March 1, 2012

[Cerpen] Jodoh Bersulamkan Dendam


“JODOH? Huh! Jodoh tu cuma alasan aje!! Tak ada makna langsung!!”

Dapat aku rasakan mataku yang seakan membuntang saat mendengar setiap patah kata yang terbit daripada bibir suami yang baru sahaja aku nikahi. Tadi sewaktu aku mengatakan bahawa akhirnya kami dapat bersama kerana jodoh, Amsyar tiba-tiba sahaja ketawa. Bukan ketawa biasa yang aku gemar, tetapi ketawa yang kedengaran seperti terlalu jelik di telingaku.

“Abang?” Dan ternyata hanya itu sahaja yang mampu terluah daripada kerongkongku. Amsyar kulihat cuma tersenyum sinis sambil melabuhkan punggung ke atas sofa di hadapanku. Kedua bola matanya merenungku dari atas ke bawah.

“Kau tahu tak…kenapa aku kahwin dengan kau?”

Spontan aku mengerutkan dahi. Aku…kau? Sejak bila ada ‘aku’ dan ‘kau’ di antara kami berdua? Mana hilangnya ‘abang’ dan ‘sayang’ yang selama ini kami guna? Dan..soalan jenis apa yang dia soal tadi? Aku dengan dia sudah bercinta selama dua tahun lamanya. Bukankah…bukankah kami bernikah kerana saling mencintai?

“Kita…kita kan…aaahhh!!!” Belum pun sempat aku menyudahkan kata, tidak semena-mena Amsyar menarik aku ke arahnya. Terjerit aku dibuatnya dan sedar-sedar sahaja aku sudah pun berada di atas ribaannya. Wajahnya cuma beberapa inci jauhnya daripada wajahku sendiri.

“Apa…apa..abang buat ni?” Tersekat-sekat suara yang terpacul daripada mulutku. Wajahku terasa membahang. Wajah Amsyar pula masih lagi dihiasi dengan senyuman sinis yang tersungging di bibir nipisnya. Seketika kemudian tangan kanannya mula menjalar ke pipiku.

“Apa ni???” Tanpa sedar laju sahaja aku menempelak perbuatannya. Entah kenapa aku berasa tidak selesa dengan perlakuannya yang begitu walhal dia adalah suamiku sendiri. Mungkin kerana Amsyar kelihatan terlalu aneh, seperti terlalu dingin. Pelik!

“Apa ni? Huh, kau ingat apa aku buat? Kau tu….” Tiba-tiba Amsyar memegang belakang leherku dan menarik wajahku mendekati mukanya. Kasar.

Aku sedikit terpana sebelum akhirnya merenung sepasang mata suamiku dengan tajam. Kami bersabung mata. Amsyar mencerlung tajam umpama helang. Dan aku seperti dapat melihat suatu perasaan yang kelihatan terlalu berlainan dalam kedua matanya. Tidak ada lagi cinta dan sayang yang selalu kulihat buat diriku. Yang tinggal cuma….kebencian?

Hampir-hampir sahaja aku menekup mulut. Amsyar….lelaki yang paling aku sayangi, suamiku sendiri….membenciku? Tapi...tapi kenapa?

“Kau tu isteri aku. Dan aku boleh buat apa sahaja yang aku nak pada kau.”

Berdesing telingaku mendengar tutur katanya yang dingin dan mendatar. Amsyar yang selama ini romantis dan lembut sudah hilang entah ke mana. Yang tinggal di hadapanku kini adalah lelaki yang langsung aku tidak kenali. Lelaki yang dinginnya terlampau!

“Aku akan buat kau….menderita,” bisik Amsyar ke telingaku.

Mataku membulat. Hatiku pula terasa seperti ditusuk belati yang paling tajam, dirobek-robek dengan cukup kejam. Suami yang baru sahaja aku nikahi…mahukan aku menderita?

“Apa abang cakap ni?” Perlahan aku menyoal kembali. Mataku sudah pun berkaca-kaca.

Buat kesekian kalinya Amsyar mempamerkan senyuman sinisnya. Dan dengan setiap senyuman sinis itu, secebis hatiku seperti dibawa pergi. Tidak! Bukan dibawa pergi tetapi dibunuh kejam!

“Aku kahwin dengan kau sebab aku nak hancurkan kau.”

Automatik aku terbangun daripada ribaan Amsyar. Dadaku berombak laju. Bibirku mula terketar-ketar. Tutur katanya tadi bermain-main di hujung telingaku. Dia mahu hancurkan aku? Amsyar….lelaki yang selama ini menjadi kekasihku sebenarnya mengahwiniku kerana mahu menghancurkan aku? Apa semua ini???

Amsyar menyandarkan tubuhnya ke sofa dengan lagak penuh selesa. Sebelah tangannya diangkat ke belakang leher. Matanya pula tidak lepas daripada memandangku.

“Kau ingat aku cintakan kau? Huh! Pergi jahanamlah dengan perasaan cinta kau tu!!” Tempik Amsyar tiba-tiba.

Bahuku terangkat. Terkejut!

“Kau tahu tak berapa lama aku tunggu saat ni? Berapa lama aku terpaksa berlakon cintakan kau sebab nak kau jatuh ke genggaman aku? Dua tahun! Dua tahun aku terpaksa maniskan muka depan kau sedangkan dalam hati ni…aku nak sangat cekik-cekik kau sampai mampus!!”

Pantas aku menekup mulutku. Air mata yang sedari tadi hanya bergenang di tubir mata akhirnya mula bercucuran turun. Ya Allah! Pedihnya hatiku saat ini. Hancur lumat sekeping hati ini mendengar setiap patah kata yang keluar daripada mulut Amsyar, suamiku.

“Ke…kenapa? Apa Ana dah buat? Apa dosa Ana?” Akhirnya aku menyoal setelah menjatuhkan kembali tangan kananku.

Tidak semena-mena Amsyar bangun dari duduknya dan mendekatiku. Perlahan. Matanya merenungku. Tajam sekali! Sedikit demi sedikit aku berundur ke belakang. Namun belum pun sempat aku menjauh, Amsyar terlebih dahulu merengkuh bahuku dengan kasar.

“Sa…sakit…” Aku bersuara dengan wajah yang menyeringai kesakitan.

“Kau tanya aku kenapa? Baik kau tanya papa kesayangan kau tu….apa dia dah buat pada keluarga Adam.” Tanpa mempedulikan aku yang kesakitan, Amsyar menjawab. Dingin sekali! Seketika kemudian dia melepaskan pegangan di bahuku dengan cukup kasar. Dek kerana tidak dapat meneka tindakannya itu, aku terjelepuk jatuh.

“Aduh!” Aku mengaduh sambil memandang Amsyar yang hanya membalas pandanganku dengan kosong.

“Bangun. Jangan nak buat muka sedih kat sini,” tegas suamiku itu. Tiada langsung riak rasa bersalah atas kekasarannya tadi.

“Bangun…aku cakap,” sambungnya lagi setelah aku hanya membatu. Kepalanya sedikit ditundukkan padaku yang masih elok terduduk di atas lantai.

Perlahan aku menyeka air mata di pipi dan bangun. Punggungku yang terasa perit dibiarkan sahaja. Ah, apalah sangat rasa sakit itu jika dibandingkan dengan betapa hancurnya hatiku saat ini!

“Pergi mandi,” arah Amsyar dengan tegas sambil membelakangiku.

Aku terkaku di belakang suamiku yang kelihatan tegap. Seketika kemudian, dia menoleh dengan kening yang terangkat.

“Malam ni kan malam perkahwinan kita. Mestilah kau kena bersih, kena wangi untuk aku.”

Tersirap darah panas ke wajahku. Setelah apa yang dia ucapkan tadi, berani sungguh dia berkata begitu? Kurang ajar!

Perlahan aku menggenggam kedua tanganku. Perasaan sebak yang sedari tadi bertamu dalam diri sedikit demi sedikit berubah menjadi amarah. Amsyar fikir kerana dia suamiku, dia ada hak untuk menjatuhkan maruah aku begitu? Apa dia fikir kerana aku ini seorang isteri, aku akan biarkan dia perlakukan sewenangnya padaku? Tidak! Aku bukan perempuan yang boleh diperkotak-katikkan begitu!

“Takkan ada malam perkahwinan antara kita.” Dengan berani aku menjawab begitu.

Usai aku menyudahkan kata, kedua tangan tegap Amsyar hinggap lagi di bahuku. Kasar dia menolak tubuh kecilku hingga melekat di dinding. Terpana aku dengan tindakan drastik lelaki itu. Namun sesaat cuma! Kerana selepas itu aku dengan berani mengangkat pandangan dan merenungnya tajam. Aku mahu dia tahu bahawa walau sedalam mana pun perasaan cinta aku pada dia, aku takkan biarkan dia hancurkan aku. Takkan!

“Kau tak layak untuk cakap macam tu. Aku akan buat apa sahaja yang aku nak pada kau. Dan aku nak kau balas balik segala perbuatan Dato’ Johari pada keluarga aku. Aku nak kau musnah…”

Dengan bisikan dingin itu, Amsyar mendukung dan membanting tubuh genitku ke atas katil. Sesaat kemudian….suami yang baru aku nikahi, suami yang sepatutnya melindungiku bertukar menjadi syaitan. Ya, syaitan yang bertopengkan manusia!

