddThemes, Our name came from the fact that we are UNIQUE. We specialize in designing premium looking fully customizable highly responsive blogger templates. We at OddThemes do carry a philosophy that: Nothing Is Impossible

0 comments:

Post a Comment