Jodoh itu Milik Kita - Bab 20


BAB 20

PUAN MARINA memerhatikan gerak-geri Aariz yang sekejap-sekejap memandang langit hitam. Tadi sewaktu ternampak Aariz melangkah ke arah taman di luar rumah, hatinya bagaikan tertarik-tarik untuk mengikut sama. Terkenang Puan Marina pada perangai Aariz yang kelihatan sedikit canggung sejak tiga hari yang lalu. Anaknya itu tidak seperti selalu. Sepatah disoal, sepatah juga yang dijawabnya. Senyumannya juga hambar tanpa seri.
“Aariz buat apa tu?” soal Puan Marina pada anaknya itu yang sedang mendongakkan kepala.
Aariz tersentak. Langsung dia tidak perasan akan kehadiran ibunya itu. Perlahan dia melemparkan senyuman tawar sambil matanya memandang umi yang sudah pun mengambil tempat duduk bertentangan dengannya.
“Tengok langit, umi.”
“Kenapa?” soal Puan Marina, sedikit kehairanan.
“Lia pernah cakap pada Aariz… kat sini tak ada bintang, sebab ada banyak sangat lampu. Lampu yang buat bintang hilang gemerlapannya.” Syahdu nada suara Aariz. Kepalanya didongakkan lagi, memandang langit hitam yang langsung tidak menampakkan seri sebutir bintang.
Puan Marina terdiam. Kata-kata anaknya yang bernada sendu membuatkan dia hilang kudrat untuk bersuara. Gerak hati seorang ibu tegar mengatakan bahawa Aariz dalam kesedihan. Ya, anaknya itu dalam kedukaan! Serta-merta hatinya terasa pedih.
Aariz yang perasan akan reaksi ibunya terus sahaja berpaling dan menghalakan pandangan ke arah Puan Marina. Dia sedikit tersentak tatkala melihat wajah umi yang kelihatan mendung. Mungkin kata-katanya tadi yang menyebabkan umi menjadi begitu. Perlahan rasa bersalah menyerbu masuk ke dalam hati. Sungguh! Dia tidak berniat mahu melukakan hati umi.
“Apalah yang Lia mengarut kan, umi? Macam orang yang tengah bermadah puisi pula. Cakap pasal bintang, gemerlapan semua. Agak-agaknya dulu Lia nak jadi sasterawati kut?” ujar Aariz tanpa henti. Entah apa yang dia cakapkan, dia sendiri sudah tidak pasti. Baginya, yang penting sekarang dia perlu menutup kembali rasa sendu yang dia pamerkan di hadapan umi sebentar tadi.
Puan Marina tersenyum kelat. Bukan dia tidak tahu apa yang cuba dilakukan Aariz. Anaknya yang seorang itu cuba menyembunyikan rasa hati. Aariz selalu begitu, sering merahsiakan perasaan yang tersimpan dalam sanubari. Puan Marina sedar, Aariz bukannya jenis yang akan berkongsi segalanya dengan sesiapa, terutama sekali dengan orang yang disayanginya. Bagi Aariz, tidak akan sekali-kali dia menghancurkan hati orang tersayang dengan masalah atau kedukaan yang menimpanya. Dia lebih rela menghadapi segala masalah itu seorang diri daripada mengakibatkan orang yang penting baginya menitiskan setitik air mata kerana dirinya.
“Yalah, kut? Tak sangka Lia suka bermadah macam tu. Tengok rupa orangnya, tak macam tu,” balas Puan Marina, sekadar melayan kata-kata dan perbualan Aariz.
Aariz tidak menjawab, hanya bibirnya yang menguntum senyum yang kelihatan amat janggal di mata Puan Marina. Senyuman yang nampak sangat terlalu dipaksa-paksa.
Seketika suasana penuh kejanggalan menghimpit kedua anak-beranak ini. Masing-masing diam tanpa kata, seakan-akan tidak tahu bagaimana harus mereka menyambung perbualan itu lagi.
