Jodoh itu Milik Kita - Bab 8


BAB 8

“ASSALAMUALAIKUM.”

Aariz memberi salam seraya menapak masuk ke dalam rumah. Kasut hitamnya diletakkan elok di atas rak kasut di sebelah kirinya. Matanya meliar mencari kelibat Dahlia yang tidak kelihatan di ruang tamu, juga di bahagian dapur.

“Aik, belum balik lagi ke?” Aariz menyoal diri sendiri. Matanya dikerling pada jam dinding yang sudah menunjukkan waktu 7.05 petang.

Pada kebiasaannya, Aariz jarang pulang awal begitu. Dia selalu sahaja pulang ke rumah di tengah malam atau ketika Subuh pula mahu menjelma. Sewaktu di Melbourne, dia banyak menghabiskan waktunya hanya dengan bekerja. Mungkin sebab itu jugalah cepat sahaja dia naik pangkat.

Pada usia baru mencecah tiga puluh tahun, dia sudah pun menjadi ketua bagi projek yang bernilai jutaan dolar Australia. Statusnya sebagai salah seorang jurutera muda dari Asia yang berkaliber memang diketahui hampir semua pekerja di syarikat itu.

Mungkin kerana itu jugalah, permohonannya untuk ditukarkan ke cawangan syarikat di Malaysia agak susah untuk diluluskan. Aariz menunggu sehingga dua tahun untuk permohonannya lulus. Itupun setelah projek di bawah kendaliannya siap dan pilot plant yang direkanya dibuktikan berfungsi dan selamat untuk digunakan. Juga setelah dia selesai melatih beberapa jurutera junior.

“Waalaikumussalam.”

Wajah Dahlia tersembul keluar dari sebalik pintu bilik tidurnya. Tangan kanannya menggenggam cordless phone berwarna putih.

“Tengah cakap?” soal Aariz sambil merapati Dahlia yang kemudiannya menjawab dengan anggukan sahaja.

“Sape?” tanya Aariz lagi, perlahan.

Dirinya kini betul-betul berhadapan Dahlia yang masih lagi memegang telefon sambil menutup bahagian bawah telefon itu. Gaya biasa bagi seorang yang sedang bercakap dengan seseorang tapi tidak mahu orang di talian lagi satu turut mendengar.

Dahlia mendongakkan kepala, mahu memandang wajah suaminya yang berdiri dekat benar dengannya.Tubuh kecil Dahlia kelihatan cukup kecil jika dibandingkan dengan tubuh Aariz yang tinggi.

“Ibu.” Perlahan juga jawapan yang diberikan Dahlia. Seakan-akan berbisik.

Aariz mengangguk dan tersenyum.

“Kirim salam kat ibu,” ucapnya sebelum berpaling mahu menuju ke bilik sendiri.

“Bu, Aariz kirim salam.”

Dari kejauhan Aariz dapat mendengar suara Dahlia menyampaikan salamnya pada ibu mertuanya. Suara Dahlia kedengaran riang. Mungkin gembira dapat berbicara dengan ibunya di kampung. Entah apa yang dibualkan dua beranak itu, dia pun tidak pasti.

Dahlia memandang belakang Aariz yang semakin hilang ditelan pintu biliknya. Wajah letih lelaki itu mengundang rasa kasihan dalam dirinya. Mungkin banyak yang perlu dilakukan memandangkan hari itu merupakan hari pertama Aariz di tempat kerja di Malaysia.

Walaupun tidak banyak yang diketahui oleh Dahlia mengenai kerja Aariz, dia tahu Aariz baru sahaja ditukarkan oleh ibu pejabatnya di Melbourne ke cawangan syarikat di Malaysia. Dahlia sendiri tidak pasti nama syarikat tempat suaminya bekerja, namun dia tahu Aariz merupakan seorang jurutera.

“Lia, Lia kat sana lagi ke?” Tiba-tiba suara ibunya kedengaran di hujung telinganya mematikan lamunannya tentang Aariz tadi. Dahlia termalu sendiri. Boleh pula dia terlupa bahawa dia sedang bercakap dengan ibunya.

“A’ah. Ada lagi, bu.”

“Lia kenapa?” Ada nada kebimbangan dalam suara ibunya, Puan Inas.

Dahlia tersenyum. Mungkin ibu masih risaukannya atas apa yang telah terjadi.

“Lia, Aariz layan Lia dengan baik ke? Lia dengan dia kat rumah tu berdua je. Kalau apa-apa…”

“Tak ada apa-apa jadi, bu.” Dahlia memotong kata-kata ibunya seperti dapat meneka apa yang akan diucapkan oleh Puan Inas.

Terselit rasa terharu dalam hati Dahlia. Ibunya selalu seperti itu. Terlalu bimbangkannya. Dulu sewaktu keluarga Syafiq mahu menyuntingnya sebagai isteri Syafiq, ibunya membantah kerana Dahlia tidak mengenali Syafiq. Berulang kali ibunya mengatakan bahawa Dahlia sepatutnya mengahwini seseorang yang dicintainya, dan bukan mengahwini seseorang hanya atas rasa simpati pada orang lain.

