Jodoh itu Milik Kita - Bab 7


BAB 7

AARIZ meletakkan briefcase dan sebuah beg kertas di atas meja. Matanya melilau melihat keadaan biliknya yang agak tidak tersusun. Kotak-kotak dengan tanda FedEx teratur di sudut kanan bilik. Kotak itu mengandungi barang-barang peribadi dan beberapa dokumen penting yang dipos dari pejabatnya di Melbourne.

Dia mengeluh perlahan. Nampaknya hari pertama dia bekerja di Malaysia harus dihabiskan dengan mengemas dan menyusun barang-barangnya.

“Finally!! The best engineer in town is back!!” Tiba-tiba suara yang agak kuat memecahkan kesunyian dan ketenangan bilik itu.

Aariz tersenyum sebelum menoleh. Kelihatan seorang lelaki dengan senyuman yang lebar di depan pintu biliknya.

“Yo!” Pendek jawapan Aariz sambil mengangkat tangan kanan.

“Itu je? Susah-susah aku datang bilik kau ni bertegur sapa dengan kau, kau jawab yo je??” tempelak lelaki itu seraya melangkah masuk dan duduk di atas kerusi tanpa dijemput.

Meledak ketawa Aariz.

“Habis tu, nak aku peluk cium kau??” balas Aariz, bergurau.

Lelaki itu membeliakkan mata dan kemudian menunjukkan muka geli atas kata-kata Aariz tadi.

“Ewwww, kau ingat aku ni apa? G.A.Y??” jawabnya sambil menekankan huruf G, A dan Y lambat-lambat.

Aariz tertawa lagi. Sahabatnya, Joshua memang seperti itu. Seorang yang kelakar, selamba dan sentiasa riang.

“So, how’s your life? Seronok cuti? Sebulan lebih vacation. Jealous betul aku. Bos kita tu bagi kau rehat sampai sebulan lebih,” ujar Joshua setelah ketawa Aariz reda. Dia memandang sahabat di depannya yang sedang menyusun beberapa fail ke dalam laci.

Aariz terdiam. Bercuti? Bercutikah dia? Ya, pada mulanya, itulah rancangan asalnya. Dia mahu bercuti selama enam minggu sebelum dia memulakan kerja di Malaysia setelah dipindahkan dari Melbourne. Dia mahu menggunakan cuti itu untuk menghabiskan masa bersama keluarganya selepas lama tidak berjumpa, menjaga umi yang sakit, juga untuk membantu umi dan abah menguruskan perkahwinan Syafiq.

Teringat pula dia pada sikap endah tidak endah Syafiq terhadap perkahwinan sendiri. Bila difikirkan, mungkinkah Syafiq telah merancang lebih awal untuk meninggalkan Dahlia?

‘Tak mungkin Syafiq sekejam itu. Tak mungkin…’ Suara hati Aariz menolak kemungkinan yang satu itu. Dia percaya pasti ada sebab yang munasabah atas tindakan gila Syafiq itu.

“Hoi, aku cakap dengan kau ni!” Tiba-tiba Aariz disergah Joshua. Seketika kemudian sebuah fail nipis hinggap di kepalanya.

Aariz menggosok kepalanya lantas kembali memandang Joshua yang tersengih.

“Kau ni panggil aku elok-elok tak boleh ke? Suka hati je nak baling fail kat aku,” bebel Aariz pada Joshua sambil tangannya masih lagi menggosok kepala beberapa kali.

“Sorry, man. Dah kau tu buat…apa orang Melayu cakap? De..” ujar Joshua. Wajahnya dikerutkan seakan mahu mengingati sesuatu.

“Buat dek.” Aariz menyambung kata-kata Joshua.

“Yes! That’s right. Buat dek!” Joshua menempelak Aariz.

“Okey, okey. My fault,” jawab Aariz seraya mengangkat kedua tangan ke udara seakan mengaku kalah.
Joshua yang melihat tersenyum tanda berpuas hati.

“So, how’s life? Lama tak dengar berita. Dah balik sini, bukannya nak contact aku. Apa punya kawanlah macam ni.” Laju sahaja mulut Joshua menuturkan kata. Wajah tidak berpuas hati dipamerkan.

Aariz tersenyum dan sedikit menjeling ke arah Joshua yang masih terkumat-kamit. Mengomel tentang dia yang tidak menghubungi sahabatnya itu setelah tiba dari Melbourne mungkin. Aariz bukan sengaja tidak menghubungi Joshua, tetapi kekangan masa dan apa yang telah terjadi membuatkan dia seperti tidak sempat untuk berbuat demikian.

“Kenapa? Anything you wanna tell me?” soal Aariz pada Joshua.

“Jangan cakap kau beriya nak jumpa aku sebab kau rindukan aku kot,” sambung Aariz lagi sambil mengangkat kening.

Terlopong mulut Joshua mendengar gurauan Aariz.

“Gila! Kau ingat aku apa, wei?” marah Joshua pada Aariz yang sudah pun tergelak-gelak.

“I’m going to tell you about….”

“Babe? Which one pula ni?” Aariz terus sahaja memotong kata-kata Joshua. Dia sudah faham benar dengan perangai Joshua yang agak player.

“The way you said it macamlah aku ni jahat sangat, kasanova yang menghancurkan hati wanita-wanita kat luar sana tu.” Joshua menjawab. Sedikit nada merajuk kedengaran dalam suaranya.

Sekali lagi Aariz tergelak. Jawapan Joshua memang membuatkannya rasa geli hati. Tambahan pula bahasa dan ayat yang digunakan Joshua dikira agak dramatik. Walaupun Joshua berbangsa Serani, dia seorang yang fasih berbahasa Melayu dan gemar menggunakan ayat-ayat sedemikian rupa. Dan sering juga berasa bangga dengan keputusan A1 yang diperolehnya bagi subjek Bahasa Melayu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Tak adalah. Kau kan suka ramai sangat perempuan. Tapi yang peliknya, still has no girlfriend,” usik Aariz lagi sambil tersenyum lebar.

Joshua tidak menjawab sebaliknya hanya merenung Aariz yang masih menguntum senyum. Dia berasa sedikit pelik melihat wajah Aariz yang tidak habis-habis tersenyum dan ketawa sejak dia masuk ke dalam bilik lelaki itu tadi. Aariz yang dikenalinya tidak seperti itu. Aariz, sahabatnya seorang yang jarang ketawa riang begitu. Di mata Joshua, Aariz kelihatan....bahagia.

Perlahan Joshua memeluk tubuh dan merenung Aariz yang memandangnya dengan pandangan pelik.

“Okay, I’m not going to tell you anything. You…tell me,” ujar Joshua akhirnya, sedikit mengarah.

Aariz mengerutkan dahi.

“Tell you what?” soal Aariz dengan wajah kebingungan.

“You looked happy. Jangan cakap tak ada apa-apa jadi. Last time I went to see you in Melbourne, kau tak macam ni. Kau macam Aariz Danial yang memang aku kenal, yang susah sangat nak ketawa. Sampaikan aku kena buat lawak bodoh, barulah kau nak gelak,” terang Joshua panjang lebar.

Aariz terdiam. Sudah terlalu berbezakah dia sehingga sahabat baiknya boleh membuat konklusi sebegitu? Namun bila difikirkan balik, mungkin kata-kata Joshua ada benarnya. Aariz juga perasan sejak kebelakangan ini, dia lebih mudah tersenyum dan lebih mudah ketawa. Sejak Dahlia hadir dalam hidupnya.

“Dah nak pukul 9 ni. I think you better go to your room. Lepas ni aku nak pergi jumpa bos,” jawab Aariz akhirnya, tidak menjawab pertanyaan Joshua tadi. Sebaliknya jawapan yang diberi seperti mahu menghalau lelaki itu keluar dari biliknya.

