Jodoh itu Milik Kita - Bab 18


BAB 18

“LIA….” Puan Marina menegur menantunya yang laju sahaja berjalan di depannya tanpa langsung menyapanya.
Dahlia tidak menjawab malah makin laju melangkah ke arah ruang tamu. Puan Marina mengerutkan dahi.
“Dahlia!”
Hampir terlompat Dahlia apabila disergah begitu oleh ibu mertua sendiri. Dia langsung tidak sedar akan kehadiran Puan Marina. Fikirannya penuh dengan Aariz dan peristiwa tadi… peristiwa tadi dan Aariz dan… Aariz dan… Aariz dan… Aariz….
‘Isy, berapa banyak Aariz yang ada dalam otak kamu, Dahlia?’ bisik hati Dahlia. Sedikit menempelak.
“Lia?” Suara umi berkumandang lagi.
Sekali lagi Dahlia tersentak.
“Oh, umi! Umi panggil Lia ke tadi?”
Puan Marina menghampiri Dahlia yang hanya memandangnya dengan pandangan penuh tanda tanya.
“Lia kenapa? Umi panggil tadi, Lia buat tak tahu aje. Lia tak sihat ke? Or ada something happened?”
Something happened? Pertanyaan umi membuatkan fikiran Dahlia menerawang kembali pada Aariz dan pada peristiwa antara dia dan Aariz sebentar tadi. Malu teramat!
“Umi, kalau kita bermesra dengan suami memang kita akan rasa malu ke? Atau… jadi tak betul?” 
Ingin sahaja Dahlia menyoal umi begitu. Namun dia bukan gila untuk berbuat demikian. Nanti tak pasal-pasal pula umi kena serangan jantung.
‘Eh, Dahlia. Yang kamu fikir bukan-bukan ni kenapa? Apa yang dah jadi dengan kamu ni?’ Sesaat kemudian, Dahlia memarahi dirinya sendiri dalam hati.
Dahlia memang benar-benar berasa pelik dengan keadaan dirinya yang sudah seperti tidak siuman. Ternyata semuanya kerana Aariz Danial, suami yang tiba-tiba sahaja muncul dalam hidupnya itu.
Wajah serius Aariz yang menggentarkan jiwa wanitanya.
Wajah tenang Aariz yang menghadiahkan kekuatan dalam dirinya.
Wajah nakal Aariz yang sering kali membuatkannya geram.
Di suatu sudut hatinya, Dahlia sedar bukan hanya wajah lelaki itu yang membuatkan dia hilang arah. Segala-galanya tentang suaminya itu seakan-akan punya kuasa mistik yang mampu membuatkan dia seperti berada di awan-awangan.
Suara Aariz yang garau dan lembut selalu sahaja menusuk masuk dalam hatinya.
Senyuman Aariz yang mendebarkan sekeping hati miliknya.
Ketawa Aariz yang menggegarkan jantungnya dengan kocakan hebat.
Sentuhan Aariz yang mendamaikan dan seakan-akan melindunginya.
“Huwaa!!! Kenapa dengan aku ni???” Tanpa sedar Dahlia terjerit.
Puan Marina yang melihat terkejut.               
“Dahlia! Kenapa dengan Lia ni? Jangan buat umi takut,” tegur Puan Marina. Kedua bahu menantu kesayangannya itu dipegang kemas dan digoncang. Hatinya mula dipagut perasaan bimbang.
Dahlia terpinga-pinga. Wajah umi yang dekat benar dengan wajahnya ditatap. Matanya dikelip-kelip. Seketika kemudian Dahlia mula tersedar dengan perbuatan peliknya tadi. Perlahan Dahlia tersengih, cuba menutup malu.
“Ta… tak… tak ada apa, umi. Lia… Lia okey. Sorry..”
Puan Marina memandang dengan pandangan penuh curiga.
“Betul Lia okey?”
Serta-merta Dahlia mengangguk. Bibirnya masih tersengih, menampakkan gigi yang tersusun rapi. Tangannya pula menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dalam hati Dahlia mengutuk diri sendiri yang tiba-tiba sahaja menjerit begitu di hadapan umi. Entahlah, Dahlia berasa benar-benar bingung dengan perasaan asing yang mula dirasakan terhadap Aariz sejak kebelakangan ini. Perasaan yang sering kali menghimpit hatinya.
“Are you really sure?” Puan Marina menyoal lagi.
Sekali lagi Dahlia mengangguk seraya memeluk bahu ibu mertuanya itu.
“Umi jangan bimbang. Lia okey aje. Kuat macam harimau dalam iklan biskut Tiger.”
Jawapan selamba Dahlia membuatkan Puan Marina tergelak.
“Isy, ke situ pula dia!”
Dahlia tertawa galak. Tangannya menarik umi.
“Jom, umi! Teman abah. Kesian abah sorang-sorang kat sana.”
Puan Marina mengikut langkah Dahlia dengan senyuman kecil di bibir. Matanya tidak lepas daripada memandang Dahlia. Walaupun mulutnya menguntum senyuman, perangai pelik Dahlia sebentar tadi tetap mengundang rasa tidak sedap hati dalam dirinya. Puan Marina benar-benar takut jika apa-apa terjadi pada menantunya itu. Sakit mungkin!
“Lia.…”
Spontan Dahlia menoleh.
Tatkala melihat wajah Dahlia, serta-merta Puan Marina menyedari sesuatu. Itu bukan wajah seseorang yang sakit. Di mata Puan Marina, wajah menantunya kelihatan seperti... berseri-seri?
“No… nothing.”
Dahlia mengerutkan dahi, berasa pelik dengan perbuatan ibu mertuanya yang tiba-tiba memanggilnya dan kemudian mengatakan tiada apa-apa.
“Oh, okey.…”
*****
AARIZ memandang wajahnya pada cermin sambil membetulkan rambutnya yang basah. Wajahnya tiba-tiba sahaja terasa panas. Jantungnya mula berkocak seperti lautan yang bergelora. Perlahan Aariz menyentuh dadanya dan dia seperti dapat merasakan degupan yang amat laju. Sejak kebelakangan ini, Aariz sedar perasaannya terhadap Dahlia seakan-akan sudah mula berubah. Tiada lagi rasa seperti kawan. Tiada lagi rasa seperti sahabat. Yang tinggal kini cuma perasaan yang sentiasa menyesakkan jantungnya!
Seumur hidupnya, Aariz tidak pernah punya perasaan sebegitu terhadap mana-mana wanita. Dulu, tidak kira secantik mana atau seseksi mana pun wanita yang datang mendekati, dia tidak pernah merasakan sekelumit perasaan istimewa terhadap wanita-wanita itu. Apatah lagi, perasaan yang menyesakkan jiwa sebegini.
Kini, hanya dengan senyuman dan suara isterinya itu, dia boleh tiba-tiba sahaja hilang kawalan. Ya! Sejak kemunculan Dahlia dalam hidupnya, Aariz seperti hilang kawalan terhadap kehidupan dan dirinya sendiri.
Tidak pernah punya keinginan untuk berkahwin, tetapi boleh pula dia menikahi Dahlia.
Tidak pernah senyum dan ketawa tidak henti-henti, tetapi boleh pula dia menjadi periang di sisi Dahlia.
Tidak pernah punya sifat nakal, tetapi boleh pula dia menyakat Dahlia terus-terusan.
Sungguh! Dahlia seperti punya kuasa istimewa untuk menzahirkan sifat yang tersembunyi dalam dirinya. Isterinya itu tidak perlu langsung mencuba untuk mengubahnya, sebaliknya tanpa sedar dirinya sendiri yang bertukar menjadi Aariz Danial yang baru.
Kadang-kala terbit rasa takut dalam diri Aariz dengan dirinya yang baru itu, dirinya yang seakan-akan penuh dengan kegembiraan dan kebahagian. Bagaimana kalau-kalau kebahagian ini hanyalah satu persinggahan semata-mata? Yang tiba dalam kehidupannya umpama mimpi dan bila dia tersedar dari lena yang panjang, kebahagian itu sebenarnya tiada di sisinya? Kemudian dia akan kembali kepada kehidupannya yang dahulu? Yang kosong tanpa rasa, yang penuh dengan kenangan pahit yang senantiasa menghantuinya.
