March 1, 2012

Jodoh itu Milik Kita - Bab 19



BAB 19

“FIQ!!!”
Aariz cepat-cepat memanggil Syafiq yang dilihatnya sudah pun memalingkan tubuh dan berjalan meninggalkannya. Langkahnya dilajukan untuk mengejar adiknya itu.
Syafiq terus sahaja menapak pergi tanpa menghiraukan Aariz yang tidak henti-henti memanggilnya. Hatinya terasa sebal kerana terserempak dengan orang yang paling tidak mahu ditemuinya.
“Syafiq, stop!!!” Aariz sedikit menjerit seraya menarik bahu Syafiq, memaksa lelaki itu berhadapan dengannya.
            “Apa abang nak?” Dingin suara Syafiq. Matanya merenung Aariz tajam.
Aariz tidak terus menjawab. Sebaliknya dia membalas renungan tajam adiknya itu. Dia cuba mencari sebarang perasaan yang mungkin terpampang pada wajah itu. Perasaan yang berupa kekesalan atau rasa bersalah, mungkin. Tetapi yang jelas pada wajah itu hanyalah kekosongan, tiada langsung bayang-bayang kekesalan, jauh sekali rasa bersalah!
“Kenapa Fiq buat macam tu?”
Syafiq tersenyum sinis. Dia tahu apa yang dimaksudkan oleh abangnya itu.
“Buat apa?” Sengaja Syafiq menjawab begitu.
Membuntang mata Aariz. Perasaan geram segera menjengah masuk ke dalam dirinya. Sedarkah Syafiq apa yang telah dikatakannya itu? Ingatkah Syafiq apa yang telah dilakukannya pada umi, abah dan… Dahlia?
“Don’t pretend like you don’t know what I’m saying, Fiq.”
“Well, I don’t. What have I done?”
Berombak dada Aariz. Perasaan geramnya tadi kini berubah menjadi amarah. Wajah selamba Syafiq benar-benar mencabar hatinya.
“Fiq tinggalkan Dahlia on your own wedding day, malukan keluarga kita, jatuhkan maruah keluarga kita. And now you’re asking me… what have you done?” Keras jawapan Aariz.
“Perkahwinan Fiq, suka hati Fiqlah nak buat apa pun. Apa abang peduli?” Bersahaja pula jawapan yang terpacul keluar dari mulut Syafiq. Wajahnya tetap tenang, langsung tidak menunjukkan sebarang perasaan.
Aariz tercengang. Jawapan yang diberikan adiknya itu langsung tidak pernah terjangkau dek akal fikirannya. Selama ini dia berusaha memikirkan perkara yang baik-baik sahaja tentang tindakan adiknya itu. Walaupun Aariz akui dia sering sahaja gagal dalam memikirkan sebab munasabah yang membuatkan Syafiq mengambil tindakan gila itu, namun di suatu sudut hatinya dia tetap berharap agar Syafiq bukan sengaja berbuat demikian. Dia benar-benar berharap agar Syafiq punya sebab yang boleh diterima akal, yang boleh dimaafkan.
Perkahwinan sendiri.
Suka hati nak buat apa.
Alasan gila apakah itu???
“Fiq sedar tak apa yang Fiq cakapkan ni?” Suara Aariz bergetar dengan rasa hati yang sudah mula mendidih.
Syafiq sengaja mendiamkan diri. Dia sedar Aariz sudah mula marah. Aariz Danial yang terkenal dengan ketenangan dan sifat penyabarnya boleh marah-marah begitu? Huh, puas hatinya!
“Mulut Fiq yang cakap. Takkan Fiq tak sedar kut?” jawab Syafiq diselangi dengan sindiran yang tajam. Sengaja dia menjawab begitu kerana dia mahu terus-terusan membuat Aariz marah.
            “Kenapa Fiq ni melampau sangat? Fiq tahu kan umi sakit? Tapi Fiq boleh pula buat macam tu pada umi, pada keluarga kita!” tempelak Aariz pada adiknya itu. Wajahnya tegang. Tangannya pula dikepal. Kemas sekali! Aariz cuba menahan amarah yang semakin lama semakin menggebu dalam dirinya.