Joshua mencebik dan menjeling ke arah jam yang tergantung di dinding. Matanya kemudian dialihkan ke arah Aariz yang berpura-bura tidak memandangnya. Nampak sangat ada sesuatu yang pelik pada Aariz. Dalam hati, dia berazam untuk mengorek rahsia itu.

“Okay, fine. I do have to go. Tapi, lunch time nanti, kau takkan terselamat. I’m going to find out whatever happened to you,” ujar Joshua penuh keazaman. Jari telunjuknya ditujukan ke wajah Aariz, menunjukkan keazamannya yang jitu untuk mengetahui apa yang telah terjadi pada sahabatnya.

Aariz hanya mengangkat kening. Tercuit rasa geli hati dalam dirinya dengan perangai penyibuk Joshua. Namun kerana perangai itulah, Aariz mula berkawan dengannya. Dan Joshua akhirnya menjadi satu-satunya sahabat baik yang dimilikinya.

Mata Aariz memandang Joshua yang melangkah keluar dari bilik. Kemudian matanya tertancap pula pada beg kertas di atas meja. Beg itu diserahkan oleh Dahlia kepadanya pagi tadi, sebelum dia keluar ke pejabat.

“Untuk awak, sempena hari pertama awak kerja kat Malaysia.”

Itulah jawapan yang diberi Dahlia sewaktu dia menyoalnya tentang beg kertas itu. Aariz membukanya perlahan dan mengeluarkan sebuah kotak. Dibukanya kotak itu dengan penuh hati-hati. Terserlah di dalamnya sebiji mug dengan corak biji-biji kopi berwarna coklat. Aariz mengeluarkan mug tersebut dan menelitinya. Perlahan bibirnya membentuk senyuman. Tangannya mengambil sekeping kad kecil yang elok tertampal pada mug itu.

Untuk Aariz yang masuk kerja hari ni,
Kalau rasa mengantuk masa buat kerja, bolehlah awak minum coffee guna mug ni. Tapi, jangan minum coffee banyak sangat, tau. Tak elok!
Daripada Dahlia yang juga kena masuk kerja hari ni (malasnya!!)

Aariz tertawa kecil membaca nota ringkas isterinya yang agak keanak-anakan.

“How can someone 26 years old boleh jadi comel macam awak, Dahlia?” ujar Aariz perlahan sambil tangannya menyimpan kad kecil itu ke dalam laci meja.

Aariz membelek kembali mug di tangan kanannya. Perlahan, senyuman menjelma di wajahnya.
*****
“WOW!! Pengantin baru dah balik!!” jerit Kak Nora, seorang senior di tempat kerja Dahlia. Beberapa pekerja yang lain bertepuk tangan, seolah-olah menyambut kedatangan VVIP.

Dahlia hanya tersenyum, menahan malu. Kalaulah mereka tahu cerita di sebalik perkahwinannya, Dahlia tertanya-tanya adakah dia akan disambut sebegitu rupa. Dahlia sedikit bersyukur tidak ada mana-mana rakan-rakan sepejabat yang pernah menemui Syafiq sepanjang pertunangannya dengan lelaki itu. Jadi mereka semua menyangka Aariz adalah lelaki sama yang menjadi tunangannya.

“So, macam mana life lepas kahwin? Okey?” tanya Kak Emma, seorang lagi senior yang mula bekerja di situ dua bulan sebelum Dahlia.

“Okey, macam tulah,” jawab Dahlia, sekadar berbasi-basi .

Dahlia memandang sekeliling. Wajah-wajah rakan sekerjanya yang tersengih dan tersenyum penuh makna dipandang seorang demi seorang. Dia tahu apa yang mereka fikirkan. Sedikit demi sedikit perasaan malu yang memang sedia ada sejak masuk tadi bertambah, membuatkan wajah Dahlia makin merah.

“Dahlah. Jangan tengok saya lagi. Kerja! Kerja!” ujar Dahlia, sedikit menjerit. Tangannya digerak-gerakkan seakan-akan menghalau mereka semua.

“Lia malu?” usik Arman, seorang rakan sekerja lelaki yang bekerja di bahagian IT. Yang lain makin galak ketawa.

Dahlia tidak menjawab, hanya mencebik dan menjeling pada Arman.

“Yalah, yalah. Kitorang tak kacau Lia lagi. Anyway, selamat pengantin baru,” ucap Arman. Wajahnya ikhlas. Rakan sekerja yang lain turut mengangguk dan memberikan ucapan yang sama pada Dahlia.

“Thanks,” jawab Dahlia pendek.

Dalam hati, Dahlia mengeluh. Tiada siapa di antara mereka tahu apa yang telah dihadapinya. Mungkin juga tiada siapa yang mampu terfikir perkara seperti itu akan terjadi. Dalam dunia ini, kebarangkalian untuk ditinggalkan pada hari perkahwinan sendiri mungkin hanya satu dalam sepuluh ribu. Dan kebarangkalian untuk orang yang sama kemudiannya mengahwini abang kepada pengantin lelaki adalah satu dalam seratus ribu orang. Takdir Dahlia mengatakan dia menjadi yang satu itu.

Mengingatkan hakikat itu, Dahlia tersenyum pahit. Takdir dia memang takdir yang istimewa, dan dia menjadi orang yang terpilih untuk menghadapinya. Dahlia menarik nafas panjang, cuba mencari kekuatan untuk menghadapi hari ini dan juga hari-hari yang akan mendatang.

‘Ya Allah, berikanlah aku kekuatan,’ doa Dahlia dalam hati.

Perlahan Dahlia melangkah dengan penuh keyakinan ke tempat duduknya. Beg tangannya diletakkan di atas meja sebelum dia menghidupkan komputer. Hari ini Dahlia mahu memulakan kerjanya dengan penuh bersemangat seperti waktu dulu, sebelum hari perkahwinan yang telah mengubah hidupnya.

Sedang Dahlia membelek fail-fail yang tersusun elok di atas meja, telefonnya berbunyi. Tanda satu SMS telah masuk.

-Thanks for the mug. Petang nanti bila saya mengantuk, saya guna. Dan bila saya guna, saya akan ingat kat awak-

Dahlia tersenyum tatkala membaca SMS dari suaminya. Teringat pula pada wajah terpinga-pinga Aariz waktu dia menyerahkan beg kertas mengandungi mug itu kepadanya.

“Ini apa?”

Itulah yang disoal Aariz dengan wajah terkebil-kebil. Mungkin tidak menyangka Dahlia akan memberinya hadiah.

“Untuk awak, sempena hari pertama awak kerja kat Malaysia.”

Ternyata jawapan tulus Dahlia membuahkan senyuman lebar di wajah Aariz. Juga membuatkan Aariz mengucup ubun-ubunnya dengan lembut sebelum mereka sama-sama keluar untuk ke tempat kerja masing-masing.

Perlahan Dahlia mengangkat tangan menyentuh ubun-ubunnya. Masih terasa kucupan hangat Aariz yang melekat di situ pagi tadi. Wajah Dahlia tiba-tiba terasa panas. Jantungnya mula berdegup kencang. Buat beberapa ketika Dahlia merasakan seperti tidak dapat bernafas. Dia memejamkan mata, mahu menenangkan hatinya. Namun sebaik sahaja Dahlia memejamkan mata, wajah Aariz pula yang muncul di hadapannya. Dahlia cepat-cepat membuka mata.

“Dahlia Darius, apa dah jadi dengan awak ni? Bukannya dia tak pernah cium dahi awak pun.” Dahlia mula membebel pada dirinya sendiri. Sedikit menempelak.

Aariz sering mengucup dahinya selepas selesai solat berjemaah bersama-sama. Itupun jika Aariz tidak solat berjemaah di surau berdekatan. Sepanjang tinggal bersama, Dahlia perasan Aariz akan sentiasa solat berjemaah di surau. Hanya kadang-kala sahaja lelaki itu solat di rumah, bila tidak sempat keluar atau sudah terlambat. Jika di rumah pula, dia pasti akan solat berjemaah dengan Dahlia. Bila mengingatkan itu, perasaan insaf sedikit menjelma masuk ke dalam dirinya membuatkan Dahlia ingin menjadi umat Islam yang lebih baik dari sekarang.

Dahlia membaca mesej yang baru diterima daripada Aariz sekali lagi sebelum mula membalas mesej tersebut.

-Bila guna mug je akan ingat saya? Masa tak guna, tak ingat? Jahat, tau!-

Jari Dahlia hampir-hampir sahaja menekan punat ‘send’ sebelum tiba-tiba diamenghentikan niat. Dahlia mengetap bibir.

“Macam budak sekolah tengah bercinta je ayat ni. Ingat saya? Tak ingat saya?” Dahlia bercakap sendiri. Mujur sahaja dia bercakap perlahan, jika tidak mungkin ada yang fikir dia telah gila.

Jari-jemari Dahlia memadamkan mesej tadi dan mula menaip mesej baru.

-You’re welcome. Glad you like it. Jumpa kat rumah nanti.-

Dahlia membaca mesej baru beberapa kali. Akhirnya dia menganggukkan kepala tanda berpuas hati dan punat ‘send’ ditekan.

“Okey. Time to work,” ucap Dahlia pada diri sendiri. Telefon bimbitnya disimpan kembali ke dalam beg tangan.

Dahlia tersenyum sendiri.
*****
AARIZ menghirup Neslo di dalam gelasnya lambat-lambat. Sengaja mahu mempermainkan Joshua di hadapannya. Lelaki itu memang tidak habis-habis mahu mencari rahsia di sebalik sikapnya yang kononnya sudah berubah.

Joshua menggigit bibir. Geram dengan sikap selamba Aariz yang memang jelas sengaja melambatkan proses meminum Neslo yang dipesannya bersama nasi ayam tadi.

“How long are going to drink that? Perempuan minum pun lagi laju daripada kau, tahu!” Joshua menghamburkan kata-kata tidak puas hatinya.

Aariz tersengih dengan straw yang masih melekat di bibirnya. Seketika kemudian dia melepaskan straw itu dan membetulkan duduknya. Badannya disandarkan ke kerusi.

“Okey, apa kau nak tahu?” soal Aariz akhirnya.

Joshua tersenyum, mempamerkan giginya yang putih dan tersusun.

“What happened? Aku tengok kau dah lain sekarang ni. Nampak happy semacam je.” Ahirnya Joshua memulakan sesi soal siasatnya. Tidak ubah seperti seorang inspektor polis menyoal pesalah yang baru ditangkapnya.

Aariz membatu. Sedikit berfikir sama ada dia patut memberitahu Joshua tentang apa yang telah terjadi padanya sejak sepuluh hari yang lepas. Sepuluh hari yang telah mengubah hidupnya dengan skala 360 darjah. Sepuluh hari yang telah mengubah status bujangnya kepada suami kepada seorang gadis manis bergelar Dahlia. Dalam sepuluh hari itu jugalah, dia seakan berubah menjadi seorang Aariz Danial yang baru.

Sepuluh hari itu cuma tempoh waktu yang singkat, namun sepuluh hari itu mengubah hidupnya yang selama berpuluh tahun. Dan semua itu gara-gara seorang Dahlia. Entahlah, Aariz juga tidak mengerti kuasa apakah yang ada pada Dahlia hingga mengubahnya sebegitu rupa.

Aariz melepaskan nafas berat. Wajah Joshua yang masih merenungnya dengan minat dipandang sekilas.

