Jodoh itu Milik Kita - Bab 4


BAB 4

DAHLIA memandang wajahnya di cermin dan memicit lehernya beberapa kali. Lenguh! Sejak siang tadi tidak habis-habis dia melayan tetamu yang datang ke majlis yang diadakan di sebelah pihak Aariz. Tidak habis-habis juga dia ditanya tentang pertukaran pengantin lelaki. Mujur juga Aariz tidak pernah meninggalkan dia sendirian. Jadi, tidak perlulah dia menjawab. Semuanya Dahlia serahkan pada Aariz, dan pelbagai alasan juga yang diberikan oleh lelaki itu.

“Oh, itu sebenarnya ada kesilapan masa printing kad kahwin. Syafiq yang tolong order. Itu yang orang tu tersilap.”

Itulah jawapan selamba Aariz. Jawapan yang Dahlia kira langsung tidak logik. Tetamu-tetamu yang bertanya juga tidak bodoh untuk percaya bulat-bulat. Namun, Dahlia lega apabila mereka tidak bertanya lebih lanjut. Dahlia juga pandai memainkan peranan. Semua yang dikatakan Aariz diiyakan sahaja, sambil tersenyum manis. Mahu berlakon konon-kononnya lelaki yang sepatutnya dia kahwini benar-benar adalah Aariz Danial.

“Letih?” Telinga Dahlia menangkap sepatah kata.

Mata Dahlia memandang cermin di hadapannya. Dari pantulan cermin, jelas kelihatan Aariz yang tegak berdiri di belakangnya. Perlahan Dahlia mengangguk sambil melemparkan senyuman buat suaminya itu.

“Itulah, semua benda dia nak buat. Macamlah dia ada empat tangan,” bebel Aariz sambil tangannya mula memegang bahu Dahlia dan memicitnya lembut.

Dahlia terkedu, agak terkejut dengan tindakan selamba Aariz. Namun dibiarkan sahaja perbuatan suaminya itu. Sepanjang satu minggu perkenalannya dengan Aariz, dia semakin faham dengan perangai suaminya yang sangat penyayang dan sangat menjaga dia. Dalam hati, Dahlia senang diperlakukan begitu. Rasa terlalu dihargai.

Pernah sekali Dahlia menyoal Aariz kenapa dia sering diperlakukan begitu olah Aariz. Dan jawapan yang diperolehinya membuatkan Dahlia sedikit tersentak.

“Sebab hati awak dah dilukai oleh adik saya sendiri. So I’ve to heal your heart. It’s my responsibility. Apa-apa pun yang dah dilakukan oleh keluarga saya, saya perlu betulkan semuanya. Because my family is my everything.”

Jauh nada suara Aariz sewaktu memberikan jawapan. Saat itu juga Dahlia seperti dapat melihat luka yang dalam pada pandangan mata Aariz. Namun sekejap cuma, apabila Aariz menyambung lagi jawapannya.

“Lagipun…..awak ni comel sangat. Buat saya rasa macam nak jaga awak, and nak protect awak. You know, bila saya kahwin dengan awak ni, saya bukan saja dapat seorang isteri, tapi saya juga dapat kawan baru yang comel sangat-sangat.”

Jawapan Aariz itu membuatkan Dahlia ketawa. Sejak dia kahwin dengan Aariz, hampir setiap hari dia dipuji comel oleh suaminya itu. Dahlia sendiri tidak pasti apa yang comel tentang dia.

“Nasib baik saya tak ada empat tangan. Kalau tak, saya ni dah kira alien tau. Awak dah kahwin dengan alien empat tangan. Ho, ho, ho!!!” usik Dahlia sambil ketawa pura-pura ala-ala Santa Claus, menjawab bebelan suaminya tadi. Meletus ketawa Aariz.

“Ngok! Itu pula yang dia fikir,” jawab Aariz dalam ketawanya yang masih bersisa. Tangannya laju sahaja menarik hidung Dahlia.

“Awak! Saya tahulah hidung saya tak mancung macam hidung awak, tapi janganlah tarik hidung saya,” ujar Dahlia sambil menggosok hidungnya berkali-kali. Mulutnya sedikit muncung.

Aariz ketawa lagi.

“Mulalah tu, muncung macam itik. Cium karang!” usik Aariz lagi.

Mendengarkan kata-kata Aariz, automatik Dahlia berpaling ke belakang. Menjegil matanya besar-besar dan menekup mulut.

“Hmmm…hmmm…hmmm…..” Dahlia cuba bercakap dengan mulutnya yang masih ditutup.

“Kalau nak cakap, jangan tutup mulut tu. Buruk punya perangai.” Aariz mula membebel. Tangannya dicekak ke pinggang. Membuat gaya serius.

“Awak ni gatal, awak tau tak!!” bentak Dahlia setelah menjatuhkan tangannya ke bawah.

Aariz ketawa lagi. Dia menunduk dan merapatkan wajah ke wajah Dahlia yang hanya terkulat-kulat memandangnya.