“Keluarga kita? Keluarga siapa? Umi, abah tu keluarga Fiq. Bukan keluarga abang!” balas Syafiq kasar.
Tersentap perasaan Aariz tatkala Syafiq mula mengungkit tentang itu. Matanya merah menggambarkan betapa marahnya dia pada adiknya yang seorang itu. Syafiq memang seperti itu. Dari dahulu lagi, Syafiq memang tidak pernah mahu menerima kehadiran Aariz dalam keluarga Tuan Haikal.
“Kalau Fiq betul-betul anggap keluarga Fiq tu, keluarga Fiq… lagilah Fiq tak patut buat macam tu! Hancurkan hati umi, hati abah, hati Dahlia!” Lantang nada suara Aariz menuturkan kata-kata.
Syafiq mengetap bibir sambil matanya tidak lepas daripada merenung Aariz tajam.
“Abang jangan sibuk, boleh tak? Apa pun yang Fiq nak buat, tak ada kena mengena dengan abang.” Keras jawapan Syafiq.
“Mana boleh abang biarkan? Apa yang Fiq dah buat tu betul-betul melampau!”
Kali ini Syafiq tidak menjawab. Hanya dadanya yang berombak, menandakan emosinya yang benar-benar hangat. Marah! Benci! Semuanya bercampur baur dalam hatinya. Apa hak Aariz untuk menentukan apa yang dia boleh dan tidak boleh lakukan?
Aariz menarik nafas panjang, berusaha menenangkan hatinya yang semakin panas. Jika tidak difikirkan mereka kini berada di khalayak ramai, mahu sahaja dia melayangkan penumbuknya pada Syafiq atas kata-kata dan reaksinya yang langsung tidak berasa bersalah atas apa yang telah berlaku.
“Kenapa Fiq sanggup buat macam tu pada umi? Pada Dahlia?” Kali ini suara Aariz mula kendur. Tidak lagi kasar dan membentak seperti tadi.
“Kenapa pula Fiq perlu bagitahu abang?” Lagi jawapan keras yang dihadiahkan Syafiq buat abangnya.
Aariz terdiam sejenak. Ya, betul kata Syafiq. Tidak ada sebab untuk dia memberitahunya tentang rahsia di sebalik tindakan gilanya itu. Tidak ada sebab juga untuk Syafiq memberikan penjelasan kepadanya. Mereka bukannya rapat untuk membolehkan Syafiq berkongsi rasa dengannya.
“Macam nilah, bang. Abang anggap aje apa yang Fiq buat tu just for my own pleasure.” Syafiq menyambung kata-katanya lagi dengan lagak bersahaja.
Aariz sedikit tercengang. Agak terkejut dengan kata-kata selamba dan tidak berperasaan yang baru sahaja diucapkan Syafiq. Just for my own pleasure?  Gila! Syafiq memang sudah betul-betul gila! Hanya orang gila sahaja yang sanggup meninggalkan ibu yang menderita sakit, meninggalkan tunangan pada hari perkahwinan sendiri dan menghancurkan hati semua orang hanya semata-mata untuk suka-suka.
“Oh, for my own pleasure? So I guess Fiq saje-saja tinggalkan majlis perkahwinan Fiq sendiri, sebab nak pergi bercuti kat Wellington, macam tu?” balas Aariz akhirnya bersama rasa geram yang terbit dalam setiap patah katanya.
Syafiq terpana buat seketika. Hatinya dipagut rasa hairan. Bagaimana abangnya itu tahu bahawa dia berada di Wellington? Apakah selama ini Aariz memang menjejakinya?
Teringat Syafiq pada lokasi mereka sekarang. KLIA! Tidak mungkin Aariz sengaja menunggu kepulangannya di sini. Tapi, kalau bukan… apa yang Aariz buat di lapangan terbang?