“I think you better take a deep breath and listen well. Veeeeery well,” jawab Aariz perlahan dan penuh suspens.

Joshua mengerutkan dahi.

“Wo, wo!! Wait. Kenapa macam suspens sangat ni? What have you done, Aariz?” ucap Joshua dengan wajah yang penuh syak wasangka.

Aariz tergelak kecil.

“Apa yang aku dah buat? Aku tak buat apa pun. Aku just…kahwin. Itu je.” Selamba jawapan Aariz sambil menunggu reaksi daripada sahabatnya.

Joshua mengelipkan matanya berkali-kali. Terpinga-pinga dan terkebil-kebil. Dan kemudian…

“What??????” Suara kuat Joshua seakan menggegarkan kedai makan. Beberapa pengunjung lain mula berpaling ke arahnya, namun langsung tidak dipedulikan oleh Joshua.

“Woi, janganlah jerit kuat sangat! Kau ni tak boleh ke control suara kau tu?” marah Aariz pada Joshua. Matanya melilau melihat sekeliling sambil kepalanya ditundukkan beberapa kali tanda memohon maaf.

Joshua tidak menjawab. Matanya dijegilkan sambil tangannya mengurut dada. Keadaannya tidak ubah seperti seseorang yang baru sahaja melihat hantu.

“Josh, Joshua…” Aariz memanggil Joshua beberapa kali. Dia tidak pernah menyangka macam itu sekali reaksi yang akan diberikan Joshua.

“Did you just tell me that you, Aariz Danial have got married? You? Out of all people.” Akhirnya Joshua bersuara. Serius.

Aariz mengeluh dalam hati. Dia tahu apa yang dimaksudkan Joshua. Dia juga tahu apa yang akan diperkatakan oleh Joshua sekejap lagi.

Perlahan Aariz mengangguk.

“Yes. Me, Aariz Danial. Me, out of all people,” jawab Aariz sedikit mengajuk kata-kata Joshua sebentar tadi.

Tanpa disangka-sangka ketawa Joshua meledak. Matanya yang memang sediakala sepet membentuk garis nipis, hingga tidak menampakkan sepasang mata miliknya.

“This is really something!! Something very big!! Benda yang paling impossible dah jadi reality. This caused for a celebration!!” Riang suara Joshua. Namun matanya penuh dengan makna nakal dan sedikit memerli.

Aariz mengetap bibir sambil memeluk tubuh. Sudah faham benar dengan perangai Joshua yang pasti akan ‘menyerang’ dia selepas ini. Dalam hati, timbul juga rasa menyesal kerana mengkhabarkan berita itu pada Joshua. Seketika nanti Aariz pasti dia perlu menadah telinga mendengar segala kata-kata perli dan mengata yang bakal meluncur keluar dari mulut Joshua tanpa ditahan-tahan.

“So, man...what happened to your sumpah hidup?” Joshua menyoal setelah melihat Aariz tidak memberikan sebarang reaksi atas komennya sebentar tadi.

Mata Aariz dicerlung ke arah Joshua tanda tidak suka akan pertanyaan itu. Dia sudah mengagak itu juga yang akan disoal Joshua. Tentang sumpah hidupnya yang tidak akan sekali-kali berkahwin.

Joshua hanya menyeringai, langsung tidak mempedulikan amaran tidak rasmi Aariz yang berupa renungan tajam. Cukup tajam hingga mampu membuatkan sesiapa yang melihatnya menggeletar. Namun tidak bagi Joshua. Dia sudah terlalu kenal Aariz Danial. Lelaki itu memang punya renungan yang menakutkan, tapi hati yang dimilikinya terlalu tulus.

Joshua melebarkan senyuman nakalnya. Lagi Aariz tidak suka, lagi dia mahu mengenakan sahabatnya itu.

“Bukan ke kau pernah cakap, Aariz Danial would never get married. Not in this lifetime!” perli Joshua tajam.