“Tak ada salahnya gatal dengan isteri sendiri, kan?” jawab Aariz sambil mengenyit mata.

Dahlia mencebik lantas menarik muka masam. Aariz selalu sahaja begitu. Suka membuat gurauan yang tidak kena pada tempatnya dan situasi mereka sekarang. Jikalau mereka benar-benar suami isteri yang tengah berbahagia, gurauan seperti itu memang wajar. Tapi, mereka bukan seperti itu!

“Awak cakap kita anggap each other as kawan je. Mana ada kawan buat kawan dia macam tu,” jawab Dahlia perlahan. Ada nada tidak selesa dalam suaranya.

Ya, kadangkala Dahlia tidak selesa bila Aariz bergurau begitu. Seperti terlalu mesra. Dahlia akui dia senang dijaga dan dilindungi oleh suaminya itu, tapi gurauan seperti itu menakutkan dia. Takut-takut apa yang lahir daripada gurauan itu adalah apa yang benar-benar ada dalam hati Aariz, suaminya. Dan sesungguhnya dia tidak bersedia ke arah itu.

“Awak kan kawan special saya.” Ringkas jawapan Aariz sambil tersenyum.

Dahlia membatu. Hanya bermain dengan jari-jemarinya tanpa memandang Aariz yang masih berdiri, menunggu jawapan. Dia tidak tahu apa yang patut dijawab sebenarnya. Adakah istilah kawan special bererti Aariz boleh mengusik dia seperti seorang suami mengusik isterinya tetapi pada masa yang sama hubungan mereka tidak lebih seperti kawan yang baru mengenali satu sama lain? Macam mana kalau Aariz tiba-tiba bertindak lebih daripada yang sepatutnya? Dalam hati, Dahlia berasa takut.

Aariz memandang wajah isterinya yang sedikit masam. Nafasnya dilepaskan perlahan dan kemudian Aariz mula melutut. Kedua tangan Dahlia diambil dan dipegang selembut mungkin. Dahlia hanya membiarkan sahaja tetapi matanya tetap seperti tadi. Hanya menunduk dan langsung tidak diangkat untuk memandang suaminya.

“Janganlah takut. Saya takkan buat yang lebih-lebih pada awak,” sambung Aariz lagi, seakan-akan mengerti apa yang difikirkan isterinya.

Seusai mendengar kata-kata Aariz, Dahlia terus sahaja mengangkat wajahnya. Dipandangnya wajah Aariz yang masih tersenyum. Senyuman Aariz kelihatan ikhlas.

“Betul?” Laju sahaja Dahlia mengajukan soalan.

Dan tiba-tiba senyuman ikhlas Aariz bertukar nakal.

“Tapi, saya akan buat yang TAK lebih-lebih. Macam…..” Sengaja Aariz menghentikan kata-katanya sambil mengangkat kening.

Dahlia menarik tangannya kembali dan memandang Aariz dengan penuh syak wasangka. Wajah nakal suaminya kelihatan terlampau nakal!

“Macam apa? Awak jangan nak fikir yang pelik-pelik,” tempelak Dahlia pada suaminya. Faham sangat dengan perangai nakal lelaki itu. Umur sahaja tua, tapi perangai nakalnya tu mengalahkan budak-budak nakal sewaktu Dahlia di sekolah dulu.

“Pelik? Siapa yang fikir pelik ni? Awak ke, Dahlia?” Makin galak Aariz mengusik Dahlia. Wajah isterinya yang merona merah direnung lembut.

Dahlia yang diusik begitu berasa geram. Aariz memang suka buat dia geram begitu. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja Dahlia mengetuk kepala suaminya itu.

“Awak ni kan!!! Me….”

Dahlia mula menjerit kecil ingin meluahkan rasa geramnya. Namun jeritannya terhenti apabila Aariz tiba-tiba bertindak menekup mulutnya.

“Shhhh, jangan menjerit. Nanti diorang ingat saya buat apa-apa pada awak,” ujar Aariz sambil ketawa kecil melihat reaksi terkejut isterinya.

“Hmmm…hm…..hmmmm…” Dahlia tetap cuba menjawab walaupun mulutnya telah pun ditutup oleh Aariz.

“Kan dah pesan, kalau nak cakap, jangan tutup mulut tu. Buruk betul perangai,” usik Aariz lagi.

Dahlia mengerutkan dahi tanda tidak puas hati. Tangannya pantas mencubit tangan kiri Aariz.

“Aduh! Ni ketam mana pula gigit?” Aariz mengaduh sambil melarikan tangannya dari mulut Dahlia. Dia menggosok tangan beberapa kali.

“Aariz, awak ni kan….awak ni….” Dahlia tidak dapat menyambung kata-katanya apabila Aariz mula membuat muka tidak bersalah.

“Huh, malas nak layan awak! Buat sakit jiwa je.” Akhirnya Dahlia mengalah. Tidak mampu melayan perangai suaminya. Aariz tidak menjawab, hanya ketawa yang lahir dari mulutnya.