Begitu juga halnya sewaktu Puan Marina merayu Dahlia agar mengahwini Aariz demi menyelamatkan maruah keluarga. Ibunya menentang habis-habisan. Langsung tidak dipedulikan tentang maruah keluarga, kerana bagi ibunya, Dahlia lebih penting daripada segalanya. Malah, kebahagian Dahlia jauh lebih penting daripada maruah keluarga mereka sendiri. Biarlah orang kampung mengata, biarlah sesiapa pun menghina, namun tidak akan sekali-kali ibunya menjadikan Dahlia sebagai galang ganti bagi maruah yang cuba dipertahankan.

Dahlia menarik nafas.

“Ibu, Aariz layan Lia dengan baik. Baik sangat.” Tegas suara Dahlia. Namun penuh dengan kelembutan.
Dahlia dapat merasakan ibunya terdiam dan kemudian menghela nafas. Lega mungkin.

“Alhamdulillah. Lega ibu dengar. Okeylah. Dah nak Maghrib ni. Lain kali ibu call lagi. Assalamualaikum.”

“Waalaikumumussalam. Love you, ibu,” ujar Dahlia lembut.

Dahlia dapat mendengar ibunya tergelak kecil.

“Love you too, sayang.”

Senyuman manis terukir di wajah Dahlia. Perlahan Dahlia mematikan panggilan telefon dan meletakkan kembali gagang telefon. Dia mengerling seketika ke arah pintu bilik tidur Aariz. Berkira-kira mahu mengetuk bilik itu. Dia berniat untuk menyoal lelaki itu tentang makan malam.

Namun sebelum sempat Dahlia menapak ke arah bilik itu, Aariz terlebih dulu membuka pintu dan berjalan keluar. Dia memakai baju melayu dan berkain pelikat. Rambutnya sedikit basah.

“Awak solat? Jom jemaah. Saya dah tak sempat nak ke surau ni.” Aariz bersuara sambil membetulkan rambutnya yang sudah mula jatuh ke dahi, dan kemudian memakai songkok. Matanya memandang Dahlia yang kelihatan sedikit serba salah. Seakan malu-malu.

“Lia…”

Dahlia mengetap bibir. Agak malu untuk memberitahu status dirinya sekarang. Tidak pernah seumur hidup dia berkongsi hal itu dengan mana-mana lelaki. Dahlia bermain-main dengan jari-jemarinya.

Aariz hanya memerhatikan gerak-geri Dahlia yang kelihatan kekok dengannya. Tatkala melihat Dahlia yang asyik bermain dengan jari-jemarinya, senyuman nakal mula terbit di bibirnya. Aariz seakan tahu apa yang bermain di fikiran isterinya. Wajah Dahlia yang merona merah ditenungnya lembut.

“Tak payahlah nak malu, Dahlia.” Selamba sahaja Aaruz menuturkan kata-kata.

Dahlia tercengang, lantas memandang suaminya dengan kerut di dahi.

“Huh?”

Aariz tergelak kecil.

“Awak tak boleh solat, kan? Tak payahlah nak malu-malu dengan saya. Saya ni suami awak, tahu tak?” usik Aariz lagi.

Dahlia menjegilkan mata. Mukanya panas. Automatik sahaja tangannya diangkat dan kemudian menyentuh kedua pipinya, seakan mahu menutup pipinya yang dirasakan sudah kemerahan.

“Aariz ni tak reti nak cover ke? Main lepas je mulut dia.” Dahlia mengomel perlahan. Namun cukup kuat untuk didengari Aariz.

“Nak cover apanya? Awak kan isteri saya…” Tiba-tiba Aariz menyambung. Dia merapati Dahlia dan berbisik.

“Walaupun bukan dalam erti kata yang sebenarnya.”

Dahlia terkebil-kebil dan tercengang. Pantas sahaja dia mengangkat tangan kanan. Niat di hati mahu menampar lengan suaminya. Tamparan manja yang biasa dia hadiahkan pada lelaki itu pabila Aariz sudah terlalu galak menyakatnya.

“No, no…jangan! Saya ada wudhuk ni. Nanti batal.” Aariz sudah terjerit kecil melihat gerak laku isterinya. Wajahnya mempamerkan senyuman nakal yang membuatkan Dahlia berasa geram. Suaminya itu memang terlalu gemar mengusiknya begitu.

Dahlia menjatuhkan tangan dan memandang Aariz sekilas. Sengaja dia menjeling ke arah suaminya itu.

“Jangan jeling-jeling menggoda macam tu, Lia. Nanti ada yang….” ucap Aariz sambil mengangkat keningnya sedikit.

“Nanti apa? Saya tak boleh solat ni. Awak tak boleh buat apa-apa pun pada saya.” Dahlia menyampuk dengan sedikit berani. Selamba sahaja dia bertutur sedemikian walaupun wajahnya terserlah malu dengan kata-kata sendiri.

Aariz tertawa. Isterinya itu memang seorang yang menarik hatinya.