Teringat Joshua pada kata-kata Aariz yang sering diucapkan lelaki itu setiap kali soal wanita ditimbulkan. Kata Aariz, tidak akan ada wanita dalam hidupnya selain ibunya. Tidak akan ada wanita yang bergelar kekasih, tunangan atau pun isteri. Sesungguhnya, memang itu yang dipraktikkan Aariz sepanjang perkenalannya dengan lelaki itu. Tidak kira berapa ramai wanita sekalipun yang telah menyukainya, meminatinya atau sanggup berbuat apa sahaja untuknya, Aariz tetap berpegang teguh dengan kata-katanya. Kata-kata yang dianggap sumpah hidupnya.

Kadang-kala Joshua juga hairan dengan sikap dingin Aariz itu. Pernah juga dia menyoal kalau-kalau Aariz tidak mempunyai perasaan pada wanita, dan mungkin meminati jantina yang sama. Persoalan itu dijawab Aariz dengan ketawa yang kuat dan jawapan yang membuatkan Joshua termalu sendiri.

“Kalau aku ni minat dengan lelaki, kaulah orang pertama yang aku terkam.”

Joshua tersenyum mengingatkan jawapan selamba Aariz.

“So, macam mana dengan sumpah kau tu?” Joshua menyoal sekali lagi. Tetap mahu mendapatkan jawapan yang pasti daripada Aariz walaupun Aariz dengan jelas menunjukkan rasa tidak senang dengan soalan itu.

Aariz mendengus kasar. Sahabatnya itu memang tidak mahu berputus asa, masih mahu mengorek rahsia.

“Dimansuhkan.” Hanya jawapan pendek yang diberikan Aariz.

Joshua tergelak.

“Dimansuhkan ke kau ni dah dimakan sumpah. Itulah, aku dah cakap. Jangan nak berlagak sangat cakap kau takkan suka mana-mana perempuanlah, takkan kahwinlah. Now, tengok…” perli Joshua tajam.

Aariz menarik nafas dalam-dalam. Kata-kata perli Joshua seakan menikam masuk ke dalam dirinya. Ya, dia akui. Memang itulah sumpah hidupnya. Tidak akan sesekali membiarkan seorang wanita hadir dalam hidupnya, apatah lagi untuk wanita itu menjadi isterinya. Dia tidak perlukan seorang isteri. Seorang wanita yang akan mengikat dia dalam satu ikatan suci bergelar perkahwinan. Suatu ikatan yang direstui Allah dan akan dilaknat-Nya jika berakhir dengan jalan yang tidak elok.

“Kau tak faham. Aku tak plan semua ni…” Lemah suara Aariz.

Berkerut dahi Joshua. Tanda tidak mengerti.

“Tak plan? You mean? Takkanlah kau….kau kena tangkap…” Joshua mula membuat andaian. Dia pernah mendengar cerita orang Melayu berkahwin kerana ditangkap berdua-duaan antara lelaki dan perempuan bukan….bukan apa dia juga tidak pasti. Namun yang pasti, bila kejadian itu berlaku orang yang ditangkap itu akan dikahwinkan.

“Gila! Kau ingat aku kahwin sebab kena tangkap basah ke?” Aariz menyergah Joshua yang memandai-mandai sahaja membuat andaian yang bukan-bukan.

Joshua tersengih.

“Well, who knows. Yalah, tak ada angin, tak ada ribut tiba-tiba je kau kahwin. Tak invite aku pula tu. It’s not my fault if I think so, right?” terang Joshua panjang lebar.

Aariz terdiam. Dia mengakui kebenaran kata-kata Joshua itu. Kalau dia di tempat lelaki itu, dia juga mungkin akan berfikir yang sama.

“Panjang ceritanya,” ujar Aariz lambat-lambat.

“Then make it short. And precise.” Joshua menyampuk pantas. Keningnya diangkat sedikit.