Dan aku….apalah sangat kudratku untuk melawan tenaga seorang lelaki? Yang termampu aku lakukan hanyalah menangis dan menjerit dengan suara yang tersekat di celah kerongkongku.

‘Ya Allah!!! Selamatkan aku….’

*****

KINI perkahwinanku sudah pun menginjak ke bulan ketiga. Hubunganku dengan Amsyar masih tetap seperti waktu malam hitam itu. Dingin. Kaku. Dan….penuh kebencian.

“Ingat…hujung minggu ni aku ada event dengan kawan-kawan aku. Kau kena ikut aku.” Kasar suara Amsyar menegurku saat aku mahu ke bilik tidur. Bilik yang menyimpan segala memori tentang kekejaman dan kerakusan seorang suami kepada isterinya. Bilik yang bagiku tidak ubah seperti neraka!

“Hei, kau pekak ke, hah?? Aku cakap dengan kau ni!” tengking Amsyar. Dari hujung mataku, aku dapat melihat dengan jelas dia yang sedang berdiri di tengah ruang tamu. Menyinga!

“Saya tak nak pergi.” Aku akhirnya menjawab. Keras.

Tidak semena-mena, lengan kananku direngkuh kasar. Aku tersentak. Terperanjat dengan kemunculan Amsyar yang tiba-tiba sahaja sudah pun berdiri di sebelahku. Entah bila dia mendekatiku, aku sendiri tidak pasti. Sedaya upaya aku cuba menahan keperitan yang menembusi lenganku. Aku tidak mahu memberi kepuasan padanya kerana berjaya menyakitkanku. Tidak! Aku takkan biarkan dia gembira melihat penderitaanku.

“Kau tetap akan pergi,” bisik Amsyar di hujung telingaku. Dingin.

Aku menjeling sekilas.

“Tak nak.”

Terlepas dengusan dari mulut Amsyar. Aku tahu dia sudah makin berang.

“Kau akan ikut cakap aku,” ujar Amsyar dengan cukup keras.

“Tak nak! Awak tak faham ke, saya cakap tak nak!!” bentakku, sedikit menjerit. Lenganku yang direngkuh kasar tadi, aku tarik dengan kuat. Mungkin kerana tidak menduga tindakanku, pegangan tangan Amsyar pada lenganku terlepas.

Namun sesaat kemudian tangan Amsyar melekat pula di bawah daguku. Terangkat wajahku dengan tindakan lelaki itu. Jari jemarinya mencengkam rahangku dengan kuat. Dahiku berkerut menahan sakit. Bibirku pula diketap kuat-kuat, tidak mahu membiarkan walau sedikit pun jeritan kerana sakit meletus keluar dari mulutku.
Sedikit demi sedikit senyuman sinis tersungging di bibir Amsyar.

“Kau memang berani kan, Nurul Jannah? Berani lawan aku. Kau tak sedar ke, lagi kau lawan aku…lagi aku akan buat kau menderita.” Keras, dingin dan mendatar bisikan Amsyar di hujung gegendang telingaku.

Mendengar setiap patah kata yang sedemikian rupa keluar dari mulut suamiku sendiri, aku dapat rasakan perasaan sebak dan terluka yang menghimpit jiwa. Jantungku berkocak hebat dengan rasa hiba. Sedaya upaya aku cuba untuk menenangkan hati dalam setiap desah nafas yang kurasakan makin sukar untuk dilepaskan.

Ya, terlalu sesak jantung ini…jiwa ini dengan kebencian yang ditunjukkan oleh suamiku, satu-satunya lelaki yang memiliki hatiku. Ya Allah! Kenapa dia terlalu membenciku? Apakah dendam yang dia cuba balas padaku?

“So…by hook or by crook, kau akan ikut aku,” sambung Amsyar lagi tanpa mempedulikan aku yang hanya membatu. Wajahku dilepaskan dengan kasar. Terasa mahu patah rahangku dengan tindakannya itu.
Aku mengetap bibir dan menggenggam erat kedua tanganku, cuba menahan diri daripada menitiskan air jernih yang sudah mula bertakung di tubir mata.

“Ke…kenapa? Kenapa awak nak saya ikut awak?” tanyaku perlahan dengan nada suara yang bergetar. Ya, bergetar dengan rasa sakit, pilu, pedih dan perit!

Amsyar tersenyum mengejek.

“Kenapa kau tanya? It’s simple! Kau tu…trophy wife aku. Nurul Jannah binti Dato’ Johari, anak perempuan kepada pemilik ARIADA Corporation, syarikat yang menjadi leader dalam dunia hartanah Malaysia.” Dengan lagak yang penuh angkuh, Amsyar menjawab sebelum menghentikan kata-kata buat seketika.

Terasa seperti segenap tubuhku terkaku saat setiap bait jawapan lelaki singgah di telingaku. Baginya, aku tidak ubah seperti trofi yang dimenangi dalam sebuah pertaruhan. Tidak ada nilai langsung!

“So, mestilah aku kena tayang-tayang kau pada kawan-kawan aku.” Amsyar mengakhiri jawapannya dengan satu renungan tajam yang sangat jelik di mataku.

Perlahan-lahan perasaan sebak dalam hatiku bertukar kepada geram. Ya, aku geram dengan lelaki di hadapanku ini yang benar-benar merendahkan martabat dan nilaiku. Dia nak sangat tayangkan aku pada kawan-kawannya, bukan? Okey, aku akan jadi seorang trophy wife yang paling unggul.

Dan dengan bibir yang terketar-ketar, aku akhirnya menjawab. “As you wish, Amsyar.”

*****

“BEHAVE yourself. Jangan nak malukan aku depan kawan-kawan aku.” Perlahan Amsyar memberikan amaran di hujung telingaku. Pelukannya pada bahuku diperkemaskan seakan-akan mahu menekankan amaran itu.

Aku mengerling sekilas ke arah suamiku itu, sebelum tersenyum sinis.

“Awak tak perlu bimbang pasal tu. I know my place. Just a trophy wife. So, I’ll behave like one.”

Amsyar kelihatan sedikit tersentak, lantas segera berpaling ke arahku.

“What is that supposed to mean?”

Aku tidak menjawab, hanya sebelah keningku yang diangkat dengan lagak tanpa perasaan. Dan sesaat kemudian, tangan tegap Amsyar menarik bahuku lebih dekat padanya. Sedar-sedar sahaja hujung hidungku sudah pun melekat pada hujung hidungnya. Dekat!

Aku tergamam namun cepat-cepat aku kembali ke dunia nyata. Dengan penuh keyakinan, aku membalas renungan tajamnya. Dadaku yang berkocak hebat tidak dipedulikan langsung walaupun aku yakin setiap degupan itu sebenarnya mengalunkan nama Amsyar. Ah, wahai hati…tolonglah, tolonglah berhenti menyayangi dia…

“Woo…wooo…guys, jangan nak buat benda-benda pelik kat sini.” Tiba-tiba ada suara lain yang menegur. Cepat-cepat Amsyar meleraikan sedikit pelukannya. Namun tidak pula dijatuhkan tangan kirinya yang masih lagi elok mendarat di bahuku.

Dari hujung mata aku dapat melihat dia tersenyum senang. Ah, pedihnya hati ini melihat senyuman itu! Senyuman yang tidak pernah langsung dia pamerkan buatku.

“Yo, Razi!! Long time no see.” Amsyar menjawab teguran seorang lelaki yang kukira kawannya. Dan dia…masih dengan senyuman itu.

“So, inilah wife kau?” soal lelaki yang dipanggil Razi tadi usai tiba di hadapan kami berdua. Pandangannya tepat dihalakan padaku.

“Ya, I’m Jannah Dato’ Johari. Nice to meet you,” jawabku sebelum sempat Amsyar membuka mulut. Namaku ditekankan sedikit bersama suara yang sengaja dilembutkan. Bibirku pula menguntum senyuman paling manis. Dan saat itu juga aku seperti dapat mendengar dengusan kasar yang terlepas dari mulut Amsyar.

“Nama cantik, secantik tuannya…” balas Razi pula. Senyuman nakal tersungging di bibirnya.

Segera aku ketawa kecil dan memegang pipi. Dan dengan lagak manja yang disengajakan, aku menjawab. “Isy, you ni...mulut manis. Segan I, tau…”

Amsyar yang sudah pun menguatkan pelukannya di bahuku tidak dipedulikan langsung. Aku tahu dia sedang marah. Tetapi…ada aku kisah? Dia yang mahu aku menjadi trophy wife yang boleh dia tayang-tayangkan pada semua, kan? Aku cuma memainkan watakku!

“You pun….apa kurangnya, handsome…” Dengan berani, aku memuji lelaki di hadapanku ini.

Meledak ketawa Razi sebelum dia akhirnya menghentikan tawa dan bersuara. “Am, your wife ni…interestinglah. Kalau tak difikirkan dia ni wife kau, mahunya aku…”

“Aku apa?” sampuk Amsyar tiba-tiba. Keras. Wajahnya tegang.

“Aku ambil dia jadi girlfriend aku.”

Terlopong aku dengan jawapan bersahaja Razi. Namun cepat-cepat aku membuat muka selamba dan kemudian tersenyum kecil.