Melihatkan wajah Aariz yang galak ketawa, akhirnya terbit senyuman di mulut Dahlia. Wajah suaminya itu diperhatikan. Dahlia perasan Aariz gemar ketawa dan setiap kali lelaki itu ketawa, matanya akan menjadi sedikit sepet. Lesung pipit di sebelah kiri pula akan lebih jelas kedalamannya.

Dahlia senang mendengar bunyi ketawa lelaki itu dan melihatnya ketawa. Dalam hati, dia sedikit bersyukur suami-bidan-terjun yang baru sahaja dikenalinya itu seorang lelaki yang baik. Tidak pernah cuba mengambil kesempatan terhadapnya secara melampau, tidak pernah juga berkasar dengan Dahlia. Sebaliknya Aariz Danial adalah seorang lelaki yang penuh dengan kelembutan dan seorang yang agak nakal.

“Okeylah, okeylah. Saya tak kacau awak lagi.” Aariz akhirnya bersuara di sebalik sisa-sisa ketawanya. Namun seketika kemudian, wajahnya berubah serius.

Aariz merenung Dahlia yang hanya memandangnya dengan mata yang penuh tanda tanya.

“Tapi, saya betul-betul nak awak tahu. Saya takkan sesekali bertindak melampau terhadap awak, Dahlia. Never.” Tegas dan serius kata-kata yang lahir dari mulut Aariz, membuatkan Dahlia sedikit tersentak.

Dahlia merenung wajah suaminya, seperti mencari kepastian di sebalik wajah itu. Aariz kelihatan ikhlas dan yakin dengan tutur kata yang baru sahaja diucapkan. Dan Dahlia sedar, di sudut hatinya dia percayakan lelaki itu. Entahlah, Dahlia juga tidak tahu kenapa terlalu mudah untuk dia mempercayai Aariz, tetapi dia berserah sahaja. Biarlah masa dan takdir yang menentukan siapa Aariz Danial sebenarnya.

Perlahan Dahlia mengangguk dan tersenyum.

“Saya tahu. Saya percayakan awak.”

Aariz tersenyum mendengar jawapan Dahlia. Dalam hati, dia berasa lega.

“Jom turun bawah. Diorang semua tunggu kita tu. Ada hal nak discuss,” ujar Aariz dalam senyuman yang masih lebar. Ditariknya Dahlia agar bangun dari kerusi.

“Hal apa?” soal Dahlia sambil kakinya mengikut gerak langkah suaminya. Tangannya yang dipegang kemas oleh Aariz dibiarkan sahaja.

Aariz tidak menjawab, sebaliknya hanya menjungkit bahu tanda tidak tahu. Dia mengerling sekilas ke arah Dahlia yang kelihatan agak ragu-ragu. Tanpa sedar Aariz menguatkan pegangan tangannya seolah-olah cuba untuk memujuk isterinya itu.
*****
“SO, Aariz dengan Dahlia dah fikir masak-masak?” tanya Tuan Haikal kepada anak sulung dan menantunya.
Dahlia dan Aariz saling berpandangan. Fikir masak-masak? Apa yang mereka perlu fikir?

“Fikir apa, bah?” Akhirnya Aariz melontarkan soalan yang mungkin dikira bodoh di telinga Tuan Haikal.

“Ya Allah! Fikir mana nak tinggal lepas nilah. Jangan cakap korang tak fikir pasal ni lagi?” jawab Tuan Haikal akhirnya.

Aariz menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dahlia pula hanya menunduk sambil bermain dengan jari-jemarinya. Memang mereka tidak pernah berbincang tentang itu. Dahulu sewaktu bertunang dengan Syafiq, memang Dahlia pernah bercadang untuk tinggal di rumah keluarga Tuan Haikal. Senang untuk menjaga umi yang sakit. Lagipun, Syafiq memang tinggal bersama keluarga, tidak pernah tinggal sendiri.

Namun berlainan bagi Aariz. Dahlia tahu lelaki itu tinggal sendirian sejak dulu lagi. Sejak Aariz menyambung pelajaran di US dan sejak kembali ke Malaysia satu bulan yang lepas. Kerana itu jugalah Dahlia tidak pernah menemui Aariz walaupun lelaki itu adalah abang kepada bakal suaminya sendiri.

“Sebenarnya….memang kitorang tak pernah fikir pasal tu.”Jujur jawapan yang lahir dari mulut Aariz.

Aariz memandang Dahlia sekilas. Gadis itu tetap seperti tadi, hanya tunduk dan bermain dengan jari-jemari. Satu lagi tabiat Dahlia yang disedari oleh Aariz. Dahlia suka bermain dengan jari-jemari bila tidak tahu apa yang patut dijawab atau apa yang patut dibuat. Tanpa sedar, terbit senyuman di bibir Aariz.

“Yang kamu ni duk senyum-senyum sambil tengok isteri kamu tu kenapa? Macam orang angau je papa tengok.” Kali ini Cikgu Darius, ayah Dahlia pula yang bersuara. Menempelak menantunya yang dilihat tersenyum tiba-tiba.