Aariz membuka mulutnya sedikit, ingin bercerita. Namun Aariz tiba-tiba teringat pada Dahlia yang langsung tidak menceritakan apa-apa pada sahabatnya, Redza demi menghormati dirinya. Aariz terbayangkan wajah tulus Dahlia yang bimbang kalau-kalau dia tidak selesa jika Dahlia membuka mulut menceritakan rahsia di sebalik perkahwinan mereka.

Perasaan hangat mula menjelma masuk ke dalam hati Aariz. Perangai dan sifat Dahlia yang seolah-olah meletakkan dirinya pada tangga yang tinggi benar-benar menyenangkan hatinya. Kini, Aariz merasakan dia juga perlu membuat perkara yang sama demi Dahlia. Lebih-lebih lagi apa yang berlaku lebih penting buat Dahlia kerana kejadian itu melibatkan maruahnya. Jadi, dia sebagai suami Dahlia bertanggungjawab untuk menjaga maruah itu sepertimana dia menjaga maruahnya sendiri.

“No, sorry. Aku tak boleh nak cerita lebih-lebih.” Akhirnya Aariz menjawab, penuh dengan ketegasan.

“Why?” Joshua menyoal. Dia berasa pelik dengan sikap Aariz. Baru sekejap tadi Aariz seperti bersedia untuk bercerita dengannya. Namun sebentar kemudian, lelaki itu mematikan niatnya.

“My wife. I have to respect her.”

Joshua mengerutkan dahi. Wajahnya mempamerkan rasa tidak mengerti yang cukup jelas kelihatan.

“Cuma satu saja yang aku boleh bagitahu kau…” Aariz terdiam sebelum dia menyambung kembali kata-katanya.

“Semua yang terjadi telah cukup melukakan dia. My wife, Dahlia….dia seorang yang cukup kuat. Dia hadapi semuanya dengan cukup tabah, tapi….she’s a woman, Josh. As fragile as flowers.”

Jawapan yang diberikan Aariz cukup ringkas, tetapi jawapan itu menggambarkan betapa dia mengambil berat terhadap Dahlia. Masih cukup jelas di matanya wajah sedih, marah, takut dan terluka Dahlia pada hari perkahwinan mereka. Walaupun Dahlia kini tenang sahaja menghadapi hari-hari yang mendatang bersamanya, Aariz kurang jelas sama ada Dahlia benar-benar sudah sembuh daripada rasa terluka itu.

Joshua hanya memandang Aariz yang seperti hilang dalam dunianya sendiri. Walaupun hatinya membentak ingin tahu perkara sebenar yang telah terjadi kepada sahabatnya itu, Joshua sedar tiada gunanya dia cuba memaksa kerana sekali Aariz mengatakan ‘tidak’, tiada apa pun yang akan dapat mengubah ‘tidak’ itu kepada ‘ya’.

‘Dahlia…’ Hati Joshua berbisik.

Nama isteri Aariz yang baru sahaja disebut lelaki itu seakan menarik minatnya. Dahlia, nama yang cukup ringkas. Nama sejenis bunga. Nama yang jarang sekali digunakan pada masa kini di mana semua orang seperti berlumba-lumba mahu memberikan nama yang panjang dan aneh kepada anak masing-masing.

Terdetik di hati Joshua untuk mengenali isteri sahabat baiknya itu. Dia tertanya-tanya apakah yang cukup istimewa tentang wanita itu sehinggakan Aariz yang selama ini bersumpah tidak akan sekali-kali berkahwin boleh pula menikahinya? Apakah yang ada padanya yang telah mengubah Aariz Danial yang cukup dikenali dengan sifat dingin kepada Aariz Danial yang mudah sahaja tersenyum dan ketawa?

Share this:

ABOUT THE AUTHOR

Hello We are OddThemes, Our name came from the fact that we are UNIQUE. We specialize in designing premium looking fully customizable highly responsive blogger templates. We at OddThemes do carry a philosophy that: Nothing Is Impossible

1 comments: