Jodoh itu Milik Kita - Bab 5


BAB 5

“WELCOME!!!”

“Welcome to our house. Inilah rumah kita, Lia.” Riang suara Aariz sambil membuka pintu kondominium miliknya. Tangannya menarik Dahlia masuk.

Dahlia hanya mendiamkan diri sambil matanya tidak lepas memandang Aariz yang membelakanginya. Rumah kita! Aariz mengatakan bahawa rumah itu adalah rumahnya dan rumah Dahlia.

‘Rumah kita. Kita…..’ Suara hati Dahlia mula berkata-kata.

Perasaan hangat sedikit demi sedikit manjalar masuk ke dalam hati Dahlia. Entah kenapa dia senang bila Aariz mengatakan bahawa rumah itu adalah rumah mereka berdua. Seolah-olah rumah itu adalah suatu tempat rahsia yang istimewa hanya untuk mereka. Suatu tempat, suatu dunia milik mereka.

Dahlia menguntum senyuman sambil kakinya hanya mengikut gerak langkah suaminya. Matanya pula tetap seperti tadi, hanya memandang belakang Aariz yang lebar dan kelihatan gagah.

“So, how? What do you think?” tanya Aariz setelah mereka melabuhkan punggung di atas sofa.

Dahlia tidak menjawab. Hanya matanya yang meliar memandang sekeliling. Ruang tamu itu kelihatan kemas dan teratur. Tiada langsung anasir-anasir luar berupa sampah yang terdampar di mana-mana bahagian di ruang tamu itu. Perabot-perabot pula tersusun kemas tanpa sebarang debu, dan kelihatan…baru?

“Saya bau perabot baru,” komen Dahlia dengan wajah yang serius.

Aariz tergelak kecil. Dipandangnya wajah Dahlia yang sedari tadi langsung tidak memandangnya. Mata Dahlia masih lagi meneliti rumahnya dengan penuh minat.

“Mestilah. Saya baru beli,” balas Aariz lantas bangun dan berdiri di tengah-tengah ruang tamu itu.

Dahlia mula mengalihkan mata ke arah suaminya. Keningnya diangkat tanda menyoal maksud lelaki itu.

“New house, new sofa, new table, new fridge, new TV…new everything!!!” jerit Aariz seraya mengangkat kedua tangannya seolah-olah bersorak.

“Seriously???” soal Dahlia kembali, agak sukar untuk mempercayai kata-kata yang baru sahaja meluncur keluar dari mulut Aariz.

Aariz memeluk tubuh, merenung Dahlia yang masih mempamerkan wajah yang dibaluti ketidakpercayaannya terhadap kenyataan yang baru sahaja diuar-uarkan oleh Aariz.

“I just came back from Melbourne, remember?” Aariz mengingatkan isterinya sambil tertanya-tanya sendiri adakah Dahlia sudah terlupa bahawa dia baru sahaja kembali dari Melbourne sebulan yang lepas setelah bekerja di sana selama hampir enam tahun? Atau sememangnya dia sendiri tidak pernah bercerita kepada Dahlia?

Dahlia mengerutkan dahi dan menggaru kepalanya.

“I thought you just came back from US, not…Melbourne?”

Aariz menghela nafas panjang. Soalan yang bermain di fikirannya tadi terjawab sendiri. Rupa-rupanya dia sendiri tidak pernah bercerita kepada Dahlia tentang kerja dan kepulangannya ke Malaysia dari Melbourne. Segala pengetahuan Dahlia tentangnya masih kabur dan masih samar-samar. Sama seperti dia yang belum benar-benar mengenali isteri sendiri.

“Saya belajar kat US. Tapi bila habis belajar, saya pindah ke Melbourne. Kerja kat sana for almost six years before balik sini bulan lepas,” terang Aariz, mahu membetulkan kenyataan Dahlia.

“Oh.” Hanya sepatah kata itu yang mampu lahir dari mulut mungil Dahlia.

Dalam hati, Dahlia berasa sedikit terkilan. Baru dia sedar betapa dia tidak mengenali suaminya itu hinggakan perkara asas seperti itu pun tidak diketahuinya. Namun Dahlia sedar hubungan dia dan Aariz bukan seperti suami isteri lain yang sudah mengenali satu sama lain sebelum berkahwin.