Setelah beberapa minit berkeadaan begitu, Aariz akhirnya membuka mulut. Niat di hati mahu menyampaikan apa yang bermain-main di fikirannya sejak beberapa hari lalu.
“Umi… Aariz rasa… erm… Aariz nak balik ke rumah Aariz.” Penuh teragak-agak Aariz bersuara.
Sejak kemunculan Syafiq, memang itu yang menjadi perancangan Aariz. Dia mahu membawa Dahlia keluar dari rumah umi. Jika ditakdirkan Syafiq benar-benar kembali ke rumah itu, bukankah pelik lagi canggung jika mereka masih di situ. Ah, mana mungkin mereka tinggal serumah! Aariz percaya bukan sahaja Dahlia yang akan berasa tidak selesa, malah dia juga akan berasa begitu.
Puan Marina mendengar tanpa reaksi. Ternyata dia tidak terkejut dengan kenyataan yang baru sahaja terluncur keluar dari mulut Aariz. Lagipun memang itu yang dia mahu daripada anaknya itu. Ya, dia mahu Aariz dan Dahlia kembali ke rumah mereka sendiri. Dia mahu mereka kembali kepada keadaan di mana anak menantunya itu boleh berdua-duaan tanpa perlu memikirkan soal orang lain. Juga, dia mahu mereka meninggalkan rumah itu yang punya terlalu banyak kaitan dengan Syafiq.
Bukan Puan Marina tidak perasan wajah Dahlia yang penuh ketidakselesaan tatkala gadis itu terpandang potret yang memaparkan wajah Syafiq. Bukan juga dia tidak nampak betapa susahnya Dahlia mahu menyembunyikan rasa terluka tatkala mereka sesekali tersasul menyebut nama Syafiq.
“Baliklah. Lagipun keadaan umi pun dah makin baik. Korang dah tak perlu stay sini untuk jaga umi,” jawab Puan Marina, penuh kelembutan seorang ibu.
“Aariz minta maaf ya, umi. Tak dapat lama kat sini, untuk jaga umi.”
Walaupun Aariz mahu membawa Dahlia kembali ke rumahnya, tetap juga dia berasa terkilan dan bersalah kerana tidak dapat terus menjaga ibunya. Dia merasakan seperti telah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang anak memandangkan keadaan umi yang sekejap stabil dan sekejap lagi kembali sakit.
“Isy, Aariz ni… tak apalah. Umi pun tak nak kamu lama-lama kat sini,” balas Puan Marina kembali.
Aariz yang mendengar sengaja membeliakkan mata. Niat di hati mahu menyakat ibunya yang seorang ini.
“Hah? Umi tak nak Aariz kat sini? Sampai hati umi!”
Puan Marina tergelak. Dia sedar Aariz hanya bergurau.
“Haah, memang umi tak nak. Yalah, kita sedar… kita ni sebenarnya mengacau dia nak bermanja-manja dengan isteri. Tak gitu?” Puan Marina membalas gurauan anaknya dengan usikan juga.
Meledak ketawa Aariz. Kali ini ketawanya ikhlas dari hati, bukan lagi bersalutkan kepura-puraan.
“Isy, tak kacaulah. Bukannya umi ada di dalam bilik Aariz pun. Kalau umi nak tahu… di dalam bilik tu, bukan setakat bermanja-manja, lebih daripada tu pun boleh,” jawab Aariz selamba.
Terlopong mulut Puan Marina.
“Amboi, tak cover nampak? Kalau Lia ada ni, mahunya diketuk-ketuk kepala kamu, Aariz,” tempelak Puan Marina sambil tangannya menampar lembut bahu Aariz.
Aariz ketawa lagi. Puan Marina turut tertawa bahagia.
“So, bila mahu balik rumah Aariz?” soal Puan Marina setelah tawanya mati.
Aariz terdiam sejenak sebelum bersuara dengan perlahan. “Esok.”
Puan Marina sedikit tersentak. Jawapan Aariz langsung tidak dijangkakan. Sangkanya Aariz akan berpindah keluar dari rumah itu sekembalinya Dahlia dari Tawau.