“Ma… macam… mana abang tahu selama ni Fiq kat Wellington?”
“Macam mana abang tahu, itu tak penting. Apa yang penting sekarang… Fiq kena balik jumpa umi. Minta ampun dengan umi, dengan abah. Dan juga Fiq kena minta maaf dengan Dahlia.”
“Kalau Fiq tak nak balik, apa yang abang akan buat? Paksa Fiq? Just like umi paksa Fiq untuk kahwin dengan Dahlia, macam tu? Huh, kalau Dahlia tu cantik sangat tak apalah. Ini tak, muka biasa-biasa aje!” bentak Syafiq tiba-tiba.
Lagi menyirap darah panas ke wajah Aariz. Kata-kata Syafiq sebentar tadi benar-benar mencabar kesabarannya. Berani Syafiq menghina isterinya!
“Fiq jangan cuba pandang rendah pada Dahlia.” Terketar-ketar suara Aariz sambil matanya merenung Syafiq dengan tajam. Wajahnya benar-benar menyinga.
Syafiq tersentak sejenak. Langsung tidak menyangka bahawa Aariz akan memberikan reaksi begitu.
“Abang ni daripada tadi tak habis-habis dengan Dahlia, Dahlia, Dahlia! Apa yang jadi antara Fiq dengan Dahlia tak ada kena mengena langsung dengan abang!” balas Syafiq akhirnya, lantang.
“Siapa cakap tak ada kena mengena? She’s my…,” balas Aariz spontan sebelum dia cepat-cepat mengunci mulut.
Dalam hati Aariz mengutuk dirinya yang hampir-hampir sahaja terlepas cakap tentang hubungannya dengan Dahlia. Bukan dia tidak mahu memberitahu Syafiq tentang perkahwinannya dengan Dahlia, namun fikirnya sekarang bukan masa yang sesuai. Mustahil bagi Aariz mengkhabarkan berita itu dalam keadaan yang tegang begitu. Nanti apa pula reaksi Syafiq?
“Abang kahwin dengan Lia? Tahniah!”
“Terima kasih, bang… sebab selamatkan maruah keluarga kita.”
“Abang jagalah Dahlia baik-baik.”
Ah! Tidak mungkin reaksi sebegitu yang bakal diberikan Syafiq. Hanya orang yang tidak siuman sahaja boleh bergembira begitu jika tunangan berkahwin dengan abang sendiri.
Syafiq memandang Aariz dengan pandangan yang penuh curiga. Hatinya kuat mengatakan bahawa ada sesuatu yang telah terjadi sepeninggalannya ke Wellington. Sesuatu yang pasti ada kaitan dengan Aariz dan juga Dahlia. Jika tidak, masakan Aariz beriya benar bercakap tentang Dahlia.
Kalau hanya isu dia menghancurkan hati umi yang dibangkitkan oleh Aariz, mungkin dia tidak akan berasa pelik begitu. Tetapi daripada awal pertembungan dan pertelingkahan mereka, Aariz seperti tidak habis-habis mengaitkan semuanya dengan Dahlia. Sebentar tadi pula Aariz tiba-tiba sahaja membela Dahlia dengan lagak yang sangat tegas dan penuh amarah.
“Apa yang abang dah buat? Apa kaitan Dahlia dengan abang?” soal Syafiq akhirnya. Tegas.
Aariz mengerutkan dahi. Ternyata pertanyaan Syafiq itu lebih berupa suatu tuduhan berbanding satu soalan yang tidak memberikan apa-apa makna.
“Isunya sekarang bukan apa yang abang dah buat. Tapi, apa yang Fiq dah buat.” Tegas juga balasan yang diberikan Aariz. Langsung dia tidak menjawab soalan Syafiq tadi. Malah, dia tidak punya sekelumit hasrat pun untuk menjawabnya.
Syafiq mendengus geram.