“You ni pandai berguraulah,” balasku. Berani.

Amsyar berdehem beberapa kali sebelum bersuara. “Razi, kau ni…agak-agaklah, nak masuk line pun, janganlah depan husband dia sendiri.”

Sekali lagi meledak ketawa Razi. Aku pasti lelaki itu menganggap Amsyar hanya bergurau. Tetapi aku tahu…suamiku ini sedang menahan rasa amarah dalam diri. Huh, puas hatiku kerana dapat membuat dia geram begitu!

“Kau ni, Am...takkan marah kot. Aku gurau jelah.” Masih dengan sisa tawanya. Razi membalas.

Amsyar tersenyum nipis. Nampak sangat senyuman itu dibuat-buat!

“Aku…aku mana ada marah. Aku tahu kau tu memang jenis yang tak boleh tengok perempuan,” jawab Amsyar seraya menepuk bahu sahabatnya itu. Razi hanya tergelak kecil.

“Tapi aku tak sangka kau ni pulak jenis yang pantang tengok lelaki,” sambungnya lagi di hujung telingaku. Berbisik dengan cukup perlahan.

Bisikannya itu hanya aku jawab dengan jelingan tajam sebelum aku akhirnya kembali memalingkan muka ke arah Razi.

“Razi, you kerja apa?”

Dan aku masih dengan watakku sebagai seorang trophy wife milik Amsyar, lelaki yang mahu memusnahkan isterinya sendiri.

*****

“APA kau cuba buat tadi?” soal Amsyar sebaik sahaja kami selamat tiba di rumah.

Aku meletakkan tas tanganku di atas sofa sebelum berpaling, berhadapan dengan suamiku. Kedua tanganku disilangkan ke dada.

“Buat apa?” Dengan selamba, aku menyoal kembali.

Amsyar mendegus kasar dan menghampiriku. Kini tubuh tegapnya betul-betul berada di hadapanku.“Kau sengaja nak malukan aku, kan?”

Pandanganku didongakkan ke atas, memandang ke dalam kedua-dua mata Amsyar yang kelihatan merah dengan api kemarahan. Dan entah kenapa timbul perasaan sebak dalam hatiku. Tanpa dapat ditahan-tahan, aku mula tertanya sendiri bilalah agaknya api kemarahan itu akan lenyap daripada mata suamiku ini?

“Kau memang sengaja, kan?” Lagi Amsyar menyoalku. Masih dengan nada keras yang sangat meremukkan sekeping hatiku.

Perlahan aku menarik nafas dalam-dalam dan menayangkan wajah tanpa perasaan.

“I’m just being a trophy wife. Bukan ke itu yang sepatutnya trophy wife buat? Tayang muka pada kawan-kawan suami sendiri, layan diorang semua?” Aku menjawab, penuh berani.

“Tapi aku tak suruh kau menggatal dengan diorang!” tempelak Amsyar tiba-tiba.

Aku sedikit tersentak sebelum akhirnya tersenyum sinis.

“Habis tu, apa awak nak saya buat? Tunjuk muka je, biarkan awak cakap apa saja pasal saya, biarkan awak jatuhkan maruah saya. Macam tu???”

Tidak semena-mena meledak tawa Amsyar.

“Maruah? Eh, kau tu ada maruah ke, hah???” Dengan lagak angkuh dan jelik, Amsyar menyoalku.

“A…apa…maksud awak?” Tersekat-sekat suaraku.

“Kau tu tak layak nak cakap pasal maruah. Sebab kau tu….tak ubah macam teman seranjang aku aje.”

Zup! Tersentap hatiku dengan kata-kata Amsyar. Betapa remuknya hatiku saat ini, hanya Allah yang tahu. Dapat kurasakan air mata yang sedikit demi sedikit bertakung di tubir mata.

“Kau tu cuma macam…”

“Macam apa?” sampukku perlahan.

Lambat-lambat Amsyar mendekatiku dan kemudian menundukkan kepala sebelum akhirnya berbisik perlahan. “Macam pelacur…”

Terpejam mataku saat perkataan itu melekat di gegendang telinga. Air mata yang kucuba tahan-tahan tadi akhirnya menitik jua. Ya Allah! Sanggupnya dia…sanggupnya suamiku sendiri mengatakan begitu padaku.

“Hei, kenapa nak menangis-nangis ni? Tadi bukan main lagi kau melayan semua lelaki-lelaki tu…” sindir Amsyar tanpa langsung riak rasa bersalah atas apa yang diucapkannya tadi.

Pantas aku menyeka air mataku.

“Suka hati awaklah nak cakap apa pun.” Akhirnya aku menjawab. Lemah. Ya, aku sudah hilang kudrat untuk berhadapan dengan suamiku ini. Setiap kali aku cuba melawan, cuba membalas…akhirnya yang akan sakit adalah aku. Hanya aku! Bukan dia!

“Eh, takkan dah nak give up kut? Tadi…”

“Apa yang tadinya???” Tanpa sedar, aku mula menjerit. “Tadi saya macam pelacur? Perempuan jalang? Itu ke yang awak nak cakap, Amsyar?”

“Memang pun! Aku tak pernah jumpa perempuan semurah kau! Sekurang-kurangnya pelacur dapat bayaran, tapi kau….aku dapat kau dengan percuma aje!!”

“Amsyar!!!!” tengkingku lantang. Dadaku berombak laju. Dan perlahan-lahan air mataku gugur lagi. Hatiku….jiwaku terasa terlampau pedih. Perit! Sakit!

Amsyar kelihatan sedikit tercengang. Mungkin dia tidak menyangka bahawa aku akan menempik begitu.
“Awak…awak memang melampau.” Dengan bibir yang terketar-ketar aku bersuara.

Terbit senyuman sinis di bibir Amsyar.

“Melampau? Walau macam mana sekali pun aku melampau, takkan boleh lawan papa kau yang tengah ada kat US tu.” Dingin jawapan suamiku itu.

Aku terdiam. Teringatku pada papa yang kini sedang menguruskan urusan perniagaannya di Colorado. Apa yang sebenarnya terjadi di antara papa dan Amsyar?

*****

TERGAMAM aku saat jawapan papa singgah di gegendang telingaku.

“Adam tu bekas rakan kongsi papa. Kami yang sama-sama memulakan perniagaan. Tapi…papa…papa jadi terlalu tamak. Papa perangkap Adam sehingga dia masuk penjara dan akhirnya papa bolot semua harta milik dia.”

Perlahan aku mencengkam dada yang terasa perit. Ya Allah! Inikah yang dimaksudkan Amsyar? Jadi betullah papa telah hancurkan keluarga Adam…ayah kandung Amsyar?

Tadi sewaktu aku menyoal papa tentang Adam sekembalinya papa dari US, doaku agar jawapan yang bakal papa berikan tidak akan sekali-kali menghancurkan hatiku begini. Tetapi…tetapi nampaknya sebaliknya yang berlaku.

“Papa….kenapa, papa?” soalku dalam sendu. Sedaya-upaya aku cuba menahan perasaan sedihku. Aku tidak mahu papa perasan akan perubahan diriku. Ya, selama aku berkahwin dengan Amsyar, tiada siapa yang tahu bagaimana keadaan perkahwinan kami. Mereka fikir aku bahagia, mereka fikir aku sedang enak bermadu asmara tetapi hakikatnya…aku menderita!

Papa meraup wajah dengan lagak penuh rasa bersalah. Aku seperti dapat melihat kekesalan di wajah tua itu.
“Bila business tu dah mula berjaya, papa…entahlah…papa jadi tamak. Papa tak nak kongsi harta, duit yang melimpah masuk tu dengan sesiapa pun.”

“Sebab tu papa….papa buat macam tu?” soalku kembali.

Papa terdiam sejenak sebelum akhirnya mengangguk perlahan.

“Papa menyesal, sayang. Menyesal sangat. Lima bulan lepas Adam disabitkan kesalahan, papa memang hidup mewah. Ada semuanya, tapi….ibu Ana disahkan kanser. Waktu tu papa tahu, semuanya balasan papa…balasan atas apa yang papa buat pada Adam. Papa cuba tebus segalanya, tapi papa….papa tak berani bagitahu polis tentang hal sebenar.”

“Jadi…papa diamkan diri? Papa…papa melampau!” Tanpa sedar, aku mula membentak.

“Ya! Memang papa melampau! Sebab tulah papa cuba cari keluarga dia, papa mahu kembalikan hak keluarga Adam. Tapi diorang semua dah pindah dan sampai sekarang pun…papa gagal cari diorang,” jelas papa lagi, sedikit beremosi.

‘Papa tak gagal. Diorang ada depan mata papa, tapi yang tinggal sekarang cuma….anak Adam, pa. Dia seorang dan dia…dia nak Ana yang bayar atas segalanya,’ sambungku dalam hati.

Ingin sekali aku luahkan segalanya pada papa, namun melihat wajah tua papa yang jelas lemah, hatiku jadi tidak kuat. Ya, aku tidak kuat untuk memberitahu papa tentang Amsyar, anak Adam. Aku tidak tegar untuk memberitahu papa bahawa Nurul Jannah, satu-satunya anak kesayangan papa kini sedang membayar hutang bagi penderitaan yang bermula dua puluh tahun lepas.