“Kenapa tak tunggu Lia balik dulu?” Terus Puan Marina menyoal, menyuarakan rasa pelik di hatinya.
Aariz tidak terus menjawab. Hanya bibirnya yang diketap, seakan-akan tidak tahu apa yang patut disuarakan.
Puan Marina merenung anaknya dengan penuh curiga. Perlakuan Aariz kelihatan amat pelik di matanya. Aariz jarang sekali teragak-agak untuk menjawab begitu.
“Apa dah jadi sebenarnya ni, Aariz?” tanya Puan Marina dengan lembut, tidak mahu terlalu mendesak anaknya walaupun hatinya membuak-buak dengan rasa ingin tahu.
Aariz menarik nafas dalam-dalam. Dia tahu tidak ada gunanya dia menyembunyikan hal itu lagi daripada pengetahuan umi. Selama tiga hari ini, dia cukup teragak-agak untuk memberitahu umi tentang kepulangan Syafiq. Semuanya gara-gara perasaannya yang sudah tidak pasti jika tindakannya cuba membawa Syafiq pulang adalah tindakan yang benar-benar terbaik untuk semua. Untuk umi, abah dan juga untuk Dahlia.
“Syafiq….”
Tersentak Puan Marina mendengar nama yang baru sahaja disebut oleh Aariz.
“Huh?”
“Syafiq is back, umi.” Perlahan suara Aariz.
“Bila? Kenapa Aariz tak bagitahu awal-awal? Dia sihat? Bila dia nak balik rumah?” Bertalu-talu soalan yang meluncur laju dari mulut Puan Marina. Wajahnya kelihatan berseri dengan rasa girang yang bertamu dalam hati.
Melihatkan reaksi umi, hati Aariz terasa pedih. Nampaknya umi benar-benar merindui Syafiq, merindui adiknya yang tegar melukakan sekeping hati milik ibunya tanpa langsung rasa bersalah.
“Aariz? Kenapa tak jawab soalan umi ni?” Tanpa sedar, Puan Marina mula mendesak.
“Syafiq… dia sihat, bu. Dia sampai dari Wellington tiga hari lepas. Aariz terse….”
“Kenapa Aariz tak bagitahu umi tiga hari lepas? Kenapa baru sekarang nak bagitahu?” sampuk Puan Marina. Ada nada tidak puas hati pada suaranya.
Aariz mendiamkan diri. Hanya matanya yang memandang wajah penuh harapan Puan Marina. Ibunya itu benar-benar berharap dapat menemui Syafiq.
‘Macam mana Aariz nak bagitahu? Syafiq tak nak balik rumah pun, umi. Dia tak nak pun jumpa umi, abah dan… dia langsung tak rasa bersalah atas apa yang dia dah buat,’ getus hati Aariz, penuh rasa hiba.
“Aariz, Aariz dengar tak ni?” desak Puan Marina lagi.
Aariz menarik nafas dalam-dalam dan tersenyum tawar.
“Syafiq… dia... dia pesan Aariz jangan bagitahu dulu. Dia… erm… dia takut nak balik rumah. Dia takut umi dengan abah marahkan dia,” bohong Aariz. Dia terpaksa berbuat begitu demi menjaga hati ibunya. Mana mungkin dia memberitahu perkara sebenar kepada umi dan menghancurkan hatinya.
 “Marahkan apa ni?” Tiba-tiba ada suara lain yang menyampuk perbualan mereka.
Aariz dan Puan Marina tersentak. Serta-merta mereka bangun dari duduk dan saling berpandangan. Masing-masing sudah berwajah pucat lesi. Ya, sepanjang usaha mereka untuk mencari Syafiq, Tuan Haikal langsung tidak dimaklumkan tentang itu.
Puan Marina telah berpesan pada Aariz agar merahsiakan segalanya daripada pengetahuan suaminya sehingga masa yang sesuai. Semuanya kerana perasaan berang dalam hati Tuan Haikal yang masih lagi membara terhadap anaknya yang seorang itu. Berang kerana Syafiq sanggup menjatuhkan maruah keluarga. Menconteng arang ke wajah Tuan Haikal!
“Ina, Aariz…. Apa yang kamu berdua sembunyikan daripada abah selama ni?” tanya Tuan Haikal lagi. Soalannya berbaur rasa curiga yang mendalam.
Aariz membatu. Puan Marina diam tidak berkutik. Hanya kepala masing-masing yang menunduk memandang lantai. Tidak tahu apa yang patut dikatakan.
“Aariz, pandang abah.” Tegas nada suara Tuan Haikal.
Automatik Aariz mendongak, memandang wajah ayahnya yang tampak tenang. Namun Aariz tahu ketenangan itu bila-bila masa sahaja akan berubah wajah.
“Erm… apa… apa... yang abah nak tahu?” Aariz cuba bersuara dengan setenang yang mungkin.
“Apa yang kamu dan umi kamu cuba buat di belakang abah?” soal Tuan Haikal, sedikit menuduh.
Bukan Tuan Haikal tidak perasan perubahan tingkah laku isteri dan anak sulungnya sejak kebelakangan ini. Sering kali berbicara secara sembunyi-sembunyi dan juga berbisik, seolah-olah dalam misi rahsia. Kalau tidak difikirkan bahawa mungkin ada isu serius di sebalik gerak-geri mencurigakan itu, mahu sahaja Tuan Haikal mengusik mengatakan mereka tidak ubah seperti dalam filem James Bond.
“Abang, Ina dengan Aariz tak ada buat benda yang salah,” Puan Marina menyampuk dengan nada yang agak takut-takut.
“Abang tak ada cakap yang kamu berdua buat benda salah, kan?” tegas jawapan Tuan Haikal.
Puan Marina terdiam. Ketegasan suaminya menggetarkan hatinya. Bukan dia tidak mengenali suami yang telah dikahwini hampir tiga puluh tahun lamanya itu. Pantang bagi suaminya jika dia berahsia apa-apa daripadanya!
“Abang cuma nak tahu apa yang Ina sembunyikan daripada abang? Apa yang Ina cuba buat di belakang abang?” Sekali lagi Tuan Haikal mengulangi soalannya tadi.
Aariz memandang wajah ibunya yang sudah diselubungi rasa bersalah dan takut-takut. Perlahan dia menarik nafas dalam-dalam.
“Abah, kalau Aariz cakap ni… Aariz harap abah akan bertenang,” ujar Aariz penuh keyakinan.
            “Aariz?” Puan Marina memandang dengan penuh tanda tanya. Adakah anaknya itu akan berterus-terang?
Tuan Haikal tidak menjawab. Hanya wajahnya yang mempamerkan rasa ingin tahu.
“Aariz… Aariz cuba cari Syafiq.” Lambat-lambat Aariz bersuara, memberitahu hal sebenar. Namun tidak pula dia mengkhabarkan bahawa dia sebenarnya mencari Syafiq kerana permintaan umi.
Wajah Tuan Haikal terus sahaja berubah. Merah padam dengan api kemarahan.
“Kenapa Aariz cuba cari dia lagi? Dia dah pergi, dah tinggalkan keluarga kita.…”
“Tapi, bah… Syafiq tetap adik saya.” Aariz membantah.
Tuan Haikal mendengus kasar. Permainan apa yang cuba dimainkan oleh Aariz dan isterinya? Kenapa mereka tidak mahu memahami bahawa Syafiq tidak perlu dipedulikan lagi? Anaknya yang seorang itu cuma tahu memalukan keluarga, menjatuhkan maruahnya!
“Aariz dah lupa ke apa yang dia buat pada keluarga kita? Dia malukan keluarga kita, keluarga Cikgu Darius!” Tinggi nada suara Tuan Haikal.
Aariz terdiam. Memang betul apa yang dikatakan oleh ayahnya itu. Malah jika diturutkan rasa hati, dia juga berperasaan begitu. Marah dan benci pada tindakan gila Syafiq, ditambah pula dengan pertemuannya dengan adiknya itu tempoh hari. Pertemuan yang sangat menjengkelkan hatinya. Tetapi setiap kali terpandangkan wajah umi yang begitu mengharapkan Syafiq, perasaan marah dan jengkel itu seakan-akan lenyap begitu sahaja.
“Aariz tahu tak betapa malunya abah waktu dia tiba-tiba hilang macam tu aje semasa hari perkahwinan dia sendiri? Mana abah nak letak muka abah masa tu?”
“Tapi, bah… itu semua kan dah lepas….” Aariz cuba menjawab.
“Apa yang lepasnya, Aariz? Setiap kali abah terfikirkan adik kamu tu, apa yang abah rasa cuma rasa malu, sakit hati, marah, kecewa…,” ujar Tuan Haikal lagi, penuh emosi. Dadanya berombak dengan rasa marah, tetapi matanya seakan-akan berkaca-kaca dengan rasa kecewa.
Puan Marina yang melihat segalanya sudah mula menangis. Hatinya remuk tatkala menyaksikan anak-beranak itu bertikam lidah. Dan semuanya gara-gara dia. Kalau tidak kerana permintaannya agar Aariz mencari Syafiq, suami dan anaknya itu tidak mungkin akan berkelahi begitu. Ah, kenapalah dia terlalu mementingkan diri? Kenapalah dia terlalu merindui Syafiq? Kenapalah dia tidak boleh kekal marah pada anak bongsunya itu?
‘Semuanya akan jadi lebih senang kalau aku terus marahkan Syafiq. Kalau aku terus buang dia daripada keluarga ni. Tapi aku… aku sayangkan dia…,’ rintih Puan Marina dalam hati.
            “Dan kerana dia jugak, Aariz yang terpaksa berkorban. Aariz terpaksa kahwin dengan Dahlia!” sambung Tuan Haikal lagi. Langsung dia tidak perasan akan keadaan isterinya yang sudah pun menangis di sisi Aariz.
“Tapi Aariz tak pernah menyesal berkahwin dengan Dahlia, bah!” Spontan Aariz menjawab, penuh ketegasan.
Tuan Haikal tersentak. Puan Marina turut terlopong. Aariz juga tergamam dengan katanya-katanya sendiri. Langsung tidak menyangka bahawa itu yang akan terluah daripada mulutnya. Atau mungkin juga itu sebenarnya terluah daripada sudut hatinya yang paling dalam.
Mendengarkan pengakuan Aariz, riak wajah Tuan Haikal bertukar sedikit lembut. Entah kenapa pengakuan itu seakan melembutkan hatinya.
“Tapi setahu abah, Aariz tak pernah teringin untuk kahwin. Takkan tak terlintas langsung rasa menyesal Aariz sebab terpaksa kahwin dengan Dahlia?” Kali ini lembut kata-kata Tuan Haikal. Tidak lagi nyaring, lantang dan membentak seperti tadi.
“Abah bukannya apa, kalau betul Aariz tak rasa menyesal, abah bersyukur sangat-sangat. Tapi kalau ada, kasihan Dahlia nanti….”
Aariz mengetap bibir, sedar akan dirinya yang sudah terlepas cakap. Kini bukan lagi soal Syafiq yang akan menjadi isu perbualan mereka, tetapi tentang dirinya dan Dahlia. Dan sesungguhnya dia tidak mahu berbicara tentang itu kerana dia sendiri masih lagi bingung akan perasaannya terhadap isterinya sendiri. Lebih-lebih lagi dengan kemunculan semula Syafiq yang pasti akan membuatkan keadaan menjadi lebih rumit.
“Aariz?” Tuan Haikal menyoal tatkala melihat anaknya tidak memberikan sebarang reaksi.
Puan Marina menjatuhkan pandangan pada wajah Aariz yang jelas menampakkan rasa tidak selesa. Dia sedar anaknya itu tidak mahu membicarakan soal itu, soal perkahwinannya yang mungkin juga akan menjurus ke arah soal hati dan perasaan. Dalam hati Puan Marina sedar dia harus berbuat sesuatu sebelum suaminya terus-terusan mendesak Aariz.