“Daripada tadi abang asyik cakap pasal apa yang Fiq dah buat, abang tak bosan ke? Kalau abang tak bosan, Fiq yang bosan!” jawab Syafiq seraya berpaling. Niat di hati mahu meninggalkan abangnya itu. Dia letih mahu melayan karenah Aariz yang tidak habis-habis mahu mempersoalkan tindakannya dan menyoalnya tidak ubah seperti tahanan di lokap.
Kali ini Aariz tidak menghalang tindakan Syafiq. Dia sudah malas mahu bertekak dengan adiknya itu. Lagipun semakin lama dia di situ bersama Syafiq, semakin membara pula rasa berang dalam hatinya. Aariz akui dia bukanlah jenis yang mudah marah-marah, tetapi di saat itu setiap patah kata yang terbit daripada mulut Syafiq pasti membuatkannya rasa mendidih.
            “Fiq kena balik rumah jumpa umi. Kalau Fiq tak balik, abang yang akan bawa Fiq balik,” ujar Aariz perlahan, penuh keazaman sambil matanya memerhatikan gerak langkah Syafiq yang kelihatan sedikit angkuh.
Namun sesaat kemudian Aariz seperti teringatkan sesuatu.
“Tapi…. macam mana dengan Dahlia nanti?”
*****
AARIZ mundar-mandir di dalam bilik sambil tangannya diletakkan ke belakang tubuh. Sesekali dia mengeluh. Dahinya berkerut seribu menggambarkan rasa hati yang diselubungi kerisauan.
‘Ya Allah! Apa aku patut buat sekarang?’
Aariz merasakan dirinya tidak ubah seperti ditelan mati emak, diluah mati bapa. Dia benar-benar terhimpit antara kerinduan umi terhadap Syafiq dan kedukaan Dahlia jika Syafiq muncul kembali. Sebelum ini sewaktu dia beriya-iya benar mencari Syafiq, dia betul-betul yakin akan tindakannya mengikut kata umi. Tetapi kini apabila Syafiq sudah muncul kembali, keyakinan itu seperti terbang pergi dan hanya meninggalkan rasa ragu-ragu yang tebal dalam dirinya.
Perlahan tangisan dan wajah terluka Dahlia pada hari pernikahan mereka muncul dalam ingatan Aariz. Seakan-akan jelas di telinganya sendu Dahlia, juga kata-kata Dahlia yang merasakan dirinya tidak ubah seperti barang yang boleh diambil dan dibuang begitu sahaja. Terbayang di matanya wajah penuh amarah dan duka Dahlia tatkala berbicara tentang maruahnya yang telah dipijak-pijak oleh Syafiq, bersama air mata yang tidak henti-henti mengalir.
Aariz mengambil tempat duduk di birai katil dan memejamkan mata. Memori malam perkahwinannya itu benar-benar merobek hatinya. Kesedihan dan kedukaan Dahlia seperti membuatkan hatinya luluh.
“Apa aku patut buat sekarang? Umi betul-betul nak jumpa Syafiq. Tapi Lia… macam mana pula dengan dia nanti?” keluh Aariz perlahan seraya membuka matanya kembali.
Sedang Aariz berkeluh-kesah tentang tindakan yang patut diambilnya, tiba-tiba telinganya menangkap suatu lagu yang berkumandang merdu. Aariz mengerutkan dahi. Truly by Lionel Richie?
Cepat-cepat mata Aariz meliar, mencari mana datangnya lagu itu. Seketika kemudian pandangannya tertancap pada iPhone 4 miliknya yang elok terletak di atas meja kerja.
“Aik, ringtone aku ke? Sejak bila pulak aku tukar?” soal Aariz perlahan pada dirinya sendiri, seraya mengangkat punggung menghampiri meja kerja itu.
“Oh, ni mesti kerja Dahlia!” Aariz menjawab sendiri. Faham sangat dia dengan minat Dahlia terhadap lagu-lagu oldies.
Teringat dia pada Dahlia yang tidak henti-henti mengejeknya kerana menggunakan ringtone yang membosankan.
“Apalah awak ni guna ‘kring, kring’! Macam zaman monotone dulu aje.”