Dan juga….
Bagaimana kalau Syafiq benar-benar kembali?
Mengingatkan usahanya yang tidak henti-henti mencari adiknya itu, Aariz sedikit yakin bahawa pencarian itu akan berakhir tidak lama lagi. Syafiq akan kembali dalam kehidupan mereka, menjadi sebahagian daripada mereka.
“Apa agaknya reaksi Syafiq kalau dia tahu yang aku dah kahwin dengan tunang dia?” Aariz tertanya-tanya sendiri.
“Apa akan jadi dengan aku dan Dahlia?”
Terbayang di mata Aariz wajah manis isterinya. Perlahan Aariz mengeluh.
“Tapi, Lia memang bukan untuk aku. Dia untuk Syafiq. Wanita sempurna macam Dahlia deserves someone better, much better than me. Aku… aku tak layak untuk dia.” Aariz menyambung lagi monolognya.
Namun setiap bait bicara itu seakan-akan menusuk hatinya, menghadirkan rasa terluka yang sangat dalam. Aariz sedar dia sebenarnya membohongi dirinya sendiri. Walaupun mulutnya seringkali mengatakan bahawa Dahlia untuk Syafiq, namun hatinya tidak dapat menerima kata-kata itu.
Aariz sedar hatinya mahukan Dahlia. Ya! Dia mahukan isteri yang tiba-tiba hadir dalam kehidupan dan hatinya itu.
*****
“UMI dengan abah dah masuk tidur ke?” Aariz menyoal Dahlia sambil mengambil tempat duduk di sebelah isterinya di atas buaian. Tangannya menghulurkan segelas air suam yang diminta Dahlia sebelum dia ke dapur tadi.
“Thanks.”
Dahlia meneguk air itu dengan penuh nikmat. Terasa lega bila tekaknya yang sedari tadi kering dibasahkan oleh air putih itu.
            “Haah, lepas habis tengok cerita apa entah kat TV tu.”
            Aariz mengangguk sedikit di saat mendengar jawapan isterinya. Patutlah ibu bapanya sudah tidak ada di ruang tamu sewaktu dia melintas tadi.
 “So jadi tak awak ke Tawau next week?” Seketika kemudian Aariz menyoal.
 “Yup. Flight pukul 3.30 petang.”
 “Then, saya hantar awak ke airport,” ujar Aariz sambil mengerling sekilas ke arah Dahlia yang sedang mendongak memandang langit hitam. Gelas di tangannya digenggam erat.
Dahlia menoleh serta-merta.
“Awak kerja, kan?”
“Half day. Saya ada appointment dengan client kat Puchong pagi tu. Itu yang saya minta cuti separuh hari. Bolehlah hantar awak pergi KLIA nanti.” Aariz menjelaskan panjang lebar.
“Eh, tak perlulah awak susah-susah macam tu. My support staff dah pun tempah transport untuk saya pergi sana.” Dahlia membantah. Teringat dia pada Kak Aisyah, pembantunya yang telah pun menempah airport limousine yang akan membawanya ke KLIA.
“Still boleh cancel booking tu, kan?”
Dahlia mendiamkan diri seketika sebelum mengangguk lambat-lambat.
“Then deal! I’ll fetch you at your office around lunch hour. And then kita lunch sama-sama before saya hantar isteri kesayangan saya ni ke airport. How’s that sound? Okey?”
Dahlia tergamam. Isteri kesayangan? Sayangkah Aariz padanya?
“Lia…,” panggil Aariz tatkala melihat Dahlia yang seperti mengelamun.
“O… okay. Sa… saya tunggu awak kat office nanti.” Dahlia cepat-cepat menjawab.
“By the way, thanks,” sambung Dahlia lagi.
Aariz hanya menjawab dengan senyuman. Dia memang sengaja memohon cuti separuh hari kerana mahu menghantar isterinya itu ke lapangan terbang. Itulah kali pertama dia memohon cuti sepanjang beberapa tahun dia bekerja. Ya, dia jarang sekali bercuti kecuali pada hari-hari cuti umum.
Sejujurnya, Aariz mahu memanjakan Dahlia sebanyak mungkin di sepanjang waktu mereka bersama. Jika ditakdirkan kebahagiaan yang bernama Dahlia itu cuma suatu persinggahan dalam hidupnya, dia mahu membalas kebahagiaan itu dengan kebahagiaan juga.
Dahlia menatap wajah suaminya yang tersenyum mesra. Namun Dahlia perasan senyuman itu tidak sampai kepada sepasang mata milik Aariz. Dia seperti dapat melihat kesedihan pada mata itu. Hatinya memberontak ingin mengetahui apakah rahsia di sebalik kesedihan itu. Tetapi mulutnya seperti tidak dapat meluahkan rasa hati itu.
“Apa awak tengok tadi?” Aariz menyoal Dahlia yang masih lagi menatap wajahnya.
Dahlia melarikan wajah daripada terus memandang Aariz dan kembali mendongak ke langit. Aariz turut sama mengikut tindakan isterinya.
“Kat sini tak ada bintang.” Suara Dahlia berbunyi lirih.
Aariz memandang langit yang hitam pekat tanpa sebutir pun bintang.
“Kat sini cuma ada lampu aje. Lampu yang sangat banyak….”
“Sampaikan bintang hilang gemerlapannya,” sambung Dahlia.
Aariz terkedu. Bintang yang hilang gemerlapannya? Entah kenapa, dia merasakan kata-kata itu seakan ditujukan khas buat dirinya. Jika suatu hari nanti Dahlia hilang dari sisinya, Aariz sedar dia akan menjadi seperti bintang itu. Bintang yang hilang gemerlapannya!
Ya, Aariz Danial tanpa Dahlianya tidak ubah seperti bintang yang hilang gemerlapannya. Bintang yang wujud dan bertaburan di langit tetapi tiada sinar dan hanya dibelenggu kegelapan yang semakin lama semakin membunuhnya.
*****
“TAKE care,” ucap Aariz seraya menarik Dahlia ke dalam pelukannya.
Dahlia sedikit tercengang, tidak menyangka suaminya itu akan memeluknya begitu di tempat awam dan di khalayak ramai. Tetapi tidak pula dia menolak pelukan itu, sebaliknya Dahlia membalasnya dengan rasa segan yang mendalam. Entah apa yang dikatakan oleh orang yang lalu-lalang tentang perbuatan mereka itu.
Aariz mengeratkan pelukannya. Dia sendiri tidak tahu apa yang merasuk dirinya, hari itu dia seperti berat hati untuknya melepaskan Dahlia pergi walhal bukan lama pun Dahlia ke luar daerah. Cuma lima hari sahaja. Malah, itu bukan kali pertama Dahlia ke luar daerah bagi menunaikan tuntutan kerjanya sebagai seorang eksekutif standard.
“Erm… Aariz, awak... awak peluk saya kuat sangatlah,” tegur Dahlia sambil cuba untuk melepaskan diri daripada pelukan suaminya yang semakin merimaskan.
“Oh! Sorry... sorry.” Cepat-cepat Aariz meleraikan pelukan sambil berkali-kali meminta maaf. Tangannya membelek tubuh Dahlia.
“Awak… awak, okey ke? Ada mana-mana tulang yang patah tak?”
Dahlia tergelak. Geli hatinya melihat reaksi Aariz.
“Awak ni…. walaupun awak tinggi, tegap… tak adalah sampai boleh buat tulang saya patah. Awak bukannya Robocop,” jawab Dahlia sedikit mengusik suaminya itu.
Aariz tertawa.
“Then, boleh sambung peluklah?” sakat Aariz.
Terbeliak mata Dahlia.
“Tak naklah! Buat malu aje, orang pun dah tengok-tengok kita tadi.”
“Biarlah mereka tengok. Kita kan suami isteri? Bukan salah pun.”
Dahlia menggelengkan kepalanya. Suaminya ini, kalau mood nakalnya datang, tidak kira di mana tempatnya mahu sahaja mengusik dia begitu.
“Yalah, tapi kan segan.…”
Aariz tersenyum nakal.
“Kalau tak nak segan, saya boleh jerit.…”
“Jerit apa?”
Aariz tidak menjawab, sebaliknya dia menggamit Dahlia agar lebih menghampirinya. Isterinya mengikut sahaja dengan wajah yang penuh perasaan curiga.
“Saya nak peluk isteri saya sekarang, kau orang semua jangan tengok,” bisik Aariz pada telinga Dahlia.
Sekali lagi mata Dahlia membuntang. Sesaat kemudian dia mencubit lengan Aariz.
“Awak jangan nak buat kerja gila!”
Meletus ketawa Aariz. Terbit secebis senyuman pada bibir Dahlia tatkala melihat Aariz ketawa begitu.
“Okeylah. Saya kena masuk sekarang. Kalau tak terlepas flight nanti.”
Serta-merta ketawa Aariz terhenti. Lambat-lambat dia mengangguk.
“Jaga diri baik-baik, Lia.”
Dahlia tersenyum dan selamba tangannya memegang pipi Aariz.
“Awak pun sama. Jangan terlampau rindukan saya,” usik Dahlia.
“Kita tengok siapa yang rindukan siapa. Saya atau awak.”
Makin lebar senyuman yang terpamer pada wajah Dahlia tatkala mendengar kata-kata Aariz.
“Okeylah. Kita sama-sama rindukan each other. How’s that sound?”
“Perfect! Just perfect.”
Aariz dan Dahlia sama-sama ketawa. Perasaan bahagia menjengah masuk dalam hati masing-masing.
“See you again, Lia!”
“See you, Aariz!”
Dahlia melambaikan tangannya ke arah Aariz sekali lagi sebelum berpaling untuk memasuki balai perlepasan.
Aariz memandang belakang isterinya yang semakin lama semakin menghilang. Ternyata pemandangan itu sangat dibencinya. Setiap kali melihat belakang Dahlia begitu, dia merasakan seperti Dahlia sedang melangkah pergi meninggalkannya dan tidak akan kembali lagi.
‘Ah, Aariz… Aariz… apa yang kau fikir ni?’
*****
SYAFIQ melangkah keluar dari balai ketibaan sambil menarik bagasinya.
‘Malaysia, I’m back!!’  jerit hati kecil Syafiq.
Wajahnya menguntum senyum. Tidak langsung dia menyangka kepulangannya ke Malaysia boleh membuatkan dia gembira begitu.
“Fiq….” Tiba-tiba telinganya dapat menangkap satu suara daripada belakang. Automatik tubuhnya kaku. Suara itu sangat dikenalinya.
“Syafiq!” panggil suara itu lagi. Lambat-lambat Syafiq berpaling. Kini di hadapannya tercegat susuk tubuh manusia yang paling dibencinya. Aariz Danial!
Aariz tergamam. Tadi sewaktu dia mahu berjalan keluar dari lapangan terbang, dia seperti melihat kelibat seseorang yang sangat dikenalinya. Kelibat adik lelakinya yang sudah lama dicari. Ternyata matanya tidak salah melihat. Syafiq kini sedang berdiri bertentangan dengannya.
Saat itu Aariz sedar kenapa dia seperti sukar melepaskan Dahlia pergi sebentar tadi. Rupa-rupanya hari itu adalah saat pengakhiran bagi usahanya mencari Syafiq selama ini.
Juga….
Saat kemunculan semula Syafiq dalam kehidupan mereka. Syafiq kini kembali ke dalam kehidupan Aariz dan Dahlia yang selama ini sentiasa dibayangi oleh bayang-bayang lelaki itu.
Aariz dan Syafiq saling berpandangan.Masing-masing mendiamkan diri tanpa suara. Tiada langsung sapaan atau pelukan mesra seorang abang kepada adiknya atau seorang adik kepada abangnya.

Share this:

ABOUT THE AUTHOR

Hello We are OddThemes, Our name came from the fact that we are UNIQUE. We specialize in designing premium looking fully customizable highly responsive blogger templates. We at OddThemes do carry a philosophy that: Nothing Is Impossible

0 comments:

Post a Comment