Perlahan Puan Marina menyeka air mata yang masih bersisa di pipi dan menghampiri suaminya. Penuh kelembutan dia mengambil kedua tangan Tuan Haikal dan mencium tangan itu penuh syahdu. Air matanya menitis lagi.
Tuan Haikal sedikit tergamam, agak terpinga-pinga dengan tindakan isterinya yang tiba-tiba.
“Eh, Ina… kenapa ni?” pantas Tuan Haikal menyoal.
Aariz pula hanya memandang dengan terkebil-kebil. Apa pula yang cuba dilakukan umi?
“Ina minta maaf, bang. Sebenarnya… Ina yang minta Aariz cari Syafiq,” jelas Puan Marina.
Tuan Haikal mengerutkan dahi.
“Ya, Ina tahu… Ina tahu abang masih marahkan dia. Abang tak mahu anggap dia macam anak abang lagi. Tapi bang… Ina… Ina… rindukan Syafiq.” Bergetar suara Puan Marina dalam percubaannya menahan rasa yang semakin menyesakkan emosi.
Tuan Haikal terkesima. Hatinya pedih tatkala melihat isterinya yang sedang merintih hiba.
“Abang tahu tak, Ina… Ina benar-benar harap yang Ina boleh terus marah pada dia. Mungkin lebih senang kalau dia tak ada dalam hidup kita. Tapi, bang… Syafiq tu anak Ina, anak kita.…”
Tuan Haikal diam tidak berkutik. Hatinya dihambat rasa bersalah kerana membuatkan isterinya terhimpit begitu. Ya, terhimpit antara rasa hormat pada suami sendiri dan rasa kasih buat anak kandung.
“Walau apa pun yang dia dah buat, walaupun dia dah malukan keluarga kita. Ina… Ina tak boleh nak buang Syafiq. Kalau… kalau Ina buang dia, Ina akan rasa macam… macam dah buang separuh nyawa Ina sendiri….” Tersekat-sekat Puan Marina menyambung kata-katanya bersama linangan air mata yang bercucuran di kedua pipinya.
Aariz yang melihat sedaya upaya cuba menahan sebak di dada. Jantungnya dihimpit rasa hiba. Terlalu pedih dan terlalu menyakitkan. Perlahan dia mengundurkan tubuh ke belakang, mahu meninggalkan ibu dan ayahnya sendirian. Biarlah abah memujuk umi.
Sebelum melangkah pergi, sempat juga Aariz mengerling ke arah kedua ibu bapanya. Abah sudah pun menarik umi ke dalam pelukannya sambil memujuk beberapa kali. Telinga Aariz juga seperti dapat menangkap kata-kata maaf yang terluncur keluar daripada mulut bapanya.
“Shhh… abang faham… abang faham… maafkan abang….”
*****
AARIZ merebahkan tubuhnya ke atas katil. Dadanya masih lagi sesak dengan apa yang telah terjadi sebentar tadi antara dia, umi dan abah. Masih tergambar di matanya wajah hiba umi, juga wajah sedih abah. Sungguh! Hatinya benar-benar luluh, seperti disiat-siat dengan kejamnya.
Aariz mengeluh perlahan seraya meletakkan lengannya ke atas kepala dan memejamkan mata. Pada saat itu juga wajah Dahlia muncul. Wajah yang tersenyum manis padanya. Serta-merta Aariz membuka matanya kembali dan berpaling menghadap bingkai gambar yang terletak elok di sebelah katil. Wajah ceria Dahlia ditatapnya.
“Lia, he’s back. Agak-agaknya kalau awak tahu dia dah kembali, awak still akan senyum macam tu ke?” soal Aariz perlahan, seolah-olah gambar itu mampu bersuara kembali.
“Atau… awak pun akan jadi macam umi, macam abah?”

Share this:

ABOUT THE AUTHOR

Hello We are OddThemes, Our name came from the fact that we are UNIQUE. We specialize in designing premium looking fully customizable highly responsive blogger templates. We at OddThemes do carry a philosophy that: Nothing Is Impossible

0 comments:

Post a Comment