“Sorry, saya tak pernah beritahu awak, kan?” sambung Aariz lagi seakan mengerti rasa terkilan di hati Dahlia. Mungkin juga rasa itu jelas terpampang di wajah Dahlia.

Dahlia hanya mengjungkit bahu tanda tidak pasti.

“Okey, tak pelah. Tapi itulah, sebab saya baru balik dari sanalah…saya kena beli rumah baru, perabot baru, isteri baru……” Sempat pula Aariz menyakat Dahlia di hujung katanya.

“Beli isteri baru???” Dahlia mula memberikan reaksi atas usikan suaminya. Dia mengambil bantal kecil yang berada di sebelahnya dan membalingnya ke arah Aariz.

Aariz tertawa sambil tangannya cekap menyambut bantal yang baru sahaja dibaling Dahlia.

“Okeylah, okeylah. Just kidding. Dahlia Darius bukan isteri baru yang saya beli. She’s a gift. Hadiah paling istimewa yang dihadiahkan Allah untuk saya. Puas hati?” Lembut suara Aariz tatkala mengucapkan kata-kata itu. Sepasang matanya penuh dengan pandangan yang sangat lembut dan ikhlas.

Automatik Dahlia terkedu. Kata-kata yang lahir dari mulut lelaki bernama Aariz Danial itu seperti menyusup masuk ke dalam hatinya dan menembusi jiwanya. Jantungnya mula berdegup kencang. Terlalu kencang. Dahlia juga dapat merasakan wajahnya panas.

Aariz turut tergamam. Dia sendiri tidak faham kenapa dia boleh menuturkan kata-kata sedemikian rupa. Kata-kata itu seolah-olah lahir tanpa ditahan-tahan, tanpa diproses oleh mindanya terlebih dahulu. Laju sahaja meluncur keluar.

“Apa aku cakap ni?” Perlahan Aariz menyoal dirinya sendiri.

Aariz dan Dahlia masing-masing mendiamkan diri. Suasana tiba-tiba bertukar menjadi janggal. Dahlia tidak tahu apa yang patut dijawab. Ledahnya kelu. Pandangannya dilarikan daripada menatap wajah suaminya, lantas berpura-pura menilik pasu bunga yang terletak elok di atas side table.

Aariz turut melarikan pandangan. Tidak mampu untuk terus memandang wajah manis di hadapannya. Wajah yang jelas kemerah-merahan menahan malu. Perlahan dia meraup rambutnya ke belakang dan memicit leher beberapa kali. Dia mengetap bibir, cuba menahan rasa malu yang turut dirasainya.

‘Itulah kau, Aariz Danial. Kalau cakap tu, tak fikir dulu.’ Dalam hati, Aariz mengutuk dirinya sendiri.

Aariz mengerling sedikit ke arah Dahlia yang jelas berpura-pura menilik pasu bunga. Tercuit rasa geli hati melihat reaksi isterinya itu. Dia cuba menahan ketawa.

Perlahan Aariz menarik nafas panjang, menelan air liur dan kemudian menyoal Dahlia.

“Ermm…awak..awak nak…tengok dapur?” soal Aariz cuba untuk menghilangkan suasana janggal antara dia dan Dahlia.

Dahlia sedikit tersentak, lantas berpaling ke arah Aariz dengan mata yang terkebil-kebil.

“Huh?”

Wajah Dahlia jelas kebingungan. Sekali lagi Aariz cuba menahan ketawa.

“Dapur. Awak belum tengok dapur,” jawab Aariz ringkas.

Dahlia masih terkebil-kebil memandangnya, mungkin masih cuba menganalisa apa yang baru diucapkan oleh suaminya.

“Oh! Oh, dapur. Saya belum tengok dapur.” Dahlia akhirnya bersuara sambil tersengih malu.

Aariz tersenyum, masih cuba menahan ketawa yang bila-bila masa sahaja boleh meletus. Perangai comel isterinya benar-benar membuatkan dia terhibur. Aariz sedar setiap kali dia bersama dengan Dahlia, hatinya berbunga riang. Isterinya itu seolah-olah mempunyai kuasa untuk membuatkannya tersenyum dan ketawa, sedangkan selama ini dia jarang ketawa riang begitu.

Dahlia bangun dari duduknya dan menapak ke arah dapur. Aariz ditinggalkan di ruang tamu.

“Awak…belum pernah guna dapur, ya?” Dari dapur Dahlia menjerit, menyoal suaminya.

Kepala Aariz muncul di sebalik pintu dapur, tersengih.

“A’ah, belum sempat masak.”

Dahlia tersenyum nakal. Niat di hati mahu mengusik suami sendiri.

“Ye ke tak sempat masak? Ke tak tahu masak…”

Aariz tergelak. Dia berjalan masuk ke dapur dan mengambil tempat duduk di meja makan. Matanya tidak lepas dari memandang Dahlia yang sedang membuka kabinet dan laci. Entah apa yang dicari dan diselongkar oleh isterinya itu.

“Kalau saya tak tahu masak, awak akan masakkan untuk saya, kan?” Aariz akhirnya menjawab usikan Dahlia dengan usikan juga. Secara bergurau Aariz meminta Dahlia memasak untuknya.

Dahlia yang sedang membuka peti ais berpaling ke arah Aariz. Wajah lelaki itu ditenung dengan serius sebelum dia akhirnya menggelengkan kepala tanda tidak bersetuju.

“Saya tak mahu. Kenapa pula saya nak masak untuk awak?” Perlahan jawapan yang terbit dari mulut Dahlia. Namun cukup jelas di telinga Aariz. Jawapan itu tegas dan serius, menggambarkan betapa Dahlia tidak ingin untuk memasak walau satu hidangan buat suaminya.

Tersentak Aariz dengan reaksi yang diberikan Dahlia. Di suatu sudut hatinya, dia berasa agak tersinggung. Walaupun permintaannya dibuat secara bergurau, Aariz sejujurnya teringin untuk merasa masakan Dahlia. Dia sendiri tidak mengerti kenapa dia punya keinginan untuk dijaga dan dihargai oleh isterinya itu. Selama ini dia hidup tanpa mengharapkan perhatian sesiapa pun, tanpa kasih seorang wanita selain daripada umi dan seorang lagi wanita yang sentiasa berada dalam hatinya. Sesungguhnya dia senang hidup begitu. Namun kehadiran Dahlia dalam hidupnya mengubah segala-galanya.

Aariz melepaskan nafas dan tersenyum pahit, cuba menyembunyikan rasa tersinggung dalam hati.

“Tak apalah. Saya bergurau je tadi. Saya tak kisah pun,” jawab Aariz sambil cuba menutup perasaan sebenar.

Tak semena-mena ketawa Dahlia meletus. Aariz hanya mampu melihat tanpa memahami apa-apa. Dipandangnya wajah Dahlia yang masih ketawa galak sambil menekup mulut.

“Awak, kalau saya nak masak untuk awak pun, kalau saya bersemangat sekalipun….” Kata-kata Dahlia terhenti di sebalik sisa-sisa ketawanya.

“Saya tetap tak boleh. Nak tahu kenapa?” sambung Dahlia lagi setelah ketawanya reda.

Aariz tidak menjawab. Hanya terkulat-kulat memandang Dahlia tanpa sebarang kata.

“Tada!! Sebab inilah!” Dahlia sedikit menjerit sambil membuka pintu peti sejuk di belakangnya.

Jelas di mata Aariz ruang-ruang peti sejuk yang kosong. Hanya beberapa botol air mineral yang terletak elok di dalamnya. Aariz kemudiannya tersedar bahawa Dahlia baru sahaja memainkannya. Terbit rasa geram terhadap isterinya itu.

“Oh, awak kenakan saya ya??” soal Aariz, sedikit menjerit ke arah Dahlia yang masih tersenyum nakal.

“Kenakan awak? Mana ada! Saya memang tak nak masak untuk awak.” Dahlia menjawab selamba dengan senyuman yang masih lagi terpampang di wajahnya. Masih lagi mahu mengusik Aariz. Seronok hatinya bila dapat mengenakan lelaki itu yang selalu sahaja menyakat dia.

Aariz tidak menjawab, hanya bibirnya yang menguntum senyum. Langsung tidak menjelma rasa marah pada wanita di depannya. Yang ada cuma rasa senang dan sedikit geram atas kepandaian Dahlia mempermainkan dia tadi.

Dahlia membiarkan sahaja perlakuan Aariz yang tidak menjawab kata-katanya tadi. Dia bertindak memalingkan tubuh, kembali menghadap ke arah peti sejuk. Niat di hati ingin mengambil air. Tekaknya terasa kering. Mungkin kerana cuaca yang panas terik di luar. Penghawa dingin yang dipasang pula seperti hilang fungsinya.

“Fridge awak ni...besarnya bukan main. Saya pun boleh masuk dalam ni. Tapi satu apa pun tak ada. Macam manalah awak hidup selama sebulan ni? Takkan makan mi segera je kot. Tak elok untuk kesihatan, tau. Dalam tu, kandungan MSG dia tinggi sangat. Macam-macam penyakit boleh dapat.”

Tanpa sedar, Dahlia mula membebel. Laju sahaja dia menuturkan kata-kata, tanpa henti dan tanpa noktah. Tidak ubah seperti bullet train di Jepun. Tangannya dihulurkan masuk ke dalam peti sejuk, mengambil sebotol air mineral.

“Awak risaukan saya?” Tiba-tiba suara Aariz kedengaran dekat benar di telinga Dahlia.

Spontan Dahlia berpaling, sedikit terkejut apabila mendapati Aariz bercakap betu-betul di hujung telinganya. Entah bila lelaki itu bangun dari meja makan, dia pun tidak sedar. Dahlia mendongakkan kepala, memandang Aariz yang sedang merenungnya dengan pandangan yang lunak. Dadanya kembali berdebar seperti berdebarnya dia waktu di ruang tamu tadi.

“Terima kasih sebab risaukan saya, Dahlia,” ucap Aariz lembut sambil merapati Dahlia. Tangannya pantas mengambil botol air mineral yang dipegang Dahlia.

Dahlia tidak menjawab. Dia masih terkesima. Lidahnya seperti kelu, langsung tidak mampu untuk berkata-kata. Hanya matanya yang memerhati segala gerak-geri Aariz yang sedang menuang air ke dalam sebiji gelas. Lelaki itu kemudiannya meghulurkan gelas itu kepadanya. Dahlia tidak menyambut, sebaliknya dia hanya memerhati tanpa kata.

“Lia…Dahlia…” Aariz memanggil isterinya beberapa kali.

Aariz berasa pelik melihat perangai aneh Dahlia yang seperti gugup dan hilang dalam dunia sendiri. Lembut dia menyentuh bahu Dahlia, berniat mahu mengejutkan gadis itu.

Sentuhan Aariz menyedarkan Dahlia dan dia cepat-cepat menyambut gelas itu.

“Thanks.” Dahlia mengucapkan terima kasih dan kemudian meneguk air perlahan-lahan.

“My pleasure,” jawab Aariz pendek sambil mengambil tempat di sebelah Dahlia. Sama-sama bersandar pada kabinet dapur .

“So, apa kata kita pergi shopping petang nanti?” Tiba-tiba Aariz memberikan cadangan.

“Kita beli groceries and apa yang patut untuk rumah kita ni,” sambung Aariz lagi.

Dahlia yang mendengar hanya mengangguk. Dari hujung matanya, dia melihat wajah Aariz yang tenang memandang ke hadapan. Entah kenapa, wajah itu kelihatan bersinar-sinar di matanya.

“Oh, speaking of shopping, I’ve got something for you.” Aariz bersuara tiba-tiba. Dari nada suaranya, dia seperti baru sahaja teringatkan sesuatu. Tubuhnya dipalingkan, menghadap Dahlia sebelum dia kemudiannya mengeluarkan sesuatu dari poket seluar.

Dahlia hanya memandang dengan kerut di dahi.

“Nah.”

Hampir terbeliak mata Dahlia saat melihat sekeping kad yang dihulurkan kepadanya. Kad kredit? Platinum pula tu!

“Untuk apa ni?” Penuh rasa ragu-ragu Dahlia menyoal.

“Untuk awaklah,” jawab Aariz seraya mengambil tangan kanan Dahlia lantas meletakkan kad itu ke dalam genggaman isterinya.

“Saya tak tahu berapa banyak untuk saya bagi awak as monthly expenses. So better if I give you this, right? Kalau awak nak beli apa-apa, guna je kad ni, ” sambung Aariz lagi.

“Tapi, saya ada duit saya sendiri,” bantah Dahlia. Wajahnya mempamerkan rasa keberatan.

Dahlia sebenarnya tidak selesa menggunakan duit Aariz. Sudahlah rumah dan segala keperluan sudah disediakan lelaki itu, kini Aariz mahu memberikan duit pula. Ya, dia tahu itu memang tanggungjawab seorang suami tetapi mereka kan kahwin kerana terpaksa? Jadi perlukah Aariz menghabiskan wang ringgit untuknya?

“Itu duit awak. Belanja rumah and everything tak boleh guna duit awak. Biar saya tanggung semuanya.”

“Tapi…”

“Takde tapi-tapi. Lia, you’re my wife. Walaupun kita kahwin tiba-tiba, saya tetap kena sediakan nafkah untuk awak. Itu dah jadi tanggungjawab saya.” Aariz cepat-cepat memotong kata-kata isterinya sebelum sempat Dahlia menyudahkan kata.

Terdiam Dahlia mendengar jawapan suaminya. Hatinya mula diserbu rasa terharu. Ternyata Aariz benar-benar menitikberatkan tanggungjawabnya sebagai suami.

“Okay, then. But I prefer cash. Saya tak boleh percaya diri saya dengan kad kredit. Takut macam-macam pula yang saya beli,” balas Dahlia bersahaja. Kad kredit di tangannya diserahkan kembali kepada suaminya.

Aariz tersenyum. Berlainan benar Dahlia dengan gadis-gadis lain yang pernah dikenali. Rasanya tidak akan ada perempuan menolak kad kredit platinum selain isterinya seorang.

“So you’re a shopaholic?” Sengaja Aariz mengusik.

Tergelak Dahlia.

“Yup, so kalau awak bagi saya kad tu, awak yang akan muflis nanti,” balas Dahlia pula, juga menyakat suaminya.

“Oh, apalah nasib ini beristerikan orang yang akan buat daku muflis,” ujar Aariz pula. Tangannya diletakkan ke atas dahi dengan wajah yang dibuat-buat sedih.

Pantas Dahlia menampar lengan Aariz.

“Isy, main-main pula dia!”

Aariz menyeringai sebelum akhirnya menyoal dengan lagak serius.

“So berapa?”

Berkerut dahi Dahlia.

“Apa yang berapa?”

Tergelak kecil Aariz. Tangannya lembut mengetuk kepala Dahlia.

“Berapa awak naklah. Tadi cakap prefer cash.”

Dahlia tersengih. Boleh pula dia terlupa akan duit belanja yang disebut tadi.

“Entah, suka hati awaklah. Itu kan duit awak.”

Tangan Aariz disilangkan ke dada sambil menayangkan wajah yang sedang berfikir. Kemudian dia menyoal dengan serius.

“3 K, okey?”

“Huh?” Dahlia terkejut. Tiga ribu? Sikit lagi dah nak sama dengan gaji sebulan dia.

“Tak cukup? Nak tambah?” Aariz menyoal lagi.

Cepat-cepat Dahlia menggeleng.

“Cukup, cukup…”

“Then, lepas ni awak bagi saya account number awak, and every month I’ll bank in 3 K. Tapi kalau tak cukup lagi, just inform me. Manalah tahu, kalau awak nak beli baju ke apa ke..”

Dahlia hanya mampu menganggukkan kepala. Tiga ribu ringgit untuk belanja bulanan dia? Gila banyak! Setakat beli barang dapur, beberapa ratus ringgit sudah mencukupi. Yang selebihnya?

‘Macam nilah agaknya kahwin dengan orang kaya. Seronok jugak…hehe,’ getus hati nakal Dahlia.

Share this:

ABOUT THE AUTHOR

Hello We are OddThemes, Our name came from the fact that we are UNIQUE. We specialize in designing premium looking fully customizable highly responsive blogger templates. We at OddThemes do carry a philosophy that: Nothing Is Impossible

2 comments:

  1. “Okeylah, okeylah. Just kidding. Dahlia Darius bukan isteri baru yang saya beli. She’s a gift. Hadiah paling istimewa yang dihadiahkan Allah untuk saya. Puas hati?” Lembut suara Aariz tatkala mengucapkan kata-kata itu. Sepasang matanya penuh dengan pandangan yang sangat lembut dan ikhlas.

    sara, so sweet la. hehehe

    ReplyDelete