Mengingati Dahlia, bibir Aariz automatik menguntum senyuman. Isterinya yang sentiasa ceria dan periang itu selalu sahaja menggembirakannya. Namun sayang, senyuman itu sekejap cuma! Wajah Syafiq yang tiba-tiba menyusul di matanya, mematikan terus senyuman yang baru sahaja terukir.
Aariz mengambil telefon bimbitnya dan menjatuhkan pandangan pada skrin telefon. Dahlia! Perasaan Aariz tambah bercelaru di saat melihat nama isterinya itu.
Perlahan Aariz menarik nafas panjang.
 “Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam, Aariz.” Suara Dahlia kedengaran ceria di hujung telinga Aariz.
“Dah sampai sana?”
“Dah, pukul lima lebih tadi. Now tengah rehat kat hotel. Esok pagi nak pergi site visit,” jelas Dahlia panjang lebar.
“Hmmm, okey….” Pendek jawapan Aariz.
Dahlia yang sedang bermalas-malasan di bilik hotel kehairanan. Biasanya Aariz akan menyoal dengan pelbagai soalan setiap kali mereka berborak di telefon. Ataupun mengusiknya dengan pelbagai gurauan yang kadang-kala membuatkan Dahlia geram sendiri.
“Awak… awak okey ke?” Penuh rasa ambil berat Dahlia menyoal.
Aariz sedikit tergamam. Apakah Dahlia dapat merasakan sesuatu? Mungkin ada apa-apa perubahan pada dirinya yang dikesan isterinya itu. Lagipun kata orang, wanita punya gerak hati yang sangat kuat.
“Kenapa awak tanya? Do I sounds… weird?”
“Haah.” Laju jawapan Dahlia.
“Apa yang peliknya?”
“Awak tak banyak tanya. Awak tak usik saya.”
Tercetus ketawa Aariz. Namun ketawa itu kedengaran hambar di telinga Dahlia. Sekali lagi hati Dahlia diulit rasa aneh. Tengah hari tadi sewaktu menghantarnya ke lapangan terbang, suaminya itu kelihatan ceria seperti selalu. Tetapi kini, jelas di telinganya ketawa Aariz yang dibuat-buat.
“So awak sukalah bila saya usik awak?” sakat Aariz, sebenarnya cuba melindungi perasaan bercelarunya yang mungkin sudah mula dirasai Dahlia.
Dahlia yang mendengar serta-merta menggigit bibirnya. Kenapalah mulutnya ini laju sahaja menjawab begitu tadi? Malu!
“Dahlia…,” panggil Aariz setelah Dahlia tidak menjawab.
“Hmmm….”
“Suka, ya? ” Aariz masih mengusik.
“Tak jawab, boleh?” Dahlia cuba mengelak daripada menjawab. Takkanlah dia mahu mengaku bahawa usikan dan gurauan Aariz sering sahaja membahagiakannya?
“Boleh, sebab awak tak jawab pun saya dah tahu jawapannya. Awak suka, kan?”
“Mana ada!” Dahlia sudah terjerit kecil.
Aariz tersenyum tawar. Telatah Dahlia yang mencuit hati makin membuatkan dirinya keliru dan dipagut rasa resah yang semakin lama semakin mendalam. Dia benar-benar bingung. Buntu!
Patutkah dia menghancurkan keceriaan Dahlia itu dengan berita kepulangan Syafiq? Bagaimana harus dia memberitahu Dahlia tentang Syafiq?  Tegarkah dia menyampaikan berita itu buat isterinya?  Apa agaknya perasaan Dahlia nanti?
Bertalu-talu soalan seumpama itu bermain di fikirannya, menghadirkan rasa sesak dan resah dalam diri Aariz. Tanpa sedar dia melepaskan keluhan berat.