“Papa…papa jangan risau. Ana percaya ada orang yang dah bayar harga kehancuran keluarga tu,” bisikku perlahan.

“Apa maksud Ana?” soal papa kembali.

Aku tidak menjawab, sebaliknya hanya senyuman yang aku hadiahkan buat papa. Senyuman yang kelat lagi hambar.

*****

“SAMPAH apa yang kau masak ni, hah??”

Hampir terangkat bahuku saat suara nyaring suamiku hinggap di gegendang telinga. Namun tidak pula aku menjawab. Lidahku kelu tanpa suara.

“Hei, aku tanya kau ni. Kau pekak ke, hah??” Kali ini dahiku menjadi mangsa tujahan jarinya. “Selalunya bukan main lagi pandai menjawab.”

Lambat-lambat aku mengangkat wajah. Mataku melekat pada wajah Amsyar yang merenungku tajam. Perlahan perasaan sebak bertamu dalam hatiku. Inilah dia lelaki yang amat aku sayangi. Yang amat aku cintai. Yang telah papa musnahkan keluarganya.

Entah kenapa perasaan bersalah mula menggebu dalam diri. Jika kebiasaannya aku selalu sahaja menjawab dan melawan Amsyar, hari ini aku jadi lemah. Kerana aku tahu bahawa memang aku tidak layak pun untuk melawan dia. Daripada awal lagi, aku dan keluargaku yang bersalah, yang berhutang padanya. Jadi mungkin lebih baik jika aku biarkan sahaja dia perlakukan sewenang-wenangnya padaku.

“Ana minta maaf kalau abang tak suka lauk tu. Abang nak makan apa? Ana…Ana masakkan yang lain.” Akhirnya aku membuka mulut sambil cepat-cepat mengambil mangkuk yang mengandungi sup ayam, lauk yang dipanggil sampah oleh suamiku tadi. Dari hujung mata, aku dapat melihat dengan jelas riak Amsyar yang seperti kehairanan dengan sikapku.

“Kau ni kenapa? Siap berabang..ber‘Ana’ lagi dengan aku.”

Aku terdiam seketika sebelum akhirnya menjawab dengan perlahan. “Abang kan…suami Ana, memang patut pun Ana panggil abang macam tu.”

Amsyar tiba-tiba sahaja bangun dari duduknya dan kemudian dengan kasar dia menarik aku agar berhadapan dengannya.

“Eh, kau tak payah nak berlakon macam nilah dengan aku. Kau ingat kalau kau baik, lembut dengan aku macam ni….aku akan lepaskan kau?”

Perlahan-lahan aku menggelengkan kepala.

“Tak…Ana tak minta abang lepaskan Ana. Walau apa pun yang abang nak buat pada Ana, Ana akan biarkan saja.”

Amsyar melepaskan pegangan tangannya dan meraup wajah.

“Kau ni kenapa, hah? Apa yang kau cuba buat?”

Terkelip-kelip mataku memandang Amsyar.

“Ana tak faham. Apa yang Ana cuba buat?”

“Kau tak payah nak berlakon lagilah. Jannah yang aku kenal…takkan dengan mudah biarkan orang lain pijak-pijak kepala dia,” balas Amsyar. Masih bernada kasar. Tetapi entah apa yang merasuk diriku, jawapannya itu sedikit membuatkan aku terharu. Sekurang-kurangnya dia sebenarnya masih mengenali aku, mengenali siapa diriku. Dan itu bermaksud….aku mungkin ada di suatu sudut hati dia.

Ah, apa yang aku fikirkan ini? Tidak mungkin aku ada di hatinya!

“Dan Amsyar yang Ana kenal akan berpegang teguh pada kata-katanya.” Aku akhirnya menjawab.

“Apa maksud kau?” soal Amsyar kembali dengan kerut di dahi.

Aku tersenyum kelat seraya menatap wajah serius suamiku. Wajah yang tidak pernah langsung menghadiahkan senyuman buatku, seperti waktu kami bercinta dulu. Pembetulan! Waktu dia berpura-pura bercinta denganku.

“Abang nak hancurkan Ana, kan? Dipersilakan….” Lemah jawapanku, selemah hati, jiwa dan semangatku.
Terlepas dengusan kasar Amsyar. Dia meraup wajah beberapa kali. Entah kenapa, dia kelihatan bingung, resah dan serba salah. Kenapa dia harus berperlakuan begitu? Bukankah memang ini yang dia ingini?

“Kau…kau…ni sebenarnya sedang menyindir aku, ke?” Keras soalan Amsyar.

Pantas aku menggeleng.

“Tak..Ana…” Sebelum sempat aku menyudahkan kata, Amsyar tiba-tiba sahaja merengkuh bahuku.

“Kau jangan nak tipu. Aku tahu kau sedang menyindir aku. Kau mesti ingat aku akan lepaskan kau kalau kau buat baik macam ni? Ah, jangan berangan!” Dan dengan teriakan itu, Amsyar menolakku kasar.

Serta merta aku terdorong ke belakang dan sedar-sedar sahaja, suatu kesakitan yang tidak dapat aku gambarkan mula menusuk-nusuk belakang dan perutku. Perlahan-lahan aku terduduk ke atas lantai.

“Argghhh….sakit…sakit…” ujarku sambil menekan-nekan perutku. Wajahku menyeringai penuh kesakitan. Dari hujung mata aku dapat melihat Amsyar yang hanya terkaku tanpa reaksi. Tercengang tanpa kata.

“Abang…..”

Dan akhirnya, hanya kegelapan yang menyelubungiku.

*****

“APA doktor cakap tadi?” Aku menyoal sekali lagi.

Doktor muda yang kini berdiri di hadapanku, di sebelah Amsyar menarik nafas dalam-dalam sebelum menghembusnya perlahan.

“Kami…kami mohon maaf. Tapi…kami tak dapat selamatkan anak dalam kandungan puan.”

Terkebil-kebil mataku cuba memahami kata-kata doktor tadi. Anak dalam kandungan? Siapa yang mengandung? Aku ke?

“A…anak?”

“Ya, puan. Puan hamil lapan minggu. Tetapi…kesan hentakan pada belakang puan terlalu kuat. Bayi puan tak dapat kami…”

Suara doktor itu hanya kedengaran sayup-sayup sahaja di telingaku. Tubuhku terasa menggigil tiba-tiba. Jadi…jadi, selama sebulan ini aku sebenarnya hamil? Aku punya nyawa yang tersimpan dalam rahimku? Dan kini…nyawa itu sudah…tiada?

“Puan…puan…” Suara doktor yang sama tadi muncul kembali di hujung telingaku. “Puan tak apa-apa ke? Saya tinggalkan puan dengan suami puan, ya?”

Usai mendengar perkataan ‘suami’, pantas aku berpaling pada Amsyar yang sedari tadi diam tidak berkutik. Wajahnya kelihatan kusut. Kemudian aku menoleh kembali pada doktor tersebut dan mengangguk.

Sempat doktor itu menepuk bahu Amsyar sebelum akhirnya berlalu pergi. Amsyar menghampiriku dan bersuara perlahan. “Err…aku…aku…”

“Ana nak rehat,” sampukku sebelum Amsyar sempat menyambung kata.

“Tapi…”

“Tolong keluar.” Aku menyampuk lagi seraya membaringkan tubuh dan membelakanginya. Mataku dikatup rapat-rapat. Namun aku masih dapat merasakan pandangan Amsyar yang masih tepat pada belakangku.

“Tolong keluar, bang..” Sekali lagi aku bersuara. Telingaku dapat mendengar dengan jelas bunyi keluhan Amsyar.

“Take care,” ujar Amsyar lembut. Seketika kemudian, bunyi pintu yang ditutup perlahan memenuhi ruang bilik.

Lambat-lambat aku membuka mataku kembali bersama tubuh yang sedikit terketar-ketar. Take care? Jaga diri baik-baik? Apa lagi yang nak dijaga setelah apa yang terjadi, Amsyar?

“Kami tak dapat selamatkan anak dalam kandungan puan.”

Kata-kata doktor tadi tiba-tiba sahaja terngiang-ngiang di telingaku. Pantas aku memegang perut. Bibirku diketap kuat-kuat, cuba menahan perasaan dalam hati. Tetapi…entah kenapa, aku seperti tidak dapat merasakan apa-apa. Segalanya kosong. Malah setitik air mata pun tidak mengalir daripada mataku.

*****

DUA minggu sudah berlalu sejak peristiwa itu. Aku kini sudah pun kembali ke rumah. Tidak perlu lagi berada di hospital, tidak perlu lagi berada di tempat yang mematerikan sejarah anakku pergi tanpa sempat aku temui. Tidak! Tanpa sempat aku ketahui kewujudannya.

“Ana…Ana nak apa-apa ke?” Suara lembut Amsyar tiba-tiba sahaja singgah di telingaku. Ya, semenjak hari itu…Amsyar sudah berubah tingkah. Tidak lagi kasar dan menakutkan. Segalanya tentang dia kini hanyalah kelembutan dan mungkin juga kebaikan.

Tetapi, aku bukan bodoh! Aku bukan bodoh untuk menilai bahawa dia cuma berasa bersalah atas apa yang terjadi. Namun untuk apa rasa bersalah itu? Bukankah memang itu yang dia ingini? Kehancuran aku???

“Ana…” panggilnya lagi.

“Ana nak ke bilik,” jawabku perlahan. Tetapi sebelum pun sempat aku berlalu, Amsyar terlebih dahulu memegang pergelangan tanganku. Aku hanya membiarkan sahaja tanpa reaksi. Tubuhku kaku. Keras.
“Ana…aku…err…abang…”

Spontan aku tersenyum tawar. Abang? Sejak bila pula lelaki ini…suamiku ini pandai membahasakan dirinya ‘abang’?

“Abang….abang…” Suara Amsyar kedengaran tersekat-sekat, seperti terlalu sukar untuk diluahkan.
Perlahan-lahan aku menarik tanganku. Tidak mahu lagi terus melekap dalam pegangannya. “Ana nak masuk bilik. Nak rehat.”

Baru sahaja aku ingin melangkah, Amsyar tiba-tiba sahaja meraihku ke dalam pelukannya. Aku terkedu. Tubuhku kaku.

“Tolong…tolong jangan jadi macam ni lagi. Abang...abang minta maaf,” bisiknya perlahan. Ada nada sendu dalam suaranya.

Aku memejamkan mata buat seketika sebelum membukanya kembali. Aku ingin mengumpul kekuatan untuk meluahkan rasa dalam hati. Dan kemudian aku menolak tubuh suamiku. Sungguh! Aku tidak rela bersentuhan dengannya. Walau sedikit pun!

“Apa abang buat ni?” soalku perlahan tanpa langsung memandang wajah suamiku.

“Buat apa?” soal Amsyar kembali. Juga perlahan.

“Abang minta maaf tadi. Abang tak perlu minta maaf untuk apa-apa pun, kan?”

Keluhan kecil terlepas dari mulut Amsyar sebelum dia tiba-tiba sahaja mengangkat daguku. Memaksa aku untuk menatap wajahnya. Dan aku…dengan bersahaja membalas pandangan matanya. Namun aku dapat rasakan betapa kosongnya pandangan mataku.

“Abang….abang tahu…semuanya salah abang. Abang yang…”

“Abang tak perlu cakap apa-apa lagi. Ana faham…Ana faham segalanya.”

Amsyar mengerutkan dahi.

“Faham apa?”

Automatik aku tersenyum. Hambar, kelat, tawar!

“Papa dah bagitahu Ana segalanya. Apa papa dah buat pada keluarga abang. Betul cakap abang. Papa hancurkan keluarga abang. Papa musnahkan segalanya. Jadi..Ana faham yang abang..abang cuma buat apa yang sepatutnya abang buat. Ana faham…faham sangat-sangat! Dan Ana harap…Ana harap…” Terhenti seketika kata-kataku. Kedua tanganku digenggam kuat-kuat sebelum akhirnya aku menyambung lagi. “Ana harap abang gembira atas apa yang dah jadi. Atas kematian…”

“Nurul Jannah!!” teriak Amsyar tiba-tiba. Cukup lantang. Terangkat bahuku saat mendengar suaranya. Terkejut!

“Apa yang…Ana cuba cakapkan ni?” Tersekat-sekat nada suara Amsyar. Kedengaran seperti bersalutkan rasa luluh. Tetapi, tidak mungkin! Tidak mungkin dia akan rasa luluh, akan rasa sedih…kerana memang ini kemahuannya!

Aku mendongak dan memandang tepat ke dalam bebola mata suamiku itu.

“Abang dan berjaya hancurkan Ana. Every little piece of me dah pun abang musnahkan. Abang dah berjaya balas dendam bagi pihak keluarga abang. Ana…Ana tahu abang gembira dengan semua ni. Rasa puas hati sangat-sangat, kan?”

Jelas di mataku Amsyar yang kelihatan terpana dan kemudian menggelengkan kepalanya beberapa kali. Namun tidak aku endahkan. Tetap juga aku menyambung bicaraku. “Congrats, abang…congrats sangat-sangat.”

Amsyar menghampiriku dan memegang kedua tanganku.

“Tak…tak, Ana. Ana silap…” balasnya perlahan.

“Ana tak silap. Atau pun maksud abang…Ana silap bila Ana ingat abang dah berpuas hati? Tapi…dah tak ada apa yang tinggal pada Ana, bang. Tak ada apa-apa lagi untuk abang hancurkan,” sampukku, semakin beremosi. Dan buat pertama kalinya setelah bayiku gagal diselamatkan, air mata mula bertakung di tubir mataku.

“Tak ada harga diri, tak ada maruah, tak ada anak…” sambungku lagi.

Amsyar menggeleng lagi. Matanya sedikit berkaca-kaca.

“Please…jangan cakap macam tu lagi…”

Aku memejamkan mata buat seketika sebelum membukanya kembali. Setitik air mata yang jatuh kuseka perlahan.

“Yang ada cuma…cuma nyawa Ana aje. Kalau abang still tak puas hati, Ana serahkan nyawa Ana pada abang. Abang buatlah apa saja dengan nyawa Ana yang tak ada nilai ni. Ana tak kisah…”

Tidak semena-mena melekat jari telunjuk Amsyar di bibirku. Terkedu aku dengan tindakannya itu. Mataku terkebil-kebil memandang wajahnya yang jelas keruh. Dan aku….aku seperti dapat melihat air mata yang mengalir perlahan di pipinya.

‘Kenapa awak menangis? Awak sepatutnya gembira, kan?’ desis hati kecilku.

“Please, Ana…jangan cakap macam tu lagi.”

Lambat-lambat aku menolak jari Amsyar.

“Kenapa? Ana cakap benda yang betul, kan? Daripada awal perkahwinan ni lagi, apa yang abang nak daripada Ana adalah…adalah kehancuran, kemusnahan Ana. Dan Ana sedar…Ana sedar, memang patut abang buat macam tu selepas apa yang papa dah buat pada keluarga abang. Jadi Ana akan bayar…”

“Stop it…”

“Ana akan bayar balik atas…”

“Stop it, Jannah!! Stop it!!” tempik Amsyar sambil menekup telinganya.

Aku tercengang.

“Abang…abang dah sedar. Tolong jangan cakap macam tu lagi. Abang tak sanggup dengar…” Lemah suara Amsyar.

Aku tersenyum sinis. Tak sanggup dengar? Bukankah ini yang dia ingini daripadaku? Aku sudah relakan segalanya, relakan apa sahaja yang dia buat padaku. Aku takkan melawan lagi dan aku takkan bertahan lagi. Bukankah dia sepatutnya bersorak kegirangan?

“Tak sanggup dengar? Kenapa? Abang sedar tak abang dah menang? Dan Ana dah kalah? Ana dah tak boleh bertahan lagi, tak boleh melawan abang lagi. Abang sepatutnya rasa gembira…”

“Tak, Ana…tak. Macam mana abang nak rasa gembira dengan…dengan kematian anak kita?” balas Amsyar pula.

Aku terdiam. Anak kita? Anak yang sudah dia bunuh dengan kedua-dua tangannya itu?

“Anak kita? Maksud abang, anak yang dikandung oleh perempuan yang paling abang benci ni? Yang lebih rendah maruahnya daripada seorang pelacur?” Tanpa perasaan, aku menebak Amsyar dengan soalan yang sangat menyakitkan hatiku sendiri.

Membuntang mata Amsyar mendengarkan kata-kataku. Dia jelas terkejut. Namun aku tidak peduli. Biarkan sahaja dia dengan rasa terkejut itu!

“Abang tahu tak…kadang-kadang Ana rasa…Ana rasa ada baiknya dia pergi dulu,” sambungku lagi.

“Ana?” Masih dengan wajah yang kusut, Amsyar memanggil namaku.

“Sebab Ana tak nak…Ana tak nak anak Ana rasa apa yang Ana rasa. Ana tak nak dia hidup dengan kebencian daripada ayah kandungnya sendiri. So lebih baik…lebih baik dia…” Terhenti kata-kataku saat emosi yang kubendung dirasakan semakin menghimpit jiwa kosongku. Lambat-lambat aku memejamkan mata dan menarik nafas dalam-dalam.

“Lebih baik dia pergi…pergi buat selamanya.” Saat itu aku membuka mata dan pandanganku tertancap pada Amsyar yang sudah pun terjelepuk jatuh ke atas permaidani. Kepalanya digelengkan beberapa kali. Wajahnya basah dengan air mata.

“Abang…abang tahu…abang berdosa. Tapi tolonglah…tolonglah jangan fikir yang abang…abang gembira dengan…dengan kematian anak kita.” Lirih nada suara Amsyar. Wajahnya menggambarkan kesedihan dan keperitan. Tetapi, benarkah suamiku yang berhati batu itu berperasaan demikian? Atau…semuanya hanya halusinasi aku saja?

“Kenapa pulak abang tak gembira? Can’t you see, abang? I’m doomed, okay? I’m doomed. Bila doktor tu cakap…anak Ana dah tak ada, that means Ana dah betul-betul musnah…just as you wish…” Aku membalas, masih lagi dengan bait bicara yang meremukkan hatiku sendiri.

“Ana…” Terketar-ketar tangan Amsyar memegang kakiku, dengan lagak memohon dan merayu.

Aku mengerling sekilas ke arahnya, dan memandang kosong ke hadapan dengan pandangan yang berbalam-balam dek air mataku yang seperti tidak mahu berhenti mengalir. Bibirku diketap kuat-kuat, cuba melawan keinginanku untuk meraih suamiku ke dalam pelukan. Ya, melihat dia begitu…hatiku jadi sakit. Ah, kenapa aku terlalu bodoh? Kenapa aku masih punya perasaan pada suami yang telah membunuh zuriatnya sendiri?

“Abang berdosa…berdosa pada Ana, pada anak kita. Abang biarkan hati abang penuh dengan dendam…sehinggakan abang…abang sanggup buat macam tu pada Ana. Ampunkan abang…abang merayu, Ana…”

Terpejam mataku mendengar kata-kata suamiku. Kalaulah…kalaulah semuanya sesenang itu, pasti aku akan memaafkan dia. Tetapi…sekarang, bukan hanya aku yang jadi mangsa dendamnya, bahkan anakku yang langsung tidak berdosa!

“Abang tak pernah inginkan perkara begini jadi pada Ana dan…anak kita. Abang tak mahu!!” Amsyar menghentikan kata sebelum menyambung lagi. “Ana tahu tak….betapa pedihnya hati abang…waktu abang dapat tahu yang anak kita..,anak kita dah tak ada. Abang fikir…semuanya…semuanya salah abang..”

“Memang salah abang pun, kan? Kalau bukan sebab abang, dia masih lagi ada dengan Ana!!” teriakku, penuh emosi.

Terdiam Amsyar mendengar tempelakku. Air mata yang sedari tadi setia menodai pipinya terus-terusan turun.
Kedua-dua tanganku digenggam kuat-kuat. Aku mahu menghadirkan kekuatan dalam diriku untuk melawan perasaan sayangku pada dia. Ya, aku sedar…aku sudah tidak boleh lagi membiarkan perasaanku membelenggu diriku dan membunuhku dari dalam. Aku tidak mahu punya perasaan ini lagi! Aku tidak rela…kerana semuanya terlalu menyakitkan!

Lambat-lambat aku melutut dan berhadapan dengan Amsyar. Nafasku ditarik dalam-dalam sebelum aku bersuara perlahan. “Abang…kalau..kalau abang betul-betul dah menyesal, Ana mintak abang…”

Membulat mata Amsyar. Pantas dia menggelengkan kepala. “Don’t tell me…”

“Tolong lepaskan Ana,” sambungku, penuh keyakinan.

“No!! I won’t!!” balas Amsyar. Sedikit menjerit.

“Kenapa tak boleh? Berapa lama lagi abang nak simpan Ana? Berapa lama lagi abang nak seksa Ana??” Lantang aku menjawab.

Perlahan-lahan Amsyar menarik kedua tanganku dan memegangnya erat.

“Bukan, Ana…bukan. Abang bukan mahu seksa Ana…tapi…sebab abang tak sanggup hidup tanpa Ana. Abang…abang sayangkan Ana…”

Meledak ketawa mengejekku. Sayang? Amsyar sayangkan aku? Mustahil! Kalau dia benar-benar sayangkan aku, mana mungkin dia memperlakukan aku sedemikan rupa. Mana mungkin dia menyeksa aku selama ini.

“Ana?”

“Sayang? Huh! Abang jangan nak buat lawak kat sini. It’s not even funny,” sindirku selamba.

“Abang tak tipu…selama ni setiap kali abang sakitkan Ana, abang tak sedar yang sebenarnya…sebenarnya secebis hati abang juga hancur. Dari dulu lagi, waktu kita couple dulu..abang sayangkan Ana. Memang pada awalnya abang rapat dengan Ana untuk balas dendam, tapi as time goes on…abang jadi sayangkan Ana,” jelas Amsyar sambil terus merenung ke dalam mataku.

Terkebil-kebil mataku membalas pandangan mata Amsyar. Entah kenapa, aku seperti dapat melihat keikhlasan dalam matanya yang basah itu. Tetapi…

‘Sedarlah, Nurul Jannah…dia adalah lelaki yang telah membunuh anak kau!’

Jadi, untuk aku menerimanya lagi adalah tidak mungkin!!

“Kalau cara abang sayangkan Ana adalah dengan…dengan sakitkan Ana macam ni, Ana tak nak sayang abang tu. Ana tak nak!!” bentakku tanpa perasaan.

Tidak semena-mena Amsyar memegang pipiku. Terkedu aku dengan tindakannya.

“I love you…I love you so much…and I’m so sorry sebab buat Ana menderita selama ni. Tapi untuk lepaskan Ana…abang tak sanggup. Sebab…tak ada sesiapa lagi dalam hidup abang selain Ana…”

Aku membatu. Agak terkejut dengan pengakuannya yang kedengaran tulus. Tetapi benarkah hati suamiku ini setulus pengakuan dan pandangan matanya?

“Ana hukumlah abang…macam mana sekalipun, tapi…bukan dengan pergi jauh daripada abang. Please….abang merayu,” sambungnya lagi.

Dalam dan tepat aku merenung ke dalam bebola mata suamiku sebelum akhirnya menarik tangannya daripada terus melekat di pipiku. Kemudian aku menggelengkan kepala.

“Tak, abang…tak. Ana dah tak cukup kuat untuk terus hidup dengan abang. Jadi…jadi Ana merayu…tolong lepas…” Kata-kataku terhenti sendiri saat Amsyar tiba-tiba sahaja menarik aku ke dalam rangkulannya. Erat sekali! Seakan-akan tidak akan sekali-kali melepaskanku pergi.

“Tidak, Ana…Tidak. Abang sayangkan Ana…abang tak boleh lepaskan Ana...” bisiknya perlahan di hujung gegendang telingaku. “Abang rela kalau Ana nak bencikan abang…nak balas dendam pada abang, tapi…jangan tinggalkan abang…”

Aku terdiam tanpa kata. Hanya kaku tanpa reaksi. Sungguh! Aku tidak tahu apa yang lagi yang patut dituturkan. Yang ada dalam diriku hanyalah perasaan tersinggung yang amat dalam. Ya, tersinggung dengan sikap pentingkan diri suamiku ini. Ah, Amsyar memang terlampau pentingkan diri! Waktu dia membenciku, aku diperlakukan umpama sampah yang tiada nilai…tetapi kini, tatkala dia mengaku menyayangiku…dia mahu aku terus bersamanya. Apa semua ini???

Tetapi…tetapi, kenapa hati kecilku ingin sekali terus mendampinginya? Kenapa aku terlalu lemah kerana tidak mampu mengusir perasaan cintaku padanya? Kenapa aku dihadiahkan dengan perasaan sayang dan cinta yang mendalam buat suami yang tidak henti-henti menyakitiku...yang tidak pernah membahagiakanku? Kenapa???

“Ana…abang merayu, I’m begging you…don’t leave me…” Lagi suara lirih Amsyar menampar gegendang telingaku.

Aku mengetap bibirku kuat-kuat, cuba menahan diri daripada mengatakan ‘Ana takkan tinggalkan abang.’ Aku tidak mahu…aku tidak mahu terus bersamanya, terus bersama pembunuh anakku sendiri. Tetapi….

“Ana memang bodoh….kenapa Ana tak boleh tinggalkan abang?”

Ah, aku kalah lagi dengan perasaanku padanya.

Pantas Amsyar meleraikan pelukan dan menatap ke dalam mataku. “Betul ke ni, sayang? Betul ke?”

Menitis air mataku saat mendengar dia memanggilku ‘sayang’. Ya Allah, betapa aku merindui panggilan itu!
“Just…don’t hurt me, ever again…” balasku di sebalik esak tangisanku.

“I won’t…abang janji.” Dengan janji itu, Amsyar meraih aku ke dalam pelukannya lagi. Dan kali ini, aku membalas pelukan itu. Erat.

‘Ya Allah, aku harap ini adalah keputusan yang betul…’

*****

“ANA, terima kasih sebab sudi terima abang kembali.”

Aku mengerling ke sebelah, melihat Amsyar melalui hujung mata. Dia memandang ke hadapan, jauh ke arah pantai yang membiru. Ya, kami kini berada di Pulau Tioman. Kata Amsyar, dia mahu menghadiahkan aku dengan bulan madu yang tidak pernah aku nikmati. Katanya lagi, dia mahu menghilangkan kenangan tentang kekejamannya padaku dan menggantikannya dengan kebahagiaan yang selayaknya aku terima.

Aku pula, hanya mengikut sahaja keputusannya itu. Entahlah, suatu sudut hatiku masih lagi sedikit takut, sedikit ragu-ragu dengan keikhlasan Amsyar. Macam mana kalau pujukan dan rayuannya tempoh hari hanya kerana rasa bersalah? Atau lebih dahsyat lagi, hanya kerana mahukan aku kembali ke dalam penjara penderitaan yang dibina oleh suamiku itu?

“Ana tahu tak, kenapa abang benci sangat pada papa?” soal Amsyar tiba-tiba, masih lagi dengan lagak yang memandang ke hadapan. Langsung tidak menoleh ke arahku.

Tersentak aku mendengarkan soalannya. Dan serta-merta juga perasaan bersalah kembali menggebu ke dalam diri. Ya, papa yang bertanggungjawab menghancurkan keluarga Amsyar, sedangkan Adam, arwah bapa Amsyar tiada langsung memalitkan dosa kepada keluargaku.