Aariz tersentak dan terpinga-pinga. Dirasakan darah menyerbu ke wajahnya. Malu teramat! Macam manalah dia boleh terlupa dia sekarang di hadapan semua orang. Abah, umi, papa dan ibu, semua ada di ruang tamu itu, memerhatikan setiap gerak geri dia dan Dahlia.

‘Aariz Danial, yang kamu ni senyum-senyum macam tu kenapa? Buat malu je!’ marah Aariz pada dirinya sendiri.

Dahlia yang turut tersentak mengangkat muka dan berpaling ke arah Aariz yang kelihatan serba-salah. Wajah lelaki itu merah, tanda malu. Dahlia ingin ketawa, namun ditahan agar tidak meletus.

‘Padan muka! Itulah gatal sangat,’ getus suara hati Dahlia.

Dalam hati Dahlia seronok bila suaminya ditegur begitu oleh ayahnya.

“Orang baru kahwin, Darius. Macamlah tak faham,” jawab Tuan Haikal tiba-tiba disusuli ketawa mengusik.
Aariz dan Dahlia berpandangan sesama sendiri. Wajah masing-masing mula merah. Siapa yang tidak segan bila diusik begitu?

Dahlia kemudiannya memberikan isyarat mata berupa marah pada Aariz. Suaminya hanya tersengih sambil mengangkat kening. Wajah nakal yang selamba dipamerkan pada Dahlia yang kemudiannya mendengus geram. Dalam hati, Aariz ketawa. Isterinya, Dahlia sangat comel!

Tanpa Aariz dan Dahlia sedari, segala gerak-geri mereka diperhatikan olah Puan Marina dan Puan Inas. Jauh di sudut hati Puan Marina, ada rasa terkilan. Terkilan kerana Dahlia bukan isteri Syafiq. Walaupun dia menyayangi Aariz seperti anaknya sendiri, Puan Marina secara jujurnya mahukan Dahlia untuk Syafiq. Memang dia akui, dia agak mementingkan diri dalam hal ini, tetapi itu kerana dia mahu Dahlia mengubah Syafiq yang selama ini agak mementingkan diri dan terlalu manja. Ah, mungkin itu salah dia juga! Salah mendidik anak bongsunya itu sehingga menjadi manja dan terlalu mementingkan diri begitu.

Puan Inas yang memerhati pula berasa lega. Dahlia kelihatan seperti bahagia. Mungkin tidak bahagia seperti pengantin-pengantin lain yang enak bermadu asmara, tapi sekurang-kurangnya Dahlia seperti selesa dengan lelaki itu. Lelaki yang tiba-tiba menjadi suami Dahlia.

‘Alhamdulillah.’ Dalam hati Puan Inas mengucap syukur.

Sejak satu minggu yang lepas, Puan Inas tidak habis-habis berdoa agar Dahlia akan dapat menghadapi segala dugaan yang menimpa dengan tabah. Dia juga berdoa dan berharap agar lelaki yang telah sah menjadi suami kepada anaknya itu merupakan seorang lelaki yang baik.

Sungguh! Puan Inas benar-benar mengharapkan agar Aariz Danial adalah seorang lelaki yang tidak akan sesekali menyakiti Dahlia. Dia adalah seorang lelaki yang akan menjadi khalifah dalam rumah tangga yang baru dibina itu dan menjadi seorang suami yang mampu membimbing Dahlia untuk menjadi seorang isteri yang mithali.

“So, kamu betul-betul belum decide mana nak duduklah ni?” Akhirnya Cikgu Darius memulakan kembali perbincangan tentang tempat tinggal Aariz dan Dahlia.

“Belum, pa,” jawab Aariz dan Dahlia hampir serentak.

“Semua ni berlaku cepat sangat. Kitorang belum sempat nak discuss apa-apa pun. Mana nak tinggal and everything,” sambung Aariz lagi sebelum sempat Cikgu Darius atau Tuan Haikal menyoal lebih lanjut.

Dahlia yang mendengar hanya mengangguk. Mengiyakan semuanya. Memang benar apa yang dikatakan Aariz. Apa sahaja yang terjadi antara dia dan Aariz berlaku terlalu pantas. Dalam masa seminggu mereka berkahwin, mereka langsung tidak sempat untuk berbincang tentang kehidupan bersama mereka. Masa yang ada digunakan untuk menyiapkan persediaan bagi kenduri kahwin di sebelah pihak Dahlia dan juga di sebelah pihak Aariz. Juga untuk memikirkan alasan-alasan munasabah atas pertukaran pengantin lelaki. Pendek kata, menyediakan skrip untuk drama swasta ‘Suamiku bertukar di majlis perkahwinanku’!

“Hmmm, umi nak tanya something pada Dahlia.” Lambat-lambat suara Puan Marina keluar dari kerongkong seperti keberatan untuk diucapkan.

Dahlia berpaling ke arah ibu mertuanya dan memandang wajah tua itu. Dahlia sedar wanita itu masih rasa bersalah atas apa yang terjadi.

“Ya, umi. Tanyalah.” Lembut suara Dahlia, mahu memberikan kepastian kepada Puan Marina bahawa dia sudah tidak marah.

“Boleh ya, Aariz? Ini ada kena mengena dengan….dengan Syafiq,” sambung Puan Marina lagi, masih teragak-agak. Kali ini soalan itu ditujukan kepada Aariz. Mungkin kerana kini Aariz sudah sah menjadi suami kepada Dahlia.

Berubah wajah semua yang ada bila nama Syafiq ditimbulkan. Jelas telinga Dahlia mendengar dengusan ibu bapanya. Dahlia tahu ibu bapanya masih terkesan dengan peristiwa itu. Dahlia mengeluh perlahan. Tipulah jika dia mengatakan bahawa dia sudah melupakan apa yang telah terjadi, sudah melupakan rasa sakit hati dan terluka dia tatkala ditinggalkan pada hari perkahwinan sendiri. Tidak, dia tidak lupa semua itu!

Perlahan Dahlia mengenggam tangannya. Cuba menahan rasa sakit hati yang masih melekat di hati. Cuba untuk membina kekuatan dan keyakinan dalam dirinya. Sedang Dahlia mengenggam tangannya itu, satu tangan lain tiba-tiba melekat pada tangannya. Dahlia mendongak dan matanya tertancap pada sepasang mata coklat milik Aariz Danial. Mata itu seperti cuba memberikan kekuatan kepadanya.

“Saya cuma akan setuju kalau Dahlia tidak kisah.” Tegas jawapan Aariz sambil memegang kemas tangan isterinya. Dahlia tersenyum mendengarkan jawapan Aariz. Lelaki itu cuba melindunginya!

Dahlia menarik nafas panjang sebelum akhirnya menjawab.

“Apa dia, umi? Umi tanyalah.”

Puan Marina memandang wajah Dahlia yang tenang. Ketenangan yang mungkin penuh kepura-puraan. Namun, apabila melihat mata Dahlia yang penuh keyakinan, Puan Marina sedar bahawa ketenangan itu bukan pada luaran sahaja. Ketenangan itu datang dari hati, dan mungkin juga berpunca daripada kekuatan yang disalurkan oleh Aariz untuk isterinya.

“Dulu waktu Dahlia bertunang dengan Syafiq, korang decide nak duduk sini, kan? Barang-barang pun banyak yang dah disediakan.” Akhirnya Puan Marina menyuarakan apa yang tersirat di hatinya sejak tadi.

“Isy, apa maksud Ina ni? Ina nak diorang duduk sini dan guna barang-barang tu semua?” Tiba-tiba Tuan Haikal bersuara sebelum sempat Dahlia memberikan sebarang reaksi.

“Bukanlah! Saya tanya je. Abang ni kan….suka menyampuk before orang habis cakap.” Puan Marina menempelak suaminya yang melulu membuat kesimpulan. Tuan Haikal hanya tersengih bila ditempelak begitu.
Tercuit rasa geli hati dalam hati Dahlia dan Aariz bila melihat mereka begitu. Cikgu Darius dan Puan Inas yang melihat turut tertawa. Hilang sudah rasa tidak selesa mereka tatkala soal Syafiq dibangkitkan tadi.

“Sebenarnya umi gembira kalau anak menantu umi tinggal dengan umi. Tapi, untuk Aariz dengan Dahlia, umi tak nak kamu tinggal kat sini. So, kamu tak perlulah nak peningkan kepala discuss ke apa ke, just duduk je sendiri. Duduk kat rumah Aariz,” sambung Puan Marina lagi disusuli oleh keputusan yang dia sendiri tentukan.
Dahlia dan Aariz sama-sama mengerutkan dahi. Tidak mengerti. Apakah umi tidak sudi tinggal serumah dengan mereka?

“Jangan salah faham. Bukan umi tak suka kamu tinggal sini. Tapi, umi tak nak Dahlia asyik teringat pada Syafiq. Barang-barang Syafiq semua ada dalam rumah ni. Nanti akan sakitkan hati Lia.” Lembut suara Puan Marina sambil tangannya memegang bahu Dahlia.

Hati Dahlia terusik. Walaupun umi dalam keadaan tidak sihat begitu, wanita itu tetap memikirkan soal Dahlia dan soal perasaannya. Dahlia sedar itu mungkin atas sebab rasa bersalah umi terhadap apa yang telah terjadi. Atau mungkin juga kerana umi betul-betul sayangkan dia. Bagi Dahlia, dia percaya pada sebab kedua. Dia yakin ibu mertuanya itu terlalu sayangkan dia.

“Tapi, umi kan sakit. Kalau tak ada Aariz atau Lia kat rumah ni, sape nak jaga umi? Nak harapkan abah? Abah pun bukannya larat sangat. Mak Jah? Mak Jah pun bukannya kuat pun.” Dahlia akhirnya bersuara, cuba membantah bila difikirkan keadaan ibu mertuanya yang sudah semakin uzur.

“Yalah, Ina. Saya sendiri pun takkan suka kalau terpaksa menyusahkan anak-anak, tapi keadaan awak tu bukannya kuat sangat. Kalau Lia dengan Aariz ada kat sini, senang sikit kalau apa-apa jadi.” Kali ini Puan Inas pula bersuara, cuba menasihati besannya.

Puan Marina tersenyum mendengarkan kata-kata Dahlia dan ibunya, Inas. Betullah kata pepatah, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Barulah dia sedar kebaikan Dahlia sebenarnya diwarisi oleh Inas, ibu Dahlia. Walaupun Puan Inas agak marah padanya atas apa yang terjadi, besannya itu tetap mengambil berat akan keadaan dirinya.

Dalam hati, Puan Marina berasa sedikit ralat. Kenapalah Syafiq tidak sebaik Dahlia? Kenapa Syafiq sanggup menghancurkan hatinya?

“Tak apa. Bukit Jelutong dengan Subang tu bukannya jauh sangat. Kalau apa-apa jadi, cepat je budak-budak ni boleh sampai,” ujar Puan Marina, masih tidak mahu mengalah. Masih tidak mahu Aariz dan Dahlia tinggal bersamanya di rumah itu.

“Umi….” Dahlia masih cuba memujuk.

Aariz yang memandang hanya mendiamkan diri. Dia tahu kenapa ibunya itu bertindak demikian. Dia tahu wanita itu seakan-akan mahu menebus kesalahan. Tidak mahu lagi menyusahkan Dahlia mahupun dia sendiri.
Walaupun ada sedikit perasaan tidak puas hati Aariz terhadap ibunya itu, namun di sudut hatinya dia agak bersetuju dengan cadangan itu. Bukan kerana dia tidak mahu menjaga ibunya yang sakit, tetapi kerana menghormati permintaan itu. Juga kerana dia takut dengan dirinya sendiri. Dia takut akan apa-apakan Dahlia jika mereka terus-terusan tinggal sebilik seperti sejak satu minggu yang lepas. Kalau di rumah mereka sendiri, tidak perlulah dia dan Dahlia tidur sebilik.

“Aariz, please…say something. Kalau kita stay kat sini tak apa, kan? Pasal barang-barang Syafiq tu, saya tak kisah pun. Saya boleh…hmm….boleh pura-pura tak nampak.” Kali ini Dahlia berpaling pada Aariz pula. Memohon suaminya itu sama-sama memujuk Puan Marina.

Tergelak semua yang ada bila mendengar kata-kata terakhir yang keluar dari mulut Dahlia. Pura-pura tak nampak? Macam mana nak pura-pura tak nampak kalau benda tu memang ada depan mata?

Aariz memandang isterinya yang masih cuba memujuk. Perlahan Aariz melepaskan nafas, mengeluh dan kemudiannya menggelengkan kepala.

“Dahlia, umi dah cakap macam tu. Kita kena hormat keputusan umi, tau.” Lembut suara Aariz memujuk Dahlia.

Dahlia membeliakkan mata, tanda terkejut. Dia tidak menyangka itu yang akan lahir daripada mulut Aariz. Selama ini dia menyangka Aariz seorang yang sangat mementingkan keluarga. My family is my everything…konon!

“Kalau macam tu, kita dah ada keputusanlah, ya. Dalam dua, tiga hari lagi Dahlia pindah masuk rumah Aariz. Nanti papa dengan ibu pergilah tolong apa yang patut ya, sayang. Before ibu dengan papa balik kampung.” Cikgu Darius tiba-tiba bersuara sebelum sempat Dahlia membantah kata-kata Aariz.

Dahlia hanya mengangguk lemah dan menjeling tajam ke arah Aariz, menunjukkan tanda tidak puas hatinya.
*****
“AARIZ, awak ni kenapa? Awak cakap awak pentingkan keluarga awak, tapi saya tengok awak macam tak kisah pun!” Terus sahaja Dahlia menghambur kata tidak puas hatinya tatkala dia dan Aariz masuk ke bilik mereka.

Aariz mendiamkan diri. Dia sudah mengagak Dahlia akan menyerangnya begitu. Sejak matanya menangkap jelingan tajam Dahlia sewaktu mereka di ruang tamu tadi. Perlahan Aariz melepaskan keluhan. Dia agak terasa bila Dahlia mula menuduhnya tidak kisah dengan keadaan keluarganya. Dahlia tidak tahu betapa dia mementingkan keluarga itu. Dahlia tidak tahu betapa dia menyayangi umi dan abah, lebih daripada dia sayangkan nyawanya sendiri.

“Awak dengar tak saya cakap ni?” bentak Dahlia lagi, sambil menarik Aariz yang berdiri membelakanginya supaya berhadapan dengannya.

“Saya dengar, okey? Saya dengar,” ujar Aariz tegas seraya berpaling menghadap Dahlia. Wajah Dahlia ditenungnya tajam.

Dahlia yang membalas pandangan Aariz menelan air liur. Wajah lelaki itu kelihatan berbeza. Agak tegang. Aariz marah ke?

“Awak….awak marah ke?” Perlahan suara Dahlia keluar dari mulutnya. Ada nada takut-takut.

Aariz mengeluh kasar. Ya, dia akui dia agak terasa dan marah bila Dahlia mempertikaikan kasih sayang dia terhadap keluarganya sendiri. Namun, dia sedar Dahlia tidak salah. Sesiapa pun yang melihat tadi akan membuat kesimpulan yang sama. Dia dengan selambanya bersetuju untuk tinggal di luar tanpa menghiraukan ibunya yang sakit, yang tengah berjuang melawan kanser.

“Saya tak marah. It’s just that…saya tak suka awak tuduh saya macam tu,” balas Aariz, menjawab pertanyaan isterinya tadi.

Dipandangnya wajah mulus Dahlia. Wajah yang mula dihimpit rasa bersalah. Satu lagi personaliti Dahlia yang mula difahaminya. Dahlia mudah rasa bersalah! Seperti yang terjadi padanya satu minggu yang lepas. Dahlia memohon maaf selepas memarahinya pada malam perkahwinan mereka. Perlahan Aariz menguntum senyum. Senang dengan sikap isterinya itu.

“Bukan saya nak tuduh, tapi….umi kan sakit. Kita patut ada dengan dia,” terang Dahlia, cuba untuk menjelaskan apa yang benar-benar tersirat dalam hatinya.

Senyuman Aariz semakin lebar. Perlahan dia menarik tangan Dahlia agar merapatinya yang kini bersandar pada meja solek. Dahlia hanya memandang dengan penuh tanda tanya.

“Awak tahu, saya happy bila dengar awak cakap macam tu. Mana nak dapat menantu yang sayangkan ibu mertua macam ni sekali zaman sekarang.”

Tersenyum Dahlia mendengar pujian suaminya itu. Perasaan tidak puas hatinya terhadap lelaki itu terbang pergi, digantikan dengan rasa senang dan bahagia.

“Sebab itu saya tak boleh berlakon dalam Ibu Mertuaku.” Selamba jawapan Dahlia. Aariz yang mendengar tertawa.

“Dalam tu, yang jahat… ibu mertua, bukan menantu,” jawab Aariz, melayan perangai Dahlia.

Dahlia mengerutkan dahi sedikit, cuba berfikir lagi.

“Ha, saya tahu! Macam dalam Malin Kundang,” getus Dahlia yakin. Aariz ketawa lagi.

“Yang jahat dalam tu, anak kandunglah! Bukan menantu. Isy, awak ni…memang failed bab-bab cerita macam ni,” jawab Aariz membetulkan kenyataan isterinya itu, disusuli usikan buat Dahlia.

Dahlia menarik muka masam. Mula mahu merajuk. Aariz ketawa lagi. Isterinya itu selalu membuatkan dia ketawa kegirangan. Selama ini, dia tidak pernah ketawa sebegitu. Kehidupannya tidak cukup indah untuk membolehkan dia ketawa bahagia. Dalam hati, Aariz bersyukur Dahlia hadir dalam hidupnya. Namun terselit juga rasa takut kalau-kalau kehadiran Dahlia tidak lebih daripada persinggahan yang sekejap cuma, yang akan pergi meninggalkan dia dengan kejam dan rakus. Aariz melepaskan keluhan yang berat bila memikirkan kenyataan itu.

Dahlia yang melihat berasa pelik. Tadi suaminya itu kelihatan ketawa girang. Tetapi sebentar tadi keluhan berat pula yang lahir. Naluri wanitanya tiba-tiba mahu melindungi lelaki itu lantas genggaman tangannya dikemaskan. Dahlia kemudiannya memberikan senyuman manis buat suaminya.

Aariz merenung lembut wajah Dahlia yang tiba-tiba tersenyum padanya. Dia sedar Dahlia mahu memujuknya. Memberikan ketenangan kepadanya. Perlahan perasaan terharu menjengah masuk ke dalam hati Aariz.

“Awak jangan senyum macam tu, Lia. Tergoda saya,” usik Aariz.

“Awak!!” Dahlia terjerit kecil mendengarkan usikan suaminya itu.

Senyuman senang terukir di bibir Aariz sambil matanya merenung isterinya yang sudah menarik muka masam.
“Sebab tulah saya tak nak kita duduk kat sini. Kat rumah ni.” Aariz tiba-tiba bersuara dengan nada serius.

‘Saya takut tergoda,’ sambung Aariz dalam hati. Namun tidak dilafazkan apa yang terdetik di hatinya itu.
Dahlia hanya memandang suaminya tanpa kata. Tidak mengerti sebenarnya.

Aariz melepaskan pegangan tangannya yang sedari tadi memegang tangan Dahlia. Lantas berjalan ke arah sofa sebelum melabuhkan punggung di situ. Dahlia hanya melihat tindak-tanduk suaminya sambil menanti kata-kata yang akan lahir dari mulut Aariz.

“Kalau kat rumah ni, kita kena duduk sebilik. Tidur sebilik,” jelas Aariz lebih lanjut sambil mendongakkan kepala memandang Dahlia.

Dahlia dapat merasakan perasaan malu yang mula bertapa dalam dirinya. Tadi sewaktu dia beriya-iya mahu tinggal di rumah itu, langsung dia tidak terfikirkan hal yang satu itu. Nampaknya Aariz lebih dahulu memikirkan semuanya.

“Kalau kat rumah saya nanti, awak tak perlulah nak duduk satu bilik dengan saya. Walaupun awak tak cakap apa-apa, saya tahu awak tak selesa sebilik dengan lelaki macam ni, kan?” Panjang lebar Aariz menghuraikan apa yang ada dalam fikirannya.

Dahlia mengangguk perlahan. Betul cakap Aariz, dia memang agak kurang selesa bila sebilik dengan lelaki itu. Bila mahu menukar pakaian, terpaksa tukar dalam bilik air. Bila mandi, perlu siap-siap pakai baju sewaktu keluar dari bilik air. Tidak boleh lagi berkembam seperti yang biasa dia lakukan.

“Tapi kan, Lia…..” sambung Aariz lagi, setelah melihat anggukan isterinya. Lagi timbul rasa mahu mengusik gadis itu.

“What?” soal Dahlia tanpa mengesyaki apa-apa.

“Saya sebenarnya kan….suka jugak kalau satu bilik dengan awak.” Aariz sudah memulakan misi nakalnya. Perlahan dia bangun menghampiri Dahlia yang sedari tadi berdiri di hadapannya.

Dahlia yang melihat tidak memberikan sebarang reaksi. Kali ini dia tidak melatah, tidak juga bergerak melarikan diri seperti selalu. Dia sudah terlalu faham akan perangai suaminya yang sengaja mahu mengusik. Dia yakin Aariz tidak akan bertindak lebih padanya.

‘Eleh, dia ni main-main je ni,’ bisik hati Dahlia.

Namun gerak-geri suaminya yang semakin lama semakin mendekatinya dengan pandangan menggoda mula menghadirkan perasaan menggelabah dalam diri Dahlia.

‘Alamak! Aariz ni…Aariz ni…kenapa?’ Hati Dahlia berbisik lagi. Kakinya sudah mula diundurkan ke belakang.

“Stop! Dahlah, jangan usik saya lagi.” Akhirnya Dahlia bersuara dan mengangkat tangan menolak tubuh Aariz yang semakin menghimpit tubuhnya.

Aariz ketawa riang, seronok dapat mengenakan isterinya itu.

“Then, set okay? Kita akan pindah masuk rumah saya lusa. So, esok awak kemaslah apa yang patut,” ujar Aariz dalam ketawanya yang masih bersisa sebelum dia melangkah masuk ke bilik air. Mahu menyiapkan diri sebelum tidur.

Setibanya di depan muka pintu bilik air, sempat Aariz mengerling ke arah Dahlia yang kini duduk di atas sofa. Hatinya lega bila Dahlia akhirnya bersetuju untuk pindah ke rumahnya dan tidak tinggal di rumah keluarganya. Sejujurnya, dia juga tidak selesa sebilik dengan isterinya itu.

Walaupun dia telah berjanji pada Dahlia tidak akan bertindak lebih-lebih terhadapnya, Aariz sedar dia cuma lelaki normal, yang punya nafsu dan keinginan terhadap wanita. Tambahan pula wanita yang sebilik dengannya itu adalah tidak lain dan tidak bukan isterinya sendiri. Isteri yang sah untuk dia sentuh. Bohonglah dia jika dia mengatakan bahawa imannya tidak tergugat setiap kali melihat Dahlia keluar dari bilik air dengan rambut yang basah, atau tatkala melihat Dahlia tidur lena di atas katil dengan baju tidur yang sedikit mendedahkan tubuh gebu isterinya itu.

Perlahan Aariz mengeluh dan beristighfar dalam hati. Dia tahu dia tidak patut berfikir begitu tentang Dahlia walaupun gadis itu adalah isterinya sendiri.

‘Dahlia memang isteriku, tapi...dia bukan untukku,’ getus suara hati Aariz, seakan mengingatkan dirinya.

‘Aku tak layak untuk dia. Dia wanita sempurna, tapi aku....’

Aariz tersenyum pahit mengingatkan hakikat itu sebelum akhirnya dia melangkah masuk ke dalam bilik air.

Share this:

ABOUT THE AUTHOR

Hello We are OddThemes, Our name came from the fact that we are UNIQUE. We specialize in designing premium looking fully customizable highly responsive blogger templates. We at OddThemes do carry a philosophy that: Nothing Is Impossible

1 comments:

  1. “Sebab hati awak dah dilukai oleh adik saya sendiri. So I’ve to heal your heart. It’s my responsibility. Apa-apa pun yang dah dilakukan oleh keluarga saya, saya perlu betulkan semuanya. Because my family is my everything.”

    vote 4 aariz...cite semakin menarik! adesss...

    ReplyDelete