Ternyata keluhan Aariz menambahkan lagi kerisauan dalam hati Dahlia. Suatu sudut hatinya mengatakan bahawa Aariz kini menghadapi masalah. Tiba-tiba teringat Dahlia pada perlakuan Aariz yang sedikit aneh sejak kebelakangan ini. Perbualan rahsia di antara Aariz dan umi juga mula berlegar-legar di fikirannya. Mungkinkan sesuatu telah terjadi kepada umi?
“Aariz, is something wrong?” Pantas Dahlia menyoal, menunjukkan rasa bimbangnya.
Aariz terpana buat seketika. Pertanyaan Dahlia membuatkannya diserbu rasa hairan. Adakah dia seorang yang terlalu mudah dibaca sehinggakan Dahlia boleh menyoalnya begitu sebanyak dua kali? Atau mungkin juga Dahlia memang mempunyai intuisi yang sangat kuat.
“No, nothing.”
“Betul? Macam mana pula dengan umi?” Dahlia menyoal lagi, tanda tidak berpuas hati dengan jawapan Aariz.
“Betul. Umi pun sihat aje. Macam yang awak tengok masa awak tinggalkan rumah tadi.” Aariz cuba menjelaskan sebaik mungkin sambil berusaha menyembunyikan rasa gelisahnya.
Dahlia mendiamkan diri sejenak. Dia tahu Aariz tidak cukup berterus terang dengannya. Namun dia juga tahu tidak ada gunanya mendesak lelaki itu untuk memberitahunya apa-apa. Bukan dia tidak kenal perangai Aariz yang agak gemar berahsia. Usia perkahwinan mereka yang menjejak tiga bulan sudah cukup untuk membuatkan Dahlia arif benar tentang perangai suaminya yang satu itu.
“Okay, then. Tapi kalau ada apa-apa, please don’t hesitate to call me,” pesan Dahlia dengan lembut. Dia sedar hanya itu yang mampu dilakukannya saat itu. Berpesan dan berharap agar Aariz tidak akan membelakanginya jika ada sesuatu yang terjadi.
Perlahan rasa terharu menyerbu masuk dalam hati Aariz.
“I will. Insya-Allah. Tapi kan, Lia….”
“Tapi apa?” Laju Dahlia menyoal.
“Cara awak cakap ni, macamlah awak pergi sana lama sangat. Lima hari aje kut?” ujar Aariz, separuh menyakat.
Tercetus ketawa kecil Dahlia.
“Yalah, yalah… saya tahu. Lima hari tu sekejap sangat. Tak sempat pun awak teringatkan saya, alih-alih saya dah balik and then tercegat depan mata awak, kan?” balas Dahlia kembali, juga separuh mengusik.
Dahlia sedikit tertawa dengan kata-katanya sendiri. Namun tiada sebarang balasan yang diberikan Aariz. Suaminya itu tiba-tiba sahaja mendiamkan diri tanpa suara. Dari hujung telefon bimbit, Dahlia hanya dapat mendengar desah nafas Aariz. Lembut dan beralun.
Satu saat.…
Dua saat.…
Tiga saat.…
Aariz diam.
Dahlia juga diam. Dan tiba-tiba….
“I think I’ve missed you already.”
Nada suara Aariz yang serius membuatkan hati Dahlia agak tersentak. Terkedu tanpa kata.
“Tengok! Belum beberapa jam, saya dah pun rindukan awak. So siapa cakap lima hari tu tak cukup untuk buat saya teringatkan awak?” sambung Aariz lagi.
Dahlia tidak menjawab. Nada suara ceria Aariz yang penuh kepura-puraan jelas kedengaran di telinga Dahlia.
“Okeylah, Lia. Awak pergilah rehat. Esok nak kena pergi site visit pula. Saya hang up dulu, ya. Good night! Assalamualaikum.…”
Klik! Aariz mematikan talian sebelum sempat Dahlia berkata apa-apa.        
“Waalaikumussalam.…” Perlahan suara Dahlia sambil terpinga-pinga memandang skrin telefon bimbitnya.
‘Apa dah jadi pada Aariz?’ bisik kata hati Dahlia, penuh kerisauan.

No comments:

Post a Comment