“Papa perangkap arwah ayah abang…” Perlahan aku menjawab. “Ana minta maaf bagi pihak papa.”

Amsyar menggelengkan kepala. Lembut dia meraih tangan kananku dan menggenggamnya erat. Aku menoleh ke arahnya, memandang bahagian sisi wajahnya.

“Jangan...jangan minta maaf. Bukan salah Ana. Abang…abang patut sedar yang dari dulu lagi..semuanya bukan salah Ana. Tapi, abang…abang…” Amsyar menghentikan kata buat seketika dan berpaling ke arahku. Matanya kulihat sedikit berkaca-kaca.

Zup! Hatiku terasa pedih. Kedua-dua mata Amsyar kelihatan sedih sekali, seakan menyimpan penderitaan dan keperitan yang amat dalam.

“Abang hidup kerana rasa dendam ni, Ana. I keep on living sebab rasa benci ni. Abang berusaha keras untuk berjaya pun sebab rasa dendam ni. Sampaikan..abang..abang dah tak tahu macam mana lagi untuk hidup kalau perasaan benci ni hilang. Sebab tulah..sebab tulah, abang rasa abang perlu untuk terus membenci. For the sake of keeping on living. Untuk terus hidup.”

Aku membatu, hanya mataku yang terkelip-kelip melihat Amsyar. Sungguh! Lidahku kelu. Begitu sekali perasaan benci dalam hati suamiku ini. Sehingga ke tahap tidak mampu hidup tanpa rasa benci itu.

“Dan sebab tu jugalah, abang gunakan Ana, abang peralatkan Ana. Abang ingat..abang akan rasa puas bila dapat sakitkan anak kepada orang yang abang peling benci. Tapi, abang silap…bila abang dengan Ana waktu kita couple dulu, abang dapat rasakan yang perasaan benci tu makin surut. Tapi…abang tetap tak boleh lepaskan perasaan benci tu pergi, Ana. Setiap kali abang cuba bagitahu diri abang yang Ana tak bersalah…wajah mak, wajah ayah muncul dalam fikiran abang.”

Setitik air mata Amsyar kulihat menitis di pipi. Dan tanpa sedar, air mataku turut sama bertakung di tubir mata. Ya, luluh hatiku melihat dia begitu. Lenyap sudah Amsyar yang selama ini angkuh dan keras, yang ada di hadapanku kini cuma seorang lelaki yang berada dalam keperitan.

“Mak meninggal kerana sakit, Ana. Dia tak sempat pun jumpa ayah. Dan ayah pula…meninggal dalam penjara…”

Aku menekup mulut. Ya Allah! Begitu sekalikah kehidupan lampau Amsyar? Dan…semuanya kerana papa.

“Sebab tulah…abang tanamkan dalam diri abang yang….whatever happens, abang kena hancurkan Dato’ Johari,” sambung Amsyar lagi, mengakhiri ceritanya.

Perlahan aku menjatuhkan tangan kiriku yang sebentar tadi melekat di mulut dan mengalihkannya ke atas tangan Amsyar yang masih lagi kemas menggenggam tangan kananku. Tangannya itu kupegang erat. Amsyar hanya menatapku tanpa kata.

Dengan bibir yang terketar-ketar dan air mata yang sudah pun menitis membasahi pipi, aku bersuara. “Abang…Ana..Ana…”

“Jangan minta maaf lagi. Semua tu dah berlalu. Abang dah tak mahu simpan dendam pada papa lagi. Dan biarlah papa tak tahu sampai bila-bila pun yang abang ni sebenarnya anak Adam,” sampuk Amsyar.

Spontan aku mengerutkan dahi. “Kenapa?”

“Apa yang berlaku pada masa lampau tu, biarlah berlalu. Cukuplah kalau papa dah sedar dan insaf atas apa yang dia dah buat. Abang…abang maafkan dia.” Tenang sekali jawapan Amsyar.

Lagi laju air mataku merembes turun. Terhinjut-hinjut bahuku mengiringi air mata. Sungguh, hatiku tersentuh. Amsyar, suamiku punya kebaikan dalam hatinya. Dia punya keluhuran dan ketulusan yang selama ini berselindung di sebalik hati batunya.

“Hei, jangan menangis lagi...” pujuk Amsyar lembut. Tangannya mula menjalar ke pipi, menyeka air mataku.
Aku mengangkat wajah, memandang Amsyar. “Abang…abang…baik. Abang baik sangat-sangat…”

Laju Amsyar menggelengkan kepala.

“Tak..abang tak baik. Abang jahat, abang kejam…abang buat Ana macam-macam. Abang seksa...” Terhenti kata-kata Amsyar saat jari telunjukku mendarat di bibirnya.

“Semuanya dah berlalu. Ana tak nak ingat lagi pasal tu. Apa yang Ana tahu sekarang…Ana nak kita cipta kenangan baru. Yang boleh hilangkan semua rasa sakit dalam hati Ana...dalam hati abang.”

Amsyar menarik jariku yang elok melekat di bibirnya sebelum mengucup tanganku. Penuh kelembutan. Kemudian dia menarikku ke dalam rangkulannya. Aku membalas pelukan itu dengan rasa kasih yang menggunung. Sungguh! Aku terlalu sayangkan dia.

“Abang janji…abang akan hilangkan rasa sakit dalam hati Ana tu dengan cinta abang buat Ana. Cuma…” Lembut Amsyar berbisik di gegendang telingaku.

“Cuma apa, bang?” sampukku perlahan.

“Janji juga pada abang…Ana takkan tinggalkan abang. Ana akan sentiasa ada dengan abang….”

Lambat-lambat aku mengangguk. “Ana janji, bang. Ana janji…”

*****

LIMA TAHUN berlalu…

“Sayang!!”

Aku menoleh. Bibirku pantas menguntum senyuman. Jelas di mataku Amsyar yang sedang melambai-lambai dari arah kolam renang resort. Di sampingnya Ariana sedang seronok bermain-main dengan air. Melihat si kecil itu, makin lebar senyumanku.

Ariana, dia anak sulungku dan Amsyar….anak kedua jika anak sulungku masih hidup. Ah, apa yang aku buat ini? Tidak sepatutnya aku mengenangkan lagi perkara yang lepas. Aku sedar, apa yang boleh aku lakukan kini hanyalah mendoakan kesejahteraannya di sana. Dan aku pasti dia juga pasti sedang mendoakan aku, Amsyar dan keluarganya di dunia ini.

Aku kini bahagia dengan kehidupanku. Amsyar, suami yang pernah menghadiahkan kata-kata keramat ‘Aku mahu kau hancur’ pada hari pernikahanku benar-benar mengotakan janjinya. Sejak hari itu, hari yang aku…seorang isteri memohon agar diceraikan, Amsyar benar-benar telah berubah. Tiada lagi kekerasan, kerakusan dan kekejaman seorang suami terhadap isterinya. Yang tinggal hanyalah kasih, sayang dan cinta yang selayaknya dilimpahkan oleh seorang suami buat isteri yang dinikahinya.

“Sayang menungkan apa tu?” Suara Amsyar tiba-tiba sahaja hinggap di telingaku. Pantas aku berpaling padanya yang sedang mendukung Ariana.

Aku tersenyum. Tanganku segera mengambil Ariana dari dukungan Amsyar sebelum mengelap tubuh kecil itu dengan tuala yang sedari tadi berada di tanganku.

“Tak nak bagitahu, ek?” soal Amsyar lagi.

Aku tergelak kecil. “Bukan tak mahu bagitahu. Tapi, kalau Ana bagitahu…Ana takut abang cakap Ana perasan pulak.”

Amsyar mengangkat kening sebelum mencuit hidungku. “Ini fikir apa, ya?”

Lagi kuat tawaku.

“Betul nak tahu?”

Soalanku dijawab dengan anggukan kecil Amsyar.

“Abang sayangkan Ana, kan?” tanyaku lembut.

Terbit kerutan di dahi suamiku.

“Itu ke yang Ana fikir tadi?”

Aku mengangguk sambil tersengih.

Amsyar tersenyum lebar dan kemudian menarikku agar lebih dekat dengannya. Lembut dia berbisik di telingaku…

“Yes, and I will always love you…Insya’ Allah.”

**************

Kata Sara Aisha: Kebencian dan dendam umpama pembunuh senyap, yang memakan hati dan perasaan manusia dari dalam. Dan hanya kemaafan yang mampu melenyapkan perasaan benci itu. Mungkin sukar untuk melafazkan kata-kata maaf kerana sebagai manusia biasa, kita takkan mudah untuk melupakan perasaan terluka. Tetapi sampai bila rasa benci dan dendam harus terus bertakhta dalam hati? Bukankah patut ada sebelah pihak yang memilih kemaafan dan peluang kedua?

P/S: Cerpen ini adalah cerpen yang saya mula hasilkan sewaktu saya dalam proses untuk siapkan novel Jodoh itu Milik Kita, tetapi cerpen ini tergantung begitu saja tanpa sempat disiapkan hinggalah ke saat ini. Mungkin kerana itulah, tema cerpen ini seakan-akan ada kena-mengena dengan Jodoh itu Milik Kita.

Oh, buat sesiapa yang belum dapatkan Jodoh itu Milik Kita, sudi-sudilah dapatkannya di pasaran, ya! Terima kasih sangat-sangat…

*Edited version*

49 comments:

  1. Best cuma part happy tu pendek sket..kalu masa hapy tu panjang byk romantic words /acts boleh tuliskan..hehe sory kalau x stuju sb sy ni memg suka bab2 romantic ni huhu

    ReplyDelete
  2. Senang sangat memaafkan suaminya..nangis2..meleleh air mata..dah.settle. Happy ending. Typical.

    ReplyDelete
  3. @syarp: thanks atas komen tu. tp memandangkan citer ni mmg nk emphasize pd part husband tu jahat, so sikitlah bab romantik...hehe

    ReplyDelete
  4. @anonymous: thanks 4 d comment, and yup...typical. tapi itu yg sy rs selalunya sorang perempuan buat, kan? or at least berdasarkan pemerhatian sy pd keadaan masyarakat kita di mana kes isteri teraniya dan tak sanggup tinggalkan suami tu terlampau banyak. kalaulah seorg isteri itu berhati kuat dan boleh tinggalkan suaminya yang jahat, mungkin kuranglah kes mcm2 kt malaysia ni, kan?

    ap2 pun, sy juga percaya pd peluang kedua. everyone deserves a second chance. peluang ketiga yang tidak patut ada..

    ReplyDelete
  5. best...byk pengajaran yg dapat dr cerpen ni...terus kan lagi bercerpen ye!!

    ReplyDelete
  6. @blinkalltheday: thanks so much, dear. insya' Allah, ade idea dan kesempatan saya akn menulis lg..=)

    ReplyDelete
  7. kak sara cita nie best tp btul la klu panjang lagi msti lagi best.. apa pun cita nie still best hati tertouching gila part ana kena seksa tu. sedih2 nsb baik air mata tak sempat turun.. ;)

    p/s : JIMK dlm process nk baca nie..hehe. import jauh tau. Dari Johor ke kedah... hoho

    ReplyDelete
  8. bertuah amsyar masih diberi peluang kedua yg
    xsemua org bleh dpt..
    best cerita ni walaupun masa baca tu terasa nak luku2 jer kepala Amsyar sbb geram sgt..heh!
    tapi yg pasti hidup dlm kebencian & dendam,hanya akan menghadiahkan kita kedukaan & kesepian yg berpanjang..(jgn jadi cam syafiq lam JIMK)
    best!! Deabak!! sara..tqvm :)

    ReplyDelete
  9. yeahhh.. cerpen kak sara ni best..hehe
    mmg kemaafan tu adalah penghapus segala dndam..
    lg pun kemarahan seorang isteri tu nk bawa ke manalah sngat kan… Syurga isteri kan bawah tapak kaki suami... beralah tu adakalanya mmg perlu.. =)

    cuma ada rasa kurang sikit,, (bkn kurang tp blh tmbah untuk mencantikkan lg jalan cite)
    Amsyar tak tahu pun yang ana dah tahu pasal punca amsyar dia berdendam..
    mungkin patutnya amsyar leh cite ngan lebih lanjut lagi, perasaan y dia rasa apabila mengenangkan perbuatan papa ana tu... tragis skit an bila ada sesi meluahkan perasaan tuh..
    mgkin papa ana leh mintak maaf kat amsyar or mintak maaf pd Adam..
    ataupun kalau nak biar jadi rahsia, kena teranglah kat pmbaca..hehehe..

    itu je kot.. hehe.. blh edit dulu sblm msuk p2u..y lain2 x yah komen dah.. ok jeh..
    tp sy lebih suka kak sara guna pov3.. ehehe..(maaf kak kalu terlebih komen)

    ReplyDelete
  10. nice! i like! good job, sara. interesting storyline..klu buat novel ni best gak..;) *hint hint* ;)

    ReplyDelete
  11. @zana: thanks a lot, dear atas komen dan cadangan tu. kak sara dah betulkan dan tambah sikit...hehe and oh, selamat memabca JIMK. wah!! dr jauh tu...haha

    ReplyDelete
  12. @repangzel: thanks so much, dear. yup, klu kite hidup dgn kebencian dan dendam, hati kita akn mati..(jangan jadi cam Syafiq..hehe)

    ReplyDelete
  13. @nur ezzah maisarah: sara darling!! thanks so much atas komen sara yng membina tu. kerana komen sara tu, boleh plak kak sara ada idea utk sambung sikit cerpen ni.

    kat atas ni dah edited version nye. how is it? dah okey tak? hehe...

    ReplyDelete
  14. @lyn5346: thanks a lot, dear. novel?? hmmm...nk ke tak nak, nak ke tak nak...hehe

    ReplyDelete
  15. Best sangat2 ! Two thumbs up ! Hee . :)

    ReplyDelete
  16. best.. walaupun still crite pasal perkahwinan tapi lain dr yg sedia ada..pasal dendam.. slalunya pasal kawen pakse jek.. blh kembangkan lg utk novel plak..
    JIMK pun dah baca.. best jugak.. thumbs up.. otak sains tp still jiwang jugak.. heheheh
    -rhn-

    ReplyDelete
  17. Cik Sara, nak tegur sikit. That's mean tak sama dengan that means. Maka nye kalau nak cakap 'maksudnya', awak kena guna that means. That's mean = itu adalah kejam. Ayat ni awak guna kat I'm doomed tu. Hehehe. Sorry tegur. Sharing is caring kan? ;-)
    Btw, jalan cite yang menarik. Good job! Keep it up dear! :-)

    ReplyDelete
  18. kak sara aisha...
    sekarang semua persoalan pun dah terjawab..
    hehe.. feeling lebih kot.. baru smpurna..
    compem meletup kat penulisan2u nnti.. hehe..
    i wish all the best tu u.. =)

    ReplyDelete
  19. wahhh.. like sangat2.. cerita ni konfliknya agak berbeza dengan cerpen yang ada sekarang.. congrats.. =)

    ReplyDelete
  20. @syaza nadiah: thanks a lot, darling...hehe

    ReplyDelete
  21. superb sgt~
    sungguh menyayat hati.. T_T
    menitis air mata pabila membacanya..

    ReplyDelete
  22. salam sara. Congrats on JIMK. Cerita ni ok..cumanya, jika kandungan 4 minggu, ianya hanya a dot in the uterus. Apabila keguguran maknanya hanyalah 'turun darah' mengikut istilah biasa kitalah. In fact tak perlu buat D&C pun. JIka kandungan sudah berusia 6 bulan dan ke atas barulah diuruskan spt jenazah lain.So statement Amsyar uruskan jenazah janin tak tepat :)

    ReplyDelete
  23. @rhn: thanks a lot, dear...hehe, itulah..otak sains tp hati jiwang lar plak..=)

    ReplyDelete
  24. @nurul: oh, thanks a lot sbb tunjukkan grammatical error tu..hehe... kak sara dah betulkan. xpe tegur kak sara, kak sara okey je...=)

    and thanks jugak sbb suke citer ni..=)

    ReplyDelete
  25. @sara: hehe...thanks again. komen sara mmg bagus utk cerita ni..=)

    ReplyDelete
  26. @mizzxyana: thanks sgt2, dear...lega dgn komen awk..hehe

    ReplyDelete
  27. @hijau: terima kasih kerana menunjukkan kesilapan sy. akn sy betulkan nanti. nmpknya sy perlu lebih tambahkan pengetahuan umum...hehe..

    apa2 pun, terima kasih lagi sekali..=)

    ReplyDelete
  28. Waaaa sedeynye cite ni... sampai meleleh air mata WC mase bace part ana kegugran tu...

    ReplyDelete
    Replies
    1. huhu...kak sara pun sedih nk tulis...=(

      Delete
  29. best giler...aja-aja fighting...

    ReplyDelete
  30. Wah, cerita mengena di hati banget. Sampai bikin bercucuran air mata ini,..
    Heny FIAI UII

    ReplyDelete
  31. sedih sgt cite ni, tp menarik...hehe

    ReplyDelete
  32. tahniah kak sara..dapt hasilkn novel yg bermutu dan cerpen yg terbaik..JIMK best sngt sampi baca berulng2 kli..!! heheheh :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. thanks, dear...

      insyaAllah, akan cuba hasilkan karya yg lebih baik dr ms ke semasa...=)

      Delete
  33. This great ! I love it .

    ReplyDelete
  34. Walaupun cerite ini pndek..ia sudah cukup buatkan saya menitiskn air mata...hebat

    ReplyDelete
  35. sedih gilaaa tapi best.
    nangis saya baca haha

    all the best, cik writer!

    ReplyDelete
  36. Boleh pergi jauh ni... insya Allah, boleh dah start tulis2 novel cket :)

    Di sini ada doa >>
    Doa Minta Jodoh Sampai Cepat

    ReplyDelete
  37. Best . Serius Best . Why can't you just make this story sebagai novel sebab dia best sangatttttt ! Its not typical story coz bukan kahwin paksa . Huhuh .. nice story , Good Job Writer . Please keep writing more story and of course , selitkan ilmu :)

    ReplyDelete
  38. serius best gilerr . dah baca dekat 10 kalii dah . 10 kali jugak lah air mata ni meleleh . heheheh :) feeling terlebih .

    ReplyDelete
    Replies
    1. tq soooo much! sy pun nanges tulis ni..hehe

      Delete