“Ada yang boleh, kan?” balas Aariz pula dalam ketawanya yang bersisa.

Dahlia terkebil-kebil.

“A….apa maksud awak?” Suara Dahlia sudah tersekat-sekat, menggambarkan rasa menggelabahnya.

Dalam hati Dahlia mengutuk diri sendiri. Macam manalah dia boleh terlepas cakap tadi? Sekarang mesti ada sesuatu yang dirancang suaminya yang nakal itu.

Aaris menyeringai. Tidak langsung menjawab soalan Dahlia tadi. Niat di hati memang sengaja mahu membiarkan Dahlia menggelabah begitu. Dia berpaling mahu menunaikan solat, namun sempat pula dia mengenyit mata pada isterinya.

Dahlia yang melihat mencebik.

Aariz tertawa lagi.
*****
TANGAN Dahlia ligat sahaja memasukkan lauk-pauk yang sempat dimasaknya tadi ke dalam pinggan. Menu malam itu ringkas sahaja memandangkan dia sampai ke rumah agak lewat tadi. Lebih kurang pada pukul 6.15 petang. Dahlia bersyukur Aariz seorang yang tidak cerewat dalam pemakanannya. Sejak tinggal bersama, tidak pernah sekali pun lelaki itu mengkritik atau mengutuk masakannya. Mengingatkan itu, Dahlia tersenyum sendiri.

Nasi disenduk ke dalam dua pinggan berasingan. Satu untuk Aariz dan satu lagi untuk dirinya sendiri. Setelah berpuas hati dengan susun atur di atas meja makan, Dahlia berpaling ke peti ais. Dikeluarkan beberapa biji epal.

Sedang dia leka menyusun epal yang dipotongnya tadi ke dalam pinggan, tiba-tiba Dahlia dapat merasakan pinggangnya dipeluk dari belakang. Automatik sahaja tubuhnya kaku. Dia dapat merasakan desah nafas Aariz di hujung telinganya.

“Nak tahu apa yang boleh?” Suara Aariz kedengaran seperti berbisik di telinga Dahlia. Lembut dan menggoda.

Dahlia membatu. Pertanyaan suaminya tidak dijawab, dibiarkan sahaja ia berlalu pergi bersama nafasnya yang semakin tidak menentu. Nafas yang lahir dari jantungnya yang berdegup kencang.

Sejujurnya Dahlia langsung tidak tahu apa yang patut dibuat. Tidak pernah sekalipun Aariz serapat itu dengannya sebelum ini. Tidak pernah sekalipun suaminya itu memeluk Dahlia begitu. Itulah kali pertama. Dan kali pertama itu seakan mampu membuatkan jantung Dahlia terbang tinggi meninggalkan tuan empunya badan.
Aariz tersenyum. Tubuh isterinya yang kaku dirangkul lebih erat. Dia tahu Dahlia kaget. Apa tidaknya? Itulah kali pertama dia bertindak sedemikian. Aariz sendiri tidak mengerti kenapa timbul rasa di hatinya untuk memeluk isterinya begitu.

Pada saat dia melihat Dahlia di dapur membelakanginya dan kelihatan khusyuk membelek epal, Dahlia kelihatan cantik di matanya. Dahlia seakan mempamerkan imej seorang isteri mithali lantas menghadirkan perasaan hangat dalam hati Aariz. Kerana itulah tanpa disangka-sangka laju sahaja dia menapak ke belakang Dahlia dan kemudian melingkarkan kedua tangannya ke pinggang isterinya itu.

“Ini.” Aariz menjawab sendiri soalan yang diajukan kepada isterinya tadi.

Perlahan dia menarik Dahlia agar berpaling menghadapnya. Pelukannya tidak pula dilepaskan. Aariz menunduk dan mengucup dahi Dahlia. Kemudian kucupan itu hinggap pula di kedua pipi isterinya itu. Penuh kelembutan. Dahlia tidak menghalang atau marah. Sebaliknya isterinya itu hanya mendiamkan diri dan terkebil-kebil memandang wajahnya .

Aariz merenung wajah isterinya yang kelihatan bingung. Mungkin terlalu kaget dengan tindakannya itu. Aariz tersenyum sendiri.

“Yang ini, tunggu dulu,” ujar Aariz sambil jari telunjuknya dilekapkan pada bibir mungil Dahlia.

Aariz melepaskan pelukan dan mengucup dahi Dahlia sekali lagi. Dia kemudiannya mengambil pinggan yang mengandungi epal tadi dan membawanya ke meja makan. Dahlia yang masih lagi kaku ditinggalkan di dapur.
Dahlia mengelipkan matanya berkali-kali.

“A..apa dah jadi tadi?” Akhirnya terkeluar juga suara dari mulutnya.

Share this:

ABOUT THE AUTHOR

Hello We are OddThemes, Our name came from the fact that we are UNIQUE. We specialize in designing premium looking fully customizable highly responsive blogger templates. We at OddThemes do carry a philosophy that: Nothing Is Impossible

6 comments: